Slowjog je, badan berat

 Sabtu, 6 Rejab 1444 Hijrah.

Apakah aktiviti yang selalunya dibuat sekembalinya kita dari kampung? 


Ye, basuh baju! 

10 markah pada yang jawap dengan betul. 😁 

Dua hari balik Perak, cuaca agak mendung, matahari berlindung di balik awan, angin sejuk. Dua hari juga pakaian tak kering di ampaian. Eloklah kita pergi keringkan di dobi layan diri. Pakaian kotor bertambah banyak.  

Aktiviti mendobi dilakukan lepas slowjogging sejauh 5.38 km pada hari Rabu lepas. 


Keesokannya pula, saya slowjog sejauh 6.06 km. 

Gambar di atas adalah semasa saya ambil bantuan awal sekolah pada hari Khamis, hari terakhir sekolah sebelum cuti raya cina yang lepas. Ada 2 orang anak di sekolah menengah, iaitu di tingkatan 4 dan tingkatan 2. Saya beratur di 2 tempat. Alhamdulillah, walaupun cuaca agak panas masa tu, semua berjalan lancar. Bawa dokumen yang diperlukan. Memang ramai ibubapa masa awal dibuka untuk pengambilan wang bantuan ni. Parking penuh, sesak jalanraya sampai ke trafik light. Udah macam rupa hari mengundi dulu pula. Orang nak bagi, kita ambik. Rezeki jangan ditolak.


Semalam pula, hari Jumaat, saya cuma sempat slowjog sejauh 1.60 km, bersama suami. Dia off kerja. Lepas tu, kami pergi stesen bas Manjung, sebab anak sulung dah sampai, dari Dungun. Naik bas pukul 10 malam dari Terengganu, sampai Manjung lebih kurang pukul 8 pagi. Yay! Anak ku balik! Rasa nak lompat bintang. Suka, suka! Dia tengah study break. Tak ada class. Minggu depan baru dia balik kampus, ada periksa. Dia angkut sekali barang-barang yang tak diperlukan di kolej. Tu yang kelihatan dalam gambar di atas, besornya beg dia. 

Lepas ambil anak sulung, pergi sarapan nasi berlauk, di warung Tok Gat. Lupa ambil gambar nasi. Sebab saya diet dah 2 hari tak jumpa nasi, makan wrap je, bila jumpa nasi, terus mencekik, lupa ambil gambar. Punah intermittent fasting, patutnya makan pukul 10 pagi. Kira cheat day la ye. Hahaha....

Hari ni sudah hari Sabtu. Kome pergi jalan mana? Saya tak ke mana. Suami kerja shif pagi. Pergi lari pun tak. Hari tak sekolah, saya ajak anak bongsu main badminton. 


Sebenarnya, petang semalam pun main badminton juga dengan anak bongsu, lepas ambil dia dari sekolah sesi petang. Pagi ni pula, sempat setengah jam. Hu... makin terer anak bongsu saya main. Laju je hantaran bola dari dia. Penat mama. Haha... hadoi... 

Gambar di atas, adalah bunga saya baru beli dari kedai nursery pokok bunga. Seru bercucuk tanam sudah kembali. Apa nama pokok kat atas? Nampak macam pokok melati. Tapi, kalau bunga melati, ada bau. Ni, takde. Hasil carian google saya, saya rasa, ni pokok jeliti Thailand, atau mawar Siam. Tak pasti betul ke tidak. Pakai beli je. Saya tengok comel, saya pun beli. Lagi pun, saya takde pokok yang bunga dia warna putih lagi, di rumah. Saya sudah cabut semua rumput-rumput dalam pasu. Sudah membaja pokok bunga ros di luar pagar. Nanti lah, sikit-sikit, nak tambah pokok bunga. Nak beli bunga warna purple, pink, kuning, semua warna-warna ceria. Tapi tembok rumah rustic, entah bila nak cat. 😁 

Ok la ye. Nanti saya tulis lagi. Jumpa lagi, selamat hujung minggu, pada semua pembaca sekalian... 😊

Makan dan ulang makan

 Khamis, 4 Rejab 1444 Hijrah.

Masa packing barang nak balik Tumpat, suami kata, bawalah kasut lari sekali. Mana tahu, boleh juga riadah di kampung. Ada tak, jogging kat kampung?


Nan ado...!! 😁

Hujan waktu pagi. Tak riadah langsung. Kerja dok makan nasi je. Sarapan nasi. Pukul 10 pagi, nasi. Omaigod! 🙈

Masa hari Ahad lepas, hari raya cina, suami ajak jalan cari barang sikit. Kami ada bawa balik tv lama di rumah Perak. Bawa sekali indoor antenna dan dekoder myTV. Tapi meja tv pula takde. 


Pergi ke Mydin Tunjong, jalan-jalan. Tahukah anda, Mydin Tunjong ini adalah cawangan Mydin hypermarket yang paling besar di Malaysia? Wow, patut lenguh pun jalan dalam tu. Sampai lebih 6 ribu langkah, jalan-jalan dalam mall saja. Kami beli meja ala jepun, tapi saiz kecil je. Jadi lah, nak letak tv.

Petang je, pergi kedai tomyam, makan malam.

Nasi goreng kampung

Bihun goreng

Kena keluar dari rumah, sambil makan malam, boleh order foodpanda untuk anak-anak bujang di rumah Perak. Tak boleh buat transaksi perbankan di rumah, line internet siput, kadang ada, kadang takde.

Kalau makan yang goreng-goreng seperti di atas, tak ada beza, macam makan kat Perak juga, dari segi perbandingan harga.

Pada pagi hari bertolak balik ke Perak, suami ajak sarapan di Kedai Kak Chik.


Nasi Kak Chik yang pernah masuk Majalah 3 tu. Yang nasi dia sampai ke KL, kat Perak pun ada. Angkut guna kapal terbang ada. Angkut naik bas ekspress pun ada. Kat sini, nasi berlauk dia lain sikit. Biasanya, contoh macam lauk ayam gulai, ayam tu duduk dalam periuk gulai tu. Tapi kat sini, asing. Bila kita cakap nak lauk apa, baru dia campurkan. Nasi dan lauk dia dibuat sebegitu supaya tahan lama. 


Saya ambil nasi berlauk ayam gulai. Harga RM4. Ok. Sedap. Sebenarnya, semua nasi berlauk yang kami makan semasa di kampung ni, sedap, pada saya. Sebab rempah dia pun tak sama, macam gulai yang kita masak sendiri di rumah. 

Masa on the way balik ke Perak, ada kedai kecil tepi jalan, jual putu halba. Adakah rasa dia sama macam putu perak? Musykil saya. Marilah kita berenti sat, beli.


Tak sama. Putu halba dibuat dari ubi kayu, manakala putu perak dibuat dari tepung beras dan tepung pulut. Makan dalam kereta, 4 biji, RM2. Sedap juga. Putu halba ni, memang banyak dijual di Kelantan, di tepi-tepi jalan, masa musim hujan.

Masa perjalanan balik pun, hujan juga. Semasa kami lalu Jeli, teringat kat Puan Ujie Othman, yang dia cerita makan laksa kat Gunung Reng. Suami cakap, nak singgah tak? Tak singgah, sebab masa tu, hujan lebat, dan awal lagi, pukul 11 pagi. Tak lapor. Kami teruskan perjalanan. Lain kali kita cuba ye, laksa sarang.

Gitulah rumusan cerita semasa balik kampung suami di Tumpat. Objektif tercapai, melawat orang tua, jumpa saudara-mara suami. Ada 2 orang kakak ipar akan pergi menunaikan umrah masa bulan puasa yang akan datang ni. Dapat jumpa dia orang. Alhamdulillah.

Tiada aktiviti larian direkodkan. Cuma makan sahaja. Saya timbang berat saya, BMI saya sudah 25.4, masuk kategori overweight. Erk...! Semalam saya sudah mula buat intermittent fasting semula, macam dulu. Hehe.. takpe. Bukan selalu balik Kelantan. Hidup untuk dinikmati. 

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 😊

Balik kampung

 Rabu, 3 Rejab 1444 Hijrah.

Pada hari Sabtu lepas, saya balik Tumpat, kampung suami. Saya berdua dengan suami je. Anak-anak tak ikut. 

Kami bertolak pukul 10 pagi. Beli makanan tengahari siap-siap, untuk anak-anak bujang di rumah.

Cuaca mendung kat Perak.

Dari Lumut, kami masuk lebuhraya WCE, keluar ikut Beruas, lalu Manong, ke Kuala Kangsor, dan masuk ke Lebuhraya Pantai Timur Gerik - Jeli.

Bila masuk Kelantan je, hujan sekejap turun, sekejap berhenti.

Pukul 1 tengahari lepas perhentian titiwangsa

Trafik ok. Takdelah sesak. Ada ketika, kereta berhenti. Ada kemalangan, tapi masih boleh berjalan. Ada ketika, perlahan je pergerakan kereta, sebab kabus tebal sangat, atas bukit... dan tema the Twilight Zone pun berkumandang dalam kepala. Waktu siang ni. Camana orang yang balik malam tu? Boleh ke nampak jalan? Saya tak henti-henti baca ayat Qursi. Suami suruh saya tidor. Tapi co-pilot mana boleh tidor. Kena pantau jalan lubang, kena inform kot pilot tak perasan. 

Lagi satu kenapa saya tak tidor, ikut jalan yang direkomen oleh google Maps. Lebih dekat, daripada ikut jalan Rantau Panjang. Memang sentiasa ikut jalan berlainan, setiap kali balik kampung. Masuk kampung orang, sebab ada jalan biasa dilalui, ditutup.

Alhamdulillah, pukul 5 petang lebih kurang, sampai kampung suami. Sebelum balik rumah, isi perut dulu, siap-siap. Singgahlah mana-mana kedai makan yang buka, tepi jalan. Mak mertua saya dah uzur, dah tak masak di rumah. Kami bungkus juga makanan untuk mek (mak suami saya) dan kakak ipor.

Di samping itu, pesan juga foodpanda, makan malam untuk anak-anak di rumah. Ye, deme bukan jenis keluor rumah. Dok bertapa. Kalau saya dulu, darjah 6, boleh juga masak nasi, goreng telor, makan dengan kicap. Tapi deme ni, tak reti masak. Puas ajak masuk dapor, huuu... 

Kalau tak sedap, bagitau la kat tokei kedai. Kalau sedap, bagitau kat kawan-kawan, ye.

Nasib baik dah order foodpanda siap-siap. Bila sampai rumah suami, tiada line. E terus. Tu pasal anak-anak kurang suka ikut balik kampung suami. Dulu pakai Maxis, langsung tiada. Sekarang pakai Digi, lebih kurang je. Pagi, ada, petang atau malam, memang hilang liputan segala. Boleh mati kutu la, budak-budak sekarang yang guna internet tak henti-henti. 

Mungkin kena tukor Celcom kot. Tapi saya suka Digi. Kat Perak, laju. Cuma balik Kelantan, hilang. Sama je, dulu dan sekarang. Tiada apa-apa perubahan. Tiada kemajuan dari segi pihak penyedia perkhidmatan internet ni, kot nak pasang pemancar baru ke, yilek. 

Alhamdulillah, selamat sampai kampung suami di Tumpat. Nanti saya sambung cerita ye. 

Jumpa lagi. 😊

Bagi kucing makan

 Rabu, 25 Jamadil Akhir 1444 Hijrah.

Minggu ni, minggu yang sibuk, kan. Duit bantuan keluarga masuk. Pastu, kena pi sekolah, ambil bantuan awal sekolah pula. Suami saya pun sibuk, orang dah mula cuti raya cina, dia kena kerja overtime. Saya pun riadah solo, lepas hantar anak kedua ke sekolah.

Sempat berlarian sejauh 8.25 km pagi tadi.

Gambar kucing jalanan yang ada di Taman Awam Teluk Batik. Bila saya bawa keluar bekas makanan kucing dari belakang boot kereta, kucing-kucing dari ceruk mana, celah pokok, belakang tembok, semua keluar datang kepada saya. Hehe... saya dah lama nak bawa makanan kucing, tapi asyik terlupa. Dua hari lepas ada pergi shopping, saya beli makanan kucing lebih, supaya boleh standby dalam kereta, sebab biasa lepas lari je, ada je kucing-kucing datang tegur kita.

Si Tompok

Entah. Saya pun tak tahu mana datang kucing-kucing ni. Kot ye pun nak buang kucing, pergilah buang kat pasar ke, senang juga la kucing-kucing ni cari makan. Ni, orang buang kat sini. Ada hari, saya tengok, ada pencinta haiwan datang bagi kucing makan. 

Kena tengok kiri kanan, takut kera datang. Nasib tak ada. Itu pun, burung gagak datang, curi makanan kucing. 

Budak gemuk comei

Siap pakai ribbon ni. Entah-entah orang kedai makan tepi Teluk Batik tu bela kot.

Lepas balik rumah, saya masak ayam goreng sambal.


Alhamdulillah, atas segala rezeki dan nikmat Allah bagi.

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 😊

Motivasi diri sendiri

 Selasa, 24 Jamadil Akhir 1444 Hijrah.

Saya punya 10-ribu-langkah-sehari-streak berakhir pada hari Sabtu lepas. Saya berjaya buat setakat 11 hari. 

*streak: lari setiap hari. Tiada off day.

Hidup kita ni, kita kena buat pilihan setiap hari. Kadang ada urusan yang tak dijangka. Kadang ada perkara yang kita kena lebih utamakan, daripada pergi lari.

Iman juga turun naik. Untuk konsisten dalam sesuatu perkara, perlu banyak usaha dan pengorbanan. Saya suka baca cerita motivasi bila mood bersenam ke laut dalam. Semalam, saya ada terbaca satu kisah dari Wales, di UK, tentang seorang pelari wanita ni, dia buat half marathon setiap hari sebelum pergi kerja.

Nak tau tak, streak dia setakat berita tu ditulis pada 15 Januari 2023, sudah berapa hari? 260 hari! Ish, ish, ish... sudah 260 hari, dia berlari sejauh 21 km pada setiap hari, tanpa cuti. Kegilaan apakah ini? 

Dia kerja pulak tu. Jadi, dia bangun sekitar pukul 4 pagi, setiap hari, untuk berlari. 

Dia biasanya habis lari, pukul 6.30 pagi. Jadi, dia laju la ye. Lebih kurang 2 jam setengah dia buat half marathon. Saya? 3 jam! Hehe...

Dulu, wanita dari UK ni cerita, dia overweight dan ada masalah kemurungan. Dia kata, lari adalah terapi pada dia. Sekarang, dia sedang cuba capai target meneruskan half-marathon-streak dia selama 333 hari. Jika anda nak baca lebih lanjut tentang pelari wanita ni, boleh klik sini.

Ish, ish, hebat sungguh la perempuan ni. Itu la bila kita suka sesuatu tu kan, benda tu buat kita rasa happy, pada orang lain, nampak macam satu benda yang amat berat untuk dibuat, tapi bagi dia, senang je, macam air sungai yang mengalir bebas tanpa halangan... 

Sebenarnya, benda ni bukan saja apply pada larian. Pada kerja kita juga. Jika kita suka apa yang kita buat, kita takde mengeluh ke, komplen itu, komplen ini. Kita boleh buat kerja kita sambil tersenyum, pagi hingga ke petang, setiap hari, tak rasa letih pun. 

Jika kita fikir benda tu susah, susahlah ia. Kalau fikir senang, maka senang lah ia. Benda yang kita tak boleh kawal, kita terima hakikat atau redha dengan ujian, dan kita lepaskan. Percaya, yang sesungguhnya, mungkin benda tu nampak tak elok, tapi Allah sudah atur yang paling baik pada kita, buat masa ini. 

Larian solo pagi tadi, 8.34 km.

Kalau ada benda buat kita marah atau tak puas hati, terutamanya benda yang kita tak boleh kawal, saya dapati, baca Quran sangat membantu. Sejuk sikit rasa hati. Baca yassin. Ubat tu. Ubat mental dan fizikal. 

Semoga segala urusan anda semua hari ini dipermudahkan. 

Jaga diri, pilihlah untuk gembira dan bersemangat! U got this! U can do this, Insya-Allah... 

Jumpa lagi, ye. 😊

Restoran Bawah Pokok

 Isnin, 23 Jamadil Akhir 1444 Hijrah.

kalau pergi padang, saya kena brisk walk je. Kenapa? Sebab bila saya lari di padang, saya jadi lupa diri. 

Saya tekan gear 4 pagi tadi. Habis heart rate masuk zon merah. 


Pertama kali sejak baik demam, larian dalam pace 8. Tak sengaja. Rasa macam kuda bila jumpa padang. Kaki tu, nak pergi je. Ish, biasa saya rilek lek je, pace 9, 10, 11, 12, 13. 

Lepas tu, rasa extra letih, sebab tekan gear 4. 😅 7 kilometer dalam masa kurang 1 jam? Laju la tu, bagi saya, orang tua. Kena sampuk hantu kuda. Tak boleh buat macam ni, hari-hari. Mapuh!

Tengok la cuaca hari ni. Cerah. Langit biru, takde awan pun. 

Lepas riadah, saya dah suami pergi sarapan di Restoran Bawah Pokok. Dah lama kami tak ke sini. Last sekali, seingat saya, semasa zaman masih kena scan MySejahtera masa masuk kedai. Hehe.


Besar, tau, pokok ni. Kalau kita peluk, memang tak cukup tangan kita. Lantai restoran ni pun banyak merekah, sebab akar pokok ni, ada tempat timbul. Bumbung kedai dia melalui pokok besar.


Besarnya! Tak tau pulak saya berapa usia pokok ni. Banyak pokok menumpang, macam pokok dalam hutan.

Menu Restoran Bawah Pokok ni, ada makanan goreng-goreng, roti canai dan seangkatan dengannya, serta nasi lemak pelbagai lauk. 


Saya pesan nasi goreng cina dan air cappuchino panas. Suami pesan nasi goreng kampung dengan telor dadar dan air lemon ais.

Rindu plak, dah lama tak makan nasi goreng cina. Boleh tahan. Alhamdulillah. Kenyang.

Sekian dulu untuk hari ni. Jumpa lagi, ye. 😊

Lokasi Restoran Bawah Pokok: Jalan Tazali, Sitiawan, Perak.

Sejadah

 Ahad, 22 Jamadil Akhir 1444 Hijrah.

Pagi tadi, saya main badminton dengan anak bongsu. Hari anak-anak sekolah, saya boleh berlari. Tapi bila Sabtu dan Ahad, riadah di rumah saja. Dia susah sikit nak ikut saya jogging. Tapi, main badminton di rumah pun dah ok. Peluh lenjun juga.


Saya beli bulu tangkis baru. Jenis nylon. Sebelum ni, kami guna bulu tangkis yang bulu tu, dah tak best rasanya. Main lasak, sekejap bulu tangkis naik ke bumbung, sekejap termasuk dalam longkang depan rumah, bila kita pukul bulu tangkis tu, dia terbang tak lurus dah, menyerong ke tepi. Ingat beli ni, boleh kot tahan lebih lama. 


Macam ni rupanya, bulu tangkis plastik. Dah test guna. Sedap. Rasa macam lebih berat dari bulu tangkis bulu tu.

Dalam tengahari macam tu, bapa saya datang ke rumah, dia dan makcik (ibu tiri saya) dari Pangkor. Sempat lagi tu. Bapa dan makcik baru balik menunaikan umrah di Mekah. Masa hujung cuti sekolah bulan 12 hari tu, yang saya cadang nak pergi KL tapi tak jadi tu, antaranya adalah untuk hantar bapa saya ke KLIA, tapi itu la kan, tak sihat waktu tu, terus batal semua rancangan.

Selain satu plastik berisi pelbagai coklat dari Pangkor untuk cucu-cucu kat rumah ni, bapa saya juga hadiahkan sehelai sejadah dari Mekah. Orang kata, coklat kat Pangkor murah, udah macam Langkawi. Orang la kata, bukan saya, tau. Sebab saya pun belum pergi lagi, dah berapa tahun tak pergi, walaupun dok lalu jeti ke Pangkor, banyak kali.


Eh, ada nama saya la, kat bucu kanan atas sejadah. Wah.... terharu saya.


Sedikit close-up bahagian nama pada sejadah. Alhamdulillah, syukur. Sejadah Mekah ni, gebu-gebu, ye. 

Bapa saya dan makcik nak bertolak balik Rawang. Alhamdulillah, bapa saya masih kuat memandu, walaupun umur dia dah 75 tahun. Kita pula yang risau pasal dia. Sebab baru balik Mekah, nyongket ke Pangkor pula, cuti. Ish ish... 

Baiklah. Tu je buat kali ni. Jumpa lagi, ye. 😊

Main cak cak

 Jumaat, 20 Jamadil Akhir 1444 Hijrah.

Pagi tadi, saya jogging sorang. Ada 2 benda saya nak cerita, berlaku masa saya tengah jogging.

Saya tak bawa henpon. Sejak saya hampir berlanggar dengan seorang runner masa berjogging, sebab telinga sumbat earphone dengar Spotify, sejak tu saya tak bawa apa-apa. Saya rasa, kalau saya tak dengar lagu dengan volume yang kuat, mesti saya boleh dengar bunyi tapak kaki orang. Lagi pun, saya rasa macam nak kembali ke asal. Memang saya suka lari dapat ikut beat lagu. Itu, saya tak nafikan. Muzik membantu kita. Tapi saya asalnya, memang seorang yang suka lari tak bawa apa-apa. Kalau bawa henpon, kena bawa pouch dan earphone. Lagi kurang benda bawa, lagi bagus, saya rasa.

Ok la. Pagi tadi, masa mula jogging lepas buat aktiviti memanaskan badan, saya baru je lalu tak jauh dari tempat saya parking, saya dengar bunyi daun-daun kering. Saya toleh la tengok ke arah bunyi daun tu. Saya tengok, sambil bercakap dalam hati,"Kenapa cacing tu besor sangat? Nak kata ulor, kecik. Nak kata cacing, besor pulak. Eh, anak ulor rupanya!"


Saya lukis la ye. Lebih kurang, rupa anak ulor tu. Laju dia bergerak, dengan badan dia bentuk S tu, menyusuri laluan pejalan kaki. 

Hehe.. pagi-pagi, macam tu la. Enjin lama, lambat panas. Baik dari segi berlari, mahu pun dari segi otak memproses apa yang dilihat. Huuu....

Benda kedua... lawak sikit.

Saya lupa kilometer ke berapa, saya nampak seekor kera. Kera tau. Bukan beruk. Apa beza kera dan beruk? Beruk ekor kontot. Kera ekor panjang. Kera tu sekor je, dok atas jalanraya, macam memikio nak pergi ke mana. Selalunya, kera-kera ni bergerak secara berkumpulan. Tapi, ni, sekor je. Dia nampak saya, lepas tu muka dia macam musykil, macam memikio,"Menatang apa yang bergerak laju ke arah aku ni?" 

Kera tu macam terkejut, dia lari masuk ke longkang. Tapi boleh pulak dia mengintai saya dari dalam longkang. Muka dia banyak bulu warna putih, macam kera dah tua, dah beruban. Hehe... Macam dalam gambor di bawah...

Dia tengok saya, lepas tu, dia sembunyi balik tanah tepi longkang tu yang tinggi. Jap lagi, dia tengok saya lagi, dengan mukanya yang musykil. Eh, main cak cak pulak dengan aku.

Kredit foto: Ummu Mu'min

Saya perhati je kera ni, sambil berlari. Semasa saya melepasi kedudukan kera ni, saya cakap kat kera tu,"Comei-nya awak, main cak cak ngan kita" 

Berdesup kera tu lari, masuk dalam hutan. Hehe.. kelakor tau, muka kera tu. Muka terkejut campur musykil, macam tak pernah tengok manusia.

Sebenarnya, ini bukan pertama kali saya jumpa binatang liar masa berjogging. Saya pernah lari di kawasan kelapa sawit, juga pernah trail running naik bukit. Ular yang tinggal dalam hutan ni, kalau boleh, memang dia tak nak jumpa manusia.Bila dia rasa tapak kaki manusia di bumi yang dia pijak, sepantas kilat dia akan lari jauh dari manusia. Ni bukan saya cakap, tapi ada sorang brader yang selalu hiking cakap. Binatang liar sifat semulajadi dia, memang tak mau dekat manusia. Nak bagi kita tengok dia pun, dia tak mau.


Pagi tadi punya larian, adalah sejauh 8.55 km. Alhamdulillah. Sihat sejahtera dan Tuhan beri nikmat berlari. 

Gambar di atas, bukan hasil tangan saya, tapi hasil tangan anak bongsu, untuk subjek Pendidikan Seni Visual. Sulaman riben tu. Kome pernah buat? Saya pun tak pernah buat. Hehe.. Patut dia minta benang dan riben dari mama, tak lama dulu. 

Balik jogging, saya tak lompat tali. Hari Jumaat, masa agak singkat, sebab anak yang sekolah sesi pagi, keluar sekolah pukul 12. Nak sediakan makan tengahari lagi, nak lipat kain lagi. Kalau lah cuti hari Jumaat, best, kan. Saya pernah sekolah di Kedah dulu, merasalah cuti hari Jumaat dan Sabtu. Boleh rileks. Bapa saya pun tak perlu kelam kabut solat jumaat lagi, nak masuk pejabat semula. Jumaat kan hari kebesaran. 

Ok la, tu je. Teringat kera main cak-cak pagi tadi. Harap esok dia tak bawa geng. 

Jumpa lagi, ye. 😊

Lari, makan, lompat

 Khamis, 19 Jamadil Akhir 1444 Hijrah.

Saya lupa nak share aktiviti riadah semalam.


Semalam brisk walk campur slowjogging sikit-sikit, sampai 5.1 km. 

Gambar buah nyoq, suami bawa balik dari ofis dia. Kawasan pejabat suami ada tanah lapang dan ada pokok-pokok juga. Dulu, pernah suami bawa balik buah durian dari ofis dia. Sekarang, dia cerita, buah durian banyak tak menjadi, kena tebuk tupai. Buah ciku pun dia pernah bawa balik juga. Gitu, tapi bukan selalu. Beri peluang kepada semua kakitangan untuk bawa balik bergilir-gilir, jika ada buah.

Lepas riadah semalam bersama suami, pergi sarapan pula, di Kluang Kopi.


Saya pesan laksa johor. Tak jemu-jemu makan laksa johor kat sini. Mestilah pesan benda yang kita malas nak masak, bila makan di luar. Hehe.


Suami pulak pesan nasi ambeng. Biasanya nasi ambeng punya lauk, ayam masak kicap, tapi kat sini, ayam masak merah. Sedap juga.


Saya pesan white coffee panas, dan suami pula teh o limau panas.

Memang tak boleh nak tinggal kopi. Kalau tak pekena pagi-pagi tu, rasa tak lengkap. Tapi saya akan cuba minum air masak banyak-banyak. 

Lepas sarapan, tawaf pekan Lumut seperti biasa. Sama je, mana-mana tempat bermastautin, mesti nak tawaf sesuatu tempat sebelum balik rumah. Dulu masa duduk KL long time ago, suka tawaf Taman Tasik Titiwangsa. Masa bujang, tawaf naik motor. Dah kawin, tawaf naik kereta, bawa anak-anak. 


Lepas sampai rumah, semalam cuaca mendung. Udara pun sejuk. Jadi, saya lompat tali la sekejap, hingga 1,100 lompatan, selama 25 minit. Tak buat secara terus, rehat setiap 100 lompatan. Rehat tu, sama ada tarik nafas dalam-dalam, atau buat regangan atau jalan sekejap di kawasan garaj rumah.

Itu cerita semalam. 

Hari ni pula, suami kerja shif pagi. Jadi, saya riadah solo.


Pagi tadi, sempat berlarian sejauh 7.18 km. Cuaca baik. Nampak langit membiru. 


Lepas balik rumah, saya up sikit jumlah lompat tali banding semalam. Hari ni saya buat 1,200 lompatan dengan masa 27 minit.

Lepas mandi dan sarapan, saya masuk dapur, masak lauk untuk hari ni.


Masak sambal ikan kembung. Ikan kembung tu, saya beli yang sudah rebus. Saya beli di Pasar Sabtu Bota Kanan, ada 6 ekor ikan, harga RM10. 

Kome masak apa hari ni? Sibuk ke?

Baiklah, jumpa lagi, ye. 😊

Seni menampal seluar

 Rabu, 18 Jamadil Akhir 1444 Hijrah.

Geram juga la dengan orang tua tu. Seluar ada banyak, tapi dok pakai seluar yang tu juga. Koyak, suruh kita tampal. Dah kali kedua dah ni. Bukannya tak ada seluar lain, tapi seluar kesukaan dia. Sama je dengan anak-anak pun. Selalu perasan, kita baru lipat, letak dalam almari. Sat lagi, tengok deme pakai seluar baru basuh tu. Padahal belambak lagi seluar lain. Adoi.

Baiklah suamiku tersayang, biar saya tampalkan seluar peberet abe ku ini.

Jahit zig zag kain untuk menampal lubang di bahagian dalam seluar.

Jika koyakan pada seluar tu seperti garis lurus sahaja, mudah kita nak jahit, cuma cantum dan jahit. Macamana kalau koyakan pada seluar tu seperti berlubang? Penyelesaiannya, ambil sekeping fabrik yang ada, dan jahit zig zag pada kain tu atas tempat yang berlubang pada seluar. Jahit lurus kiri ke kanan, atas ke bawah, ikut suka hati. Asalkan menutup koyakan itu.

Kata kat suami, saya pun sama juga sebenarnya. Saya ada sehelai seluar riadah Uniqlo, yang koyak di kedua-dua bahagian lutut. Tengah syok-syok lari, auw... jatuh tersadung permukaan jalan tar yang tak rata, kau! Berdarah kepala lutut. Seluar pun koyak. Jika anda biasa dengan pakaian Uniqlo, anda akan tahu betapa selesanya pakaian Uniqlo ni. Sayang, wei... dah la nak beli, kena pergi Ipoh tu... hampir 2 jam nak drive. Very old fashion punya orang, kena test kat kedai, mana boleh beli online. Harga pulak bukan murah. Jadi, kita tampal lah ye.

Bahagian luar seluar, kaki kanan.

Inilah seluar riadah Uniqlo yang saya telah tampal. Tak perasan pun. Sebab guna benang lebih kurang sama warna dengan seluar.

Bahagian luar seluar, kaki kiri.

Yang ni lubang dia lebih besar. Fabrik tampal juga turut kelihatan. Saya guna saja kain perca yang ada di rumah. Kalau tak nak nampak ketara, gunalah kain warna yang sama dengan seluar yang kita nak jahit tu.

Tujuan dia, supaya menutup lubang pada seluar, tidak nampak kulit kita. Settle. Tak kan nak pakai seluar koyak di lutut, dah jadi minah rock dah, yeh yehh...

Saya ingin kongsikan di sini, beberapa contoh tampal seluar yang koyak, sebagai idea jika ada seluar koyak lagi lain kali.

Photo credit: Apartment Therapy

Dia guna kain kotak-kotak tampal lubang seluar. Dia biar je benang tepi-tepi tu berjurai gitu, tak gunting buang pun. 

Jika anda rasa, ooo, saya tak ada mesin jahit, susah nak jahit macam ni. Sebenarnya, jahit tangan pun boleh. Macam gambar berikutnya...

Photo credit: Apartment Therapy

Maknanya, fabrik tampal tu, besar. Dia jahit tangan macam jelujur kasar tu, di bahagian atas dan bawah lubang. Gitu... cantik juga, kan. Selain dapat tampal koyak, nampak trendy seluar dia.

Jika punya kerajinan lebih, boleh tambah sulaman bunga ke. 

Photo credit: PA Country Crafts

Nampak macam benang sulam (cross stitch), dia guna dalam gambar di atas. Comel, kan.

Photo credit: PA Country Crafts

Yang ini pula, dia guna cara sama macam saya, cuma jahit zig zag atas fabrik tampal pada seluar tu. 

Atau pun, jika kita malas nak menjahit, boleh tampal je design atas seluar koyak tu. Design yang kita hanya perlu seterika untuk lekatkan ni, saya pernah nampak dijual di Daiso. Iron-on patches nama dia, macam-macam design ada dijual di Daiso. Contoh seperti gambar di bawah.

Photo credit: PA Country Crafts

Malu ke, kalau pakai pakaian yang ditampal? Ada orang mesti berpendapat, "Kesian, macam orang miskin je, tak mampu beli seluar baru.." 

Saya sendiri tak malu untuk memakai pakaian yang ditampal. Kita dah tutup dah lubang pada pakaian kita, bukan nampak aurat pun. Peduli apa kata orang. Bukannya kita kacau orang pun.

Jadi, lain kali, jika anda punya seluar koyak, daripada dibuang, mungkin anda boleh jadikan beberapa contoh dalam entri ni, sebagai idea untuk tampal seluar dan bukan tu saja, memberi nafas baru pada seluar anda... 😁

Baiklah, jumpa lagi, ye.

Kek cerobong asap

 Selasa, 17 Jamadil Akhir 1444 Hijrah.

Malam baru dapat peluang update blog. Sibuk sikit hari ni. 

Pagi tadi, saya jogging sorang. 

Gumuknya budak ni. Geram tengok dari belakang. Termenung dia memikio masa depan.

Larian pagi tadi adalah sejauh 6.3 km. Tak sampai 1 jam dah balik. 

Balik rumah, lepas mandi, saya masak mi goreng.


Tarikh luput roti gardenia hari ni. Jadi, saya buat sandwich telor rebus.


Hari ni, tak masak nasi. 

Ada kucing jiran buat onar atas siling rumah. Bau dalam bilik anak bongsu. Cian dia. Dia sedar waktu kejadian, dia kata, dia dengar bunyi kucing lebih kurang pukul 11 malam. 

Saya dan suami keluar, lepas zohor, cari pewangi bilik. Pergi Aeon. 

Ada lalu satu kedai, Rollney. Saya sebenarnya tak tahu kedai apa tu. Nampak macam kedai aiskrim, tapi boleh nampak pekerja dia menguli dan gulung-gulung tepung. Selalunya, ramai orang. Tapi tadi tak de orang, suami ajak cuba.

😋😋😋

Pesan Royal Chocolate Cone, harga RM18.90.

Ok, dia aiskrim. Tapi kon dia adalah sejenis kek. Rangup di luar, doh yang ringan dan gebu di dalam. Yang kami pesan, rupa di sebalik cawan dia adalah seperti gambar di bawah, kanan sekali.


Chimney cake yang berlubang di tengah-tengah, disi dengan kepingan cornflakes dan aiskrim coklat. Rasa aiskrim dia sangat kaya, macam makan aiskrim Magnum. Patut kat kedai dia, ada tempat basuh tangan. Sebab comot makan aiskrim ni, bila dah koyakkan cawan dia tu. Rasa jakun pun ada. Rasa romantik pun ada, sebab satu aiskrim, share 2 orang. 🙈

Selain aiskrim, dia ada juga minuman frappe dan Kurtos (pencuci mulut dari Hungary) yang inti dia sosej atau ayam. 


Sumber info: Rollney

Nasib baik beli 1 je. Kenyang makan. 

#apaitudiet 

#esokberapaKMakukenalari

Masa tengok menu dia kan, ada aiskrim gold, harga lebih RM50. Ish ish... camanalah makan emas ye. Apa rasa dia.

Ok la. Sekian dulu untuk kali ini. Jumpa lagi, ye.