Jogging di Esplanade Lumut

 Jumaat, 9 Ramadan 1444 Hijrah.

Pada pagi Selasa lepas, saya pergi jogging juga. Saya dah biasa jogging waktu pagi. Masak pun, saya dah biasa waktu pagi. Jadi, petang bolehlah saya terlentang depan tv, rileks, atau pergi pasar ramadan, hehe..


Jogging Selasa sejauh 5.2 km. Alhamdulillah.

Saya slowjogging jer, langkah kecil, bukan laju pun. Tengok pace saya kat atas. Kalau kome fast walk, mesti boleh potong saya. Itu pun, saya bukan non-stop. Kejap-kejap berhenti, ambil gambar. Kejap-kejap, duduk sat, tengok laut.

Masa jogging hari Selasa, ternampak burung hornbill atau enggang. 


Selalu juga nampak burung hornbill ni kat sini. Yang lebih besar pun pernah nampak. Suka tengok. 😊

Saya pergi jogging dengan suami. Dia kerja shif petang, jadi lepas hantar anak sekolah, free, boleh pi riadah. Minta tolong dia sat, ambil gambar depan papan tanda Lumut yang baru siap. 


Keesokan harinya, Rabu, pun saya pergi jogging juga.


Jogging hari Rabu adalah sejauh 5.38 km. Memang saya suka ambil gambar matahari naik. Dalam gambar di atas, boleh nampak sampah sarap bertaburan. Kalau tong sampah bertutup pun kera pandai buka, inikan pula tong sampah tidak bertutup. Lagi lah jadi mangsa kera datang cari makan. Jika anda zoom-in gambar di atas, boleh nampak seekor kera sedang duduk bertenggek di atas tiang sebelah kanan matahari tu.


Macam-macam cara nak tarik pengunjung. Tapi kedai makan Tungor ni, dah tak beroperasi dah. 


Burung kingfisher, duduk lepak atas tembok batu tepi laut.

Hari Khamis, saya off jogging. Tu la, bulan posa ni, bukan larat sangat nak jogging hari-hari. Badan suruh rehat, kita pun lepak rumah sahaja.

Hari ni, hari Jumaat, saya kembali pergi jogging.


Itu pun, setakat 4.37 km sahaja. Ok ler tu, Alhamdulillah. Kita santai-santai.


Sini memang tempat untuk orang jogging. Dia ada sediakan papan tanda kecil di sesetengah tiang, beritahu berapa jauh dah kita pergi. Bermula dari lokasi paling hujung di Marina Wing...


... dan anda teruskan saja perjalanan, masuk ke Esplanade Wing


... dan boleh terus ke Jetty Wing, boleh terus lagi, masuk kawasan persendirian milik the Orient Star Resort Lumut, dan boleh terus lagi, ada laluan sehingga hampir nak masuk ke navy base. Jika ikut, jarak lebih kurang  1.6 km, anggaran saya. Sebab saya pun tak pernah ikut laluan lurus. Mesti ada tempat saya melencong, atau pusing-pusing beberapa kali, lagi-lagi di Esplanade. 

Macam pagi tadi, saya minum air banyak waktu sahur, dah kena singgah tandas awam di jetti. Harga masuk 50 sen, tandas bersih.

Alhamdulillah, atas nikmat sihat. 

Tu jer la nak cerita. Jumpa lagi, ye.

Jogging tepi laut

 Khamis, 8 Ramadan 1444 Hijrah.

Hari Isnin lepas, lepas hantar anak-anak ke sekolah, saya dan suami melencong ke Teluk Batik, pergi jogging. Eh, takde la jogging sangat pun. Jalan sambil ambil angin pagi. Dah lama tak melawat kawasan sini. Hehe..

Cuaca agak mendung masa mula jogging. Takde orang pun, kami berdua je yang riadah pagi tu. Bulan posa. Bak kata anak bongsu saya,"Posa posa pun mama jogging", sambil buat muka hairan dia tu.

Eh, dia tak tahu. Jogging boleh buat kita buang angin. Lega rasanya. 🙈

Sambung cerita jogging.


Wah, buffet ramadan 40 ringgit, agak murah la ye. Kat mana ni?


Di Virgo Batik Resort. Kalau kome datang sini, singgah ler...

Bila sampai di kawasan pantai, di kawasan perkhemahan, pun tak de orang.


Tapak perkhemahan dia ada electric port yang boleh disewa. Tu kadang nampak pelbagai motor home atau campervan datang, berkhemah. Jap ye, saya close-up nombor telefon yang boleh dihubungi, kot ada pembaca sekalian yang nak datang camping di Teluk Batik.


Bolehlah hubungi nombor tertera di atas ye.


Dulu, ada 2 pasang buaian kat tepi laut ni. Pastu, hilang kejap. Ni, ada sebiji ni ha. Saya rasa, dia gantikan dengan yang lebih kukuh kot. Oh... langit makin gelap. Angkat jemuran! Hujan mau turun!


Ayam pun ada, kat Teluk Batik ni. Kalau pergi hari Isnin, semalam hujung minggu, biasa kalau kita nampak banyak sampah sarap. Lagi-lagi, kita datang awal, pekerja kebersihan belum datang. Entah bila orang kita nak berubah, tidak buang sampah merata-rata. Huhu...


Haa.. buaian tayar ni, time ayor pasang, seronok la bergayut, weeee.... boleh terus terojun dalam laut, gitew....


Suasana pagi di Teluk Batik.

Citam datang tegur.

Sempat 1 round sahaja kami jogging hari tu. Hujan mula turun. Kami pun balik. Jogging Isnin sejauh 2.37 km. Alhamdulillah.

Cerita hari Isnin lepas, hari Khamis baru up di sini. Hehe... 

Baiklah. Semoga pembaca sekalian sihat hari ni, dan segala urusan anda dipermudahkan. Jumpa lagi, ye. 😊

Cerita shopping

 Rabu, 7 Ramadan 1444 Hijrah.

Hari Ahad lepas, saya dan suami ke Ipoh, nak shopping baju raya. Anak kedua tak mahu ikut, jadi saya ambil ukuran badan dia, tulis siap-siap, supaya senang nak beli. Anak kedua ni, dia ada workout sikit. Jadi, bahu dia agak lebar. Malah, dia lebih tinggi dari abang sulung dia. Baju melayu dia dah singkat, jadi kena cari baru.

Anak bongsu pun tak mahu ikut jugak. Tapi dia kata, boleh je pakai baju raya tahun lepas. Apa pun, kena test dulu, suruh dia pakai. Ok, masih muat. Jadi, tak perlu beli baju dia.

Kami terus tuju ke Angsana Mall, Ipoh. Kami jarang datang sini. Dulu, tempat ni dikenali sebagai Greentown Mall. Tapi bila saya search online, banyak benor orang promosi baju-baju raya ni, lokasinya di situ. Jadi, kami pun pergi la.

Angsana Mall, Ipoh. Kredit gambar UDA Mall.

Parking underground, cashless, guna debit kad atau touch and go. Naik atas je, tengok, meriahnya... Dah lama la tak merasa suasana meriah macam ni. Ada 2 tingkat je, mall ni. Tapi bila lalu, ada je peniaga ajak, singgah, kak. Tengok baju, tengok tudung. Yang jual perfume, sembur kat tangan kita. 

Kedai emas Dato Seri Vida pun ada sini. Masa saya lalu depan kedainya, tiada pelanggan, semua orang sibuk cari baju raya kot. Emas tengah mahal. 

Pelbagai pilihan fesyen baju raya ada. 

Selamat, dapat baju melayu untuk anak kedua. Beli ikut citarasa dia, nak kaler gelap. Lepas tu, suami suruh beli baju raya saya pulak. Hehe... malu saya. Saya tak beli pun takpe. Tapi, suami suruh beli juga. Rejeki jangan ditolak. Dapat la baju raya untuk saya. Sebab beli di level ground floor, booth kecil, tiada fitting room, cuba je pakai atas pakaian kita. Alhamdulillah, muat saiz L. **Bior longgor, jangan ketat. 

Pastu, tudung pun beli juga. Sebab jumpa tudung 10 ringgit, 4 segi. Saya ingat dah pupus dah tudung harga 10 ringgit ni. Ada lagi, rupanya. Design pun boleh tahan, sambor lah satu. Hehe..

Pastu, errrr... berapa banyak pastu laaa.... kat belakang mall ni, ada khemah besor, wei... bukan khemah kenduri... ada lagi orang jual barang raya dalam khemah tu.... mak ai... tak cukup ruang dalam mall, sampai ke luor mall, boleh beli belah ye... suka tak? Suka, suka! 😁 Di dalam khemah besor tu, nampak la orang jual kuih/biskut raya. "Macam awal sangat nak beli.",saya tercakap kuat. Pastu orang jual kuih tu cakap,"Lewat-lewat, habis biskut saya, kak, baik akak beli awai. Macam tahun lepas, ramai cari biskut ni, dah habis dah" Oiii... pandai dia bercakap. 

Saya terbeli 4 biskut raya, RM100. Standard harga ye, satu balang RM25. Saya beli biskut chocolate chips, biskut dam, tart nenas dan biskut mazola. Setakat entri ni ditulis, biskut coklat chips dah buka, semalam. Tahan 2 hari je sembunyi dalam almari. Tak tahan. Beli untuk dimakan, ye dak? Kalau habis, kita buat la kuih raya lain. Chewah, bukan main. Tengok-tengok hujung-hujung, beli biskut tunjuk juga kaedahnya. 🙈 

Selesai sudah agenda membeli barang raya. Suami tak mahu beli baju melayu. Dia kata, dah berlambak. Almari pun dah tak cukup tempat. Janganlah ditambah lagi. Baik.

Berikutnya, kami merancang nak pergi pasar ramadan di Batu Gajah. Tapi, masih awal. Jadi, kami pergi Aeon Mall Kinta City pula. Babai, Angsana Mall yang meriah....!

Aeon Mall Kinta City ni, adalah aeon mall yang paling lama di Ipoh. Saya dulu, sebelum tinggal di Lumut, tinggal di Bandar Seri Iskandar, dekat Tronoh, Aeon Kinta City tu ler, tempat pi shopping. Sat sat beli ultraman anak. Beli ultraman anak je, kat situ. Gitew...

Tapi, sekarang, dah banyak berubah kat dalam Aeon Kinta City. Lebih menarik dari Aeon Manjung, bagi saya. Sebab dia ada kedai Himalaya la! Laaa... syoknya! Saya punya syampoo dan cuci muka Himalaya, beli kat Watson. Tapi kat situ, siap kedai ada. Wahhh.... Miseoul pun ada! Saya pernah cerita saya pakai aloe vera Miseoul kat entry di sini. Lagi satu... ada Krispy Kreme!


Laaa, kat Manjung pun takde. Ater, ape lagi, jom kita tapau bawa balik. 


Dari atas kanan, edisi premium hari raya, donut mazola (inspirasi biskut mazola), donut mud chocolate, donut biscoff, donut chocolate ape ntah dah lupa, donut kit kat, dan donut almond.

Lain ye, rasa dia, banding Big Apple atau Dunkin' Donut. Kalau Big Apple tu, saya boleh makan 2 biji sekali. Yang Krispy Kreme ni, makan sebiji dah kenyang! Saya, suami dan anak bongsu je yang makan donut ni. 3 biji makan waktu berbuka, 3 biji makan waktu sahur. 😋😋

Suka saya, sebab jumpa benda yang tak ada kat tempat saya. Lagi satu, saya terbeli ni...


tudung Fazura! Hehe... beli sehelai. Sebab matching ngan baju raya saya. 😁 Tudung 4 segi jer. Entah, sebab bunga kecik. Saya suka. 

Alhamdulillah. Selamat sudah beli baju raya. Kome dah beli belum?

Tu jer la buat kali ni. Jumpa lagi, ye.

**bior longgor : Biar longgar (cakap Perak ler)

Murtabak

 Kita mula puasa minggu lepas, hari Khamis, kan. Petang hari pertama puasa tu, saya dan suami ada pergi pasar ramadan. Saya beli murtabak daging, sekeping. 

Saya punya tabiat sejak dulu, kan, bila saya beli murtabak, saya tak pernah makan hari yang sama. Saya suka simpan dalam peti ais, untuk dimakan waktu sahur. 😁

Jadi, keesokan harinya, waktu bangun untuk sahur, saya pun perangat la murtabak yang saya beli semalamnya. Saya perangat guna non stick saucepan, atas dapur. 

Letak minyak sedikit. Letak murtabak. Pastu, saya perangat sampai kulit murtabak tu garing. Hitam sikit la. seperti gambar di bawah.  


 Ok. Ada benda yang kurang. Tak ada cuka bawang, yang kaler merah tu. Dia bagi kari. 

Saya suka makan murtabak dengan cuka bawang tu. Tapi sebab tak ada, saya makan murtabak kosong je. 10 minit kemudian....


Tinggal kulit! Last sekali baru makan kulit yang garing tu. Hehe... Alhamdulillah.

Sekian cerita murtabak pada hari ini. Jumpa lagi, ye. 😊

Wifi hilang

 Isnin, 5 Ramadan 1444 Hijrah.

Pagi Sabtu lepas, perasan yang talian internet di rumah sangat teruk. Anak-anak yang main game bagitahu, tak boleh connect langsung. Ada lampu merah lip lap, lip lap di modem. Lepas tu, perasan macam ada sesuatu yang tak betul je dekat kabel luar rumah.


Suami call Maxis. Kami pakai Maxis Home Fiber di rumah. Buat laporan. Jadi, hari Sabtu dan Ahad, tiada internet. 

Kera meniti kabel fiber atas bumbung rumah, pagi Ahad.

Pagi ni, Isnin, baru ada technician TM datang. Ha ah, Maxis tumpang line TM juga. Cadangnya, nanti kami nak tutup akaun Maxis Home Fiber ni, nak guna Unifi terus. 

Technician tu cakap, kabel dah reput. Tambahan pula, kawasan sini kera-kera memang selalu meniti dan bergayut di talian kabel. Dulu saya ingat, tiang depan rumah tu, talian telefon. Rupanya, sini tak ada dah kabel telefon tetap yang dalam dia, tembaga tu. Sebab kabel tu, selalu kena curi. Rupa dia sama je macam kabel talian tetap, tapi sekarang dalam dia, gentian kaca, atau fiber optic. Kabel fiber lebih mudah rosak daripada kabel tembaga. Gentian kaca dalam kabel fiber optik adalah fragile. Jadi, tak heran lah kalau hari-hari kera melintas dan bergayut, apa boleh berlaku, kan.

Technician sedang ganti kabel baru.

Alhamdulillah. Line internet sudah pulih semula. Yay! 

Sebenarnya, semasa ketiadaan Wifi, saya boleh je update blog guna hotspot dari data henpon. Pernah buat dulu. Tapi saya pun tak duduk rumah. Hujung minggu, nyongket ke sana, ke sini. Hehe..

Baiklah ye. Lain kali saya sambung cerita nyongket mana, ye. Jumpa lagi. 😊

Bantal kait gemuk

 Khamis, 1 Ramadan 1444 Hijrah.

Pagi tadi, sahur bertiga saja, dengan anak-anak. Encik Suami kerja shif malam, dia bersahur di tempat kerja. Saya sediakan bekal nasi lauk kari ayam sebelum dia pi kerja semalam. 😊

Puasa, puasa. Cuba untuk kawal mulut. Tapi bila kita dok belakang stering, kejap nak kutuk orang, time orang bawa kereta slow. Ada je benda nak mengata. Astaghfirullahalazim. Cepat-cepat sedarkan diri, puasa, puasa. 

Lepas balik dari hantar anak ke sekolah, saya lari dalam rumah. Hehe. Dalam rumah sejuk. Simpan tenaga, dengan cara jaga heart rate. Kalau jogging di luar, panas, heart rate tinggi. Kita cool cool je. Bukan lari sangat pun dalam rumah. Bila nampak habuk, pi ambil penyapu sat, dia pi menyapu pulak. 

Lepas tu, berhenti lari sekejap, pergi sidai kain kat luar, bagi kucing makan, siram pokok. Lepas tu, sambung balik lari dalam rumah. 


Berhenti bila cukup 10 ribu langkah. Lepas tu, pergi basuh kasut lari yang New Balance. Nak buat pakai bila riadah dalam rumah. 😁 Sakit kaki bila lari cuma pakai stokin.

Saya nak share hasil kait saya, yang baru je siap. Tadaaaa....


Bantal ni adalah hasil kait dua jarum, atau knitting, dalam bahasa omputihnya. Saya guna benang warna lembut, hasil dari lebihan projek kait lepas-lepas. Itu yang warna purple tu, lebar, yang warna pink tu, sikit, bergantung pada jumlah panjang benang yang ada.  


Ni bahagian belakang pula. Warna hijo dan kelabu. Dalam sarung bantal kait ni, ada bantal yang turut disertakan bersama. Bantal isi fiber, saya buat sendiri. Jadi, sarung bantal kait ni, boleh dibasuh, kalau kotor. Boleh tanggalkan sarung bantal kait ni, dengan butang yang dijahit di bahagian atas.


Close-up sikit, butang-butang yang saya gunakan. Hehe.. macam-macam rupa butang yang ada dalam koleksi saya. 

Saya ada terfikir, nak jual online kat shopee ke, tapi, saya hold dulu ler. Saya lebih suka jual offline. Sebab dulu saya pernah merasa buka meja, jual barang kraftangan saya. Saya lebih suka cara tu. Cuma kat tempat saya ni, tak de orang organize bazaar kraftangan macam zaman dulu, sebelum covid. Jadi, saya simpan dulu. Tak pun, mungkin saya akan hadiahkan untuk pengomen terbanyak di blog saya ni. Hehe... tunggu.... 😁

Ok ler. Jumpa lagi, ye. Selamat berpuasa, ye, kepada pembaca sekalian. Jaga mulut, mata, anggota badan semua. Semoga puasa kita pada kali ni, lebih berkualiti banding tahun-tahun lepas dan amalan kita diterima olehNya. Aminn...

Hari terakhir Syaaban

 Rabu, 29 Syaaban 1444 Hijrah.

Pagi tadi, lewat sikit sampai di tempat jogging. Giliran saya hantar anak-anak ke sekolah. Jalan masih sesak. Sekolah menengah dan sekolah rendah, terletak di jalan yang sama. Dengan ibubapa yang parking tepi lagi, hantar anak prasekolah masuk kawasan sekolah. 


Rasa sejuk hati tengok matahari naik masa jogging. Pagi tadi, jogging 5 km sahaja.


Pokok tekoma atau 'sakura malaysia' yang berbunga putih dan pink pun sudah banyak berbunga di sana-sini. 😍

Jogging punya jogging, ternampak iklan menarik.


Wah... saya suka tengok dryer. Angan-angan bila encik suami dah pencen, pindah kampung suami di Kelantan, nak beli dryer. Supaya tiba musim tengkujuh, tak perlu sidai kain dalam rumah, sebab ada dryer. Hehe. Tapi dryer kat dalam iklan di atas, kecil, 7kg. Kalau dapat macam kat kedai dobi layan diri tu, best juga, ye. Boleh basuh selimut atau toto. 😁

Balik rumah, saya masak kari ayam.

Atas dapur lagi dah ambil gambar.


Perangat ikan goreng, lauk semalam tak habis. Buat sambal belacan. Sayur salad dan kacang panjang. 

Alhamdulillah.

Kome makan apa hari ni? Last day, makan siang. Esok dah puasa, Insya-Allah. 

Ok. Jumpa lagi, ye. 

Kembali lari

 Selasa, 28 Syaaban 1444 Hijrah.

Dah habis dah cerita jalan-jalan. Hari ni, cerita riadah pula. 😊


Larian pada hari Ahad lepas, adalah sejauh lebih kurang 10 km. Tempat larian, Esplanade Lumut, agak lengang. Orang belum balik rumah lagi kot, last day cuti sekolah.

Hari Isnin, hari pertama anak-anak kembali ke sekolah. Suami kerja shif pagi, dia hantar anak-anak ke sekolah, dan suruh saya pergi jogging. Suami kata, jalan sesak, sampai ke trafik light dekat rumah, tak boleh masuk jalan nak ke sekolah. Jadi, suami hantar anak-anak sampai ke bawah pokok, deme kena jalan sikit, seberang jalan, untuk masuk sekolah. 


Larian hari Isnin adalah sejauh 10.12 km. Pulun la sikit. Nanti dah bulan posa, saya rasa, tak mampu nak buat 10 km. 

Balik rumah, rasa lain, sebab takde orang di rumah. Anak bongsu, yang sebelum ni sekolah sesi petang, dah naik tingkatan 3, jadi, sekolah sesi pagi. Rasa sunyi la pulak, rumah.

Hari ni, hari Selasa, suami hantar anak juga. Dia ada program riadah di ofis, jadi saya pergi jogging juga.


Buat 5 km je hari ni. Sampai rumah, tak sempat nak masuk rumah, suami pun habis program riadah dia. Hari ni dia off. Dia ajak pi sarapan di kedai makcik bawah pokok, Sitiawan.

Halo, Citam..

Dah ada menu baru di kedai makcik bawah pokok. Selain nasi lemak, mi kari, mi rebus, mi kicap, pasemboq, menu baru adalah nasi kukus ayam goreng berempah. Tapi masa kami sampai, nasi kukus belum siap. Lain kali boleh cuba.


Saya pesan mi rebus, suami pesan mi kari, juga cucuq, 2 ringgit, cicah kuah kacang.

Alhamdulillah. Sedap.

Saya ingat, saya nak jogging waktu petang, di bulan puasa, Insya-Allah. Kalau rajin. 🙈 Tengok-tengok kang, bukan jogging kat tempat riadah, tapi kat bazaar ramadhan, cari kuih. Hehe haha huhu...

Baiklah. Jumpa lagi, ye.

Pertama kali makan mentarang

 Masa dalam perjalanan balik ke Manjung dari hantar anak di Dungun, kami lalu Tanjung Karang. Best la. Sebab banyak port makan boleh singgah. Hehe... idok ler kami google tempat. Tengok je mana kedai tepi jalan buka, ada lampu lip lap lip lap meriah pasang, singgah je la.

Udah lama drive. Kesian encik suami. Kita rehat dulu di sini.


Kedai Cendol Pulut Was Sekinchan. Ajom!


Minuman, kami pesan nescafe o ais, cendol biasa dan air suam. Lepas pesanan dah sampai, baru terpikio, eh, kenapa tak order cendol durian yek? Aiyo... rugi, rugi, takpe la, lain kali.

Makanan pula, suami order peberet dish dia, nasi goreng kampung. Saya pesan mentarang bakor! Hehe.. selama ni, dok lalu sini je, nampak mentarang, mentarang, tak pernah pun singgah kedai yang ada jual mentarang. Sekarang kebetulan singgah kedai cendol, ada menu mentarang. Pelagi... 


Ada dalam menu dia nasi putih, macam-macam lauk, bagai. Selain mentarang bakor, ada juga mentarang masak lemak cili api. 

Gitu rupanya menatang bernama mentarang ni. Rasanya? Macam makan kerang, pada saya. Ada yang lembik, ada yang kenyal. Suami saya kurang suka, bila dia test makan satu. Saya ratah gitu je, mentarang ni, tak pesan nasi pun. Perut tak berapa lapor. Setengah kilo mentarang, dalam satu pinggan, tak sampai 10 ketul pun. Dihidang bersama sos atau sambal cili. Balance rasa dia. 

Cendol pula? Saya rasa, biasa-biasa jer. Kurang gula melaka tu ler. 


Tudia, harga mentarang tu, 25 hinggit! Huhuhu....

Saya rasa, ok ler. Sebab tak pernah merasa. Esoknya, takde allergic ke, cirit-birit ke, makan mentarang ni. Ok sesangat ler. 

Baiklah. Sekian cerita. Lain kali, boleh la cuba kedai lain pula, kalau lalu area Kuala Selangor, Tanjung Karang, Sekinchan ni. Banyak sebenarnya port-port makan menarik kat sini. Cuma tak mampu nak cuba semua. Mungkin kena tidor semalam kot. Cari homestay ke, chalet ke, tengah sawah padi, best juga, kan..

Ok. Jumpa lagi. 😊

Hantar anak balik Dungun

 Sabtu, 25 Syaaban 1444 Hijrah.

Pada hari Khamis lepas, saya dan suami pergi hantar anak sulung balik Uitm Dungun. Mula-mula, anak nak pergi sendiri je, naik bas. Entah beberapa hari sebelum tu, bila suami tanya, nak kami hantarkan tak? Dia kata, ok ler. Haha.. dah la barang banyak. 

Ini kali kedua la kami ke Dungun. Masa pertama kali pergi dulu, kami ikut jalan Batang Kali, dan ikut Gohtong Jaya. Kali ni, Google Maps cadang kami ikut WCE, ke KL. Lepas tu, masuk lebuhraya karak ikut Batu Caves dan Gombak. 

Bila sudah lalu, rasa jalan ni lebih best. Tak cerun dan bahaya sangat berbanding masa pertama kali pergi dulu. Oh ye la, dekat Batang Kali tu kan ada tanah runtuh, jalan di situ tutup lagi kot untuk orang ramai. 


Cuaca sangat baik. Cerah, tiada hujan. Gambar di atas, masa sudah masuk Lebuhraya Pantai Timur (LPT). Boleh tutup dulu google maps, sebab dari Karak nak ke Dungun, 300 km lebih. Haaa.... jauhnya, kebas bontot.

Bertuah betul anakku ini. Tiap kali balik, orang tua hantar. Saya dulu masa belajar di itm Jengka, 2 kali je orang tua hantar, iaitu masa mula daftar masuk, dan masa habis belajar, daftar keluar. 

Ada berhenti di Perhentian Rehat Temerloh. Makan tengahari. Tengok ada orang makan ikan patin, satu pinggan, ada seketul ikan patin, harga RM12. Wah, lagi mahal dari kari kambing kat Manjung. Hehe.. 


Selamat sampai di NDE Hotel, Kuala Dungun, dalam pukul 4 petang. Alhamdulillah. Sudah book hotel ni, menerusi website Agoda. 

Pilih bilik family. Ada 2 katil queen. Muat untuk 4 orang. 


Selesa hotelnya. Luas. Bersih. Ada Wifi, laju line. Cuma kat website kata ada kopi dan teh dalam bilik, tapi tak ada pula. Suami tanya, memang tak ada disediakan. Tapi, sarapan ada. Ambil di meja disediakan berdekatan reception, dan boleh makan di bilik atau di depan bilik, ada meja dan kerusi batu disediakan.

Encik suami

Lepas solat jamak, atas cadangan anak sulung, kami pergi cari makan malam di pasar malam di pekan. Wah... boleh la cuba nasi kerabu ganu kiter. Kiki...


Tu dia, aktiviti berjalan-jalan di pasar malam Kuala Dungun. 1.19 km juga. Saya beli nasi goreng pattaya. Alamak, saya tak ambil gambar di pasar malam. Suami beli nasi kerabu. Bila balik makan, lain la rasa dia. Tapi macam takde budu. Dah rasa macam nasi ulam la pulak. Anak pula beli ayam goreng, dan burger. Eh, biasa, ada orang jual ikan laga, kan, kat pasar malam Manjung pun ada. Tapi kat pasar malam Dungun, udang hidup dalam balang pun dia ada jual, wei! Besar pulak tu. Saya tanya suami, kalau kita bawa balik, agak-agak boleh hidup tak, 9 jam dalam kereta. Hahaha.... tapi cantik tau, udang dia, kaki depannya besar. Macam kawan Spongebob tu. Mr. Krabs. 😁



.

Alang-alang sudah berada di tengah pekan tu, kami singgah kedai, beli kopi cawan, boleh mengopi dalam bilik. Singgah pasaraya Pok Eng Tin. Pun atas cadangan anak sulung juga. Dia dah jadi orang Ganu dah. Dia sebut Tin tu bukan tin, tapi 'teng'. Macam kopi peng. Orang kelantan cakap beng, orang ganu cakap peng. Kopi peng, teh peng. 😁

Alhamdulillah. Kenyang. Tidur pun lena, sebab penat berjalan.

Kebanyakan yang menginap di hotel tu, semua nak hantar anak balik Uitm. Suami borak dengan sorang brader ni, masa nak pergi ambil sarapan di meja reception. Brader tu dari Puchong. Jauh dia kata, barang anak perempuan banyak, takde disediakan stor. Baru 3 minggu lepas ambil anak masa habis periksa, ni, sekarang hantar anak balik Ganu semula. 

Sarapan yang disediakan oleh pihak hotel adalah nasi lemak, lauk sambal ikan tongkol. Banyak nasinya. Gendut makan. Lepas sarapan, kami pun check-out.


Syukur Alhamdulillah, anak dapat duduk hostel di semester kedua. Ada kawan dia, dah duduk menyewa luar. Bukan semua permohonan hostel diluluskan, bergantung pada kekosongan. 

Semoga anak sulung pandai jaga diri dan belajar rajin-rajin. 

Lepas hantar anak pendaftaran kolej kediaman, kami pun balik la. Pergi bertiga, balik berdua. Huuu... 


Sebelum balik. Tengok laut Ganu dulu. Lawanya, hijau je, air laut. Tak sama macam kat Lumut. 

Baiklah. Ada cerita lagi, cerita dalam perjalanan balik, saya sambung di entri lain ye.

Jumpa lagi. 😊