Salam Maulidur Rasul

 Cuti umum. Salam Maulidur Rasul kepada semua pembaca sekalian.


Semoga kita dapat tingkatkan amalan kita menjadi hambaNya yang lebih baik, lebih banyak berselawat kepada Rasulullah SAW. Bukan saja pada hari maulidur rasul ni, bahkan hari-hari. 

Saya sepatutnya update blog ni, semalam. Tapi semalam sedikit sibuk. 

Semalam hari Rabu, ada Hari Interaksi di sekolah anak-anak. Jumpa cikgu, bincang keputusan periksa anak. Saya jumpa cikgu anak kedua, manakala suami jumpa cikgu anak bongsu. Kebetulan, suami saya off kerja semalam. Jadi, bahagi tugas. Cepat siap. 

Lepas tu, kami pergi cari barang-barang untuk sambutan Maulidur Rasul di peringkat sekolah anak-anak, esok, Jumaat. Anak kedua perlu sediakan banner dan 'sign board' yang boleh dibawa semasa perarakan. Saya pergi beli kain putih di Kamdar. Lepas tu, singgah kedai peralatan sekolah, kedai Chiew, beli plastik tebal untuk buat 'sign', marker, plaster, peluru glue-gun, etc. Lepas tu, tadi di Kamdar, sudah cuba baju melayu untuk anak bongsu. Tapi dia tak muat, walaupun saiz 3XL. Ye, anak bongsu saya walau pun paling kecil, tapi badan dialah yang paling besar di kalangan abang-abangnya. Kena pakai baju tema gelap. Jadi, si bongsu minta beli baju melayu warna hitam. Cari pula ke kedai baju raya. Ada jumpa, baju melayu. Yang ni jenis besar, yang cuba tadi di Kamdar, jenis body fit, itu yang tak muat. Alhamdulillah, jumpa. Kan lebih baik baik jika pihak sekolah bagi pakai baju melayu warna apa yang ada. Tapi sebab ada tema, dah kena cari baju melayu. Fikir positif, si bongsu sudah ada baju raya untuk tahun depan. Tadi masa dekat kedai Chiew, sudah beli marker yang boleh ditulis atas banyak permukaan. Tapi untuk banner kain, pergi Mr. Diy pula, cari spray dan cat. 

Sewaktu entri ini ditulis, anak kedua dibantu oleh kawan-kawannya, sedang mengusahakan banner untuk perarakan esok. Senang, buat kerja di rumah saya. Lebih luas. Saya boleh nampak. Banyaknya benda kena buat. Banyaknya keluar duit. Saya selalu rasa nak pindahkan anak ke sekolah lain. Sebab sekolah amanah ni, lain macam sikit. Banyak pakai duit mak bapak. Kalau sekolah biasa pun takpe. Saya selalu harap kalaulah macam zaman dulu. Kita tak perlu buat apa-apa pun untuk sekolah. Cuma perlu belajar rajin-rajin, dapat semua A, cikgu-cikgu dah happy. Tapi zaman sekarang, projek sekolah pun, kita kena beli sendiri barang. Lepas tu, anak tension, tak boleh siap projek, barang tak cukup. Lepas tu, dia tak mau pergi sekolah, sebab projek tak siap. Lepas tu, cikgu tanya kenapa anak tak pergi sekolah. Lepas tu, saya cakap, sebab barang tak cukup, kerja tak siap. Lepas tu, esoknya, baru cikgu keluarkan barang dari stor. Lepas tu, anak balik sekolah, dia cakap, ada barang, kena minta. Semua barang ada di sekolah. Tapi yang cikgu pi sembunyikan tu buat apa, tak tau. Quota, satu orang satu barang. Kalau awak buat silap, barang tak cukup, suruh beli sendiri, agaknya. I do not know. 

Dah la masukkan anak aliran sains tulen. Walaupun budak tak mau. Dari yang sulung lagi. Sebab saya ada sedara kerja cikgu juga. Abang ipar yang juga seorang cikgu, cakap, kalau kat sekolah dia, result macam ni, tak boleh masuk sains tulen. Tapi sekolah amanah dia ni, masukkan juga si sulung aliran sains tulen. Lepas tu, bolehlah. Alhamdulillah, lulus semua, kena hantar tuition, bagai. Budak lelaki, ok ler. Dengan si anak kedua ni, kan semalam hari Interaksi kan, anak saya gagal 4 subjek, iaitu Pendidikan Islam, Kimia, Matematik Tambahan dan Asas Kelestarian. Fizik walau pun dia lulus, setakat lepas pagar la. Nampak sangat dia tak boleh masuk aliran Sains Tulen. Dah cakap dah dengan cikgu dia, masa awal form 4, cikgu dia cakap, dah tak boleh tukar aliran. Sebab result anak kedua masa form 3 ok. Lepas tu, anak kedua cakap, yang masuk aliran sastera/seni, kelas ramai orang, sampai 30 lebih. Dia masukkan je, budak-budak ni. Cikgu yang tentukan. Sebab kalau ikut kemahuan budak-budak, tak ramai la yang masuk aliran Sains Tulen. Huhuhu.... 

Saya tulis benda betul ni, yang berlaku hari ni, di sekolah. Maaflah. Bukan niat saya nak memburukkan sesiapa. Sebab kita bukan hantar anak satu sekolah. Pernah merasa sekolah lain. Kita dulu pun lalui benda yang sama. Tapi itulah... realiti sekarang. Saya selalu doa anak tidak putus asa dan bersemangat untuk pergi sekolah. Baca yassin, bagi anak minum air yasin, saya percaya, doa seorang ibu tiada hijabnya. Saya tak mengharap cemerlang, asal dia buat yang terbaik yang dia mampu, saya sudah happy. Kalau satu jalan tak sesuai, ada jalan lain yang kita boleh pilih. Make the best of what we have. Kita tak boleh control orang lain, tapi kita boleh kawal tindakan kita. Reaction kita. Entah apa agenda pihak lain, lantak pi la. Asal anak habis SPM, ok dah. Langkah seterusnya, kita fikir kemudian. Jika anak korang pergi sekolah dengan happy, maka korang memang patut bersyukur. Sebab anak kedua saya ni, dah tak ada minat untuk belajar, dia pernah broke-down dan suicidal, sebab sekolah. Sistem kita sekarang. What to do? Itu yang saya cakap, buat mana mampu je. Habiskan sekolah je. Saya dah malas dah pergi jumpa cikgu, pergi mesyuarat PIBG. Dulu memang, saya pergi. Tapi sekadar bercakap je la. Cikgu pun ditekan oleh pengetua, kan. Pengetua pun, ikut cakap orang atas, kan? Hmmm.... ibarat lagu Bangau oh Bangau. Orang ni salahkan orang ni, orang tu salahkan orang tu. Sampai bila pun tak habis.

Banyaknya cerita pasal ni. Tapi tajuk entri, Salam Mulidur Rasul. Ye, realiti. Pahit dan sukar untuk dilalui. Tapi Insya-Allah, boleh. Allah kan ada dengan kita, kan? 

Banyak lagi benda baik-baik dalam dunia ni. Benda tak elok tu, anggaplah ujian untuk menguji kesabaran kita. Orang pun ramai yang baik-baik, walaupun ada orang tak berapa nak cerdik atau tak berapa baik yang kita jumpa. Pun ujian juga untuk kita. 

Masa yang ada, haruslah dimanfaatkan. Lagi-lagi bila suami tak kerja, marilah kita jalan-jalan cari makan, happy-kan diri. Semalam saya dan suami ke Aeon Taiping. Tu ler, orang Manjung pi Aeon Taiping. Padahal ada je Aeon kat Manjung ni. Tapi sana, lagi banyak tempat makan best, tak macam sini. 

Cubalah makan kat sini... nama kedai, Moza Crunch. Specialty dia, corndog! Macam-macam jenis corndog ada. Apa itu corndog? Kalau corndog biasa, ia adalah sosej yang dicucuk dengan lidi, kemudian dicelup dengan tepung dan serbuk roti, dan digoreng. Itu yang biasa. Kalau yang jenis ada keju, dia cucuk sosej, kemudian keju, eh ye ke apa saya cakap ni? Alaaa, tapi dalam dia ada sosej dan cheese la. Biasa beli untuk anak-anak. Tapi kami tak pernah makan, tau. Tu ler, bagi anak makan sedap-sedap, mahal, bagi dia orang happy dalam hidup dan bersemangat pergi sekolah. Mak bapak makan nasi ngan ikan kering bulu ayam. Eh!

Corndog cheese dan onion ring.

Corndog original Moza namanya, harga RM10.90, sementara onion ring berharga RM5.99.
Ok ke, encik? Sedap ke?

Tudia.. dia tarik cheese dia...

Hehe... bolehlah tahan. Masa buat pesanan, adik tu tanya? Nak letak semua sos ke? Letak je, saya cakap, tapi sikit-sikit. Atas corndog tu, dia letak mayonnaise, sos blackpepper dan sos cili. Kenyang makan sebiji corndog. Share berdua.

Alhamdulillah. Banyak nikmat dan rezeki dariNya. Cuma kita perlu sedar dan bersyukur, apa yang kita ada. 

Kita jaga hubungan kita dengan Allah. Dan Allah akan jaga hubungan kita dengan orang lain. Things easier said than done. Tapi kita cubalah ye, chaiyok, berusaha! 

Jumpa lagi... 😊

Doghoyan = durian

 Hujan lagi pagi ni, waktu nak hantar anak ke sekolah. Lepas drop anak-anak di sekolah, saya pandu kereta balik rumah, tak boleh lari, kan. Sedang menyapu, suami whatsapp dia tak jadi pulang lewat, tak perlu masuk OT. Saya sudah masak nasi goreng pagi tadi. Saya masuk dapur, goreng 2 biji telur mata, boleh makan dengan nasi goreng. 

Suami pergi kerja semalam naik motor. Hujan masih belum berhenti. Waktu dengar bunyi motor di hadapan rumah, saya buka pintu. Nampak suami pakai plastik sampah warna hitam, cover baju supaya tak basah. Baju hujan ada di rumah, tak pernah pakai. Plastik sampah juga yang dipakainya. 

2-3 hari lepas, suami ada bawa balik 2 biji durian. Ada pokok durian di pejabat suami, banyak gugur buahnya. Kali ni, menjadi, buah. 2 minggu lepas pun, dia ada bawa balik juga, 2 biji. 

2 biji durian

Musim durian yang lepas, banyak buah yang rosak, kena tebuk dek tupai. Suami cerita, orang yang jaga landscape pejabat telah memasang kepingan zink atau aluminium pada pokok. Jadi, tupai tak boleh panjat pokok durian tu. Hasilnya, nah... semua kakitangan pejabat berpeluang bawa balik 2-3 biji durian bergilir-gilir. Alhamdulillah, rejeki, makan durian free.

Sudah dikopek, masuk tipuware.

Kopek sebiji dulu. Makan sikit-sikit. Suami jamah seulas dua. Saya yang habiskan. Memang saya je la yang boleh makan durian di rumah ni. Anak-anak tak makan. Suami tak boleh makan banyak pula. Bila dia makan banyak durian, badan dia rasa lain macam, berpeluh, ada rasa mabuk. Faktor usia. 

Ok la rasanya. Saya suka durian kuning-kuning macam ni. 

Selain pokok durian, ada pokok mangga, rambutan dan ciku di pejabat suami. Rambutan saya tak minat, nanti makan je, batuk. Pejabat di luar bandar macam ni la. Untungnya, boleh makan buah. Tapi ada kala, terjumpa ular. Ular tedung, ular sawa pun pernah jumpa. 

Sekian cerita durian a.k.a doghoyan, bak kata orang Perak. Korang suka makan durian tak?

Jumpa lagi, ye. 😊

Minggu ketiga di bulan September

 Hujan di hujung minggu. Best juga. Minggu ni, ada 3 hari, hujan waktu pagi. Jadi, 3 hari juga saya tak pergi lari. Bila hujan, lepas subuh, boleh mengaji kejap. Kalau hari anak sekolah, memang tak sempat. 

Larian Selasa lepas.

Seronok dapat kembali lari di tempat sendiri, santai-santai, tengok matahari naik. Sambil lari, sambil fikir pasal anak kedua. Dia ada masalah. Macam tertekan. Anak pula jenis pendiam, bukan jenis bercerita pada kita. Lain anak, lain peel-nya. Yang sulung, pok pek pok pek, mulut, boleh dibawa bersembang. Yang jenis pendiam ni, susah sikit nak bantu. Selalu berdoa semoga anak tidak putus asa dan lemah semangat dalam hidup. 

Larian Rabu lepas.

Alhamdulillah, dapat lari. Bertukar-tukar tempat larian, ikut keadaan. Kalau hujan, tak boleh pergi ke padang, sayang kasut. Esplanade Lumut pun laluan dia digenangi air bila lepas hujan. Jadi, ke stadium mini MPM la saya. 

Saya sudah mula berIF semula (Intermittent fasting). Bila beberapa hari buat IF, sudah mula rasa tak boleh makan banyak. Contoh, macam di bawah.

Lempeng pisang cicah sambal, RM2.

Kalau pergi sarapan di Pasar Komuniti dan Karavan Manjung ni, lempeng ni wajib order. Sambal kow, melekat di tekak. Uhuk uhuk... 😁

Roti bakar telur goyang bersama kepingan ayam, RM8

Nasi gulai ikan tongkol. Ni suami beli, lupa tanya harga.

Pisang dan ubi goreng cicah sambal kicap, RM2.

Semua hidangan di atas, makan dengan suami ler. Lepas makan, terus rasa gendut. Memang rasa perut tak boleh makan banyak dah, bila kita buat IF ni. Saya buat 16 jam. Kadang capai sasaran. Kadang, terbabas juga, bila keluar makan awal. Sebab hujan kan, tak boleh lari, apa lagi, pi lepak makan ler. Hehe...

Ok ler. Selamat berhujung minggu pada semua pembaca sekalian. 

Have a great weekend! 😊

Bercuti di Haven All Suite Resort, Ipoh.

 Sudah lama juga percutian keluarga ni berlaku. Masa saya tidak aktif update blog. Masa saya sibuk lari pagi petang sempena Runliga Malaysia. Tapi saya nak cerita juga la. Buat kenangan. Sebab tempatnya cantik, bagi saya. Tenteram dan aman damai.

Hari Pertama

Pada 26 Ogos 2023, saya dan keluarga telah pergi bercuti di Ipoh. Tak boleh pergi bercuti jauh-jauh, kerana hari Sabtu, anak kedua ada kelas tambahan. Dia SPM tahun ni. 

Lepas saja anak kedua habis kelas hari Sabtu, kami pun bertolaklah ke Ipoh. Saya telah buat tempahan bermalam di the Haven All Suite Resort, Ipoh.

Sampai Ipoh, kami tuju ke Lotus Ipoh Garden dulu. Pergi Sports Direct. Masa tu ler, saya beli kasut lari baru, yang saya pakai untuk Ipoh 7 Bridges Run yang lepas. Anak-anak pun ada beli barang sikit. Kami makan tengahari dulu, nasi kandaq. Hehehe... tak habis-habis nasi kandaq ye. Peminat nasi kandaq, nak buat camne. 

Lepas siap shopping dan peruts sudah kenyang, kami pun tuju ke hotel. Pertama kali kami duduk sini. Macam apartment sebenarnya. Ada 3 blok. 

Kredit foto: The Haven Resort

Sebenarnya, tahun ni, suami saya dapat long service award, yang ke-25 tahun. Itu yang rejeki dapat duduk sini. Alhamdulillah. 

Kredit foto: The Haven Resort

Proses check-in berjalan dengan lancar, walaupun agak ramai beratur menunggu giliran. Sudah bayar online. Kami dapat blok di tengah-tengah, tingkat 21.

Dalam apartment kami, ada 3 bilik, 2 bilik air. Dapur semua lengkap ada mesin basuh, coffee maker, dan penapis air. 

Disebabkan masa kami cuti tu, saya masih dalam Runliga, jadi lepas Asar, saya pun keluar jalan-jalan di luar, untuk kutip mileage. Haha.. orang gila lari, kan. Meh tengok kita explore sekitar resort ini.

Dia ada safety card. Bukan saja untuk masuk bilik (apartment, maksud saya), dari lif pun sama, perlu ada safety card tu, baru boleh tekan butang dalam lif, nak pergi tingkat berapa.

Turun je, belakang, ada swimming pool. Saya tak pernah pergi cuti di tempat ada view gunung macam ni. So, lain macam rasanya. Hari pula agak mendung. Jadi, saya boleh berjalan ikut jogging track yang disediakan. Disebabkan 3 blok tu macam mengepung kawasan resort, jadi kawasan swimming pool tu tak panas, ada orang berenang. Sangat menenangkan, tengok hijau je, pokok-pokok dan gunung. 

Jambatan atas tasik, mengikut jogging track.

Lawa, kan... tak berapa panas. Walaupun saya keluar jalan pukul 5 petang. 

Ada pelantar terapung tengah tasik.

Awan mendung berarak kelabu. Saya agak, cuaca nak hujan. Untungnya siapa ada rumah sini. Pemandangan memang cantik dan menenangkan.

Bukit batu kapur tengah tasik

Sempat 1 loop saya pusing laluan jogging dia, hujan pun turun. Saya naik atas bilik, suami saya tanya, cukup tak kutip mileage? Saya cakap, saya baru dapat 1 km. Luas juga la ye, pusing 1 round laluan jogging dia, boleh dapat 1 km. Tapi kena elak orang la, tak boleh lari sangat, lagi-lagi di kawasan pool. 

Suami saya cakap, awat tak masuk gym? Ha ah yek. Saya lupa, resort ni ada gym. Anak kedua pun ikut saya turun bawah sekali, dia nak check-it-out, gym rupa camana. 

Memang cantik dan lengkap la. Gym terletak di tingkat 1, atas restoran atau dining area resort ni. 

Saya pun apa lagi, petang tu saya lari, cukupkan mileage. Pagi esoknya pun saya lari juga. Meh tengok video saya di gym.


Dalam video tu, boleh dengar bunyi orang lift weight, pastu letak, angkat, letak. Lengkap la, gym dia. Treadmill dia pun best. Stabil je. Treadmill mahal, kan. Treadmill kat rumah saya, murah punya. Lari banyak, dah meletup. Muhahahaha...

Lepas bersenam, naik atas, mandi, salin pakaian, kami pun keluar makan malam di luar. Cari kedai makan dekat-dekat. 

Alamak, muka saya blur pula.

Alhamdulillah. Susah nak dapat berkumpul lengkap satu family macam ni. Anak sulung pula tengah cuti sem. Makan kedai tomyam. Boleh tahan sedap. Dekat area Tambun juga. Bila duduk je, ada orang letak otak-otak atas meja.

Lepas makan, balik hotel. Jalan-jalan kejap, di trek jogging, sebab makan dinner banyak. Boleh tengok lampu malam.

Lampu dari 3 blok apartment di belakang.

Jalan waktu malam, dengar bunyi katak, bunyi cengkerik. Baru lepas hujan, kan, petang tadi.

Selfie depan dinasour, waktu malam.

Susah nak ambil gambar steady atas pelantar terapung ni. 

Sebab pelantar tu bergoyang-goyang. Silap-silap boleh mabuk laut ni. Eh, laut pulak, mabuk tasik.

Ha, ni ok sikit kot gambarnya. Tapi muka orang belakang blur pulak.

Habis jalan satu pusingan, teringat yang kami belum claim welcome drinks. Ada kupon welcome drinks, tau, diberi masa check-in tadi. Tapi sebab ramai orang, kami naik terus, tak ke tempat dining. Kami pergi la claim minuman selamat datang.

Bukan juice yang ada payung kecik, tau. Tapi minuman herba, campuran kunyit, halia, serai, lagi apa yek, saya lupa. Bagi saya, memang sedap dan menyegarkan! Tapi bagi anak-anak, rasa sikit, bluek, tak sedap, katanya. 😁 Mama la yang habiskan.

Malam tu, tidur lena. Pengsan kepenatan. 

Hari Kedua

Lepas subuh, saya sudah keluar berjalan-jalan kutip mileage. Gym dibuka pukul 7 pagi. Saya pun terus masuk gym. Anak kedua dan suami join saya, tak berapa lama kemudian. 

Saya baru tahu etika penggunaan gym. Walaupun tiada orang yang menjaga, atau suruh, tapi sebaiknya, lepas kita guna satu-satu peralatan tu, sudah habis guna, sudah mau balik, ambil kain pengelap dan cecair pencuci yang disediakan di front desk, lap lah bersih-bersih. Sebab tadi guna, peluh kita merecik habis, kena treadmill. Lap, ye. Nanti orang lain pulak nak guna.

Macam lepas kita makan di fastfood, takde orang suruh, kita kemas dan lap meja kan, macam tu la kat dalam gym juga. Ok. Hehe.. saya baru tahu ni.

Lepas bersenam dapat 10 km, naik atas, mandi, salin pakaian. Tapi pakai pakaian semalam juga, tak busuk, backpackers, kan, mana bawa baju banyak. Baju bersenam bawa 2 helai, baju jalan bawa satu jer. Kikiki...

Pemandangan dari balkoni adalah bukit yang menghijau serta tasik. Pemandangan di depan pun ada bukit juga. Juga kelihatan kawasan perumahan berhampiran.

Belakang saya tu, pemandangan hadapan resort.

Apa lagi, jom la pergi sarapan. Sampai pukul 10 pagi je. Buffet sarapan hotel sangat meriah ye. Macam-macam ada. Ada nasi lemak, bihun, kuetiau (saya suka ni, sedap, ada rasa hangit sikit, macam hawker tepi jalan yang masak), mee, spagetti, makaroni, stesen telur yang kita boleh request masak telur macam-macam jenis, cereal, roti bakar buat sendiri, standard la macam hotel biasa pergi ye. Oh, ada stesen mi/bihun/kuetiau celup, atau kari atau sup. Roti dan hasil bakeri pelbagai jenis ada.

Kopi, teh, jus, minuman pelbagai jenis. Banyak dan meriah, ok..... Ada 2 tempat dining area, luar dan dalam, sangat luas. Ada aircond, ada tempat open, ikut suka mana nak duduk. 

Tengah sedap-sedap makan, nampak artis, you! AC Mizal satu keluarga. Pun makan situ. Saya nampak masa AC sedang ambil kopi, dekat dengan meja kami. Wife dia memang orang Ipoh, tak silap, kan. Wahh... Shah Alam, peace yo!!!

Berapa banyak kali round makan tak tahu la. Sampai masa sarapan habis baru kami bangun. Lepas tu, dah gendut. Jom la, kita jalan ikut trek jogging lagi sekali.

Gambar waktu siang barulah nampak muka sorang-sorang dengan jelas.

Kenangan depan 3 blok.



Memang best la lalu ikut trek jogging ni. Banyak pokok-pokok.

Laluan pun agak luas. 

Nak juga ambil gambar depan dinasour, waktu siang pula.

Ada orang buat wedding pula hari Ahad tu. Nice, garden wedding. Sweet je, tengok. 

Lepas tu, kami naik atas, kemas-kemas barang, bersedia untuk check-out.

Kenangan, gambar dari balkoni. Bilik tingkat 21.

Selamat sudah percutian keluarga kami, 2 hari 1 malam di the Haven, Ipoh. Alhamdulillah. Banyak gambar keluarga je, yang saya ambil. Gambar hotel iaitu apartment kami, saya lupa nak ambil. Tapi memang luas la ye. Puas hati. Gambar makanan masa buffet sarapan pun saya boleh lupa nak ambil. Memang enjoy makan, tak pandang kiri kanan, lepas satu, satu. Mungkin juga sebab kalau pergi mana-mana, anak lagi 2 orang jarang nak ikut, jadi bila cukup korum kali ni, itu yang saya ambil gambar family je. Seronok, dapat lari sekejap dari rutin harian. Sebab rumah kami dekat laut, jadi bila jumpa pemandangan bukit dan pokok-pokok yang menghijau, memang hilang segala tekanan dan rasa sejuk perasaan dan suasana. Alhamdulillah. 

Itu je la cerita saya buat kali ni.

Jumpa lagi, ye. 😊

HTM Ipoh 7 Bridges Run 2023

Cerita tentang HTM Ipoh 7 Bridges tahun lepas, ada di sini.

Tak macam tahun lepas, di mana saya bertolak dari Lumut pada hari larian. Tahun ini, saya dan suami pergi ke Ipoh hari sebelum larian, dan bermalam di hotel.

Race Entri Pack Collection (REPC)  

Sabtu, 16 September 2023 - Bertolak dari Lumut sebelum tengahari lagi. Nasib baik pergi awal. Sebab hari roadblock sedunia di Perak. Jumpa dengan 3 sekatan jalanraya oleh polis. Dia punya kesesakan, panjang berjela, you. Sampai saja di Ipoh, terus tuju ke Stadium Indera Mulia, untuk ambil racekit. Ada 2 hari boleh ambil racekit, hari Jumaat dan Sabtu. Sesak ye, di stadium. Cuti umum Hari Malaysia, lepas tu ramai orang berkunjung ke event di stadium, ada hari kerjaya, karnival KAMU, booth-booth jualan. 


Dalam drawstring bag tu, ada nombor bib larian, baju event dan beberapa freebies seperti gula-gula garam, samples dan voucher dari Farmasi HTM.

Lepas ambil racepack, jalan-jalan tengok apa yang menarik di tapak karnival. Saya beli energy gel. Ada offer, beli 3 energy gel, harga RM20 sahaja.

N8 energy gel, satu (perasa mango) saya dah guna masa lari. Himalayan salt drops, free gift dalam racepack.

Masih terlalu awal untuk check-in di hotel, jadi pergi jalan-jalan dan makan tengahari dulu di Aeon Kinta City. 

Penginapan

Saya dan suami telah buat tempahan di Fair Park Hotel. Tak jauh dari lokasi nak berlari, iaitu di stadium. Pertama kali nak check-in di hotel, saya beratur selama 1 jam, hokey...! OMG! Kena sabor banyak-banyak.

Bila dah selamat masuk bilik, ok. Semua puas hati. Bukan nak duduk lama pun. Berbaloi dengan harga yang kami bayar, iaitu RM81 sahaja. Bilik standard. Aircond sejuk, ada tv, bilik air bersih, ada cerek elektrik boleh buat kopi, ada mini fridge, ada tingkap boleh view pemandangan belakang hotel. 

Masa kami keluar petang, masih ramai yang beratur nak check-in. OMG! Tak habis-habis lagi. 

Lokasi memang strategik. Banyak tempat makan. Dalam pukul 5 petang, saya dan suami pergi pekena nasi kandar Pelita, jalan kaki je, dari situ. Alhamdulillah, carbo loading dengan selamatnya, ayam goreng, nasi kuah campur, sedap hingga menjilat jari. 

Balik ke hotel, terserempak dengan staf hotel yang uruskan check-in pada pukul 3 petang tadi, tanya baru habis kerja ye. Dia kata, dia baru kerja tahun ni di hotel tu, pertama kali tetamu ramai sangat nak masuk. Hehehe... itulah penangan Ipoh 7 Bridges Run ye. Orang dari KL, dari utara, turun, untuk sertai larian ni. 

Hari Larian

Tidur 6 jam. Alhamdulillah, boleh berehat. Walaupun mata tak mengantuk, nak mengadap movie di bilik hotel, tapi off juga lah tv, sebab perlu bangun awal, iaitu pukul 2 pagi. 

Mandi, siap-siap, pukul 3 pagi, saya dan suami berjalan ke stadium. 

Saya buat warm-up. Lari sikit-sikit, bagi keluar peluh. 

Selfie satu, bersama suami tercinta.

Tepat pukul 4 pagi, berlepas la kami, peserta half marathon, iaitu sejauh 21.1 kilometer. Tiada false start macam last year. Bagus, semua lancar.

Biasanya, bila mula dilepaskan, saya boleh sampai pace 7. Laju la tu, bagi saya. Mudah terpengaruh dengan orang-orang lain. Kali ni, saya buat easy pace sahaja. Pace 8 paling laju. Takpe, biar orang potong kita. 

Kilometer 1.5. Kredit foto: Jurugambar rasmi Ipoh 7 Bridges.

Boleh nampak saya dalam gambar di atas? Memang meriah acara ni. Sentiasa dikelilingi orang. Sentiasa dipotong dan memotong orang. Hehe... dalam gambar di atas, saya di bahagian kanan, di belakang.

3 kilometer pertama memang paling susah bagi saya. Masa tu la, ada rasa lenguh betis la, macam-macam. Itu pasal kali ni, strategi saya, start easy, finish strong. Saya slow je. 

Lepas 3 kilometer, automatik kita terlaju. Tak sengaja pun. Tapi sebab enjin dah panas kan, jadi semua jadi lancar.

Kilometer 6. Kredit foto: Jurugambar rasmi Ipoh 7 Bridges

Cuaca tak panas, membantu juga. Sebab petang semalamnya, hujan di Ipoh. Kaki ok. Saya lupa nak cerita, saya beli kasut baru, tau. Sebab masa acara larian lepas, rasa kasut saya sempit. Saya beli 0.5 saiz lebih besar. 

Ni dia.. kasut baru.

Asics Gel Nimbus. Melantun-lantun saya pergi. Nama pun 7 bridges, jadi ada 7 fly-over atau jambatan. Masa naik jambatan, saya cakap kat kaki, ok, kita jalan saja la, naik bukit ni. Tapi kaki saya tak dengar cakap, ok. Dia berlari juga. Memang saya non-stop lari. Saya cuma stop di setiap water station untuk minum air. Lepas tu, sambung berlari. Tak jalan pun. Saya sendiri terperanjat dengan diri sendiri. Boleh jadi si Asics Gel Nimbus ni punya pasal. Boleh jadi sebab cuaca pukul 4 pagi yang dingin. Boleh jadi sebab energy gel yang saya ambil, dari masa ke semasa. Bila terasa-rasa macam nak penat je, saya ambil sikit-sikit. Lepas tu, tutup balik penutupnya. Itu yang saya suka energy gel jenama N8 ni. 1 saja sudah cukup bagi saya, untuk half marathon. Apa pun, Allah yang izinkan. Alhamdulillah, saya sangat happy, sebab kaki saya ok sepanjang acara larian ini.

Kilometer 11. Kredit foto: Jurugambar Ipoh 7 Bridges.

Saya ada potong uncle yang bongkok, yang tahun lepas pun dia ada masuk juga. Hebat la dia, tiap-tiap tahun masuk half marathon. Steady je dia lari. 

Kilometer 17. Kredit foto: Jurugambar rasmi Ipoh 7 Bridges

Ada satu water station tu, selain air mineral dan 100 Plus, ada aiskrim malaysia. Tapi saya tak ambil, sebab saya takut semput. Lagi pun bila tak makan apa-apa dan masuk benda sejuk dalam perut, takut gastrik pula. Telan air liur tengok orang lain makan aiskrim malaysia. 

Kilometer 17. Kredit foto: Jurugambar Ipoh 7 Bridges

Saya fokus je lari. Bila jambatan terakhir yang paling tinggi tu, dekat Hospital Pantai Ipoh, ramai yang berjalan. Tapi saya boleh slowjog tak henti-henti sepanjang naik. Entah kena sampuk apa kaki saya hari tu. 

Ada sorang amoi ni, dia potong saya, saya potong dia. Bila dia berhenti jalan, saya potong dia. Bila dia lari, dia potong saya balik. Bila dekat nak habis, dia datang tepi saya, dia cakap, "You're so good! Non stop lari." Pastu saya balas balik,"You're good too. So fast!" 

Pasal tu la saya suka masuk acara larian. Bukan kenal pun sesama runner. Tapi suka motivate each other. Kalau tengok kita slow, ada orang tanya, "Are you ok? " Best rasanya.

Ni, saya tak tau kilometer berapa. Kredit foto: Racetag

Tahun ni, ada sistem pengecaman wajah, di mana di website penganjur, kita masukkan muka selfie kita atau nombor bib larian kita, gambar yang ada muka kita akan keluar. Bagus, ada kemajuan. Tapi ada juga gambar-gambar di atas, saya cari di facebook pengajur, sebab banyak jurugambar di sepanjang laluan.

Saya takde tengok jam sangat. Tapi saya perasan saya sedikit laju dari biasa, bila dekat nak habis, nak sampai stadium semula, hari masih gelap. Masa sampai di surau bergerak pun, hari masih gelap. Sayup-sayup dengar azan. Tapi saya tak berhenti, sebab uzur. Kalau tak, boleh berhenti rehat sebentar. Tak best tau, lari bila sedang datang bulan. Sebab pakai tuala wanita, ada potensi untuk melecet bila berlari jauh macam ni. Kena sapu vaseline banyak-banyak di kawasan terlibat. 

Selalu bila sampai di garisan penamat, suami saya sudah standby untuk ambil gambar. Dia bajet saya buat half marathon, 3 jam. Tapi kali ni, saya terlaju, dia masih on the way ke lokasi. Lepas tu, saya lupa nak stop jam, sebijik macam tahun lepas, pun saya lupa. Ambil medal dulu, ambil baju finisher dulu, masa nak cari tempat lapang untuk menyejukkan badan, baru saya perasan, alamak, jam aku masih berjalan.

Data larian mengikut jam. Gambar diambil masa sebelum berlepas, pukul 3.32 pagi.

Alhamdulillah. Saya rasa sangat gumbira, sebab selamat sampai ke garisan penamat tanpa apa-apa kesakitan atau kecederaan. Cut-off time adalah 5 jam. Sangat lama, ok. Selalu acara half marathon, cut-off time biasanya 4 jam sahaja.

Baju finisher, medal dan bib larian.

Meh tengok result larian, mengikut masa penganjur.


Kategori women veteran, saya nombor 68 dari 149 orang. Yay! Hehe.. happy. 

Keseluruhan peserta half marathon, saya dapat nombor 749 dari 1299 orang.

Peserta perempuan pula, saya dapat tempat ke 114 dari 284 orang wanita yang sertai half marathon.

Syukur Alhamdulillah. 

Sijil penyertaan

Tamat sudah acara larian terakhir yang saya daftar untuk tahun ni. 

Last, gambar depan start/finish line.

Alhamdulillah. Suka, suka. 😊

Sekian, jumpa lagi, ye.

Baru keluar gua

 Lamanya tak update blog. Saya tak rasa nak menulis. Adalah terjadi beberapa benda yang tak best. Itu la yang saya 'masuk gua' tu. Entah. Rasa lebih selesa menyendiri. Bila bersama orang, orang kutuk saya. Ish, tak tahu la kenapa buruk benor sangka orang pada saya. Padahal saya tak berfikir begitu pun. Orang yang paling menyakitkan hati, adalah orang yang paling dekat pada kita. Bila jadi macam ni, saya lebih suka menjauhkan diri je. Tapi sebelum saya pergi, saya make point saya dulu. Bila point saya ternyata betul kerana disertakan dengan fakta yang logik dan boleh dipercayai, eh, boleh pulak dia 'corner' tang lain, tak ngaku silap. Heeee.... kelakor betullah perangai orang ni, tau. Lantak ko ler. Tapi hati saya sakit ler. Sebab orang dengan mudah cakap macam-macam pada saya. Sedangkan saya tak pernah cakap yang bukan-bukan pada orang. Saya sebelum berkata-kata, selalu fikir apa kesannya pada orang tu. Tapi orang lain simply cakap lepas pada saya. Terluka juga la. Terus menyendiri masuk gua. Aman sikit. Kat blog pun, tak ada mood untuk menulis. Itu la pasal saya senyap. Maafkan saya, ye. Terima kasih kepada pembaca blog saya yang email, bertanya khabar saya selama saya hilang, you know who you are. Saya sangat hargai. 💓 Terserlah terus sifat introvert saya. Huhu... ujian dari Allah. Sabor je banyak-banyak. Walaupun dalam hati saya, rasa macam nak terkeluor je ayat nak memulangkan paku dua keras pada pihak tu. Bagi sedas, bior padan muka. Tapi hakikatnya, saya tak macam tu. Kalau keluar juga, mau putus terus ikatan family. Itu ler rasa macam nak duduk dalam hutan je. Jauh dari orang. Trauma ler, dengan orang. Tolong doakan saya kuat, ye. Tajam sungguh kata-kata itu, kalah tajam pisau. Masuk gua kejap, salotape hati yang berkecai dan terluka. Ok la, tutup cerita benda tak best. Marilah kita cakap benda yang happy happy je. 

Rungila Runliga Malaysia Challenge 2023 sudah pun habis. Sebulan, dari 17 Ogos hingga 16 September. Ini lagi satu kenapa saya tak update blog juga. Penat lari, kumpul mileage. Dengan tugas di rumah dan jadi driver anak-anak lagi, jadi bila ada masa lapang, saya terbongkang je la depan tv, rehat. 

Hari-hari lari 15km, di bulan Ogos, lepas Runliga bermula. 

Mula-mula memang boleh buat 15 km, setiap hari. Lepas tu, lutut dan buku lali saya keluarlah tanda-tanda, macam kereta nak rosak kan, dia ada keluar tanda-tanda kan. Tak kan la saya nak tunggu rosak kot. Saya pun slow down la lari. Tak mampu wei.... jadi, tak tercapai la target saya untuk mengatasi Runliga 2021, iaitu sejauh 415 km. Apa nak buat. Dah tua. Kena bagi kaki rehat.

Jarak Runliga 2023, 357.9 km.

Alhamdulillah, jadi la. Banyak tu je dapat menyumbang untuk team saya, Malaysia Women Runners. Target individu, saya ambil 25 km saja. Target untuk potong rekod peribadi 2021 tak tercapai. Gitu ceritanya. Kaki nak pakai lama, kena dengar bila badan bersuara. Tapi team saya berjaya dapat Gold tahun ni! Malaysia Women Runners duduki tempat ke-10 dari 144 team yang masuk Runliga tahun ni. Ok la kan, group perempuan semua pulak tu. Yay! Alhamdulillah.

Nanti saya cuba blogwalking slow-slow ya, ke blog kawan-kawan, bila free sikit. Korang pekabo? Sihat ke? 

Jumpa lagi. 😊