Showing posts with label Tempat Lari. Show all posts
Showing posts with label Tempat Lari. Show all posts

Lari di UTP, mee tikus dan nasi kandar

Bulan Januari 2024 sahaja, sudah 3 kali saya berlarian di Taman Tasik UTP (Universiti Teknologi Petronas). Biasanya, saya dan suami datang sini apabila suami off kerja. Jadi, kami dapat pergi lokasi jauh sikit dari rumah. Di samping itu, dapat juga jalan-jalan cari makan. 2 dalam 1. Perjalanan ke UTP dari rumah, mengambil masa lebih kurang 40 hingga 50 minit, bergantung pada keadaan trafik. 

Larian 1 Januari, 10.3 kilometer.

Larian 11 Januari, 7.11 kilometer.

Dan semalam pun, saya dan suami ke UTP lagi. Cuma semalam saya tak lari. Rasa malas sangat, jadi saya jalan-jalan saja.

Jalan-jalan 17 Januari, 4.56 kilometer.

Alhamdulillah, atas nikmat sihat yang Allah kurniakan. Bila berjalan, boleh tengok banyak benda, berbanding bila berlari, tak berapa ambil perhatian sangat dengan benda sekeliling kita.

Ada replika dinasour.

Di Taman Tasik UTP ini, bertempatnya Geological Rock Garden, yang merupakan taman geologi terbesar di Malaysia. Baru saja dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, lebih kurang seminggu yang lalu.


Semasa kami pergi semalam, cuaca baik, tak berapa panas sangat. Ada tanda-tanda nak hujan.


Sesuai datang sini, waktu pagi atau petang. Bersiar-siar atau berjogging. Bawa seisi keluarga. Satu pusingan yang paling luar, boleh dapat 2 kilometer.


Ralit perhatikan air tasik. Burung-burung bangau pun banyak berterbangan, lebih-lebih lagi bila mesin pemotong rumput baru melepasi sesuatu kawasan tu, mungkin senang dapat cacing di tanah, bila rumput baru dipotong. Burung lain pun banyak di sini. Jadi, memang rasa tenang untuk layan perasaan dan menghirup udara segar waktu pagi.

Bila cuaca mula panas, kami pun beredar. Tak sampai 5 kilometer pun berjalan. Jadilah, keluar peluh, dari duduk rumah depan tv. 

Kami pergi Batu Gajah, sarapan di sana. Nak cuba tempat baru.

Pernah dengar orang makan mee tikus di Ipoh. Tapi, saya baru tahu, di Batu Gajah, Perak, pun ada gerai menyajikan mee tikus juga. Marilah kita cuba. Saya tak tahu mana mee ni dapat nama mee tikus. 😁

Nama kedai adalah RM Corner. Saya secara kebetulan terjumpa orang cakap tentang kedai ni, di group JJCM@Perak di facebook.


RM Corner tu, singkatan dari Ramli Misha Corner. Bagi yang tak biasa, mungkin berpendapat yang kedai ni, macam kedai makan cina. Sebenarnya, isterinya mualaf. Jadi, makanan di gerai adalah halal.

Lagi keratan akhbar mengenai RM Corner

Saya pula tak pernah makan mee tikus, walaupun selalu ternampak video mee tikus stesen bas medan kid yang viral di Ipoh. Kat Batu Gajah pun ada, jadi, marilah kita cuba, ya.

Mee tikus goreng
 
Sebab pertama kali makan, saya cerita sikit tentang mee tikus yang saya dapat info melalui carian google ya. Mee ini adalah masakan cina yang berasal dari Taiwan, Loh si fan. Loh si dalam bahasa cina bermaksud tikus. Fan pula bermaksud mee. Makna sebenarnya adalah laksa pendek, tapi orang lebih kenal mee ini sebagai mee tikus. 

Masa saya tengah tunggu pesanan sampai, ada bau wangi macam orang goreng kuetiau, dan ada rasa hangit, macam dimasak guna api besar. Saya suka, saya suka, sebab ada bau hangit. Hehe...

Sudah makan. Memang sedap. 😋 

Suami pesan bihun goreng. Tapi saya lupa ambil gambar, bihun goreng tu. Sebab tengah syok makan mee saya.

Lain kali boleh datang lagi. Yeh!

Nama kedai: RM Corner

Alamat: No. 2, Plaza Batu Gajah.

Masa operasi: 8 pagi hingga 1 petang.

Lepas kenyang makan, kami tak terus balik, pergi Kampar la pulak, nak bungkus nasi kandar beratur 786. 😁 Hahaha... tak masak semalam. Yay!

Suami saya pesan 2 nasi  kandar ayam goreng, 2 nasi kandar ayam bawang. Lauk letak asing ye, mamak.

Ayam dia besor!

Selamat makan tengahari, nasi kandaq. Sayur kobis jangan dilupa. Juga, telur masin. Surrrr...... 😋

Lepas tu, banyak kerja rumah kena siapkan. Lipat kain, menjahit baju anak yang koyak. Orang baiki aircond pun datang semalam. Ada 2 aircond rumah rosak. 

Jahit baju koyak

Tak beli baru. Kita jahit je. Dia pun lagi 2 bulan, nak habis sekolah. Baju inner, pakai dalam baju sekolah.

Ingat kan, petang lepas Asar, free la, untuk update blog. Tak sempat juga. Saya keluar sampai nak maghrib, baru balik rumah. Cari barang anak-anak sekolah. Gitulah ceritanya. Apa nak buat. Hari yang sibuk. Hehe..

Orait. Jumpa lagi, ye. 😊

KL Trip, day 2

Sabtu, 23 Disember 2023 - Mandi awal pagi sebelum subuh. Mata ni memang automatik celik pukul 4 atau 5 pagi. Kat rumah ke, kat hotel ke, tak payah nak set alarm. Selesai sahaja subuh, saya siap-siap nak pergi lari di taman KLCC. Nak test kasut baru beli hari sebelumnya. Suami saya, nak ikut juga. Anak-anak lepak di apartment. 

Saya suka berlarian di taman KLCC ni. 

Laluan berlari

Banyak pokok-pokok besar. Laluan lari lembut. Soft landing. Bila dahaga, ada water cooler, banyak tempat. Awal pagi, tak ramai sangat. Tapi semakin lama, semakin ramai datang beriadah.

Saya suka pokok-pokok besar. 😍

Tidaklah saya tahu, yang ada event berlangsung di KL Convention Center, di sebelah taman tu. Ada Comic Fiesta berlangsung pada hari Sabtu dan Ahad, mula pukul 10 pagi. Walaupun saya berlarian di taman awal pagi, namun sudah ada anak-anak muda berpakaian watak anime mula datang.

Anak-anak muda berpakaian watak anime mula membanjiri KL Convention Center.

Yang rambut biru, rambut hijau, macam-macam watak anime ada. Sangat usahalah dia orang ni. Siap make-up bagai, baik lelaki mahupun yang perempuan, dengan contact lense, lengkap, sudah serupa kartun, sebijik!

Watak ala-ala Counter Strike

Sebab saya pusing berkali-berkali taman tu, bermacam-macam manusia la yang saya nampak.

Ni baru lari dari hospital, gamaknya..

Kalau dia orang ni, stay kat convention center tu saja, takpe juga. Ini, mereka berpeleseran di taman tempat orang awam beriadah ni. Kalau ada pakcik tua tengok yang seksi-seksi tu, mau terjojol biji mata pakcik tu haaa.... 

Kita lari je la, tengok pokok. Suami saya, sekejap saya nampak dok rileks, main telefon, kat kerusi. Lagi satu round saya pusing taman, nampak dia tengah jogging slow-slow pula. 

Larian taman KLCC, 10.27 kilometer.

Alhamdulillah, selamat saya mengetest kasut baru beli semalam, buat 10 km. 

Hoka one one Mach 5 Wide

Ini pertama kali saya beli kasut wide, iaitu lebar di depan. Bila dah cuba kasut hoka, orang kata, tak pandang dah kasut brand lain. Tapi saya, tak rasa begitu. Pada pendapat saya, kasut hoka ni, ringan. Kaki rasa nak pergi lebih laju. Tapi, lutut tak mampu, sebab dah tua. 😁 

Waktu saya tulis entri ini, dua hari lepas, saya ada test lari half marathon, 21.1 kilometer. Memang ok sesangat! Jari kaki boleh bernafas dan bebas bergerak. Alhamdulillah, dapat merasa pakai. Saiz dia lain, tak sama dengan saiz saya pakai untuk Asics. Tu pasal, kalau anda nak beli kasut lari, sila pergi kedai, test di kedai. Lain brand, lain cutting dia, lain design dia, saiz pun tak sama. Kasut Asics, saya pakai saiz 6.5 UK, kasut Hoka ni, saya pakai saiz 6 UK. 

Kasut ni ok, tapi dari segi cushioning, Asics Gel Nimbus 25 lebih sedap (untuk orang yang ada masalah lutut). 

Ok la. Berbalik kepada cerita. Selepas lari, saya dan suami pergi ke Wisma Central, Jalan Ampang, bungkus nasi lemak untuk kami sarapan di apartment. 

Sarapan dulu satu family. Mandi-mandi, wangi-wangi. Kami keluar berjalan-jalan semula. Hajat nak pergi Pavilion, Bukit Bintang. Sudah tanya anak yang bermuka masam semalam, suruh dia lepak je kat apartment, rehat. Tapi dia nak ikut juga, dia kata, dah sampai KL, tak kan tak pergi jalan-jalan kot, rugi ler. Suami rujuk map dari aplikasi Waze, masa kami mula berjalan kaki. 

Akhirnya, kami sampai ke Pavilion, Bukit Bintang. Jarak lebih kurang 1.2 kilometer sahaja dari apartment kami. Kat sini, kami tak sempat nak jalan semua tempat. Ada budak tu, dah start buat muka masam dia tu, macam semalam. Heee... pelik sungguh la. Last-last, nak menghilangkan dahaga, kami lepak di Paris Baguette, sebuah cafe, yang ada jual kopi dan pastries. 

Gambar dari google.

Cafe T20 ni. Dia punya air Evian (air mineral), RM7 ke, RM8, sebotol. Saya pun tak ingat. Kegilaan apakah... adoi.. baru jalan sikit, muka dah masam. Tak sempat la mama nak tawaf window shopping di Pavilion. Tapi best juga duduk dalam cafe tu. Tengok orang kiri kanan. Dia orang bukannya makan banyak pun. Order satu air, satu kek, share berdua. Hehe.. lebih kurang macam kami juga la. Kami pun share-share. Habis tu, baru je tadi makan nasi lemak lauk ayam kat apartment, kan. Bukan lapar pun, dahaga je.

Kalau budak tu tak ikut, kami sampai ke Lot 10 kot, jalan-jalan. Anak kedua saya ni memang tak suka keadaan ramai orang. Dah cakap dah dengan dia, kita ni kat KL. Bukan kat rumah di Perak. Nama pun ibukota Malaysia. Mestilah ramai orang.

Jadi, lepas minum tu, kami pun patah balik ke arah KLCC. 


  Barulah nampak ada laluan khas pejalan kaki dari KLCC ke Pavilion, dan sebaliknya. Tadi masa datang, kami ikut jalanraya je, dari bawah. 

Laluan pejalan kaki.

Sungguh selesa, laluan pejalan kaki, ada aircond lagi. Bertuahnya orang Kuala Lumpur. Nak pergi shopping senang, tak kena hujan panas. Asalkan ada keinginan untuk berjalan. Banyak steps dalam  sehari boleh dapat.

Kami nak pergi Decathlon lagi sekali, jadi, kami lalu di KLCC. Memang ramai orang, termasuk beribu-ribu orang yang pergi Comic Fiesta di KL Convention Center tu. Satu sikap yang saya nampak, bila orang kl nak selfie ke, nak berborak ke, dia stay je tengah jalan. Tak ketepi pun. Ini mengganggu perjalanan orang belakang. Kita yang nak berjalan non stop ni, kena bijak cari lubang-lubang laluan yang boleh dilalui di celah-celah orang ramai. Time ni memang tak buka topeng muka langsung. Jalan pun langkah pendek, sebab terlampau ramai manusia. Di pokok krismas KLCC tu, jumpa orang pakai watak Doctor Octopus, dari Spiderman. Walaupun tak kenal, bila ada character menarik je, ada je orang minta selfie sama. Melayan pula dia orang ni. 

Kami masuk Decathlon semula. Beli baju dan seluar. Sebab semalamnya, ada beli sorang satu. Lepas tu dah cuba pakai, sedap pulak baju Decathlon. Fabrik yang bagus, walaupun berpeluh, cepat kering. Itu yang pergi lagi. Kat Perak mana ada Decathlon, encik. Beli lagi baju dan seluar kali ni, untuk anak-anak. 

Habis shopping, kami pulang dulu di apartment. Berehat dan solat jamak. Lepas tu, kami keluar semula, kali ni, jumpa kakak saya. 

Memang ramai manusia tengahari hari Sabtu itu, di mana-mana. Nak cari tempat makan pun, susah juga. Last-last, kami lepak di mamak di Hotel de King Boutique, di Jalan Ampang. Apa nama kedai mamak pun, saya dah lupa. Yang sebelah dia, ada jual durian tu. 


Kakak sulung saya tinggal di PJ, tapi kerja di KLCC. Jadi, dia tahulah lubang-lubang shortcut mana nak lalu, time ramai orang ni.

Alhamdulillah, dapat jumpa kakak. Lama juga lepak. Lewat petang, baru balik ke apartment. Dan tak keluar-keluar dah.

Mandi wangi-wangi, tidur awal. Saya la tidur awal.

Anak sulung buat assignment

Suami teman anak sulung buat assignment, sampai pukul 11 malam. Assignment sepatutnya dihantar hari sebelumnya, tapi lecturer beri kelonggaran, sebab sedang cuti. Kerja kumpulan pula, nak kena kumpul kerja semua orang dan submit dalam bentuk video. Anak sulung saya ni, sedang belajar jurusan Perakaunan, sekarang semester 3. Nice kan, view bilik anak ni.

KLCC, waktu malam.

Nak tahu jumlah langkah saya berapa, setelah berjalan-jalan satu hari? 36 ribu, ok! Termasuk saya lari 10 km di taman klcc dan jalan-jalan sampai ke Pavilion dan KLCC. Ini melebihi langkah yang saya dapat kalau saya buat half marathon. Buat hm je pun, sekitar 34-35 ribu langkah sahaja, biasanya.

Saya rasa, sangat beruntung orang yang tinggal di tengah ibu kota. Tak perlu ada kereta. Naik public transport lebih senang. Lagi satu, banyak pula stesen LRT dan MRT yang menghubungkan ke pusat membeli-belah. Siap ada laluan pejalan kaki berhawa dingin. Antara nak atau tak nak je, untuk berjalan, bakar kalori. Jalan dalam shopping complex pun ok sesangat, boleh window shopping.

Apa pun, saya enjoy dapat berjalan banyak tempat di hari kedua. Jalanraya dan bangunan sudah banyak berubah, tak seperti masa saya kerja KL dulu. Dapat jumpa kakak sulung. Alhamdulillah. 

Oklah. To be continued... jumpa lagi, ye. 😊

Berlari di taman tasik UTP

 Sabtu, 11 Jun 2023 - Saya pergi berlari di taman tasik Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Seri Iskandar, Perak. Jarak dari rumah saya, lebih kurang 47 kilometer. Sebab hari Sabtu, saya dan suami biasanya ke Pasar Pagi Bota Kanan. Jadi, lajak lebih sikit dari Bota, keluar rumah awal selepas subuh, untuk pergi lari dulu, sebelum pergi pasar.

Saya pernah cerita tentang beriadah di UTP melalui entri ini, tahun lepas.

Taman tasik UTP ini dibuka kepada umum. Orang luar juga boleh masuk beriadah di taman tasik ini, walaupun bukan pelajar atau kakitangan UTP. 

Sebaik saja memasuki pintu utama, terus belok ke kiri, ada jalan ke tempat parking. Tidak perlu melalui pondok pengawal. Masuk percuma. 

Trek lari

Inilah trek lari di sekeliling taman. Ada juga dari trek pavement keras tu, di sesetengah tempat. Ada juga laluan berpasir dan berbatu. Satu pusingan, lebih kurang 2 kilometer. Besar, kan? Saya suka!

Jangan terkejut pula bila jumpa dinasour, ye. 😁


Jumlah dinasour juga semakin bertambah, berbanding semasa kunjungan kali pertama saya tahun lepas ke sini. 


Semasa pusingan pertama berlari, bukan boleh lari laju sangat pun. Mesti berhenti bila jumpa dinasour. Sesuai beriadah seisi keluarga, bawa sekali anak-anak. Jalan-jalan, keluar peluh, sambil menikmati udara pagi yang segar, ada tempat duduk santai, dan ada tempat teduh dengan pokok-pokok besar. Nak berpiknik pun boleh.


Ada papan tanda penerangan, nama-nama dinasour, info berkaitan, era dinasour yang mana ia wujud, di setiap dinasour yang ada. Kalau baca satu-satu, memang tak berlarilah saya. Macam pergi muzium pula. Hehe..


Lihat di sebelah kanan, ada papan tanda penerangan tentang dinasour berkaitan. Nama dia ni Giant Sloth.




Lihat tasik di belakang sabretooth cat ni, cukup mendamaikan. Boleh layan perasaan duduk sini, sambil tengok tasik.


Ini antara laluan lari, mengikut loop pendek. Banyak laluan yang kita boleh ikut. Jika rasa tak larat nak pusing ikut laluan paling luar, boleh ikut laluan paling pendek, lebih singkat, untuk keliling tasik.

Primitive Antelope

Turtle

Turtle dari zaman dulu hingga sekarang, lebih kurang sama saja rupanya, kan. Apa pengajaran yang boleh kita ambil? Untuk kekal umur panjang, harus lari slow-slow, dan bukan laju-laju. Setuju tak? Hehe...

Jambatan merentasi sebahagian tasik

Jambatan ini boleh dilalui jika ikut laluan paling dalam.

Saya, di samping alat dalam laut yang namanya, the Subsea Tree

Penerangan mengenai alat Subsea Tree

Ooo... sebelum diletak di sini, alat ini terletak 89 meter dalam laut, di Sarawak. Banyak lagi papan-papan tanda seperti ini, di sekeliling tasik UTP ini. Jika punya masa lapang yang banyak, bolehlah anda baca. Boleh dapat ilmu. Seperti kita pergi melawat Petrosains di KLCC pula.

Bukan saja dinasour, di sekeliling tempat ini juga, kita dapati adanya taman batu, atau rock garden. Juga ada papan tanda penerangan di setiap taman batu yang ada, untuk info lebih lanjut.


Saya sempat berlarian sejauh 8 kilometer. Alhamdulillah, dapat berlari di tempat lain. Tukar-tukar angin. Rentas daerah Manjung, masuk ke daerah Perak Tengah. 

Itu pun, masih ada lagi yang dalam pembikinan, di taman ini. Saya nampak seperti planet-planet dalam sistem suria kita. Memang sesuai bawa anak-anak ke sini. 

Lepas berlari, saya dan suami pun beredar, untuk pergi pasar pagi Bota. Jalan-jalan, cari makan hari Sabtu. 

Jika dari Ipoh, taman tasik UTP ini terletak lebih kurang 30 kilometer. Jika naiki kereta, lebih kurang 40 minit masa perjalanan.

Baiklah. Jumpa lagi. 😊

Burung enggang besar

 Ahad, 25 Ramadan 1444 hijrah.

Biasanya waktu lari waktu pagi, boleh rasa bahang panas. Matahari nampak oren dan besar. Tapi lain pagi tadi. Udara sejuk. Angin bertiup lembut. Jarang-jarang tau, cuaca macam ni kat sini. Macam malam lailatul qadar je semalam. Wallahualam. Rahsia Allah. Tu pasal kita dituntut supaya all out 10 malam terakhir.

Redup je pagi tadi

Pagi tadi, sempat berlarian sejauh 5.13 km. Sekejap slowjogging, sekejap berjalan laju. Alhamdulillah.

Masa tengah lari, nampak burung enggang di pokok besar. Burung ni pemalu, tau. Macam lotong kelabu juga. Bila kita nak ambil gambar dia, dia akan pusing bagi belakang dia kat kita. Macam memerang jugalah. Elok dia berdiri tengok kita dari jauh. Bila kita bawa keluar henpon dari poket nak ambil gambar dia, terus terjun dalam laut. 

Inilah gambar paling jelas dari henpon cap ayam saya.


Besar burung enggang yang saya dan suami nampak pagi tadi. Dia punya bunyi sayap bila dia terbang, "wosh wosh wosh" bunyi macam helikopter. Serius tak tipu.


Gambar di atas masa dia depakan sayapnya. Besarnya...

Pagi tadi, saya lari sampai hujung jalan. 


Jadi, kalau kita mula dari hujung esplanade lumut, hingga ke hujung jalan mengikut jalan pejalan kaki yang disediakan, jarak hampir 2 km atau 1950 meter. Boleh tahan, kan, jauhnya.

Petang pula, saya ajak anak sulung ke bazar ramadan. Tolong angkat barang. Hehe.


Saya berbuka dengan kuetiau goreng. Dia goreng di situ juga, panas-panas. Tapi takde cili jeruk. Harga RM4.

Alhamdulillah. 

Ok la. Jumpa lagi ye. 😊

Jogging di Esplanade Lumut

 Jumaat, 9 Ramadan 1444 Hijrah.

Pada pagi Selasa lepas, saya pergi jogging juga. Saya dah biasa jogging waktu pagi. Masak pun, saya dah biasa waktu pagi. Jadi, petang bolehlah saya terlentang depan tv, rileks, atau pergi pasar ramadan, hehe..


Jogging Selasa sejauh 5.2 km. Alhamdulillah.

Saya slowjogging jer, langkah kecil, bukan laju pun. Tengok pace saya kat atas. Kalau kome fast walk, mesti boleh potong saya. Itu pun, saya bukan non-stop. Kejap-kejap berhenti, ambil gambar. Kejap-kejap, duduk sat, tengok laut.

Masa jogging hari Selasa, ternampak burung hornbill atau enggang. 


Selalu juga nampak burung hornbill ni kat sini. Yang lebih besar pun pernah nampak. Suka tengok. 😊

Saya pergi jogging dengan suami. Dia kerja shif petang, jadi lepas hantar anak sekolah, free, boleh pi riadah. Minta tolong dia sat, ambil gambar depan papan tanda Lumut yang baru siap. 


Keesokan harinya, Rabu, pun saya pergi jogging juga.


Jogging hari Rabu adalah sejauh 5.38 km. Memang saya suka ambil gambar matahari naik. Dalam gambar di atas, boleh nampak sampah sarap bertaburan. Kalau tong sampah bertutup pun kera pandai buka, inikan pula tong sampah tidak bertutup. Lagi lah jadi mangsa kera datang cari makan. Jika anda zoom-in gambar di atas, boleh nampak seekor kera sedang duduk bertenggek di atas tiang sebelah kanan matahari tu.


Macam-macam cara nak tarik pengunjung. Tapi kedai makan Tungor ni, dah tak beroperasi dah. 


Burung kingfisher, duduk lepak atas tembok batu tepi laut.

Hari Khamis, saya off jogging. Tu la, bulan posa ni, bukan larat sangat nak jogging hari-hari. Badan suruh rehat, kita pun lepak rumah sahaja.

Hari ni, hari Jumaat, saya kembali pergi jogging.


Itu pun, setakat 4.37 km sahaja. Ok ler tu, Alhamdulillah. Kita santai-santai.


Sini memang tempat untuk orang jogging. Dia ada sediakan papan tanda kecil di sesetengah tiang, beritahu berapa jauh dah kita pergi. Bermula dari lokasi paling hujung di Marina Wing...


... dan anda teruskan saja perjalanan, masuk ke Esplanade Wing


... dan boleh terus ke Jetty Wing, boleh terus lagi, masuk kawasan persendirian milik the Orient Star Resort Lumut, dan boleh terus lagi, ada laluan sehingga hampir nak masuk ke navy base. Jika ikut, jarak lebih kurang  1.6 km, anggaran saya. Sebab saya pun tak pernah ikut laluan lurus. Mesti ada tempat saya melencong, atau pusing-pusing beberapa kali, lagi-lagi di Esplanade. 

Macam pagi tadi, saya minum air banyak waktu sahur, dah kena singgah tandas awam di jetti. Harga masuk 50 sen, tandas bersih.

Alhamdulillah, atas nikmat sihat. 

Tu jer la nak cerita. Jumpa lagi, ye.