Showing posts with label Animals and Insects. Show all posts
Showing posts with label Animals and Insects. Show all posts

Progress baik

 Cuaca panas sangat. Nak buat kerja belakang rumah pun malas. Kalau start kerja, mesti berpeluh-peluh punyalah. Lepas tu, kena mandi. Saya ada cakap hari tu, saya ada projek rumah hijau. Nak tanam pokok belakang rumah. Belakang rumah ni, ada kawasan ber-awning dan ada pintu. Jadi, kucing tak boleh masuk. Walaupun ada awning, ada kawasan terang sebab ada bumbung skylight. Dulu masa projek saya tanam sayur luar rumah, di sinilah tapak semaian saya. Menyemai biji benih. Di belakang rumah juga, ada banyak barang lama, yang sudah reput, yang berhabuk, yang sudah tidak digunakan lagi. Rak-rak buku semua sudah reput dan menunggu nak tumbang. Rak buku yang dibuat dari kayu, bila mereput, habuk-habuk kayu tu keluar. Jadi, itulah kerja saya semenjak saya tak update blog. Saya kemas kawasan barang-barang lama tu, supaya kawasan rumah hijau saya menjadi lebih besar. Setakat ini, masih belum siap. Ada lebih kurang 30% lagi kerja-kerja pembersihan kena buat. Lagi pun, sejak kucing rumah jumpa Cik T hari tu, masa itu lah saya terfikir tiba masa untuk mengemas. Bukan seekor, tau. Esoknya, ada lagi jumpa Cik T. 

Cik T masuk perangkap yang suami pasang.

Itu la. Nampak macam cencurut pun ada. Muncungnya panjang tu. Rumah saya pula dekat kawasan paya bakau. Jadi, bila ada tikus, takut 'benda menjalar' tu masuk rumah la. Macam dulu, pernah masuk sekali. Huhuhu... sebelum semua tu berlaku, lebih baik saya clearkan segala harta karun di belakang. 

Saya rasa sangat seronok pula bila dapat bercucuk tanam ni. Ada banyak biji benih beli dulu. Kita cuba je la, ye. Kita tanam apa yang kita nak makan. 

Baru semai biji benih.

Buat permulaan, saya semai biji benih kacang panjang, kacang botol, tembikai dan cili padi.

Selang beberapa hari, sudah mula bercambah keluar.

Kacang panjang mula tumbuh.

Jujurnya, saya tak pasti ini pokok kacang panjang atau kacang buncis. Sebab suami saya yang bawa balik benih dari ofis dia, dia ambil dari orang landskap. Ler... saya rasa, betul dah kacang panjang. Tapi suami saya cakap, kacang dia tak berapa panjang. Eeeee.... bertuah betul laki aku ni... pakai ambik je, bukan nak tanya detail kat orang tu, pokok apa. Kacang panjang pun tak kenal. Sebab dia bawa balik kacang yang sudah kecut. Orang landskap tu, biar saja kacang tua di pokok, untuk dijadikan benih. Suami saya minta sikit. Takpe la, kacang panjang ke, kacang pendek ke, boleh je, makan. 

Makin tinggi dia..

Kena rajin siram la, benih-benih yang disemai. Sebab kawasan belakang rumah agak panas, bumbung zink kan. Aduh.. cepat je tanah yang kita siram jadi kering. Tapi sini je la tempat selamat untuk bercucuk-tanam. Kalau kat luar, ada ancaman dari kera liar dan anak bulus. Nak kena menuntut ilmu dengan Wak Warisan Tani. Rumah Wak pun ada banyak kucing comel-comel, dia tak kacau pokok-pokok dalam kawasan rumah Wak ke? Kucing saya, terutama si Sasa (seekor je jantan, oyen warnanya) memang galak. Kejap dia panjat pokok sakura malaysia, kejap dia lepak atas tembok. Memang tempat dia berlarian la, di halaman rumah.

Makin melendut cari cahaya matahari

Bila anak pokok tu sudah tinggi macam tu, barulah saya transfer ke pasu. Setakat entri ini ditulis, sudah ada 5 pasu anak pokok kacang panjang yang sedang membesar. Alhamdulillah. 

Orait. Sampai sini saja saya dapat kongsikan. Saya akan cuba untuk blogwalking ke rumah kawan-kawan slow-slow, ye, bila free.

Jumpa lagi. Selamat bercuti. Hari ni, Tahun Baru Cina. 😊

Wordless Wednesday: Dapat hadiah

 

Pagi-pagi lagi, dia dah kasi kita hadiah.

Cik T hidup lagi 😅

Dia letak kat garaj, nak suruh kita tengok.


Riadah dan sarapan di Kluang Road Cafe

 Khamis, 18 Januari 2024 - Selepas hantar anak-anak ke sekolah, saya dan suami berlarian sebentar di Esplanade Lumut. Takdelah berlari sangat. Slowjogging pace siput sahaja. 🙈


Aman tenteram rasa di hati, dapat menghirup udara segar dan melihat matahari naik di ufuk timur.

Di rumah ada roti gardenia yang sudah sampai tarikh luput. Saya potong kecil-kecil, letak dalam plastik roti, dan bawa sekali pergi jogging. Nak bagi makan burung merpati.


Sekali je bagi, terus dikerumuni burung-burung, dan sekelip mata, roti pun habis. 😁

Hampir sejam kami jogging, kami pun pergi makan di Kluang Road Cafe, Seri Manjung.

Cafe ni sudah berpindah lokasi. Dulu, letaknya di depan padang orang jual lemang semasa hari raya, tapi sekarang sudah beralih ke sebelah Restoran Walid dan Ummi. Saya rasa, mereka satu keluarga. Sebab walaupun makan di Kluang Road Cafe, buat bayaran di restoran sebelahnya.

Lokasi baru ni, tempatnya sudah berhawa dingin. Sebelum ni di lokasi lama, restoran terbuka, tiada aircond. Jom tengok kami makan apa.


Saya suka pesan laksa johor bila makan di Kluang Road Cafe ni. Sebab nak buat sendiri, memang tak lah, pemalas punya orang. Laksanya ada di bawah kuahnya yang pekat itu. Sebelum makan, gaul semua sekali, dan perah asam limau. Sambal tu pula, saya campur sikit-sikit bila nak suap. 

Air pula, saya pesan white coffee panas. Sudah dihidangkan dalam cawan kopi klasik. Sebelum ni, kopi dalam mug, jadi dapat lebih. Ini, dalam cawan klasik, jadi kecil. Macam tak puas minum pula. Hehe... tapi waktu itu, lah, ye. 

Waktu entri ini ditulis, saya sudah berhenti minum air manis selama 4 hari. Yang ini, lain kali saya cerita ya, apa kesan yang badan saya alami setelah berhenti minuman manis. Tunggu.... 😊


Close-up menu gambar laksa johor. Harga RM9. Pada pendapat saya, laksa johor dia terbaik lah! 😋


Ini pula, hidangan suami saya pesan, iaitu kacang pool. Roti bakar dia tebal. Colek dalam kacang pool tu, memang sedap! 😋 

Memang puas hati makan di cafe Kluang Road ni. Alhamdulillah. 

Itulah cerita pada 18 Januari yang lalu. Bermula 23 Januari, saya sudah mula intermittent fasting semula. Tak boleh dah sarapan di kedai, sebab saya boleh makan agak lewat, hampir pukul 11 pagi macam tu. Huhu...

Ok lah. Jumpa lagi, ye. 😊

Hari ini hari Selasa

 Rutin biasa, selepas hantar anak-anak ke sekolah, pergi lari. Saya berlarian di Teluk Batik, pagi tadi. Lama dah tak datang sini. Ada ramai orang naik bukit. Yang berlari, tak ramai. Kera-kera pun dah tak banyak. Kalau tak, memang segerombolan kera atas pokok-pokok ataupun yang lintas jalan. Ada tandas awam dan surau yang sedang di-renovate. 

Larian 7 kilometer di pagi Selasa.

Alhamdulillah. Cuaca pun baik. Tak berapa panas. 

Kucing tompok di taman awam Teluk Batik

Saya perasan, ada orang datang bawa makanan kucing. Dia naik motor, bila dia turun je, beberapa ekor kucing sini terus datang pada dia. Bermakna, kucing-kucing sudah kenal, sudah biasa. Patut kucing sini sihat-sihat belaka.

Habis lari, singgah kedai runcit, beli roti. Balik rumah, selesai mandi, sidai kain, saya masuk dapur, goreng telur, makan dengan nasi goreng yang saya sudah sediakan awal pagi, sebelum subuh.


Banyaknya nasi saya ambil. Lebih separuh pinggan. Ada masukkan ayam goreng mamak, yang tak habis. Semalam ada beli 3 ketul. Ayam goreng mamak kan, ada warna merah. Hehe..

Alhamdulillah. Korang makan apa? 😊

Kepala lembu

 Sabtu, 17 Jun 2023 - Pergi pasar malam, bersama suami. Sudah lama, berbulan-bulan tak pergi pasar malam. 

Jalan-jalan, cari makan malam. Beli yong taufu, roti john dan nasi tomato.

Bila lalu di tempat barang-barang mentah, beli bawang. Jumpa orang jual kepala lembu.


Sedikit menakutkan, tengok kepala lembu di-display sedemikian rupa. Jual daging tu, biasa tengok. Kepala yang masih attach di badan lembu tu juga biasa tengok. Tapi bila diletak begitu.. sedikit menggerunkan bagi saya. 🙈

Ada orang makan kan, buat sup. Adakah anda pernah makan kepala lembu? 

Lidah lembu saya pernah makan. Sedap. Kepala lembu? Saya tak pernah makan.

Pandangan depan

Tidak lah saya berani bertanya, berapa harga kepala lembu tu. Besar, saya tengok. Mesti berat.

Ok juga, sesekali ke pasar malam. Tapi saya kurang suka, sebab ramai orang. Kena pakai face mask. 

Bila last sekali anda ke pasar malam?

Jumpa lagi, ye. 😊

p/s: Saya sedikit sibuk. Itu yang lama tak update blog. Maafkan saya, ye.

Drama angsa

 Sabtu, 17 Jun 2023 - Tengah tunggu anak kedua bersiap, nak hantar dia ke kelas tambahan. Biasanya pagi, aman damai je. Tapi pagi ni, riuh dengan bunyi angsa, sekali-sekala.

Saya tak nampak pula lokasi angsa-angsa ni. Cuma dengar bunyi. Saya keluar pagar rumah, nampak jiran saya, Makcik Seri, sedang duduk depan rumah dia.

Saya pergi tegur Makcik Seri, sembang 5 minit, lepas tu kembali ke rumah saya. Masa tu, baru saya nampak, ada beberapa ekor angsa terperangkap dalam salah satu rumah.

Angsa-angsa tak boleh keluar dari pagar, tak muat. Pagar pula jenis automatik. Bukan kita boleh pergi, bukakan pagar tu. Saya rasa, mungkin angsa-angsa ni masuk tanpa disedari oleh tuan rumah. Tuan rumah pula biar pagar terbuka je. Boleh jadi tuan rumah tak sedar akan kehadiran angsa-angsa ni, deme lepak tepi ke, belakang rumah ke, mungkin. Lepas tu tuan rumah keluar, tutup pagar, angsa- angsa pun terperangkap di dalam.

Haha.. kesian pulak. Yang menarik tu, ada seekor angsa terlepas, buat bising, seakan-akan minta tolong, nak bagitahu kawan-kawannya masih terperangkap dalam rumah orang.

Yang saya pelik, tuan angsa tu tak dengar ke, bunyi angsa dia? Atau dia dengar, tapi tak dapat nak tolong apa. Takkan nak panjat pagar rumah orang, keluarkan angsa dia, kan.

Haa... Tu la... Bela angsa, tapi biar lepas. Dah masuk rumah orang. 

Saya sertakan di bawah, video angsa minta tolong. Kuat tau, suara angsa ni.


Sudah tiba masa hantar anak, kami pun keluar rumah.

Beberapa jam kemudian (lepas hantar anak, kami ke pasar Bota pula), kami sampai rumah, tengok angsa-angsa sudah keluar. Tuan rumah baru balik. Nampak dia termenung tepi kereta, tengok halaman rumah penuh najis angsa-angsa yang terperangkap tadi.

Saya sampai sekarang masih tak pasti mana satu rumah yang bela angsa-angsa ni. Saya ada syak satu rumah hujung jalan, sebab itu satu-satunya rumah ada pool. Bukan pool atas tanah, pool dari canvas, letak di tepi rumah. Harap tuan angsa-angsa ni belajar dari kesilapan dia.

Sekian cerita hari Sabtu.

Wifi sudah ok

 Rabu, 18 Zulkaedah 1444 Hijrah.

Pagi tadi, lebih kurang pukul 9.30 pagi, orang TM datang, baiki kabel fibre yang putus digigit kera.


Technician adalah cerita sikit dengan suami, sambil-sambil buat kerja. 

Memang kawasan sini, banyak rumah yang alami masalah macam kami, talian internet terputus. Macam kami, bernasib baik juga, sebab dapat kesan kerosakan kabel tu di mana, iaitu di depan rumah saja.

Ada rumah, tak tahu mana tempat nak baiki, jadi technician perlu trace kabel sambil naik kereta, cuba cari mana kerosakan yang bole dinampak.

Technician TM juga berpesan pada suami, supaya jangan marah pada kera-kera yang melintas atas kabel-kabel ni. Pulak dah. Awat pula, kan?

Dia pun cerita la, ada satu rumah tu, baling mercun bola kat segerombolan kera yang melintas, baling bertalu-talu pula mercunnya. Nak tahu apa berlaku esoknya?

Kera-kera tu balas dendam, ok. Esoknya, kera tu bawa geng lebih ramai, dia cabut bumbung rumah. Ada lah 2-3 tile bumbung jatuh ke bawah, pecah. Kompressor aircond yang ada luar rumah, kan, 2 biji jatuh ke bawah, kau!

Apakah? Serius la? Betul, dia kata, beriya-iya dia ulang pada suami, jangan baling mercun bola! Kera jenis intelektual, yang pandai ambil tindakan seperti manusia ni. Tak mustahil beberapa tahun akan datang, jadi macam filem Planet of the Apes pulak, spesies beruk, monyet, kera vs. manusia. OMG. 

Suami pun cakap dengan saya, lepas technician tu pergi, mungkin kera tu gigit kabel internet kita orang, sebab dia pun ada baling mercun bola juga. Pandai kera tu pilih kabel ye, untuk digigit, tepat kena kabel rumah kami, bukan kabel rumah orang lain. Hahaha... 


Selesai je technician ganti kabel baru, kami pun buat projek mencantas pokok tempat kera selalu melepak depan rumah, sambil lompat turun naik, turun naik, macam atas trampoline atau pun sekadar lepak cari kutu atas badan kawan dia.

Sila bandingkan kedua-dua gambar di atas ye. Atas nasihat orang TM, kami cantas la pokok tu.

Alhamdulillah. Talian Wifi di rumah sudah pulih. Harapnya, tidak berlaku lagi, kejadian kabel putus ni. Dah tu, tak payah baling mercun lagi, nanti kera balas dendam. 🙈

Sekian.

Siapa punya ni?

 Rabu, 18 Zulkaedah 1444 Hijrah.

Angsa depan rumah

Saya takut nak pergi lebih dekat, ambil gambar. Jarak ni pun, dia mula keluarkan suara. 🏃


Saya tak pasti jiran mana satu yang bela. Rasanya, rumah paling hujung jalan. Setiap kali lepas hujan, dia akan lepaskan angsa-angsa dia.  😊
Angsa ni, alarm semulajadi, jaga rumah. Nanti bila suami sudah pencen, balik kampung, bukan saja angsa, saya nak bela ayam, itik, dan kambing.  Hehe.. jumpa lagi.

Burung enggang besar

 Ahad, 25 Ramadan 1444 hijrah.

Biasanya waktu lari waktu pagi, boleh rasa bahang panas. Matahari nampak oren dan besar. Tapi lain pagi tadi. Udara sejuk. Angin bertiup lembut. Jarang-jarang tau, cuaca macam ni kat sini. Macam malam lailatul qadar je semalam. Wallahualam. Rahsia Allah. Tu pasal kita dituntut supaya all out 10 malam terakhir.

Redup je pagi tadi

Pagi tadi, sempat berlarian sejauh 5.13 km. Sekejap slowjogging, sekejap berjalan laju. Alhamdulillah.

Masa tengah lari, nampak burung enggang di pokok besar. Burung ni pemalu, tau. Macam lotong kelabu juga. Bila kita nak ambil gambar dia, dia akan pusing bagi belakang dia kat kita. Macam memerang jugalah. Elok dia berdiri tengok kita dari jauh. Bila kita bawa keluar henpon dari poket nak ambil gambar dia, terus terjun dalam laut. 

Inilah gambar paling jelas dari henpon cap ayam saya.


Besar burung enggang yang saya dan suami nampak pagi tadi. Dia punya bunyi sayap bila dia terbang, "wosh wosh wosh" bunyi macam helikopter. Serius tak tipu.


Gambar di atas masa dia depakan sayapnya. Besarnya...

Pagi tadi, saya lari sampai hujung jalan. 


Jadi, kalau kita mula dari hujung esplanade lumut, hingga ke hujung jalan mengikut jalan pejalan kaki yang disediakan, jarak hampir 2 km atau 1950 meter. Boleh tahan, kan, jauhnya.

Petang pula, saya ajak anak sulung ke bazar ramadan. Tolong angkat barang. Hehe.


Saya berbuka dengan kuetiau goreng. Dia goreng di situ juga, panas-panas. Tapi takde cili jeruk. Harga RM4.

Alhamdulillah. 

Ok la. Jumpa lagi ye. 😊

Jogging nampak kuda

 Isnin, 24 JamadilAwal 1444 Hijrah.

Setiap hari, kita buat keputusan. Minggu cuti sekolah lagi. Boleh sambung tidor lepas Subuh, atau keluar pi jogging. Hari ni, saya beat my malas dengan masuk kereta, pergi jogging. Baik, berusaha!

Bila dipelawa, anak bongsu tak mahu ikut, jadi pergi sorang. Saya sudah mula dengar lagu guna aplikasi Spotify bila berlari. Dulu, saya jarang sangat sumbat telinga dengan earphone ni. Tapi saya dapati, lagu boleh buat saya lebih fokus ketika berlari, saya ikut beat lagu. Jadi saya create playlist lagu lari, iaitu lagu dengan 170-180 beat per minute. 

Tapi volume tu, tak lah kuat, sebab lari di jalanraya. Walaupun bukan jalan utama. Kalau pakai baju hitam, saya cuba pakai tudung kaler terang, supaya kereta boleh nampak saya. Walaupun saya bukan suka sangat tudung warna terang ni, sebab saya kuat berpeluh. Dua tahun lepas, boleh lari sampai 11-14 km setiap kali beriadah. Lepas tu, turun ke 10 km setiap hari. Sekarang ni, buat 7 km pun dah penat dah. Faktor usia. Sejak saya baik demam tu, ha ah, masa saya diam diri tak update blog tu, saya demam lagi. Demam main hujan. Test covid, negatif. Tapi badan tu rasa bisa-bisa, macam flu. Sakit urat. Cuma kadang rasa kuat, kadang rasa tak berapa kuat. 


Bila lalu di laluan yang ada banyak beruk, baik elak, cari laluan lain. Kalau ada sikit beruk, boleh tahan lagi. Jangan tengok beruk, jangan ada eye contact, buat macam tak nampak depa. Buat macam tengah fokus lari. Jadi beruk pun akan buat dunno kat kita. Itu yang saya dapati ler, hasil pemerhatian saya. Jangan pi dekat kawasan beruk. Jangan bagi dia terkejut. Jangan provoke, acah-acah halau ke. Melainkan jogging dengan suami saya, dia suka bawa tongkat buluh. Jadi beruk bila dengor hentakan buluh tu, biasanya dia lari. Saya kurang suka bawa buluh tu. Udah macam cerita Do Re Mi pulak, buluh betung. Eh, buluh runcing cucuk Menteri Pasola tu pun bukan. Tapi, buluh tumpat, buluh takde lubang di tengah, bukan macam buluh lemang tu. Hehe... Kacau nak lari. Macamana nak lari, sambil bawa buluh?  

Kalau ada swords carrier, macam cerita Walking Dead tu, yang Michone tu bawak tu, ok jugak.


Cuma instead of pedang, kita letak buluh kat belakang. Jadi bila keadaan memerlukan, kita keluarkan buluh dari belakang, yah..! Dush, dush..! Hehe.. ok, dah merepek. 

Tapi, ada runner pakai macam tu tau, bila lari kat event. Ninja runner nama dia, kalau tak silap. Dia pakai niqab dan belakang dia ada macam alat dalam gambar di atas tu la. 😁

Berbalik kepada larian pagi tadi, selamat, buat 7 km. Lepas tu masa buat cooling down, ternampak macam kelibat kuda di balik pagar. Jadi, saya berjalan sekejap, nak tengok dari dekat.


Ooo... akan dibuka, petting zoo, kat Teluk Batik ni. Selain kuda padi bawah pokok, saya rasa, saya nampak burung merak. Aik.. boleh pegang ke burung merak ni? Belum siap, laluan berjalan kaki di petting zoo tu, sedang dalam pembinaan. Kita tunggu dan lihat binatang apa lagi akan ditambah. Arnab sudah semestinya la, ye tak.. 

Balik rumah, tanya anak bongsu, dia nak main badminton tak. Dia kata, on. 


Jadi, riadah hari ini adalah, lari 7.56 km, jalan 0.28 km dan badminton, 20 minit, bersama anak bongsu.

Tahukah anda, badminton adalah sejenis senaman cardio yang merupakan total body workout? Masa saya mula main, sakit tangan saya. Anak bongsu dah biasa main di sekolah. Cuma saya dah lama tak main. Baru-baru ni, start cuti sekolah bulan Disember ni, anak ajak main. Jadi, saya pun belilah set raket dan bulu tangkis mur-mur. Ok ler, buat peluh. Lenjun juga, tau, kalau kita main sekurang-kurangnya 20 minit. Lagi satu, kalau kita main hari-hari, saya dapati, kita boleh jadi terer, tau. Dulu saya tak boleh ambil kalau orang smash saya bola laju. Tapi sekarang saya dah boleh ambil dah, walaupun bola bawah. Menunjukkan melalui praktis, kita boleh jadi terer! Chewah, padahal baru main seminggu jer. Cer korang try.. hehe.. 

Baiklah. Sekian cerita riadah hari ini. Jumpa lagi, ye. 😊

Tetamu tak diundang

 Jumaat, 16 Rabiul Akhir 1444 Hijrah.

Saya kan, masa masak pagi-pagi, saya ada rebus telur 2 biji. Sebab saya sarapan dengan wrap. Gardenia wrap tu, saya letak telur rebus sebiji, timun dan tomato, pastu letak sos cili dan mayonis. Sedap! Baru je start sarapan macam ni. Itu pun bila suami kerja. Kalau dia tak kerja, mau nyongket makan di kedai. Itu la korje-nye... 😁

Masa balik dari jogging, saya biasanya main dengan anak-anak bulus depan rumah. Saya perasan ada beruk ni. Sekor je, dok mengintai. Biasa la tu, beruk-beruk ni akan melintas beramai-ramai, ikut kabel letrik depan rumah. 

Kadang atas tali maxis fiber yang halus tu pun dia boleh meniti. Pernah putus tau, kabel fiber tu. Dah kena buat report, repair sebab line internet takde. 

So tadi, time saya sibuk main dengan kucing, ada sekor beruk selamba jalan atas tembok pagar rumah.

Larian hari ni, 10.22 km. Hari-hari buat 10 minggu ni. Kena sampuk hantu lari.

Kalau kita halau dia, dia memang tak lari. Dah biasa dengan orang. Kalau kena yang alfa jantan ketua puak tu, mau dia jegil dan tayang gigi taring dia lagi kat kita. Haaa.... seram, tak seram...

Kebetulan suami saya yang baru balik dari aktiviti riadah ofis dia, pun masuk rumah dan boleh dengar dia panggil saya... dapur habis sepah ni..!!! Beruk masuk!!! Hahadoi.... 

Habis telor rebus saya dia makan, tau! Dia pandai tengok barang dalam periuk. Saya masak di bahagian wet kitchen belakang rumah, situ walaupun ada grill, tak sampai atas. Ada lubang atau celahan yang menatang ni muat untuk masuk.

Ingat ke, selamat dah rumah kami ni. Minggu ni, tak nampak pun beruk lalu, line macam clear. Tapi dia kembali semula. Saya masak nasi kat luar, nasib baik suami saya dah letak dalam rumah, dia kata, tak sedap hati nak biar rice cooker kat luar. Nasib baik la. Kalau tak, sedap beruk tu makan, nasi lauk telur rebus. 🙈

Nampaknya, kembali pada plan asal. Lepas masak, semua lauk bawa masuk ke dalam. Pintu dapur memang tak boleh buka. Sebab ada sekali, anak beruk masuk, curi roti yang ada atas meja makan.

Suami saya punya mercun bola pun dah abis. Kalau jadi kat kome la, apa kome nak buat?

Nak tembak dengan pistol mainan? Rumah saya dekat dengan hutan paya bakau. Dulu, takde masalah ni. Sejak tahun ni je, mula. Beruk-beruk di taman paya bakau tu, lapar, kurang orang pergi ke sana, sebab majlis dah kenakan bayaran masuk ke taman paya bakau tu. Dulu masa free, memang ramai yang masuk, bagi beruk makan, bawak roti la, kacang la. Sekarang memang banyak la beruk pagi-pagi, masuk ke kawasan kejiranan berhampiran. 

Yang paling senang, tutup segala pintu dan tingkap. Dah jadi penjara dah. Tak boleh open air. Apa nak buat, nanti habis pulak makanan kita. 

Ok la. Sekian cerita di hari Jumaat. 

Jumpa lagi, ye.

Kerja kait dan lari jugak

 Selasa, 16 Safar 1444 Hijrah.

Semalam, hari Isnin, saya off jogging. Tapi saya tolong suami mesin rumput di halaman rumah. Masukkan rumput dalam plastik hitam untuk diambil oleh lori kutip bahan buangan pokok. Hari tu saya menebas, kan. Menebas di bahagian yang tidak dapat dilalui oleh mesin rumput. Kerja sudah siap. Cuma rumput dalam pasu belum cabut. Panas. Entah bila nak sambung. Hehe.. macam ni la, orang dah amanah kita jaga rumah pusaka. Kenalah jaga elok-elok. Sebulan sekali jadi tukang kebun.

Pagi tadi, saya pergi jogging setelah hantar anak kedua ke sekolah.

Kucing jiran datang bertandang

Larian hari ni adalah sejauh 8.29 km. Matahari cepat naik hari ni. Panas sudah bila sudah sampai 6 km. Hari yang bagus untuk basuh kain.

Inilah dia, bila tiba musim mengawan, ada je kucing jantan datang bertandang. Kucing-kucing kat rumah saya ni, betina belaka. Eh eh, dia ngorat si Oyen pulak. Ngekor ke mana Oyen pergi, walaupun Oyen tak suka.


Agak besor juga kucing jantan ni. Bulu kat perut dah la macam carpet. Ish ish... anak bulu sape la ni. 

Eh, lupa plak nak share. Pagi tadi, saya masak nasi goreng.


Tumbuk cili kering dan ikan kering pukul 5 pagi. Kikiki... 

Sedikit progress kerja mengait pulak. Saya dah siap buat topi baby yang crochet (kait satu jarum). Tapi saya nak buat satu lagi topi baby, knitting pulak (kait dua jarum). Saje, nak bagi lebih pilihan pada customer.

Masa baru nak start knit.

Menatang apa la pulak, sampai 4 besi tajam macam chopstick ni, kan. Ini jarum knitting yang dipanggil double pointed needles (DPN). Sebab dua-dua belah kiri dan kanan jarum, tajam. Jarum DPN ini diguna bila kita nak kait benda bulat, seperti topi. 

Kalau tak nak guna DPN ni, boleh je guna jarum knitting bercable untuk kait topi. Saya tunggu DPN yang saya baru beli kat shopee, dari China juga. Bukannya saya tak usha local seller. Ada je, yang saya pernah beli dulu. Tapi harga bapakkkk.... macam nak cepat naik haji je. 

DPN, beli kat shopee

Set DPN yang saya beli di shopee ni, seller kat China, harga dia RM16. Yang saya usha kat local seller, bila dah add to cart, RM90. Beza giler, kan... Jarum knitting besi, pelbagai saiz. 

Tu pasal ada pepatah omputih kata, don't mess around with a knitter. Tau tak pasal pe?

Photo credit: knitlikegranny.com


Hehehe... kacau la kacau, kang aku cucuk ngan jarum kait kang.. 😁
Berikut progress saya setakat semalam.


Baru sampai di bahagian brim topi. Bahagian yang boleh diregang. 

Ok ler. Tu je cerita pada hari ni.

Kome buat apa tu? Dah makan ke? Makan apa?

Jumpa lagi, ye. 😊

Azam baru di hari Ahad

 Ahad, 2 Muharram 1444 Hijrah.

Hari Sabtu dan Ahad memang akan terasa cepat sangat berlalu. Semalam saya tak pergi jogging. Saya pergi pasar pagi Bota, bersama suami. Lagi pun pagi semalam, hujan. 

Pagi tadi, pergi riadah bersama suami.


Slowjogging di Esplanade Lumut, sejauh 5.24 km. 

Gambar di atas, nescafe o kosong. Sarapan di kedai yang tak pernah singgah. 

Lepas sarapan, ada 'mentol bernyala' muncul atas kepala saya. Saya bercadang untuk tak mau la makan luar lagi. (huh.. boleh percaya, ke?) Ok la, kalau saya bosan sangat, saya pergi ye. Tapi  buat masa ni, baik makan di rumah je la. Masak apa yang ada. Bukannya sedap pun, makan kat luar ni. Bihun goreng yang saya makan kat kedai pagi tadi, biasa-biasa je la, rasa dia. Saya rasa, bihun goreng saya masak lagi sedap kot. 🙈 Saya cuba, ye. Selain tu, boleh juga berjimat. Mari kita. Berusaha!

Sampai di rumah, belum sempat salin baju, anak sulung dah panggil, "Mama, mama!" Dia di belakang rumah. Saya cakap kalau panggil untuk tengok beruk, tak mau la. Takut. Dia kata, tak. Ada binatang lain. 


Ni ha binatangnya, biawak. Besor la jugak. Masuk rumah sebelah. Sekejap dia pergi belakang barang. Sekejap dia cuba panjat tirai canvas tu, tapi tak berjaya. Biawak gemuk. Badan berat. Panjat panjat, jatuh. 

Ini la dia. Rumah di kawasan paya bakau. Satu waktu dahulu, anak biawak pernah masuk, duduk bawah katil. Ular pun pernah masuk dapur rumah. 

Tiba-tiba si Ros pulak menyibuk. Ros. Bukan jiran. Ros, kucing saya. 


Boleh saling bertentang mata pulak. 

Jangan risau. Tiada benda buruk yang berlaku. Lepas lebih kurang 2 minit saling berpandang, Ros pun berlalu pergi. Biawak kembali mengadap ke arah lain, sambil termenung. Udah macam buaya kat zoo dah peel si biawak ni.

Memang macam ni, tau. Kucing dengan beruks pun ada reaksi yang sama. Mereka tidak saling bergaduh ke apa, walaupun si beruks selalu mencuri lebihan makanan kucing. Semua jenis selamba je. 

Panas dah waktu tu. Saya pun takde la tunggu lama di luar rumah tu. Baik masuk dalam buat kerja. Tengah potong buah di dapur, anak bongsu pulak jerit memberi makluman yang si biawak dah keluar. Pandai menatang ni. Mana dia masuk, kot situ juga la dia keluar. Ikut pagar depan. 😁

Jiran sebelah tu takde di rumah. 


Saya rebus 4 tongkol jagung, dan potong tembikai. Jagung tu, beli di pasar Bota, semalam. Betul orang jagung tu cakap. Manis jagungnya. 


Saya juga masak mi goreng. Kosong je. Seperti biasa, tanpa sayur. Kalau letak sayur, kang anak tak mau makan.

Hari ni sudah pun hari terakhir di bulan Julai. 

Rumusan Larian Julai

Jumlah jarak saya lari di bulan Julai adalah sejauh 210.5 km. Alhamdulillah.

Banyak hari saya tak pergi jogging. 5 hari demam, 3 hari malas, 2 hari hujan, total 10 hari tidak beriadah. Ok ler tu. Semoga dapat perbaiki di bulan Ogos.

Sekian cerita hari Ahad. 

Semoga kita lebih bersemangat untuk menempuh hari esok. Berusaha!

Jumpa lagi. 😊

Ikan monster dan sandwich

 Rabu, 27 Zulhijjah 1443 Hijrah.

Petang semalam, saya pergi jogging. Dah giler gamaknya, satu hari sampai 2 kali jogging. Bukan apa, suami saya kena submit larian 5 km untuk program fitness ofis dia. Ha ah, sesiapa yang punya BMI obese kat ofis dia, kena masuk program fitness. Bila dia kena lari, saya pun sibuk la nak ikut jugak. Walaupun cuaca panas membahang lepas Asar semalam.


Larian petang semalam, adalah sejauh 9.02 km. Selamat merentungkan diri.

Gambar di atas adalah ikan bandaraya, dalam akuarium kat rumah. Kebanyakan masa, dia akan melekap kat dinding akuarium tu, sambil dok mulut kumat-kamit cuci cermin akuarium. Ni, dia dah penat ler ni. Dah turun bawah, melepak. Cuba anda zoom-in tengok muka dia, lawa ke idok. Ganas kan, rupa dia. Rupa monster! 

Tu cerita semalam. Cerita hari ni pulak.

Awal pagi tadi, sebelum subuh, selain goreng hashbrown dan popcorn chicken untuk sarapan, saya sediakan juga sandwich telor rebus.


Habis satu buku pendek roti gardenia digunakan, bersama 4 biji telor.


Letak dalam bekas kedap udara siap-siap, boleh buat snacking sampai ke tengahari. 

Pagi tadi, saya jogging dalam hujan. Sekejap rintik, sekejap renyai. 

Puteh sedang memikio entah bila tuannya nak beli wet food.

Sempat berlarian dalam 8.04 km. Takde la main hujan sampai ke sudah. Di awal-awal jogging sahaja. Lepas tu, matahari pun mula menyinar. 

Dapat pula lencana berikut dari aplikasi Garmin Connect:


Lencana Aktif Julai. Sudah rekod 20 aktiviti yang melebihi 20 minit. Ramainya orang yang awal-awal lagi dah dapat. Saya ni, dekat-dekat hujung bulan baru dapat. Better late than never, omputih kata. Alhamdulillah, rezeki sihat yang Allah pinjamkan.

Baiklah. Semoga segala urusan anda pada hari ini dipermudahkan.

Jumpa lagi, ye. 😊

Lama tak update

 13 Zulhijjah 1443 Hijrah.

Lamanya saya tak update blog. Last sekali entri blog saya, tarikh 30 Jun. Hehe. Adoi. Mood online ke laut. Macam ni la saya ni. Minta maaf ye, kepada pembaca yang saya hormati sekalian.

Hari ni sudah kembali ke rutin asal. Anak-anak sudah kembali ke sekolah.

Pagi tadi, saya pergi jogging semula.


Larian pagi tadi, adalah sejauh 8.18 km. Tak tahu la boleh masuk kategori lari atau tak, pace 10. Badan rasa berat dan gemuks. Makan daging banyak. Dengan sup tulangnya, nasinya. 

Saya dan keluarga pulang beraya di Tumpat, Kelantan. Kampung suami. Gambar di atas, 2 anak bujang, tengah lepak di Pantai Cahaya Bulan. Masa raya haji pertama. 

Tahukah anda, masa raya puasa, atau raya haji, hari pertama raya, semua pusat membeli-belah ditutup? Ha, only in Kelantan. Pergi la Aeon Mall ke, Lotus ke, KB Mall ke, semua tutup masa raya pertama. Dari dulu lagi macam tu. Memang raya pertama, kunjung mengunjungi rumah sanak saudara sahaja. Atau kalau tak mau makan daging, boleh pergi ke pantai. Masa kami pergi hari tu ke Pantai Cahaya Bulan, ada je kedai makanan laut macam bebola udang, dan segala jenis lagi tu, yang celup tepung yang dibuka. Tapi tak semua kedai dah buka. 

Masa nak pergi Kelantan, ambil masa lebih kurang 7 jam, bertolak lepas Subuh untuk tiba di kampung. Masa nak pulang semula ke Perak, ambil masa dalam 8 jam lebih untuk sampai. Walaupun kereta banyak, tapi trafik berjalan. Alhamdulillah. Dapat jumpa orang tua, kakak-kakak ipar, suami dapat tolong melapah daging korban.


I is takuts tengok lembu kena sembelih tu. Jadi, lepak rumah je. Dah pernah tengok dulu, cukup la. Orang sana korban kat rumah je, takde kat masjid pun. Satu family, 1 ekor. Alhamdulillah.

Macamana raya anda? Apa khabar pembaca sekalian? Sekarang musim orang demam. Banyak makan durian dan buah mata kucing. Hehe. Jaga diri ye.

Jumpa lagi. 😊