Showing posts with label Dari kepala otak saya. Show all posts
Showing posts with label Dari kepala otak saya. Show all posts

Lepaskan

 Semasa hari Sabtu, raya keempat hari tu, kami hantar anak sulung ke stesen bas. Tiba masa untuk dia pulang ke kampus. Dia sudah mula kelas semester baru sejak bulan puasa, tapi online sepanjang bulan. Lepas raya, mula kelas fizikal. Tiket bas balik Terengganu sudah dibeli sejak awal bulan puasa. Cuma bezanya, bas lain, biasanya naik bas Nini, tapi tiket tidak kelihatan di sistem lagi, bas lain ada. Jadi, anak beli tiket bas Kesatuan. 

Masa hantar di stesen bas, bas tidak kunjung tiba. Waktu berlepas pukul 6 petang. Bila tanya di kaunter, orang tu kata, 6.30 petang baru bas tiba. Pertama kali bas lewat. Biasanya, on time. Kami tunggu juga, walaupun sudah tiba di stesen bas sejak pukul 5.30 petang. 

6.30 petang, tak tiba lagi bas. Lebih kurang 10-15 minit kemudian, barulah tiba. Lepas check bas betul atau tidak, letak bag, selamat jalan anak. Kami pun pulang ke rumah.

Biasanya, bas akan sampai Terengganu dalam pukul 4-5 pagi. Waktu sahur keesokan harinya (waktu itu, saya belum siap puasa enam), saya whatsApp anak, tanya sudah sampai ke. Dia kata belum. Dia share lokasi, dia baru lepas Karak.

Astaga.... lambat lagi tu. Mula rasa risau dalam hati. Sebab hari itu, Ahad, dia sudah ada kelas. Tapi Allah tolong, kelas pertama, lecturer tukar jadi online. Jadi, dia masih boleh ikuti, walau belum sampai. Tanya dia, kenapa lambat sangat. Dia kata, trafik sesak dan bas berhenti lama di satu-satu kawasan, kadang sampai 1 jam berhenti. Aduh.... bila nak sampai ni.

Mula fikir macam-macam. Lain kali, kena suruh anak balik Terengganu hari Jumaat la, biar satu hari extra sampai awal. Ini, beli sehari sebelum kelas mula, dah kelam-kabut tak sampai lagi. Mana nak ambil kunci bilik lagi, nak hantar beg banyak lagi, nak pergi kelas lagi.

Biasanya, sebelum-sebelum ini, kami yang hantar dia masa mula semester baru. Sebab ada banyak barang. Tapi kali ini, suami saya tak boleh cuti. Jadi, anak sulung kena naik bas. Ada 4 bag anak bawa. Rebeh bahu dia. Dah la dia kurus cikeding. Kesiannya anak aku. 

Hari Ahad tu, buat kerja macam biasa. Pukul 9 pagi, mesej anak lagi. Dia masih belum sampai Terengganu! Astaghfirullahalazim.... meleleh keluar air mata saya, sambil siram pokok, memikirkan anak yang masih belum sampai. Syaitan berbisik jahat di telinga, suruh marah suami,"Ambil cuti balik kampung jumpa mak boleh. Ambil cuti nak hantar anak balik U, tak boleh pulak!" Dah susah anak aku. Jahat tau, syaitan itu. Suka buat suami isteri bergaduh. Saya ambil wuduk, pergi solat sunat dhuha, lepas tu, baca yassin, menyejukkan hati yang gundah gulana.

Dipendekkan cerita, akhirnya anak selamat sampai ke kampus. Saya tak bertanya sama ada dia pergi kelas selepas dia tiba atau tak. Yang paling penting, anak selamat sampai ke kampus. Lain kali, tak mahu lagi beli tiket bas Kesatuan, beli bas biasa saja, iaitu Nini. Kalau Nini tak ada online, beli saja di kaunter. Kalau tiada di kaunter, pergi KL dulu, transit di TBS, dari sana beli bas balik Dungun. 

Syukur Alhamdulillah, 16 jam anak dalam bas hari tu. Kegilaan apekah... Biasanya, dalam 12 hingga 13 jam perjalanan balik ke Terengganu, jika naik bas.

Anak sulung ada tinggal banyak barang. Bawa apa perlu yang penting-penting saja. Barang yang dia tinggal, ada dia senaraikan, dan saya pos keesokan harinya.

Bungkusan untuk anak.

Anak dah besar panjang, dah 21 tahun. Tapi kita masih anggap dia macam budak kecil. Kena belajar untuk lepaskan. Dia ada suarakan hasrat nak pinjam satu kereta, balik ke kampus di masa akan datang. Saya ok je. Kena belajar lepaskan, dan doa banyak-banyak, supaya anak selamat. Bukan apa, dulu kita susah. Jadi kalau boleh, kita tak mahu anak kita susah sebagaimana kita dulu. Tapi susah itu perlu juga, untuk dia belajar berdikari, dan ikhtiar hidup di dunia yang serba mencabar ini. Ujian datang dalam pelbagai bentuk. Semoga kita terus tabah dan diberi kekuatan untuk mengharunginya. 

Sekian cerita mak mak hari ini. 

I am so happy

 Alhamdulillah... saya sudah selamat pos hadiah kepada kelima-lima top pengomen 2023 blog saya ni. Tiga sahabat bloggers sudah selamat terima pun. Syukur Alhamdulillah, selamat sampai kepada penerima. Lagi dua lagi, on the way, semasa entri ini saya tulis.

Minggu ini, setiap hari saya ke pejabat pos. Ada hari, sampai 2 bungkusan saya pos. Saya belajar benda baru. Contohnya, bila kita nak hantar lebih satu bungkusan, masa isi borang parcel online di web pos Malaysia tu, selepas habis isi penerima pertama, kita boleh screen shot QR code yang dipaparkan. Lepas itu, kita boleh terus edit butiran penerima dengan memasukkan nama penerima kedua pula. Jadi, jimat masa. Bila sampai pejabat pos, boleh terus scan dan print out, settle dua bungkusan sekaligus. Hari tu, saya tak tahu. Saya isi satu persatu. Alhamdulillah, dapat ilmu baru. Encik pekerja pejabat pos Lumut ajarkan. 😊

Senang je sekarang, nak hantar barang.

Gambar tiada kena mengena dengan cerita. Saja nak share, larian 21 Disember lepas. 😁

Balik kepada tajuk. Sejujurnya, untuk tahun 2024 ini, saya tak pasti sama ada saya mampu untuk beri cenderahati lagi kepada top pengomen sepanjang tahun. Ini adalah kerana, hasil kerja tangan saya yang ready-stock sudah pun kehabisan. Hehehe... kena kait barang baru. 

Saya tak kisah akan kos bahan mentah untuk siapkan sesuatu barang kait itu. Walaupun harga benang kait makin tahun, makin meningkat. Bagi saya, kos masa itu lebih mahal dari kos bahan mentah. Nama pun hobi. Benda yang saya cuma usahakan di masa lapang. Jadi, sesuatu barang kait itu ambil masa agak lama untuk siap. Itu lah untuk tahun 2023 lepas, saya cuma mampu bagi untuk 5 orang pembaca bertuah sahaja. Untuk tahun ni, tak pasti lagi. Insya-Allah, saya akan usahakan.

Ada rasa gembira terbit dalam hati. Berbunga-bunga. Bila bagi hadiah kepada orang. Saya sangat suka. Apatah lagi, hasil handmade ini adalah unik dan tak boleh didapati di kedai. Tiada hasil kerjatangan yang sama. Itulah antara sebab saya berbesar hati dapat hadiahkan hasil kait saya kepada pengomen terbanyak.

Larian indoor 29 Disember. Nama pendek saya Kenek. Nama panjang saya, Kenek Kenek si Bongkok Tiga. 

Benda yang kecil, tidak semestinya senang untuk siap. Ada bezanya antara kait jarum satu (crochet) dan kait dua jarum (knitting). Hadiah berupa bantal kait, adalah hasil knitting. Sementara yang selimut ripple tu, adalah hasil crochet. Nama selimut tu ripple sebab corak macam ombak zig-zag. Boleh la skodeng kat blog kawan-kawan yang sudah share hadiah yang mereka terima, iaitu NA dan SK.

Larian indoor 30 Disember. Hello.. nama saya Ketot Junior. Saya dapat nama Ketot sebab ekor saya kontot. 

Saya terinspirasi dengan semangat seorang lagi sahabat blogger, iaitu Anies. Yang berjaya update blog sepanjang minggu dan cuma off Sabtu dan Ahad. Saya pinjam sikit semangat Anies ye, tahun ni. Sabtu dan Ahad, saya akan peruntukkan untuk mengait, jadi tiada entri lah, pada dua hari tersebut, ya. Itu pun, hari ni, lewat juga update blog untuk hari Jumaat. Saya cuba semampu boleh. Insya-Allah.

Ok. Jumpa lagi, ye. 😊

Sorang pergi...

 Mendapat berita sedih pagi tadi, kawan semasa belajar di Itm Jengka, Pahang, telah meninggal, awal pagi tadi. Baru je baca di fb semalam, arwah minta tolong doakan supaya dia selamat menjalani pembedahan kaki. Allahuakbar. Amie Witiza binti Talib, atau kawan-kawan panggil Beby, telah menghembuskan nafas terakhir jam 12.50 pagi, 10 November 2023. 

Hari Jumaat ko pergi, Beby. 

Kredit foto: Zul

Foto kenangan semasa gathering perjumpaan hari raya di rumah salah seorang sahabat, Encik Zaini, pada tahun 2012, tak silap. Saya, kiri sekali, bertudung bunga merah. Amie aka Beby, kanan sekali, tudung hitam. 

Arwah ada sakit darah tinggi, kencing manis dan paling terbaru, ada masalah buah pinggang. 

Sebab ko tak boleh lari, sakit kaki. Hari ni, aku lari untuk ko, Beby.


Arwah juga seorang blogger. Blog Jijah Ohh Jijah ... cuma tahun ni, sudah tidak aktif.

Ya Allah, ya Tuhanku, ampunilah dia, rahmatilah dia, ampunkanlah segala dosa dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang beriman.

Ko dah boleh rehat dah dari kesibukan dunia. Selamat jalan, kawan.... Alfatihah... 

Tukar layout blog dan kecewa

 Saya tukar susun atur blog saya. Saya dapat email dari adsense, mengatakan "Menggalakkan click secara tak sengaja: Susun atur" seperti berikut:


Walaupun saya tak berapa faham sangat entah apa yang mengelirukan tentang layout blog saya ni. Saya tukar je la, kepada template yang lebih ringkas. Header blog pun saya keluarkan, supaya pembaca tak keliru antara header di bahagian atas blog dengan iklan adsense yang kadang keluar, kadang tak, di bahagian atas blog. Kalau view ikut komputer, boleh nampak iklan adsense tu keluar di bahagian atas blog. Entah la. Sudah tukar template. Sudah submit request untuk review semula. Harap lulus la. Bukannya banyak pun earning Adsense saya setakat ini, baru USD 3. Kalau Adsense nak gantung ke, nak stop ke akaun saya, terpulang la. Takpe la kalau takde iklan keluar pun, saya ok je. Saya tak pernah menggalakkan pembaca semua untuk klik iklan untuk sokong saya. Tak payah klik, ok. Melainkan anda betul-betul jujur ingin tahu tentang iklan yang keluar tu. 

Tukar topik lain. 

Anak kedua saya tak pergi sekolah hari ni. Dia ada kertas Matematik Tambahan. Dia sedang periksa percubaan SPM. Puas saya pujuk dia pergi. Masa dalam kereta, sudah ada depan pagar sekolah. Pergi je la. Trial ni. Dia kata, kepala dia berdenyut-denyut sangat. Macamana nak jawab, paper susah pulak tu. 

Adoi. Saya kecewa, tau. Dalam 2-3 hari lepas, saya suruh dia pergi study. Dia kata, "Saya target dapat 39. Saya target saya fail". 

Saya cakap kat dia,"Orang target lulus, bukan fail". 

Daya juang dia takde. Tak macam saya dulu. Tahu tak, masa SPM, saya cirit-birit sepanjang SPM. Tapi saya tak ponteng pun. Demam pun, saya pergi sekolah. Hingus meleleh laju, time cikgu suruh buat perbentangan depan kelas, saya pergi juga. Malu gila. Tapi peduli apa saya. Saya ingat lagi, kawan tanya, tadi yang keluar tu, air apa? Hingus aku la! Saya jawap dalam hati je. Sebab saya malu. Tapi saya punya pendirian, lagi susah kalau tak pergi sekolah, ketinggalan banyak benda. Tu pasal sakit macamana pun, saya tetap pergi sekolah.

Susah sikit la dengan anak kedua saya ni. Dia banyak drama. Saya kecewa.

Dah dia missed paper Add Maths hari ni, dia tak boleh re-sit. Nanti, result trial akan keluar "T" (Tidak hadir). Saya bawa dia pergi klinik, lepas saya habis lari. Ambil MC.

Ya Allah, ya Tuhanku. Apa nak jadi ni. Nak isi borang UPU ape ke bendanya, kalau tak hadir satu paper. Saya nampak masa depan gelap la, untuk anak kedua ni.

Saya boleh terima kalau dia target fail tu. Sebab saya tak boleh ubah orang. Saya tak boleh ubah suami, tak boleh ubah anak-anak. Saya cuma mampu nasihat dan berdoa. Tak de siapa boleh ubah diri kita, kecuali kita sendiri. Tapi, saya kecewa, sebab dia tak show-up ke sekolah, hadap kertas hari ni. 

Ok ke? Ni percubaan SPM, belum SPM betul. Ok ke? Sejak bila pulak ok? Sakit kepala kenapa? Saya dulu umur 17 tahun, tak pernah sakit kepala la. Dah banyak kali dah dia tak pergi sekolah sebab sakit kepala ni. Tak tahu la. Banyak tidur kot. Petang tidur. Malam tidur. Bila masa study pun, saya tak nampak. Tengok youtube je banyak. 

Tu je la nak cerita. Apa nak buat, ya? 

Larian-kepala-serabut-fikir-anak-tak-mahu-pergi-sekolah pagi tadi, sejauh 7 kilometer. 

Saya buat macam-macam la, yang saya terdaya. Kadang menyesal jadi surirumah ni. Baik saya kerja dari dulu. Boleh juga anak-anak berdikari, usaha sendiri. Biar dia orang susah, pergi sekolah sendiri. Saya bagi anak senang, pergi sekolah dan balik sekolah berhantar. Nak apa, semua saya dan suami penuhi, jika mampu. Anak kedua minat workout, angkat berat. Semua alat ada, dah macam gym dah rumah. Tapi makan tak macam orang lain. Tak makan nasi yang saya masak. Makan burger, western food, sekarang obses protein, kena ada ayam. Beli protein shake kat shopee. Saya pun tak minum protein-protein ni. Saya makan makanan seimbang je. Supplement apa pun tak ambik. Tapi sakit kepala juga. Apa ke jadahnya, bersenam, kalau tak sihat? Baik tak payah. Fokus belajar je. Senang je hidup, cuma pergi sekolah dan belajar. Kerja rumah pun saya tak bebankan dia orang sangat. 

Sorry ya. Luahan perasaan hari ni. Sedih saya. 

Salam Maulidur Rasul

 Cuti umum. Salam Maulidur Rasul kepada semua pembaca sekalian.


Semoga kita dapat tingkatkan amalan kita menjadi hambaNya yang lebih baik, lebih banyak berselawat kepada Rasulullah SAW. Bukan saja pada hari maulidur rasul ni, bahkan hari-hari. 

Saya sepatutnya update blog ni, semalam. Tapi semalam sedikit sibuk. 

Semalam hari Rabu, ada Hari Interaksi di sekolah anak-anak. Jumpa cikgu, bincang keputusan periksa anak. Saya jumpa cikgu anak kedua, manakala suami jumpa cikgu anak bongsu. Kebetulan, suami saya off kerja semalam. Jadi, bahagi tugas. Cepat siap. 

Lepas tu, kami pergi cari barang-barang untuk sambutan Maulidur Rasul di peringkat sekolah anak-anak, esok, Jumaat. Anak kedua perlu sediakan banner dan 'sign board' yang boleh dibawa semasa perarakan. Saya pergi beli kain putih di Kamdar. Lepas tu, singgah kedai peralatan sekolah, kedai Chiew, beli plastik tebal untuk buat 'sign', marker, plaster, peluru glue-gun, etc. Lepas tu, tadi di Kamdar, sudah cuba baju melayu untuk anak bongsu. Tapi dia tak muat, walaupun saiz 3XL. Ye, anak bongsu saya walau pun paling kecil, tapi badan dialah yang paling besar di kalangan abang-abangnya. Kena pakai baju tema gelap. Jadi, si bongsu minta beli baju melayu warna hitam. Cari pula ke kedai baju raya. Ada jumpa, baju melayu. Yang ni jenis besar, yang cuba tadi di Kamdar, jenis body fit, itu yang tak muat. Alhamdulillah, jumpa. Kan lebih baik baik jika pihak sekolah bagi pakai baju melayu warna apa yang ada. Tapi sebab ada tema, dah kena cari baju melayu. Fikir positif, si bongsu sudah ada baju raya untuk tahun depan. Tadi masa dekat kedai Chiew, sudah beli marker yang boleh ditulis atas banyak permukaan. Tapi untuk banner kain, pergi Mr. Diy pula, cari spray dan cat. 

Sewaktu entri ini ditulis, anak kedua dibantu oleh kawan-kawannya, sedang mengusahakan banner untuk perarakan esok. Senang, buat kerja di rumah saya. Lebih luas. Saya boleh nampak. Banyaknya benda kena buat. Banyaknya keluar duit. Saya selalu rasa nak pindahkan anak ke sekolah lain. Sebab sekolah amanah ni, lain macam sikit. Banyak pakai duit mak bapak. Kalau sekolah biasa pun takpe. Saya selalu harap kalaulah macam zaman dulu. Kita tak perlu buat apa-apa pun untuk sekolah. Cuma perlu belajar rajin-rajin, dapat semua A, cikgu-cikgu dah happy. Tapi zaman sekarang, projek sekolah pun, kita kena beli sendiri barang. Lepas tu, anak tension, tak boleh siap projek, barang tak cukup. Lepas tu, dia tak mau pergi sekolah, sebab projek tak siap. Lepas tu, cikgu tanya kenapa anak tak pergi sekolah. Lepas tu, saya cakap, sebab barang tak cukup, kerja tak siap. Lepas tu, esoknya, baru cikgu keluarkan barang dari stor. Lepas tu, anak balik sekolah, dia cakap, ada barang, kena minta. Semua barang ada di sekolah. Tapi yang cikgu pi sembunyikan tu buat apa, tak tau. Quota, satu orang satu barang. Kalau awak buat silap, barang tak cukup, suruh beli sendiri, agaknya. I do not know. 

Dah la masukkan anak aliran sains tulen. Walaupun budak tak mau. Dari yang sulung lagi. Sebab saya ada sedara kerja cikgu juga. Abang ipar yang juga seorang cikgu, cakap, kalau kat sekolah dia, result macam ni, tak boleh masuk sains tulen. Tapi sekolah amanah dia ni, masukkan juga si sulung aliran sains tulen. Lepas tu, bolehlah. Alhamdulillah, lulus semua, kena hantar tuition, bagai. Budak lelaki, ok ler. Dengan si anak kedua ni, kan semalam hari Interaksi kan, anak saya gagal 4 subjek, iaitu Pendidikan Islam, Kimia, Matematik Tambahan dan Asas Kelestarian. Fizik walau pun dia lulus, setakat lepas pagar la. Nampak sangat dia tak boleh masuk aliran Sains Tulen. Dah cakap dah dengan cikgu dia, masa awal form 4, cikgu dia cakap, dah tak boleh tukar aliran. Sebab result anak kedua masa form 3 ok. Lepas tu, anak kedua cakap, yang masuk aliran sastera/seni, kelas ramai orang, sampai 30 lebih. Dia masukkan je, budak-budak ni. Cikgu yang tentukan. Sebab kalau ikut kemahuan budak-budak, tak ramai la yang masuk aliran Sains Tulen. Huhuhu.... 

Saya tulis benda betul ni, yang berlaku hari ni, di sekolah. Maaflah. Bukan niat saya nak memburukkan sesiapa. Sebab kita bukan hantar anak satu sekolah. Pernah merasa sekolah lain. Kita dulu pun lalui benda yang sama. Tapi itulah... realiti sekarang. Saya selalu doa anak tidak putus asa dan bersemangat untuk pergi sekolah. Baca yassin, bagi anak minum air yasin, saya percaya, doa seorang ibu tiada hijabnya. Saya tak mengharap cemerlang, asal dia buat yang terbaik yang dia mampu, saya sudah happy. Kalau satu jalan tak sesuai, ada jalan lain yang kita boleh pilih. Make the best of what we have. Kita tak boleh control orang lain, tapi kita boleh kawal tindakan kita. Reaction kita. Entah apa agenda pihak lain, lantak pi la. Asal anak habis SPM, ok dah. Langkah seterusnya, kita fikir kemudian. Jika anak korang pergi sekolah dengan happy, maka korang memang patut bersyukur. Sebab anak kedua saya ni, dah tak ada minat untuk belajar, dia pernah broke-down dan suicidal, sebab sekolah. Sistem kita sekarang. What to do? Itu yang saya cakap, buat mana mampu je. Habiskan sekolah je. Saya dah malas dah pergi jumpa cikgu, pergi mesyuarat PIBG. Dulu memang, saya pergi. Tapi sekadar bercakap je la. Cikgu pun ditekan oleh pengetua, kan. Pengetua pun, ikut cakap orang atas, kan? Hmmm.... ibarat lagu Bangau oh Bangau. Orang ni salahkan orang ni, orang tu salahkan orang tu. Sampai bila pun tak habis.

Banyaknya cerita pasal ni. Tapi tajuk entri, Salam Mulidur Rasul. Ye, realiti. Pahit dan sukar untuk dilalui. Tapi Insya-Allah, boleh. Allah kan ada dengan kita, kan? 

Banyak lagi benda baik-baik dalam dunia ni. Benda tak elok tu, anggaplah ujian untuk menguji kesabaran kita. Orang pun ramai yang baik-baik, walaupun ada orang tak berapa nak cerdik atau tak berapa baik yang kita jumpa. Pun ujian juga untuk kita. 

Masa yang ada, haruslah dimanfaatkan. Lagi-lagi bila suami tak kerja, marilah kita jalan-jalan cari makan, happy-kan diri. Semalam saya dan suami ke Aeon Taiping. Tu ler, orang Manjung pi Aeon Taiping. Padahal ada je Aeon kat Manjung ni. Tapi sana, lagi banyak tempat makan best, tak macam sini. 

Cubalah makan kat sini... nama kedai, Moza Crunch. Specialty dia, corndog! Macam-macam jenis corndog ada. Apa itu corndog? Kalau corndog biasa, ia adalah sosej yang dicucuk dengan lidi, kemudian dicelup dengan tepung dan serbuk roti, dan digoreng. Itu yang biasa. Kalau yang jenis ada keju, dia cucuk sosej, kemudian keju, eh ye ke apa saya cakap ni? Alaaa, tapi dalam dia ada sosej dan cheese la. Biasa beli untuk anak-anak. Tapi kami tak pernah makan, tau. Tu ler, bagi anak makan sedap-sedap, mahal, bagi dia orang happy dalam hidup dan bersemangat pergi sekolah. Mak bapak makan nasi ngan ikan kering bulu ayam. Eh!

Corndog cheese dan onion ring.

Corndog original Moza namanya, harga RM10.90, sementara onion ring berharga RM5.99.
Ok ke, encik? Sedap ke?

Tudia.. dia tarik cheese dia...

Hehe... bolehlah tahan. Masa buat pesanan, adik tu tanya? Nak letak semua sos ke? Letak je, saya cakap, tapi sikit-sikit. Atas corndog tu, dia letak mayonnaise, sos blackpepper dan sos cili. Kenyang makan sebiji corndog. Share berdua.

Alhamdulillah. Banyak nikmat dan rezeki dariNya. Cuma kita perlu sedar dan bersyukur, apa yang kita ada. 

Kita jaga hubungan kita dengan Allah. Dan Allah akan jaga hubungan kita dengan orang lain. Things easier said than done. Tapi kita cubalah ye, chaiyok, berusaha! 

Jumpa lagi... 😊

Baru keluar gua

 Lamanya tak update blog. Saya tak rasa nak menulis. Adalah terjadi beberapa benda yang tak best. Itu la yang saya 'masuk gua' tu. Entah. Rasa lebih selesa menyendiri. Bila bersama orang, orang kutuk saya. Ish, tak tahu la kenapa buruk benor sangka orang pada saya. Padahal saya tak berfikir begitu pun. Orang yang paling menyakitkan hati, adalah orang yang paling dekat pada kita. Bila jadi macam ni, saya lebih suka menjauhkan diri je. Tapi sebelum saya pergi, saya make point saya dulu. Bila point saya ternyata betul kerana disertakan dengan fakta yang logik dan boleh dipercayai, eh, boleh pulak dia 'corner' tang lain, tak ngaku silap. Heeee.... kelakor betullah perangai orang ni, tau. Lantak ko ler. Tapi hati saya sakit ler. Sebab orang dengan mudah cakap macam-macam pada saya. Sedangkan saya tak pernah cakap yang bukan-bukan pada orang. Saya sebelum berkata-kata, selalu fikir apa kesannya pada orang tu. Tapi orang lain simply cakap lepas pada saya. Terluka juga la. Terus menyendiri masuk gua. Aman sikit. Kat blog pun, tak ada mood untuk menulis. Itu la pasal saya senyap. Maafkan saya, ye. Terima kasih kepada pembaca blog saya yang email, bertanya khabar saya selama saya hilang, you know who you are. Saya sangat hargai. 💓 Terserlah terus sifat introvert saya. Huhu... ujian dari Allah. Sabor je banyak-banyak. Walaupun dalam hati saya, rasa macam nak terkeluor je ayat nak memulangkan paku dua keras pada pihak tu. Bagi sedas, bior padan muka. Tapi hakikatnya, saya tak macam tu. Kalau keluar juga, mau putus terus ikatan family. Itu ler rasa macam nak duduk dalam hutan je. Jauh dari orang. Trauma ler, dengan orang. Tolong doakan saya kuat, ye. Tajam sungguh kata-kata itu, kalah tajam pisau. Masuk gua kejap, salotape hati yang berkecai dan terluka. Ok la, tutup cerita benda tak best. Marilah kita cakap benda yang happy happy je. 

Rungila Runliga Malaysia Challenge 2023 sudah pun habis. Sebulan, dari 17 Ogos hingga 16 September. Ini lagi satu kenapa saya tak update blog juga. Penat lari, kumpul mileage. Dengan tugas di rumah dan jadi driver anak-anak lagi, jadi bila ada masa lapang, saya terbongkang je la depan tv, rehat. 

Hari-hari lari 15km, di bulan Ogos, lepas Runliga bermula. 

Mula-mula memang boleh buat 15 km, setiap hari. Lepas tu, lutut dan buku lali saya keluarlah tanda-tanda, macam kereta nak rosak kan, dia ada keluar tanda-tanda kan. Tak kan la saya nak tunggu rosak kot. Saya pun slow down la lari. Tak mampu wei.... jadi, tak tercapai la target saya untuk mengatasi Runliga 2021, iaitu sejauh 415 km. Apa nak buat. Dah tua. Kena bagi kaki rehat.

Jarak Runliga 2023, 357.9 km.

Alhamdulillah, jadi la. Banyak tu je dapat menyumbang untuk team saya, Malaysia Women Runners. Target individu, saya ambil 25 km saja. Target untuk potong rekod peribadi 2021 tak tercapai. Gitu ceritanya. Kaki nak pakai lama, kena dengar bila badan bersuara. Tapi team saya berjaya dapat Gold tahun ni! Malaysia Women Runners duduki tempat ke-10 dari 144 team yang masuk Runliga tahun ni. Ok la kan, group perempuan semua pulak tu. Yay! Alhamdulillah.

Nanti saya cuba blogwalking slow-slow ya, ke blog kawan-kawan, bila free sikit. Korang pekabo? Sihat ke? 

Jumpa lagi. 😊

Status E untuk mobile data

 Isnin, 10 Julai 2023. 

Bila selalunya anda dapat status E bila anda on data pada henfon anda? 

Sebahagian tangkap layar henfon saya, mobile data status E

Saya, biasanya tengok status E ni, bila tengah travel naik kereta, lalu kawasan hutan. Biasanya dalam perjalanan balik kampung. 

Sekejap E, sekejap H, sekejap 4G, bila kereta dalam perjalanan.

Tapi kan, ada kawasan dekat rumah saya ni, masih status E, tau. Ye, saya tak tipu. Saya pakai Digi.

Tak tahulah apa sudah jadi dengan Digi sekarang ni. Semenjak dia bergabung dengan Celcom. Sepatutnya, bila bergabung, meletup, bertambah hebat, kan. Atau makin luas liputan, sebab sudah bergabung rangkaian. Tapi, hampeh. Atau mungkin juga, talian sedang dinaiktaraf. Sangat cliche. Entahlah. 

Abjad E bermaksud EDGE (Enhanced Data Rates for GSM Evolution), atau Enhanced GPRS. Teknologi ini, di tengah-tengah antara 2G dan 3G.

EDGE lebih laju dari GPRS, tapi masih tak cukup untuk layari internet. Biasanya, kelajuan EDGE adalah 400 kbit/second.

Kalau Eᐩ, slow sangat line. Jika buka wassap, mungkin boleh load yang mesej text. Kalau bergambar, memang tak boleh view langsung. 

Walaupun sudah tahun 2023, tapi isu masalah internet dan talian telefon di sesetengah kawasan masih lagi ada. 

Walaupun henfon keluaran terbaru yang canggih, sudah ada 5G. Tapi tidak lah bermakna apa-apa kerana nak dapat liputan 4G pun masih kena berjuang, di sesetengah kawasan. 

Satu lagi yang saya nak kongsikan, tahukah anda, Malaysia menduduki tempat kelima dalam carta kadar kelajuan internet di kalangan negara ASEAN. Berikut cartanya:

1) Brunei - kelajuan 102 mbps

2) Singapore - kelajuan 72.18 mbps

3) Vietnam - kelajuan 39.59 mbps

4) Thailand - kelajuan 37.85 mbps

5) Malaysia - kelajuan 36.34 mbps

Sumber: Sinarharian 

Macam menyedihkan, betul tak? Sama macam ada pemimpin negara mengatakan negara kita, negara maju, saya rasa sangatlah gelihati, kerana bila saya pergi jogging di pantai hari Isnin, sampah sarap masih dibuang merata-rata. Inikah pemikiran rakyat negara maju? 

Bila on mobile data dan status E, di kedai makan, baru-baru ni, tak boleh buat apa la. Tapi bagus juga, ia beri peluang untuk kita sembang dengan ahli keluarga, sambil makan. Tak boleh tengok telefon, kan. 😁. Kalau sedang dating, kita tengok muka dia, dia tengok muka kita, gitew. 

Ada 2-3 kawasan sini, yang status E, untuk Digi. Kawasan anda, masih ada tak, yang E?

Tu je la nak cerita. 

Ok, jumpa lagi ye. 

Dua situasi

 Situasi 1

Saya: Assalamualaikum.. nak pos barang ke Sarawak, ye..

Orang: (tak jawap salam, tapi pakai tudung). Kalau bungkusan, kena buka ye, sebab kami nak tengok. Barang apa, ye? (Muka masam, sikit pun tak senyum)

Saya: Alamak.. dah elok balut, kena buka, ye? Nanti kalau dah buka, ada kotak atau plastik ke, boleh beli?

Orang: Ada, plastik ****. Barang apa?

Saya: Sate ikan, ikan bilis dan kad kredit.

Orang: Kad kredit tak boleh hantar. IC pun kami tak terima.

Saya: oooo... Ok la. Terima kasih.

Monolog: Dulu boleh je. Bukan pertama kali guna. Dah banyak kali guna. Cuma perlu bagi nombor IC, dah ada rekod aku dalam sistem. Time kedai 1 pintu, ok jer. Time dah maju, jadi 2 pintu, dah ada kaunter lawa, tak boleh pulak. Dia marah aku datang awal kot, kacau dia tengok henpon. Dah la tak leh cakap helok-helok. Masam je. Bila dah maju, jadi sombong. Aku dah balut elok-elok, disuruh buka. Orang dah bungkus dengan bubble wrap, dengan kertas mahjong, dengan kertas minyak, 3 layer tu. Nasib baik aku tak buka lagi bungkusan. Dah la plastik dia nipis, karang hancur sate ikan aku. 🙈

Situasi 2

Orang: Ye, kak, nak pos barang ke?

Eh, ada orang depan aku, dah layan aku dulu. Oh, layan 2 orang dalam satu masa. 

Saya: Ye, nak pos barang ke Sarawak. Kena isi borang ke?

Orang: Isi online je, kak. Ada bawa henpon? Saya boleh bantu. (Sambil layan orang depan saya). Akak google ********.com. 

Selesai urusan orang depan, saya ke depan kaunter, bawa henpon.

Orang: Ha, klik di sini. Ha, pilih menu ni. Ok, akak isi butiran pengirim dan penerima di sini ye. (Beri penerangan sambil senyum)

Saya ketepi, beri laluan sebab ada orang baru masuk, sementara saya isi borang.

Selesai isi, orang baru masuk selesai urusan di kaunter, saya ke depan semula. 

Orang: Ha.. seterusnya, bahagian ni, kena lengkapkan. Berapa nilai barang akak nak pos ni?

Saya: Dalam 20 ringgit.

Orang: Ha, letak je 30. Jenis barang, letak je, others. (Dia tak tanya pun apa barang saya nak pos).

Senang urusan. Lepas tu, dia print out butiran saya tadi, scan guna alat dia, suruh saya ambil gambar qr code sebagai bukti, saya buat bayaran, ambil resit dan settle.

Orang: Lain kali, akak boleh je lengkapkan di rumah borang ni. Bila sampai di kaunter, hanya perlu scan dengan saya, dan buat bayaran, siap!

Monolog: Senangnya. Alhamdulillah. Mesra pulak layanan. Walaupun ada customer lain, tak tunggu lama pun. Saya suka! 👍👍

Pendapat saya: 

Janganlah sombong bila dah maju. Dulu masa kedai kecik, elok layanan. Dah maju bisnes, banyak pulak procedure. Cakaplah elok-elok. Lumrah manusia. Bila maju, jadi sombong. Bila belajar lebih, jadi riak, rasa diri lebih baik dari orang lain, kritik dan sindir orang (eh, ni dah kes lain ni). Apa pun, pilihan ada di tangan kita. Orang Perak kata, teman pun tak sior! Banyak lagi tempat lain provide servis sama dengan lebih baik.

Sekian, cerita dua situasi. 😊

Selamat Hari Raya Aidilfitri

 1 Syawal 1444 Hijrah.

Kepada semua pembaca blog saya ni, saya nak minta maaf sekiranya ada tulisan saya selama ni yang menyinggung perasaan anda. Juga jika ada komen-komen saya yang terkasar bahasa di blog anda.

Semoga anda semua bergembira di hari raya ni, bersama keluarga masing-masing.

Saya, suami dan anak-anak.

Jumpa lagi. 😊

Krisis pertengahan usia?

 Isnin, 13 Syaaban 1444 Hijrah.

Ada satu event larian ni, saya dah daftar sejak tahun lepas. 


Event ni telah berlangsung pada hari Sabtu lepas. Tapi saya tak pergi pun. Saya sepatutnya masuk bersama kedua-dua kakak saya. Tapi cuma mereka berdua yang pergi. Saya awal-awal sudah maklumkan pada deme yang saya tak mau pergi. 

Sejujurnya, saya sudah tidak punya hati untuk masuk acara larian lagi. Entah. Mula tahun ni la. Saya ada lari. Tapi, tak sejauh dulu. Dan untuk pergi agak jauh dari rumah untuk sertai acara macam ni, saya rasa amat berat sekali. 

Kadang pelik juga sekejap hati tu boleh berubah. Baru je tahun lepas, saya punya keinginan meluap-luap untuk pergi jauh dan lari jauh-jauh. Tapi tidak lagi tahun ni. 

Bukan itu saja, saya juga sudah menyahaktif akaun facebook dan intagram, sejak awal Disember tahun lepas. Makna, dah lebih kurang 3 bulan saya tak buka media sosial. Ok. Saya rasa tenang. Boleh hidup.

Larian semalam, 5.36 km. Gambar di Aeon Station 18, Ipoh.

Semalam suami ajak pergi jalan-jalan sampai ke Ipoh. Gambar masa kami tengah makan dalam satu restoran. Ini pemandangan luar. Ada playground. Laluan pejalan kaki dia redup je. Aeon Manjung takde macam ni.

Semalam juga, saya telah uninstall aplikasi Whatsapp dari telefon. Bukan pertama kali. Tapi sebelum ni, hanya bertahan separuh hari tanpa whatsapp. Lepas tu, install balik. 

Ni kira rekod la ni, paling lama tahan. Jadi, itu la dia. Entah. Saya tak tahu nak jelaskan camana. Entah apa yang nak jadi dengan saya ni. Cuma saya tak nak hidup serabut. Lagi kurang benda saya tahu, lagi gembira hati saya. Normal ke rasa macam ni?

Orang dulu boleh je hidup tanpa whatsapp. Kalau nak tanya khabar, call ler. Tapi setakat entri ni ditulis, takde siapa lagi yang call tanya apa-apa. Jadi, takde orang pun yang sedar saya sudah undur diri dari whatsapp. Saya ada, saya takde, sama jer. Tapi suami saya balik kerja ada tanya, "Dah install semula whatsapp tak?"

"Haha, tak."

"Habis tu, camne nak sembang?"

"Aik, balik rumah, sembang la. Jangan sibuk main game pulak. "

Ok tak, macam tu? 🙈

Tapi, sedikit sebanyak, saya akui, antara punca tindakan saya, adalah kerana hati saya masih terluka. Susah juga nak move-on, bila orang ejek kita depan-depan ye? Bila reaksi muka orang yang bercakap tu, betul-betul menunjukkan dia tak suka kita? Saya dah lama maafkan. Tapi dalam sangat la, luka tu. Sebab saya tak pernah buat orang macam tu. Dah tua-tua boleh pulak orang buat saya macam ni. 😞


Tapi saya tengah usaha ler ni. Usaha untuk gembira. 

Pagi tadi, saya hanya sempat lari 4 km. Sakit perut. Cepat-cepat balik rumah. Bawa kereta laju. Nasib baik sempat melabur kat rumah. 

Itu je la. Tolong doakan saya diberi kekuatan dan semangat untuk terus hidup, ye. Saya tak mau la murung dan sedih. Ada tak antara pembaca sekalian alami pengalaman macam saya? Disconnect dari orang. Ketidakstabilan hormon kah? Nak menopause kah?

Ok, jumpa lagi. Semoga hari anda semua ceria-ceria belaka dan segala urusan anda dipermudahkan. 

Motivasi diri sendiri

 Selasa, 24 Jamadil Akhir 1444 Hijrah.

Saya punya 10-ribu-langkah-sehari-streak berakhir pada hari Sabtu lepas. Saya berjaya buat setakat 11 hari. 

*streak: lari setiap hari. Tiada off day.

Hidup kita ni, kita kena buat pilihan setiap hari. Kadang ada urusan yang tak dijangka. Kadang ada perkara yang kita kena lebih utamakan, daripada pergi lari.

Iman juga turun naik. Untuk konsisten dalam sesuatu perkara, perlu banyak usaha dan pengorbanan. Saya suka baca cerita motivasi bila mood bersenam ke laut dalam. Semalam, saya ada terbaca satu kisah dari Wales, di UK, tentang seorang pelari wanita ni, dia buat half marathon setiap hari sebelum pergi kerja.

Nak tau tak, streak dia setakat berita tu ditulis pada 15 Januari 2023, sudah berapa hari? 260 hari! Ish, ish, ish... sudah 260 hari, dia berlari sejauh 21 km pada setiap hari, tanpa cuti. Kegilaan apakah ini? 

Dia kerja pulak tu. Jadi, dia bangun sekitar pukul 4 pagi, setiap hari, untuk berlari. 

Dia biasanya habis lari, pukul 6.30 pagi. Jadi, dia laju la ye. Lebih kurang 2 jam setengah dia buat half marathon. Saya? 3 jam! Hehe...

Dulu, wanita dari UK ni cerita, dia overweight dan ada masalah kemurungan. Dia kata, lari adalah terapi pada dia. Sekarang, dia sedang cuba capai target meneruskan half-marathon-streak dia selama 333 hari. Jika anda nak baca lebih lanjut tentang pelari wanita ni, boleh klik sini.

Ish, ish, hebat sungguh la perempuan ni. Itu la bila kita suka sesuatu tu kan, benda tu buat kita rasa happy, pada orang lain, nampak macam satu benda yang amat berat untuk dibuat, tapi bagi dia, senang je, macam air sungai yang mengalir bebas tanpa halangan... 

Sebenarnya, benda ni bukan saja apply pada larian. Pada kerja kita juga. Jika kita suka apa yang kita buat, kita takde mengeluh ke, komplen itu, komplen ini. Kita boleh buat kerja kita sambil tersenyum, pagi hingga ke petang, setiap hari, tak rasa letih pun. 

Jika kita fikir benda tu susah, susahlah ia. Kalau fikir senang, maka senang lah ia. Benda yang kita tak boleh kawal, kita terima hakikat atau redha dengan ujian, dan kita lepaskan. Percaya, yang sesungguhnya, mungkin benda tu nampak tak elok, tapi Allah sudah atur yang paling baik pada kita, buat masa ini. 

Larian solo pagi tadi, 8.34 km.

Kalau ada benda buat kita marah atau tak puas hati, terutamanya benda yang kita tak boleh kawal, saya dapati, baca Quran sangat membantu. Sejuk sikit rasa hati. Baca yassin. Ubat tu. Ubat mental dan fizikal. 

Semoga segala urusan anda semua hari ini dipermudahkan. 

Jaga diri, pilihlah untuk gembira dan bersemangat! U got this! U can do this, Insya-Allah... 

Jumpa lagi, ye. 😊

Kembali dengan wajah baru

 Ahad, 23 JamadilAwal 1444 Hijrah.

Lama betul saya tak update blog. Mood blogging ke laut dalam.

Harap lepas ni, dapat terus menulis. 😊

Ada banyak benda berlaku kat saya. Benda yang tak best pula. Itu yang saya rasa, macam tak seronok nak share di sini. Lama saya fikir, entah apa salah saya diperlakukan sedemikian rupa. Saya rasa sedih, marah, rasa nak masuk dalam gua, jauh dari orang. 

Ada tak antara pembaca sekalian pernah rasa macam saya? Rasa macam nak lari, duduk jauh dari orang, kalau boleh, nak duduk dalam hutan, kawan dengan binatang lagi aman rasanya, dari kawan dengan manusia. 

Saya diejek, dijadikan bahan jenaka. Atas benda yang saya rasa, bukan salah pun. Bukan ke sebagai kawan, kalau kawan kita bahagia, kita tumpang seronok? Ini siap diajuk, macam dia menyampah betul dengan saya. 

Tapi bila nak sesuatu, mesej kita semula di whatsApp, seolah-olah tiada apa-apa berlaku. Sakit hati saya. Saya ambil masa lama untuk recover semula perasaan saya ni. Saya faham, lumrah kehidupan, dari 10 orang, tak semesti 10 orang akan suka kita. Mesti ada sorang dua yang tak suka kita. 

Jadi, saya pun ambil tindakan untuk menjauhi orang-orang toksik macam ni. Biarlah dia orang tahu yang saya memang nak menjauhi dia orang. 

Saya takkan biarkan orang sewenang-wenangnya layan saya macam sampah. Bila nak minta tolong, datang kat kita. Bila mereka senang, kita dijadikan bahan lawak jenaka. 

Saya maafkan dia orang. Saya nak hidup dengan hati yang aman. Semoga Allah beri saya kekuatan untuk terus hidup. 


Anak gagal permohonan UPU

 Jumaat, 3 RabiulAwal 1444 Hijrah.

Pada hari Ahad lepas, keluar keputusan UPU untuk pelajar lepasan STPM, Kolej Matriks, Politeknik dan yang seangkatan dengannya. 

Anak sulung saya lepasan kolej matriks, jurusan perakaunan.

Saya sampai download aplikasi UPUPocket untuk check result anak. Anak saya jenis burung hantu. Siang dia tidor. Malam dia berjaga. 🦉

Dukacita dimaklumkan anda TIDAK BERJAYA dalam permohonan ke Universiti Awam bagi Sesi Akademik 2022/2023. Keputusan adalah muktamad.

Ha. Hampa rasa di jiwa saya bila baca, tau.

Kawan pun sibuk bertanya. Keluarga pun sibuk bertanya, nak tahu. Haish, time anak dia orang, takde saya sibuk bertanya, anak dapat mana? Sibuk bebenor la manusia ni. 

Masa tu pikio, camanalah anak aku boleh gagal dapat masuk U ni. Salah seorang keluarga saya siap boleh cakap,"Camana boleh dapat macam tu? Tak pernah pernah keturunan aku tak dapat masuk U!"

Peh, cuba anda bayangkan, ye. Balik-balik saya sebagai ibu juga yang dikatakan salah. 😞

Anak-anak orang lain semua dapat. Huuu.... anak aku tak dapat. 

Tapi jauh di sudut hati saya, saya tahu, result anak saya pun tak berapa baik. Pointer dia tak tinggi. 

Terus saya teringat, saya pernah berborak dengan pengetua sekolah anak sulung saya ni dulu. Masa tu, saya ke sekolah dengan anak. Sebab perlu minta tandatangan dokumen. Puan Pengetua cakap, kolej matriks ni, kalau boleh, cubalah dapat pointer 3.5 ke atas. Baru dapat masuk U yang baik. 

Ye. Anak saya tak lepas pun 3.5 CGPA dia. Saya terima keputusan UPU dengan hati terbuka. Tapi ada rasa hampa la.

Minggu ni memang roller coaster ride la bagi saya. Itu yang saya tak update blog tu. Kalau boleh, saya tak nak tulis benda tak best di blog. Masa tengah emosi, tak mau la tulis apa-apa. Baik duduk diam. 

Saya kaji balik la. Permohonan UPU ni, guna sistem meritokrasi. Saya belajar untuk mengira markah merit anak saya. Saya masuk group UPU Online. Saya baca pengalaman dan cerita ibubapa lain. 

Bukan anak saya sorang tak dapat masuk. Ramai lagi rupanya. 

Klik untuk baca


Anak saya ambil Perakaunan masa di kolej matriks. Masa dia apply UPU tu, dia buat sorang di kolej. Dia pulak pakai apply je, based on kursus yang dia minat. Semasa permohonan, ada 12 pilihan kursus yang pelajar boleh masukkan. Saya check balik kan, dari 12 pilihan, cuma 2 pilihan kursus sahaja yang anak saya layak untuk memohon, based on markah merit. Itupun course yang dia layak tu, dia letak pilihan keempat. 

Saya check setiap kursus yang anak saya apply. Memang tak layak pun. Saya terima dan redha. Saya pun salah, sebab saya pernah cakap kat dia dulu, apply apa yang Amirul suka. 

Saya pun tak tahu. Yang permohonan ni, kena kira markah merit. Di aplikasi UPUPocket ada kalkulator markah merit. 

Masukkan CGPA anak, dan markah kokurikulum dia. Dekat slip result final kolej matriks, ada gred A je. Dekat kalkulator tu, ada nilai dari 0-10. 

Dah, berapa nilai untuk A tu? Dah saya tanya orang tu, tanya orang ni. Baru dapat. 9.4 rupanya. 

Anak-anak zaman sekarang tak sama macam zaman kita dulu. Dulu, kita buat semua sendiri. Apply UPU sendiri. Zaman takde internet, kena tulis sampul beralamat sendiri, beli stamp, tepek, pergi pejabat pos, buat wang pos bayar untuk borang UPU, semua sendiri. Jalan kaki.

Ok je. Dapat je U. Tiada masalah. 

Zaman sekarang, kena duduk sebelah anak, guide dia, camana nak isi borang. Macam tu.

Tengok la saya serah pada anak, isi borang sendiri, apa jadi. Dia pakai apply je. Course yang dia apply semua markah merit tinggi. Anak saya memang tak layak pun sambung degree dalam accounting. Semua tinggi-tinggi purata markah meritnya. 

Gitu. Geram dengan anak pun ada. Sebab sia-sia je, 10 tempat kosong sia-sia. Yang dia boleh isi dengan course yang dia layak, sekiranya dia boleh berfikir dengan lebih baik, kira markah merit dulu. Semua benda nak kena beritahu ke? Semua benda nak kena bersuap ke? Tak tahu fikir logik ke?

Itu lah beza generasi zaman sekarang ye. 

Bawak-bawak bersabor saya. Naik angin pun tak guna. Ketentuan Allah ni. Kena lapang dada.

Apa-apa pun, kita ikut proses dan saluran yang diberikan.

Yang gagal, boleh buat rayuan.

Suami pulak minggu ni pi kursus. Baru semalam dia sampai rumah, setelah pi kursus kerja di Gurun.

Kami bincang anak-beranak pagi tadi. Tak pergi jogging. Hujan. Lepas sarapan, kami bincang dengan anak sulung. 

Kira, teliti, kursus. 

Sudah submit rayuan UPU dah. Alhamdulillah. Selamat.

Nanti minggu ke-4 bulan Oktober, akan tau keputusannya.

Semoga ada tempat untuk Amirul sambung belajar. Kalau tak dapat pun, takpe la. Banyak tempat lain boleh pilih. Swasta pun takpe la. Duit boleh dicari. Asal anak nak belajar.

Tau tak, masa hari result UPU keluar tu, saya check dulu kan. Anak saya boleh cakap kat saya,"Mama tak boleh sabar ke? Tak boleh tunggu orang check sendiri?" 

Budak bertuah. Kalau tunggu dia check sendiri, malam la. Duduk bertapa dalam bilik tak keluar-keluar. Keluar bila lapor je. Kerja tak nak. Ambil lesen, tak nak. Adoiiii....

Saya siap tanya dia, dia nak sambung belajar, ke tak? Senang. Bagitau sekarang, kalau tak minat sambung belajar. Jangan nanti apply, bila berjaya masuk, sekerat jalan. Dia kata, dia nak belajar lagi.

Alhamdulillah. Anak aku nak belajor lagi.

Kerja saya sekarang adalah doa, doa, dan doa. Semoga ada tempat untuk anak saya, dan anak-anak yang tak berjaya dalam permohonan UPU yang baru keluar ni. Aminnn....

Dalam jiwa kacau minggu ni, saya sempat lagi keluar lari. 

Larian Selasa, 10.47 km. Selfie dengan budak Puteh.

Mesti lari, supaya dapat keluarkan angin-angin lintang dan segala angin meroyan dalam badan. Baru dapat berfikir dengan waras.

Tapi ada satu berita baik, tau, minggu ni. Sebelum ni, saya check darah 3 bulan sekali. Alhamdulillah, result darah saya normal, temujanji doktor hari Rabu lepas. Lepas ni, doktor cakap, jumpa dia 6 bulan sekali. Yay! Alhamdulillah, syukur! Saya sihat. Untuk info pembaca, ini rutin check, untuk post total thyroidectomy. Saya jalani pembedahan buang kedua kalenjar tiroid pada tahun 2016. 

Larian Rabu, 10.1 km.

Larian Khamis, 10.24 km. Selfie dengan budak Oyen pulak.

Gitu lah cerita minggu ni. Pengalaman pertama hadapi macam ni. Saya tahu, luas lagi perjalanan. Banyak lagi lubang lain anak-anak ni boleh pergi. Semua ni Allah yang aturkan. Belajar dari kesilapan. 

Salam Jumaat, semua.

Jumpa lagi, ye. 

Larian Seribu Fikiran

 Selasa, 4 Muharram 1444 Hijrah.

Pagi tadi, selain hidangan sarapan, saya perangat lauk semalam yang masih ada, goreng ikan rebus lagi, dan masak sayur kacang buncis.


Saya stir-fry kacang buncis dengan tomato, cendawan dan tauhu kering. Letak sos tiram sikit, dan pecah telor sebiji.

Lauk hari ini, sama macam semalam, sambal tumis ikan bilis dan ikan goreng. Kalau habis lauk, saya goreng telor je la, makan dengan kicap. 😁

Masa nak keluar jogging, saya ada rasa malas. Sebab tempat saya jogging tu, dah tak meriah. Kurang orang beriadah. Dulu masa PKP, orang tak boleh pergi kerja, ramai orang beriadah waktu pagi. Sekarang orang sudah kembali bekerja, orang lebih ramai beriadah di waktu petang, banding pagi. 


Tapi saya pergi jogging juga la, walaupun malas menguasai diri. Slowjogging sejauh 10.21 km pagi tadi. 

Gambar di atas, kasut New Balance. Saya dah pakai kasut ni lebih 900 km, masih sedap rasanya dan selesa. Suka pulak saya brand New Balance ni. 

Kat sini, tak seperti di KL. Ada banyak pilihan kasut sukan boleh pilih, yang bagus-bagus. Saya beli apa yang ada, di Sports Direct Ipoh. 

Cerita tentang hal lain.... Monologue dalam kelapa kepala saya... 

Saya ada baca di Facebook, ramai orang sekarang beli kereta. Tukar kereta baru. Wow! Tapi pada masa yang sama, saya juga ada baca tentang orang yang bakal diberhentikan kerja. 

Ansuran bulanan juga kena bayar lebih bulan ni. Sebab kenaikan OPR, oleh Bank Negara. Saya biasa buat kerja-kerja bayaran bil online, bagi pihak suami saya. Beza, jumlah bayaran untuk pinjaman peribadi yang suami saya ada buat. Ada kenaikan amaun yang pihak bank ambil. Ansuran kereta pun suami saya bayar lebih, tapi dia belum check dengan pihak bank berapa amount sebenar.

Akan datang, ada lagi, tau, kenaikan OPR ni, kalau tak silap saya, ada baca.

Tapi masih ramai orang kita boleh pergi bercuti, naik flight.

Apa pun, saya bersyukur, kerana saya sekeluarga masih cukup makan, bukan cukup makan, terlebih makan, cukup pakai dan rumah ada. Syukur Alhamdulillah. 

Dapat berjimat dari segi kurangkan makan di luar pun, saya rasa baik juga. Dulu kalau pergi kedai tunjuk lauk, boleh dapat RM20 untuk 5 orang makan. Sekarang, RM40 kalau beli lauk. Sekali ganda naiknya.. tu yang buat saya rasa, lebih bagus saya masak sendiri. Tak kisah la, lauk telor goreng pun ok sesangat. 

Saya juga kurang keinginan untuk pergi jalan bercuti kemana-mana. Entah. Saya tumpang seronok tengok keindahan tempat kawan-kawan pergi bercuti. Tapi saya kurang keinginan untuk pergi bercuti. Priority saya pada benda lain. Bercuti tu bukan satu keperluan, tapi satu kemewahan, bagi saya.

Saya tumpang seronok bila ada anak kawan yang dapat offer masuk U bagus, buat course Medic. Saya terima seadanya result anak saya, sebab saya rasa, apa yang dia usaha, itulah yang dia dapat. Tapi masa yang sama, saya ada kawan yang anak tak ambil SPM pun, sebab ada autisme. 

Lain orang, lain ujiannya. Mungkin dia nampak mewah, tapi dia sedang sakit. Bila kita bercakap dengan dia, baru kita tahu. Tapi camana nak bantu, hanya mampu mendengar. Duit banyak pun tak guna, kalau nikmat sihat tu, Allah dah ambik balik.

 Bila jogging, boleh keluar angin, tak keluar melalui sendawa, boleh kentut. Nikmat tau, kentut tu. Ada orang, kena masuk hospital, sebab tak boleh keluarkan angin dari badan. 

Macam sedekah juga. Kita tak perlu tunggu kita kaya, untuk sedekah. Sekarang pun boleh. Sedekahlah berapa banyak kita mampu. Seringgit pun boleh, asal ikhlas, kerana Allah. 

Macam tu juga kalau lari. Tak perlu tunggu sihat, untuk lari. Sakit pun boleh beriadah juga. Bukan saya suruh pergi lari pecut, pace 4, pace 5. Buatlah ikut kemampuan kita, berjalan pun boleh. Peredaran darah dalam badan akan berjalan lancar. Allah dah buat cantik dah badan kita ni. Sel-sel semua akan generate bila kita bergerak. Sel-sel yang mati, akan ganti yang baru. Percuma je. Cuma perlu ambil langkah pertama.

Tapi kenapa ada orang masih bergantung pada produk yang dihasilkan dari kilang untuk sihat? Beli susu ni, boleh lawaskan pembuangan air besar. Beli produk ni, boleh buat rasa kenyang dan bantu kuruskan badan. Dulu saya ada kawan jogging, dah meninggal, sebab suka cuba produk-produk macam ni. Punca, kegagalan hati. 

Saya rasa kesian tengok orang tua. Bila dah tua, jadi kecut pulak. Makan share 2 orang, tu pun tak habis. Tapi satu hari nanti, kita pun akan kecut macam tu jugak. 

Ha, entah apa-apa dalam kepala otak saya ni. Saya keluarkan di sini, tak elok simpan dalam kepala lama-lama. Kalau ada yang tersinggung, minta maaf, bukan itu niat saya. Cuma benda ni berlaku di sekeliling saya. Saya kena keluarkan. 

Saya wish anda semua, pembaca sekalian, happiness dalam hidup, di dunia dan akhirat. 

Jumpa lagi, ye.

Kita belasah saje...

 15 Zulhijjah 1443 Hijrah.

Salam Jumaat yang mulia.

Sekejap je dah Jumaat. Besok dah Sabtu. Bulan mengambang penuh masa jogging pagi tadi.


Sempat lari sejauh 10.13 km. Alhamdulillah.

Gambar saya masa bulan lepas yang saya pergi jalan ke Bagan Datuk tu. Entrinya ada di sini.

Saja letak gambar masa tengah sihat dan kuat. 

Sepanjang saya tidak update blog selama lebih 2 minggu baru-baru ni, selain dari terbongkang tengok Netflix, saya demam sebenarnya. 

Asal kejadian, lepas makan buah mata kucing dengan banyaknya, saya mula sakit tekak. Lama tak makan, teringin. Keesokannya, saya demam. Eh, ini terjadi sebelum hari raya haji lepas, ye. Hari kedua, makan panadol saja, sakit-sakit badan. Hari ketiga, sakit dah naik ke kepala, baru pergi klinik. Suhu badan masa tu, 39 darjah celcius. Doktor kata, boleh tahan tinggi. Musim influenza. Tapi Alhamdulillah, walaupun demam dan sakit badan tu, saya boleh lagi buat kerja seharian sebagai surirumah, hantar dan ambil anak sekolah, memasak dan sebagainya. Cuma, saya tak pergi berlari. Bagi badan rehat. Masa raya haji balik Kelantan, saya tak berapa sihat lagi. Eh, lupa nak cakap. Ketiga-tiga anak saya pun jangkit demam dari saya. Kesian. Start dengan yang bongsu, sebab saya selalu tolong dia buat homework, duduk dekat-dekat. Pastu pass ke anak kedua. Last sekali kena, anak sulung. Suami saya sorang sihat, dia kerja overtime banyak, kurang ada di rumah. Kadang rasa tak best jugak, effect dia, sampai sekarang ada hari, badan saya rasa panas lagi. Saya batuk masih berkahak. Suara saya masih belum kembali asal. Ambil masa hanya sekejap je, sakit tu, tapi badan belum recover semula ke asal. Tapi, inilah ujian, ye tak. Ujian sakit. Terima ujian dengan lapang dada. Berdoa padaNya, supaya diberi kekuatan untuk hadapi ujianNya. Dan belasah saja. Pagi masa bersiap tengok cermin, senyum, dan ucap kata perangsang pada diri sendiri, "You got this! You can do this! I am strong! I am healthy! Syukur Alhamdulillah." Apa lagi yang kita nak. Ada rumah, ada kereta, boleh berlari, boleh buat kerja, ada suami penyayang, ada anak bijak-bijak. Fikir dan cakap benda baik-baik sahaja. Semuanya sementara. Sakit sementara. It will pass. Insya-Allah. Kita hadap je. You are what you think, ok. Berusaha! Semangat! Yihaaa....

Selamat Hari Raya Terkejut

 Selasa, 2 Syawal 1443 Hijrah.

Saya takde la kelam kabut sangat lepas pengumuman raya tu. Sebab barang-barang mentah saya dah siap beli awal-awal. Cuma pertama kali la, saya masak rendang waktu malam. Quick defrost ayam guna microwave, dan start la masak. Malam raya aritu, saya masak rendang ayam dan nasi briyani. Pukul 12 baru habis masak. Ngantuk sangat, pastu lupa amik gambar. 


Pagi raya baru saya ingat nak ambil gambar. Tinggal banyak ni je rendang. Saya dah bagi suami bawa bekal pi ofis, anak-anak dan saya dah makan, bila buka periuk, alahai... cepatnya habis rendang saya. Saya buat berkuah, tak kering pun. Rupa dia macam ayam masak lemak, tapi rasa dia macam rendang. Masak malam, kunyit halia pakai potong je, rabun malam.


Nasi briyani pun tinggal banyak ni je di pagi raya. Sebab lauk rendang dah agak sikit, saya masak satu lagi lauk di pagi raya.


Ayam masak merah. Ok ler tu. Masak untuk dimakan. Alhamdulillah, semua habis. Tiada pembaziran. Anak-anak laki yang sedang membesar memang makan banyak. 

Lepas habis masak ayam merah, tengah melayan drama raya, kakak-kakak ajak video call.


Kakak paling tua, ada di KL. Kakak tengah beraya di Kuching. Bermaaf-maafan di video call saja. Alhamdulillah.

Suami saya kerja di hari raya, dari pukul 2 pagi, sampai 4 petang. Bila dia balik petang, barulah kami beraya dan amik gambar sama-sama.

Saya dan suami.

 
Anak kucing pun sibuk nak amik gambar juga.

Keluarga saya.

Selamat hari raya kepada semua pembaca blog saya ni. Minta maaf kalau saya ada salah silap, terkasar bahasa, semasa menulis di blog, mahupun tinggal komen di blog anda. Stay safe di hari raya, hati-hati di jalanraya dan semoga anda semua dirahmati Allah. 

Tukang kebun jadian

 Betullah orang cakap, lepas kepayahan, akan datang kesenangan. Tapi in between tu, kena banyak-banyak bersabar, dan jangan buat benda terburu-buru. Saya bila dah tua ni, ambil masa sikit nak proses sesuatu. Kena tunggu lama, baru boleh fikir elok sikit. Takpe la, belajar dari kesilapan. Mengadu hanya pada Allah yang Satu.

Saya pergi jogging juga pagi tadi, walaupun kat rumah hujan renyai. Bila sampai di tempat jogging, tak hujan pun. 


Lepas jogging 10 km, jalan santai 1 km. Bila balik rumah, tolong suami potong rumput. Rumput di halaman rumah dah panjang. Kena guna rake, sapu, kumpulkan rumput, masuk dalam plastik hitam heavy duty, dan letak di depan rumah. Nanti, ada lori kumpul bahan buangan tumbuhan akan datang, kutip. 

Benda yang kita tak suka tu, tak semestinya tak baik untuk kita. Allah yang aturkan. Kena lapang dada, terima. Saya cakap untuk diri sendiri. Sebab kepala otak saya ni, suka fikir bukan-bukan. Hari ni fikir negatif. Esoknya, baru boleh nampak the whole picture. Adoi, rasa nak dush-dush kepala sendiri. 

Ok la. Jumpa lagi, ye.

Larian Jumaat

 Semalam tak pergi jogging. Hujan. Semalam pergi dating dengan suami, sarapan sama-sama. Hari ni, pergi jogging.


Pagi tadi, jogging sejauh 10 km. Syukur Alhamdulillah. Saya macam struggle sikit masa 3 km pertama. Dulu saya boleh rasa rileks-rileks, tak letih sangat. Sekarang saya macam kena put extra effort masa mula jogging tu. Faktor usia kot. 

Gambar di atas adalah pulut kuning yang saya order, masa sarapan dengan suami, semalam. Sedap. Saya suka pulut kuning. Sebab nak masak sendiri, malas. Arwah mak saya selalu masak pulut kuning masa hari raya. 

Saya bersyukur atas segala nikmat dan rezeki Allah bagi. Syukur Alhamdulillah. Saya akan terus berusaha menjadi hambaNya yang lebih baik. Bila kita letak diri kita sebagai hamba, kita tak kan besar kepala. Kita takkan riak, sombong, meninggi diri, sebab ada Kuasa Lebih Besar dari kita. Saya cuma nak cari redha Allah. Tengah usaha sikit-sikit. Walaupun saya tak kuat, dan saya jahil, banyak benda saya tak tahu. Saya akan terus berusaha. Insya-Allah.

Terima kasih kerana membaca. 

Jumpa lagi, ye.