Showing posts with label Resepi. Show all posts
Showing posts with label Resepi. Show all posts

Resepi Muffin Pisang

 Banyak-banyak buah, saya suka pisang. Sekarang ni, bila beli pisang, cepat benor jadi hitam. Bila pisang masak ranum, anak-anak sudah tak suka makan. Selalunya, saya buat cokodok la. Tapi kadang bila datang mood membaking, terjadi jugalah muffin pisang. 

Muffin, sebelum masuk oven. 

Buat pagi, petang habislah. Bawa sampai ke tea time. Sebab saiz dia besar. Makan sebiji pun kenyang. 😁

Muffin pisang, siap! 😋


Rupa tak lawa. Tapi rasanya, tidaklah mengecewakan.

Marilah saya share, resepi muffin pisang.

Bahan-bahan:

3 biji pisang berangan. Ikut la, berapa pisang ada. Guna je semua, nak habiskan pisang yang hitam-hitam atas meja makan tu. Lenyek-lenyek dengan garpu dan biar sat, sampai warna jadi hitam.
2 cawan tepung naik sendiri
2 biji telur ayam, dipukul dengan garpu
1 cawan gula. (saya guna brown sugar)
1/2 cawan minyak masak (saya guna minyak jagung)
1 sudu teh esen vanilla
Secubit garam
Pisang untuk hiasan, jika nak. (dihiris). Kalau tak ada, chocolate chip pun boleh, seperti yang saya guna.

Cara-cara:

1. Dalam bekas, ayak tepung naik sendiri dengan garam. Ketepikan.

2. Dalam mangkuk lain, masukkan telur, gula, esen vanilla dan minyak masak. Saya pukul guna mixer. Kalau tak ada mixer, kacau je sebati, guna senduk kayu. Selepas sebati, masukkan pisang yang kita sudah lenyek awal-awal tadi.

3. Masukkan tepung naik sendiri yang sudah diayak dan kacau dengan senduk.

4. Panaskan oven, suhu 180 darjah celcius, selama 10 minit.

5. Susun bekas cawan muffin dan isikan adunan sehingga 3/4 memenuhi cawan muffin kita.

6. Hias dengan pisang yang dihiris di bahagian atas adunan. Atau saya, guna chocolate chips saja, tabur atas.

7. Bakar pada suhu 170 darjah celcius selama 20-25 minit, atau sehingga muffin masak. Cara nak uji sudah masak ke belum, ambil pencungkil gigi, cucuk muffin. Keluarkan dan lihat jika pencungkil gigi bersih, tiada adunan yang melekat, maka sudah masak.

8. Bon appetit, selamat mencuba...! 😊

Resepi Singgang Ikan Tongkol

 Semalam, saya pergi pasar, beli ikan. Hari ni, saya masak singgang ikan tongkol.

Singgang ikan aye (tongkol)

Masak singgang ni, memang sedap, dimakan dengan nasi panas-panas. Lepas tu, ada budu pulak.

Budu letak bawang dan cili, perah limau kasturi.

Tomato dan timun

Bila makan budu, saya suka kalau ada kacang panjang. Tapi sebab dalam peti ais ada sayur yang telah dipotong separuh, kita gunakan yang itu dulu la.

Telur dadar

Alhamdulillah. 😋

Saya sertakan resepi singgang ikan tongkol, ya.

Resepi Singgang Ikan Tongkol

Bahan-bahan:

Ikan tongkol seekor. Potong dan cuci bersih.

7 ulas bawang merah (dihiris)

4 ulas bawang putih (dihiris)

1 setengah inci halia (dihiris)

2 inci lengkuas (dihiris)

8 biji cili padi

Optional: 4 tangkai cili kering (rendam dulu air panas). Saya tak letak, terpulang pada anda ye, nak letak cili kering ke tak.

6 keping asam keping

1 sudu makan ketumbar - ditumbuk kasar. Saya takde pulak biji ketumbar. Saya guna serbuk ketumbar, lebih kurang setengah sudu makan

Garam dan cukup rasa

Cara Membuat:

1) Satukan semua bahan hiris, ketumbar dan ikan di dalam periuk.


Senang, kan. Tak guna minyak, tak perlu tumis. Lebur semua sekali atas api.

2) Campurkan air secukupnya. Masak hingga ikan empuk.

3) Masukkan garam, cukup rasa, asam keping, cili padi dan cili kering. Didihkan. 

Masa ni belum masak lagi. Saya biar api perlahan dan masak lama, supaya ikan lembut.

Siap. Gambar lauk singgang yang sudah siap, gambar pertama di atas, ye.

Ceduk ikan seketul dalam pinggan nasi. Eh, cara nak makan pun, nak cakap ke? Hehe... cubit isi ikan, pastu tenyeh-tenyeh isi ikan itu dengan cili dalam budu. Ambil nasi sikit, suap masuk mulut. Haaa.... hehehe.... ish ish ish.. memang ke laut dalam la, diet suku suku separuh, dia jadi diet dua pinggan tambah. 😂

Selamat mencuba. Happy weekend. 😊

Buat karipap

 Ada ni ha, sibuk buat karipap. 😁

Bukan main lagi ye. Orang lain yang raya, kita yang sibuk ke sana ke sini, sampai blog tak ber-update. Hehehe... syoknya bila cuti. Boleh jalan-jalan cari makan. Boleh pergi lari di tempat jauh sikit. Yang sedikit kurang syok, jalanraya sesak sebab orang ramai balik kampung dan pergi bercuti. 

Dapur pun lama tak berasap. Ya Allah, bukan main malas lagi masak yek, masa cuti. Ish ish, marilah kita kembali ke pangkal jalan. Hari ni barulah saya masak nasi. Lauknya, ayam goreng je. Hehe... kalau tercekik makan nasi takde kuah, letak kicap. Ok ler tu. Sebab hari ni, saya buat karipap. 

Inti karipap

Inti karipap, saya guna kentang dan ayam (guna ayam cincang Ramly). 

Adunan doh (kulit karipap)

Saya: Mesti abang rasa bini abang ni merepek, kan. Hari abang kerja la, kita buat karipap. Hari abang off 2 hari, dapur tak berasap.

Suami: Ha, tahu pun! 2 hari dok rileks depan tv, tak buat apa. Hari ni la baru nak kelam-kabut masak.

Saya gelak. Tapi suami saya tetap tolong saya canai adunan doh tu jadi nipis-nipis, bentuk bulat, supaya kerja saya cuma letak inti karipap dan buat kelim karipap saja. Mula masak inti pukul 10 pagi. Dia masuk kerja pukul 12 tengahari. Masuk lambat terus dia, pukul 11.40 baru dia tolak dari rumah ke ofis. Baik tak suami saya? Hehehe... dah suruh dah dia tinggal, biar saya buat sorang. Saya saja nak test saya boleh tak buat karipap sorang ni. Dia tolong juga canai doh sampai habis. Hehe.. i 💓u, my husband! 🙈

Karipap in the making

Lepas suami pergi kerja, saya pun cepat-cepat habiskan. Sebab pukul 1.20 anak habis sekolah, nak pergi ambil. 

Saya tak guna acuan karipap. Ada, tapi malas nak cari dalam laci almari belakang. Mesti dah berhabuk. Saya buat kelim karipap sendiri je, guna tangan. 

Dari sudut lain pula, karipap in progress

Dapat 49 biji karipap ada inti

15 biji karipap oksigen

Ha, ingat kat pasar ramadan je ke, ada karipap oksigen? Saya pun buat juga. Sebab ada seorang budak di rumah ni, sejak kecil lagi, dia suka makan kulit karipap saja. Lagi pun, inti karipap dah habis laa... 😁

Karipap yang digoreng sebentar

Takkan kita nak goreng semua sekali. Tak habis makan. Untuk simpan esok lusa, sebaiknya kita goreng dulu sekejap, karipap. Kalau terus masuk dalam fridge, nanti bila nak goreng, dikhuatiri doh-nya melekat, nanti susah pula nak goreng. Jadi, goreng sekejap, masukkan dalam tipuware, dan bolehlah disimpan dalam fridge ye. Karipap frozen homemade. 

Karipap ada inti, sudah siap!

Karipap oksigen.

Saya sempatlah makan seketul sebelum keluar ambil anak sekolah. Balik dari ambil anak-anak, saya pergi mandi. Selesai je mandi, licin, ok! Nasib baik mak dah makan seketul. Nak goreng lagi malas, esok la pulak. 

Tips untuk elak gelembung pada kulit karipap, api dapur jangan terlalu panas. Kena suam-suam je waktu mula masuk karipap. Saya nak cepat siap, lantak ler, sendiri juga makan.

Saya sertakan resepi karipap ye. 

Resepi Karipap

Bahan untuk inti:

Bawang bombay (cincang halus)

Daging kisar atau ayam kisar, suka hati nak guna mana satu, terpulang.

Daun kari

Serbuk kari daging

Kentang 3 biji, potong dadu

Garam dan serbuk perasa

Bahan untuk kulit karipap:

Tepung gandum

Marjerin planta

Air

Maaflah, sebab tiada sukatan. Saya buat ikut sesedap rasa je. Terpulang la berapa banyak bahan ada di rumah. Main campak-campak, tak sukat pun.

Cara buat inti:

Panaskan minyak. Masukkan bawang yang telah dicincang. Masak hingga terbit bau.

Masukkan daging atau ayam kisar. Masukkan daun dan serbuk kari dan air.

Kacau hingga daging masak. Masukkan ubi kentang. Saya tak rebus dulu kentang. Jadi, kena pandai tengok, kalau kentang belum empuk, masukkan air. Tutup kuali, biar masak sampai empuk. 

Perasakan dengan garam dan serbuk perasa. Masak hingga kering. Biar sejuk.

Cara buat kulit karipap:

Uli tepung gandum dan planta hingga adunan menyerupai breadcrumbs. 

Masukkan air sikit demi sedikit dan uli hingga adunan tidak melekat. Saya tak letak garam dalam adunan sebab saya dah letak garam dalam inti karipap. Apa pun, terpulang pada anda ye, ada yang tambah garam masa mula-mula menguli.

Buat adunan bulat-bulat kecil. Uli jadi nipis, menggunakan roller.

Letakkan sesudu inti di tengah adunan bulat kita. Lipatkan. Sapu gam (tepung campur air sikit) pada tepi adunan. Buat kelim. 

Panaskan minyak. Bolehlah goreng karipap, hingga warna keemasan. 

Pekena dengan kopi, nikmat wei...! 😋

Selamat mencuba. 

Jumpa lagi, ye. 😊

Biskut Bundar

 Rabu, 21 Ramadan 1444 Hijrah.

Semalam, hari Selasa, saya tak pergi lari. Saya buat biskut bundar. Orang Perak panggil, biskut bundor.

Sediakan dulu bahan-bahan nak buat biskut.

Semasa sudah bahagi dua adunan, satu biar warna asal, satu warna merah. 

Guna plastik cling wrap untuk gelek doh. Guna 2 lapis, satu atas, satu bawah, supaya senang kita nak transfer dia atas satu sama lain.

Bawah plastik, tengah doh. Atas plastik. Gelek atas plastik, hingga doh jadi nipis.

Tanggalkan plastik atas doh, dan sedia untuk letak doh merah atas doh warna asal. Doh merah tu, tanggal dulu plastik atas dia, guna tangan untuk agak-agak kedudukan lebih kurang sama dengan doh bawah. 

Terbalikkan doh merah atas doh warna asal. Trim lebihan doh keluar. Takpe kalau ada rekahan dan saiz tak sama. 

Gulung perlahan-lahan, sambil merapikan supaya rapat.


Lepas gulung, potong, dan inilah hasilnya. Susun atas dulang pembakar.

Lepas keluar oven, sejukkan sebelum masuk balang. Yang kenit-kenit kat depan tu, bahagian tepi gulungan. Bentukkan je la, asal jadi rupa bulat. Takpe takde corak spiral tu pun, sendiri juga mau makan. 

Comel tak saya? 😁

Dapat 2 suku balang. Kanan tu, balang besar dari biasa. Kalau guna balang biasa, rasanya dapat 3 kot. 

Alhamdulillah. Kanan, biskut hitam sikit. Biasalah, mula-mula bakar, dah lupa camana biskut ni bila dah masak. Warna merah tu akan jadi pudar. Yang balang kiri, cantik sikit rupa dia.

Banyaknya gambar saya letak. Supaya anda boleh dapat gambaran camana nak buat biskut ni. Saya dulu tak tahu guna plastik cling wrap tu. Guna tangan je masa nak transfer doh atas doh. Adunan pula jenis rapuh, tak berapa melekat. Mula-mula dulu, jadi roti canai la. Nak nangis pun ada. Tapi kita try and error la. Main-main dengan doh ni. Macam main playdoh atau plastisin tu. Ia boleh dibentuk. Kalau berlubang di tengah tu, makna masa kita gulung, kita tak tekan dia rapat-rapat. Tapi nak tekan rapat kang, penyet pulak. Dia kena lemah lembut juga, tapi tegas. Hehe... 

Sedap biskut ni, anak-anak saya memang suka. Raya lepas, saya tak buat, anak-anak tanya. Tahun ni, sebelum deme tanya, saya buat la. Bagi deme happy. 

Baik, saya kongsi resepinya, ye.

Biskut Bundar

Bahan-bahan:

150 gram gula castor

175 gram mentega

350 gram tepung gandum

75 gram tepung kastard

35 gram tepung jagung

2 biji kuning telur

1 sudu teh baking powder

1 sudu teh esen vanilla

Pewarna merah

Cling wrap untuk tolong gelek doh

Cara-cara Membuatnya:

1. Ayak tepung gandum, tepung kastard, tepung jagung dan baking powder dalam mangkuk adunan.

2. Dalam mangkuk mixer pula, pukul gula dengan mentega hingga kembang. Kemudian, masukkan kuning telur satu persatu dan kacau lagi hingga rata. Tambahkan esen vanilla.

3. Masukkan kesemua tepung yang telah diayak awal tadi. Gaul dan uli adunan hingga rata dan lembut. Jika adunan lerai tak mau dibentuk, tambah mentega sedikit demi sedikit dan uli hingga jadi doh.

4. Bahagikan adunan kepada 2 bahagian. Satu bahagian warnakan merah dan satu lagi, biarkan tanpa warna. Ulikan satu persatu kemudian canaikan bahagian tidak berwarna. Guna 2 helai plastik masa roll. Satu atas, satu bawah. Selepas itu, lapiskan atasnya dengan yang berwarna merah. 

5. Gulungkan adunan kemas-kemas. Setelah itu, potonglah anggaran tebalnya 1.2 cm.

6. Aturkan di atas dulang pembakar dan bakarlah sehingga masak. Suhu oven 180 darjah celcius.

Selamat mencuba, dan jumpa lagi... 😊

Biskut bunga gajus

 Ahad, 18 Ramadan 1444 Hijrah.

Semalam, hari Sabtu, saya tak pergi jogging. Saya dok rumah, buat biskut gajus. 😁

Long time ago, pada tahun 2007, saya pernah ambil tempahan kuih raya. Customer saya, semuanya kawan-kawan masjid mak saya dan jiran tetangga. Sebelum bulan puasa, saya dah sediakan sample kuih raya dan bahagi-bahagikan. Lepas tu, dapat order. Sepanjang bulan puasa, tiap-tiap malam lepas berbuka, kerja saya adalah buat kuih raya. Hujung minggu, saya hantar tempahan pada customer. 

Sekarang, bila saya fikir balik, terer betul aku dulu. Hari-hari larat buat kuih. Dah la time tu, anak-anak masih kecil. Yang sulung, 4 tahun, anak kedua, 1 tahun. Tapi tu la, rezeki Allah permudahkan kerja saya. Time tu, gaji suami saya kurang seribu sebulan. Selain niaga online jual produk kait dan jahit, itulah pertama kali saya cuba ambil tempahan kuih raya. Dan itulah satu-satu kalinya saya ambil tempahan. Tahun berikutnya, saya dah tak buat. Hehe.. kawan-kawan mak saya pernah tanya, anak dah tak ambil order kuih raya ke? Hehe.. itulah kenangan manis yang saya tak dapat lupakan. Mak saya pun dah takde. 

Panjang benor mukadimah. Baik, saya teruskan dengan cerita kuih bunga gajus. Ini adalah salah satu kuih yang saya pernah buat, tempahan orang, dulu. Setakat saya pergi supermarket, saya dah tak nampak dah orang jual kuih ni. Saya pun dah lama tak buat. Mari kita...

Sediakan dulu bahan-bahan nak buat kuih

Tengok la, penimbang peninggalan arwah mak saya, saya pakai. Orang sekarang dah pakai penimbang digital dah. Saya old fashion sikit. Benda boleh berfungsi, buat apa beli yang baru.

Oh, acuan kuih ni, kena bentuk bunga, tau. Tapi acuan bunga saya, kecik, tak dapat menampung kacang gajus saya yang saiz agak besar. Jadi, saya guna acuan yang takde rupa bunga pun. Kome pun boleh lah guna apa acuan yang ada. Rupa asal kuih ni, adalah seperti di bawah.

Bentuk bunga dan gajus di atasnya.

Tengok la keratan buku resepi saya. Sebelahnya, saya tulis tempahan orang, dan berapa biji. Bawahnya, saya kira kos saya buat, untuk tentukan harga jualan. Tahukah anda, kos untuk buat kuih ini pada tahun 2007, adalah RM11.45, dapat 91 biji. 

Jadi, 1 biji kuih harga RM0.13.

Jadi, 50 biji, 1 balang, kos adalah RM6.30.

Saya dah lupa saya jual berapa, 1 balang. Saya rasa, RM10 kot. Tapi kuih siput saya ingat, saya jual 1 balang, harga RM5 sahaja. Itu yang ramai repeat order tu. Ada 2-3 orang makcik, dah dapat kuih awal bulan, dia order lagi, sebab kuih dah habis. Hehe.. Tapi tu harga dulu. Sekarang, harga bahan mentah dah mahal. Tak dapat dah harga macam tu.

Biskut gajus in the making..


Itu tangan suami saya. Alhamdulillah. Rezeki Tuhan bagi, suami suka tolong saya buat kuih. Dia lagi pandai gelek adunan dari saya. Saya tukang sediakan doh dan bakar kuih. 😁

Gajus dibelah 2, dan letak atas kuih yang dah ditekap acuan dan disapu kuning telor.

Rupa bila baru keluar oven

Kuih ni, rupa dia tak berapa cantik. Ye la, nak dibandingkan dengan semprit yang ada ceri, atau almond london yang selaputi coklat menawan. Namun, rasa kuih ni tidaklah mengecewakan ye, bak kata Yusuf Haslam. Teksture dia agak crunchy sebab bukan saja kacang gajus ada di atas, bahkan yang ditumbuk halus dan diuli jadi adunan juga.


Hampir 3 balang dapat hasil semalam. Alhamdulillah.

Baik. Saya share resepi biskut bunga gajus ye.

Bahan-bahan:

150 gram mentega

150 gram gula castor

2 biji kuning telur - Sebiji untuk disapu atas kuih

1 sudu teh esen vanilla

100 gram gajus ditumbuk halus

200 gram tepung gandum

100 gram tepung jagung

50 gram tepung kastard

Hiasan: 

150 gram gajus

Cara buat kuih:

1. Dalam satu mangkuk besar, ayak bahan kering, iaitu tepung gandum, tepung jagung dan tepung kastard.

2. Dalam mangkuk mixer pula, pukul mentega bersama gula hingga sebati. Masukkan kuning telur, esen vanilla dan kacau hingga rata. 

3. Masukkan gajus halus dan satukan dengan semua tepung yang telah diayak awal tadi. Tak payah guna mixer. Guna tangan je. Uli hingga sebati dan jadi doh. Kalau adunan kita terlerai, tak boleh bentuk, tambah butter. Ye la, resepi ni tak cakap dia guna telor gred apa. Sekarang ni, telor apa kita guna. Banyak gred C, D. Jadi, tu yang tak boleh bentuk tu. Tambah butter sikit demi sikit, sampai adunan kita boleh dibentuk ye.

4. Bentukkan adunan seperi bunga dan sapukan kuning telur. Letakkan setengah biji gajus di atasnya. Bakar hingga masak.

Baiklah. Selamat mencuba.

Jumpa lagi, ye. 😊

Larian 3 hari dan mihun hokkien

 Rabu, 14 Ramadan 1444 Hijrah.

Saya lari, sebab lari buat saya happy. 😊

Larian Sabtu, 4.59 km.

Antara lukisan mural di Esplanade Lumut. Larian Ahad, 5.32 km.

Hari Isnin, hujan. Larian dalam rumah, 5.5 km.

Gambar tiada kena mengena dengan larian Isnin. Cuma hari sebelumnya, saya mimpi makan cendol. Jadi, saya up gambar cendol durian spesial, yang saya pernah makan di Cendol Durian Borhan, Tanjong Karang. Hehe.. cendol dia adalah yang paling sedap, saya pernah rasa. Tapi saya lebih suka cendol durian biasa dari yang spesial. Bila spesial, letak aiskrim, rasa aiskrim tu lawan rasa durian. Baik cendol durian biasa, bagi pendapat saya la ye, dapat nikmati betul rasa durian tu. Syorga!! 😋😋

Hari Isnin lepas, saya tak pergi pasar ramadan, saya masak mihun hokkien dan kari ayam.

Mihun dalam kuali.

Kosong je mihun saya. Ada udang je. Ayam pun takde.


Kari ayam pun guna 4 ketul peha ayam je. Tak boleh masak banyak-banyak dah sekarang. Tak ada selera. Satu lauk, masak sikit je. Masak kari ayam, sebab nak cicah dengan roti bom.

Roti bom frozen je, beli kat supermarket.

Alhamdulillah. 

Mihun atas meja.

Resepi Mihun Hokkien

Bahan-bahan:

700g mihun

100g udang (buang kulit dan buang urat belakang)

100g dada ayam (dihiris)

100g hirisan ikan (sebarang jenis)

1 sudu besor bawang putih yang dicincang

1 sudu kecil serbuk ikan sepat (ikan sepat kering dipanggang hingga garing dan ditumbuk)

250ml air

Sedikit sayur salad (dimayang)

Sedikit cili merah (dihiris)

Minyak untuk menumis

Bahan perasa:

2 sudu besor kicap cair

1 sudu besor kicap pekat

1 sudu besor serbuk pati ayam

Cara Memasak:

1. Rendam mihun dalam air sejuk hingga lembut. Angkat dan toskan.

2. Panaskan minyak dalam kuali dan tumiskan bawang putih dan serbuk ikan sepat hingga naik bau.

3. Masukkan air dan bahan perasa. Kacau rata. Kecilkan api dan masukkan mihun, udang, ayam dan ikan. Masak dengan bertutup atas api yang sederhana besar hingga kuahnya pekat. 

4. Angkat dari api bila sudah masak dan taburkan sayur salad serta cili merah. Hidangkan panas-panas.

Itu resepi asal, dalam buku resepi saya, saya salin dari mana, saya pun dah lupa. Tapi mihun saya di atas, saya guna apa ada di rumah, tu yang kosong je tu. Tapi saya suka,, sebab cara masak dia, chinese style. 

Baiklah. Selamat mencuba. 

Jumpa lagi, ye. 😊

Resepi Sotong Masak Hitam

 Selasa, 25 JamadilAwal 1444 Hijrah.

Hari tu, saya terbaca di blog Dana, resepi sotong masak kicap. Kebetulan, saya pun masak sotong juga. Dah lama sangat saya tak beli sotong. Sebab asyik jumpa sotong kecik je. Hari tu, pergi pasar, boleh terjumpa sotong boleh tahan besor saiznya. Satu kilo, RM32. Saya beli setengah kilo, dapat 5 ekor sotong. 😊 

Di sini, saya nak share lauk kegemaran saya sejak kecil lagi, iaitu sotong masak hitam. Kalau arwah mak masak dulu, mesti bertambah nasi. Kali kedua tambah nasi, kalau tinggal kuah hitam sikit dalam pinggan, siap gaul sampai licin pinggan tu. Oh, jelesnya waktu itu, makan nasi 2 pinggan pun badan cikeding jer.

Sotong Masak Hitam

Bahan-bahan:

Sotong

Air asam jawa

Minyak masak, garam atau maggi cukup rasa.

Cara Memasak:

Kuah sotong tu, hitam, bukan dari kicap, tapi dari dakwat sotong yang hitam tu. Sila refer gambar di bawah.


Masa siang sotong, perlahan-lahan, tarik keluar kepala sotong dari badannya. Buang tulang dia yang color transparent tu. Yang saya bulat dalam gambar di atas, dia punya pundi dakwat sotong tu la. Jangan bagi pecah. Basuh sotong pun hati-hati. Di kepala sotong tu pun, ada satu benda bulat keras, yang boleh dibuang. Tapi saya buang masa nak makan. Kalau nak buang masa sebelum masak pun, boleh jer. Potong kat bahagian mata sotong tu, dan keluarkan.

Simple sesangat resepi sotong masak hitam saya ni. Tak payah bawang dan cili. 

Ambil kuali, panaskan. Letak minyak masak ikut suka hati anda. 😁

Masukkan sotong bila minyak sudah panas.

Hati-hati ye. Meletup, kau, kalo api besor.

Kacau, kacau, kacau. Dan automatik, dakwat sotong tu pun akan pecah dan keluar, jadi seperti gambar di bawah.

Dah hitam kuahnya.

Bolehlah masukkan air asam jawa. 

Kalau guna asam  jawa paket, ambil lebih kurang saiz ibu jari kita. 

Kalau guna asam jawa extra, sikit je, setengah sudu kecil pun dah ok.

Masukkan garam atau maggi cukup rasa.

Kacau hingga mesra. Dah menggelegak, tutup api. Sat je masak sotong ni. 

Siap, sotong masak hitam. 😋

Itu la dia, lauk kegemaran saya, sejak zaman budak sampai ke tua.

Saya pernah terbaca dulu, yang ada pihak mengatakan, macam tak elok makan ink sotong yang hitam tu. Siapa pernah baca dulu? Saya pun dah lupa. Terpulang lah ye. Lagipun lauk ni, bukannya masak selalu. Udah jadi macam daging, mahal harga sotong. Hari-hari telor juga ada makan. 😁

Baiklah. Selamat mencuba. 

Resepi Kundas

 Selasa, 26 Zulhijjah 1443 Hijrah.

Semalam saya tak pergi jogging pun. Hujan waktu pagi. Lepas suami balik kerja shif malam, kami pergi sarapan sama. 


Dah lama tak pergi mamak. Lama sangat. Sarapan semalam adalah puri yang dimakan dengan chutney kentang dan chutney kelapa. Chutney kelapa tu, patut makan dengan tosei. Saya suka chutney kentang tu. Selain tu, ambil sebiji vadei. Minum pula nescafe tarik. Nikmat! Alhamdulillah.

Data dalam gambar di atas adalah untuk larian saya pagi tadi. Lepas hantar anak sekolah, sempat jogging sejauh 10.2 km. 

Awal pagi tadi, saya ada masak kundas. Sebutan dalam loghat Perak, kundeh.

Kundeh cicah sos cili dan mayonis.

Kundeh ni, adalah cucur kosong yang manis. Boleh makan begitu saja. Juga, sedap bila cicah dengan sambal tumis ikan bilis. Jika anda google kundas, anda boleh lihat macam-macam bentuk rupa dia dan resepi. Tapi saya ingin share resepi kundeh, dari arwah mak saya. Simple je nak buat ni. Satu alternatif sarapan yang mengenyangkan, kalau malas nak buat nasi goreng. Buat waktu minum petang pun sesuai sangat, partner dengan kopi panas. Ya Allah, nikmat!! 😋

Resepi Kundeh

Bahan-bahan:

1 cawan tepung gandum

2 cawan tepung naik sendiri

1/2 cawan gula (ikut suka anda. Kalau 1 cawan gula, boleh makan begitu saja. Saya letak 1/2 cawan sebab saya nak cicah dengan sos je. Tak mau manis-manis sangat, asal tak tawar, ok.)

1 biji telor

Cara membuatnya:

1) Masukkan tepung gandum, tepung naik sendiri, gula dan telor dalam mangkuk adunan.

2) Masukkan air sikit demi sedikit. Kacau rata. Kepekatan adunan adalah lebih kurang macam masak cokodok. 

3) Scoop kan dengan sudu kecil, masak dalam minyak yang sudah panas. Macam goreng cokodok. 

Siap! Dah, boleh makan dah. Simple je.

Itu je la cerita hari ni.

Jumpa lagi, ye. 😊

Resepi kueh Siput sukatan cawan

 Kueh siput ni, sesuai untuk orang yang nak buat kueh raya, tapi rumah takde oven. Kueh ni, kita goreng je. Mari kita tengok bahan-bahan dan cara membuatnya.


Bahan-bahan:

4 cawan tepung gandum

1/2 cawan marjerin Planta

2 biji telor

1/4 cawan santan (untuk diuli sampai lembut)

1/2 sudu teh jintan manis

1/2 sudu teh lada hitam

1/2 sudu teh serbuk kari

Garam, secukup rasa

Beberapa tangkai daun kari untuk dicampak masa menggoreng


Ini adalah acuan siput. Ambil secubit adunan, bulat-bulat, dan gelek atas acuan siput di atas. Acuan ke? Ala, bahan nak buat kulit kueh tu jadi macam siput, bergaris-garis.

Cara membuat:

Dalam satu bekas besar, masukkan tepung gandum, marjerin, telor, jintan manis, lada hitam, serbuk kari dan garam secukup rasa.

Kacau rata dan uli guna tangan. Masukkan santan sikit demi sikit, sampai doh tidak melekat di tangan.

Bila doh kita dah tak melekat, pindah tempat. Bawa mangkuk doh kita, dan 2 biji pinggan besar dan acuan siput kita, pergi buat depan tv. Sebab nak buat sampai habis adunan, boleh makan masa sampai lebih 1 jam, ok. Itu kalau 2 orang buat. Kalau sorang buat, mau 2 jam kot. Ajak sekali anak-anak buat sekali. Jangan lupa sebelum start projek siput, beli acuan siput banyak-banyak. Boleh buat kueh siput secara berjemaah, cepat siap.

Cubit sikit doh, bulat-bulatkan, dan gelek atas acuan siput, guna ibu jari. Dia akan jadi macam siput kat tepi laut tu, rupa dia.


Macam ni la rupa dia, sebelum digoreng. Sebelah kanan suami buat, belah kiri saya buat. Dia ikut ibujari kita la, kalau besor, besor la jadinya siput tu. Kalau budak kecik buat, lagi la cute je. Kalau boleh, cuba seragamkan ye saiz dia. Nanti bila goreng dalam kuali, takut yang besor belum masak, yang kecik dah garing hitam.

Dah habis adunan kita buat, boleh la masuk dapur, goreng.

Minyak tak payah banyak sangat. Tak perlu deep fry pun. Macam kita nak goreng ikan bilis nak masak sambal tumis, minyak kita tak banyak pun kan. Gitu la. Goreng sikit-sikit tengok besor kuali kita. Sebab kita nak kacau selalu masa dia goreng, supaya masak sekata dan tidak hangus. 

Bila minyak dah panas, masukkan daun kari yang di tarik dari setangkai daun kari. Minyak pun akan meletop. Pastu, masukkan kueh siput kita banyak mana yang boleh.


Untuk adunan saya buat ni, 4 kali goreng. Kuali kecik. Sejukkan sebentar. Tos dengan tissue dapur ye bila angkat dari kuali.


Alhamdulillah, bila dah masuk balang, dapatlah 1 setengah balang. Nak buat ambil masa berjam-jam. Nak habiskan, sekejap je, nak. Kebas kaki acik bersila atas lantai.

Sekian.

Selamat mencuba.