Ke laut sudah

 Sekarang ni, saya lari hari-hari. Sebab nak kumpul jarak. Sebabnya, adalah kerana saya telah daftar cabaran Fit Raya 300km. 

Fit Raya 300 km Runathon

Runathon ni, anjuran group Malaysia Woman Runners. Kumpul jarak larian dari bulan Februari hingga Mei 2024. Atau sehingga capai jarak 300 kilometer la, untuk bergelar finisher. Sebab saya masuk Fit Raya ni, untuk lawan rasa malas keluar berlari la. Bila kita sudah daftar, sudah bayar untuk baju, jadi nak tak nak, kita pergi berlari juga la. 

10 ribu langkah sehari, tercapai sudah 22 hari.

Kawan-kawan yang ada baca entri saya lepas-lepas tentu tahu, yang saya on diet. Tak makan nasi dan benda manis. Mula-mula memang ok. Tapi bila hari-hari keluar berlari, saya sudah rasa kurang tenaga. Ye, saya tahu, tak larat lari 10 kilometer, sebab tak makan nasi.

Rumusan larian Februari 2024

Di bulan Februari ni, saya sudah pun kumpul jarak sejauh 217.7 kilometer. Ini, untuk berlari. Tak campur jarak saya berjalan pergi pasar malam, pasar tani, dan lain-lain waktu yang saya ingat untuk simpan aktiviti. Hehe. Campur 5 kilometer la, lebih kurang, aktiviti berjalan.

Paling sikit saya berlari adalah 2 kilometer. 

Paling jauh saya berlari adalah 15 kilometer.

Saya mula daftar untuk Fit Raya pada 8 Februari. Sejak itu lah, saya mula kumpul jarak hari-hari.

Jumlah jarak lari campur berjalan adalah 223.87 kilometer.

Aplikasi Biib+ ada totalkan jarak lari dan berjalan sekali dalam rumusan bulanan. Kalau aplikasi Garmin, dia asingkan aktiviti berlari dan berjalan.

Bertabahlah saya, tolak malas ke tepi, demi Runathon 300 km ini.

Larian 26 Februari, 8.29 kilometer.

Larian 28 Februari, 6.2 kilometer

Apa yang saya nak kongsikan di sini ialah, bila kita lari hari-hari, kita MESTI makan nasi. Carbo loading. Bagi saya sendiri, bila saya tak makan nasi banyak hari, saya boleh lari setakat 6-7 kilometer saja. Nak capai 8 kilometer pun, lidah sudah terjelir, macam berjalan di padang pasir yang tandus dengan kaki yang berat. Gitu....

Demi untuk mengumpul jarak, saya ketepikan dulu diet saya itu. Saya sudah makan nasi. Air manis pun saya minum, tapi saya hadkan kepada 1 gelas sahaja. 

Sarapan 28 Februari.

Sarapan semalam, saya makan roti bakar telur goyang 2 keping, bersama baked beans. Air white coffee panas kosong. 

3 scoops ice-cream

Tengah panas tu, nampak pula orang jual aiskrim, kan. Perasa durian pulak tu. Apa lagi, saya pesan campur perasa durian dan coklat. Hehehe... nikmatnya! 😋

Begitulah cerita saya, terpaksa ketepikan dulu diet no nasi, no air manis saya itu. Saya nak cuba habiskan jarak 300 kilometer itu, sebelum puasa. Insya-Allah. Wish me luck! Walaupun lambat lagi tempoh akhir, sampai bulan Mei. Saya malas nak bawa lama-lama. Nak fokus bulan puasa, untuk amal ibadat je.   

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 😊

Pergi kenduri

 Sabtu, 24 Februari 2024 - Dapat jemputan ke kenduri kahwin cucu Aunty Bada, Nurin. Saya sudah kenal Aunty Bada sejak kecil, kerana Aunty Bada adalah kawan baik arwah Mama saya. 

Jemputan kahwin Nurin dan Haqimi.

Satu sekolah dulu, Mama dan Aunty Bada. Kalau belek album lama, ada banyak gambar hitam putih, mama dan Aunty Bada berdua. Orang dulu seksi tau, pakai skirt pendek je. Hehe..

Jemputan dihantar melalui whatsapp, dari Kak June, iaitu emak kepada Nurin. Turut dijemput seisi keluarga, tapi kakak sulung saya tak dapat hadir, kerana pergi naik gunung. Kakak tengah ada di Sarawak. Papa pula last minute tak dapat turun Lumut kerana makcik kurang sihat. Nampaknya, saya seorang je la jadi wakil, pergi kenduri. Suami saya sebab hari Sabtu, dia time-out kejap dari ofis (dia kerja shif pagi), untuk teman saya ke kenduri.

Pagi Sabtu tu, anak kedua tiada kelas tambahan. Suami pula sudah masuk kerja awal. Lepas Subuh, saya pun pergi berlarian dulu.

Larian Sabtu lepas, selama 2 jam, dapatlah 12 kilometer.

Panas bebenor cuaca sekarang yek. Rasa macam nak lari bawak payung. ☂

Balik jogging, siram pokok, mandi wangi-wangi, terus bersiap nak pergi kenduri. Saya ni memang. Walaupun dalam kad jemputan kata, makan mula pukul 12 tengahari, pukul 11.30 saya dah bertolak dari rumah. Tak jauh pun, lokasi kenduri adalah lorong belakang rumah saya saja. Hehe... ada satu rumah di lorong belakang ni, selalu orang sewa sebagai venue kenduri kahwin. Rumah cantik. 

Baju kurung dah gosok hari sebelumnya. Hari tu, masa saya kemas bahagian belakang rumah saya, saya terjumpa kasut kerja saya dulu. Peh... cuba korang bayangkan ye. Kejap, saya nak kira. Saya berhenti kerja masa mengandung anak kedua. Anak kedua sudah 18 tahun. Maknanya, sudah lebih 18 tahun tau, kasut ni, duduk dalam kotak belakang rumah. 😂 Kasut Hush Puppies, yang saya beli semasa saya kerja di KL dulu. Beli di KLCC. Saya tengok kasut tu masih dalam keadaan baik, cuma berhabuk. Jadi, saya lap dengan wet tissue luar dalam, dan saya keringkan dalam rumah saja. 

Masa saya nak sarung kasut tu keluar rumah, saya cakap pada kasut tu, "Tolong jangan cabut tapak ye". Hehe.. biasalah kan, kalau kasut kita lama tak pakai, memang tapak dia selalu tercabut. 

Jalan kaki nak pergi kenduri, bawak payung.

Suami saya yang tangkap gambar saya, dia kata, saya jangok. (Dialek Kelantan, bermaksud cantik). Hok aloh, terus kembang bontot saya, Tak percaya, sila tengok dalam gambar di atas. 😂 

Elok kasut tu ha, takde tertanggal tapak. Selamat sampai ke lokasi kenduri kahwin.

Seronoknya, sudah lama tak jumpa dengan family Aunty Bada. Aunty Bada je, saya selalu nampak, sebab dia selalu naik basikal pergi mengaji. Mak pengantin, Kak June, walaupun tinggal di Lumut juga, tapi jarang sekali jumpa. Anak kedua Aunty Bada, Yaya pun, baru dapat jumpa semula, sebab sebelum ni, Yaya tinggal di KL. Anak Kak June yang bongsu, Mamat, tua setahun dari anak sulung saya. Dulu, waktu kecil, masa arwah Mama masih ada, selalu pergi rumah Aunty Bada. Ada gambar anak sulung dan Mamat dalam album. Jumpa satu keluarga, sembang sekejap. Kak June dan Yaya cakap, kurusnya saya. Ye la, dia orang last sekali jumpa saya, masa anak-anak saya kecil lagi kot. Masa tu, memang badan saya obese. Lepas tu, Aunty Bada jemput makan. 

Saya dan suami pun apa lagi, marilah kita. Makcik-makcik geng marhaban saja yang sedang menjamu selera waktu tu. Kira kami ni, antara yang terawal tiba. 

Hidangan ada nasi putih, nasi hujan panas, ayam masak merah, daging masak hitam, masak lemak ikan masin bersama nanas, buah oren. Air ada air sarsi dan sirap. Saya ambil juga air sarsi. Walaupun sekarang tengah diet, tak minum air manis. Rasa sikit.

Apa yang saya makan.

Sedih tak tengok apa saya makan masa kenduri? Tak ambil nasi sebab diet. Ambil lauk je. Makan oren dulu, 2 ulas. Bagus juga idea letak kertas atas pinggan. Jadi, tak perlu basuh pinggan bila kenduri selesai. Sudah serupa makan di kedai makan pula. Hehe. Makan banyak ke, makan sikit ke, tak penting. Lebih penting, kita memenuhi jemputan orang yang menjemput kita, ye. Suamiku yang sedang bekerja pun, sanggup keluar officenya, demi makan nasi kenduri. Dia ambil nasi, dia kata, rugi ler, tak makan nasi, bukan selalu orang jemput makan kenduri. Ya, ya. Baik, baik.

Saya makan sekejap je, kurang dari 10 minit. Pengantin dijadualkan sampai pukul 1. Nampaknya, tak dapatlah tengok pengantin, ya. Takpe, kita jumpa keluarga pengantin pun dah rasa cukup happy. 😍

Ada pencuci mulut seperti pelbagai jenis tepung talam, ada warna hijau, ada warna coklat, ada puding kelapa campur koktail, tak silap. Pun saya tak ambil juga. Tak boleh makan benda manis. No, no. I am on diet. Kita harus KUAT! 💪💪

Lepas tu, kami pun minta diri dulu la. Lepas salam kaut dengan Kak June, ambil gambar lah sekejap dengan keluarga Aunty Bada, sebagai kenangan.

Saya dan Yaya.

Waktu sekolah menengah dulu, saya pernah pergi kursus motivasi dengan Yaya, anjuran entah, dah lupa la. Hasil pakatan mak-mak kami la dulu, time cuti sekolah je, hantar anak pergi summer camp. Dia orang tengok anak-anak malas belajar kot. Dulu kecil je. Dah tua dah sekarang. Siapa tua? Kitalah yang tua. 😂 

Dari kiri, Nana (anak kedua Kak June), Kak June, saya, Yaya dan Aunty Bada.

Alhamdulillah. Saya tumpang seronok tengok Aunty Bada masih sihat, dapat tengok hari bahagia cucu sulung. Semoga Nurin dan Haqimi kekal bahagia hingga ke jannah. Amin... Saya salute dengan Kak June, sebab Kak June seorang ibu tunggal yang berjaya membesarkan 3 orang anak. Masa suami Kak June meninggal, anak bongsunya Mamat, masih kecil lagi, belum sekolah lagi. Seronoklah, dapat jumpa keluarga Aunty Bada. Walaupun sama tinggal di Lumut, tapi sebab kesibukan bekerja dan sebagainya, langsung tak jumpa bertahun-tahun.

Cenderahati buat tetamu. 

Dapat bunga telur, dan tuala kecil. Dah lama pergi kenduri tak dapat bunga telur. Selalu sekarang, orang bagi kek, cookies atau gula-gula je. 

Orait. Sekian cerita saya pergi kenduri. Cuti sekolah ni, korang pergi cuti mana-mana ke? Anak kedua saya baru selesai kertas Kimia hari ni. Kertas terakhir peperiksaan SPM dia lusa, iaitu Asas Kelestarian. 

Jumpa lagi, ye. 😊

Cerita makan je

 Dah lama saya tak share gambar makanan. Saya sebelum makan, suka ambil gambar dulu. 😁 Ye la, nak simpan rekod, kita makan kat mana, kedai mana sedap, kedai mana kurang sedap, etc. Kalau masak di rumah pun, saya ada juga ambil gambar, kalau ingat la. Marilah kita jamu mata, tengok gambar makanan je. 


Pada 27 Januari lepas, saya ke Nasi Kandar Pantai di Pantai Remis, Perak. Sini yang selalu orang makan, sudah tentulah nasi kandar. Kena beratur, ambil nasi dia. Tapi tak lama tunggu dalam barisan. Laju pekerjanya ceduk lauk. Kita pun kena cakap dulu, nak lauk apa. Yang bungkus pun cakap je masa beratur tu. Dia tolong bungkuskan, kemudian hantar di meja, sementara kita tengah makan. Tapi hari tu, saya tak makan nasi kandar. Suami yang makan. Saya makan pasembor. Ha, membukit juga pasembor dia. Boleh tahan sedap juga la. Kuah tak pedas. Just nice. Ok, next..

Saya ingat kan segitiga putih tu, nasi impit. 

Yang ni, pada 28 Januari 2024. Makan maggi celup di kedai tomyam yang tak pernah pergi. Selalu lalu tengok meriah je kedai tomyam ni. Lampu lawa dan terang. Tapi time kami pergi ni, waktu petang. Sebab lokasi tepi jalan saja, dan memang lalu situ nak balik rumah. Jadi, kami pun singgah la. Gambar maggi celup, tapi maggi tak nampak. Tunggu sat.

Segitiga tu, telur rebus rupanya...

Ini, gambar yang saya sudah gaul kesemuanya. Nama pun kedai tomyam, magginya, dia pakai maggi siam tu ler. Ada kangkung, taugeh, ayam. Di sudah letak perasa tambahan tu, seperti cili flakes dan sebagainya. Cukup rasa pedas. Makan tengah cuaca panas. Berpeluh terus. Orait la rasa dia. 

Seterusnya...


Ini adalah ayam goreng berlada yang saya masak pada 29 Januari lepas. Kalau masak lauk ni, sekejap je habis. Saya tumbuk cili guna lesung je. Tak berapa banyak pulak cili yang ada di rumah. Itu yang kering je tu. Tak berkuah.

Kemudian...


Cer teka, cer teka... yang ini mee goreng kah, atau spagetti?

Hehe.. ini sebenarnya spagetti, tapi saya rebus dulu hingga lembut, kemudian saya goreng macam saya goreng mee. Masak melayu style. Sedikit pedas, anak-anak cakap, tapi habis juga. Spagetti goreng ni, saya masak semasa 30 Januari lepas.


Bawah tomato dalam gambar di atas, ada telur goreng. Ini sarapan saya, pada hari yang sama. Sarapan, makan roti whole wheat bakar. Tengahari, baru saya makan spagetti goreng di atas.

Untuk makan malam, suami ajak lepak di Black Canyon. Lama tak pekena kopi. Sebenarnya, waktu ini, saya sudah 6 hari tak minum air manis. Tiba-tiba terminum kopi. Hahaha... saya memang tak kuat lawan kopi ni. 


Suami pesan Black Canyon Iced Coffee (kiri) sementara saya pesan hot cappuchino. Dia bagi dengan biskut huruf tu, dan segelas kecil jasmin tea tanpa gula.


Makan pula, kami pesan american club sandwich. Share makan dua orang. Dulu-dulu, sandwich dia penuh pinggan dan besar, kan. Tengoklah sandwich dia sekarang, sudah kecut. 🙈 Saya pun baru tahu, sebab dah lama tak datang Black Canyon. 

Cerita makan bulan Januari, saya baru nak up entri hari ni. Sekarang, saya masih minum kopi. Tapi kan, saya sudah boleh minum kopi tanpa gula. Walaupun rasa dia tak sesedap kopi biasa. Haha.. ye la, nak diet. Kenalah korban sikit rasa tu.  

Ok la ye. Sekian perkongsian buat kali ini. Jumpa lagi. 😊

Jogging dan sarapan Dungun

 Gigih lepas subuh, sarung kasut lari. Suami teman.


Pergi ke Pantai Teluk Lipat. Tak jauh pun, bersebelahan saja dari Pantai Sura yang saya lari semalam.

Cuaca gelap lagi. Matahari belum naik.


Dekat sini, ada laluan khas jogging. Asing dari jalanraya. Ada pokok rhu. Bila angin bertiup, bunyi pokok rhu. Wuuu... Wuu.. 😁


Bagusnya, saya suka. Angin sejuk bertiup. Sampai semput saya. Tak bawa pula pam inhaler. Nasib baik mak saya dah takde. Kalau mak saya ada, mesti dia kata, "Buffalo! Dah tua tapi tak reti jaga diri." 😁 Takpe. Bila wheezing, saya jalan. Bila sudah ok, saya lari.

Suami tinggal saya, dia pi cari nasi dagang, sementara saya terus jogging slow-slow.


Kenangan, ambil gambar dengan ♥️Dungun. Hari Jumaat, Terengganu cuti. Bila mula cerah, makin ramai orang datang beriadah.


Saya sambung lari sampai ke Pantai Sura. Cantik, kan. Langit mendung. Matahari malu-malu nak keluar. Lain laut sini, sebab Laut China Selatan. Angin kuat. Tempat saya di Lumut tu, Selat Melaka, angin pun tak ada bila lari waktu pagi.

Alhamdulillah. Suka saya, dapat berlarian di sini. Saya kira, kalau saya teruskan sampai hujung nun lepas Uitm, boleh dapat 10 kilometer. Tapi suami saya sudah beli nasi, dia ambil saya tepi jalan.


Dapatlah 7.3 kilometer, berlarian di Kuala Dungun yang cantik. 


Kami balik makan di hotel. Hotel ada sediakan sarapan dan minuman. Kami ambil bilik family, jadi boleh ambil 4 nasi lemak, dan kopi serta teh panas free flow, sementara stok masih ada. 


Saya makan nasi dagang yang suami beli. Dah makan baru ingat nak ambil gambar. Makan di meja kerusi batu yang disediakan di halaman depan hotel.


Anak sulung makan nasi lemak sambal ikan tongkol. Kat Terengganu je jumpa ni, tau. Kat Perak takde jual nasi lemak sambal ikan tongkol. Tengok la anak makan camane, letak sambal sikit-sikit. Jenis tak tahan pedas.


Ini nasi minyak, suami makan. 

Nasi lemak ikan tongkol tu, ada lagi 3, bawa bekal, makan dalam perjalanan balik Perak nanti.


Kucing hotel, datang nak manja waktu saya nak tanggal kasut lari. Cian dia kurus je. Tapi ekor kembang. Tadi masa makan, bagi dia ayam sikit, tu ikut sampai depan bilik.

Alhamdulillah. Hotel NDE pun selesa. Kali ketiga duduk hotel ni. Ada rain shower, puas mandi. Air panas pun ada. Bilik family pun besor. 

Saya taip ni, dalam kereta. Jalan dulu ya, bumi Terengganu. Kalau ada rezeki, kita jumpa lagi. 😊

Pergi Dungun

 Pagi tadi bangun awal pagi, untuk pack barang. Nak pergi Dungun, ambil anak yang baru habis exam. 


Saya guna pill storage box, yang dapat dari giveaway blog Cie. Kalau tak, bila travel, saya bawa ubat berkeping-keping. 

Perjalanan pergi Dungun bersama suami, ambil masa lebih kurang 8 jam. Berhenti isi minyak, makan tengahari dan toilet break beberapa kali.

Sampai saja, terus pergi Uitm Dungun, ambil anak sulung. 

Lepas tu, check-in hotel NDE. Lepas Asar, keluar jogging. Walaupun sudah beberapa kali sampai Terengganu, tapi ini pertama kali cuba berlari di sini.


Tepi pantai Sura tu, di Kuala Dungun, angin bertiup kuat. Kena lari sambil pegang tudung. 


Video tepi laut Pantai Sura.

Ada laluan basikal di sepanjang jalanraya. Saya lari di laluan basikal itu la.


Cuaca agak panas, tapi berangin.


Suami teman sekejap. Lepas tu, dia balik hotel, amik anak sulung. Plan nak pi pasar malam.


Banyak tu je la, sempat lari. 34 minit larian, sejauh 3.5 kilometer. Itu pun, saya dah semput.

Pergi pasar malam. Beli murtabak, nasi goreng pattaya ayam black pepper, hati ayam goreng, kulit ayam goreng, roti john, sate, keropok lekor terengganu dan satar goreng. Sedap betul keropok lekor dan satar goreng. 😋 Tak ambil gambar pun. Sibuk fokus makan. Makan dalam bilik hotel.

Alhamdulillah. Kalau rajin esok, pergi jogging pagi. Kalau tak rajin, pergi makan nasi dagang. Hehe...

Jumpa lagi. 😊

Hadiah giveaway Blog Roziah

 Ahad, 11 Februari 2024 - Terima bungkusan lagi. Hebat betul pihak courier sekarang, hari-hari bekerja hantar barang, walau pun hari cuti am.


Hadiah yang saya menang giveaway di blog Roziah Muhammad Nor. Jom kita buka, tengok apa ada di dalam.


Dalam bungkusan, ada:

1) Sehelai tudung plain special edition jenama Fareha.

2) 2 pill storage box yang comel, dari Shaklee.

3) Fridge magnet custom-made, yang memaparkan butiran Puan Roziah @ Cie.

4) Tasbih digital yang boleh dipakai di jari.

Alhamdulillah. Rejeki awal tahun, dapat menang giveaway di blog rakan blogger. Terima kasih saya ucapkan kepada Cie yang bermurah hati beri hadiah ini. Semoga bertambah murah rezeki dan sihat-sihat selalu hendaknya.

Sekian perkongsian hari ini. 

Korang buat apa tu? Sedang bercuti lagikah, atau sudah kembali bekerja? 

Jumpa lagi, ye. 😊

Unexpected gift

 Sabtu, 10 Februari 2024 - Masa saya check email, terima email dari SK, beritahu yang ada parcel on the way. Wah... Baiklah.

Tak lama kemudian, sampai lah bungkusannya. Tak tahu pula saya, sekarang ni cuti am ( cuti Tahun Baru Cina) pun, courier kerja, ye. 


Mari kita buka bungkusan, lihat apa di dalam. Saya sedikit terkejut, kerana selain 2 blog yang saya ada menang giveaway, saya tak expect akan terima hadiah lain.


Tadaaa... Bekas simpan roti kedap udara. Saya pun baru tahu, setelah SK share video tiktok mengenai bekas ini. Saya sangkakan, bekas simpan kerepek atau kuih raya. 😁


Bekas ini muat letak roti gardenia kecil. Mudah, dan roti pun tak masuk angin. Alhamdulillah. Terima kasih, atas pemberian hadiah ni. Saya suka. 😍 Semoga bertambah murah rejeki SK dan family. 

Saya update ni guna handphone je. Tak sempat blogwalking lagi. 

Jumpa lagi. 😊

Progress baik

 Cuaca panas sangat. Nak buat kerja belakang rumah pun malas. Kalau start kerja, mesti berpeluh-peluh punyalah. Lepas tu, kena mandi. Saya ada cakap hari tu, saya ada projek rumah hijau. Nak tanam pokok belakang rumah. Belakang rumah ni, ada kawasan ber-awning dan ada pintu. Jadi, kucing tak boleh masuk. Walaupun ada awning, ada kawasan terang sebab ada bumbung skylight. Dulu masa projek saya tanam sayur luar rumah, di sinilah tapak semaian saya. Menyemai biji benih. Di belakang rumah juga, ada banyak barang lama, yang sudah reput, yang berhabuk, yang sudah tidak digunakan lagi. Rak-rak buku semua sudah reput dan menunggu nak tumbang. Rak buku yang dibuat dari kayu, bila mereput, habuk-habuk kayu tu keluar. Jadi, itulah kerja saya semenjak saya tak update blog. Saya kemas kawasan barang-barang lama tu, supaya kawasan rumah hijau saya menjadi lebih besar. Setakat ini, masih belum siap. Ada lebih kurang 30% lagi kerja-kerja pembersihan kena buat. Lagi pun, sejak kucing rumah jumpa Cik T hari tu, masa itu lah saya terfikir tiba masa untuk mengemas. Bukan seekor, tau. Esoknya, ada lagi jumpa Cik T. 

Cik T masuk perangkap yang suami pasang.

Itu la. Nampak macam cencurut pun ada. Muncungnya panjang tu. Rumah saya pula dekat kawasan paya bakau. Jadi, bila ada tikus, takut 'benda menjalar' tu masuk rumah la. Macam dulu, pernah masuk sekali. Huhuhu... sebelum semua tu berlaku, lebih baik saya clearkan segala harta karun di belakang. 

Saya rasa sangat seronok pula bila dapat bercucuk tanam ni. Ada banyak biji benih beli dulu. Kita cuba je la, ye. Kita tanam apa yang kita nak makan. 

Baru semai biji benih.

Buat permulaan, saya semai biji benih kacang panjang, kacang botol, tembikai dan cili padi.

Selang beberapa hari, sudah mula bercambah keluar.

Kacang panjang mula tumbuh.

Jujurnya, saya tak pasti ini pokok kacang panjang atau kacang buncis. Sebab suami saya yang bawa balik benih dari ofis dia, dia ambil dari orang landskap. Ler... saya rasa, betul dah kacang panjang. Tapi suami saya cakap, kacang dia tak berapa panjang. Eeeee.... bertuah betul laki aku ni... pakai ambik je, bukan nak tanya detail kat orang tu, pokok apa. Kacang panjang pun tak kenal. Sebab dia bawa balik kacang yang sudah kecut. Orang landskap tu, biar saja kacang tua di pokok, untuk dijadikan benih. Suami saya minta sikit. Takpe la, kacang panjang ke, kacang pendek ke, boleh je, makan. 

Makin tinggi dia..

Kena rajin siram la, benih-benih yang disemai. Sebab kawasan belakang rumah agak panas, bumbung zink kan. Aduh.. cepat je tanah yang kita siram jadi kering. Tapi sini je la tempat selamat untuk bercucuk-tanam. Kalau kat luar, ada ancaman dari kera liar dan anak bulus. Nak kena menuntut ilmu dengan Wak Warisan Tani. Rumah Wak pun ada banyak kucing comel-comel, dia tak kacau pokok-pokok dalam kawasan rumah Wak ke? Kucing saya, terutama si Sasa (seekor je jantan, oyen warnanya) memang galak. Kejap dia panjat pokok sakura malaysia, kejap dia lepak atas tembok. Memang tempat dia berlarian la, di halaman rumah.

Makin melendut cari cahaya matahari

Bila anak pokok tu sudah tinggi macam tu, barulah saya transfer ke pasu. Setakat entri ini ditulis, sudah ada 5 pasu anak pokok kacang panjang yang sedang membesar. Alhamdulillah. 

Orait. Sampai sini saja saya dapat kongsikan. Saya akan cuba untuk blogwalking ke rumah kawan-kawan slow-slow, ye, bila free.

Jumpa lagi. Selamat bercuti. Hari ni, Tahun Baru Cina. 😊

Cerita 23 Januari

Nikmat makan sedap. Syukur Alhamdulillah, atas rezeki Tuhan bagi. 

Pulut kuning dan rendang ayam

Pulut kuning bersama rendang ayam ini, saya beli buat sarapan pada 23 Januari 2024 yang lepas. Harga RM5. Di Bukit Permata, ada satu tempat jual sarapan yang ada pelbagai lauk dan makanan siap bungkus. Sebab dah lama tak makan pulut kuning, saya beli lah, nak merasa. Bila makan pulut kuning, saya akan rasa macam hari raya. Sebab bila malam raya, arwah emak akan rendam pulut dengan serbuk kunyit dalam periuk kukus. Sebelum arwah Mama pergi, Ma sempat ajar saya masak pulut. Lepas Ma dah takde, saya ada buat sekali sahaja pulut kuning. Lepas tu, saya tak buat dah. Sebab yang makan cuma saya adik-beradik. Suami dan anak-anak saya kurang minat makan pulut kuning. 


Pada malam hari yang sama, tiba-tiba blackout. Saya ingat ke, rumah saya je tak ada elektrik. Rupanya, satu lorong bergelap. Saya baru je terlelap di sofa, lepas maghrib, biasanya akan tengok tv, tapi end-up tv yang tengok saya. Cari lilin yang sudah berhabuk di almari belakang. Pasang banyak-banyak. Sebab suami tak ada, dia kerja shif malam. Saya dengan anak-anak je. Siapa dulu masa kecik-kecik, suka main bayang-bayang guna cahaya lilin? Hehe... lepas tu, main mancis. Tiup lilin, pasang semula lilin. Main dengan air lilin yang panas tu. Tak lama pun malam tu. Tak sampai satu jam, sudah ada elektrik semula. Lega. Nasib baik malam tu, cuaca tak berapa panas.

Sebelum saya akhiri entri ni, saya nak share penghibur saya di rumah. Siapa lagi, anak bulu ler.. 


Video Oyen main dengan selipar. 

Saya ingat, saya cuti sekejap dari blog, boleh tak? Saya ada kerja offline yang saya nak siapkan. Projek rumah hijau. Kalau mampu, saya nak declutter beberapa benda di belakang rumah. Saya sudah pun siapkan lebih kurang 50 peratus. Tapi biasalah, rumah peninggalan orang tua, banyak harta karun. Saya fikir sebelum start bulan puasa lah, saya boleh buat. Saya bercucuk tanam belakang rumah saja. Sebelum ni, saya pernah tanam sayur di luar rumah, tapi ada ancaman dari kera liar dan anak bulu sendiri, yang galak dengan pokok saya, sampai tumbang-tumbang. Itulah yang saya rancang untuk bercucuk tanam di dalam rumah saja. Hehe. Kalau saya ada masa free, saya update blog, ya. Lepas tu, ada nak buat kajian sikit, perlu buat research mendalam tentang projek masa depan. 

Harap anda yang sedang baca ni, berada dalam keadaan ceria-ceria dan sihat sentiasa. 

Jumpa lagi, Insya-Allah. 😊