Showing posts with label Everyday Run. Show all posts
Showing posts with label Everyday Run. Show all posts

Ke laut sudah

 Sekarang ni, saya lari hari-hari. Sebab nak kumpul jarak. Sebabnya, adalah kerana saya telah daftar cabaran Fit Raya 300km. 

Fit Raya 300 km Runathon

Runathon ni, anjuran group Malaysia Woman Runners. Kumpul jarak larian dari bulan Februari hingga Mei 2024. Atau sehingga capai jarak 300 kilometer la, untuk bergelar finisher. Sebab saya masuk Fit Raya ni, untuk lawan rasa malas keluar berlari la. Bila kita sudah daftar, sudah bayar untuk baju, jadi nak tak nak, kita pergi berlari juga la. 

10 ribu langkah sehari, tercapai sudah 22 hari.

Kawan-kawan yang ada baca entri saya lepas-lepas tentu tahu, yang saya on diet. Tak makan nasi dan benda manis. Mula-mula memang ok. Tapi bila hari-hari keluar berlari, saya sudah rasa kurang tenaga. Ye, saya tahu, tak larat lari 10 kilometer, sebab tak makan nasi.

Rumusan larian Februari 2024

Di bulan Februari ni, saya sudah pun kumpul jarak sejauh 217.7 kilometer. Ini, untuk berlari. Tak campur jarak saya berjalan pergi pasar malam, pasar tani, dan lain-lain waktu yang saya ingat untuk simpan aktiviti. Hehe. Campur 5 kilometer la, lebih kurang, aktiviti berjalan.

Paling sikit saya berlari adalah 2 kilometer. 

Paling jauh saya berlari adalah 15 kilometer.

Saya mula daftar untuk Fit Raya pada 8 Februari. Sejak itu lah, saya mula kumpul jarak hari-hari.

Jumlah jarak lari campur berjalan adalah 223.87 kilometer.

Aplikasi Biib+ ada totalkan jarak lari dan berjalan sekali dalam rumusan bulanan. Kalau aplikasi Garmin, dia asingkan aktiviti berlari dan berjalan.

Bertabahlah saya, tolak malas ke tepi, demi Runathon 300 km ini.

Larian 26 Februari, 8.29 kilometer.

Larian 28 Februari, 6.2 kilometer

Apa yang saya nak kongsikan di sini ialah, bila kita lari hari-hari, kita MESTI makan nasi. Carbo loading. Bagi saya sendiri, bila saya tak makan nasi banyak hari, saya boleh lari setakat 6-7 kilometer saja. Nak capai 8 kilometer pun, lidah sudah terjelir, macam berjalan di padang pasir yang tandus dengan kaki yang berat. Gitu....

Demi untuk mengumpul jarak, saya ketepikan dulu diet saya itu. Saya sudah makan nasi. Air manis pun saya minum, tapi saya hadkan kepada 1 gelas sahaja. 

Sarapan 28 Februari.

Sarapan semalam, saya makan roti bakar telur goyang 2 keping, bersama baked beans. Air white coffee panas kosong. 

3 scoops ice-cream

Tengah panas tu, nampak pula orang jual aiskrim, kan. Perasa durian pulak tu. Apa lagi, saya pesan campur perasa durian dan coklat. Hehehe... nikmatnya! 😋

Begitulah cerita saya, terpaksa ketepikan dulu diet no nasi, no air manis saya itu. Saya nak cuba habiskan jarak 300 kilometer itu, sebelum puasa. Insya-Allah. Wish me luck! Walaupun lambat lagi tempoh akhir, sampai bulan Mei. Saya malas nak bawa lama-lama. Nak fokus bulan puasa, untuk amal ibadat je.   

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 😊

Pergi kenduri

 Sabtu, 24 Februari 2024 - Dapat jemputan ke kenduri kahwin cucu Aunty Bada, Nurin. Saya sudah kenal Aunty Bada sejak kecil, kerana Aunty Bada adalah kawan baik arwah Mama saya. 

Jemputan kahwin Nurin dan Haqimi.

Satu sekolah dulu, Mama dan Aunty Bada. Kalau belek album lama, ada banyak gambar hitam putih, mama dan Aunty Bada berdua. Orang dulu seksi tau, pakai skirt pendek je. Hehe..

Jemputan dihantar melalui whatsapp, dari Kak June, iaitu emak kepada Nurin. Turut dijemput seisi keluarga, tapi kakak sulung saya tak dapat hadir, kerana pergi naik gunung. Kakak tengah ada di Sarawak. Papa pula last minute tak dapat turun Lumut kerana makcik kurang sihat. Nampaknya, saya seorang je la jadi wakil, pergi kenduri. Suami saya sebab hari Sabtu, dia time-out kejap dari ofis (dia kerja shif pagi), untuk teman saya ke kenduri.

Pagi Sabtu tu, anak kedua tiada kelas tambahan. Suami pula sudah masuk kerja awal. Lepas Subuh, saya pun pergi berlarian dulu.

Larian Sabtu lepas, selama 2 jam, dapatlah 12 kilometer.

Panas bebenor cuaca sekarang yek. Rasa macam nak lari bawak payung. ☂

Balik jogging, siram pokok, mandi wangi-wangi, terus bersiap nak pergi kenduri. Saya ni memang. Walaupun dalam kad jemputan kata, makan mula pukul 12 tengahari, pukul 11.30 saya dah bertolak dari rumah. Tak jauh pun, lokasi kenduri adalah lorong belakang rumah saya saja. Hehe... ada satu rumah di lorong belakang ni, selalu orang sewa sebagai venue kenduri kahwin. Rumah cantik. 

Baju kurung dah gosok hari sebelumnya. Hari tu, masa saya kemas bahagian belakang rumah saya, saya terjumpa kasut kerja saya dulu. Peh... cuba korang bayangkan ye. Kejap, saya nak kira. Saya berhenti kerja masa mengandung anak kedua. Anak kedua sudah 18 tahun. Maknanya, sudah lebih 18 tahun tau, kasut ni, duduk dalam kotak belakang rumah. 😂 Kasut Hush Puppies, yang saya beli semasa saya kerja di KL dulu. Beli di KLCC. Saya tengok kasut tu masih dalam keadaan baik, cuma berhabuk. Jadi, saya lap dengan wet tissue luar dalam, dan saya keringkan dalam rumah saja. 

Masa saya nak sarung kasut tu keluar rumah, saya cakap pada kasut tu, "Tolong jangan cabut tapak ye". Hehe.. biasalah kan, kalau kasut kita lama tak pakai, memang tapak dia selalu tercabut. 

Jalan kaki nak pergi kenduri, bawak payung.

Suami saya yang tangkap gambar saya, dia kata, saya jangok. (Dialek Kelantan, bermaksud cantik). Hok aloh, terus kembang bontot saya, Tak percaya, sila tengok dalam gambar di atas. 😂 

Elok kasut tu ha, takde tertanggal tapak. Selamat sampai ke lokasi kenduri kahwin.

Seronoknya, sudah lama tak jumpa dengan family Aunty Bada. Aunty Bada je, saya selalu nampak, sebab dia selalu naik basikal pergi mengaji. Mak pengantin, Kak June, walaupun tinggal di Lumut juga, tapi jarang sekali jumpa. Anak kedua Aunty Bada, Yaya pun, baru dapat jumpa semula, sebab sebelum ni, Yaya tinggal di KL. Anak Kak June yang bongsu, Mamat, tua setahun dari anak sulung saya. Dulu, waktu kecil, masa arwah Mama masih ada, selalu pergi rumah Aunty Bada. Ada gambar anak sulung dan Mamat dalam album. Jumpa satu keluarga, sembang sekejap. Kak June dan Yaya cakap, kurusnya saya. Ye la, dia orang last sekali jumpa saya, masa anak-anak saya kecil lagi kot. Masa tu, memang badan saya obese. Lepas tu, Aunty Bada jemput makan. 

Saya dan suami pun apa lagi, marilah kita. Makcik-makcik geng marhaban saja yang sedang menjamu selera waktu tu. Kira kami ni, antara yang terawal tiba. 

Hidangan ada nasi putih, nasi hujan panas, ayam masak merah, daging masak hitam, masak lemak ikan masin bersama nanas, buah oren. Air ada air sarsi dan sirap. Saya ambil juga air sarsi. Walaupun sekarang tengah diet, tak minum air manis. Rasa sikit.

Apa yang saya makan.

Sedih tak tengok apa saya makan masa kenduri? Tak ambil nasi sebab diet. Ambil lauk je. Makan oren dulu, 2 ulas. Bagus juga idea letak kertas atas pinggan. Jadi, tak perlu basuh pinggan bila kenduri selesai. Sudah serupa makan di kedai makan pula. Hehe. Makan banyak ke, makan sikit ke, tak penting. Lebih penting, kita memenuhi jemputan orang yang menjemput kita, ye. Suamiku yang sedang bekerja pun, sanggup keluar officenya, demi makan nasi kenduri. Dia ambil nasi, dia kata, rugi ler, tak makan nasi, bukan selalu orang jemput makan kenduri. Ya, ya. Baik, baik.

Saya makan sekejap je, kurang dari 10 minit. Pengantin dijadualkan sampai pukul 1. Nampaknya, tak dapatlah tengok pengantin, ya. Takpe, kita jumpa keluarga pengantin pun dah rasa cukup happy. 😍

Ada pencuci mulut seperti pelbagai jenis tepung talam, ada warna hijau, ada warna coklat, ada puding kelapa campur koktail, tak silap. Pun saya tak ambil juga. Tak boleh makan benda manis. No, no. I am on diet. Kita harus KUAT! 💪💪

Lepas tu, kami pun minta diri dulu la. Lepas salam kaut dengan Kak June, ambil gambar lah sekejap dengan keluarga Aunty Bada, sebagai kenangan.

Saya dan Yaya.

Waktu sekolah menengah dulu, saya pernah pergi kursus motivasi dengan Yaya, anjuran entah, dah lupa la. Hasil pakatan mak-mak kami la dulu, time cuti sekolah je, hantar anak pergi summer camp. Dia orang tengok anak-anak malas belajar kot. Dulu kecil je. Dah tua dah sekarang. Siapa tua? Kitalah yang tua. 😂 

Dari kiri, Nana (anak kedua Kak June), Kak June, saya, Yaya dan Aunty Bada.

Alhamdulillah. Saya tumpang seronok tengok Aunty Bada masih sihat, dapat tengok hari bahagia cucu sulung. Semoga Nurin dan Haqimi kekal bahagia hingga ke jannah. Amin... Saya salute dengan Kak June, sebab Kak June seorang ibu tunggal yang berjaya membesarkan 3 orang anak. Masa suami Kak June meninggal, anak bongsunya Mamat, masih kecil lagi, belum sekolah lagi. Seronoklah, dapat jumpa keluarga Aunty Bada. Walaupun sama tinggal di Lumut, tapi sebab kesibukan bekerja dan sebagainya, langsung tak jumpa bertahun-tahun.

Cenderahati buat tetamu. 

Dapat bunga telur, dan tuala kecil. Dah lama pergi kenduri tak dapat bunga telur. Selalu sekarang, orang bagi kek, cookies atau gula-gula je. 

Orait. Sekian cerita saya pergi kenduri. Cuti sekolah ni, korang pergi cuti mana-mana ke? Anak kedua saya baru selesai kertas Kimia hari ni. Kertas terakhir peperiksaan SPM dia lusa, iaitu Asas Kelestarian. 

Jumpa lagi, ye. 😊

Pergi Dungun

 Pagi tadi bangun awal pagi, untuk pack barang. Nak pergi Dungun, ambil anak yang baru habis exam. 


Saya guna pill storage box, yang dapat dari giveaway blog Cie. Kalau tak, bila travel, saya bawa ubat berkeping-keping. 

Perjalanan pergi Dungun bersama suami, ambil masa lebih kurang 8 jam. Berhenti isi minyak, makan tengahari dan toilet break beberapa kali.

Sampai saja, terus pergi Uitm Dungun, ambil anak sulung. 

Lepas tu, check-in hotel NDE. Lepas Asar, keluar jogging. Walaupun sudah beberapa kali sampai Terengganu, tapi ini pertama kali cuba berlari di sini.


Tepi pantai Sura tu, di Kuala Dungun, angin bertiup kuat. Kena lari sambil pegang tudung. 


Video tepi laut Pantai Sura.

Ada laluan basikal di sepanjang jalanraya. Saya lari di laluan basikal itu la.


Cuaca agak panas, tapi berangin.


Suami teman sekejap. Lepas tu, dia balik hotel, amik anak sulung. Plan nak pi pasar malam.


Banyak tu je la, sempat lari. 34 minit larian, sejauh 3.5 kilometer. Itu pun, saya dah semput.

Pergi pasar malam. Beli murtabak, nasi goreng pattaya ayam black pepper, hati ayam goreng, kulit ayam goreng, roti john, sate, keropok lekor terengganu dan satar goreng. Sedap betul keropok lekor dan satar goreng. 😋 Tak ambil gambar pun. Sibuk fokus makan. Makan dalam bilik hotel.

Alhamdulillah. Kalau rajin esok, pergi jogging pagi. Kalau tak rajin, pergi makan nasi dagang. Hehe...

Jumpa lagi. 😊

Riadah dan sarapan di Kluang Road Cafe

 Khamis, 18 Januari 2024 - Selepas hantar anak-anak ke sekolah, saya dan suami berlarian sebentar di Esplanade Lumut. Takdelah berlari sangat. Slowjogging pace siput sahaja. 🙈


Aman tenteram rasa di hati, dapat menghirup udara segar dan melihat matahari naik di ufuk timur.

Di rumah ada roti gardenia yang sudah sampai tarikh luput. Saya potong kecil-kecil, letak dalam plastik roti, dan bawa sekali pergi jogging. Nak bagi makan burung merpati.


Sekali je bagi, terus dikerumuni burung-burung, dan sekelip mata, roti pun habis. 😁

Hampir sejam kami jogging, kami pun pergi makan di Kluang Road Cafe, Seri Manjung.

Cafe ni sudah berpindah lokasi. Dulu, letaknya di depan padang orang jual lemang semasa hari raya, tapi sekarang sudah beralih ke sebelah Restoran Walid dan Ummi. Saya rasa, mereka satu keluarga. Sebab walaupun makan di Kluang Road Cafe, buat bayaran di restoran sebelahnya.

Lokasi baru ni, tempatnya sudah berhawa dingin. Sebelum ni di lokasi lama, restoran terbuka, tiada aircond. Jom tengok kami makan apa.


Saya suka pesan laksa johor bila makan di Kluang Road Cafe ni. Sebab nak buat sendiri, memang tak lah, pemalas punya orang. Laksanya ada di bawah kuahnya yang pekat itu. Sebelum makan, gaul semua sekali, dan perah asam limau. Sambal tu pula, saya campur sikit-sikit bila nak suap. 

Air pula, saya pesan white coffee panas. Sudah dihidangkan dalam cawan kopi klasik. Sebelum ni, kopi dalam mug, jadi dapat lebih. Ini, dalam cawan klasik, jadi kecil. Macam tak puas minum pula. Hehe... tapi waktu itu, lah, ye. 

Waktu entri ini ditulis, saya sudah berhenti minum air manis selama 4 hari. Yang ini, lain kali saya cerita ya, apa kesan yang badan saya alami setelah berhenti minuman manis. Tunggu.... 😊


Close-up menu gambar laksa johor. Harga RM9. Pada pendapat saya, laksa johor dia terbaik lah! 😋


Ini pula, hidangan suami saya pesan, iaitu kacang pool. Roti bakar dia tebal. Colek dalam kacang pool tu, memang sedap! 😋 

Memang puas hati makan di cafe Kluang Road ni. Alhamdulillah. 

Itulah cerita pada 18 Januari yang lalu. Bermula 23 Januari, saya sudah mula intermittent fasting semula. Tak boleh dah sarapan di kedai, sebab saya boleh makan agak lewat, hampir pukul 11 pagi macam tu. Huhu...

Ok lah. Jumpa lagi, ye. 😊

Lari di UTP, mee tikus dan nasi kandar

Bulan Januari 2024 sahaja, sudah 3 kali saya berlarian di Taman Tasik UTP (Universiti Teknologi Petronas). Biasanya, saya dan suami datang sini apabila suami off kerja. Jadi, kami dapat pergi lokasi jauh sikit dari rumah. Di samping itu, dapat juga jalan-jalan cari makan. 2 dalam 1. Perjalanan ke UTP dari rumah, mengambil masa lebih kurang 40 hingga 50 minit, bergantung pada keadaan trafik. 

Larian 1 Januari, 10.3 kilometer.

Larian 11 Januari, 7.11 kilometer.

Dan semalam pun, saya dan suami ke UTP lagi. Cuma semalam saya tak lari. Rasa malas sangat, jadi saya jalan-jalan saja.

Jalan-jalan 17 Januari, 4.56 kilometer.

Alhamdulillah, atas nikmat sihat yang Allah kurniakan. Bila berjalan, boleh tengok banyak benda, berbanding bila berlari, tak berapa ambil perhatian sangat dengan benda sekeliling kita.

Ada replika dinasour.

Di Taman Tasik UTP ini, bertempatnya Geological Rock Garden, yang merupakan taman geologi terbesar di Malaysia. Baru saja dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, lebih kurang seminggu yang lalu.


Semasa kami pergi semalam, cuaca baik, tak berapa panas sangat. Ada tanda-tanda nak hujan.


Sesuai datang sini, waktu pagi atau petang. Bersiar-siar atau berjogging. Bawa seisi keluarga. Satu pusingan yang paling luar, boleh dapat 2 kilometer.


Ralit perhatikan air tasik. Burung-burung bangau pun banyak berterbangan, lebih-lebih lagi bila mesin pemotong rumput baru melepasi sesuatu kawasan tu, mungkin senang dapat cacing di tanah, bila rumput baru dipotong. Burung lain pun banyak di sini. Jadi, memang rasa tenang untuk layan perasaan dan menghirup udara segar waktu pagi.

Bila cuaca mula panas, kami pun beredar. Tak sampai 5 kilometer pun berjalan. Jadilah, keluar peluh, dari duduk rumah depan tv. 

Kami pergi Batu Gajah, sarapan di sana. Nak cuba tempat baru.

Pernah dengar orang makan mee tikus di Ipoh. Tapi, saya baru tahu, di Batu Gajah, Perak, pun ada gerai menyajikan mee tikus juga. Marilah kita cuba. Saya tak tahu mana mee ni dapat nama mee tikus. 😁

Nama kedai adalah RM Corner. Saya secara kebetulan terjumpa orang cakap tentang kedai ni, di group JJCM@Perak di facebook.


RM Corner tu, singkatan dari Ramli Misha Corner. Bagi yang tak biasa, mungkin berpendapat yang kedai ni, macam kedai makan cina. Sebenarnya, isterinya mualaf. Jadi, makanan di gerai adalah halal.

Lagi keratan akhbar mengenai RM Corner

Saya pula tak pernah makan mee tikus, walaupun selalu ternampak video mee tikus stesen bas medan kid yang viral di Ipoh. Kat Batu Gajah pun ada, jadi, marilah kita cuba, ya.

Mee tikus goreng
 
Sebab pertama kali makan, saya cerita sikit tentang mee tikus yang saya dapat info melalui carian google ya. Mee ini adalah masakan cina yang berasal dari Taiwan, Loh si fan. Loh si dalam bahasa cina bermaksud tikus. Fan pula bermaksud mee. Makna sebenarnya adalah laksa pendek, tapi orang lebih kenal mee ini sebagai mee tikus. 

Masa saya tengah tunggu pesanan sampai, ada bau wangi macam orang goreng kuetiau, dan ada rasa hangit, macam dimasak guna api besar. Saya suka, saya suka, sebab ada bau hangit. Hehe...

Sudah makan. Memang sedap. 😋 

Suami pesan bihun goreng. Tapi saya lupa ambil gambar, bihun goreng tu. Sebab tengah syok makan mee saya.

Lain kali boleh datang lagi. Yeh!

Nama kedai: RM Corner

Alamat: No. 2, Plaza Batu Gajah.

Masa operasi: 8 pagi hingga 1 petang.

Lepas kenyang makan, kami tak terus balik, pergi Kampar la pulak, nak bungkus nasi kandar beratur 786. 😁 Hahaha... tak masak semalam. Yay!

Suami saya pesan 2 nasi  kandar ayam goreng, 2 nasi kandar ayam bawang. Lauk letak asing ye, mamak.

Ayam dia besor!

Selamat makan tengahari, nasi kandaq. Sayur kobis jangan dilupa. Juga, telur masin. Surrrr...... 😋

Lepas tu, banyak kerja rumah kena siapkan. Lipat kain, menjahit baju anak yang koyak. Orang baiki aircond pun datang semalam. Ada 2 aircond rumah rosak. 

Jahit baju koyak

Tak beli baru. Kita jahit je. Dia pun lagi 2 bulan, nak habis sekolah. Baju inner, pakai dalam baju sekolah.

Ingat kan, petang lepas Asar, free la, untuk update blog. Tak sempat juga. Saya keluar sampai nak maghrib, baru balik rumah. Cari barang anak-anak sekolah. Gitulah ceritanya. Apa nak buat. Hari yang sibuk. Hehe..

Orait. Jumpa lagi, ye. 😊

KL Trip, day 2

Sabtu, 23 Disember 2023 - Mandi awal pagi sebelum subuh. Mata ni memang automatik celik pukul 4 atau 5 pagi. Kat rumah ke, kat hotel ke, tak payah nak set alarm. Selesai sahaja subuh, saya siap-siap nak pergi lari di taman KLCC. Nak test kasut baru beli hari sebelumnya. Suami saya, nak ikut juga. Anak-anak lepak di apartment. 

Saya suka berlarian di taman KLCC ni. 

Laluan berlari

Banyak pokok-pokok besar. Laluan lari lembut. Soft landing. Bila dahaga, ada water cooler, banyak tempat. Awal pagi, tak ramai sangat. Tapi semakin lama, semakin ramai datang beriadah.

Saya suka pokok-pokok besar. 😍

Tidaklah saya tahu, yang ada event berlangsung di KL Convention Center, di sebelah taman tu. Ada Comic Fiesta berlangsung pada hari Sabtu dan Ahad, mula pukul 10 pagi. Walaupun saya berlarian di taman awal pagi, namun sudah ada anak-anak muda berpakaian watak anime mula datang.

Anak-anak muda berpakaian watak anime mula membanjiri KL Convention Center.

Yang rambut biru, rambut hijau, macam-macam watak anime ada. Sangat usahalah dia orang ni. Siap make-up bagai, baik lelaki mahupun yang perempuan, dengan contact lense, lengkap, sudah serupa kartun, sebijik!

Watak ala-ala Counter Strike

Sebab saya pusing berkali-berkali taman tu, bermacam-macam manusia la yang saya nampak.

Ni baru lari dari hospital, gamaknya..

Kalau dia orang ni, stay kat convention center tu saja, takpe juga. Ini, mereka berpeleseran di taman tempat orang awam beriadah ni. Kalau ada pakcik tua tengok yang seksi-seksi tu, mau terjojol biji mata pakcik tu haaa.... 

Kita lari je la, tengok pokok. Suami saya, sekejap saya nampak dok rileks, main telefon, kat kerusi. Lagi satu round saya pusing taman, nampak dia tengah jogging slow-slow pula. 

Larian taman KLCC, 10.27 kilometer.

Alhamdulillah, selamat saya mengetest kasut baru beli semalam, buat 10 km. 

Hoka one one Mach 5 Wide

Ini pertama kali saya beli kasut wide, iaitu lebar di depan. Bila dah cuba kasut hoka, orang kata, tak pandang dah kasut brand lain. Tapi saya, tak rasa begitu. Pada pendapat saya, kasut hoka ni, ringan. Kaki rasa nak pergi lebih laju. Tapi, lutut tak mampu, sebab dah tua. 😁 

Waktu saya tulis entri ini, dua hari lepas, saya ada test lari half marathon, 21.1 kilometer. Memang ok sesangat! Jari kaki boleh bernafas dan bebas bergerak. Alhamdulillah, dapat merasa pakai. Saiz dia lain, tak sama dengan saiz saya pakai untuk Asics. Tu pasal, kalau anda nak beli kasut lari, sila pergi kedai, test di kedai. Lain brand, lain cutting dia, lain design dia, saiz pun tak sama. Kasut Asics, saya pakai saiz 6.5 UK, kasut Hoka ni, saya pakai saiz 6 UK. 

Kasut ni ok, tapi dari segi cushioning, Asics Gel Nimbus 25 lebih sedap (untuk orang yang ada masalah lutut). 

Ok la. Berbalik kepada cerita. Selepas lari, saya dan suami pergi ke Wisma Central, Jalan Ampang, bungkus nasi lemak untuk kami sarapan di apartment. 

Sarapan dulu satu family. Mandi-mandi, wangi-wangi. Kami keluar berjalan-jalan semula. Hajat nak pergi Pavilion, Bukit Bintang. Sudah tanya anak yang bermuka masam semalam, suruh dia lepak je kat apartment, rehat. Tapi dia nak ikut juga, dia kata, dah sampai KL, tak kan tak pergi jalan-jalan kot, rugi ler. Suami rujuk map dari aplikasi Waze, masa kami mula berjalan kaki. 

Akhirnya, kami sampai ke Pavilion, Bukit Bintang. Jarak lebih kurang 1.2 kilometer sahaja dari apartment kami. Kat sini, kami tak sempat nak jalan semua tempat. Ada budak tu, dah start buat muka masam dia tu, macam semalam. Heee... pelik sungguh la. Last-last, nak menghilangkan dahaga, kami lepak di Paris Baguette, sebuah cafe, yang ada jual kopi dan pastries. 

Gambar dari google.

Cafe T20 ni. Dia punya air Evian (air mineral), RM7 ke, RM8, sebotol. Saya pun tak ingat. Kegilaan apakah... adoi.. baru jalan sikit, muka dah masam. Tak sempat la mama nak tawaf window shopping di Pavilion. Tapi best juga duduk dalam cafe tu. Tengok orang kiri kanan. Dia orang bukannya makan banyak pun. Order satu air, satu kek, share berdua. Hehe.. lebih kurang macam kami juga la. Kami pun share-share. Habis tu, baru je tadi makan nasi lemak lauk ayam kat apartment, kan. Bukan lapar pun, dahaga je.

Kalau budak tu tak ikut, kami sampai ke Lot 10 kot, jalan-jalan. Anak kedua saya ni memang tak suka keadaan ramai orang. Dah cakap dah dengan dia, kita ni kat KL. Bukan kat rumah di Perak. Nama pun ibukota Malaysia. Mestilah ramai orang.

Jadi, lepas minum tu, kami pun patah balik ke arah KLCC. 


  Barulah nampak ada laluan khas pejalan kaki dari KLCC ke Pavilion, dan sebaliknya. Tadi masa datang, kami ikut jalanraya je, dari bawah. 

Laluan pejalan kaki.

Sungguh selesa, laluan pejalan kaki, ada aircond lagi. Bertuahnya orang Kuala Lumpur. Nak pergi shopping senang, tak kena hujan panas. Asalkan ada keinginan untuk berjalan. Banyak steps dalam  sehari boleh dapat.

Kami nak pergi Decathlon lagi sekali, jadi, kami lalu di KLCC. Memang ramai orang, termasuk beribu-ribu orang yang pergi Comic Fiesta di KL Convention Center tu. Satu sikap yang saya nampak, bila orang kl nak selfie ke, nak berborak ke, dia stay je tengah jalan. Tak ketepi pun. Ini mengganggu perjalanan orang belakang. Kita yang nak berjalan non stop ni, kena bijak cari lubang-lubang laluan yang boleh dilalui di celah-celah orang ramai. Time ni memang tak buka topeng muka langsung. Jalan pun langkah pendek, sebab terlampau ramai manusia. Di pokok krismas KLCC tu, jumpa orang pakai watak Doctor Octopus, dari Spiderman. Walaupun tak kenal, bila ada character menarik je, ada je orang minta selfie sama. Melayan pula dia orang ni. 

Kami masuk Decathlon semula. Beli baju dan seluar. Sebab semalamnya, ada beli sorang satu. Lepas tu dah cuba pakai, sedap pulak baju Decathlon. Fabrik yang bagus, walaupun berpeluh, cepat kering. Itu yang pergi lagi. Kat Perak mana ada Decathlon, encik. Beli lagi baju dan seluar kali ni, untuk anak-anak. 

Habis shopping, kami pulang dulu di apartment. Berehat dan solat jamak. Lepas tu, kami keluar semula, kali ni, jumpa kakak saya. 

Memang ramai manusia tengahari hari Sabtu itu, di mana-mana. Nak cari tempat makan pun, susah juga. Last-last, kami lepak di mamak di Hotel de King Boutique, di Jalan Ampang. Apa nama kedai mamak pun, saya dah lupa. Yang sebelah dia, ada jual durian tu. 


Kakak sulung saya tinggal di PJ, tapi kerja di KLCC. Jadi, dia tahulah lubang-lubang shortcut mana nak lalu, time ramai orang ni.

Alhamdulillah, dapat jumpa kakak. Lama juga lepak. Lewat petang, baru balik ke apartment. Dan tak keluar-keluar dah.

Mandi wangi-wangi, tidur awal. Saya la tidur awal.

Anak sulung buat assignment

Suami teman anak sulung buat assignment, sampai pukul 11 malam. Assignment sepatutnya dihantar hari sebelumnya, tapi lecturer beri kelonggaran, sebab sedang cuti. Kerja kumpulan pula, nak kena kumpul kerja semua orang dan submit dalam bentuk video. Anak sulung saya ni, sedang belajar jurusan Perakaunan, sekarang semester 3. Nice kan, view bilik anak ni.

KLCC, waktu malam.

Nak tahu jumlah langkah saya berapa, setelah berjalan-jalan satu hari? 36 ribu, ok! Termasuk saya lari 10 km di taman klcc dan jalan-jalan sampai ke Pavilion dan KLCC. Ini melebihi langkah yang saya dapat kalau saya buat half marathon. Buat hm je pun, sekitar 34-35 ribu langkah sahaja, biasanya.

Saya rasa, sangat beruntung orang yang tinggal di tengah ibu kota. Tak perlu ada kereta. Naik public transport lebih senang. Lagi satu, banyak pula stesen LRT dan MRT yang menghubungkan ke pusat membeli-belah. Siap ada laluan pejalan kaki berhawa dingin. Antara nak atau tak nak je, untuk berjalan, bakar kalori. Jalan dalam shopping complex pun ok sesangat, boleh window shopping.

Apa pun, saya enjoy dapat berjalan banyak tempat di hari kedua. Jalanraya dan bangunan sudah banyak berubah, tak seperti masa saya kerja KL dulu. Dapat jumpa kakak sulung. Alhamdulillah. 

Oklah. To be continued... jumpa lagi, ye. 😊

I am so happy

 Alhamdulillah... saya sudah selamat pos hadiah kepada kelima-lima top pengomen 2023 blog saya ni. Tiga sahabat bloggers sudah selamat terima pun. Syukur Alhamdulillah, selamat sampai kepada penerima. Lagi dua lagi, on the way, semasa entri ini saya tulis.

Minggu ini, setiap hari saya ke pejabat pos. Ada hari, sampai 2 bungkusan saya pos. Saya belajar benda baru. Contohnya, bila kita nak hantar lebih satu bungkusan, masa isi borang parcel online di web pos Malaysia tu, selepas habis isi penerima pertama, kita boleh screen shot QR code yang dipaparkan. Lepas itu, kita boleh terus edit butiran penerima dengan memasukkan nama penerima kedua pula. Jadi, jimat masa. Bila sampai pejabat pos, boleh terus scan dan print out, settle dua bungkusan sekaligus. Hari tu, saya tak tahu. Saya isi satu persatu. Alhamdulillah, dapat ilmu baru. Encik pekerja pejabat pos Lumut ajarkan. 😊

Senang je sekarang, nak hantar barang.

Gambar tiada kena mengena dengan cerita. Saja nak share, larian 21 Disember lepas. 😁

Balik kepada tajuk. Sejujurnya, untuk tahun 2024 ini, saya tak pasti sama ada saya mampu untuk beri cenderahati lagi kepada top pengomen sepanjang tahun. Ini adalah kerana, hasil kerja tangan saya yang ready-stock sudah pun kehabisan. Hehehe... kena kait barang baru. 

Saya tak kisah akan kos bahan mentah untuk siapkan sesuatu barang kait itu. Walaupun harga benang kait makin tahun, makin meningkat. Bagi saya, kos masa itu lebih mahal dari kos bahan mentah. Nama pun hobi. Benda yang saya cuma usahakan di masa lapang. Jadi, sesuatu barang kait itu ambil masa agak lama untuk siap. Itu lah untuk tahun 2023 lepas, saya cuma mampu bagi untuk 5 orang pembaca bertuah sahaja. Untuk tahun ni, tak pasti lagi. Insya-Allah, saya akan usahakan.

Ada rasa gembira terbit dalam hati. Berbunga-bunga. Bila bagi hadiah kepada orang. Saya sangat suka. Apatah lagi, hasil handmade ini adalah unik dan tak boleh didapati di kedai. Tiada hasil kerjatangan yang sama. Itulah antara sebab saya berbesar hati dapat hadiahkan hasil kait saya kepada pengomen terbanyak.

Larian indoor 29 Disember. Nama pendek saya Kenek. Nama panjang saya, Kenek Kenek si Bongkok Tiga. 

Benda yang kecil, tidak semestinya senang untuk siap. Ada bezanya antara kait jarum satu (crochet) dan kait dua jarum (knitting). Hadiah berupa bantal kait, adalah hasil knitting. Sementara yang selimut ripple tu, adalah hasil crochet. Nama selimut tu ripple sebab corak macam ombak zig-zag. Boleh la skodeng kat blog kawan-kawan yang sudah share hadiah yang mereka terima, iaitu NA dan SK.

Larian indoor 30 Disember. Hello.. nama saya Ketot Junior. Saya dapat nama Ketot sebab ekor saya kontot. 

Saya terinspirasi dengan semangat seorang lagi sahabat blogger, iaitu Anies. Yang berjaya update blog sepanjang minggu dan cuma off Sabtu dan Ahad. Saya pinjam sikit semangat Anies ye, tahun ni. Sabtu dan Ahad, saya akan peruntukkan untuk mengait, jadi tiada entri lah, pada dua hari tersebut, ya. Itu pun, hari ni, lewat juga update blog untuk hari Jumaat. Saya cuba semampu boleh. Insya-Allah.

Ok. Jumpa lagi, ye. 😊