Showing posts with label Running Events. Show all posts
Showing posts with label Running Events. Show all posts

Sahom Trail Run 2023

 17 Disember 2023 - Awal pagi, sudah bangun mandi dan bersiap. Berjalan dari tapak perkhemahan ke tempat bermula larian. Tak jauh pun. Orang sudah ramai. Jumpa runners dari Manjung. Jumpa kawan-kawan Malaysia Women Runners. Pukul 7 pagi, larian bermula. 

Lalu kawasan kelapa sawit. Keluar ke jalan kampung Sahom. Saya mula-mula, perlahan je. Tak mahu push sangat. Simpan tenaga. 

Kredit foto: Jurugambar Sahom Trail Run 2023

Saya pakai baju ungu. Baju Malaysia Women Runners (MWR). Itu yang ada pelari dari group MWR tegur tu. Baik dan peramah, dia orang.

Pemandangan cantik, bila lalu bukit batu kapur. Yang macam di Gua Tempurung tu. Cuaca masih sejuk. Hijau pemandangan. Rasa sangat gembira dapat sertai larian denai ni. 

Saya tak keluarkan handphone dari bag. Saya fokus lari je. Kaki tak mahu berhenti. Lain macam bila masuk kampung dan denai ni. Tak macam event lari di bandar. Rasa nyaman.

Saya lari slow je.

Seawal kilometer 1, saya sudah buka energy gel. Makan sikit-sikit. Ada water station setiap 5 kilometer. Ada air mineral dan 100 Plus. Pelari bawa cawan sendiri, salah satu barang dalam mandatory items. Selain running cup, mandatory items yang lain ialah hidration bag, air lebih 500 ml, wisel dan handphone.

Ada jalan kampung, bukit tinggi. Masa tu, barulah saya berjalan. Lalu kawasan kampung orang asli. Tengok rumah mereka. Masa saya lalu, ada peniaga ikan datang naik motor, jadi ibu-ibu keluar membeli. Yang ibu, mengendong bayi tak pakai seluar pun. Masih ada orang asli begini di negeri Perak.

Masa lalu kawasan hutan, rumput tinggi. Ada kawasan lopak air. Tenggelam kasut saya dalam lumpur. Sampai ke seluar kotor. Hahaha... gelak sendiri. Selamat kasut aku! Tapi rasa sangat seronok! 

Kilometer ke-9, sampai ke kawasan sungai. Beratur masa ni. Untuk lintas sungai. Di tepi, sudah ada JPAM, standby in case of emergency. Ada tali merentasi sungai, untuk pelari berpaut. Juga, crew-crew yang menjaga semasa pelari sedang merentasi sungai. 

Air sungai agak deras. Di sesetengah tempat kita pijak, dalam juga.

Beratur melintas sungai.

Saya baca bismillah dalam hati banyak kali. I is takut juga. Campur-campur la, perasaan. 

Berpaut kuat pada tali.

Alhamdulillah, selamat lintas sungai. Sambung berlari. Tapi bila kita keluar air, kasut rasa berat. Kaki rasa berat. Pakaian basah, kan.

Minum air elektrolite yang saya bawa. Saya mula slowjog slow-slow.  Cuaca sudah mulai panas. Ada ketika, lalu jambatan yang merentasi lebuhraya utara selatan. Nice! Saya tak ambil gambar la. Dalam kepala otak je, ingat. Malas nak keluarkan handphone. 

Akhirnya, saya sampai ke garisan penamat. Ada crew menunggu, untuk bagi medal dan finisher T. Lepas tu, jumpa kakak. Dia memang lari laju, macam jebon! 😂 Ambil bubur gandum, kuih donut dan karipap. Rasa sedap, dapat makan makanan panas selepas berlari. 

Alhamdulillah. Selamat sampai garisan penamat. Selfie depan khemah. Tudung pun udah rupa ombak rindu.

Saya rasa sangat best. Lain lari di denai ni. Saya pula dah lama tak masuk trail events. Alhamdulillah, walaupun cuma 15 kilometer. Penganjur yang bagus. 

Masa on the way nak pergi sarapan, suami saya tiba dari Lumut. Kami pun sarapan sekali, nasi lemak dan kuih karipap, kuih cucur keria. Minum teh tarik, ok. Sedap! Nikmat bila lama tak minum teh tarik panas.

Lepas makan, mandi, packing barang. Bungkus dan bersihkan semua peralatan perkhemahan. Tapi tak sempat tolong kakak sampai habis. Balik dulu. 

Baju event, baju finisher, medal dan bib larian.

Alhamdulillah. Dapat sertai event trail run ni, bersama kakak saya. Dapat berkhemah. Bersama alam. Bersama sungai. Bersyukur atas nikmat lari yang Tuhan pinjamkan. 

Baiklah. Sekian laporan Sahom Trail Run 2023. 

Jumpa lagi, ye. 😊

HTM Ipoh 7 Bridges Run 2023

Cerita tentang HTM Ipoh 7 Bridges tahun lepas, ada di sini.

Tak macam tahun lepas, di mana saya bertolak dari Lumut pada hari larian. Tahun ini, saya dan suami pergi ke Ipoh hari sebelum larian, dan bermalam di hotel.

Race Entri Pack Collection (REPC)  

Sabtu, 16 September 2023 - Bertolak dari Lumut sebelum tengahari lagi. Nasib baik pergi awal. Sebab hari roadblock sedunia di Perak. Jumpa dengan 3 sekatan jalanraya oleh polis. Dia punya kesesakan, panjang berjela, you. Sampai saja di Ipoh, terus tuju ke Stadium Indera Mulia, untuk ambil racekit. Ada 2 hari boleh ambil racekit, hari Jumaat dan Sabtu. Sesak ye, di stadium. Cuti umum Hari Malaysia, lepas tu ramai orang berkunjung ke event di stadium, ada hari kerjaya, karnival KAMU, booth-booth jualan. 


Dalam drawstring bag tu, ada nombor bib larian, baju event dan beberapa freebies seperti gula-gula garam, samples dan voucher dari Farmasi HTM.

Lepas ambil racepack, jalan-jalan tengok apa yang menarik di tapak karnival. Saya beli energy gel. Ada offer, beli 3 energy gel, harga RM20 sahaja.

N8 energy gel, satu (perasa mango) saya dah guna masa lari. Himalayan salt drops, free gift dalam racepack.

Masih terlalu awal untuk check-in di hotel, jadi pergi jalan-jalan dan makan tengahari dulu di Aeon Kinta City. 

Penginapan

Saya dan suami telah buat tempahan di Fair Park Hotel. Tak jauh dari lokasi nak berlari, iaitu di stadium. Pertama kali nak check-in di hotel, saya beratur selama 1 jam, hokey...! OMG! Kena sabor banyak-banyak.

Bila dah selamat masuk bilik, ok. Semua puas hati. Bukan nak duduk lama pun. Berbaloi dengan harga yang kami bayar, iaitu RM81 sahaja. Bilik standard. Aircond sejuk, ada tv, bilik air bersih, ada cerek elektrik boleh buat kopi, ada mini fridge, ada tingkap boleh view pemandangan belakang hotel. 

Masa kami keluar petang, masih ramai yang beratur nak check-in. OMG! Tak habis-habis lagi. 

Lokasi memang strategik. Banyak tempat makan. Dalam pukul 5 petang, saya dan suami pergi pekena nasi kandar Pelita, jalan kaki je, dari situ. Alhamdulillah, carbo loading dengan selamatnya, ayam goreng, nasi kuah campur, sedap hingga menjilat jari. 

Balik ke hotel, terserempak dengan staf hotel yang uruskan check-in pada pukul 3 petang tadi, tanya baru habis kerja ye. Dia kata, dia baru kerja tahun ni di hotel tu, pertama kali tetamu ramai sangat nak masuk. Hehehe... itulah penangan Ipoh 7 Bridges Run ye. Orang dari KL, dari utara, turun, untuk sertai larian ni. 

Hari Larian

Tidur 6 jam. Alhamdulillah, boleh berehat. Walaupun mata tak mengantuk, nak mengadap movie di bilik hotel, tapi off juga lah tv, sebab perlu bangun awal, iaitu pukul 2 pagi. 

Mandi, siap-siap, pukul 3 pagi, saya dan suami berjalan ke stadium. 

Saya buat warm-up. Lari sikit-sikit, bagi keluar peluh. 

Selfie satu, bersama suami tercinta.

Tepat pukul 4 pagi, berlepas la kami, peserta half marathon, iaitu sejauh 21.1 kilometer. Tiada false start macam last year. Bagus, semua lancar.

Biasanya, bila mula dilepaskan, saya boleh sampai pace 7. Laju la tu, bagi saya. Mudah terpengaruh dengan orang-orang lain. Kali ni, saya buat easy pace sahaja. Pace 8 paling laju. Takpe, biar orang potong kita. 

Kilometer 1.5. Kredit foto: Jurugambar rasmi Ipoh 7 Bridges.

Boleh nampak saya dalam gambar di atas? Memang meriah acara ni. Sentiasa dikelilingi orang. Sentiasa dipotong dan memotong orang. Hehe... dalam gambar di atas, saya di bahagian kanan, di belakang.

3 kilometer pertama memang paling susah bagi saya. Masa tu la, ada rasa lenguh betis la, macam-macam. Itu pasal kali ni, strategi saya, start easy, finish strong. Saya slow je. 

Lepas 3 kilometer, automatik kita terlaju. Tak sengaja pun. Tapi sebab enjin dah panas kan, jadi semua jadi lancar.

Kilometer 6. Kredit foto: Jurugambar rasmi Ipoh 7 Bridges

Cuaca tak panas, membantu juga. Sebab petang semalamnya, hujan di Ipoh. Kaki ok. Saya lupa nak cerita, saya beli kasut baru, tau. Sebab masa acara larian lepas, rasa kasut saya sempit. Saya beli 0.5 saiz lebih besar. 

Ni dia.. kasut baru.

Asics Gel Nimbus. Melantun-lantun saya pergi. Nama pun 7 bridges, jadi ada 7 fly-over atau jambatan. Masa naik jambatan, saya cakap kat kaki, ok, kita jalan saja la, naik bukit ni. Tapi kaki saya tak dengar cakap, ok. Dia berlari juga. Memang saya non-stop lari. Saya cuma stop di setiap water station untuk minum air. Lepas tu, sambung berlari. Tak jalan pun. Saya sendiri terperanjat dengan diri sendiri. Boleh jadi si Asics Gel Nimbus ni punya pasal. Boleh jadi sebab cuaca pukul 4 pagi yang dingin. Boleh jadi sebab energy gel yang saya ambil, dari masa ke semasa. Bila terasa-rasa macam nak penat je, saya ambil sikit-sikit. Lepas tu, tutup balik penutupnya. Itu yang saya suka energy gel jenama N8 ni. 1 saja sudah cukup bagi saya, untuk half marathon. Apa pun, Allah yang izinkan. Alhamdulillah, saya sangat happy, sebab kaki saya ok sepanjang acara larian ini.

Kilometer 11. Kredit foto: Jurugambar Ipoh 7 Bridges.

Saya ada potong uncle yang bongkok, yang tahun lepas pun dia ada masuk juga. Hebat la dia, tiap-tiap tahun masuk half marathon. Steady je dia lari. 

Kilometer 17. Kredit foto: Jurugambar rasmi Ipoh 7 Bridges

Ada satu water station tu, selain air mineral dan 100 Plus, ada aiskrim malaysia. Tapi saya tak ambil, sebab saya takut semput. Lagi pun bila tak makan apa-apa dan masuk benda sejuk dalam perut, takut gastrik pula. Telan air liur tengok orang lain makan aiskrim malaysia. 

Kilometer 17. Kredit foto: Jurugambar Ipoh 7 Bridges

Saya fokus je lari. Bila jambatan terakhir yang paling tinggi tu, dekat Hospital Pantai Ipoh, ramai yang berjalan. Tapi saya boleh slowjog tak henti-henti sepanjang naik. Entah kena sampuk apa kaki saya hari tu. 

Ada sorang amoi ni, dia potong saya, saya potong dia. Bila dia berhenti jalan, saya potong dia. Bila dia lari, dia potong saya balik. Bila dekat nak habis, dia datang tepi saya, dia cakap, "You're so good! Non stop lari." Pastu saya balas balik,"You're good too. So fast!" 

Pasal tu la saya suka masuk acara larian. Bukan kenal pun sesama runner. Tapi suka motivate each other. Kalau tengok kita slow, ada orang tanya, "Are you ok? " Best rasanya.

Ni, saya tak tau kilometer berapa. Kredit foto: Racetag

Tahun ni, ada sistem pengecaman wajah, di mana di website penganjur, kita masukkan muka selfie kita atau nombor bib larian kita, gambar yang ada muka kita akan keluar. Bagus, ada kemajuan. Tapi ada juga gambar-gambar di atas, saya cari di facebook pengajur, sebab banyak jurugambar di sepanjang laluan.

Saya takde tengok jam sangat. Tapi saya perasan saya sedikit laju dari biasa, bila dekat nak habis, nak sampai stadium semula, hari masih gelap. Masa sampai di surau bergerak pun, hari masih gelap. Sayup-sayup dengar azan. Tapi saya tak berhenti, sebab uzur. Kalau tak, boleh berhenti rehat sebentar. Tak best tau, lari bila sedang datang bulan. Sebab pakai tuala wanita, ada potensi untuk melecet bila berlari jauh macam ni. Kena sapu vaseline banyak-banyak di kawasan terlibat. 

Selalu bila sampai di garisan penamat, suami saya sudah standby untuk ambil gambar. Dia bajet saya buat half marathon, 3 jam. Tapi kali ni, saya terlaju, dia masih on the way ke lokasi. Lepas tu, saya lupa nak stop jam, sebijik macam tahun lepas, pun saya lupa. Ambil medal dulu, ambil baju finisher dulu, masa nak cari tempat lapang untuk menyejukkan badan, baru saya perasan, alamak, jam aku masih berjalan.

Data larian mengikut jam. Gambar diambil masa sebelum berlepas, pukul 3.32 pagi.

Alhamdulillah. Saya rasa sangat gumbira, sebab selamat sampai ke garisan penamat tanpa apa-apa kesakitan atau kecederaan. Cut-off time adalah 5 jam. Sangat lama, ok. Selalu acara half marathon, cut-off time biasanya 4 jam sahaja.

Baju finisher, medal dan bib larian.

Meh tengok result larian, mengikut masa penganjur.


Kategori women veteran, saya nombor 68 dari 149 orang. Yay! Hehe.. happy. 

Keseluruhan peserta half marathon, saya dapat nombor 749 dari 1299 orang.

Peserta perempuan pula, saya dapat tempat ke 114 dari 284 orang wanita yang sertai half marathon.

Syukur Alhamdulillah. 

Sijil penyertaan

Tamat sudah acara larian terakhir yang saya daftar untuk tahun ni. 

Last, gambar depan start/finish line.

Alhamdulillah. Suka, suka. 😊

Sekian, jumpa lagi, ye.

Camana saya sembuh sakit kaki

 Hari tu, masa hari event tu, saya sakit di bahagian tapak kaki, kan. Boleh klik di sini untuk cerita hari event Warrior Run hari tu. 

Saya pernah kena dulu. Dari pembacaan online, sakit yang saya alami tu, menyerupai plantar fasciitis (PF). Tidaklah saya pergi jumpa doktor, jadi tidak tahu confirm atau tak, ianya PF. Ini adalah kerana, cuma hari kejadian je, sakit teruk. Esoknya, sudah ok. Boleh berjalan. Saya pernah baca, ada pelari yang kena PF ni, bila bangun pagi, nak turun katil, pijak lantai pun dah rasa seksa. Nak berjalan susah. Sampai kena jumpa doktor, kena cucuk, kena buat fisioterapi, baru ok. Saya bersyukur, kerana sakit di bahagian tapak kaki yang saya alami, tidaklah teruk sebagaimana yang saya baca. 

Macamana pun, saya ingin berkongsi cara saya sendiri, untuk redakan sakit tu. Kalau tak buat, boleh ambil masa lebih lama. Saya dapati, dengan cara di bawah, 2 hari saja rehat, kaki sudah ok, Alhamdulillah. Kalau sakit teruk sampai nak jalan pun sakit, sila jumpa doktor, tau. 

1) Jalan di batu refleksologi 

Biasa ada di taman-taman awam. Yang kita boleh beli pun ada, di shopee, lazada. Sebab taman saya biasa berlari ada tempat batu refleksologi ini, jadi saya selalulah jalan situ, bila sakit kaki.


Haaa.... inilah dia.... batu refleksologi. Sakit tau, jalan atas tu. Janganlah jalan dengan kasut. Tanggal kasut. Kaki ayam. Baru rasa, sedap ke, sakit. 😅

Bagi saya sendiri, 75% sakit la, 25% sedap. Kalau batu kecil-kecil tajam tu, memang la sakit. Kalau batu flat rendah tu, sedap la. 

Sakit jalan atas batu kecik, cari batu flat juga. Kucing musykil apa makcik ni tengah buat.

Tahukah anda, bahawa tapak kaki kita ada lebih dari 60 titik akupunktur, menurut perubatan cina. Jika kita amalkan berjalan atas baru refleksologi ini, boleh hilangkan tekanan, melancarkan peredaran darah dan boleh merawat bahagian yang bermasalah.

Ler, dia pun join sekaki.

Satu hari je saya jalan atas batu refleksologi ni. Esoknya, sakit di bahagian tapak kaki itu sudah hilang. Alhamdulillah. Kalau tempat anda tak ada batu refleksologi ini, boleh beli online. Kalau malas beli, bola tenis pun boleh. Pijak atas bola tennis. Saya dulu pun pernah buat, sambil-sambil duduk mengait tu, kan. Pijak kaki atas bola tenis. Roll-roll bola tenis tu bawah kaki kita. Sedap rasa, macam massage gitu. Sampai habis pecah 2-3 biji bola tenis, anak gajah saya pijak.

2) Ikat kasut cara runner's knot

Tak kan la sakit kaki sikit, beli kasut baru. Sakit sikit, tukar kasut baru. Kalau anda banyak duit, silakan. Tapi bagi saya, setakat nak pakai daily training tu, boleh lagi la kita lanyak kasut yang ada. Cuma jangan pakai masuk event lari, ok. Dah tahu ketat, pakai jugak, memang cari nahas namanya. 

Boleh pakai kasut sedia ada, tapi tukar cara ikat tali kasut. 

Saya sudah tahu lama, ikat cara runner's knot ni. Tapi biasa la, benda yang ambil masa seminit, kita malas buat. Suka juga ikat cara ringkas 30 saat, lumrah seorang manusia. 

Gunakan lubang pada kasut yang paling atas dan tepi, untuk cara ikat kasut cara runner's knot.


Buat loop seperti gambar di atas, di kedua-dua belah. Hujung yang ini, masuk ke loop depan. Hujung yang sana, masuk dalam loop sini.


Tarik dan ketatkan. Lepas tu, boleh la ikat macam biasa, yang telinga arnab tu. Biasa, kita buat telinga arnab, kemudian masukkan sebelah dalam lubang kan? Cuba buat 2 kali masuk dalam lubang tu. Ini triathlete yang share kat instagram beliau dulu. Memang secure. Tali kasut takkan terlerai pun, sepanjang kita berlari. Larilah jauh mana pun. Saya dah test, memang confirm tak tercabut.


Siap! Kalau nak, boleh kemaskan hujung tali kasut tu, selit la kat tepi-tepi mana boleh diselitkan. Last-last, kasut New Balance lama juga yang sedap, saiz besor. Kasut ni, saya dah cuci, buat lari dalam rumah. Pakai balik. 

Haaa.... saya dah cuba, pakai kasut Brooks yang rasa ketat tu, saya ikat cara runner's knot ni, ok. Boleh la buat sampai 10 km. Bila kita ikat cara ini, kasut tu, kita lock di bahagian pergelangan kaki. Jadi, dia tak gerak ke depan. Jari kaki kita jadi bebas bergerak. Yay!

Orait. Saya tahu cara saya terangkan cara ikat runner's knot ni macam kurang jelas. Boleh refer video makcik di bawah ye. Dia terangkan lebih jelas. 


3) Rehat

Ambil masa sehari untuk rehat. Tidak berlari. Tidak bersenam. Rehat je. Rest day berbeza banding recovery day. Recovery tu, maknanya, kita still berjalan, especially lepas event jarak jauh, kita buat brisk walk esoknya atau slowjogging supaya darah berjalan, circulation, dapat bantu otot-otot pulih dari kecederaan. Otot pun perlu masa rehat, pembinaan semula dan untuk menjadi semakin kuat.

Minum air banyak-banyak, cover balik jumlah air yang hilang pada masuk event lari.

Ok. Sekian cara saya pulih atau recover selepas masuk event lari. Badan kita tak sama. Tahap kesihatan tak sama, jadi, sila dengar badan masing-masing. Kalau rasa masih sengal-sengal, tak perlu la lari jauh sangat. Take it easy. Beri masa badan pulih. 

Tu je la kot. Jumpa lagi, ye. 😊

Warrior Run 2023

 Sabtu, 12 Ogos 2023 - Sebelum pukul 6 pagi, sudah bertolak dari rumah. Masuk waktu Subuh bagi daerah Manjung adalah pukul 6.04 pagi. Parking kereta depan bus stop Esplanade Lumut. Bentang tikar dan sejadah, check arah kiblat. Wuduk dah siap ambil dari rumah. Solat kat bus stop saja. Tak pergi ke masjid untuk solat, sebab nanti kena berulang jauh ke kereta. Standby pakai telekung siap-siap. Masuk waktu, terus solat. Pastu jalan kaki ke tempat berlepas. 

Ambik gambar sebelum berlepas.

Sepatutnya, berlepas pukul 6.20 pagi. Tapi, lambat beberapa minit. Tak kisah la tu, sempat buat aktiviti memanaskan badan dulu.

Terima kasih kepada encik suami, yang selalu hantar dan tukang ambil gambar masa acara larian. Berikut video encik suami ambil semasa baru berlepas.


Cuma 3 kilometer je lalu pekan Lumut. Selebihnya, laluan dalam pengkalan TLDM Lumut. Berikut peta larian saya.


Yang saya bulatkan dalam peta di atas, adalah kawasan yang lalu 2 kali. U-turn di kawasan anak panah hijau tu, di situ, krew beri gelang untuk pakai, sebagai penanda. Lari lagi, satu pusingan lagi. Sampai lagi di kawasan anak panah untuk u-turn, dapat lagi gelang kedua. Kemudian, baru proceed keluar dari pengkalan TLDM, dan menuju semula ke tempat permulaan.

Saya kecewa dengan diri sendiri, sebab saya tak mampu berlari sepanjang 21.1 kilometer tu. Pertama kali. Kalau tak, acara half marathon lepas-lepas, saya boleh je lari tanpa henti, dari awal sampai akhir. Kali ni, bila sampai 15 km, saya alami sakit di bahagian tapak kaki. Ada ketika, saya cuba juga slowjog. Tapi, tak boleh lama, sakit. Last-last, saya jalan laju je untuk 6 kilometer terakhir. Kasut saya rasa ketat. Kaki saya mengembang. Tak sesuai la pakai Brook Ghost 15 ni, untuk larian jarak jauh. Jari-jari rasa ketat. 

Gambar suami ambil.

Gambar atas, masa nak menuju ke garisan penamat. Saya jalan je. Tak boleh lari dah. Sakit tapak kaki kanan.

Masa nak ke meja urusetia, ambil baju finisher dan goodies, rasa nak cramp kaki. Tapi boleh tahan lagi, sebab saya masih berjalan. Suami tolong pi kedai runcit, beli air coke dan chocolate. Saya dah tak larat. Habis tenaga. Saya rasa, macam saya dah tua untuk masuk event road run yang competitive macam ni.

Duduk sat. Alhamdulillah, selamat sampai.

Nampak tak barisan di belakang saya tu? Itu kategori 5 kilometer, tengah beratur untuk ambil baju. Nasib baik untuk kategori half marathon, tak ramai macam tu. 

Lepas rehat sebentar, saya dan suami berjalan ke tempat parking. Balik rumah.

Sampai rumah, terus kaki saya cramp. Bila buka kasut. Jari kaki mengerekot, macam orang cacat. Jari tengah kaki pergi ke belakang jari manis (eh, ada ke jari manis untuk kaki?) ala, jari sebelah dia la, sakit tegang sampai ke betis. Hahaha.... lantak ko la kaki, ko nak cramp, nasib baik ko cramp kat rumah, bukan masa lari tadi.

Goodies dan baju

Ada 2 helai baju, iaitu baju event dan baju finisher. Selain 2 helai baju, dalam drawstring bag tu, ada roti, air kotak dan medal. Yang saya tunjuk dengan anak panah merah tu, adalah 2 gelang yang saya dapat masa buat 2 loop larian dalam pengkalan TLDM.

Close-up sikit medal.

Berikut adalah keputusan larian saya.


Alhamdulillah, selamat habiskan 21 kilometer. 

Kategori women veteran (40 tahun ke atas), saya dapat nombor last! 4 orang je pun women veteran yang ada.

Dari segi jantina perempuan, saya tempat ke 11 dari 13 orang.

Dari segi keseluruhan, saya dapat tempat ke 54 dari 56 orang yang lari half marathon. Tak ramai pun orang. Nampak benor ramai perantau yang pulang ke negeri masing-masing, mengundi di hari larian.

Masa saya habiskan 21 kilometer adalah 3 jam 9 minit. 

Sijil penyertaan

Saya suka masa lari dalam navy base tu, sebab di setiap simpang, ada polis tentera jaga. Ada ketika masa saya hanya mampu berjalan, saya cakap pada diri sendiri, alamak, bagilah kereta lalu dulu, sebab aku slow ni, tak boleh lari. Tapi polis tentera tu, still hold traffic, nak bagi kita lepas dulu. Banyak simpang macam tu. Saya rasa sangat selamat berlari dalam navy base. Ada 2 laluan, seperti jalanraya biasa, yang di tengah-tengah ada divider jalan. Dia tutup laluan kiri, khas untuk orang yang berlari. Jadi, traffic berjalan belah kanan saja. Kredit kepada pihak penganjur, polis dan semua yang menjaga trafik. Terbaik!

Lepas tu, sebab saya antara yang terakhir, ada 2-3 kali motor crew penganjur, berhenti sebelah saya, tanya saya ok tak? Ok! Saya jawap, sambil senyum. Walaupun slow, mana boleh mengalah, wei. Sakit kaki tu, kita tolak ke tepi. 

Syukur Alhamdulillah, saya berjaya habiskan larian sebelum cut-off time, iaitu 4 jam. Pertama kali saya masuk half marathon, saya alami sakit kaki, sampai tak boleh lari.

Saya tahu, saya kena apa, sebab saya pernah alami sakit di bahagian tapak kaki begini, dulu-dulu.

Plantar fasciitis

Saiz kasut saya tak sesuai untuk long run. Kaki makin besar. 

Memang kalau kita lari hari-hari, kaki kita boleh besar, tau. Untuk kasut lari, kita tak boleh pakai saiz yang kaki kita ngam-ngam. Contoh, kalau sedap test kasut lari saiz 6 UK, jangan beli saiz 6 UK. Belilah saiz 6.5 atau 7 UK. Kena 0.5 atau 1 saiz lebih besar. Sebab, bila kita lari jarak jauh, kaki kita akan berpeluh dan mengembang.

Bila saya tengok kasut yang saya baru beli ni, siap turun warna insole tu pada stokin saya. Saya tak pernah beli kasut yang warna dia turun, tau! Rasa macam dah kena scammed dengan kedai kasut pun ada. 

Walaupun saya rasa gembira dan bersyukur sebab dapat berlari jauh juga, dalam acara larian, tapi ada rasa sedikit kecewa la, sebab saya tak boleh buat baik macam sebelum-sebelum ni. Apa pun, saya fikir positif, dan akan ambil langkah yang sepatutnya, sebab saya ada masuk lagi event, bulan depan, di Ipoh pula. Memang kena beli kasut lain. Biasa la, dalam dunia larian ni, ada hari kita ok, ada hari, larian kita tak ok. 

Atau mungkin juga saya kena terima hakikat yang saya dah tua. Kalau tahun lepas, saya boleh buat half marathon dengan masa kurang 3 jam, sekarang mungkin dah tak boleh. Saya cuma nak lari happy-happy. Tapi bila kaki sakit, camana nak happy? Masa ni la, saya respek dengan orang-orang tua yang sudah lanjut usia, tapi masih berupaya untuk habiskan marathon. Macam dalam Standard Chartered 2019, ada uncle umur 82 tahun boleh habiskan full marathon, 42 kilometer. Giler punya kuat! 

Saya terima keputusan ini dengan fikiran terbuka. Alhamdulillah. Selamat. 

Sebab saya pernah kena plantar fasciitis ni dan boleh baik, nanti lain kali, saya akan cerita camana saya atasi sakit kaki ni, ye. Hari ni pun, dah kurang sakit. Insya-Allah, tak lama lagi akan ok.

Orait, jumpa lagi. 😊

What will be, will be

 Semalam hujan kat tempat saya, dari awal pagi, sampai lepas subuh, berhenti kejap, lepas tu sambung hujan lagi sampai ke tengahari. Redup juga cuaca semalam, sampai ke petang. Pagi ni, udara rasa sejuk. 

Embun di hujung rumput.

Rasa best tengok embun atas rumput. Selalunya, rumput kering je.

Embun pun tak kan mampu

Menyubur sekuntum bunga yang layu

Pada musim luruh, yang dulunya mekar

Disinar suria

Bila sudah kering, pasti akan gugur

Eh, ternyanyi pulak. Ha, sambung... 😁

Hari ni boleh la jalan-jalan kejap, bagi sendi semua bergerak. Semalam dah cuti lari sebab hujan.

Bunga wangi 😍

Masa tengah slowjogging, lalu sebelah pokok ni. Boleh bau wangi... bunga melur ke ni? Saya pun tak pasti.

Bila lalu di Esplanade Lumut, tengok sudah ada persiapan untuk acara lari esok.

Warrior Run 2023

Saya masuk tak? Insya-Allah. 😁

Kategori 21 km. 

Acara larian pertama saya, tahun ni. Masuk yang dekat rumah je. 

Sebelum entri ni ditulis, saya sudah pergi ambil nombor larian. Nombor bib dengan timing chip. Baju event belum siap, tau. Huu.. ni pertama kali saya masuk acara yang baju event belum siap. Jadi esok lari, boleh la pakai baju sukan yang bersesuaian. Lepas habis lari, baru dia kasi. 

Semoga berjalan dengan lancar la acara esok. Saya gementar juga, sebab dah lama tak masuk event lari. Fikir benda baik-baik je. Macam tak meriah. Takde buka booth jualan ke apa, semasa ambil nombor larian tadi. Orang pun macam tak ramai, sebab balik mengundi ke negeri masing-masing. Ha ah. Sudah daftar lama dah, baru kerajaan bagi tarikh pilihanraya tu. 

Takpe la, saya nak enjoy lari je, esok. Saya dah la tak de stok energy gel. Saya beli Ribena Pastilles je, pack kecik, bawa masa lari esok, kalau rasa bonk, untuk tenaga segera. 

Warrior Run 2023 ini dianjurkan oleh Persatuan Minda Sihat Manjung. Antara laluan esok, adalah melalui Lumut Navy Base. Bukan senang nak masuk dalam base ni, bagi kita orang luar la, ye, bukan navy. Harap cukup jarak untuk half marathon iaitu 21.1 kilometer. 

Larian siput pagi tadi, 4 kilometer.

Target saya esok, untuk habiskan 21 kilometer sebelum cut-off time, iaitu 4 jam. Sampai ke garisan penamat dengan selamat. Aminnn.....

Ok ler. Esok hari Sabtu. Saya pagi-pagi buta dah pi lari esok, Insya-Allah. Korang ada rancangan pergi mana-mana ke? Balik mengundi tak, pada anak Kelantan, Terengganu, Kedah, Penang, Selangor dan Negeri Sembilan?

Hati-hati di jalanraya ye. Jumpa lagi. 😊

Happy birthday to me...

 Sabtu, 29 Syawal 1444 Hijrah.

Semalam birthday Abe Kie. Hari ni, besday saya. Panjang umur, kita ngeteh ye, sambut birthday sama. Ajak SK sekali, birthday SK, 13 Mei, kan. Hehe...

Saya memang niat nak lari lama-lama pagi tadi. Hadiah untuk diri sendiri. 


Larian pagi Sabtu, adalah 15.26 kilometer. Terasa faktor usia, kerana pace 10 sahaja. Apa pun, syukur Alhamdulillah, sebab dah lama tak lari jarak lebih 10 kilometer.

Tengah buat regangan lepas lari, terima panggilan ada orang nak buat delivery. Saya pun segera pulang ke rumah. Delivery dari kakak sulung. 😍

Abaikan gunting trim pokok kat belakang tu, ye.

Ini dia, jambangan coklat dan rempah ratus jenama Adabi, serta belon. Tot tu, nama panggilan kakak-kakak pada saya. Nama saya, Nurhayati. Sebutan ringkas, Tot. 😁


Tudia.. ada coklat kit kat, dairy milk, coklat crispy, serbuk kunyit, sup bunjut, pelbagai rempah memasak, seperti serbuk kari, rendang, perencah sup, perencah nasi goreng, jenama Adabi. Tak payah beli dah. Kakak sulung kata, mak-mak, kena bagi hadiah untuk masak. Alhamdulillah...

Ada lagi, delivery. Menjelang tengahari, ada penghantaran dari kakak kedua pula.


Jambangan belon juga.


Ada coklat ferrero rocher, kit kat, dairy milk dan tango.

Turut ada dalam delivery, sebiji kek harijadi.


Haaaa.... 😍😋 terharu la, kakak-kakakku ini. Susah-susah je. 

Ucapan dari kakak kedua. Gambar masa kami kecil. 


Gambar throwback masa kami bertiga masuk Hulu Langat Marathon, tahun 2018. Inilah marathon pertama saya. Sepanjang 42 kilometer tu, saya jalan laju jer. Cut-off time 10 jam. Saya sampai garisan penamat 8 jam setengah. Hehe... Syok betul waktu tu. Acara larian yang dia punya water station bukan setakat air, malah ada buah-buahan seperti tembikai, durian, nangka, rambutan. Setiap water station, lain-lain buah. Kenangan manis. 

Alhamdulillah. Orang memberi, kita merasa. Sekadar ucapan sahaja pun sudah cukup. Dah tua-tua ni, malu nak terima hadiah. Kita jumpa, makan-makan je pun sudah cukup baik. Tapi dia orang semua duduk jauh. Kakak sulung di KL, kakak kedua di Kuching. Panjang umur, kita jumpa lagi. Air dicincang tak akan putus. 

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 😊

Sekinchan Ultra 2022

 Selasa, 28 Rabiul Awal 1444 Hijrah.

Maap ye, dah lama tak update blog. Mood menulis blog ke laut dalam. 🙈

Baiklah. Saya nak cerita tentang acara larian yang saya baru sertai, pada hari Ahad lepas, bersamaan 23 Oktober.

Saya daftar larian bersama kakak sulung saya. Sudah book hotel. Suami sepatutnya campak saya di hotel pada hari Sabtu, sehari sebelum acara larian. Tapi kita hanya mampu merancang. Allah yang menentukan. Kakak saya tak boleh berlari, kaki dia cedera. Jadi, kena adjust plan asal. 

Suami saya kerja shif petang, tak boleh ambil cuti dah. Jadi, sebaik dia habis kerja pukul 12 malam hari Ahad, kami pun bertolak dari Lumut ke Sekinchan.

Kali ni, tak terbabas tidor macam kat Ipoh hari tu. 😁 Saya set alarm betul-betul. 

Jadi bila suami sampai rumah, saya dah ready untuk bertolak.

Cuaca hujan sepanjang perjalanan ke Sekinchan. Takde la pergi ke hotel. Dah saya sorang yang masuk, tidor hotel amendanya. Takde rezeki nak spend time dengan kakak yang lama tak jumpa. Kami terus pergi ke lokasi acara berlangsung. Ramai rupanya yang tidor dalam kereta. Ramai outstation runners. Berbaris kereta sepanjang jalan depan lokasi acara. 

Bersyukur saya dapat suami yang sudi menemani saya yang giler lari ni. Kami sampai awal, pukul 2 pagi lebih. Jadi saya ada masa untuk ambil racekit (nombor bib dan baju event), saya sempat buang air 2-3 kali di toilet yang disediakan. Nasib baik saya sampai awal. Kalau lewat pergi tandas, orang pun dah ramai, kena beratur. Suami saya kesian, awal-awal dah berdengkur dalam kereta, letih habis kerja kan, dah kena jadi driver hantar saya.

Ulang alik dari kereta ke toilet 2-3 kali, nampak banner senarai nama peserta yang penganjur pamerkan.

Nama saya dan kakak sebelah-sebelah je. Dia susun ikut alphabetical order.

Semoga kakak saya segera sembuh kakinya. 

Saya lari sorang la. Saya masuk kategori 30 km. Selain 30 km, acara ni ada juga kategori 10 km, 50 km dan 100 km. 


Allah dah susun baik. Saya sepatutnya pinjam headlight kakak saya, sebab dia ada lebih lampu kepala. Tapi Allah gerakkan hati saya untuk beli headlight sendiri di shopee. Takpe la, kalau dah takde event lari, suami saya boleh guna masa dia kerja. Lagi satu, penganjur ada sediakan 1 hari untuk ambil racekit di Lot 10, KL. Tapi kakak saya boleh terlupa untuk ambil. Saya pulak, terlupa tarikh, petang baru saya tanya kakak saya, dah ambil racekit untuk larian Sekinchan tak? Tu lagi satu hikmah kakak saya terlupa. Kalau dia pi ambil awal-awal, dah saya kena turun ke KL, ke rumah kakak, untuk ambil racekit larian ni dari dia. 

Penganjur ada buka meja semasa hari event untuk pelari luar yang tak sempat ambil racekit. Alhamdulillah. 

Saya dan suami

Memang gelap semasa flag-off, pukul 5 pagi. Patut penganjur tetapkan headlight dan hidration pack 500ml sebagai mandatory item. 

Saya bukan familiar sangat kawasan Sekinchan ni. Tapi kita boleh tahu kita lari tepi tali air. Bunyi blup blup je datang dari tali air, dah suspens. Jarak antara runner di depan jauh jugak. Masa mula-mula berlepas je lari dalam kelompok-kelompok. Lepas sahaja water station pertama, dah jarak-jarak dah antara runners. Entah binatang apa la yang bunyi bila kita lalu tali air tu. Tak nampak, dan biar lah saya tak tahu. Fokus lari je. Kiri kanan jangan peduli. Tengok depan je. Dasar penakut. 😅

Saya uzur, jadi tak perlu berhenti solat. Saya ada dengar azan masa subuh, tapi saya tak nampak masjid. Penganjur takde sediakan surau, macam event sebelum ni. 

Bila dah terang pukul 7, baru lah nampak sawah padi yang cantik. Cuaca pun mendung, jadi takde la panas sangat nak berlari. Lepas 21 km, saya dah habis gas dah. Kaki, betis dah keras dah. Ada tanda-tanda nak cramp, sekejap-sekejap saya berhenti, jalan laju. Semua orang yang saya potong semuanya saya tegur. Ada yang saya tegur tu, masuk jarak 100 km. Peh... giler aaa... dah lenggang kangkung dah kawan tu. Senyum letih je kat saya, sambil cakap good luck. Kalau saya, mau tercabut kaki dah kot, buat 100km. 

Seperti biasa, ada je orang yang potong kita. Pastu kita potong dia balik. Pastu lari sama, borak sat. 


Saya lupa masa ni dah km ke berapa. Tapi saya jumpa kapal terbang kat tengah-tengah sawah pagi. Dan saya juga perasan, biasa kan ada adegan hero heroin bercinta atas tali air tengah sawah padi kan, haa... lokasi dia kat sini la. Memang sebijik macam dalam drama melayu tu. 

Selpiaq satu, background kapal terobang tengah bendang. 😁

Nampak tak runner belakang saya? Tak nampak, kan? Macam tu la jarak dia, di sesetengah kawasan. Tapi saya sentiasa berusaha untuk merapatkan jurang dengan runner depan saya. Saya takut sesat je, atau tersalah laluan. Alhamdulillah, semua ok.


Gambar di atas diambil oleh suami saya, dah nak habis dah waktu ni. Alamak, orang belakang dah dekat, nak potong kita. Laju sikit, laju sikit...  

7th place, 30km Women Veteran

Alhamdulillah, tak sangka saya boleh dapat podium. Tempat ke-7, kategori Women Veteran. 

Saya rasa, sebab tak ramai orang masuk acara ni. Ada Score Marathon di KL, dan Mualim Run pun ada, di Taiping pun ada event larian jugak pada hari yang sama. Itu yang saya boleh dapat tempat. 


Selamat sudah. Jarak larian sejauh 30.60 km, dengan masa 4 jam 24 minit (masa penganjur). Dalam gambar di atas, 4 jam 25 minit. Seperti biasa, saya lambat stop jam. Hehe... cari mana nak pergi, sebaik sampai.

Jarak paling jauh saya masuk buat tahun ni. Selamat sampai. Cuma sakit betis je la lepas lari tu. Syukur Alhamdulillah.

Baik. 

Jumpa lagi, ye. 😊