Showing posts with label Camping Trip. Show all posts
Showing posts with label Camping Trip. Show all posts

Berkhemah di Sahom Valley Resort

 Saya ada masuk event lari pada minggu lepas, bersama kakak sulung saya. Dia yang uruskan semuanya, termasuk pendaftaran dan tempat tinggal. Kakak saya ni, suka sangat surprise saya. 

Saya sudah tanya dia, kita tidur kat mana?

Dia jawap, Sahom Valley Resort - Agro and Eco Park, Kampar, Perak.

Saya juga pernah tanya dia, kita tidur dalam khemah ke?

Dia kata, bungalow, bungalow!

Jadi, saya buat andaian, tidur di chalet kecil yang sebuah-sebuah tu la. 

Tapi jauh sekali, ye. 

Pertama kali saya menjejakkan kaki ke Sahom Valley Resort ini.

Pintu utama Sahom Valley Resort, Kampar.

Pergi ke tapak perkhemahan, kakak saya kata. 

Kakak sedang pasang khemah, dibantu suami saya dan kawan lari.

Hahaha.... tidur dalam khemah saya, hari Sabtu lepas. Pertama kali, waktu perkhemahan Kesatria semasa part 1, Itm Jengka, tahun 1997. Ini, kali kedua, waktu umur saya 45 tahun. Cuma khemah kakak saya pasang ni, jauh lebih lawa dan besar dari khemah saya pernah rasa dulu.

Sudah siap! Abang coach sedang betulkan awning khemah.

Entah la. Awning pulak. Ada kakak saya sebut. Bawah khemah, ada canvas, lapik. Khemah dipasang atas canvas. Atas khemah, ada satu lagi layer seperti awning. Protect dari hujan. 

Mari, kita tengok khemah dengan lebih dekat.

Pintu utama khemah.

Unzip pintu, ada satu lagi layer mosquito net yang perlu kita unzip, lepas tu, baru masuk dalam.

Ada kipas yang hidup menggunakan powerbank.

Boleh solat berdiri dalam khemah. 2 orang sekali. Masih ada ruang. Bila bercakap tentang ni, saya teringat blog Carneyz. Dia pun pernah cerita tentang perkhemahan bersama familynya. Ada Carneyz tulis entrinya di sini.

Khemah, dari belakang

Di bahagian kiri khemah kami, adalah khemah kawan larian kakak, Doc, bersama Abang Coach. Doc, Abang Coach dan kakak datang ke Kampar ni, dari KL. Jauh masuk event lari.

Dalam khemah

Kakak siapkan tempat tidur saya dulu. Ada pam di dalam, automatik pam sendiri. Pilih je level nak berapa, nak tilam separa lembik ke, nak tilam jadi keras ke. Masa ni belum setup tempat tidur kakak lagi, sebab belah kanan tu, tempat solat. Nak tidur malam baru pasang. Dia punya macam sleeping bag, tapi ada angin sikit je. Kakak saya dah biasa berkhemah, dia bagi saya tidur selesa, dia tahu adik dia banyak komplen, tak biasa camping outdoor. 😂

(Saya update entri ini dengan gambar tambahan dari Kok. Kredit foto Doc and Kok. Thank you. 💓) - Selasa, 19 Disember 2023.

Pandangan dari sudut tepi sungai


Tempat masak depan khemah orang sebelah.

Orang sebelah ni, kawan lari kakak saya tu ler. Kami masak untuk dinner. Untuk tengahari, kakak sudah tempah sekali pakej dengan tapak perkhemahan, juga sekali dengan sarapan. Ada banyak pakej jika anda memilih menginap di Sahom Valley Resort ni. Dari rumah ala resort secantik-cantiknya, hingga chalet kecil sebiji-sebiji, hinggalah ke tapak perkhemahan. Petting zoo pun ada. Cafe pun ada. Boleh la google sendiri, ye. Gambar-gambar bilik semua ada di websitenya.

Jangan buat tempahan last minute. Nanti jadi macam kami. Fully booked, itu yang kena pacak khemah tu. Hehe... tapi takpe la, sekali-sekala. 

Tengahari tu, kami makan dalam sungai. Meja makan diletak dalam sungai. Kaki dalam air. Sejuk. Selera makan dalam sungai ni, tau. 

Menu set makan dalam sungai

Set nasi lauk bawal goreng, ayam goreng, kambing bakar, talapia goreng dan sotong bakar. Kakak sudah menempah semuanya. Sebab ada 5 orang makan. Jadi, dapatlah kami merasa sikit-sikit. Dia letak nasi dalam dulang, kita bawa lah dulang tu ke meja dalam sungai. Baik-baik jalan tu. Salah pijak batu, tertonggeng awak. Tak jadi makan, jadi sesi mandi pulak kang. 

Makan tengahari. Yummy! 😋


Sedap makanan semua. Pandai masak. Puas hati makan. Ayam goreng rangup di luar, dalam tak kering pun. Semua makan pinggan licin, tinggal tulang.

Meja makan tu, original terletak di tempat yang dalam. Kami angkat ke tepi sikit. Kalau tempat asal, makan tu, punggung pun dalam air. Basah ler.. hehe..

Lepas makan, suami saya pun mahu pulang ke Lumut. Babai suamiku. Saya cuti 1 hari. Suami balik, sebab anak kedua ada kelas tambahan semasa cuti sekolah ni. Dia ambil alih tugas memasak di rumah. Yay!!!!! Cuti!!!! 

Marilah saya bawa pembaca tengok di sekitar tapak perkhemahan kami ni, ye.

Kakak saya buat live sambil tunjuk tandas.

Ini tandas jauh sikit. Macam baru siap. Banyak pintu. Saya guna tandas dan bilik air di cafe sahaja, lebih dekat.

Tempat basuh pinggan dan peralatan memasak

Yang ni pun, saya guna sinki dekat tepi cafe juga. Lebih dekat. 

Tempat solat muslimin

Tempat solat muslimat

Jadi, tiada masalah jika anda punya khemah kecil, ada tempat solat khas disediakan.

Cafe

Siang, ada set nasi. Petang dan malam, makanan panas, goreng-goreng. Ada karaoke juga, sebelah malam.

Lepas solat, kakak dan kawan-kawannya keluar ke pekan sekejap, cari bateri. Saya tak ikut. Saja, nak berehat, healing. 

Berehat depan khemah, ditemani bunyi air sungai mengalir yang menenangkan.

View depan khemah


Macam-macam barang camping kakak saya bawa. Kerusi sandar, kerusi sandar boleh angkat kaki atas, lampu pelita, lampu ada kipas, lampu lip lap lip lap, kipas 3 kaki, semua lah dia ada. 

Dinner, kami masak nasi. Lauk telur dadar. Juga ada lauk segera, perangat dalam periuk saja. Daging salai masak lemak dan sambal petai. Alhamdulillah.

Sebelum maghrib, pergi mandi di bilik air dekat cafe. Semakin ramai orang mula pasang khemah. Kalau tak, kami je. Malam, masuk tidur dalam pukul 9 malam. Pukul 11 malam, teman kakak pergi buang air. Masa tu, masih ada orang karaoke. Ok la, tak bising sangat. Sayup-sayup je, dengar. Kipas dalam khemah terpadam tengah malam, habis bateri powerbank. Tapi, sejuk. Saya boleh tidur lena sampai ke pagi. Tapi kadang terjaga, bunyi burung, macam-macam bunyi binatang. Dalam hutan, kan. 

Alhamdulillah. Selamat tidur dalam khemah. Saya cerita tentang event larian yang saya masuk di Sahom ni, di lain entri ya. Sudah panjang rasanya. 

Baik. Jumpa lagi. 😊