Larian 3 hari

 30 Zulkaedah 1443 Hijrah.

Dah pun masuk hari terakhir di bulan Jun. Cepat betul masa tu. Kalaulah boleh stop sekejap masa tu. Nak termenung kejap. Nak pikio beberapa benda jap. 


Ini adalah larian pada 28 Jun, iaitu hari Selasa lepas. Suami off kerja. Saya ajak dia beriadah. Kalau tak ajak, huh... membina lemaks je. Jom keluor peluh sikit. Kami pi jogging kat padang astaka Sitiawan. Jauh sikit dari rumah. Dah lama saya tak ke sini. Kalau anda perasan, saya biasanya pace 9, pace 10, bila jogging. Tapi hari tu, saya boleh sampai pace 8. Kaki saya suka lari kat padang, banding atas jalanraya. Tapi penat lari di padang yang tak rata permukaannya. Macam trail running pulak. Sempuit den, nak buat 10 km. Cuaca baik, nak hujan, tapi tak hujan. Suami saya buat 6 km. Lari asing-asing. 😁

Keesokan harinya, iaitu semalam, suami saya off kerja juga. Pun saya ajak dia beriadah. Kali ni, pi jogging kat esplanade Lumut pulak.


Semalam dah semputs, heart rate dah tinggi. Ditambah pula dengan angin malas, takde la jogging sangat pun. Berjalan-jalan sahaja, tengok laut. Tak cukup 10 ribu langkah pun. Pi cari kedai makan la, perut rasa lapor sesangat. Bukan hari-hari kita rajin. Semalam adalah hari malas saya, encik. Buat 4 km sahaja.

Gambor semalam, kat Esplande Lumut.

Hari ni, suami sudah kembali bekerja. Saya kembali jogging dengan kawan-kawan.


Pagi tadi, jogging sampai 11.35 km. 

Gambar menunjukkan pokok sakura malaysia kat rumah. Daun semua dah gugur. Tinggal bunga je. Memang suami trim pokok ni, tak bagi tinggi sangat, nanti kacau wayar telefon kat atas tu. Ada ketika, daun pokok ni lebat, hijau dan merimbun, bila duduk kat kerusi simen tu, sejuk je. Sekarang musim kering, habis daun-daun gugur. 

Semalam, kereta suami rosak dalam perjalanan balik rumah dari tempat kerja. Tadi pagi saya ikut dia, pergi bawa kereta, ambik mekanik, pergi lokasi kereta rosak. Bawa ke bengkel. Sementara tunggu repair, suami ajak lepak ngeteh kat kedai makan berhampiran dengan bengkel.


Order kuetiau sup seperti dalam gambor. Saya suka kuetiau sup kat kedai ni. Lama dah tak singgah sini. Tuan kedai baru buka kedai semula, setelah sekian lama. Pagi dah sarapan bijirin cornflakes dengan susu analene. Pukul 11, makan kuetiau sup pulak. Huuu... nafsu makan bergelora. Astaghfirullahalazim.

Ok la ye. Jumpa lagi.

Semoga segala urusan anda pada hari ini dipermudahkan. 

Labah-labah di udara

 29 Zulkaedah 1443 Hijrah.

Kadang-kadang kan, bila tengah jogging, ada rasa terkena sarang labah-labah kat muka. Kalau hiking dalam hutan, biasa juga, lagi kalau pergi pagi-pagi, orang belum ada. Memang logik, dalam hutan, banyak pokok, banyak unggas dan serangga. Tapi kat tempat jogging pun boleh terkena juga. Macam pelik tau, bila muka diselaputi sarang labah-labah, sebab cuba anda bayangkan ye, di jalan 2 hala, jadi agak besar juga ye, bukan lorong kecil, tepi jalan, ada bahu jalan, jauh sikit lebih kurang 1-2 meter, baru ada pokok. Itu pun sebelah je. Lagi sebelah jalan, tak ada pokok. 

Walaupun selalu terkena sarang labah-labah, tapi tak pernah jumpa labah-labahnya. Sampai la pagi tadi, baru saya ternampak. Itu pun, kat rumah. Bukan kat tempat jogging. 

Ada labah-labah terapung di udara. Saya tak nampak sarangnya. Dia bergantung pada satu line je la. 

Tu, dot kecik tu, labah-labah.

Pokok jauh tau. Yang ada di kiri kanan, cuma wayar fiber tu, dan wayar telefon lama. Kalau kita tak perati, memang kita tak kan perasan si kecik spider tu.


Dia bergerak la, ditiup angin. Kejap ke atas, kejap ke bawah. Bila saya lalu betul-betul bawah dia, takde pula terkena sarang dia. Kat mana dia bergantung tu, maksud saya, sarang dia. Dia shoot kat mana, kita pun tak nampak.


Macam spiderman tu kan, dia boleh shoot sarang dia pergi jauh.


Tapi itu dalam movie. Ini, real punya labah-labah. Jauh tu, dia boleh lekat sarang dia. Hebat kan, ciptaan Allah. Subhanallah.

Ok la. Tu je nak cerita hari ni. Dulu masa pkp, jadi couch potato, tak bergerak, memang hidup macam diselaputi sarang labah-labah. Tapi, frasa tu dah tak boleh pakai, at least kat tempat saya ni. Sebab bila kita aktif pun, kita boleh juga diselaputi sarang labah-labah. Sekali jogging, terkena kat muka. 😁

Jumpa lagi, ye.

Makan, lari dan makan lagi...

 27 Zulkaedah 1443 Hijrah.

2 hari tak update blog. Sabtu dan Ahad, habiskan masa dengan keluarga, tak on computer. 😊


Gambar menunjukkan grill salmon, yang saya makan untuk makan malam, petang Jumaat lepas. Makan kat foodcourt Lotus. Harga, RM12.90. Alhamdulillah.


Pada pagi Sabtu, saya telah berlari sejauh 10.33 km. 

Gambar menunjukkan anak kucing comel. Comei tak, comei tak? Bukan kucing saya. Anak share gambar anak kucing ni.

Larian pagi Ahad pula adalah seperti berikut.


Larian Ahad adalah sejauh 10.27 km. 

Gambar menunjukkan sarapan saya pada hari Ahad lepas, iaitu wantan mee kicap bersama sup fishball dan white coffee panas. Alhamdulillah.

Petang pula, bawa komputer anak, pergi kedai, untuk upgrade. Pasang graphic card baru dan tambah space. Space komputer dia dah sampai 1 Terabyte. Anak kedua ni, dia tak makan kat sekolah. Satu hari, duit belanja RM5, dia simpan, bila dah cukup, dia cakap dia nak upgrade komputer dia. Termasuk duit raya dia, dia simpan. Banyak betul duit dia. Patut saya minta nak masuk dalam ASB, dia cakap, tak mau. Rupanya, dah lama dia simpan hajat. Ok ler. Sementara tunggu komputer siap, pergi lepak kat Secret Recipe.


Gambar menunjukkan strawberry milk shake yang saya minum. Belakang, air tembikai, suami minum. Gambar makan? Lupa nak ambik. Bila makanan sampai je, seranggggg..... tak ingat apa dah. 😂

Hari ni, hari Isnin, saya pergi berlari juga.


Larian Isnin adalah sejauh 12.61 km.

Gambar menunjukkan ikan keli bercili, yang saya masak hari ni. 

Saya pergi pasar lepas habis jogging pagi tadi. Saya beli ikan keli, ikan bawal, ayam seekor, sayur dan ikan bilis. Ayam seekor harga RM18.90. Ikan keli satu kilo harga RM8, ada 5-6 ekor. Potong 2 waktu nak masak. Ada anak suka makan ekor, tak suka bahagian kepala. 

Bagaimana hari minggu anda? Pergi jalan mana? Lupa pulak beli minyak masak. Orang dok pakat beli, nanti dah nak naik harga. 

Ok la. Jumpa lagi, ye.

Terkonang semasa dulu...

 24 Zulkaedah 1443 Hijrah.

Hujan lagi pagi tadi. Saya tetap pakai macam nak pergi jogging. Memang saya kena keluar rumah pun, untuk hantar anak kedua ke sekolah. Kadang pukul 7, hujan pun berenti. Menaruh harapan hujan berhenti supaya dapat jogging. Sudah hantar anak, saya pergi ke tempat jogging. Masih hujan, tapi hujan halus tu. Saya jogging je. Tengok whatsapp, ada kawan tanya, ada sapa turun ke. Bila saya cakap saya dah ada di tempat jogging, dia pun turun sama. 


Masa mula lari, hujan halus. Sekali makin lama, makin lebat. Tapi on and off. Orang gila lari, tengah-tengah hujan pun berlari. Bila hujan makin lebat, kami berhenti, balik rumah. Takut pula, sebab ada dengar bunyi guruh. Sempat la 8.62 km jogging pagi tadi. 

Gambar di atas adalah gambar masa lalu highway WCE, waktu petang. Cantiknya, bagi saya. Saya suka tengok sunset. Saya ada satu memori, bila waktu petang, rasa macam sayu, teringat dulu-dulu, waktu petang, naik bas, nak balik rumah, dari itm jengka, lalu highway karak, bila duduk tepi tingkap, tengok sunset. 

Jauh dah perjalanan kita. Alhamdulillah, happy dan syukur atas segala nikmat dan rezeki olehNya. Saya tengok gambar-gambar dalam external hard disk saya, bila tengok video anak-anak masa kecik, rasa, alahai, dah tua dah aku... 😂 

Meh tengok transformasi saya.


Gambar kiri, masa anak ketiga baby lagi. Rasa, macam masih dalam pantang, sebab baby masih berbedung. Masa raya ni. Pastu bengang la, sebab malam raya tu, bunyi mercun la, bom atom la, tengah-tengah malam. Baby tengah tidor pun terkejut, jaga, melalak.. Hehe.. anak ketiga dah cool sikit, masa anak pertama, meroyan dibuatnya. Hahaha.. eh, saya tak tipu, tau. Lepas saya beranak kali pertama tu, kepala otak saya tak berapa sihat, siap family saya bawa jumpa pakar psikiatri di hospital. Kena diagnosed post-partum blues, atau meroyan. Alhamdulillah, boleh baik. 

Jangan sekali-kali banding hidup kita dengan orang lain. Syukur je apa yang ada. Kita lebih kuat dari apa yang kita sangka. 

Gambar kanan, gambar baru ambik, dalam minggu ni. Alhamdulillah. Dah sedar diri. Masih cuba perbaiki diri dan istiqamah. 

Ok la ye. Jumpa lagi.

Ikan makan ikan

 23 Zulkaedah 1443 Hijrah.

Semalam tak sempat nak update blog. Sibuk bayor bil online. Bayor itu, bayor ini, transfer sana, transfer sini, transfer kat orang tua, kerja sebagai secretary setiap bulan. Hari gaji suami : Duit masyuk banyak, duit keluar pun banyak. 😅 


Semalam jogging sejauh 11.62 km.

Pagi tadi, hujan lebat. Tak jogging. Masa nak hantar anak kedua ke sekolah, saya perasan ada ikan mati dalam akuarium.


Dah takde bentuk ikan dah. Kawan-kawan dia yang hidup, patuk dia, makan dia. Boleh camtu ye, ikan kecik ni.


Bila hujan je, jem. Sekolah kat kawasan perumahan je pun. Manusia ramai, sekolah menengah ada 1. Hai, entahlah.

Bila sampai rumah, tengok akuarium lagi.


Dah tinggal tulang kawan tu. Laa, saya tak tau ikan kecik ni boleh makan kawan dia jugak. Padahal dah bagi makan tu. Ish ish ish...

Kita riadah rumah saja pagi tadi.


Larat buat sampai 6.05 km saja. 

Alhamdulillah. Hujan rahmat. Semoga hari anda pada hari ini ceria-ceria belaka dan segala urusan dipermudahkan.

Jumpa lagi, ye.

I choose to be happy

 21 Zulkaedah 1443 Hijrah.

Awal pagi tadi, saya masak nasi goreng ikan masin, lagi sekali.


Letak juga fishcake dan ayam. Makan untuk sarapan dan tengahari sekali. 

Lewat hantar anak kedua ke sekolah hari ni.

Jangan bagi anak minum milo kalau dia nak ke sekolah. Bila minum, dah rasa nak buang air besor pulak. Saya tak buat, anak bancuh milo sendiri. Huu.. pukul 7.10 masih dalam bilik ayor. Nasib baik trafik ok hari ni.


Pukul 7.30 pagi baru saya mula jogging. Matahari pun dah naik. Alhamdulillah, cuaca baik. Semalam boleh dikatakan hujan dan cuaca sejuk, kain baju tak kering. Larian hari ni adalah sejauh 10.09 km.

Saya rasa, ada seseorang sudah sentap dengan saya. Dia mendiamkan diri bila saya bercakap. Saya nasihat je, sebab memudaratkan hidup la, kalau dibiorkan. Tak tahu la. Mungkin lepas ni, kalau saya nampak orang nak masuk lubang, saya diam je la. Pilihan di tangan masing-masing, hidup masing-masing. Hmmm... malas dah saya. Saya jaga diri sendiri dan family sendiri sajalah. 

Saya pun pernah juga orang tegur. Manusia biasa, tak lari dari buat salah. Masa kena tegur, saya sentap juga. Sejam kemudian, (sejam tu... dah tua, ambik masa nak proses 😁) baru saya fikir dari sudut lain. Orang tegur kita, sebab dia sayang kita, kot. Dia tak nak ada apa-apa benda buruk berlaku kat kita. Dia nak kita baiki diri kita, jadi lebih baik.

Tapi hati saya rasa tak best pulak sebab orang yang sentap tu, dah tak bercakap dengan kita. Apa nak buat. Saya dah pun jalankan tugas saya menegur. Kalau orang tak boleh terima, yor lantak la. Sendiri tanggung. Kita diam-diam je la lepas ni. Hehe...

Ok la ye. Jumpa lagi.

Cara kempiskan perut

 20 Zulkaedah 1443 Hijrah.

Awal pagi tadi, hujan. Sejak pukul 4 pagi. Sekejap lebat, sekejap berenti. Alhamdulillah. Hujan rahmat. Lepas hantar anak kedua ke sekolah, saya tak pergi jogging, sebab hujan renyai. Saya singgah kedai runcit 2 Kupang, beli ikan kembung 9 ekor, harga RM15, sayur salad dan timun jepun.

Sampai rumah, saya jump rope setengah jam. 

Pastu, sambung treadmill dalam rumah. Nak bagi cukup target 10 ribu langkah sehari.


Larian treadmill sejauh 4.03 km pagi tadi.

Gambar di atas, saya ambil waktu tengah jump rope di garaj rumah. Ada pelangi. Sebenarnya, ada 2 pelangi. Satu lagi, kelihatan samar, atas pelangi yang terang tu. Cantiknya. 

Ikan kembung 9 ekor tu, saya goreng. Pastu buat masak kicap.


Simple bebenor lauk hari ni. 😁

Lepas masak, ngeteh.


Saya buat teh peppermint ni. Tanpa gula. Sejak saya cirit-birit tu, saya tak minum kopi. Peh, nak jadi macam NA pulak, dia pun dah banyak hari tak minum kopi. Sehari, minum teh o, takde gula. Jangan bagitau sape-sape tau, saya rasa teh peppermint tu tak sedap. Baik teh o biasa. 🙊

Hasil pemerhatian saya, bila kita kurang makan nasi, dan kita berhenti ambil minuman manis, perut kita akan mengempis. Sekian. Kalau tak caya, sila cuba. Apatah lagi, kalau anda tambah pula dengan bersenam, lagi la flat jadinya perut kita. Hehe... Antara nak atau tak nak, sanggup atau tak sanggup, tu je. 

Baiklah, jumpa lagi, ye.

Air kelapa torbaik!

 Anak kedua tiba-tiba nak pakai baju sekolah lengan panjang ke sekolah. Bapaknya bawa ke kedai semalam, beli sepasang. 


Udah saya kena jahit nametag anak tengah-tengah tahun ni. Nasib baik ada nametag extra, korek-korek dalam peti harta karun. Kalau tak, dah kena tetas dari uniform lama. Asalkan anak pergi sekolah dengan gumbira. Saya punya drawer dalam bilik jahit ni, dah macam koperasi sekolah. Jadi kalau anak perlu apa-apa alat tulis, saya ada, standby, tak perlu beli di kedai. Contoh macam pen, pensel, ruler, correction tape, kertas graf, kertas warna, gam uhu, gam kraf, gunting, kertas A4, dan lain-lain. Bersiap siaga, orang kata. 😁


Gambar menunjukkan air kelapa, tanpa gula dan ais. Minum semalam. Saya cirit-birit sejak hari Khamis. Lepas makan pil chi kit teck aun tak jalan, minum teh o pekat takde gula pun tak jalan, hari ketiga saya pi klinik. Doktor kata, bukan food poisoining. Tapi saya ada makan benda yang trigger usus saya jadi aktif. Dia bagi ubat makan yang mengandungi bakteria baik, yang macam dalam yogurt tu, tapi jumlah bakteria baik dalam ubat tu, lebih banyak lagi la. Bila saya makan ubat tu je, sakit perut saya. Tapi kekerapan ke bilik air tu kurang. Semalam kirim air kelapa kat suami. Barulah rasa lega sikit perut saya ni. Cirit-birit pun boleh lari lagi hari-hari. Sebab saya rasa nak ke bilik air bila saya makan je. Kalau pagi-pagi perut kosong, saya tak rasa nak membuang. Gitew. Saya tak pernah jadi macam ni. Saya tak pasti saya makan apa. Saya rasa, sebab saya makan cheese. Saya buat roti bakar cheese. Mungkin saya dah jadi lactose intolerance kot. Agak je. Sebab bukan semua produk tenusu saya boleh makan. Macam susu dutch lady tu, kalau saya minum, pun cirit birit juga. Tapi hari ni dah ok, Alhamdulillah. 😊 Selera makan pun sudah kembali. Semalam satu hari saya tak makan nasi. Makan roti je. 

Pagi tadi saya riadah dalam rumah je.


Larian treadmill sejauh 4.25 km.

Gambar adalah nasi goreng yang saya masak untuk makan tengahari. Saya tumbuk bawang merah, bawang putih, cili padi, cili merah dan ikan masin. Ikan bilis habis stok. Peh... sedap, wei. Masuk bakul angkat sendiri. 😁

Ok la ye. Jumpa lagi.

Syoknya orang belanja

 Semalam suami saya off kerja. Bila dia tak kerja, selalu tak sempat nak update blog. Nyongket sana, nyongket sini. Hehe..

Sedapnya laksa johor dia 😋

Ini adalah larian semalam ye, hari Jumaat. Nak pi dating breakfast punya pasal, jogging 6.42 km sahaja. Pastu pi dating kat Kluang Coffee. Makan laksa johor dengan white coffee panas. Suami makan kacang pool. Lupa plak nak ambil gambar makanan dia. Sampai je, terkam! 

Masa nak bayor semalam, orang cashier tu cakap, abang meja belakang belanja. Sebelum tu, saya perasan brader ni, masuk sampai ke dalam cari meja, tapi yang available cuma untuk 2 orang. Dia nak cari untuk 4 orang. Kluang Coffee kat Manjung ni pagi-pagi agak ramai orang. Bangun je, orang lain duduk. Saya yang waktu tu dengan suami, berdua je, tapi kami duduk di meja 4 orang, sebab itu je yang available masa kami masuk kedai. Saya cakap kat orang kedai tu, boleh tukar meja, kami pi meja kecik, bagi meja kami kat brader tu. Abang tu nampak happy saya cakap macam tu. Saya tak kisah pun, sebab makanan kami pun belum sampai waktu tu. Kalau makanan dah sampai, barulah tak elok pindah-pindah kan, orang tua dulu cakap, kalau makan pindah banyak tempat, nanti kawin ramai. Hehe... bole percaya ke pantang larang tu dulu? Entah la, so, saya dan suami pun pindah ke meja 2 orang. Rupanya, brader tu la belanja kami makan. Alamak, susah-susah je. Tapi rejeki jangan ditolak. Rejeki hari Jumaat. Alhamdulillah.

Itu cerita semalam. 

Hari ni hari Sabtu. Suami kerja shif pagi. Nampaknya minggu ni, tak pergilah ke pasar pagi Bota. Kalau tak, tu la port kami cari makan tiap hari Sabtu. Jadi, saya pun membawa diri lari ler, pi jogging. 


Selamat. 11.47 km pagi tadi.

Kome pi jalan mana hari ni? Selamat beristirehat di hujung minggu ye.

Jumpa lagi. 😊

Larian bulan mengambang

 Kedua-dua anak saya tak sekolah hari ni, cuti peristiwa. Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara, melawat sekolah dia orang. Hanya tingkatan 5 yang hadir ke sekolah hari ni. 

Jadi, saya tak masak sebelum subuh seperti selalu. Suami pula masuk kerja tengahari, jadi dia boleh tapau sarapan. Saya pun keluar awal jogging.


Bulan mengambang penuh di langit, waktu nak keluar jogging.


Jogging sejauh 10.82 km pagi tadi. Cuaca panas. Tengok la rumput di halaman rumah, dari hijau dah jadi perang. 

Lepas sarapan nasi lemak yang suami tapau, saya masuk dapur, masak kari ayam.


Serbuk rempah kari saya bercampur dengan rempah kerutuk. Beli masa balik kelantan. Tak guna santan pula. Gelap warna kari ayam. 

Hari ni, keputusan spm keluar. Apa pun keputusan anak-anak, terima la dengan hati terbuka. Tak payah la nak banding-banding dengan anak orang lain pulak. Dia orang pun dah berusaha. Kesian budak-budak zaman covid ni. 

Ok la. Jumpa lagi, ye. 😊

Spagetti goreng

 


Ada rasa tak larat lari pagi tadi. Berpeluh lenjun, basah baju. Sambil sembang dengan kawan, dapat 11.28 km pagi tadi.

Gambar di atas adalah spagetti goreng ala kampung style, yang saya masak awal pagi sebelum subuh. Nampak macam bihun goreng, sebab saya guna spagetti angel hair. Saya tumis bawang merah, bawang putih dan cili padi hijo. Letak fishcake, tauhu goreng dan ayam masak merah seketul, lauk tak habis semalam. Letak black pepper juga. 😋 Guna bahan yang ada dalam peti ais je.

Korang makan apa tu? Masak apa? 😊

Ok la ye. Jumpa lagi.

Pelangi pagi

 


Nampak tak, dalam gambar atas, ada pelangi? 😊

Jogging 10.33 km pagi tadi.

Lately, kepala saya ni banyak berfikir benda. Sebab badan saya rasa lain macam. Tapi saya tak nak la tulis sini. Apa-apa pun, semuanya akan berlalu. Jadi, fikir yang baik-baik sahaja, ok. Cakap pada diri sendiri. 

Semalam saya start kelas mengaji online. Mula dengan Iqra' 1. Sampai muka surat ke-10 semalam. Cara sebutan ح saya tak betul. Umur 44, baru tahu. Huruf ث dan ذ kena keluarkan lidah dulu sikit. Itu pasal saya belajar balik, sebab nak betulkan bacaan. Hajat di hati, lepas ni, nak cuba hafaz beberapa surah. Jadi, elok saya betulkan sebutan huruf dulu. Maklumlah, saya cuma belajar mengaji dengan Tok Wan, kat tengah bendang, masa saya dok di Perlis. Khatam Quran masa darjah 6. Saya tak belajar di sekolah agama. Kena betulkan mana yang salah. Praktis sebutan betul. Benda kita dah biasa sebut kan. Saya akan cuba, Insya-Allah. 

Jumpa lagi, ye.

Jalan Ipoh pulak

 Semalam, bersamaan 12 Jun 2022, saya, dengan suami dan anak sulung pergi jalan-jalan ke Ipoh.

2 anak stay di rumah, tak ikut. Sudah tapau sandwich subway sorang 2 biji, satu untuk makan lunch, satu lagi dinner. Kalau lapor, sila buat maggi. 😁

Suami ajak makan tengahari di nasi ganja, Ipoh. Tahukah anda, saya sudah tinggal di Perak ni selama 17 tahun. Ini pertama kali saya makan di sini. Selama ni, saya cuma dengar, baca dan tengok di tv je orang makan nasi kandar femes di Ipoh ni.


Ha, tudia... lokasi Nasi Ganja Ipoh di Jalan Yang Kalsom. Dia dalam kedai kopi Yong Suan.

Bila sampai, time lunch hour. Ada 2 barisan, yang hendak bungkus nasi, beratur di hadapan pintu masuk kedai. Manakala untuk makan di kedai, beratur di pintu tepi kedai.

Larian pagi tadi, 7.53 km. 

Ni gambar masa kami tengah beratur, tunggu giliran makan dalam kedai. Tak lama la sangat, dalam 10 minit tunggu, gitu. Pastu, amoi kedai panggil, ada meja kosong. 


Dia boleh pilih, ada nasi kandar ayam, daging, ikan, apa ntah lagi amoi tu sebut. Saya pun dah lupa. Saya pilih ayam goreng. Duduk je, nanti dia bawakan ke meja. Atas adalah nasi saya. Sambal dia tak pedas, boleh diterima. Nasi mamak. Kita boleh nampak mamak tu keluar masuk, refill kuah kari la, bawa ayam goreng la, dari kedai sebelah. Air nescafe tarik saya kow. Pekat. 

Saya tak tahu la nak bagi review berapa bintang. Sebab bukan susah pun nak puaskan hati saya. Kenyang dan sedap, Alhamdulillah. 

Cuba pembaca sekalian skroll semula ke atas, dalam gambar pertama. Dalam gambar pertama, kedai sebelah ada cendol durian tau. Sepanjang saya tengah makan nasi, saya dok bau doghoyan je. Sebab meja kami di depan kedai, saya boleh nampak menu dia. Cendol doghoyan harga RM15, ada 2 ulas doghoyan. Sekian makluman. 😁 Kami tak try. Lain kali la. Sudah kinyang. Alhamdulillah.

Destinasi seterusnya adalah Aeon Station 18, Ipoh. 

Suami tiba-tiba masuk ke Baskin Robbins.


Kiri adalah perasa chocolate and mint ke, atau peppermint chocolate ke, entah, saya pun dah lupa. Tapi coklat ada rasa pudina. Belah kanan adalah 2 scoop, anak sulung minta cookies and cream campur alamak, saya lupa apa flavour lagi satu dia mintak. Boleh add topping kalau double scoop, dia minta hot fudge. Sedap yek. 

Pastu jalan-jalan naik atas, turun bawah, saya masuk Uniqlo, beli barang sikit, anak pun beli baju 2 helai, masuk Popular, sana sini, boleh 5 ribu langkah dalam Aeon ni sahaja. Penat ler. Jom duduk dalam kedai makan. 

Masuk Orchid Bistro.


Saya share spagetti carbonara dengan anak sulung. Minum teh tarik.

Petang baru balik rumah semalam. 

Ok. Rumusan:

1) Khamis - Pergi Bagan Datuk dan Kuala Selangor

2) Jumaat - Tolong suami potong rumput. Cantas pokok. Membaja pokok bunga.

3) Sabtu - Pergi pasar pagi Bota

4) Ahad - Sarapan, dating dengan suami. Pergi Ipoh.

Empat hari saya tak jogging, hokey. Makan je kerjanya, selama 4 hari. Yay! Giler betul. Alhamdulillah. Seronok juga, habiskan masa dengan keluarga. Simpan memori. Trip ke Kuala Selangor tu, akan repeat lagi, Insya-Allah, sebab tak sempat cuba mentarang, mee udang banjir, dan beberapa tempat menarik lagi, tak sempat pergi. 

Hari ni anak-anak sudah kembali bersekolah. Pagi tadi, saya sudah kembali jogging. Alam ria cuti sekolah seminggu, rasa sekejap je berlalu. 

Korang jalan ke mana? Nanti saya singgah blog kawan-kawan ye.

Jumpa lagi. 😊

A day honeymoon trip

 Pada hari Khamis lepas, bersamaan 9 Jun, saya dan suami pergi jalan-jalan makan angin sat. Tu pasal honeymoon trip, sebab anak-anak tak ikut. Cuma kami balik hari yang sama. Suami saya ambil cuti, rehat. Sebelum ni, sejak raya, dia kerja mengalahkan bangla, overtime tak habis-habis. Dia ajak saya jalan-jalan, cari makan, tengok tempat orang. 😁

Dari rumah di Manjung, kami pi ke Bagan Datuk. Destinasi kami adalah Sunflower Garden, atau Taman Bunga Matahari. Saya google dulu di rumah, tempat menarik boleh pergi dan makan.


Panas lit lit waktu sampai Sunflower Garden ni. Bawa topi dari rumah. Saya selalu musykil, camana bunga matahari boleh hidup. Saya ingat, pokok ni cuma ada di tempat sejuk macam di Cameron Highland. Tapi ada baca, dan melintas depan rumah orang dekat sini, ok, pokok bunga ni boleh hidup sebenarnya walaupun panas. Waktu tengahari sampai sini. Bayaran tiket masuk untuk dewasa adalah RM13.

Sedikit fakta menarik tentang bunga matahari yang saya baca, baru-baru ni:

Bunga matahari perlu cahaya matahari untuk hidup, paling kurang 6-8 jam cahaya matahari setiap hari. Bila kuntum bunga matahari belum kembang, ia akan bergerak ikut posisi matahari di langit, dari timur ke barat. Bila kuntum bunga tu kembang, bunganya akan mengadap arah timur sepanjang hari. 

Tapi saya tengok kat sunflower garden ni, bunga dia macam layu, tunduk bawah. Saya rasa, sebab cuaca sangat panas waktu kami pergi tu, dan dia belum siram pokok kot. 😁

Dekat Sunflower Garden ni, ada banyak tempat untuk ambil gambar. 


Pandai pemilik tempat ni, bina tempat cantik-cantik, instagrammable ler, senang cakap. 


Suami saya yang kurang suka bergambar pun, ambil gambar dengan bunga matahari yang comel-comel kembang mekar ni. 😁

Banyak gambar yang kami ambil, tapi saya share sikit je la ye. Orang tua posing tak lawa, malu plak nak tunjuk. Penat ambil gambar dekat bunga matahari, kat pokok tak berdaun la, kat tengah kolam la, kat depan replika heart la, pastu, boleh la rileks sat, makan aiskrim ye.


Aiskrim ada letak marshmellow. Ada perasa vanilla dan mango. Saja, ambil gambar, tunjuk kat whatsapp anak, sape suruh tak ikut. Kalau tak, boleh makan sedap-sedap. 

Waktu operasi Sunflower Garden di Bagan Datuk ni, bermula 9 pagi hingga 7 malam.

Destinasi seterusnya, cari tempat makan tengahari. Kami sampai ke Warung Ibu sudah pukul 2 lebih. Warung Ibu Nasi Ambeng terletak di Tanjung Karang, Selangor. Nasi Ambeng dia dah habis. Jadi, kami makan nasi lauk lain la, yang masih ada.


Satu yang bagusnya, tempat makan semua ada kemudahan tandas dan surau. Sebab pengusaha restoran ni semua sedia maklum, lokasi tepi jalan, laluan orang ulang alik ke KL, ikut laluan Sabak Bernam. Jadi, tak perlu cari masjid. Lepas isi perut, boleh solat terus. 

Tak ingat nak ambil gambar makan tengahari. Laparpo. 😁

Lepas perut sudah kenyang, kami pergi ke Kuala Selangor. Naik Bukit Malawati.


Tiket dewasa adalah RM5. Naik tram. Macam kat zoo Taiping tu. Hehe..


Nak jalan kaki pun boleh, sebab ada nampak orang menapak naik atas bukit ni. 


Cantik pemandangan dari atas puncak Bukit Malawati. Ada meriam dan beberapa tempat sejarah kat atas bukit ni. Boleh juga berkunjung ke Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor.


Dekat sini juga ada banyak beruks dan siamang rasanya, yang warna hitam tu. Banyak orang bagi makan, tapi saya tengok dari jauh je. I is takut...


Saya depan rumah api Kuala Selangor. Kat tepi muzium tu je, kena jalan ke hadapan sikit, ada terletaknya Batu Hampar. Satu lagi tempat sejarah di situ. Tapi kami tak tahu lokasi depan je. Ingat ke, tram ni, macam tram kat zoo Taiping tu, dia boleh stop banyak tempat dan orang boleh turun dan naik. Tapi dia cuma ada satu stop sahaja, di atas, dan dia turun balik kat tempat mula naik. Bila dah naik tram nak turun balik, baru nampak lokasi Batu hampar tu, dekat je, tak jauh dari situ. 

Masa operasi Bukit Malawati: 9 pagi hingga 6 petang.

Ada tempat parking. Tapi inspektor gadget tu lalu, jadi kena letak kupon kat dashboard kereta, atau boleh pakai app. Tapi sebab kami ni orang Perak, bukan selalu pun nak mai sini, jadi, boleh beli tiket parking di hotel dekat-dekat tempat parking situ juga. Satu jam, 53 sen. Beli la 2 keping. 

Baiklah. Bila dah naik bukit, dah jalan-jalan dalam muzium, lapor balik. Destinasi seterusnya, Sate Hut, Tanjung Karang.


Lokasi dia kat tepi jalan besar je. Buka pukul 3 petang.

Sate dia, 2 kali ganda dari saiz sate biasa. 10 cucuk dah kenyang, ok. Selain sate, banyak lagi hidangan lain boleh dicuba. Suami ada order mee goreng mamak, tapi kami tapau je, sebab dah kenyang makan sate. Kuah sate dia pun lain, tak macam kuah kacang biasa. Di Sate Hut ni juga, ada disediakan kemudahan tandas dan surau. 

Gitu la cerita saya jalan-jalan dengan suami. Seronok, dapat dating berdua. Hehe..

Lain kali, saya cerita kami pi jalan tempat lain pulak, ye.

Jumpa lagi. 😊