Showing posts with label Makan apa. Show all posts
Showing posts with label Makan apa. Show all posts

Menu Sabtu dan Ahad

 Sabtu, 20 April 2024 - Ada jemputan rumah terbuka Hari Raya.


Maka, ke Ipoh lah saya dan suami, memenuhi jemputan kenalan sejak zaman bujang. 

Tiga buah rumah, sebelah-menyebelah dalam satu lorong taman perumahan, buat sekali rumah terbuka. Makanan disediakan secara bergotong-royong, masak bersama. Sudah macam kenduri kahwin. Selain nasi minyak berserta lauk pauk, ada laksa, mee kari, bihun sup, buah-buah, roti jala, lemang, ketupat, rendang dan lain-lain menu raya. 


Saya ambil nasi dengan rendang tok, acar jelatah dan ayam masak merah. Satu round je makan. Tak ambil menu lain. Ruginya panggil kita orang makan. Rugi ke, untung? Rugi bagi kami kot. Untung bagi orang belakang, sebab banyak lagi makanan. Air pun kami tak ambil, sebab air manis belaka. Tak kisah la tu, makan banyak ke, makan sikit ke, cuma jangan ambil tapi tak makan habis, membazir namanya. Membazir itu amalan syaitonnnnn....

Eh, lupa nak cakap, ada kambing laaa....


Kambing bakar bersama salad. Sos black pepper. Syukur Alhamdulillah. Makanan semua sedap.

Terima kasih, tuan rumah yang menjemput kami. Dapat berjumpa dan bermaafan sempena hari raya Aidilfitri. 

--------------------------------- 💙💚💛💜-----------------------------------

Ahad, 21 April 2024 - Tak ke mana-mana, berehat di rumah. Sarapan pun kita panaskan lauk apa yang ada.


Sarapan makan menu raya, uolss... Ketupat palas dan lemang, dan rendang tok, kami beli di Pasar Sabtu Bota Kanan, hari sebelumnya. Tapi tak sempat nak makan, sebab nak pergi rumah terbuka, simpan perut kat rumah biar lapar. Jadi pagi Ahad baru panaskan, buat sarapan.

Selalunya, hari Ahad, hari gantung periuk. Tapi hari tu, saya masak juga, takut ada orang mai beraya tak bagitahu kan, merujuk kepada kawan anak-anak. Kalau depa mai, tak pa, ada makanan. Kalau depa tak mai, pun tak pa, kami makan sendiri.


Saya masak nasi beriani kari ayam Adabi. Ha, dulu yang menu viral tu, nasi beriani kari kambing Adabi. Tapi saya guna bahan yang ada di rumah la ye. Kari ayam Adabi yang ada, itulah yang saya masak.


Lauk kari ayam. Syukur Alhamdulillah.

Lari sikit, makan banyak. Apa kes ni... makanan yang ditunjuk dalam entri nampak sikit. Tapi tidak termasuk kuih raya dan kerepek yang setiap kali ke dapur, ambil sebiji, lalu je, ambil sebiji, tart nenas. Lagi sekali lalu, ambil sebiji, biskut coklat chips. Mood lari masih ke laut. Sabtu dan Ahad tak lari langsung. Hahaha...

Ok. Sekian perkongsian hari ini. Jumpa lagi, ye. 😊

Cerita Khamis dan Jumaat

 Masa hari terakhir puasa sunat syawal atau puasa enam hari tu, iaitu hari Rabu, 17 April 2024, saya tak masak, sebab suami ajak berbuka dengan nasi kandaq! 


Ni dia.... nasi kandaq, bungkus dari Restoran Madinah Seri Manjung. Saya pesan lauk ayam goreng, telur masin dan sayur bendi. Suami pi tambah sayur kobis. Kuah campur, letak asing. Dekat nak berbuka, baru letak kuah.

Keesokan harinya, Khamis, 18 April 2024, saya mula pergi lari semula di luar, setelah sekian lama. Sepanjang bulan puasa, bukan tak ada lari langsung, ada, cuma saya lari dalam rumah sahaja. Tak kuat nak menahan dahaga di bulan puasa. 

Larian Khamis, 18 April, sejauh 5.26 km.

Tolak tepi pace. Kita mula slow balik. Tapi heart rate mencanak, masuk zon merah, sebab dah lama tak lari luar. Balik dari berlari, saya pergi pasar, beli ayam dan ikan. Balik rumah, basuh baju, mandi, sidai pakaian, barulah saya bersarapan.


Lewat dapat sarapan, dalam pukul 11.30 pagi. Sarapan 2 keping roti whole wheat bakar, dengan scrambled egg.

Lepas sarapan, saya masuk dapur.


Saya masak ikan keli goreng sambal hijau. Ini, lauk kegemaran anak bongsu. 

Keesokan harinya, Jumaat, 19 April 2024, saya pergi jogging lagi. 


Alhamdulillah, larian hari Jumaat sejauh 5.67 km, heart rate sudah tidak setinggi semalam. Tiada lagi dalam zon merah. Panas pula cuaca. Matahari menyinar dengan garangnya. Cukup 10 ribu langkah, saya pun balik. Eh, bukan balik. Saya pergi pejabat pos, masuk duit dalam ASB. 😁 Tak boleh simpan di rumah duit raya, takut terbelanja.

Hari Sabtu dan Ahad, korang pergi mana? Banyak jemputan rumah terbuka hari raya ke?

Orait, jumpa lagi ye. 😊

Menu posa enam

 Hari ni, saya share gambar makanan je la. 

Mula hari ketiga, baru teringat nak ambil gambar.


Nasi goreng masak waktu sahur hari ketiga puasa enam. Ada masukkan sekali beberapa ketul daging masak hitam.


Tortilla ayam, pertama kali beli di kedai burger dekat rumah. Kedai burger dia lain sikit, selain burger biasa, burger crispy pun ada. Ada deep fryer kedainya. Kenyang juga makan tortilla ni. Inti ayam di dalam boleh tahan. Ada salad juga. Makan waktu berbuka hari yang sama.


Lepas solat maghrib, suami ajak mengopi. Hari hujan pula. Pergi Richiamo Coffee di Manjung Point. Pesan 2 americano, satu ais dan satu panas. Dua-dua tanpa gula. Terbeliak biji mata. Pertama kali cuba Salted Egg Yolk Croissant. Jumlah harga mengopi RM24.70.


Kek lapis Sarawak, perasa lumut cheese. Hari-hari sejak hari raya pertama, saya potong kek lapis yang kakak kedua dari Kuching bawa. Satu hari, satu perasa. Paling sedap, yang luxury cadbury, saiz pun lebih besar dari kek lapis biasa. Yang tu, kami makan raya pertama. Lagi kek lapis, perasa rainbow chocolate, masam manis yang all time favourite sampai 2 biji kek, dan pertama kali cuba perasa creamy marmalade. Pun sedap juga. Hari-hari kek, weiii... Ate, camana ni... walaupun puasa, melahap kek waktu berbuka atau sahur. 😁


Puasa enam hari keempat, bersahur dengan mee segera sahaja. Habis idea mau makan apa.


Cuba yang ini, Mie Sedaap Instant Korean Cheese Buldak Spicy Chicken. Tahap kepedasan boleh laras. Boleh masukkan tahap pedas nikmat, atau pedas gila. Saya masukkan pedas nikmat. Ok. Boleh diterima dan tidak sakit perut selepas makan.


Menu berbuka hari yang sama, makan nasi lauk ikan kembung masak asam rebus, ayam masak lada hitam, juga budu bersama ulam timun jepun.


Menu sahur hari kelima puasa enam, makan nasi dengan lauk telur goreng kicap.


Menu berbuka hari yang sama, spagetti goreng.


Sahur pagi tadi, iaitu hari keenam puasa enam, roti whole wheat bakar 2 keping dengan telur dadar. Ada goreng untuk anak bongsu nak pergi sekolah, jejari ayam. Ambil seketul jejari ayam.

Syukur, Alhamdulillah.

Selamat berpuasa juga kepada semua pembaca yang berpuasa. Orait, jumpa lagi. 😊

Cerita sebelum raya

 Orang lain sudah up cerita raya, saya masih up cerita bulan ramadan. 😁 Tak kira. Nak tulis juga, walaupun sudah berlalu.

Pada hari Khamis, 4 April lepas, bersamaan 24 Ramadan, saya dan suami telah pulang ke kampung halaman suami di Tumpat, Kelantan. Berdua sahaja. Anak bongsu masih ada 2 hari sekolah, dan anak sulung ada kuliah online. Jika anak-anak ikut, rumah di kampung atau dalam perjalanan, biasanya tiada liputan internet, nanti ganggu pula kelas online dia. Anak-anak pun dah besar, pandai cari makan sendiri, walaupun tak reti masak. Masak mee segera, pandailah. Yang sulung sudah ada lesen kereta, jadi tiada masalah. 

Travelling masa bulan puasa memang letih. Mengantuk tak boleh bawa bincang. Saya beberapa kali terlelap. Bila saya terlelap, tenguk suami steady lagi. Lagi sekali terlelap sekejap, cepat-cepat tengok orang sebelah, dia dah buka mata luas-luas, macam lawan mengantuk. Hehe.. nasib baik tak jadi macam Mr. Bean, letak batang mancis dekat mata. 

Selamat sampai ke rumah suami kira-kira pukul 2 petang. Bertolak selepas subuh. Alhamdulillah. Mek sedang tidur. Kami kemas bilik sendiri. Lepas asar, kami pergi jalan ke bazar ramadan. Cuaca di Kelantan sangat panas terik. Rasa terbakar pipi. Manjung pun panas juga, tapi rasa takdelah panas sangat macam di Kelantan. Beli makanan berbuka. Best, nasi kerabu sana. 😋

Esoknya, kami kemas satu rumah lepas sahur. Kakak ipar bongsu ada belikan tikar getah. Nak letak di dapur. Entah, padahal sebelum ni, ok je dapur tu, takde tikar getah. Tak perlu pun, sebenarnya. Tapi sudah dibeli satu gulung, ok. Bukan ikut meter, tapi segulung tikar getah. Jadi, saya dan suami pun operasi pasang tikar getah. Bawa keluar perabot besar seperti meja makan dan sebagainya. Letih oi, buat kerja tak boleh minum. Pengsan! 

Lepas tu, saya sapu satu rumah, dan mop juga satu rumah. Giler la! Adoi, bengkok badan aku. Suami kemas peti ais. Rumah tu, mek seorang tinggal. Hari-hari, ada je orang sedekah lauk berbuka pada mek, sama ada kakak-kakak ipar yang tinggal berdekatan, atau orang masjid. Mek pula tak makan, dia makan sikit, simpan banyak benda dalam peti ais. Orang tua, kan. 

Lepas selesai operasi cantikkan rumah, kami ke Pengkalan Kubor. Di sini, memang tempat orang shopping baju, barang-barang rumah, macam-macam la. Kami pergi bersama kakak ipar sulung, Mek Yah. Mek Yah pun tak berapa sihat sangat. Last kami balik Kelantan, dia nampak kurus. Sekarang, badannya laaaaaagi kurus. Sebab kencing manis. Tapi bila kami bawa dia bersama ke Pengkalan Kubor, bukan main laju dia jalan. 😁 Semua orang berniaga di situ kenal dia. Semua tanya, kenapa lama tak datang. Tak sihat, gitu.

First stop, beli kacang. Suami beli kacang sambil tidur.

Banyak makanan kering seperti pelbagai jenis kekacang la. Sebut je nak kacang apa, semua ada. Contoh macam kacang gajus, nak goreng ke, bakar ke, semua ada. Kami beli mixed nuts, kacang gajus goreng dan lempuk. 

Lempuk, uols! 

Oh, saya suka lempuk! 😋 Ia dibuat dari durian. Saya mula suka makan lempuk sejak saya kecil lagi, masa pulang kampung bapa saya di Segamat, Johor. Dulu, lempuk dibalut dengan daun ... daun apa ye? Saya pun dah lupa daun apa. Sekarang lempuk dibalut dalam plastik seperti dalam gambar. Ok ler. Walaupun rasa macam manis terlebih gula, bukan makan selalu. Orang kampung dulu buat sendiri je lempuk. Kow sangat rasa durian. Best!

Saya ajak suami ke Pengkalan Kubor tu, sebab nak beli periuk. Bukan di rumah tiada periuk, ada. Tapi periuk besar boleh muat 2-3 ekor ayam, mahu masak rendang, sudah diambil bapa saya, masa dia kawin baru dulu. Takpe la, kita beli baru. Kakak-kakak saya pun sudah sepakat mahu pulang beraya di rumah peninggalan arwah mama, yang saya sedang duduk sekarang. Ni, lain hari saya cerita ya, lain entri, cerita raya.

Bila jumpa periuk 2 telinga, saya tunjuk. Tapi Mek Yah kata mahal. Jom pergi kedai member dia. Jumpa lah periuk sesuai.

Barang beli di Pengkalan Kubor.

Brader kedai periuk yang juga kenalan Mek Yah bagi diskaun beli periuk. Harga pricetag RM69. Dia jual pada kami RM45. dapat sudip percuma. Yay! Dapat juga periuk besar mau masak rendang. Alhamdulillah. On the way balik, sempatlah beli beras siam dan buah tembikai buat berbuka.

Lepas solat Jumaat, saya dan suami ke Aeon Mall Kota Bharu. Ramai, hari Jumaat, orang cuti, tak kerja. Semua kedai penuh dengan manusia. Hajat kami, nak cari kasut baru. Saya bila keluar berjalan, pakai sandal saja. Tapak sudah haus dan licin. Saya hampir terjatuh hari tu, sebab sandal lama. Dapatlah beli. saya sepasang, suami sepasang. 

Saya selalu amazed dengan Aeon di Kelantan, sebab ada banyak butik, tak macam di Aeon tempat saya, iaitu Manjung. Kuasa membeli orang sana memang hebat. Antara kedai yang ada sana tapi takde di tempat saya ialah Harvey Norman, H&M, Dermalogica, Garmin, BananaBro, Uniqlo, PUMA, A&W, Brands Outlet, Clarks, Guess, Hot & Roll, Nando's, Nasken Coffee, Padini, Polo Hill, Rolex, Sembonia, Swatch, Texas Chicken, Coffee Bean & Tea Leaf, Manhattan Fish Market, Vincci, dan ada 2 kedai handbag branded tu, saya lupa nama dia. Banyak, kan. Kaya-kaya orang sana. Lepas tu, saya tengok, macam tak boikot je, kedai-kedai tu. Masih awal, tapi sudah tapau di kedai yang biasa orang boikot sini. Bila kita pergi tempat orang, barulah kita boleh nampak camana. Pilihan masing-masing.

Sepanjang duduk kampung, saya tak main telefon sangat. Line ada, tapi kena pegang telefon tegak-tegak macam antenna. Sekejap ada, sekejap slowwww..... buat naik angin je, bila line slow. Jadi, saya membaca di masa lapang. Bila ada saudara datang, berbual-buat dengan saudara mara. 

Esoknya, kami sudah mahu pulang ke Perak. Sekejap je. Jadilah, dapat berbuka dan bersahur dengan Mek, iaitu ibu mertua saya. Mek pun sudah uzur. Walaupun masih boleh ke sana ke sini, siram pokok pisang dia. 

Bertambah pula pokok pisang.

Mek kata, banyak pokok pisang mati, sebab cuaca panas sangat. Kadang orang buat kerepek datang beli pisang, dapatlah Mek 50 ringgit, seratus ke. Mek ada pesan juga kerepek pisang tanduk sebungkus pada yang beli pisang dari Mek. Sebab kami balik awal ke Perak, tak sempatlah nak merasa tahun ni.

Buka pintu rumah, ada hutan di depan. Matahari pukul 7 lebih, sudah bersinar terang.

Lain kali panjang umur, kami balik lagi, ye. Suami saya kena kerja semasa hari raya, jadi itu pasal kami balik lebih awal, jumpa Mek, buka puasa bersama, beraya dulu. Memang kerja suami saya macam ni. Dua tahun, sekali je, dapat cuti raya. Gilir-gilir. Kalau tahun ni dia kerja, tahun depan, dia dapat cuti raya. Gitu. 

Masa perjalanan balik ke Perak, memang kenderaan sudah mulai banyak, menghala ke Kelantan, hari Sabtu, orang sudah mula pulang beraya. Tapi kami, balik ke rumah semula. Beraya di Perak. 

Orait. Sambung lain hari, ye. Jumpa lagi. 😊

Ke laut sudah

 Sekarang ni, saya lari hari-hari. Sebab nak kumpul jarak. Sebabnya, adalah kerana saya telah daftar cabaran Fit Raya 300km. 

Fit Raya 300 km Runathon

Runathon ni, anjuran group Malaysia Woman Runners. Kumpul jarak larian dari bulan Februari hingga Mei 2024. Atau sehingga capai jarak 300 kilometer la, untuk bergelar finisher. Sebab saya masuk Fit Raya ni, untuk lawan rasa malas keluar berlari la. Bila kita sudah daftar, sudah bayar untuk baju, jadi nak tak nak, kita pergi berlari juga la. 

10 ribu langkah sehari, tercapai sudah 22 hari.

Kawan-kawan yang ada baca entri saya lepas-lepas tentu tahu, yang saya on diet. Tak makan nasi dan benda manis. Mula-mula memang ok. Tapi bila hari-hari keluar berlari, saya sudah rasa kurang tenaga. Ye, saya tahu, tak larat lari 10 kilometer, sebab tak makan nasi.

Rumusan larian Februari 2024

Di bulan Februari ni, saya sudah pun kumpul jarak sejauh 217.7 kilometer. Ini, untuk berlari. Tak campur jarak saya berjalan pergi pasar malam, pasar tani, dan lain-lain waktu yang saya ingat untuk simpan aktiviti. Hehe. Campur 5 kilometer la, lebih kurang, aktiviti berjalan.

Paling sikit saya berlari adalah 2 kilometer. 

Paling jauh saya berlari adalah 15 kilometer.

Saya mula daftar untuk Fit Raya pada 8 Februari. Sejak itu lah, saya mula kumpul jarak hari-hari.

Jumlah jarak lari campur berjalan adalah 223.87 kilometer.

Aplikasi Biib+ ada totalkan jarak lari dan berjalan sekali dalam rumusan bulanan. Kalau aplikasi Garmin, dia asingkan aktiviti berlari dan berjalan.

Bertabahlah saya, tolak malas ke tepi, demi Runathon 300 km ini.

Larian 26 Februari, 8.29 kilometer.

Larian 28 Februari, 6.2 kilometer

Apa yang saya nak kongsikan di sini ialah, bila kita lari hari-hari, kita MESTI makan nasi. Carbo loading. Bagi saya sendiri, bila saya tak makan nasi banyak hari, saya boleh lari setakat 6-7 kilometer saja. Nak capai 8 kilometer pun, lidah sudah terjelir, macam berjalan di padang pasir yang tandus dengan kaki yang berat. Gitu....

Demi untuk mengumpul jarak, saya ketepikan dulu diet saya itu. Saya sudah makan nasi. Air manis pun saya minum, tapi saya hadkan kepada 1 gelas sahaja. 

Sarapan 28 Februari.

Sarapan semalam, saya makan roti bakar telur goyang 2 keping, bersama baked beans. Air white coffee panas kosong. 

3 scoops ice-cream

Tengah panas tu, nampak pula orang jual aiskrim, kan. Perasa durian pulak tu. Apa lagi, saya pesan campur perasa durian dan coklat. Hehehe... nikmatnya! 😋

Begitulah cerita saya, terpaksa ketepikan dulu diet no nasi, no air manis saya itu. Saya nak cuba habiskan jarak 300 kilometer itu, sebelum puasa. Insya-Allah. Wish me luck! Walaupun lambat lagi tempoh akhir, sampai bulan Mei. Saya malas nak bawa lama-lama. Nak fokus bulan puasa, untuk amal ibadat je.   

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 😊

Pergi kenduri

 Sabtu, 24 Februari 2024 - Dapat jemputan ke kenduri kahwin cucu Aunty Bada, Nurin. Saya sudah kenal Aunty Bada sejak kecil, kerana Aunty Bada adalah kawan baik arwah Mama saya. 

Jemputan kahwin Nurin dan Haqimi.

Satu sekolah dulu, Mama dan Aunty Bada. Kalau belek album lama, ada banyak gambar hitam putih, mama dan Aunty Bada berdua. Orang dulu seksi tau, pakai skirt pendek je. Hehe..

Jemputan dihantar melalui whatsapp, dari Kak June, iaitu emak kepada Nurin. Turut dijemput seisi keluarga, tapi kakak sulung saya tak dapat hadir, kerana pergi naik gunung. Kakak tengah ada di Sarawak. Papa pula last minute tak dapat turun Lumut kerana makcik kurang sihat. Nampaknya, saya seorang je la jadi wakil, pergi kenduri. Suami saya sebab hari Sabtu, dia time-out kejap dari ofis (dia kerja shif pagi), untuk teman saya ke kenduri.

Pagi Sabtu tu, anak kedua tiada kelas tambahan. Suami pula sudah masuk kerja awal. Lepas Subuh, saya pun pergi berlarian dulu.

Larian Sabtu lepas, selama 2 jam, dapatlah 12 kilometer.

Panas bebenor cuaca sekarang yek. Rasa macam nak lari bawak payung. ☂

Balik jogging, siram pokok, mandi wangi-wangi, terus bersiap nak pergi kenduri. Saya ni memang. Walaupun dalam kad jemputan kata, makan mula pukul 12 tengahari, pukul 11.30 saya dah bertolak dari rumah. Tak jauh pun, lokasi kenduri adalah lorong belakang rumah saya saja. Hehe... ada satu rumah di lorong belakang ni, selalu orang sewa sebagai venue kenduri kahwin. Rumah cantik. 

Baju kurung dah gosok hari sebelumnya. Hari tu, masa saya kemas bahagian belakang rumah saya, saya terjumpa kasut kerja saya dulu. Peh... cuba korang bayangkan ye. Kejap, saya nak kira. Saya berhenti kerja masa mengandung anak kedua. Anak kedua sudah 18 tahun. Maknanya, sudah lebih 18 tahun tau, kasut ni, duduk dalam kotak belakang rumah. 😂 Kasut Hush Puppies, yang saya beli semasa saya kerja di KL dulu. Beli di KLCC. Saya tengok kasut tu masih dalam keadaan baik, cuma berhabuk. Jadi, saya lap dengan wet tissue luar dalam, dan saya keringkan dalam rumah saja. 

Masa saya nak sarung kasut tu keluar rumah, saya cakap pada kasut tu, "Tolong jangan cabut tapak ye". Hehe.. biasalah kan, kalau kasut kita lama tak pakai, memang tapak dia selalu tercabut. 

Jalan kaki nak pergi kenduri, bawak payung.

Suami saya yang tangkap gambar saya, dia kata, saya jangok. (Dialek Kelantan, bermaksud cantik). Hok aloh, terus kembang bontot saya, Tak percaya, sila tengok dalam gambar di atas. 😂 

Elok kasut tu ha, takde tertanggal tapak. Selamat sampai ke lokasi kenduri kahwin.

Seronoknya, sudah lama tak jumpa dengan family Aunty Bada. Aunty Bada je, saya selalu nampak, sebab dia selalu naik basikal pergi mengaji. Mak pengantin, Kak June, walaupun tinggal di Lumut juga, tapi jarang sekali jumpa. Anak kedua Aunty Bada, Yaya pun, baru dapat jumpa semula, sebab sebelum ni, Yaya tinggal di KL. Anak Kak June yang bongsu, Mamat, tua setahun dari anak sulung saya. Dulu, waktu kecil, masa arwah Mama masih ada, selalu pergi rumah Aunty Bada. Ada gambar anak sulung dan Mamat dalam album. Jumpa satu keluarga, sembang sekejap. Kak June dan Yaya cakap, kurusnya saya. Ye la, dia orang last sekali jumpa saya, masa anak-anak saya kecil lagi kot. Masa tu, memang badan saya obese. Lepas tu, Aunty Bada jemput makan. 

Saya dan suami pun apa lagi, marilah kita. Makcik-makcik geng marhaban saja yang sedang menjamu selera waktu tu. Kira kami ni, antara yang terawal tiba. 

Hidangan ada nasi putih, nasi hujan panas, ayam masak merah, daging masak hitam, masak lemak ikan masin bersama nanas, buah oren. Air ada air sarsi dan sirap. Saya ambil juga air sarsi. Walaupun sekarang tengah diet, tak minum air manis. Rasa sikit.

Apa yang saya makan.

Sedih tak tengok apa saya makan masa kenduri? Tak ambil nasi sebab diet. Ambil lauk je. Makan oren dulu, 2 ulas. Bagus juga idea letak kertas atas pinggan. Jadi, tak perlu basuh pinggan bila kenduri selesai. Sudah serupa makan di kedai makan pula. Hehe. Makan banyak ke, makan sikit ke, tak penting. Lebih penting, kita memenuhi jemputan orang yang menjemput kita, ye. Suamiku yang sedang bekerja pun, sanggup keluar officenya, demi makan nasi kenduri. Dia ambil nasi, dia kata, rugi ler, tak makan nasi, bukan selalu orang jemput makan kenduri. Ya, ya. Baik, baik.

Saya makan sekejap je, kurang dari 10 minit. Pengantin dijadualkan sampai pukul 1. Nampaknya, tak dapatlah tengok pengantin, ya. Takpe, kita jumpa keluarga pengantin pun dah rasa cukup happy. 😍

Ada pencuci mulut seperti pelbagai jenis tepung talam, ada warna hijau, ada warna coklat, ada puding kelapa campur koktail, tak silap. Pun saya tak ambil juga. Tak boleh makan benda manis. No, no. I am on diet. Kita harus KUAT! 💪💪

Lepas tu, kami pun minta diri dulu la. Lepas salam kaut dengan Kak June, ambil gambar lah sekejap dengan keluarga Aunty Bada, sebagai kenangan.

Saya dan Yaya.

Waktu sekolah menengah dulu, saya pernah pergi kursus motivasi dengan Yaya, anjuran entah, dah lupa la. Hasil pakatan mak-mak kami la dulu, time cuti sekolah je, hantar anak pergi summer camp. Dia orang tengok anak-anak malas belajar kot. Dulu kecil je. Dah tua dah sekarang. Siapa tua? Kitalah yang tua. 😂 

Dari kiri, Nana (anak kedua Kak June), Kak June, saya, Yaya dan Aunty Bada.

Alhamdulillah. Saya tumpang seronok tengok Aunty Bada masih sihat, dapat tengok hari bahagia cucu sulung. Semoga Nurin dan Haqimi kekal bahagia hingga ke jannah. Amin... Saya salute dengan Kak June, sebab Kak June seorang ibu tunggal yang berjaya membesarkan 3 orang anak. Masa suami Kak June meninggal, anak bongsunya Mamat, masih kecil lagi, belum sekolah lagi. Seronoklah, dapat jumpa keluarga Aunty Bada. Walaupun sama tinggal di Lumut, tapi sebab kesibukan bekerja dan sebagainya, langsung tak jumpa bertahun-tahun.

Cenderahati buat tetamu. 

Dapat bunga telur, dan tuala kecil. Dah lama pergi kenduri tak dapat bunga telur. Selalu sekarang, orang bagi kek, cookies atau gula-gula je. 

Orait. Sekian cerita saya pergi kenduri. Cuti sekolah ni, korang pergi cuti mana-mana ke? Anak kedua saya baru selesai kertas Kimia hari ni. Kertas terakhir peperiksaan SPM dia lusa, iaitu Asas Kelestarian. 

Jumpa lagi, ye. 😊

Cerita makan je

 Dah lama saya tak share gambar makanan. Saya sebelum makan, suka ambil gambar dulu. 😁 Ye la, nak simpan rekod, kita makan kat mana, kedai mana sedap, kedai mana kurang sedap, etc. Kalau masak di rumah pun, saya ada juga ambil gambar, kalau ingat la. Marilah kita jamu mata, tengok gambar makanan je. 


Pada 27 Januari lepas, saya ke Nasi Kandar Pantai di Pantai Remis, Perak. Sini yang selalu orang makan, sudah tentulah nasi kandar. Kena beratur, ambil nasi dia. Tapi tak lama tunggu dalam barisan. Laju pekerjanya ceduk lauk. Kita pun kena cakap dulu, nak lauk apa. Yang bungkus pun cakap je masa beratur tu. Dia tolong bungkuskan, kemudian hantar di meja, sementara kita tengah makan. Tapi hari tu, saya tak makan nasi kandar. Suami yang makan. Saya makan pasembor. Ha, membukit juga pasembor dia. Boleh tahan sedap juga la. Kuah tak pedas. Just nice. Ok, next..

Saya ingat kan segitiga putih tu, nasi impit. 

Yang ni, pada 28 Januari 2024. Makan maggi celup di kedai tomyam yang tak pernah pergi. Selalu lalu tengok meriah je kedai tomyam ni. Lampu lawa dan terang. Tapi time kami pergi ni, waktu petang. Sebab lokasi tepi jalan saja, dan memang lalu situ nak balik rumah. Jadi, kami pun singgah la. Gambar maggi celup, tapi maggi tak nampak. Tunggu sat.

Segitiga tu, telur rebus rupanya...

Ini, gambar yang saya sudah gaul kesemuanya. Nama pun kedai tomyam, magginya, dia pakai maggi siam tu ler. Ada kangkung, taugeh, ayam. Di sudah letak perasa tambahan tu, seperti cili flakes dan sebagainya. Cukup rasa pedas. Makan tengah cuaca panas. Berpeluh terus. Orait la rasa dia. 

Seterusnya...


Ini adalah ayam goreng berlada yang saya masak pada 29 Januari lepas. Kalau masak lauk ni, sekejap je habis. Saya tumbuk cili guna lesung je. Tak berapa banyak pulak cili yang ada di rumah. Itu yang kering je tu. Tak berkuah.

Kemudian...


Cer teka, cer teka... yang ini mee goreng kah, atau spagetti?

Hehe.. ini sebenarnya spagetti, tapi saya rebus dulu hingga lembut, kemudian saya goreng macam saya goreng mee. Masak melayu style. Sedikit pedas, anak-anak cakap, tapi habis juga. Spagetti goreng ni, saya masak semasa 30 Januari lepas.


Bawah tomato dalam gambar di atas, ada telur goreng. Ini sarapan saya, pada hari yang sama. Sarapan, makan roti whole wheat bakar. Tengahari, baru saya makan spagetti goreng di atas.

Untuk makan malam, suami ajak lepak di Black Canyon. Lama tak pekena kopi. Sebenarnya, waktu ini, saya sudah 6 hari tak minum air manis. Tiba-tiba terminum kopi. Hahaha... saya memang tak kuat lawan kopi ni. 


Suami pesan Black Canyon Iced Coffee (kiri) sementara saya pesan hot cappuchino. Dia bagi dengan biskut huruf tu, dan segelas kecil jasmin tea tanpa gula.


Makan pula, kami pesan american club sandwich. Share makan dua orang. Dulu-dulu, sandwich dia penuh pinggan dan besar, kan. Tengoklah sandwich dia sekarang, sudah kecut. 🙈 Saya pun baru tahu, sebab dah lama tak datang Black Canyon. 

Cerita makan bulan Januari, saya baru nak up entri hari ni. Sekarang, saya masih minum kopi. Tapi kan, saya sudah boleh minum kopi tanpa gula. Walaupun rasa dia tak sesedap kopi biasa. Haha.. ye la, nak diet. Kenalah korban sikit rasa tu.  

Ok la ye. Sekian perkongsian buat kali ini. Jumpa lagi. 😊

Jogging dan sarapan Dungun

 Gigih lepas subuh, sarung kasut lari. Suami teman.


Pergi ke Pantai Teluk Lipat. Tak jauh pun, bersebelahan saja dari Pantai Sura yang saya lari semalam.

Cuaca gelap lagi. Matahari belum naik.


Dekat sini, ada laluan khas jogging. Asing dari jalanraya. Ada pokok rhu. Bila angin bertiup, bunyi pokok rhu. Wuuu... Wuu.. 😁


Bagusnya, saya suka. Angin sejuk bertiup. Sampai semput saya. Tak bawa pula pam inhaler. Nasib baik mak saya dah takde. Kalau mak saya ada, mesti dia kata, "Buffalo! Dah tua tapi tak reti jaga diri." 😁 Takpe. Bila wheezing, saya jalan. Bila sudah ok, saya lari.

Suami tinggal saya, dia pi cari nasi dagang, sementara saya terus jogging slow-slow.


Kenangan, ambil gambar dengan ♥️Dungun. Hari Jumaat, Terengganu cuti. Bila mula cerah, makin ramai orang datang beriadah.


Saya sambung lari sampai ke Pantai Sura. Cantik, kan. Langit mendung. Matahari malu-malu nak keluar. Lain laut sini, sebab Laut China Selatan. Angin kuat. Tempat saya di Lumut tu, Selat Melaka, angin pun tak ada bila lari waktu pagi.

Alhamdulillah. Suka saya, dapat berlarian di sini. Saya kira, kalau saya teruskan sampai hujung nun lepas Uitm, boleh dapat 10 kilometer. Tapi suami saya sudah beli nasi, dia ambil saya tepi jalan.


Dapatlah 7.3 kilometer, berlarian di Kuala Dungun yang cantik. 


Kami balik makan di hotel. Hotel ada sediakan sarapan dan minuman. Kami ambil bilik family, jadi boleh ambil 4 nasi lemak, dan kopi serta teh panas free flow, sementara stok masih ada. 


Saya makan nasi dagang yang suami beli. Dah makan baru ingat nak ambil gambar. Makan di meja kerusi batu yang disediakan di halaman depan hotel.


Anak sulung makan nasi lemak sambal ikan tongkol. Kat Terengganu je jumpa ni, tau. Kat Perak takde jual nasi lemak sambal ikan tongkol. Tengok la anak makan camane, letak sambal sikit-sikit. Jenis tak tahan pedas.


Ini nasi minyak, suami makan. 

Nasi lemak ikan tongkol tu, ada lagi 3, bawa bekal, makan dalam perjalanan balik Perak nanti.


Kucing hotel, datang nak manja waktu saya nak tanggal kasut lari. Cian dia kurus je. Tapi ekor kembang. Tadi masa makan, bagi dia ayam sikit, tu ikut sampai depan bilik.

Alhamdulillah. Hotel NDE pun selesa. Kali ketiga duduk hotel ni. Ada rain shower, puas mandi. Air panas pun ada. Bilik family pun besor. 

Saya taip ni, dalam kereta. Jalan dulu ya, bumi Terengganu. Kalau ada rezeki, kita jumpa lagi. 😊