Showing posts with label Rumusan Bulanan Larian. Show all posts
Showing posts with label Rumusan Bulanan Larian. Show all posts

Ke laut sudah

 Sekarang ni, saya lari hari-hari. Sebab nak kumpul jarak. Sebabnya, adalah kerana saya telah daftar cabaran Fit Raya 300km. 

Fit Raya 300 km Runathon

Runathon ni, anjuran group Malaysia Woman Runners. Kumpul jarak larian dari bulan Februari hingga Mei 2024. Atau sehingga capai jarak 300 kilometer la, untuk bergelar finisher. Sebab saya masuk Fit Raya ni, untuk lawan rasa malas keluar berlari la. Bila kita sudah daftar, sudah bayar untuk baju, jadi nak tak nak, kita pergi berlari juga la. 

10 ribu langkah sehari, tercapai sudah 22 hari.

Kawan-kawan yang ada baca entri saya lepas-lepas tentu tahu, yang saya on diet. Tak makan nasi dan benda manis. Mula-mula memang ok. Tapi bila hari-hari keluar berlari, saya sudah rasa kurang tenaga. Ye, saya tahu, tak larat lari 10 kilometer, sebab tak makan nasi.

Rumusan larian Februari 2024

Di bulan Februari ni, saya sudah pun kumpul jarak sejauh 217.7 kilometer. Ini, untuk berlari. Tak campur jarak saya berjalan pergi pasar malam, pasar tani, dan lain-lain waktu yang saya ingat untuk simpan aktiviti. Hehe. Campur 5 kilometer la, lebih kurang, aktiviti berjalan.

Paling sikit saya berlari adalah 2 kilometer. 

Paling jauh saya berlari adalah 15 kilometer.

Saya mula daftar untuk Fit Raya pada 8 Februari. Sejak itu lah, saya mula kumpul jarak hari-hari.

Jumlah jarak lari campur berjalan adalah 223.87 kilometer.

Aplikasi Biib+ ada totalkan jarak lari dan berjalan sekali dalam rumusan bulanan. Kalau aplikasi Garmin, dia asingkan aktiviti berlari dan berjalan.

Bertabahlah saya, tolak malas ke tepi, demi Runathon 300 km ini.

Larian 26 Februari, 8.29 kilometer.

Larian 28 Februari, 6.2 kilometer

Apa yang saya nak kongsikan di sini ialah, bila kita lari hari-hari, kita MESTI makan nasi. Carbo loading. Bagi saya sendiri, bila saya tak makan nasi banyak hari, saya boleh lari setakat 6-7 kilometer saja. Nak capai 8 kilometer pun, lidah sudah terjelir, macam berjalan di padang pasir yang tandus dengan kaki yang berat. Gitu....

Demi untuk mengumpul jarak, saya ketepikan dulu diet saya itu. Saya sudah makan nasi. Air manis pun saya minum, tapi saya hadkan kepada 1 gelas sahaja. 

Sarapan 28 Februari.

Sarapan semalam, saya makan roti bakar telur goyang 2 keping, bersama baked beans. Air white coffee panas kosong. 

3 scoops ice-cream

Tengah panas tu, nampak pula orang jual aiskrim, kan. Perasa durian pulak tu. Apa lagi, saya pesan campur perasa durian dan coklat. Hehehe... nikmatnya! 😋

Begitulah cerita saya, terpaksa ketepikan dulu diet no nasi, no air manis saya itu. Saya nak cuba habiskan jarak 300 kilometer itu, sebelum puasa. Insya-Allah. Wish me luck! Walaupun lambat lagi tempoh akhir, sampai bulan Mei. Saya malas nak bawa lama-lama. Nak fokus bulan puasa, untuk amal ibadat je.   

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 😊

Rumusan Oktober yang sendu

 Pagi-pagi buta, sudah masuk dapur. Sempat masak satu lauk untuk hari ni.

Kuali comot. Minta maaf ye.

Sambal telur rebus. Lauk paling mudah nak masak. Sambalnya, guna cili kering semata. Ada kick, ooo! 😋

Lepas hantar anak-anak ke sekolah, saya pergi berlari di padang. Sebab semalam hujan, padang agak basah dan becak. Tapi ok la, boleh elak-elak, ikut laluan kering.

Larian Rabu sejauh 8 kilometer.

Balik dari lari, saya singgah Family Mart. Mahu beli kopi, tapi mesin kopi sedang diservis. Huhu..

Hari ni sudah masuk bulan baru, November. Mari kita tengok rumusan larian di bulan Oktober.

Rumusan larian Oktober 2023

Ayoyo... kelihatan banyak rongak ya, dalam graf di atas. Banyak hari ponteng lari. Kih kih kih! 

Jumlah jarak larian cuma 145.6 kilometer.

Purata berlari dalam sehari cuma sejauh 4.7 kilometer. Hahaha... 

Kita cuba buat lebih baik bulan ni, ya! Berusaha! 

Saya sudah tak peduli tentang berat saya. (Ya ke? Boleh percaya ke? 😝) Tapi untuk rekod, saya letak di sini juga la ya. Hasil motto hidup baru iaitu Live Life Abundantly, berat saya naik sikit. Hahaha..... adan uke!

Dari 59 kg, sudah jadi 60 kg!

Tapi BMI saya masih normal (kurang dari 25). Jadi, apa nak buat ni? Nak control makan ke, nak kekalkan makan ikut suka hati? Entah la. Rasa nak makan, makan je la. Tapi yang pasti, saya akan cuba untuk lari hari-hari, sebab lari buat saya happy! 😁

Pejam celik, pejam celik, lagi 2 bulan je lagi, tahun 2023 ni. Adakah target atau azam anda masa awal tahun sudah tercapai?

Orait. Jumpa lagi, ye. 

Naik 3 kilo!

 Rabu, 15 Muharam 1445 Hijrah - Sudah masuk bulan Ogos. Cepat betul, kan... Seperti biasa, bila masuk bulan baru, saya akan kongsikan laporan larian bulan sebelumnya. Mari kita tengok, larian saya bulan lepas yang sendu.... 😅

Laporan Julai yang banyak rongak.

Pada bulan Julai yang lepas, jumlah jarak larian saya, cuma 133 kilometer, berbanding bulan Jun, jarak saya lari adalah sejauh 250 kilometer. Haha... memang malas betul lari di bulan Julai. 

Laporan Julai, compared to Jun.

Bulan Julai hanya ada 21 aktiviti larian saja, banding bulan Jun, saya ada 33 aktiviti larian.

Tapi memang dari awal saya sudah plan untuk berehat-rehat di bulan Julai, kerana bulan Ogos ni, saya ada 1 event larian fizikal dan 1 event larian virtual yang durationnya selama sebulan. 

Seperti biasa, setiap 1 haribulan, saya akan timbang berat. Nak tahu berat saya berapa?

63 kg!!!! 

Hahaha....padan muka, kat diri sendiri. Inilah apa yang kita dapat, kalau kita makan lebih banyak dari apa yang kita bakar. Hahaha.... carbo loading melampau. Sampai 3 kilo naik!

BMI jadi overweight

Padanlah rasa seluar macam kecik. Suami saya kata, itu tanda saya happy! 

Ye la, memang saya happy pun. Takde pantang-pantang. Pantang tengok makan sedap. 🙈 

Tapi, saya ok je. Sebab bulan Ogos ni, kena kerja keras, Runliga akan bermula pada 17 Ogos. Kumpul sebanyak mana mileage yang boleh, selama 1 bulan. Berusaha! 🏃

Sarapan hari ini

Sementara dekat rumah, bolehlah amalkan semula diet suku suku separuh. Haha... kembali ke pangkal jalan. Timun separuh pinggan, telur goreng suku pinggan, dan nasi goreng suku pinggan. 

Semoga bulan Ogos ni, membawa lebih makna dan kejayaan kepada anda sekalian. Cuba untuk berubah ke arah kebaikan, sikit demi sedikit. Cuba mana mampu. Nikmati hidup dengan sepenuhnya. Syukur dengan rezeki dan nikmat yang Allah beri. 😊💓

Jumpa lagi, ye. 

Runathon KL 243 km - Completed!

 Assalamualaikum dan hai semua..... 

Sibuk ke? Saya harap anda semua sihat sejahtera, dan segala urusan anda pada hari ini dipermudahkan.

Saya sambung cerita lari dan makan-makan saya, ye. Harap korang tak bosan la. Macam ni la saya ni. Lari je, kerjanya. Sebab lari buat saya happy. 😁💓🏃

Ahad, 25 Jun 2023 - Saya lari di Taman UTP (Universiti Teknologi Petronas), dekat Tronoh, bersama suami. Dia tak kerja, jadi lari di tempat jauh sikit, saja tukar angin. 

Larian 25 Jun, sejauh 8.35 kilometer. 

Lepas lari, ikut jalan jauh balik ke rumah, melencong ke Parit. Gambar saya ambil depan papan tanda I 💓 Parit. Lama tak singgah pekan kecil ni. Kami sarapan di gerai tepi jalan di Parit.

Isnin, 26 Jun 2023 - Awal pagi, sebelum subuh, sudah masak nasi goreng untuk sarapan anak-anak, merangkap makan tengahari sekali.


Lepas hantar anak sekolah, pergi lari bersama suami.

Larian 26 Jun sejauh 7 kilometer.

Lepas lari, pekena sarapan di kedai kopi 989. Kedai dia tepi taman Esplanade Lumut saja. Sebab tengok kedai sudah buka, apa lagi, kan. Sorang sebungkus nasi lemak daun pisang. Order pula seketul chocolate brownie, dan seketul scone, yang dihidang bersama butter, strawberry jem dan whipped cream. Feeling ala-ala di Cameron Highlands. Saya lupa saya pesan kopi apa. Tapi sedap la, makan sini, lagi-lagi lepas lari, kan. Perut tengah keroncong. Pehh.... 😋

Selasa, 27 Jun 2023 - Lepas hantar anak ke sekolah, lari di Teluk Batik.

Larian 27 Jun sejauh 7 kilometer.

Kucing comel tidur atas kereta. 

Rabu, 28 Jun 2023 - Hari Arafah. Saya tak puasa sunat pun. Perangai macam setan.

Cuti sekolah sempena Raya Haji

Ramai yang pulang ke kampung. Korang balik kampung tak, hari tu? Teruk jalan sesak yang balik ke pantai timur, kan. Ada yang sampai 27 jam dalam kereta. Pehh.... Kami tak balik, suami cuti 1 hari sahaja. 

Bukan saja di jalanraya, di pasar awam pun sesak juga, ye. Hehe.. sebab saya pergi pasar, beli daging, orang memang ramai hari Rabu sebelum raya ni. Ramai buat persiapan masak untuk raya, kan. Saya beli daging sekilo setengah. Balik, saya masak rendang. Ayam di pasar habis, ok.

Rendang daging raya haji 2023

Disebabkan ayam habis, saya dan suami pergi cari ayam di Lotus. Nasib ada. Beli 2 ekor. 

Riadah 28 Jun 2023

Saya lari pagi, sebelum pergi pasar, sejauh 5.15 kilometer.

Larian treadmill tu, sebenarnya saya berjalan dalam Lotus, cari ayam dan beli daun limau purut serta santan kotak. 

Petang hari Rabu, saya dan suami ke Ipoh, lari di padang Polo, sejauh 5.19 kilometer. 

Sekarang saya tahu kenapa orang Ipoh laju-laju. Sebab di taman rekreasi dia, ada bukit. Training bukit dia orang, bila riadah di Padang Polo. Syok betul tempat lari dia. Luas, ada banyak laluan boleh pilih. Ada orang jual laksa, ABC, cendol, dan lain-lain. Playground untuk budak-budak yang luas. Tempat bersenam disediakan. Tandas awam pun bersih. Padang Polo Ipoh adalah tempat yang best, untuk beriadah! Saya suka!

Singgah maghrib dan makan malam di Seri Iskandar.

Nasi goreng dengan telur dadar

Khamis, 29 Jun 2023 - Hari Raya Aidil Adha. Selamat hari raya, semua... seronok tengok kawan-kawan yang share ibadah korban masing-masing. 

Jumaat, 30 Jun 2023 - Lari semula, seperti biasa.

Larian 30 Jun, 9.3 kilometer.

Saya juga berjaya capai target 10 ribu langkah sehari selama 30 hari berturut-turut.

Alhamdulillah. 😊



Juga, saya berjaya habiskan cabaran Runathon. Jumlah jarak larian saya bulan Jun adalah lebih 250 kilometer. 


Walaupun ada masa 3 bulan untuk lengkapkan Runathon ni, tapi saya siapkan lebih awal, dalam masa sebulan saja. Alhamdulillah, atas nikmat lari. Lepas hantar rekod larian, tak lama tunggu, terus dapat sijil penyertaan. 

Sijil tamat Runathon KL 243 km

Rendang daging pun hampir habis. Saya tambah lagi satu lauk.

Kari ayam, dalam periuk.

Sabtu, 1 Julai 2023 - Masak mi goreng untuk sarapan.


Cuti rehat. Tak pergi lari. Dah sebulan lari hari-hari. Ada hari, pagi dan petang lari. Bagi kaki rehat.

Pada setiap 1 haribulan, saya akan timbang berat badan. Mari kita tengok...


Berat saya turun sekilo! Hehe... sekaligus, berjaya dapat BMI normal. Alhamdulillah. Walaupun atas pagar. Walaupun hanya 1 kilo. Tapi sudah ok, bagi saya, sebab saya memang tak kawal makan langsung. Hari raya pulak, kan. Makan rendang dan lemang dan nasi. Suka, suka! 😁

Sekian cerita dari 25 Jun - 1 Julai 2023. Highlight of the week, siap Runathon dan turun 1 kilo! Yay! 

Syukur Alhamdulillah. Bulan Julai, saya nak lari suka-suka je. Sudah tak perlu kumpul jarak lagi. Suka hati, nak lari banyak mana pun. 

Sekian. Jumpa lagi, ye. 

Azam baru

 Khamis, 12 Zulkaedah 1444 Hijrah.

Sudah masuk bulan Jun. 

Pagi tadi, saya pergi berlari di Teluk Batik, dengan suami.

Larian 7.7 kilometer di pagi Khamis

Rumusan larian pada bulan Mei 2023 adalah seperti berikut:


Jumlah jarak larian: 154.1 kilometer

Purata jarak larian dalam sehari: 5 kilometer

Purata jarak larian dalam seminggu: 38.5 kilometer

Ok, bulan Mei saya berjaya lepas 150 kilometer dalam sebulan. Alhamdulillah.

Sempena masuk bulan baru ni, target saya adalah 200 kilometer larian. Boleh ke idok? Haha.. marilah kita cuba. Berusaha! 🏃

Saya juga berazam untuk amalkan diet suku-suku separuh. Bukan untuk bulan ni saja. Tapi kalau boleh, nak jadikan cara hidup saya.

Separuh pinggan: Sayur dan buah

Suku pinggan: Protein

Suku pinggan: Karbohidrat

Kena kawal makan sikit. Saya seorang yang suka makan. 

Berat sekarang: 61 kilogram

Berat impian: 55 kilogram

Saya akan cuba untuk kawal nafsu makan saya. Saya pernah berjaya turunkan BMI saya dari overweight ke BMI normal, dalam masa 5 tahun. Haha.. lama, kan? Tak kisah la berapa lama saya ambil untuk dapat target weight saya. Tapi saya akan cuba. Dah lama berat saya dok tang tu je. Nak buang angka 6 tu. Nak ganti dengan angka 5 di hadapan. Berusaha! 💪


Lepas lari pagi tadi, saya dan suami pergi makan di Restoran Nasi Ulam Lumut. Gambar di atas adalah sarapan saya. 

Nasi, agak-agak saiz dalam segenggam, ayam bakar bahagian dada, dan sayur salad. Sambal belacan sikit, sebab tak ambil kuah. Ok ke, encik? 


Balik rumah pagi tadi selepas sarapan, saya cabut rumput dan menyiram pokok. Kemudian, saya buat yoga sekejap. Cardio di atas, saya buat selepas lari pagi tadi, iaitu senaman kempis perut.

Dengan ini, saya nak mengucapkan selamat tinggal kepada perkara di bawah...


Babai cheese stick dan creme brulee Harold yang sedap, dan air manis. I'm gonna miss you. 

Tolong doakan saya diberi kekuatan, ye. 😊

Larian April yang sendu

 Ahad, 9 Syawal 1444 Hijrah.

Saya tidak pergi lari hari ini. Saja, berehat di rumah. 


Tak lari banyak pun bulan April. Ye la, bulan puasa. Tak larat, wei...

Jumlah hari keluar berlari di bulan April: 17/30

Walaupun tak dapat mengatasi jarak bulan Mac, tapi saya agak berpuas hati juga, kerana dapat cecah 100 km juga. Entah bila dapat buat macam bulan November tahun lepas, sampai lebih 200 km. 


Jumlah jarak larian di bulan April: 103.8 kilometer

Purata jarak lari sehari: 3.5 kilometer

Purata jarak lari seminggu: 26 kilometer

Paling jauh berlari adalah 10 km. Itu pun, masa bulan puasa, banyak lari dalam rumah sahaja. 

Lepas habis uzur ni, nak ganti puasa serta puasa sunat syawal balik, Insya-Allah. Sudah settle 2 hari. 

Kadang tu, rasa rindu nak lari dalam event. Ada tengok, banyak kat Ipoh dan Taiping. Dekat Manjung ni, takde pun event larian. Malas pulak nak bangun awal pagi buta dan travel 1-2 jam untuk join. Kenapalah tak ada dekat-dekat sini. Huuu....

Takpe la. Saya lari untuk sihat je la. 

Esok, masuk bulan baru, bulan Mei. Harap dapat buat lebih baik dari bulan ni. Buang rasa malas, dan tingkatkan usaha. Mari kita! 💪🏃

Rumusan larian Mac

 Selasa, 13 Ramadan 1444 Hijrah.

Kita sudah pun melangkah ke bulan April. Cepat, kan. 

Masuk saja ke bulan baru, saya akan buat rumusan larian pada bulan sebelumnya. Saya tidaklah berlari hari-hari. Ada hari, rehat. Ada hari, malas. Hehe.


Tudiaa.... banyak hari rongak, tak pergi lari, bulan lepas. Bila setiap kali tak lari, berlanjut-lanjutan malas hingga ke 3 hari. 

Jumlah jarak larian Mac: 116.3 km

Purata larian dalam sehari: 3.8 km

Purata larian dalam seminggu: 29.1 km

Ada 5 hari di bulan Mac, saya buat larian 10km. Alhamdulillah. 


Jika dibandingkan dengan bulan Februari, ada peningkatan sikit.

Jumlah jarak larian Mac adalah 116 km, manakala di bulan Februari, jumlah jarak larian adalah 79 km sahaja, tak sampai 100. Sikit, sikit. Kita cuba lebih baik. Lawan perasaan malas itu.

Aktiviti berjalan pun sama juga, ada peningkatan. Bulan Mac, saya berjalan sejauh 6 km, manakala di bulan Februari, sejauh 2 km sahaja.

Bulan Mac punya larian, ada 22 larian, manakala bulan Februari kurang sikit, ada 18 larian.

Bulan Mac punya berjalan, ada 9 aktiviti, manakala bulan Februari, cuma 2 kali berjalan.

Camana pun, aktiviti **Kardio lebih banyak di bulan Februari. Februari cuti sekolah, saya banyak duduk rumah, main badminton dengan anak bongsu. Bulan Mac dah kurang dah cardio, anak dah mula sekolah. Saya ajak dia riadah hujung minggu, selalu tak mau ikut. Apatah lagi sekarang, bulan puasa, lagi tak nak ikut. Ajak jalan-jalan pergi pasar ramadan pun, tak nak ikut. Huuu....budak-budak sekarang.

Secara keseluruhan, bulan Mac, saya lebih banyak berlari. Harap dapat buat lebih banyak jarak bulan April ni. Buat mana mampu sahaja. 

**Aktiviti kardio adalah sebarang bentuk senaman yang boleh meningkatkan kadar degupan jantung seseorang. Contohnya, bukan setakat berlari sahaja, malah berjalan laju, lompat tali, menari, daki bukit, berenang, bertinju, lompat bintang, berbasikal, futsal dan sebagainya. 

Tak penat ke, lari bulan puasa ni? Tak, saya suka lari. Saya pelari siput. Bila letih, saya berhenti. Lagi satu tips untuk berlari di bulan puasa, jangan buka mulut. Ambil dan hembus nafas ikut hidung. Kalau buka mulut, mulut kering, nanti rasa nak minum air pulak. Tu pasal, kena slowjogging. Langkah kecik-kecik je. Baru tak penat, ok.

Majulah sukan untuk kesihatan diri sendiri. Hehe.. jumpa lagi, ye. 😊

Rumusan Ogos 2022

 Jumaat, 5 Safar 1444 Hijrah.

Saya dah insaf. Saya tak lagi lari 10 km setiap hari. Walaupun kepala otak saya yang giler lari ni menyuruh saya berbuat demikian. Saya kini berehat 2 hari seminggu dari sebarang aktiviti larian, iaitu hari Isnin dan Khamis, di mana saya berpuasa, jika tidak uzur, Insya-Allah. 

Kadang tu, saya tak sedor diri. Sampailah pada satu hari, lutut saya telah mengeluarkan signal. Lalu saya serta-merta berhenti berlari, atas treadmill. Ah sudah... apehei pulak ni. Huuu.... takmo la cakap. Dah letak ais. Dah makan fish oil. Makan bendi. Pakai knee guard. Berehat. Ok sikit. Saya alami benda ni, sejak sebelum saya lari di Ipoh lagi. Giler tak risau... dah la event dah nak dekat waktu tu. Itu yang saya slow down sikit tu. Huuu... padan muka. Overtraining kot. Tak sedor diri. Sehari lari 10 km. Pastu ber-jump rope pulak. Ada satu hari saya buat demo kat anak saya, saya jump rope pakai selipar je. Haha.. merasalah. Saya dulu pernah terbaca, yang orang yang ada masalah tiroid ni, mudah untuk kena osteoporosis. Saya memang on medication tiroid, sebab saya dah takde kalenjar tiroid, macam orang lain. Ha, ok la. 

Sehubungan dengan itu, saya telah membuat jadual. Kembali ke jalan Allah. (Masa dah sakit baru kembali ke jalan Allah. Bila sihat ko lenjan ke sana ke sini, cetan! 🙈). Ada masa untuk rehat, masa untuk online, masa untuk mengait. Tersusun sikit rasanya. Semoga istiqamah. 

Tapi saya masih lari. Seminggu sekali, saya cadang buat LSD (long slow distance training. Lebih 10 km). Saya masih perlu training sebab ada beberapa event lari yang saya dah daftar. Itu yang saya sangat bersyukur, jika dapat sampai ke garisan penamat. Itu target saya. Sayangi kaki anda.

Larian Ahad lepas.

Larian Selasa lepas, 6.44 km.

Pernah tak, anda tengok nasi semalam, sikit je, nak masak nasi goreng pun, anggaran anda, cukup untuk 2 orang makan je kot. Tapi bila anda masak juga nasi goreng, walaupun nasi semalam sikit je, tengok-tengok, nasi tu jadi banyak? 😁 Ye la, kita letak macam-macam leftovers kan. Ayam goreng tak habis ke, fishcake la, telor lagi la, tu yang jadi banyak, kan.. sebab tu nasi kelihatan lebih banyak. Macam magik pun ada. Tapi, semua tu kan kuasa Allah.

Nasi goreng Selasa

Mari kita tengok rumusan larian Ogos 2022.


Jumlah jarak larian terkumpul adalah sejauh 236.9 km, dengan purata larian sehari sejauh 7.6 km. 

Ini adalah jarak paling banyak, sejak bulan Disember 2021.

Rekod jumlah jarak sejak November 2021

Huh. Saya sendiri pun tak sangka. Dengan keadaan lutut longgar pun mileage saya tinggi bulan Ogos. Alhamdulillah. Dah lepas ni, slow down sikit. 

Namun begitu, ada peningkatan dari segi berat badan. Oh nooo...


BMI masih normal. Tapi dah atas pagor ler. Hahaha... padan muka aku. Makan banyak. Lepas ni, kena control portion sikit. Kalau mak saya masih ada, dia akan cakap, "Ni, makan ke, mentekederah?" 😂😅😁 Astaghfirullahalazim... kena tampor diri sendiri 7 kali kanan, 7 kali kiri, baru sedor diri sikit.

Nasi goreng hari ni, Jumaat.

Larian hari ini, Jumaat, 5.74 km.

Baiklah. Sekian laporan pada kali ini.

Hujan. Hati-hati bawa kereta. Jaga diri, jaga keluarga. 

Jumpa lagi, ye. 😊

Azam baru di hari Ahad

 Ahad, 2 Muharram 1444 Hijrah.

Hari Sabtu dan Ahad memang akan terasa cepat sangat berlalu. Semalam saya tak pergi jogging. Saya pergi pasar pagi Bota, bersama suami. Lagi pun pagi semalam, hujan. 

Pagi tadi, pergi riadah bersama suami.


Slowjogging di Esplanade Lumut, sejauh 5.24 km. 

Gambar di atas, nescafe o kosong. Sarapan di kedai yang tak pernah singgah. 

Lepas sarapan, ada 'mentol bernyala' muncul atas kepala saya. Saya bercadang untuk tak mau la makan luar lagi. (huh.. boleh percaya, ke?) Ok la, kalau saya bosan sangat, saya pergi ye. Tapi  buat masa ni, baik makan di rumah je la. Masak apa yang ada. Bukannya sedap pun, makan kat luar ni. Bihun goreng yang saya makan kat kedai pagi tadi, biasa-biasa je la, rasa dia. Saya rasa, bihun goreng saya masak lagi sedap kot. 🙈 Saya cuba, ye. Selain tu, boleh juga berjimat. Mari kita. Berusaha!

Sampai di rumah, belum sempat salin baju, anak sulung dah panggil, "Mama, mama!" Dia di belakang rumah. Saya cakap kalau panggil untuk tengok beruk, tak mau la. Takut. Dia kata, tak. Ada binatang lain. 


Ni ha binatangnya, biawak. Besor la jugak. Masuk rumah sebelah. Sekejap dia pergi belakang barang. Sekejap dia cuba panjat tirai canvas tu, tapi tak berjaya. Biawak gemuk. Badan berat. Panjat panjat, jatuh. 

Ini la dia. Rumah di kawasan paya bakau. Satu waktu dahulu, anak biawak pernah masuk, duduk bawah katil. Ular pun pernah masuk dapur rumah. 

Tiba-tiba si Ros pulak menyibuk. Ros. Bukan jiran. Ros, kucing saya. 


Boleh saling bertentang mata pulak. 

Jangan risau. Tiada benda buruk yang berlaku. Lepas lebih kurang 2 minit saling berpandang, Ros pun berlalu pergi. Biawak kembali mengadap ke arah lain, sambil termenung. Udah macam buaya kat zoo dah peel si biawak ni.

Memang macam ni, tau. Kucing dengan beruks pun ada reaksi yang sama. Mereka tidak saling bergaduh ke apa, walaupun si beruks selalu mencuri lebihan makanan kucing. Semua jenis selamba je. 

Panas dah waktu tu. Saya pun takde la tunggu lama di luar rumah tu. Baik masuk dalam buat kerja. Tengah potong buah di dapur, anak bongsu pulak jerit memberi makluman yang si biawak dah keluar. Pandai menatang ni. Mana dia masuk, kot situ juga la dia keluar. Ikut pagar depan. 😁

Jiran sebelah tu takde di rumah. 


Saya rebus 4 tongkol jagung, dan potong tembikai. Jagung tu, beli di pasar Bota, semalam. Betul orang jagung tu cakap. Manis jagungnya. 


Saya juga masak mi goreng. Kosong je. Seperti biasa, tanpa sayur. Kalau letak sayur, kang anak tak mau makan.

Hari ni sudah pun hari terakhir di bulan Julai. 

Rumusan Larian Julai

Jumlah jarak saya lari di bulan Julai adalah sejauh 210.5 km. Alhamdulillah.

Banyak hari saya tak pergi jogging. 5 hari demam, 3 hari malas, 2 hari hujan, total 10 hari tidak beriadah. Ok ler tu. Semoga dapat perbaiki di bulan Ogos.

Sekian cerita hari Ahad. 

Semoga kita lebih bersemangat untuk menempuh hari esok. Berusaha!

Jumpa lagi. 😊