Plan tak jadi

 Hajat di hati nak pergi Kolumpo, makan angin, cuti sekolah. Apakan daya, di hari kejadian, memang tiada upaya. Siapa sangka, hari sebelumnya dah ke klinik, esoknya, masih tak sihat. Badan masih lemah. Lembik. Badan masih sakit-sakit, sampai ke kepala. Lantas semuanya di cancel. Tempahan hotel cancel. Direct tempah dengan hotel, jadi suami terus call. Orang hotel pun kata, takpe, dia bila dengar satu family demam, lagi la dia tak mau kan, nanti pihak dia juga yang susah kena sanitize apa kalau covid ke apa. Kita hanya mampu merancang, namun Allah yang menentukan. Sobs... sobss... 

Saya tiada mood untuk berbuat apa-apa. 

Jemput tengok sarapan pagi tadi, kacang pool, makan kat Kluang Kopi.


Babai. Sobss... sobss..

Demam, layan Gudetama

 Ahad, 1 Jamadil Akhir 1444 Hijrah.

Cuti umum. Hari Krismas.

Semalam satu hari tak keluar rumah, sebab tak sihat. Hari ni, ada kederat sikit. Sebelum Subuh, sudah siap mandi. Hujan. Sarapan di mamak kampung Acheh.


Pesan tosei garing dengan air nescafe o panas. Suami pun sama. 

Dari semalam suami ajak pergi klinik. Tapi semalam betul-betul tak larat. Hari ni baru rasa nak pergi. Itupun sebab hingus cair. Bila solat, air hidung keluar laju, tak boleh ditahan-tahan. Susah ini macam. Baiklah pergi ambil ubat.

Ruang menunggu dalam klinik

Jarang-jarang pergi klinik 24 jam ni. Sampai pukul 8.30 pagi, takde orang, doktor sampai pukul 9, nurse meja depan cakap. 

Setengah jam, sekejap je. Saya masuk dulu, pesakit pertama. Terkejut saya, dia panggil nama guna microphone, ada loud speaker, tapi tak nampak pun speaker-nya. Dah la suara jantan, macam Jamal Abdillah. Kus semangat. 

Nama, nombor bilik 4. Tuju sana. 

Sakit apa, Puan?

Demam, batuk dan selsema. Sejak semalam. 

Pernah kena covid?

Tak pernah.

Nak check covid?

Saya check kat rumah je la, doktor. 

Doktor senyum.

Minta ubat selsema paling kuat. Nak baik cepat. Esok nak nyongket Kolumpo.

Demam, tapi tak tinggi suhu. Lepas ambil ubat, pusing pekan Lumut. Singgah kopi 989, tapau kopi. 

Balik rumah, buat test covid. Negatif. Alhamdulillah. 

Ok sikit hari ni, banding semalam. 2 hari sudah tak jogging.

Saya ada tengok satu cerita kat Netflix ni. 


Comel sangat. Gudetama - An Eggcellent Adventure

Gudetama tu, sebiji telor. Cerita real, bukan kartun. Eh, maksud saya, telor dan anak ayam tu ye la, animasi, tapi sekeliling mereka, orang betul, bukan kartun. Saya bila tengok info dia, ada 10 episod, sudah rasa malas nak layan. Tapi satu episod cuma 12 minit, jadi, sekejap je. Kalau ada budak kecik kat rumah, cuba pasang cerita ni. Sebab budak-budak suka kot. Walaupun dia dalam bahasa jepun. Ada sarikata. 

Cerita pasal Gudetama, sebiji telor, dengan kawan dia, seekor anak ayam baru menetas dari telor, Shakipiyo, dan pengembaraan mereka dalam cari mak dia orang, seekor ayam. 

Comeiiiiii sangat! Bila kita tengok benda bulat, rasa geram, nak picit-picit. Macam tu la, bila tengok cerita ni. Hiburan ringan. 

Bukan semua orang boleh nampak si Gudetama ni bercakap. Bagi orang yang tak boleh nampak, dia cuma nampak Gudetama sebagai sebiji telor mentah. Tapi bagi kita, dia boleh bercakap. Dia suka minum kicap. Suka buat posisi malas, terlentang, pegang kaki, atas telor putih dia tu. 

Kawan dia si Shakipiyo setia teman dia, macam-macam halangan depa tempoh. Terpisah. 

Ada sekali, si Gudetama jatuh dari tingkat 43 ke, tingkat berapa, saya dah lupa, bangunan tinggi. Masa dia jatuh, kawan dia turun tangga, nak kejor dia. Sebab masa tu, Shakipiyo tak tau nak naik lif. Hehe.

Masa on the way jatuh tu, si Gudetama siap boleh tegur orang dalam bangunan. Ada yang dia terserempak telor dalam sandwich orang, siap borak dengan telor sandwich tu. 

Comei, ok. Apakah penghabisannya? Dapatkah dia orang jumpa mak dia orang? Sila tengok sendiri. Hehe...

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 😊

Tak sihat dan banjir

 Jumaat, 28 JamadilAwal 1444 Hijrah.

Pagi tadi, masa bangun pagi, tekak rasa sakit. Tapi pergi jogging juga. Sebab semalam makan banyak. Batuk sambil jogging. Perit nak bercakap. Bila cakap, tekak rasa gatal nak batuk. Jangkit dari suami, rasanya. Dia pun sama, semalam, tapi dah beransur baik. Dia pula jangkit dari rakan pejabatnya. Memang musim demam ye, sekarang.

Comeinya awak.. sape buang awak ni.. manja pulak tu.

Separuh larian, ada semput (wheezing). Tapi teruskan juga. Lepas tu, wheezing tu berenti sendiri. Rasa lama sangat nak habiskan 10 km, sebab tak bawa henpon, tak dengor lagu. Rasa berat hari ni. 

Bila sampai rumah, tengok anak bongsu tengah duduk di buaian, tanya dia, dah main badminton ke hari ni?

Sudah, katanya, 10 minit dengan bapaknya. Tapi dia kata, boleh je, kalau nak main dengan mama pulak.

Saya pun sambung main badminton dengan anak bongsu.


Riadah hari ni, larian 10.15 km, diikuti sesi badminton bersama anak bongsu selama 21 minit.

Lepas tu, mandi. Lepas mandi, baru start rasa sakitnya badan. Bisa-bisa. 

Lepas sarapan, makan ubat paracetamol dan ubat batuk cap ibu dan anak. Pastu masuk dapur, masak lauk hari ni.


Ikan merah masak kicap. Letak bendi sekali. Kes malas celur bendi, masak sekali dengan ikan. Lepas dah masak kicap baru terpikio, eh, kenapa aku tak masak kari eh.. hehe.. sebab ada bendi. Bila badan tak berapa sihat, kepala pun tak berapa nak dapat pikio dengan betul.

Harap dapat sembuh sebab lagi 3 hari, nak nyongket, suami cuti. Yay! Syoknya! Tak sabor rasanya. 😁

Suami dapat cuti, tapi tak balik kampung dia di Kelantan. Memang tak boleh balik hujung tahun, sebab banjir. Dulu dah pernah merasa balik masa musim tengkujuh, sebab masa tu, air belum naik. Sekali bila sampai sana, baru lepas Rantau Panjang, air dah naik atas jalan. Nasib baik kereta tak hanyut waktu tu, sebab masa tu waktu malam, tak nampak, air naik laju, ingat cetek, boleh harung dengan kereta, tapi air ada arus, wei... memang pengalaman menakutkan. 

Pagi tadi, kakak ipar bagi gambar, tanya khabar family di kampung. Rumah kakak ipar sudah dinaiki air, dah lepas tangga luar, sikit lagi nak sampai pintu. Dia satu family tengah sibuk kemas barang letak tempat tinggi. Tapi tak hujan pagi tadi, tapi air tetap naik.

Air sikit lagi nak masuk rumah.

Bahagian tepi rumah


Rumah mak mentua ok, sebab kawasan tinggi. Kampung suami di daerah Tumpat. Semoga banjir cepat surut.
Kalau hujan sana, memang takut, bagi saya la. Hujan lebat dan lama sangat, tak henti-henti. Saya masa duduk sana, sekejap-sekejap tengok tingkap, takut air naik. Tapi orang sana dah biasa, rileks jer. Nak bercakap dalam rumah pun kena jerit-jerit, sebab tak dengor, atap rumah zink, bunyi hujan tu kuat sangat. Hehe.. memang pengalaman tak dapat lupa. Sejak tu, saya cakap pada suami, kita balik kelantan bila-bila boleh, asalkan jangan musim tengkujuh, sebab I is takutttt! Hehe... 

Baiklah, jumpa lagi, ye. 😊

Warung Abang Mad Roti Canai

 Khamis, 27 JamadilAwal 1444 Hijrah.

Saya punya plan, dalam seminggu, jogging 6 hari sahaja. 1 hari, kita rehat. Tapi, disebabkan pagi tadi rasa malas nak mampus, jadi hari off esok, kita carry forward kepada hari ini. Esok kita jogging ye, kalau cuaca tak hujan, Insya-Allah.

Suami ada, dia kerja shif petang. Ape lagi, marilah kita pergi makan roti canai! Kikiki...


Pukul 7 pagi, gelap lagi, masa sampai. Tapi, dah ada orang makan. 

Langit yang mendung

Warung Abang Mad Roti Canai terletak di Kampung Permatang, Manjung. Boleh sambil makan, sambil tengok nelayan turun ke laut. 


Saya pesan roti canai sekeping, bersama kuah kari kambing. Saya suka kari kambing dia. Kuah pekat. Daging kambing lembut. Rasa macam makan lamb chop pun ada. 😋

Sementara suami pesan roti canai juga, dengan kuah kari biasa.


Tu, dari kejauhan kelihatan 2 buah bot sedang on the way pergi menangkap ikan. Ada chalet sini, saya perhatikan. Selain di Kampung Sitiawan, di Kampung Permatang ni juga tempat para kaki pancing sewa bot. Selalu nampak beramai-ramai, sorang bawa 2-3 batang pancing.

Berbalik kepada sarapan, ingat cukup sorang makan sekeping roti canai? Dasar ahli kelab mentekedarah, pesan lagi makanan lain.


Pesan nasi goreng kampung. Share-share ler makan. Besor tu, portion nasi goreng dia. Saya minum air kopi panas.

Selain roti canai pelbagai jenis, sini juga ada makanan goreng-goreng, kuih-muih, pulut kuning dengan rendang ayam (pun sedap, wei... 😋), mee sup, mee kari, macam-macam lah.

Silalah singgah sini jika anda berkunjung ke Manjung, ye. Udah datang Lumut bercuti pi Pangkor, ini adalah satu satu port sarapan sedap yang anda harus cuba.

Warung Abang Mad Roti Canai buka setiap hari, cuti setiap Jumaat.

Jumpa lagi... 😊

Riadah semalam

 Rabu, 26 JamadilAwal 1444 Hijrah.

Sepatutnya, saya tulis entri ni semalam, tapi tak sempat pulak. Saya cerita hari ni je la. Sebab semalam punya riadah, pemandangan laut dan langit sangat cantik. 😊

Tu, pakcik tu tengah tengok laut. 😊

Semalam saya jogging dengan suami, dia off kerja. Jogging sejauh 6 km. 

Di Teluk Batik ni, ada tapak perkhemahan. Selalu nampak orang bawa campervan atau motor home, bermalam di sini. Setiap tapak yang disewa ada port untuk cucuk elektrik. Segan pula nak ambil gambar mereka yang berkhemah, kacau privasi orang. Kami jogging pagi-pagi, ada yang sedang masak di depan khemah, sambil tengok laut. Bau ayam goreng ada, bau nugget, kadang bau cokodok pun ada. 

Obor-obor hanyut di pantai.


Tak jemu mandang keindahan langit. Ikutkan hati nak duduk lepak tepi laut tengok laut dan langit, tapi nanti jogging ke mana, sarapan belum dibeli, balik lambat pulak nanti.

Kingfisher sedang bertenggek atas kabel letrik

Cuaca agak mendung pula semalam, tak panas.


Jika jogging satu loop paling besar, dan lalu kawasan pantai, jarak lebih kurang 2.5 km. Jadi, cuma perlu 2 loop untuk cukup 5 km. Kalau langkah pendek, boleh sampai 10 ribu langkah dengan hanya 2 pusingan. Tapi letih la, jogging atas pasir pantai. Dengan kecerunan yang macam senget tu, kalau ada masalah lutut, janganlah. Jalan slow-slow tengok laut takpe. Itu pasal saya kalau turun ke pantai, pace 11. Sebab bukan lari sangat pun. Tengok pemandangan je. 😁


Masih ramai pengunjung yang tinggalkan sampah di kawasan berkelah. Di tepi pantai memang tak ada disediakan tong sampah. Kena bawa sampah sampai ke kawasan parking, baru ada tong sampah. Ramai juga yang datang sini, sebab saya dapati, jumlah kenderaan bertambah di musim cuti sekolah ni. Ye la, nak bercuti ke pantai atau pulau di belah Laut China Selatan kan tengah musim tengkujuh, ombak besar. Jadi, ramai yang pilih bercuti di pantai mengadap Selat Melaka. 

Orang sini saja yang tahu keadaan Teluk Batik macamana, banding dengan dulu. Tu yang orang sini pun tak datang mandi sini. Dengan nak masuk pun kena bayar, tapi kemudahan tandas yang tiada air. Saya baca dari group di media sosial, ada pengunjung kena tahan buang air sebab tandas tutup, tiada air. Huhu..

Tu je cerita jogging semalam. Jumpa lagi ye.

Resepi Sotong Masak Hitam

 Selasa, 25 JamadilAwal 1444 Hijrah.

Hari tu, saya terbaca di blog Dana, resepi sotong masak kicap. Kebetulan, saya pun masak sotong juga. Dah lama sangat saya tak beli sotong. Sebab asyik jumpa sotong kecik je. Hari tu, pergi pasar, boleh terjumpa sotong boleh tahan besor saiznya. Satu kilo, RM32. Saya beli setengah kilo, dapat 5 ekor sotong. 😊 

Di sini, saya nak share lauk kegemaran saya sejak kecil lagi, iaitu sotong masak hitam. Kalau arwah mak masak dulu, mesti bertambah nasi. Kali kedua tambah nasi, kalau tinggal kuah hitam sikit dalam pinggan, siap gaul sampai licin pinggan tu. Oh, jelesnya waktu itu, makan nasi 2 pinggan pun badan cikeding jer.

Sotong Masak Hitam

Bahan-bahan:

Sotong

Air asam jawa

Minyak masak, garam atau maggi cukup rasa.

Cara Memasak:

Kuah sotong tu, hitam, bukan dari kicap, tapi dari dakwat sotong yang hitam tu. Sila refer gambar di bawah.


Masa siang sotong, perlahan-lahan, tarik keluar kepala sotong dari badannya. Buang tulang dia yang color transparent tu. Yang saya bulat dalam gambar di atas, dia punya pundi dakwat sotong tu la. Jangan bagi pecah. Basuh sotong pun hati-hati. Di kepala sotong tu pun, ada satu benda bulat keras, yang boleh dibuang. Tapi saya buang masa nak makan. Kalau nak buang masa sebelum masak pun, boleh jer. Potong kat bahagian mata sotong tu, dan keluarkan.

Simple sesangat resepi sotong masak hitam saya ni. Tak payah bawang dan cili. 

Ambil kuali, panaskan. Letak minyak masak ikut suka hati anda. 😁

Masukkan sotong bila minyak sudah panas.

Hati-hati ye. Meletup, kau, kalo api besor.

Kacau, kacau, kacau. Dan automatik, dakwat sotong tu pun akan pecah dan keluar, jadi seperti gambar di bawah.

Dah hitam kuahnya.

Bolehlah masukkan air asam jawa. 

Kalau guna asam  jawa paket, ambil lebih kurang saiz ibu jari kita. 

Kalau guna asam jawa extra, sikit je, setengah sudu kecil pun dah ok.

Masukkan garam atau maggi cukup rasa.

Kacau hingga mesra. Dah menggelegak, tutup api. Sat je masak sotong ni. 

Siap, sotong masak hitam. 😋

Itu la dia, lauk kegemaran saya, sejak zaman budak sampai ke tua.

Saya pernah terbaca dulu, yang ada pihak mengatakan, macam tak elok makan ink sotong yang hitam tu. Siapa pernah baca dulu? Saya pun dah lupa. Terpulang lah ye. Lagipun lauk ni, bukannya masak selalu. Udah jadi macam daging, mahal harga sotong. Hari-hari telor juga ada makan. 😁

Baiklah. Selamat mencuba. 

Jogging nampak kuda

 Isnin, 24 JamadilAwal 1444 Hijrah.

Setiap hari, kita buat keputusan. Minggu cuti sekolah lagi. Boleh sambung tidor lepas Subuh, atau keluar pi jogging. Hari ni, saya beat my malas dengan masuk kereta, pergi jogging. Baik, berusaha!

Bila dipelawa, anak bongsu tak mahu ikut, jadi pergi sorang. Saya sudah mula dengar lagu guna aplikasi Spotify bila berlari. Dulu, saya jarang sangat sumbat telinga dengan earphone ni. Tapi saya dapati, lagu boleh buat saya lebih fokus ketika berlari, saya ikut beat lagu. Jadi saya create playlist lagu lari, iaitu lagu dengan 170-180 beat per minute. 

Tapi volume tu, tak lah kuat, sebab lari di jalanraya. Walaupun bukan jalan utama. Kalau pakai baju hitam, saya cuba pakai tudung kaler terang, supaya kereta boleh nampak saya. Walaupun saya bukan suka sangat tudung warna terang ni, sebab saya kuat berpeluh. Dua tahun lepas, boleh lari sampai 11-14 km setiap kali beriadah. Lepas tu, turun ke 10 km setiap hari. Sekarang ni, buat 7 km pun dah penat dah. Faktor usia. Sejak saya baik demam tu, ha ah, masa saya diam diri tak update blog tu, saya demam lagi. Demam main hujan. Test covid, negatif. Tapi badan tu rasa bisa-bisa, macam flu. Sakit urat. Cuma kadang rasa kuat, kadang rasa tak berapa kuat. 


Bila lalu di laluan yang ada banyak beruk, baik elak, cari laluan lain. Kalau ada sikit beruk, boleh tahan lagi. Jangan tengok beruk, jangan ada eye contact, buat macam tak nampak depa. Buat macam tengah fokus lari. Jadi beruk pun akan buat dunno kat kita. Itu yang saya dapati ler, hasil pemerhatian saya. Jangan pi dekat kawasan beruk. Jangan bagi dia terkejut. Jangan provoke, acah-acah halau ke. Melainkan jogging dengan suami saya, dia suka bawa tongkat buluh. Jadi beruk bila dengor hentakan buluh tu, biasanya dia lari. Saya kurang suka bawa buluh tu. Udah macam cerita Do Re Mi pulak, buluh betung. Eh, buluh runcing cucuk Menteri Pasola tu pun bukan. Tapi, buluh tumpat, buluh takde lubang di tengah, bukan macam buluh lemang tu. Hehe... Kacau nak lari. Macamana nak lari, sambil bawa buluh?  

Kalau ada swords carrier, macam cerita Walking Dead tu, yang Michone tu bawak tu, ok jugak.


Cuma instead of pedang, kita letak buluh kat belakang. Jadi bila keadaan memerlukan, kita keluarkan buluh dari belakang, yah..! Dush, dush..! Hehe.. ok, dah merepek. 

Tapi, ada runner pakai macam tu tau, bila lari kat event. Ninja runner nama dia, kalau tak silap. Dia pakai niqab dan belakang dia ada macam alat dalam gambar di atas tu la. 😁

Berbalik kepada larian pagi tadi, selamat, buat 7 km. Lepas tu masa buat cooling down, ternampak macam kelibat kuda di balik pagar. Jadi, saya berjalan sekejap, nak tengok dari dekat.


Ooo... akan dibuka, petting zoo, kat Teluk Batik ni. Selain kuda padi bawah pokok, saya rasa, saya nampak burung merak. Aik.. boleh pegang ke burung merak ni? Belum siap, laluan berjalan kaki di petting zoo tu, sedang dalam pembinaan. Kita tunggu dan lihat binatang apa lagi akan ditambah. Arnab sudah semestinya la, ye tak.. 

Balik rumah, tanya anak bongsu, dia nak main badminton tak. Dia kata, on. 


Jadi, riadah hari ini adalah, lari 7.56 km, jalan 0.28 km dan badminton, 20 minit, bersama anak bongsu.

Tahukah anda, badminton adalah sejenis senaman cardio yang merupakan total body workout? Masa saya mula main, sakit tangan saya. Anak bongsu dah biasa main di sekolah. Cuma saya dah lama tak main. Baru-baru ni, start cuti sekolah bulan Disember ni, anak ajak main. Jadi, saya pun belilah set raket dan bulu tangkis mur-mur. Ok ler, buat peluh. Lenjun juga, tau, kalau kita main sekurang-kurangnya 20 minit. Lagi satu, kalau kita main hari-hari, saya dapati, kita boleh jadi terer, tau. Dulu saya tak boleh ambil kalau orang smash saya bola laju. Tapi sekarang saya dah boleh ambil dah, walaupun bola bawah. Menunjukkan melalui praktis, kita boleh jadi terer! Chewah, padahal baru main seminggu jer. Cer korang try.. hehe.. 

Baiklah. Sekian cerita riadah hari ini. Jumpa lagi, ye. 😊

Tengok Ma

 Ahad, 23 JamadilAwal 1444 Hijrah.

Hari ni, 18 Disember, genap 10 tahun ibu saya meninggal. 

Saya tak pergi jogging pagi ni. Saya masak nasi dan lauk siap-siap untuk satu hari. Lepas tu, riadah dengan anak bongsu, main badminton sekejap, di halaman rumah je. Saja tak pergi jogging, tak mau kelam kabut. Jumpa kakak-kakak di google meet, baca yassin sama-sama, lepas tu. 

Ibu saya meninggal di usia 67 tahun, pada tahun 2012, kerana barah.

Sedih baca doa masuk kubur.

Saya ingat lagi masa mama saya pergi, bila lalu kawasan yang selalu spend time dengan mama, mudah je air mata tu keluar. Contoh bila lalu Teluk Batik, tiba-tiba je nangis, sebab teringat dulu masa ma ada, piknik kat tepi laut. Mak saya bawa mangkuk tingkat, isi nasi lemak. Sedap... sambal tumis ma memang tak boleh challenge. Bila lalu dalam kereta tempat piknik, tiba-tiba nangis. Lepas tu, suami tanya, "Dah, kenapa pulak ni?"

"Orang rindu mak kita la..." Haha.. pastu semua senyap. Anak-anak pun jarang-jarang tengok mak dia orang nangis depan mata, semua senyap je.

Saya dan keluarga pula tinggal di rumah peninggalan arwah ma. Jadi, mana-mana pergi terbayang-bayang mak saya. Kalau kat dapur, teringat ma basuh pinggan, sambil nyanyi lagu feveret dia. Kalau petang-petang duduk kat buaian depan rumah, teringat selalu sembang dengan arwah, sambil anak-anak main basikal kat halaman. 

Ada macam lubang besar kat dada, lopong je. Bertahun-tahun jugak la, rasa macam tu. Rindu giler dengan masakan orang tua kita. Lagi-lagi bila waktu raya. Kita masak sebab nak bagi suami dan anak-anak makan. Kita sendiri termenung tengok rendang, takde selera.

Bagusnya, dah turap dengan batu. Sebelum ni, kalau hujan je, laluan ni akan lecah, penuh air.

Bila lama-lama, kita takde lagi teringat yang sedih-sedih. Ingat kenangan yang happy-happy je. 😊 Contohnya, tabiat bila ma memandu, atau masa dia kentut. Hehe.. kentut tu tanda kita sihat. Ada orang sampai masuk hospital sebab angin tak keluar dari badan. Jadi, jangan malu, jangan kepit, keluarkanlah angin tu dengan bebasnya. 😁🙈

Lubang kat dada tu, masih ada, belum kambus sepenuhnya. Tapi takde la luas lopong macam dulu. Kita akan selalu teringat dia, walaupun sibuk dengan aktiviti seharian. Setiap 5 waktu lepas solat, mesti ada doa untuk ma. 

Pokok kenanga, bunga kegemaran ma.

Mak saya bila jumpa pokok kenanga je, dia mesti ambil bunganya, selit kat telinga. Bau wangi, kan. Kadang arwah letak dalam bedak sejuk, sampai kering. 

Satu hari nanti, inilah tempat kita. Semoga Allah akhiri hidup kita dengan pengakhiran yang baik. Amin.

Kembali dengan wajah baru

 Ahad, 23 JamadilAwal 1444 Hijrah.

Lama betul saya tak update blog. Mood blogging ke laut dalam.

Harap lepas ni, dapat terus menulis. 😊

Ada banyak benda berlaku kat saya. Benda yang tak best pula. Itu yang saya rasa, macam tak seronok nak share di sini. Lama saya fikir, entah apa salah saya diperlakukan sedemikian rupa. Saya rasa sedih, marah, rasa nak masuk dalam gua, jauh dari orang. 

Ada tak antara pembaca sekalian pernah rasa macam saya? Rasa macam nak lari, duduk jauh dari orang, kalau boleh, nak duduk dalam hutan, kawan dengan binatang lagi aman rasanya, dari kawan dengan manusia. 

Saya diejek, dijadikan bahan jenaka. Atas benda yang saya rasa, bukan salah pun. Bukan ke sebagai kawan, kalau kawan kita bahagia, kita tumpang seronok? Ini siap diajuk, macam dia menyampah betul dengan saya. 

Tapi bila nak sesuatu, mesej kita semula di whatsApp, seolah-olah tiada apa-apa berlaku. Sakit hati saya. Saya ambil masa lama untuk recover semula perasaan saya ni. Saya faham, lumrah kehidupan, dari 10 orang, tak semesti 10 orang akan suka kita. Mesti ada sorang dua yang tak suka kita. 

Jadi, saya pun ambil tindakan untuk menjauhi orang-orang toksik macam ni. Biarlah dia orang tahu yang saya memang nak menjauhi dia orang. 

Saya takkan biarkan orang sewenang-wenangnya layan saya macam sampah. Bila nak minta tolong, datang kat kita. Bila mereka senang, kita dijadikan bahan lawak jenaka. 

Saya maafkan dia orang. Saya nak hidup dengan hati yang aman. Semoga Allah beri saya kekuatan untuk terus hidup. 


Macamana saya memilih

 Isnin, 19 RabiulAkhir 1444 Hijrah.

Hujung minggu ni, kita mengundi. Kome excited tak? 😁

Macamlah tak pernah ngundi. Saya tak tahu nak pangkah siapa lagi. Saya adalah apa yang orang katakan, pengundi atas pagar. 

Pada piliharaya yang lepas, saya ada jumpa dengan calon pilihanraya sini. Dia datang pada saya, yang pada ketika itu, sedang berdiri di kereta, tunggu anak keluar sekolah. Dia kenalkan diri dia, dan bercakap dia bertanding untuk parti sekian, sekian. Undilah saya. Lain hari dan waktu pula, time saya jogging, saya jumpa calon parti lain pula, bersalaman dengan orang ramai yang sedang jogging di padang waktu tu.

Saya berharap saya akan berjumpa calon pilihanraya kali ni, macam tu juga. Tapi sorang pun tak terserempak. Ntah. Suami saya cakap, kena pergi ke pusat gerakan dia. Saya perhati juga banner dan bendera yang dipaparkan di merata tempat. Saya nak kenalpasti calon yang bertanding di kawasan saya mengundi. Saya bukan tengok parti, tapi saya tengok orang yang bertanding. Siapa macam saya? Hehe... 

Pada pendapat saya, seseorang itu haruslah punya penampilan yang baik. Tak perlu hensem atau cantik. Contoh kalau badan dia overweight, macamana dia nak pimpin orang, jadi wakil rakyat, sedangkan badan dia sendiri, dia tak boleh nak jaga? 

Kalau lelaki, kalau dia dapat jadi imam solat kat surau tempatan pun, itu adalah kriteria yang sangat bagus, yang saya akan terus pangkah dia. Siapa pemimpin yang anda tahu di negara kita, yang anda pernah tengok jadi imam? Silalah google sendiri, dan kita diam-diam saje, ye, untuk pengetahuan kita saja. Kalau tak boleh jadi imam, macamana nak jadi ketua yang baik?

Pendapat saya saja, tau. Tapi tempat kita pun lain-lain, jadi, pandai-pandailah kita buat keputusan yang paling baik. Asalkan orang yang kita pilih tu, tak datangkan mudarat pada kita semua. 

Saya ada tengok berita tengahari hari tu. Ada reporter tengah interview sorang calon ni. Calon tu cakap, "Jika saya mendapat mandat, saya akan pastikan kebajikan saya.. eh.. rakyat dijaga dengan baik." Tergelak saya tengok. 😁

Larian Sabtu lepas, 10 keyem.

Gambar di atas adalah hidangan tengahari saya. Saya dah mula makan secara suku-suku separuh ni, mula pertengahan bulan lepas. Untuk sarapan pula, saya makan gardenia wrap. Pada 1 November hari tu, saya ada timbang. Berat saya turun 1 kg. 😁 Sebab berat saya dok stuck kat 59 kg, tak berubah-ubah, beberapa bulan. Saya masih makan nasi macam biasa, cuma saya kurangkan portion nasi tu. Tetapi, saya tak konsisten sangat. Bukan setiap hidangan saya buat style suku-suku separuh ni. Bila makan luar, ke laut dalam jugak. Saya cubalah ye. 

Larian Ahad cuma 6.24 km. 

Hari Ahad, ada beli yong tau fu kat pasar malam, share makan dengan suami. Sedap yong tau fu pakcik ni. Dah lama niaga, sejak arwah mak saya ada lagi. Selalu tak boleh nak beli, sebab ramai orang. Hari Ahad lepas, kami ter-datang awal, takde orang, ape lagi, serang...! 😋

Larian Isnin, 10.07 km.

Gambar si Puteh, yang tengah bunting. Gemuk dia sekarang. Geram betul dengan budak bulu ni.

Ok la ye. Sekian dulu untuk kali ni.

Semoga segala urusan anda pada hari ini dipermudahkan. 

Jumpa lagi. 😊

Tetamu tak diundang

 Jumaat, 16 Rabiul Akhir 1444 Hijrah.

Saya kan, masa masak pagi-pagi, saya ada rebus telur 2 biji. Sebab saya sarapan dengan wrap. Gardenia wrap tu, saya letak telur rebus sebiji, timun dan tomato, pastu letak sos cili dan mayonis. Sedap! Baru je start sarapan macam ni. Itu pun bila suami kerja. Kalau dia tak kerja, mau nyongket makan di kedai. Itu la korje-nye... 😁

Masa balik dari jogging, saya biasanya main dengan anak-anak bulus depan rumah. Saya perasan ada beruk ni. Sekor je, dok mengintai. Biasa la tu, beruk-beruk ni akan melintas beramai-ramai, ikut kabel letrik depan rumah. 

Kadang atas tali maxis fiber yang halus tu pun dia boleh meniti. Pernah putus tau, kabel fiber tu. Dah kena buat report, repair sebab line internet takde. 

So tadi, time saya sibuk main dengan kucing, ada sekor beruk selamba jalan atas tembok pagar rumah.

Larian hari ni, 10.22 km. Hari-hari buat 10 minggu ni. Kena sampuk hantu lari.

Kalau kita halau dia, dia memang tak lari. Dah biasa dengan orang. Kalau kena yang alfa jantan ketua puak tu, mau dia jegil dan tayang gigi taring dia lagi kat kita. Haaa.... seram, tak seram...

Kebetulan suami saya yang baru balik dari aktiviti riadah ofis dia, pun masuk rumah dan boleh dengar dia panggil saya... dapur habis sepah ni..!!! Beruk masuk!!! Hahadoi.... 

Habis telor rebus saya dia makan, tau! Dia pandai tengok barang dalam periuk. Saya masak di bahagian wet kitchen belakang rumah, situ walaupun ada grill, tak sampai atas. Ada lubang atau celahan yang menatang ni muat untuk masuk.

Ingat ke, selamat dah rumah kami ni. Minggu ni, tak nampak pun beruk lalu, line macam clear. Tapi dia kembali semula. Saya masak nasi kat luar, nasib baik suami saya dah letak dalam rumah, dia kata, tak sedap hati nak biar rice cooker kat luar. Nasib baik la. Kalau tak, sedap beruk tu makan, nasi lauk telur rebus. 🙈

Nampaknya, kembali pada plan asal. Lepas masak, semua lauk bawa masuk ke dalam. Pintu dapur memang tak boleh buka. Sebab ada sekali, anak beruk masuk, curi roti yang ada atas meja makan.

Suami saya punya mercun bola pun dah abis. Kalau jadi kat kome la, apa kome nak buat?

Nak tembak dengan pistol mainan? Rumah saya dekat dengan hutan paya bakau. Dulu, takde masalah ni. Sejak tahun ni je, mula. Beruk-beruk di taman paya bakau tu, lapar, kurang orang pergi ke sana, sebab majlis dah kenakan bayaran masuk ke taman paya bakau tu. Dulu masa free, memang ramai yang masuk, bagi beruk makan, bawak roti la, kacang la. Sekarang memang banyak la beruk pagi-pagi, masuk ke kawasan kejiranan berhampiran. 

Yang paling senang, tutup segala pintu dan tingkap. Dah jadi penjara dah. Tak boleh open air. Apa nak buat, nanti habis pulak makanan kita. 

Ok la. Sekian cerita di hari Jumaat. 

Jumpa lagi, ye.

Mee tarik goreng

 Selasa, 13 Rabiul Akhir 1444 Hijrah.

View blog guna laptop. Banner cinonet je.

Ish ish ish... ntah iklan apa-apa ntah keluar kat blog saya ni. 🙈 Aritu masa blogwalking, saya dah nampak iklan kuda gumuk ni kat blog kawan. Ni, keluar kat blog saya pulak. 

Pagi tadi, lambat siap untuk keluar. Goreng mee tarik pagi tadi. Guna mee berikut:


Mee tarik goreng.

Alamak, comotnya kuali saya. Tak sempat nak amik gambar dalam mangkuk cantik. 

Lepas masak, mandi. Lepas mandi, anak mintak tolong print kerja sekolah. Bior la mak Subuh dulu. Pastu buat kerja dia. Pastu keluar jogging.

Larian pagi tadi sejauh 10.08 km. Panas cuaca, tak boleh buka mata. Air peluh bercucuran, macam mandi laut. Bila peluh masuk mata, mata pun pedih. 

Ok la ye. 

Pendek entri hari ni. Saya share tazkirah dari app Mukmin Pro. Saya pakai app ni di telefon, untuk tengok waktu solat dan kiblat bila travel. Sejak bulan puasa hari tu lagi saya guna, memang puas hati. Sebelum-sebelum ni, aplikasi waktu solat semua takde keluar bunyi azan bila masuk waktu. Tapi app ni bagus. Nak suruh dia mute pun boleh, cuma keluar silent notifikasi. Nak mengaji guna app ni boleh, ada surah lazim. Saiz dia pun tak besor sangat, padan dengan telefon saya yang antik ni. 


Jumpa lagi...  😊

Minggu yang sibuk

 Isnin, 12 Rabiul Akhir 1444 Hijrah.

Saya sibuk sikit, sampai tak dapat nak update aktiviti berlari di blog.

Makan tosei kat mamak, hari Rabu lepas.

Selain apply bantuan pelajaran Yayasan Perak yang saya ceritakan hari tu, saya juga ada apply bantuan pelajaran Majlis Agama Islam Perak pula. Mana yang kita boleh minta, kita minta je. Kerajaan dah sediakan bantuan, kan. Lulus tak lulus, belakang kira. 

Saya dan keluarga dah tinggal di Manjung ni selama 9 tahun. Baru sekali dapat tandatangan penghulu mukim kami ni. Hari tu, kami pi minta tandatangan penghulu mukim lain, sebab penghulu sini manjang ofis dia tutup je. Itu yang kalau nak minta pengesahan pegawai kerajaan gred A, saya minta sign pengetua sekolah menengah je, sebab kalau pergi rumah penghulu tu, kunci je pagarnya. Tapi hari tu, rezeki kami, masa nak minta pengesahan untuk borang saya sebagai surirumah dan tiada sumber pendapatan, encik penghulu tu kebetulan ada di ofis dia. Itu pun, dia sedang berdiri di luar pintu ofis dah, nak keluar. Sempatlah saya minta tandatangan dia. Seperti biasa, banyak kena soal dulu, bla bla bla, baru dia cop dan tandatangan. Majlis Agama Islam Perak punya bantuan insentif ni, saya kira yang paling canggih saya pernah jumpa, sebab semua dokumen upload dalam bentuk softcopy je. Tak macam permohonan biasa yang kita kena muat turun borang dan kepilkan dokumen sokongan semua tu. Alhamdulillah, sudah settle mohon. Untuk Ptptn atau Mara, permohonan sudah ditutup. Tahun depan, bulan Mac, baru dibuka. Jadi, tu cerita tahun depan. 

Pasal dapat jumpa penghulu mukim kami ni, saya rasa macam magic la, sebab benda jarang-jarang berlaku. Hari tu, saya solat sunat tahajud dan dhuha. Saya selalu rasa bila saya buat 2 solat sunat ni, benda magic selalu berlaku, tak pun, urusan semua jadi mudah je. Syukur Alhamdulillah. 

Hari Khamis, pi jogging dengan suami. Saya buat 10 km, suami jalan 7 km.

Hari Jumaat lepas, biasanya saya riadah dulu baru sarapan. Tapi hari tu, saya dan suami pi sarapan dulu. Pergilah kat satu tempat yang biasanya, ramai orang makan, kalau datang lewat la ye, pukul 8 pagi. Kami mai pukul 7 pagi, kurang orang. Selang beberapa meja dari kami, mantan wakil rakyat parlimen dan Dun yang menang pada pilihanraya lepas. Biasa tengok kat banner je, muka dua orang wakil rakyat ni, banner ucapkan selamat hari raya ke, selamat menyambut maal hijrah ke, gitu. Ini pertama kali saya nampak 2 orang wakil rakyat ni secara live. Yang peliknya:

1) Selama ni, tak pernah nampak muka. Wah, boleh muncul pula makan di tempat yang beshe-beshe je, tempat rakyat marhaen makan. Oh ya, esoknya hari penamaan calon. Nama mereka berdua masih ada. Saya tak nak sebut parti apa. 🙊

2) Orang ramai takde pun pergi bersalaman dengan mereka ke, menegur ke, apa, mereka berdua je berbual sama mereka je. Tak campur orang. Tak beramah mesra dengan kita. Ke, orang semua tak perasan depa ke, atau tak kenal ke, tak tahulah saya. 

Saya makan set roti bakor dengan telor separuh masak, baked beans dan sosej. Kueh karipap.

Lepas makan, cuaca hari Jumaat lepas sangat baik. Tak panas. Suami saya baru pam tayar basikal anak. Saya pinjam sat, pergi kayuh, sejauh 16.42 km. Dah lama tak naik basikal. Asyik berlari je. Sesekali tukar angin.

Whopper Burger King dan kopi secawan, share dengan suami.

Hari Sabtu tengahari, makan di Burger King. Whopper la, apa lagi. Suka bebenor dapat burger yang besor ni. Nikmat makan, sampai pejam-pejam mata. 😋😋 Syukur Alhamdulillah.

Jahit seluor anak koyak.

Suami pergi kerja shif petang. Saya ambil kesempatan menjahit seluar-seluar anak yang koyak. Suka benor duduk terkangkang, budak lelaki ni. Sampai 5 seluar pakai di rumah semua koyak. Suruh pakai kain, tak mahu. Budak-budak sekarang. 

Larian petang Sabtu, 5.19km

Petang Sabtu lepas, sebab rasa bersalah makan burger Whopper yang besor itu, maka saya pun memaksa diri pergi berlari. Gambar selfie di atas adalah semasa pergi hantar anak di Uitm Dungun. Redup kawasan kolej kediaman anak. Ada banyak pokok besar. Saya suka. 😁

Larian Ahad, 8.17 km, dalam hujan.

Hari Ahad, ada plan dengan kawan, nak buat half marathon. Tapi cuaca tak mengizinkan. Hujan lebat beserta kilat. Sempat lari 8 km sahaja. Takde rezeki nak berlari jauh. Takpe, boleh cuba buat lain hari. Kalau hujan sikit takpe lagi berlari. Kalau ada guruh dan kilat, balik la ye. Takut.... cepat-cepat bawa kereta balik, nak masuk dalam rumah, petir sabung-menyabung.

Tapi lepas cuaca elok sikit walaupun masih hujan, suami ajak ke kedai. Beli paper, nak tengok listing pencalonan. Saya nak tahu, supaya saya boleh buat keputusan nak undi siapa nanti, masa pilihan raya.

Singgah FamilyMart, pertama kali cuba kopi dia. Saya beli Hazelnut Latte panas (harga RM7.90, saiz large), sementara untuk suami saya belikan cappuchino panas (harga RM6.90 saiz large). Harga itu lebih murah, banding Costa Coffee, yang beli dari mesin di stesen minyak Shell. Rasa dia ok, tidak membuatkan saya mabuk seperti kopi tealive, jadi lulus! Lain kali boleh beli lagi. 

FamilyMart baru sampai kat Manjung ni, baru buka 2 cawangan. Jadi, ramai la orang yang masuk. Saya tunggu hari hujan time takde orang baru pergi. 😁

Larian pagi Isnin, 10.12 km.

Anak-anak sudah mula bersekolah hari ni, setelah Perak cuti long weekend sempena Hari Keputeraan Sultan Nazrin. Saya masak nasi goreng. Suami sampai keluar bilik tanya, bau apa sedap ni? Serta-merta hidungku kembang. 😄 Bila dah lama tak goreng nasi, memang selera la sarapan di rumah. 

Saya rasa, dalam hidup sehari-hari ni, nasib baik ada 5 waktu solat. Umpama kita rehat sebentar dari urusan dunia. Dah lepas solat tu, selesaikanlah urusan apa yang patut. Sibuk tapi produktif, minggu saya yang baru berlalu ni. Tapi dah nama pun manusia, bila tak sempat baca newsfeed facebook, tak sempat tengok netflix, rasa tak best. Bila tak sempat mengaji, takde pula rasa kehilangan. Ya Allah, saya tak kuat. Tapi saya akan terus mencuba. Insya-Allah.

Baik. Berusaha! Semoga hari anda semua ceria-ceria belaka dan segala urusan dipermudahkan, ye.

Jumpa lagi. 😊

Not Spam lah!

 Ahad, 11 Rabiul Akhir 1444 Hijrah.

Hai...! 😊

Boleh tak anda tolong check, di blog masing-masing, sama ada komen saya ada masuk dalam kategori spam di blog anda? Saya ada perasan yang komen saya tak kelihatan di blog kawan-kawan. Boleh tak tolong klik "Not Spam" di komen saya? Contoh seperti di bawah, 


komen dari Azhafizah termasuk kategori Spam pulak di blog saya ni. Jadi, saya kena klik Not Spam.

Macamana nak tahu ada pembaca kita yang termasuk kategori Spam, komen di blog kita?

Anda boleh pergi ke Setting, bagi pengguna Blogspot, boleh letak notifikasi email anda. Jadi, anda tahu ada komen dari seseorang, tapi bila di blog anda, komen seseorang tu, tak kelihatan pula. Dekat email ada, dekat blog, takde komen orang tu.


Jadi, anda takkan terlepas untuk balas komen setiap orang di blog anda.

Kesian tau, kita baca blog orang, tapi komen tak keluar.

Nanti, pembaca ingat, line problem pula, dia hantar beberapa kali komen. 

Bagi saya, Insya-Allah, saya akan balas setiap komen pembaca sekalian, cuma lambat atau cepat je. 

Baik. Tu je buat kali ini.

Sila check ye. Mekasih. 😊