Yong tau foo sup paling sedap di Manjung

 Rabu, 11 Zulkaedah 1444 Hijrah.

Hari Ahad lepas, saya, suami dan anak sulung, pergi makan yong tau foo di medan selera bersebelahan padang Astaka, Sitiawan. Rasa baru hari tu makan yong tau foo juga, tapi di tempat lain. Macam tak puas hati hari tu, macam kurang kick. Jadi, repeat semula. Depan kedai ni, ada gerai sate juga. 


Pesan sate ayam 10 cucuk, anak makan. Datang sekali dengan nasi impit bersama bawang dan timun. Boleh tahan besar saiz sate dia. 

Saya minum kopi panas, kurang manis. Anak minum teh ais. Kuah kacang dia sedap juga.


Inilah yong tau foo dia. Tak letak kangkung. Saya tak boleh makan, nanti kembung perut. Dihidang dalam mangkuk besar, kemudian kita cedok la, dalam mangkuk kecil yang turut disediakan. Letak sambal sikit. Sini memang yong tau foo sup saja yang ada. Kuah atau sos hitam tu, tak ada. 

Tapi memang sedap, sup dia. Lain dari tempat lain. Panas. Letak sambal sikit, kacau-kacau dan hirup. Ehem-ehem, batuk-batuk terus, sebab lekat di tekak. Pehh.... kalau rasa nak demam, makan yong tau foo sup ni, boleh tak jadi demam, saya rasa.

Selain yong tau foo, masakan panas yang lain, goreng-goreng pun ada. Harga yong tau foo sup yang kami makan di atas, adalah RM17.

Ini lah port yong tau foo sup yang paling sedap sekali pada pendapat saya, di area Manjung ni. Kalau anda datang sini, silalah cuba, ye. 😋😊

Yong Tau Fu Astaka

Gerai no. 5, Medan Selera Astaka

Jalan Hj. Mohd Ali

32000 Sitiawan, Perak.

Dibuka setiap hari, kecuali hari Selasa, tutup.

Waktu buka: 5 petang hingga 10 malam.

Tengok John Wick

 Rabu, 11 Zulkaedah 1444 Hijrah.

Saya tak online semalam. Jadi, blog tidak berupdate. Saya habiskan masa dengan anak-anak. Tak pergi mana, lepak rumah, makan popcorn, tengok movie. Hehe... connect kan speaker besar pada tv, bagi sound kebabom sikit, ala-ala tengok wayang. Tengok cerita apa? John Wick: Chapter 4. 


Recap balik, masa John Wick nombor 3, dia kena tembak, pastu jatuh bangunan. Movie ni masa keluar wayang, klasifikasi 18. Cerita ganas kan, jenis baling kapak, kena kepala orang. Anda follow tak cerita ni? John Wick nombor 1 hingga 3 ada di Netflix, tak silap saya.

Ya Allah.... dia punya letih tu... kita pun rasa, tau. Aksi demi aksi... tiada rehat langsung. Dialog pun kurang. Kadang rasa nak cakap pada si John tu, "Stop, stop, rehat jap". 

John Wick ni, beberapa kali kena langgar kereta, jatuh dari tempat yang tinggi... giler la.. tahukah anda, aksi stunt dilakonkan sendiri oleh Keanu Reeves (watak utama, John Wick) tanpa guna khidmat double atau stand-in? Terer betul... dah la umur dah 58 tahun. (Lahir tahun 1964), tapi tak nampak tua pun. Berapa bulan la dia training.

Ada juga scene yang saya rasa macam tipu, terfikir,"Ada ke benda macam ni?" Contohnya, seperti bullet proof jacket. Suit yang dia pakai tu, dia guna cover kepala, bila tengah tembak-menembak. Anak kedua kata, sut dia dibuat dari vibranium. Aik? Macam black panther dalam Marvel movie pakai tu? Lagi satu, ada anak panah, boleh tembus dinding batu. Huh... special punya buatan kot. Guard pada tangan dia orang pun. Jadi bila ada aksi tembak menembak, letak tangan untuk lindung muka, saya rasa macam Wonder Woman dah. 😁

Watak Marquis Vincent de Gramont, yang dilakonkan oleh Bill Skarsgard, nampak familiar.


Oh.. mamat ni, yang berlakon jadi badut dalam It dan It Chapter 2. Muka dia, jadi clown ke, tak jadi clown ke, nampak scarry je. Saya rasa, sebab mata dia la. 🙈

Setelah bersusah payah, akhirnya John dapat bebaskan diri dia dari High Table. Saya tak mau cerita ending dia di sini, kot-kot ada pembaca yang belum tengok. Hehe.. ada khabar angin kata, akan ada John Wick kelima. Saya pun tak tahu nak cakap. Kena la tengok sendiri, yang nombor 4 ni. 

Jika anda jenis yang suka tengok filem aksi, saya memang rekomen cerita ni. Kalau tak follow 1-3 pun, takpe, masih boleh ada idea tentang cerita ni. Takkan lost. Rasanya, tak lama lagi, masuk Netflix kot.

Itu la dia. Habiskan masa dengan anak-anak, layan movie di rumah. Kesian juga anak kedua ni. Hari-hari pergi sekolah, walaupun sedang cuti sekolah. 

Ok. Jumpa lagi, ye. 😊

Naik Bukit 300

 Isnin, 9 Zulkaedah 1444 Hijrah.

Hari ni, anak kedua punya kelas tambahan mula pukul 8 pagi. Jadi, tak dapatlah saya keluar awal untuk berlari. Suami kerja. Sayalah kena hantar anak. Pukul 8 pagi tu, dah panas. Nak lari dalam rumah, bosan pula. Jadi, saya pun pergi naik bukit hari ni. Lagi pun, bila baca Puan Ujie cerita dia naik bukit, terus saya rasa macam,"Eh, aku pun dah lama tak masuk hutan, naik bukit". Hehe... 

Bukit 300 ni, terletak dalam kawasan Teluk Batik, Lumut. Saya pun tak tahu kenapa nama bukit ni, 300. 

Minum air siap-siap sebelum tinggalkan kereta. Pakai kasut potong getah. Iye, saya tak ada kasut trail. Rugi pulak rasa kalau beli, kasut trail tu, mahal, tapi naik bukit jarang sekali. Kasut potong getah tu, sudah memadai. Kasut warna hitam, dibuat dari getah. Bawa tongkat sebatang. Tak ada hiking pole juga. Guna tongkat peninggalan arwah mak saya, dari buluh.

Parking sebelah kereta ni. Masa saya sampai, pemilik kereta tu pun, dah turun bukit dah. Mesti naik pukul 7 pagi. Berpeluh lenjun baju uncle tu, dah la dia pakai baju putih. Peh... 

Checkpoint 1

Ada sesetengah kawasan, agak licin. Sebab semalam, hujan. 

Checkpoint 4

Saya ambil gambar checkpoint yang saya nampak sahaja. Adalah selisih dengan 4 orang yang sedang turun bukit. 

Masa ni, menyesal pula saya tak bawa bekal air. Basah wei... peluh. Ingat ke, naik bukit, takde direct sunlight, dilindungi oleh pokok-pokok besar, tak panas sangat nak beriadah. Oh, silap di situ. 


Dia punya canak tu.... peh.... semput den! Padan muka, dah lama tak training bukit. 

Checkpoint 5

Checkpoint 7

Almost there. Don't give up.


Alhamdulillah... sampai ke puncak. Selpiaq satu, hantar wassap kat suami. Nak ambil gambar di bukit 300 punya papan tanda tu, ada orang. Segan pula. Kita selfie dari jauh je. Nampak kan, papan tanda Bukit 300 di belakang tu.. huhu... Suami sedikit risau saya naik bukit sorang. Sebenarnya, tak digalakkan kita naik bukit sorang-sorang, lagi-lagi orang perempuan pula tu. Seeloknya, berteman. Apa-apa jadi, terjatuh ke, tersalah masuk jalan ke. Tapi sebab ni bukan pertama kali saya naik bukit ni. Cuma lepas sampai bawah, pun, saya wassap suami juga, sudah sampai bawah, supaya pakcik tu tak risau.

Ada je, sewaktu saya turun bukit, selisih dengan ibu bawa anak-anak naik. Tapi yang tak bestnya, ada couple ni, boleh bawa anjing pula, naik bukit ni. Kalau anjing dia melepas, korang rasa, dia kutip tak? Haa... dah la di kejiranan banyak anjing keluar pagi-pagi, tuan dia lepas suruh lepas hajat luar rumah. Ni, atas bukit ni pun, dia bawa anjing juga. Entah apa nak jadi....

Alhamdulillah... selamat naik, selamat turun, Bukit 300. Memang lain macam naik bukit ni. Tak sama dengan berlari di kawasan rata. 

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 😊

Dalam gerimis

 Ahad, 8 Zulkaedah 1444 Hijrah.

Masa dalam perjalanan pergi ke tempat lari pagi tadi, ada nampak kilat di langit. Tapi pujuk hati, mungkin hujan di tempat lain. 

Suka kacau budak ni, tengah tidur. 😁

Mendung. Tapi matahari pagi keluar, cuaca panas sekejap. 

Saya lari pusing-pusing dalam loop, di kawasan Esplanade sahaja. Sebab tak ada orang hari ni, jadi lapang je, boleh berlari. Sampai lebih kurang 7 kilometer, saya lari melepasi terminal feri ke pangkor, dan pergi sampai ke hujung jalan.


Masa ni, langit gelap mula kelihatan. Juga ada bunyi guruh. Best cuaca macam ni. Saya suka, sebab berangin.

Tak lama lepas tu, hujan pun turun. Hahaha... syoknya main hujan. Alamak, rugi saya tak bawa pouch pinggang saya. Tangan sebelah lari sambil pegang handphone. Jadi, bila hujan, saya sembunyikan handphone bawah tudung, supaya tak basah.

Hehe.. saya suka! Rasa segar lari dalam hujan. Heart rate pun tak berapa tinggi, sebab cuaca sejuk.


Alhamdulillah, pagi tadi punya larian sejauh 10 kilometer. 

Lepas lari, buat regangan sebentar. Lepas tu, saya terus pergi ke pasaraya Billion, beli barang dapur. Billion buka pukul 9 pagi. Betul-betul tepat 9 pagi, saya terpacak depan pintu. Best shopping time orang takde. Hujan pun masih turun. 

Sampai rumah, mandi, lepas tu, masuk dapur, buat french toast dan masak nasi goreng. Saya baru ingat nak ambil gambar french toast, tapi dah tinggal separuh pinggan, padahal saya buat guna lebih kurang 3/4 buku roti gardenia tu. Jadi, tak jadi ambil gambar, ambil gambar nasi goreng sahaja.


Bila ketiga-tiga anak ada di rumah, ini la yang berlaku. Masak apa pun habis. Anak sulung cerita, dia dekat Dungun, makan satu hari sekali je. Bila balik rumah baru boleh makan sedap-sedap. Ler... padahal kita bagi duit poket kat dia, tiap bulan. Duit PTPTN pun masuk juga. Dia kata, saja, nak jimat. 

Ok la ye... selamat berhujung minggu kepada semua pembaca sekalian.

Jumpa lagi, ye. 😊

Entri ni banyak gambar makanan

 Jumaat, 6 Zulkaedah 1444 Hijrah.

Pada hari Rabu lepas, lepas hantar anak-anak ke sekolah, saya dan suami pergi sarapan di Warung Nelayan Permatang. Ini kali kedua kami datang sini. Nak cuba menu lain pula, sebab masa pertama kali datang, hanya sempat cuba nasi lemak.


Orang tak ramai, sebab masih awal pagi. Hari bekerja pulak tu. Saya pesan bihun goreng.


Suami pula pesan nasi putih, lauk kari ikan kembung.


Kari dia, rasa macam kari utara. Seperti biasa, kami makan share, jadi boleh sama-sama merasa hidangan yang dipesan. 😁😋


Ambil kuih juga, 2 ketul popia sira dan 2 ketul karipap kentang.

Balik rumah tu, saya rasa macam gemuk je. Jadi, saya lari dalam rumah sekejap.


Larian indoor hari Rabu adalah sejauh 5 kilometer.

Gambar salah sekor kucing di rumah, nama dia Sasa. Bukan Sasa, kedai produk kecantikan dan perfume tu, tau. Tapi sasa yang bermaksud badan tegap tu. 💪 😁 Sasa ni, masa kecik, badan dia keras. Dia sekor je kucing jantan yang ada di rumah. Galak pun, ye jugak. Penuh energy, kejap berlari ke sana, kejap ke sini, kejap panjat pokok. Dia punya manja, mengalahkan kucing betina. Bunyi dia yang paling kuat sekali, time minta makan. Nyampah! 😝

Pagi Khamis pula, saya pergi berlari di padang Astaka, Sitiawan. Suami drop saya kat sana, sementara dia pergi ofis kejap, ada aktiviti riadah, main bola tampar.

I look fat 🙈

Saya lari sejauh 8.5 kilometer. Entah, bila lari di padang, automatik, jadi laju banding biasa. Pace 8. Kalau lari tempat lain, pace 10 sahaja.
Nak tau tak... baru hari tu, hantar anak sulung naik bas balik Dungun lepas raya, kan. Ni... anak sulung balik sini balik. Ada cuti lebih kurang 10 hari. Apekah.... baru cuti, dah cuti pulak. Memang dia samakan cuti budak-budak uitm dengan budak sekolah, ke? Kalau stay sana, kang cafe tak buka, susah pula cari makan di luar. Sebab dia bila balik, 1 hari duduk dalam bas. Tapi nasib baik juga, bas dari Terengganu ke Manjung cuma ada waktu malam. Jadi, Rabu malam dia bertolak, Khamis pagi, dia sampai Manjung. 

Jadi, lepas suami habis program riadah ofis dia, kami pun pi ambil anak sulung di stesen bas. Sebelum balik rumah, singgah kedai kopi kejap. Teringin. 


Saya pesan americano panas tanpa gula, suami pula iced hazelnut latte dan anak sulung pesan iced caramel latte. Saya beli 3 ketul brownies. Adik yang jaga kedai tu, bagi percuma 2 keping cookies. Anak sulung kata, pekerja kedai kopi tu, sama sekolah dengan dia dulu. Ooo... brownies dia.. ya Allah.... cedapnya!!!!! 😋😋

Hari ni, hari Jumaat, saya tak pergi lari pun. Pergi sarapan pagi di gerai dekat Teluk Muroh.


Pertama kali saya cuba roti sarang burung ni. 😋

Suami pula pesan roti kosong sekeping, dan mi kari.


Hari ni, saya masak ayam bersambal.


Alhamdulillah.... atas segala rezeki, dapat makan sedap-sedap.

Walaupun ramai yang berseronok kerana cuti sekolah bermula. Tapi saya tak berapa nak seronok, sebab anak kedua ada kelas tambahan hari ni, esok, dan hari-hari. Hahahaha... dia tingkatan 5, SPM tahun ni. Huuu.... tak kemana la kami.

Orait, jumpa lagi, ye. 😊

All the Bright Places

 Khamis, 5 Zulkaedah 1444 Hijrah.


Saya dah pernah tengok cerita ni. Tapi, dengan anak-anak. Tak berapa tumpu perhatian sangat pada TV. Semalam, saya boleh tertengok semula. Sedih pula. Mengalir juga air mataku ini, masa Finch pergi. Layan sorang-sorang. Anak-anak dah tidur. Boleh fokus pula pada movie, padahal saya biasanya bila tengok tv waktu malam, akan tidur, end up tv yang tengok saya. 

Cerita ni, adaptasi dari novel All the Bright Places, karya Jennifer Niven.

Sedih ceritanya... satu pembaziran, saya rasa. Apa yang membazir? Ish, camana seseorang boleh pilih untuk tamatkan riwayat sendiri? Suicidal? 

Finch ni tolong orang. Dia tolong Violet daripada terjun jambatan. Dia selalu bagi Violet happy. Violet sebelum tu, dalam kemurungan, sebab baru lepas kematian kakaknya, dalam kemalangan. 

Dia orang jadi partner dalam satu projek sekolah. Finch bawa Violet pergi explore wonders atau tempat menarik di sekitar kawasan dia orang.

Finch ni baik. Tapi ada masalah sikit la, mentalnya. Dia kadang-kadang, hilang, tak dapat dihubungi oleh kawan-kawan. Budak-budak sekolah pun panggil dia, freaks (pelik).

Saya rasa macam boleh relate pulak dengan cerita ni. Masalah mental ni, bukan boleh dibuat main. 

My true story

Once upon a time, saya pernah didiagnosed ada post partum depression. Orang kita panggil meroyan. Lepas lahir anak sulung. Cuma, saya tak macam Finch yang rasa nak hilang dalam dunia ni. Saya rasa, macam nak bunuh orang. Saya selalu biar baby saya nangis lama-lama, sebab saya tak mahu jaga.

Saya pernah buat sesuatu pada baby saya, di mana saya sangat bersyukur kini, sebab Allah tolong saya dan baby sangat-sangat. Saya tak nak tulis di sini, tapi memang benda tu bahaya pada baby saya.

Sebenarnya, jauh di lubuk hati, saya tahu, benda tu tak elok. Tapi kita tak boleh kawal. Macam syaitan tu menguasai diri. 

Dalam cerita All the Bright Places ni, Violet ada tanya Finch, apa masalah? Dia boleh tolong. Tapi Finch ni betul-betul tutup diri dia. Entah la, mungkin lelaki kan, ego tinggi sikit. (Ops, sori, pembaca lelaki blog saya, yang saya hormati sekalian). Dia kata, dia tak perlukan apa-apa pertolongan dan halau Violet keluar rumah.

Lain bagi saya, saya rasa perempuan lebih open up. Saya cakap pada kakak sulung saya, saya ada masalah. Saya cerita semuanya. Terus kakak sulung saya refer saya pada doktor psiakiatri. Adalah dalam 2-3 sesi juga, saya pergi jumpa doktor pakar. Masa tu la, saya kena diagnosed ada post partum blues. 

Saya cerita ni, supaya kalau ada orang di luar sana yang ada masalah, kena minta tolong, tau. Jangan diam je. Jangan duduk sorang-sorang. 

Lepas 2-3 sesi, saya decided untuk berhenti jumpa doktor dan nak pulihkan diri sendiri. Kesian kat family kita, yang bayar mahal-mahal, nak tengok kita sembuh, korbankan masa dia orang, hantar kita jumpa doktor. 

Macamana saya sembuh

Took years actually. Sebab kadang fikiran ok, kadang mentally tak stabil. 

Camana? Solat! Tu je ubatnya. Saya buat mana mampu mula-mula. Masa tu, bukanlah mudah. Kita baru sarung telekung, baby dah nangis, bangun tidur. Kita tengah buang air besar, anak pergi tolak selak luar pintu bilik air, kita terkunci dalam bilik air. Struggle kita, Allah je la yang tahu. Kita semua pun, ada struggle masing-masing dalam hidup kan. 

Surah Al-Ankabut, ayat 2

Maksud: Adakah manusia fikir bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," , dan mereka tidak diuji?

Buat mana mampu tu, cuba solat 1 waktu dulu. Ambil baby steps, untuk berubah. Tak boleh buat banyak benda satu masa. Saya tulis things to do, dalam diary. Sampai ke hari ni, saya masih tulis senarai Things to do today. Ia membantu tidak serabutkan otak saya. 

Finch, dalam cerita All the Bright Places tu pun, ada sticky notes, dia tampal kat dinding, supaya dia boleh fokus. 

Lama-lama, semuanya jadi mudah. Tak ada benda yang kekal. Susah tu, sekejap. Sementara je. Ia akan berlalu. 

Mengaji pun membantu. Hati jadi tenang bila baca Quran

Surah Al-Maidah, ayat 16. 

Maksud: dengan Kitab itulah Allah memberi petunjuk kepada orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan yang selamat, dan (dengan Kitab itu juga) Allah mengeluarkan mereka daripada gelap-gelita kepada cahaya dengan izin-Nya dan menunjukkan ke jalan yang lurus.

Saya hingga ke hari ini, saya lalui hidup one day at a time. Saya tak fikir lagi 5 tahun, lagi 10 tahun. Bagi sesetengah orang, ini adalah salah. Sebab bila kita gagal untuk merancang, bererti kita merancang untuk gagal. Pernah dengar, kan? 

Tapi bagi saya, saya tak nak fikir apa, dan bagaimana. Saya cuma berpegang pada hasil akhir. Hasil akhir, saya hidup dengan gembira, di rumah kecil saya, bercucuk tanam, makan apa yang saya ternak dan tanam. Itu je yang saya visualize. 

How, atau bagaimana, itu bukan kerja saya. Itu kerja Allah. Sebenarnya, sudah ada pun, apa yang saya nak. Cuma belum sampai pada saya. Insya-Allah, akan sampai, bila tiba masanya. 

Sebagai manusia biasa, saya kesal saya pernah lalui zaman gelap tu. If I could turn back time, saya tak mahu laluinya, sebab melibatkan family saya, orang yang saya sayang. Dan saya tak mahu apa yang saya lalui, dilalui oleh orang lain. Cuma dulu saya tak cukup kuat. Banyak benda di luar kuasa kita. Tapi Allah kan sayang kita. Sebab tu, dia uji.

Salah satu adegan. It's ok to get lost, as long as you find your way back.

Kita sedar, kita di laluan yang tak betul. Dan kita usaha untuk kembali ke pangkal jalan. Tak kisahlah berapa kecik usaha dan langkah kita. Orang tengok, macam remeh je. Macam kita pelik. Biar lantak lah. Orang akan tetap bercakap. Orang akan tetap jatuh hukum. Yang laluinya, kita. Kita je yang tahu. Tapi, kita tak sorang-sorang. Allah ada. Dia tahu, tau, semua benda.

Surah Al-Nahl, ayat 19.

Maksud: Dan Allah mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan.

Lepas solat, cakap lah dengan Allah. Minta hidup jadi senang. Minta Allah tanam iman dalam hati kita. Minta Allah kuatkan hati kita. 


Salah satu wonder atau tempat menarik yang Finch bawa Violet, adalah dinding yang tulis, Before I die, I want to.... (sila lengkapkan). 

Saya? Before I die, I want to be happy.


Alhamdulillah, I am happy now. Cuma nak cari redha Allah je. Tambah bekalan di hari kemudian. 

Kot-kot la ada orang cari bantuan, ada masalah nak bunuh diri, atau masalah mental yang lain, saya share ye, papan tanda saya jumpa di bawah.


Are you OK? Let's talk.

Masalah kesihatan mental BUKAN tanda kelemahan diri.

Dapatkan khidmat kaunseling. 

019-2627092

Waktu operasi: Isnin hingga Jumaat

8 pagi hingga 6 petang

Ha? Takde kredit? Malas nak call? 

Senang je, ada benda free. Ambil wuduk, pergi solat. Minta tolong dengan Allah.

Jangan fikir jalan singkat, dengan bunuh diri. Life is precious. 

Dalam Islam, bunuh diri adalah perbuatan dosa besar, yang dilarang agama kita.

Surah Al-Nisa, ayat 29

Maksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil (tidak benar), kecuali dalam perdagangan yang terjadi atas dasar suka sama suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya, Allah Maha Penyayang kepadamu.

Dari movie ni, ada satu quote menarik.

There are bright places, even in dark times. And that if there isn't, you can be that bright place with infinite capacities.

Kita sendiri makhluk Allah, yang diberi akal yang menakjubkan. Jika kau fikirkan kau boleh, kau hampir boleh melakukan. Fikir yang baik-baik. Maka yang baik-baik akan datang pada kita. 

Panjang saya cerita pasal movie All the Bright Places ni. Terima kasih kerana membaca. Dah tu, jangan tengok la cerita ni. Sedih je. 

Hehe... ok. Jumpa lagi. 😊

Marilah join saya lari

 Rabu, 4 Zulkaedah 1444 Hijrah.

Rasa nak lari, tapi tak ada motivasi? 

Marilah join saya lari sama, dalam Runliga Malaysia Challenge 2023.


Tarikh event: 17 Ogos hingga 16 September 2023

Background

Tahun 2021, saya join.

Tahun 2022, saya tak join. 

Tahun 2023, saya kembali join.

Gambar tahun 2021

Ini event virtual. Korang lari lah di tempat masing-masing. Lepas lari, submit run. Boleh secara manual  atau boleh link kan aplikasi jam sukan dengan app Biib.

Saya pilih kategori 25 km. Jadi, selama sebulan, saya cuma perlu lari cukup 25 kilometer, untuk bergelar finisher. Tapi, saya kan giler lari. Pagi dan petang saya lari, sampai berat saya masa tu, turun ke 54 kilogram sahaja. Suami cakap, macam peluk tiang. Rasa tulang, isi dah takde. 

E-certificate Runliga 2021

Jumlah jarak saya berlari adalah 415 kilometer. Sekaligus, rekod peribadi saya, paling banyak berlari dalam sebulan, seumur hidup saya.

Kenapa perlu join?

  • Sebab bila kita dah bayar, dan daftar masuk, nak tak nak, kita akan ada rasa perlu lari.

  • Dapat kenal ramai runners, yang baru mula, yang sudah berpengalaman, sebab ini adalah aktiviti berkumpulan. Bila daftar, anda perlu pilih pasukan.

  • Tak semestinya berlari. Berjalan dan hiking juga boleh dikira jaraknya.

  • Kalau submit manual, perlu ada peta. Jadi, aplikasi MAPMYRUN boleh digunakan. (Free je, download)

Cara untuk join:

Daftar online. Klik sini.

Klik Join As Team.

Ada 3 kategori untuk anda pilih. Sama ada 25 km, 150 km atau 550 km. Saya pilih kategori 25 km sahaja. Kena habiskan tau, sebab bila anda tak habis jarak yang anda pilih, satu team tak dapat title finisher. Gitew... apa yang penting? Kerjasama! 💪🏃

Pilih kategori team GRT - Casual/Grassroot Team & Others

Pilih team Malaysia Women Runners. Masukkan password "mwr23"

Isikan butiran peribadi anda.

Di bahagian Referral ID, masukkan NAZL50. Di bahagian Discount Code pun, masukkan NAZL50. Boleh dapat diskaun RM3, jika gunakan referral code saya.

Buat bayaran, dan settle.


Kalau sehari cuma lari atau jalan 1 km, 25 hari dah siap. Santai-santai. Ikut masa bila kita free, larilah. 

Jika anda berminat la ye. Benda ni, sangat bahaya. Sekali anda join, nanti akan rasa nak join lagi. Haha... tapi apa salahnya. Yang dapat manfaat, kita juga. Lari untuk sihat.

Ok. Itu saja saya nak war-warkan. Jemputan masuk event lari virtual.

Jumpa lagi, ye. 😊

P/S: Lelaki pun boleh join, berlari untuk team Malaysia Women Runners. Cuma, tak boleh masuk group wassap je. Hehe... 

Bihun dia sedap

 Selasa, 3 Zulkaedah 1444 Hijrah.

Semalam, pay day. Jadi, kena keluar untuk uruskan bayar ansuran kereta dan kredit kad. Walaupun dah masak lauk di rumah, encik suami ajak lepak ngeteh. Tak kan ngeteh je kot, dinner sekali la. Kami pi Restoran D' Nur Qaseh.


Lain macam bihun goreng di atas. Bila bihun goreng ni sampai, sebukit rupa dia. Suami saya dah bahagi dua siap-siap, baru saya ambil gambar. Sini kalau pesan makanan, kena kongsi makan. Kalau sorang makan, boleh tak habis. Sedap bihun goreng dia. 😋


Hidangan sampingan adalah kentang goreng.

Pagi tadi, saya pergi berlari, seperti biasa.


Saya slowjogging, sampai cukup 10 ribu langkah. Dapat 5.57 kilometer. Saya sampai awal di tempat lari, sebab tak perlu hantar anak. Suami yang hantarkan, sebab lepas tu, dia pun ada program riadah ofis dia. 

Sampai rumah, saya sempat siram pokok dan sidai baju. Bila suami balik dari program riadah dia, kami pun pi sarapan di Restoran Nasi Ulam Lumut.


Saya makan nasi putih, lauk ayam bakar, sayur bayam campur petola dan sambal belacan. Alhamdulillah.

Korang time sarapan, makan apa, biasanya? 

Orait. Jumpa lagi, ye. 😊

Ikan keli sambal hijau

 Isnin, 2 Zulkaedah 1444 Hijrah.

Semangat! Semangat! Jangan biarkan monday blues menyelubungi anda... kikiki... 

Halo, kucing comei 😍

Dah lama tak pergi Teluk Batik, jom hari ni, kita pergi lari di sana.

Larian la sangat, kan. padahal berjalan bak itik pulang petang jer, sejauh 5 kilometer.

Alhamdulillah...

Lepas jalan-jalan, saya lompat tali sekejap. 


Sehelai daun, mewakili 100 kali lompatan.

Selepas setiap 100 lompatan, berhenti sejenak, ambil nafas, atau regangkan kaki sebentar.

Ada 10 helai daun dalam gambar di atas, bermakna, pagi tadi, saya buat 1000 lompatan. 

Dengan ini, saya mengambil keputusan untuk tidak lagi lompat tali, sebab?

Sakit lutut den! 😅

Dah la tu, saya berlari dan yoga je la. Faktor usia. Sayang lutut.

Balik rumah, saya masak ikan keli sambal hijau.


Ikan keli, digoreng oleh suami saya. 

Saya buat sambal hijau. Saya tak campur ikan keli dalam sambal, sebab kami lebih suka makan ikan keli yang rangup. Bila nak makan, baru letak sambal atas ikan. 😋

Selamat bekerja, ye, pada pembaca blog sekalian.

Sudah makan ke? Makan apa? 

Jaga diri, dan jumpa lagi... 😊

Pekena mi kicap

 Isnin, 2 Zulkaedah 1444 Hijrah.

Sudah masuk bulan Islam baru. Masa Syawal hari tu, betul-betul raya sampai ke penghujungnya, kan. 

Suami saya masih dapat jemputan jamuan raya hari Sabtu lepas. Saya tak ikut dia pergi. Tapi dia balik malam tu, bawa juadah raya. Saya pula, tak tidur lagi. Apa lagi, kita midnight snacks la! 😁


Lemang sebatang, serta rendang daging. Ada 2 jenis rendang, suami bawa balik. Satu rendang kering, satu lagi ada kuah (dalam gambar atas). Keduanya rendang daging. Rendang kering, terus simpan dalam peti ais. 

Ish ish ish.. dah lama tak makan pukul 11 malam. Makan lemang dan rendang pulak tu. 😋 Tolak ke tepi nilai kalori. Tapi saya takde la makan habis lemang tu. 4-5 potong juga masuk perut. 

Tu cerita malam hari Sabtu. Hari Ahad pula, hujan sejak pagi. Jadi saya pun tak pergi lari. Hujan sekejap lebat, sekejap renyai.

Saya pergi sarapan dengan suami, di tempat baru. 

Gambar dari google. Masa saya sampai, hujan lagi. Malas bawa keluar henfon.

Mee Kari Lagenda, nama kedainya. Terletak di Sitiawan. Menu yang ada, termasuklah pelbagai jenis mee, pelbagai jenis tosei dan nasi lemak.


Saya pesan mi kicap. Datang sekali dengan sup fishball dan crabstick. Rasa mi kicap ok, boleh tahan. Dalam gambar tu, kicapnya ada di bawah. Saya belum gaul rata.


Suami pula pesan mi kari. Rasa boleh tahan.

Kedai ni, ada 2 pintu. Dua-dua belah boleh duduk, makan. Kami turut bungkus 2 keping tosei biasa dan sebungkus nasi lemak ayam merah untuk anak di rumah. Tak pernah saya jumpa tosei orang melayu buat, perempuan pula. Kalau makan tosei kan, di restorak mamak je. Anak kata, tosei dia sedap. Ok la tu, lain kali boleh repeat. 

Gambar dari google

Ni salah satu ruang makan yang pengunjung boleh duduk.

Butiran kedai:

Mee Kari Lagenda

65, Jalan Terus Maju 1

Taman Terus Maju

32000 Sitiawan, Perak.

Buka 7 pagi hingga 7 malam

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 😊

Happy birthday to me...

 Sabtu, 29 Syawal 1444 Hijrah.

Semalam birthday Abe Kie. Hari ni, besday saya. Panjang umur, kita ngeteh ye, sambut birthday sama. Ajak SK sekali, birthday SK, 13 Mei, kan. Hehe...

Saya memang niat nak lari lama-lama pagi tadi. Hadiah untuk diri sendiri. 


Larian pagi Sabtu, adalah 15.26 kilometer. Terasa faktor usia, kerana pace 10 sahaja. Apa pun, syukur Alhamdulillah, sebab dah lama tak lari jarak lebih 10 kilometer.

Tengah buat regangan lepas lari, terima panggilan ada orang nak buat delivery. Saya pun segera pulang ke rumah. Delivery dari kakak sulung. 😍

Abaikan gunting trim pokok kat belakang tu, ye.

Ini dia, jambangan coklat dan rempah ratus jenama Adabi, serta belon. Tot tu, nama panggilan kakak-kakak pada saya. Nama saya, Nurhayati. Sebutan ringkas, Tot. 😁


Tudia.. ada coklat kit kat, dairy milk, coklat crispy, serbuk kunyit, sup bunjut, pelbagai rempah memasak, seperti serbuk kari, rendang, perencah sup, perencah nasi goreng, jenama Adabi. Tak payah beli dah. Kakak sulung kata, mak-mak, kena bagi hadiah untuk masak. Alhamdulillah...

Ada lagi, delivery. Menjelang tengahari, ada penghantaran dari kakak kedua pula.


Jambangan belon juga.


Ada coklat ferrero rocher, kit kat, dairy milk dan tango.

Turut ada dalam delivery, sebiji kek harijadi.


Haaaa.... 😍😋 terharu la, kakak-kakakku ini. Susah-susah je. 

Ucapan dari kakak kedua. Gambar masa kami kecil. 


Gambar throwback masa kami bertiga masuk Hulu Langat Marathon, tahun 2018. Inilah marathon pertama saya. Sepanjang 42 kilometer tu, saya jalan laju jer. Cut-off time 10 jam. Saya sampai garisan penamat 8 jam setengah. Hehe... Syok betul waktu tu. Acara larian yang dia punya water station bukan setakat air, malah ada buah-buahan seperti tembikai, durian, nangka, rambutan. Setiap water station, lain-lain buah. Kenangan manis. 

Alhamdulillah. Orang memberi, kita merasa. Sekadar ucapan sahaja pun sudah cukup. Dah tua-tua ni, malu nak terima hadiah. Kita jumpa, makan-makan je pun sudah cukup baik. Tapi dia orang semua duduk jauh. Kakak sulung di KL, kakak kedua di Kuching. Panjang umur, kita jumpa lagi. Air dicincang tak akan putus. 

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 😊