Ikan budu

 Saya sudah pun selamat berada di Perak. Semasa hari Sabtu lepas, masa tu, kami masih berada di kampung suami di Tumpat. Waktu tu, cuaca hujan tak henti-henti. Ada kala, hujan lebat. Dari tengahari sampai ke malam. Air sudah mulai naik di kampung suami, di beberapa kawasan. Rumah suami ok, sebab terletak di lokasi agak tinggi. Nak keluar pun malas, bila hujan lebat. Suami masak nasi dan lauk apa yang ada di rumah, untuk makan malam.

Telur dadar ikan budu, ikan tongkol masak kicap, ikan masin bersama nasi.

Bila sebut ikan budu, mesti kita sangka yang menu ikan yang dicampur dengan budu. Tapi sebenarnya, budu tidak terlibat langsung dalam penyediaan ikan budu. 

Budu adalah makanan popular khususnya di negeri Kelantan dan Terengganu. Budu dihasilkan dari ikan bilis yang diperam hingga hancur. Budu sedap dimakan bersama nasi.

Ikan budu tu pula, lebih kurang macam ikan pekasam. Banyak dijual di musim tengkujuh, ikan budu yang diperam dengan asam jawa atau asam keping, bersama garam kasar dan dilumur ke atas ikan, sebelum disimpan selama 2 hingga 3 bulan. Salah satu cara mengawet ikan supaya tahan lama. Sebab masa musim tengkujuh, nelayan tak boleh turun ke laut kerana ombak besar. Antara ikan yang dihasilkan menjadi ikan budu ialah ikan kembung, selayang, tongkol, gelama, dan beberapa jenis lagi.

Cara masak ikan budu, biasanya ia digoreng hancur bersama telur dan bawang, atau dibuat gulai lemak kuning atau dijadikan sambal.

Suami saya goreng ikan budu itu dengan bawang, kemudian masukkan beberapa biji  telur yang telah dipukul. Jadilah, telur dadar ikan budu.

Siapa pernah makan? Saya pun baru pertama kali makan. Nama je dah kahwin dengan orang kelantan selama 21 tahun. Tapi ini baru pertama kali saya cuba makan ikan budu. 

Close-up telur dadar, dalam ada ikan budu.

Macamana rasanya? Macam ini 👍👍😋😋 Sedap sangat! Saya tambah nasi. Makan 2 pinggan terus. 😂

Sejuk sangat, masa duduk di Kelantan. Saya pakai sweater di rumah. Semput, banyak kali kena sedut inhaler. Rasa macam duduk oversea pun ada. Malam-malam tengok tv, off kipas. 

Itu cerita dinner hari Sabtu. Keesokan harinya pula, hari Ahad, saya dan suami ke pekan Tumpat. Cari nasi berlauk la.

Saya teringat ada terbaca di blog Ako, masa dia ke Korea, ada pergi kedai makan yang pekerjanya ada seorang saja, tukang ambil order nya dia, tukang masak pun dia. Haaa... gitulah saya masa pergi makan di sebuah kedai bersebelahan Bank Simpanan Nasional, Tumpat. Saya lupa ambil gambar kedai. Kakak tu la tukang cedok nasi, dialah yang tukang buat air, yang kira pun dia. Kedai dia kecil je. Lauk dalam periuk di kaunter depan pun, takde lah banyak. Ayam gulai dalam periuk, saya rasa, dia masak seekor je kot, untuk jual. Ikan aye (ikan tongkol) masak gulai lemak kuning pun tak banyak. 

Nasi dengan sambal dan gulai ayam.

Tapi dia cedok nasi, tak berkira langsung. 2 senduk dia letak nasi. Lepas cedok seketul ayam gulai, dia cari kopeh ayam (kopeh means bahagian tulang-tulang ayam seperti leher, bontot, kaki), terus letak dalam pinggan. Sedap makan kedai ni. Saya suka! 👍😋

Sekarang bila dah balik Perak, rasa rindu suasana sejuk di sana. Makanan yang sedap. Ok la, saya sedikit sibuk, nanti bila ada free sikit, saya akan blogwalking ke blog kawan-kawan ye, slow-slow.

Jumpa lagi. 😊

Cheat day

 Jarang balik kampung. Jadi, diet tak makan nasi tu, kita tolak ketepi dulu, ye. Rugi ler, kalau tak makan nasi sini. Sedap, wei...

Pagi tadi, kami makan di kedai nasi berlauk kak chik. 

Dah gaul nasi dengan kuah, baru teringat nak ambil gambar.

Saya makan nasi lauk daging kerutuk. 😋

Ini kedainya, kedai nasi berlauk Kak Chik.

Dekat juga dengan rumah mak mentua saya.

Ambil juga karipap sardin dan kuih akok.

Hujan dari pagi, tak berhenti. Saya buat senaman ringan je, 20 minit. Suami ajak keluar cari putu halba. Makanan yang ada waktu musim hujan je, di kelantan. Jadi, kami pun keluar pergi pasar Wakaf Baru. 
Ada je banyak orang jual putu halba di tepi-tepi jalan, tapi orang niaga kata, kena tunggu lama. Orang dah tempah, kena tunggu setengah jam. Itu yang kami pergi pasar dulu, nak cari barang.


Saya beli rempah kerutuk, serbuk kari, gula nise (gula melaka) dan lada putih siam. Rempah kerutuk dan kari tu, tak sama tau, rasa dia, banding kita guna rempah kari baba ke, adabi ke. Special rempah dia. Tu pasal kalau kita masak kari ayam guna rempah beli di Perak, tak kan sama dengan rasa gulai nasi berlauk kelantan.

Habis beli barang, jumpa orang jual lokcing.

Jumpa orang jual lokcing luar pasar.

Beli dulu. Harga lokcing, 3 cucuk, RM1. Lepas tu, makan dalam kereta.
Lokcing


Lokcing atau sate ikan. Sedap, makan panas-panas. 😋 Dah habis makan, baru kami jalan. Akhirnya jumpa orang jual putu halba di Morak.
Putu halba

Putu ini dibuat dari ubi kayu. Saya makan 3 biji je, sudah kenyang.
Anak saudara suami pula datang rumah, bawa ubi kayu rebus. Cicah kelapa.

Putu halba, ubi kayu rebus bersama kelapa parut dan air kopi panas.

Makanan di waktu hujan. Alhamdulillah. Kenyang.

Ok. Sekian laporan makan-makan setakat ini. Jumpa lagi, ye. 😊

Balik Kelantan

 Semalam, hari Jumaat, saya dan suami balik Kelantan. Hujan sepanjang jalan. Sekejap lebat, sampai tak nampak jalan. Sekejap, renyai-renyai. Masa jalanraya timur-barat, atas Banjaran Titiwangsa tu, jalanraya sudah sangat cantik. Kerja-kerja menurap tar masih dijalankan. Sebelum ni, jalan bertampal-tampal. Lampu jalanraya pun banyak dah ada. Bagus. Alhamdulillah. Setelah sekian lama jalan kopak-kapek (eh, ada ke perkataan ni?)

Seperti biasa, saya jadi co-pilot. Check jalan. Takut ada jalan tutup, dinaiki air.

Lalu jalan tepi Sungai Golok

Banyak kampung sudah dinaiki air. Kereta orang kampung sudah diparking atas jalanraya. Binatang ternakan pun sama. Ayam, itik, kambing, lembu, semua sudah ditambat di tepi jalan raya, kerana halaman rumah sudah dinaiki air.

Padang bola sudah dinaiki air.

Maaf, gambar gelap. Tak ada matahari. Awan tebal. Jalan yang dari Rantau Panjang ke Tumpat ada kawasan sikitttt je lagi air nak naik, setakat kami lalu semalam. Pagi ni, tak tahu camana keadaan. Keadaan jalan pula sangat teruk, lubang sana sini. Nanti nak balik Perak esok, kena ikut jalan lain la.
Alhamdulillah, selamat sampai kampung suami lewat petang. Sempat singgah pasar malam Terbak. Beli bungkus nasi untuk makan malam.

Menariknya air dia...

Saya terbeli kopi beng (kopi ais). Pasar malam kat rumah saya, takde pulak jual air macam ni. Saya beli kuetiau goreng kerang kuali besar. Suami beli nasi kerabu. Bungkus 2 lagi nasi kerabu untuk mek (mak mentua) dan mek yah (kakak ipar saya).
Orang sini, dia panggil orang, depan dia ada mek. Contoh macam nama saya, Nurhayati. Orang panggil Mek Ti. Kalau nama Rina, orang panggil Mek Na.

Kalau lelaki pun, depan dia letak Pok. Contoh suami saya, nama Azlan. Orang panggil Pok Le. Lan jadi Le. Makan jadi make. Gitew...

Alhamdulillah. Akhirnya, dapat jumpa orang tua, setelah sekian lama. 

Saya update ni, guna handphone. Keciknya, dah biasa update blog guna laptop. Tak bawa balik. Travel light. Backpackers. Hehe..

Baik. Jumpa lagi ye. Selamat berehat di hujung minggu, dari saya, di Tumpat, Kelantan. 😊

Indoor saja, sebab hujan

 Sudah 2 hari hujan di pagi hari. Jadi, saya berlarian di dalam rumah saja. 

Dua hari lari dalam rumah.

Larian indoor Rabu 🠊 10.47 kilometer

Larian indoor Khamis 🠊 10.15 kilometer

Alhamdulillah. Dapat juga keluar peluh. Sebenarnya, saya lebih suka bersenam dalam rumah. Saya seorang pula tu. Suami kerja. Anak-anak di sekolah. Jadi, pakai seksi pun, tak ada orang nampak. 

Di jam Garmin, kena set setting sebagai treadmill running, sebab dalam rumah, tiada GPS. Jam akan detect hayunan tangan kita. Saya berlari dalam rumah, ulang-alik dari ruang makan, masuk ke dua bilik. Treadmill saya sudah lama rosak, meletup dulu, saya pernah cerita di sini. Sudah 2 kali treadmill di rumah rosak. Suami ada cakap nak beli lagi. Tapi, saya cakap, tak payah la. Harga sebiji bukannya murah. Lagi pun, bukan selalu saya lari dalam rumah. Bila hari hujan sahaja.

Semalam, saya dah suami pergi makan malam di kedai Tomyam Efan2. Saya pesan maggi celup.

Maggi celup

Sedap juga. Lagi-lagi, dia ada letak bebola daging tu, macam bakso pula. Tapi lepas makan, terbatuk-batuk terus saya. Sangkut kat tekak. Tak tahu la apa. Rasa tak lepas. Cili flakes kot. Atau rempah apa yang dia gunakan. Uhuk uhuk...kaw betul, sup dia. Hari ni, dah ok, tak batuk dah.

Kain jemuran tak kering. Matahari berlindung di balik awan tebal. Bagaimana cuaca di tempat anda?

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 😊

Lesen memandu kereta

 Masa anak sulung cuti seminggu baru-baru ni, dia sempat habiskan jam belajar bawa kereta, dan ambil ujian memandu dengan JPJ. Alhamdulillah, lulus sudah. Anak ambil lesen kereta auto sahaja. Hari tu, dia tak cukup jam pergi belajar, sudah balik ke kampus, masa cuti semester. 

Sempat juga la dia, hari-hari pergi kelas memandu, baru-baru ni. 

Anak sulung bawa kereta, bapanya duduk sebelah.

Sekarang senang, boleh pilih nak ambil lesen kereta manual ke, atau auto. Kita dulu, kena ambil manual. Tak ada pilihan.

Kira, awal juga budak ni dah ada lesen. Saya dulu, sudah habis belajar, barulah nak ambil lesen kereta. Itu pun, arwah mak yang suruh. Ikutkan hati, tak mahu saya belajar bawa kereta. Masa tu, tinggal di KL. Lebih selesa guna pengangkutan awam seperti bas dan LRT. Suka juga berjalan kaki. Dulu saya pernah jalan kaki dari perhentian bas Pekeliling sampai ke Kotaraya, ambil bas balik ke Serdang di situ. 

Bila habis belajar degree, mak paksa balik kampung, ambil lesen kereta. Saya ingat lagi, saya cakap, "kalau tak ambil lesen, tak boleh ke?" 

Arwah mak jawap, "Nanti nak pergi mana-mana camana, bila mak dah mati? Nak korek kubur mak, suruh hantor bawak kereta?" 

Dah mak kita cakap macam tu, tak boleh cakap apa dah. Kena ikut. 2 minggu juga duduk rumah orang tua, hari-hari pergi belajar memandu. Saya pulak, kosong, tak pernah bawa kereta manual. Setiap hari, 2 jam punya sesi. Berpeluh, bawa kereta kancil, cikgu tak bagi pakai aircond time praktis parking ke, bukit, ke. Masa keluar jalanraya baru boleh pasang aircond. Hahaha... nasib baik lulus. 

Sekarang pun kalau suruh saya bawa kereta manual, saya dah lupa dah, sebab lama tak bawa. Kereta semua auto. 

Alhamdulillah. Anak dah ada lesen kereta. Tambah sorang pemandu, boleh tukar-tukar driver bila balik kampung. Tak pun, suruh dia ambil adik-adik sekolah, time dia cuti la, dok rumah. 

Ok. Tu je cerita hari ni. 

Jumpa lagi, ye. 😊

Hari ini dan semalam

 Kadang tu, saya tak sempat nak update blog awal. Kadang tu, siap masak lewat. Lepas tu, ambil anak sekolah pula. Tak sempat online. Hari ni, lewat sikit, sebab tolong anak bongsu print kerja sekolah dia. Hahaha... heee.. macam-macam. 

Ok la ye. Semalam pagi, saya pergi lari lewat. 

Larian Isnin, 10.28 kilometer.

Hampir jam 7.30 pagi baru tiba di tempat lari. Lepas tu, saya terlari sampai 10 kilometer pulak tu. Sesi larian semalam adalah selama 1 jam 50 minit. Oh, sini memang best, tak rasa pun masa tu lama, sebab sambil lari, saya dapat tengok laut. Matahari pun agak terik semalam. Panas nak hujan di waktu tengahari. Main panas saya, habis la hitam muka. Tapi, biar muka hitam, jangan hati hitam, betul tak? (Ayat penyedap hati).

Jika anda baru nak mula berlari, jangan terus buat 10 km macam saya. Sikit-sikit dulu, ikut rasa kaki masing-masing. Esoknya, up 1 km. Lusa, up lagi 1 km. Dia tak boleh terus buat jarak jauh, tau. Nanti badan terkejut. Mula dengan berjalan pun ok. Lama-lama, up sikit, jadi slowjogging. Saya pun slowjogging je. Santai-santai.

Makan malam semalam, suami ajak pergi kedai tomyam.

Bihun kungfu.

Saya pesan bihun kungfu. Alhamdulillah, sedap.

Itu cerita semalam. Cerita hari ni pulak.

Orang tua buang tebiat.

Larian hari ini adalah sejauh 10.55 kilometer. Cuaca cantik hari ni, mendung je, tak panas sangat.

Balik rumah, saya buat wrap untuk sarapan.

Wrap telur goreng.

Saya guna Gardenia Roll-up Wraps.

Perasa bawang putih.

Yang jenis whole wheat sudah habis. Bawang putih pun ok juga. Lembut je, setelah dipanaskan seketika dalam kuali tanpa minyak. Alhamdulillah. Kenyang juga.Telur je ada di rumah. Kalau ada leftovers, bolehlah letak apa-apa, ayam ke, daging ke. Buat wrap adalah alternatif untuk menghabiskan lauk leftovers semalam, selain dari masak nasi goreng. Saya dah lama tak beli wrap ni. Bosan makan roti gardenia hijau, kita tukar yang ni pulak.

Untuk tengahari, saya masak sambal telur (telur lagi).


Biasa ler, lauk belum masuk gaji. Telur. Alhamdulillah. Jangan komplen. Rejeki hari ni. Orang Palestin tu, makan pun takde, rumah kena letup, sian dia orang. 

Sekian cerita hari ini dan semalam. Eh, ada lagu, tau, sama dengan tajuk entri saya. Saya sudahi entri kali ini dengan video lagunya. Hehe... jumpa lagi, ye. 😊

Makan kenduri

 Pada hari Sabtu lepas, kami memenuhi jemputan kahwin anak officemate suami. Lokasi kenduri kahwin adalah di dewan Hotel Sofera, Manjung. Kenduri sambut menantu perempuan. 

Sampai-sampai je di pintu masuk, jumpa tuan rumah dulu. Terus tuan rumah ajak bergambar. 

Foto kredit mak pengantin lelaki.

Sebab kami datang hampir waktu makan tengahari. Orang sudah mulai ramai. Mak pengantin terus bagi bag cenderahati dan jemput kami masuk makan. 

Ramainya jemputan. Kami terus beratur di tempat ambil nasi. Panjang barisan.

Lepas tu, cari tempat duduk, nak makan. Tak jumpa. Orang mengambil masa untuk bangun, sebab lepas makan nasi, mestilah nak ambil bubur kacang pula, lepas tu, ambil cendol, lepas tu, aiskrim, lepas tu, kek dan agar-agar, lepas tu, apam balik. Tudia, banyaknya benda nak makan. Kebetulan terdengar encik pengerusi majlis atau emcee bagitau, kat tepi dia, ada tempat duduk kalau sesiapa yang sedang mencari. Kami pun terus tuju ke arah encik emcee tu cakap.

Lokasi special. Meja urusetia tepi pentas. 😁

Ok ler tu. Apa lagi, jemput makan.

Nasi kenduri

Nasi minyak lauk kari dalca, acar buah, daging masak hitam, ayam masak bawang dan acar jelatah. Nasi putih pun ada. 

Pengantin baru lepas makan beradab. Encik emcee panggil ke depan, sesi ambil gambar.

Eh, sebelum sesi bergambar, potong kek dulu.

Enjoying food. Dah lama ngidam nasi minyak. 😋

Lepas makan, ingat nak minum air panas. Teh tarik sudah habis, masa suami pergi ambil. Tapi, ada disediakan air panas. Jadi, boleh buat kopi sendiri.

Mari bancuh kopi hotel.

Sambil pekena kopi, kita makan kek.

Suami ada ambil cendol. Lupa pulak ambil gambar cendol. Sebab meja kami tepi pentas, seronok tengok gelagat orang, bergambar dengan pengantin. Lepas keluarga kedua belah pihak, dengan kawan-kawan pula. Mesti penat pengantin, kena senyum tak habis-habis.

Alhamdulillah. Semoga murah rejeki keluarga officemate suami yang sudi menjemput kami makan kenduri. Semoga pasangan mempelai kekal hingga ke jannah. Mari kita tengok apa dalam doorgifts.


Ada 2 beg berzip, sorang satu dia bagi pada saya dan suami. Juga satu beg yang ada bunga telur. Tapi tiada telur rebus, digantikan dengan epal hijau. Saya keluarkan isi beg berzip tu. Ada tuala kecil, snek corntoz, gula-gula dan air kotak. Dalam bekas bunga telur, ada mini sejadah dan butter cookies. Alhamdulillah. 

Sekian cerita kami pergi makan kenduri. Korang buat apa hari Sabtu dan Ahad hujung minggu?

Jumpa lagi, ye. 😊

Projek anak bongsu

 Tak berapa lama dulu, anak bongsu ada minta nak beli barang di shopee. Dia kata, barang untuk kerja sekolah, subjek RBT (Rekabentuk dan Teknologi) Tingkatan 3. Barang-barang yang dia minta beli:

Bekas acuan silikon satu set, atas dan bawah, pemegang acuan tu dan lampu USB.

Epoxy Resin

Ha ah. Kena beli sendiri. Zaman kita dulu, cikgu yang sediakan barang-barang. 

Barang-barang dalam gambar pertama di atas, dari China. Nasib baik anak cakap awal. Jadi, ada masa untuk barang sampai. 2 Oktober beli, 9 Oktober sampai rumah.

Barang dalam gambar kedua, penjual dari Selangor. 2 Oktober beli, 5 Oktober sampai. 

Lepas tu, anak ajak beli bunga kering. Saya pun bawa pergi kedai jual barang-barang perkahwinan, Yun Yun. Beli bunga plastik.

Berikut adalah projek anak yang telah siap, menggunakan barang-barang yang telah dibeli.

Projek RBT Tingkatan 3. Lampu tidur. Eh, abaikan meja kerja anak yang sudah reput di tepi itu. Meja turun-temurun, dari zaman saya belajar.

Cantik tak? Peh... macam ni yek, projek budak-budak sekarang. Hebat betul! 

Korang dulu tingkatan 3 buat apa? Saya masa subjek Kemahiran Hidup, buat tempat letak surat. Projek pertukangan. 😁

Lampu tidur buat sendiri.

Malam-malam masuk bilik, tengok anak pasang. Saya mula-mula memang ada rasa nak marah. Sebab barang kena beli sendiri. Tapi tak jadi nak marah bila tengok hasilnya, dia gunakan dalam kehidupan seharian. Cantik pulak tu. Entah la. Saya tak sabar nak tunggu anak habis sekolah, supaya tak perlu lagi beli barang-barang yang saya sendiri tak tahu kegunaannya. 🙈

Orait. Salam Jumaat kepada pembaca sekalian.

Jumpa lagi ye. 😊

Cerita hari Khamis

 Oleh kerana sekarang cuaca kerap hujan, jadi bila tidak hujan saja, elok lah kita keluar berlari. Walaupun hari mendung, mendung tidak bererti hujan. Boleh jadi angin kuat gerakkan awan hujan ke kawasan lain. Bila hari hujan, kita duduk rumah diam-diam lipat kain ya. 😁

Larian Selasa lepas, sejauh 8 kilometer. Suami off kerja. Tengah posing selpiaq, tiba-tiba ada photo bomb. 😁

Kuat betul suami saya ni. Maksud saya, suami nekad untuk kurangkan berat badan. Dia berhenti terus minum air manis. Nasi pun makan seminggu sekali. Dulu, perut suamiku maju ke hadapan. Kini, lihatlah, dalam gambar di atas. Banyak progress dia. Iya, masih ada spare-tyre tu. Tapi slow-slow ler. Dah bertahun-tahun kot ternak lemak, takkan ambil masa sekejap untuk hilang kot. Rome wasn't built in a day, pepatah Inggeris mengatakan. Walaupun dia selalu merungut, berat tak turun-turun. Tetapi saya nampak ada pengurangan di pinggangnya. Seluar kerja suami pun sudah longgar, ok. Memang kalau nak kurangkan berat badan, kena kawal pengambilan gula dan karbo. Terbukti sudah. BMI suami saya, obese. Sedang usaha turunkan, slow-slow. Berusaha! 💪💪 Saya? Saya tak kuat macam suami saya. Dah banyak kali cakap nak berhenti minum kopi, tapi masih beli kopi. Kikikiki....

Pagi tadi, saya masak nasi goreng untuk sarapan kami anak-beranak.

Nasi goreng.

Boleh makan nasi. Tapi, portion-nya sebesar penumbuk kita sahaja. Saya pun dah kurangkan masak nasi. Dulu, 4 pot setiap kali masak. Sekarang, sudah 3 pot. Itu pun, sebab anak sulung ada di rumah, cuti seminggu. Nanti bila dia balik campus, masak 2 pot je la kot. Atau pun tak masak nasi langsung. Sebab tinggal orang yang tak makan nasi je nanti. Anak bongsu pun sedang usaha untuk kurangkan berat badan. Berat anak bongsu lebih 100 kilogram, walaupun dia baru 15 tahun. Dia, jururawat yang datang suntik imunisasi anti tetanus di sekolah dia, nasihat, supaya kurangkan berat badan. Sejak hari tu, dia terus cakap pada saya, tak mahu makan nasi lagi. 

Selain nasi goreng, goreng karipap yang buat semalam.

Kiri, karipap oksigen. Kanan, karipap berinti.

Habis dah karipap oksigen. Tinggal karipap biasa. Puas hati buat sendiri karipap.

Lepas hantar anak sekolah, suami ada aktiviti riadah di ofisnya. Dia tinggalkan saya di padang Astaka, Sitiawan.

Larian pagi tadi, 7.1 kilometer.

 Udara sejuk pagi tadi. Saya wheezing. Inhaler asthma ada dalam kereta yang suami bawa pergi ofis. Jadi, saya jalan-jalan saja. Ambil nafas dalam-dalam. Alhamdulillah, semput hilang. 

Lepas suami selesai aktiviti sukan di ofisnya, dia datang ambil saya semula di padang, dan kami pergi sarapan di mamak.

Saya pesan tosei, dan ambil vadei seketul. Suami makan puri, 1 set.

Vadei.

Beza ya, vadei dulu dan sekarang. Dulu, setiap gigitan, boleh rasa ada bawang dan cili api. Sekarang, rasa kosong je. 

Balik rumah, lepas mandi, masuk dapur, goreng ayam.

Ayam goreng.

Tengahari, makan nasi goreng pagi tadi bersama ayam goreng.

Lepas zohor, bawa anak-anak pergi Aeon sekejap, ada nak beli headphone la, perfume la. Sebab jarang ketiga-tiga anak ada di rumah dan hendak keluar sekali, paksa dia orang posing ambil gambar. Dia orang punya mulut pok pek pok pek, malas bergambar, tapi sebab tak ramai orang pun di Aeon, berjaya juga suruh anak-anak posing, seperti di bawah.

Dekat papan tanda Gemencheh Boys. 😁

Dari depan, anak sulung, diikuti anak bongsu dan anak kedua di belakang sekali. Syukur Alhamdulillah. Memang bising dalam kereta, sebab yang sorang tu, jarang-jarang nak ikut keluar rumah, jenis suka memerap di rumah saja. 

Sekejap je, anak-anak membesar. Selagi berkesempatan, ambil masa, spend time dengan anak-anak. Ajak anak sembang. Masa paling bahagia bagi saya, bila dapat luangkan bersama keluarga. 💓

Ok la ye. Sekian cerita hari ni.

Jumpa lagi. 😊

Buat karipap

 Ada ni ha, sibuk buat karipap. 😁

Bukan main lagi ye. Orang lain yang raya, kita yang sibuk ke sana ke sini, sampai blog tak ber-update. Hehehe... syoknya bila cuti. Boleh jalan-jalan cari makan. Boleh pergi lari di tempat jauh sikit. Yang sedikit kurang syok, jalanraya sesak sebab orang ramai balik kampung dan pergi bercuti. 

Dapur pun lama tak berasap. Ya Allah, bukan main malas lagi masak yek, masa cuti. Ish ish, marilah kita kembali ke pangkal jalan. Hari ni barulah saya masak nasi. Lauknya, ayam goreng je. Hehe... kalau tercekik makan nasi takde kuah, letak kicap. Ok ler tu. Sebab hari ni, saya buat karipap. 

Inti karipap

Inti karipap, saya guna kentang dan ayam (guna ayam cincang Ramly). 

Adunan doh (kulit karipap)

Saya: Mesti abang rasa bini abang ni merepek, kan. Hari abang kerja la, kita buat karipap. Hari abang off 2 hari, dapur tak berasap.

Suami: Ha, tahu pun! 2 hari dok rileks depan tv, tak buat apa. Hari ni la baru nak kelam-kabut masak.

Saya gelak. Tapi suami saya tetap tolong saya canai adunan doh tu jadi nipis-nipis, bentuk bulat, supaya kerja saya cuma letak inti karipap dan buat kelim karipap saja. Mula masak inti pukul 10 pagi. Dia masuk kerja pukul 12 tengahari. Masuk lambat terus dia, pukul 11.40 baru dia tolak dari rumah ke ofis. Baik tak suami saya? Hehehe... dah suruh dah dia tinggal, biar saya buat sorang. Saya saja nak test saya boleh tak buat karipap sorang ni. Dia tolong juga canai doh sampai habis. Hehe.. i 💓u, my husband! 🙈

Karipap in the making

Lepas suami pergi kerja, saya pun cepat-cepat habiskan. Sebab pukul 1.20 anak habis sekolah, nak pergi ambil. 

Saya tak guna acuan karipap. Ada, tapi malas nak cari dalam laci almari belakang. Mesti dah berhabuk. Saya buat kelim karipap sendiri je, guna tangan. 

Dari sudut lain pula, karipap in progress

Dapat 49 biji karipap ada inti

15 biji karipap oksigen

Ha, ingat kat pasar ramadan je ke, ada karipap oksigen? Saya pun buat juga. Sebab ada seorang budak di rumah ni, sejak kecil lagi, dia suka makan kulit karipap saja. Lagi pun, inti karipap dah habis laa... 😁

Karipap yang digoreng sebentar

Takkan kita nak goreng semua sekali. Tak habis makan. Untuk simpan esok lusa, sebaiknya kita goreng dulu sekejap, karipap. Kalau terus masuk dalam fridge, nanti bila nak goreng, dikhuatiri doh-nya melekat, nanti susah pula nak goreng. Jadi, goreng sekejap, masukkan dalam tipuware, dan bolehlah disimpan dalam fridge ye. Karipap frozen homemade. 

Karipap ada inti, sudah siap!

Karipap oksigen.

Saya sempatlah makan seketul sebelum keluar ambil anak sekolah. Balik dari ambil anak-anak, saya pergi mandi. Selesai je mandi, licin, ok! Nasib baik mak dah makan seketul. Nak goreng lagi malas, esok la pulak. 

Tips untuk elak gelembung pada kulit karipap, api dapur jangan terlalu panas. Kena suam-suam je waktu mula masuk karipap. Saya nak cepat siap, lantak ler, sendiri juga makan.

Saya sertakan resepi karipap ye. 

Resepi Karipap

Bahan untuk inti:

Bawang bombay (cincang halus)

Daging kisar atau ayam kisar, suka hati nak guna mana satu, terpulang.

Daun kari

Serbuk kari daging

Kentang 3 biji, potong dadu

Garam dan serbuk perasa

Bahan untuk kulit karipap:

Tepung gandum

Marjerin planta

Air

Maaflah, sebab tiada sukatan. Saya buat ikut sesedap rasa je. Terpulang la berapa banyak bahan ada di rumah. Main campak-campak, tak sukat pun.

Cara buat inti:

Panaskan minyak. Masukkan bawang yang telah dicincang. Masak hingga terbit bau.

Masukkan daging atau ayam kisar. Masukkan daun dan serbuk kari dan air.

Kacau hingga daging masak. Masukkan ubi kentang. Saya tak rebus dulu kentang. Jadi, kena pandai tengok, kalau kentang belum empuk, masukkan air. Tutup kuali, biar masak sampai empuk. 

Perasakan dengan garam dan serbuk perasa. Masak hingga kering. Biar sejuk.

Cara buat kulit karipap:

Uli tepung gandum dan planta hingga adunan menyerupai breadcrumbs. 

Masukkan air sikit demi sedikit dan uli hingga adunan tidak melekat. Saya tak letak garam dalam adunan sebab saya dah letak garam dalam inti karipap. Apa pun, terpulang pada anda ye, ada yang tambah garam masa mula-mula menguli.

Buat adunan bulat-bulat kecil. Uli jadi nipis, menggunakan roller.

Letakkan sesudu inti di tengah adunan bulat kita. Lipatkan. Sapu gam (tepung campur air sikit) pada tepi adunan. Buat kelim. 

Panaskan minyak. Bolehlah goreng karipap, hingga warna keemasan. 

Pekena dengan kopi, nikmat wei...! 😋

Selamat mencuba. 

Jumpa lagi, ye. 😊