Showing posts with label Jalan-jalan Cari Makan. Show all posts
Showing posts with label Jalan-jalan Cari Makan. Show all posts

Cerita makan je

 Dah lama saya tak share gambar makanan. Saya sebelum makan, suka ambil gambar dulu. 😁 Ye la, nak simpan rekod, kita makan kat mana, kedai mana sedap, kedai mana kurang sedap, etc. Kalau masak di rumah pun, saya ada juga ambil gambar, kalau ingat la. Marilah kita jamu mata, tengok gambar makanan je. 


Pada 27 Januari lepas, saya ke Nasi Kandar Pantai di Pantai Remis, Perak. Sini yang selalu orang makan, sudah tentulah nasi kandar. Kena beratur, ambil nasi dia. Tapi tak lama tunggu dalam barisan. Laju pekerjanya ceduk lauk. Kita pun kena cakap dulu, nak lauk apa. Yang bungkus pun cakap je masa beratur tu. Dia tolong bungkuskan, kemudian hantar di meja, sementara kita tengah makan. Tapi hari tu, saya tak makan nasi kandar. Suami yang makan. Saya makan pasembor. Ha, membukit juga pasembor dia. Boleh tahan sedap juga la. Kuah tak pedas. Just nice. Ok, next..

Saya ingat kan segitiga putih tu, nasi impit. 

Yang ni, pada 28 Januari 2024. Makan maggi celup di kedai tomyam yang tak pernah pergi. Selalu lalu tengok meriah je kedai tomyam ni. Lampu lawa dan terang. Tapi time kami pergi ni, waktu petang. Sebab lokasi tepi jalan saja, dan memang lalu situ nak balik rumah. Jadi, kami pun singgah la. Gambar maggi celup, tapi maggi tak nampak. Tunggu sat.

Segitiga tu, telur rebus rupanya...

Ini, gambar yang saya sudah gaul kesemuanya. Nama pun kedai tomyam, magginya, dia pakai maggi siam tu ler. Ada kangkung, taugeh, ayam. Di sudah letak perasa tambahan tu, seperti cili flakes dan sebagainya. Cukup rasa pedas. Makan tengah cuaca panas. Berpeluh terus. Orait la rasa dia. 

Seterusnya...


Ini adalah ayam goreng berlada yang saya masak pada 29 Januari lepas. Kalau masak lauk ni, sekejap je habis. Saya tumbuk cili guna lesung je. Tak berapa banyak pulak cili yang ada di rumah. Itu yang kering je tu. Tak berkuah.

Kemudian...


Cer teka, cer teka... yang ini mee goreng kah, atau spagetti?

Hehe.. ini sebenarnya spagetti, tapi saya rebus dulu hingga lembut, kemudian saya goreng macam saya goreng mee. Masak melayu style. Sedikit pedas, anak-anak cakap, tapi habis juga. Spagetti goreng ni, saya masak semasa 30 Januari lepas.


Bawah tomato dalam gambar di atas, ada telur goreng. Ini sarapan saya, pada hari yang sama. Sarapan, makan roti whole wheat bakar. Tengahari, baru saya makan spagetti goreng di atas.

Untuk makan malam, suami ajak lepak di Black Canyon. Lama tak pekena kopi. Sebenarnya, waktu ini, saya sudah 6 hari tak minum air manis. Tiba-tiba terminum kopi. Hahaha... saya memang tak kuat lawan kopi ni. 


Suami pesan Black Canyon Iced Coffee (kiri) sementara saya pesan hot cappuchino. Dia bagi dengan biskut huruf tu, dan segelas kecil jasmin tea tanpa gula.


Makan pula, kami pesan american club sandwich. Share makan dua orang. Dulu-dulu, sandwich dia penuh pinggan dan besar, kan. Tengoklah sandwich dia sekarang, sudah kecut. 🙈 Saya pun baru tahu, sebab dah lama tak datang Black Canyon. 

Cerita makan bulan Januari, saya baru nak up entri hari ni. Sekarang, saya masih minum kopi. Tapi kan, saya sudah boleh minum kopi tanpa gula. Walaupun rasa dia tak sesedap kopi biasa. Haha.. ye la, nak diet. Kenalah korban sikit rasa tu.  

Ok la ye. Sekian perkongsian buat kali ini. Jumpa lagi. 😊

Ayam goreng seekor

 Kat rumah saya ni, ada anak yang sangat suka makan protein sahaja. Sumber protein adalah ayam dan ikan, tak kira masak apa pun. Nasi, dia kurang makan. Kadang-kadang saja. Bak kata cerita Badul dulu-dulu, "Eh, makan lauk je. Nasi-nasi takde?" 😁 Ate, orang jaga body, katakan.

Dekat Lumut, ada satu kedai jual ayam. Kebiasaannya, ayam goreng, dijual seketul-seketul. Tapi di kedai ni, dia jual seekor, gitu. Tak pernah jumpa. 

Kredit foto: Ayam goreng Mak Ani

Besar ayam dia. Harga ayam goreng seekor, adalah RM18.

Kulit ayam garing. Dalamnya, isi ayam lembut, dan masak dengan elok.

Kredit gambar: Ayam goreng Mak Ani.

Ini lah kedainya. Ayam goreng Mak Ani. Kadang bila saya kurang rajin nak masak, kirim kat suami, time dia nak balik kerja, beli ayam goreng di sini saja. Yang harga RM1.50 tu, yang seketul-seketul. 

Selain ayam goreng, kedai ni juga ada jual makanan yang cucuk-cucuk tu, seperti dalam gambar di bawah...

Kredit foto: Ayam Goreng Mak Ani

Ada sekali, suami saya beli sekali lemper. Rupa dia macam pulut panggang. Tapi yang bezanya, dalam pulut tu, intinya ayam. Tak ingat pula nak ambil gambar lemper. 


Inilah ayam goreng seekor yang dibeli. Bila balik, saya biasanya ambil chopper, dan potong ayam kepada 4 bahagian. Ok sesangat. Alhamdulillah.

Lokasi kedai ini adalah depan kedai Eco, Jalan Padang Tembak, Lumut. Jalan yang nak pergi ke Teluk Batik, tu. Ada 2 pulak kedai Eco situ, satu, Eco harga RM2.40. Satu lagi kedai Eco, harga RM2.30. Huh.. macam-macam. 

Kedai ini dibuka bermula pukul 11 pagi, sehinggalah habis jualannya. Hari Sabtu dan Ahad, kedai tutup.

Kalau datang ke Lumut, Perak, singgahlah ya. 

Saya tak terima apa-apa komisen pun. Sekadar berkongsi je. Sebab saya pun, tak reti nak goreng ayam yang seekor, tidak dipotong sebegitu. Kena ada skill juga kan, sebab boleh jadi tak masak, ada bahagian berdarah. Atau boleh jadi overcooked. Setakat saya pernah beli 2-3 kali ni, Alhamdulillah, ayam rasa sedap dan tidak kering.

Ok, jumpa lagi, ye. 😊

Lari di UTP, mee tikus dan nasi kandar

Bulan Januari 2024 sahaja, sudah 3 kali saya berlarian di Taman Tasik UTP (Universiti Teknologi Petronas). Biasanya, saya dan suami datang sini apabila suami off kerja. Jadi, kami dapat pergi lokasi jauh sikit dari rumah. Di samping itu, dapat juga jalan-jalan cari makan. 2 dalam 1. Perjalanan ke UTP dari rumah, mengambil masa lebih kurang 40 hingga 50 minit, bergantung pada keadaan trafik. 

Larian 1 Januari, 10.3 kilometer.

Larian 11 Januari, 7.11 kilometer.

Dan semalam pun, saya dan suami ke UTP lagi. Cuma semalam saya tak lari. Rasa malas sangat, jadi saya jalan-jalan saja.

Jalan-jalan 17 Januari, 4.56 kilometer.

Alhamdulillah, atas nikmat sihat yang Allah kurniakan. Bila berjalan, boleh tengok banyak benda, berbanding bila berlari, tak berapa ambil perhatian sangat dengan benda sekeliling kita.

Ada replika dinasour.

Di Taman Tasik UTP ini, bertempatnya Geological Rock Garden, yang merupakan taman geologi terbesar di Malaysia. Baru saja dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, lebih kurang seminggu yang lalu.


Semasa kami pergi semalam, cuaca baik, tak berapa panas sangat. Ada tanda-tanda nak hujan.


Sesuai datang sini, waktu pagi atau petang. Bersiar-siar atau berjogging. Bawa seisi keluarga. Satu pusingan yang paling luar, boleh dapat 2 kilometer.


Ralit perhatikan air tasik. Burung-burung bangau pun banyak berterbangan, lebih-lebih lagi bila mesin pemotong rumput baru melepasi sesuatu kawasan tu, mungkin senang dapat cacing di tanah, bila rumput baru dipotong. Burung lain pun banyak di sini. Jadi, memang rasa tenang untuk layan perasaan dan menghirup udara segar waktu pagi.

Bila cuaca mula panas, kami pun beredar. Tak sampai 5 kilometer pun berjalan. Jadilah, keluar peluh, dari duduk rumah depan tv. 

Kami pergi Batu Gajah, sarapan di sana. Nak cuba tempat baru.

Pernah dengar orang makan mee tikus di Ipoh. Tapi, saya baru tahu, di Batu Gajah, Perak, pun ada gerai menyajikan mee tikus juga. Marilah kita cuba. Saya tak tahu mana mee ni dapat nama mee tikus. 😁

Nama kedai adalah RM Corner. Saya secara kebetulan terjumpa orang cakap tentang kedai ni, di group JJCM@Perak di facebook.


RM Corner tu, singkatan dari Ramli Misha Corner. Bagi yang tak biasa, mungkin berpendapat yang kedai ni, macam kedai makan cina. Sebenarnya, isterinya mualaf. Jadi, makanan di gerai adalah halal.

Lagi keratan akhbar mengenai RM Corner

Saya pula tak pernah makan mee tikus, walaupun selalu ternampak video mee tikus stesen bas medan kid yang viral di Ipoh. Kat Batu Gajah pun ada, jadi, marilah kita cuba, ya.

Mee tikus goreng
 
Sebab pertama kali makan, saya cerita sikit tentang mee tikus yang saya dapat info melalui carian google ya. Mee ini adalah masakan cina yang berasal dari Taiwan, Loh si fan. Loh si dalam bahasa cina bermaksud tikus. Fan pula bermaksud mee. Makna sebenarnya adalah laksa pendek, tapi orang lebih kenal mee ini sebagai mee tikus. 

Masa saya tengah tunggu pesanan sampai, ada bau wangi macam orang goreng kuetiau, dan ada rasa hangit, macam dimasak guna api besar. Saya suka, saya suka, sebab ada bau hangit. Hehe...

Sudah makan. Memang sedap. 😋 

Suami pesan bihun goreng. Tapi saya lupa ambil gambar, bihun goreng tu. Sebab tengah syok makan mee saya.

Lain kali boleh datang lagi. Yeh!

Nama kedai: RM Corner

Alamat: No. 2, Plaza Batu Gajah.

Masa operasi: 8 pagi hingga 1 petang.

Lepas kenyang makan, kami tak terus balik, pergi Kampar la pulak, nak bungkus nasi kandar beratur 786. 😁 Hahaha... tak masak semalam. Yay!

Suami saya pesan 2 nasi  kandar ayam goreng, 2 nasi kandar ayam bawang. Lauk letak asing ye, mamak.

Ayam dia besor!

Selamat makan tengahari, nasi kandaq. Sayur kobis jangan dilupa. Juga, telur masin. Surrrr...... 😋

Lepas tu, banyak kerja rumah kena siapkan. Lipat kain, menjahit baju anak yang koyak. Orang baiki aircond pun datang semalam. Ada 2 aircond rumah rosak. 

Jahit baju koyak

Tak beli baru. Kita jahit je. Dia pun lagi 2 bulan, nak habis sekolah. Baju inner, pakai dalam baju sekolah.

Ingat kan, petang lepas Asar, free la, untuk update blog. Tak sempat juga. Saya keluar sampai nak maghrib, baru balik rumah. Cari barang anak-anak sekolah. Gitulah ceritanya. Apa nak buat. Hari yang sibuk. Hehe..

Orait. Jumpa lagi, ye. 😊

Sedapnya makan di Rumah Makan Nasi Talam Taiping

 Ahad, 10 Disember 2023 - Saya dan suami ke Taiping. Saja, jalan-jalan makan angin, berdua jek. Singgah ler di Rumah Makan Nasi Talam. Pertama kali kami singgah sini. Lebih kurang pukul 1. Perut pun dah berkeroncong. Cuaca panas lit lit masa kami sampai. Parking tepi jalan je.

Gambar ehsan google

Tak ingat la, nak ambil gambar dari depan. Jalan laju je masuk, mau cari nasi. 😁


Pilih lah, pilih. Nak makan mana satu... Gambar ada tu. Sampel pun ada tu. Buka bawah tudung saji tu, ye. Untuk lihat camana rupa menu yang paling menawan selera. Ayam bakar ada, sotong bakar, kambing bakar, siakap bakar.

Menu lebih terperinci ada ditampal di tepi. 


Geram tengok menu sotong jahat. Bukan sotong tu jahat rompak bank. Bukan. Sotong tu jahat sebab dia gemuk! Alamak, lain kali nak order sotong jahat la. Hari tu, kami nak order siakap. Tapi siakap not available untuk 2 orang. Tuan kedai ada rekomen menu lain, sangat membantu, mungkin sebab tengok kami cangak bangak tak tahu nak pilih mana satu. Lain kali kalau mai ramai orang sikit, boleh cuba siakap. 


Sambungan menu di atas. Ish ish ish, kena mai lagi la, pekena menu lain pulak. Hari tu, kami order set ayam bakar je, untuk 2 orang.

Cari tempat duduk dekat kipas, bahagian dalam. Lain kali, nak duduk luar. Mungkin ada angin. Makan di dalam berpeluh, ok.


Bila sampai, macam ni la rupa dia. Klasiknya talam dia. Talam kenduri orang zaman dulu, ni. 😁

Meh kita angkat ayam bakor tu ke tepi, nak tengok apa ada bawah.


Saya pun ingat-ingat lupa, sebab benda berlaku tahun lepas. Mari saya cuba recall balik. Dalam set ayam bakor tu, ada lauk daging tetel asam pedas, masak lemak sayur apa tu yek? Alamak, hilang ingatan aku. Rasanya pucuk ubi. Kalau salah, saya minta maaf. Ada sambal tempe bersama kacang panjang, sambal belacan (power sambal dia. Air hidung sampai keluor, ok), di tengah tu, ikan patin masak tempoyak. Saya ingat, masak gulai. Tempoyak tu, tak berapa rasa sangat. Ada ulam-ulaman, dan ikan masin. Nasi, satu bekas tu, dia bagi. Air, satu jag dia bagi. Jag kenduri. 😁

Haaa... jemput, jemput makann....


Alhamdulillah. Licin makan. Cuma nasi je kami tak mampu nak habiskan. Dia bagi nasi banyak. Itu pun, saya tambah 3-4 kali juga. Punoh diet.

Masa nak balik. hujan pun turun dengan lebatnya.


Makan untuk 2 orang, harga RM59.90. Ok tak harga tu? Saya rasa, ok. Berpatutan. Sedap, ada rasa.

Lepas bayar, nak balik ke kereta, hujan teramat lebat. Sampai naik air depan kedai. Sementara tunggu hujan reda sikit, saya tengok ada sudut dalam kedai, ada jual pelbagai makanan ringan. 

Cuba korang tengok tulisan kat dinding tu. 😁

Lama la kami tunggu hujan reda. Pekerja kedai sampai bagi pinjam payung, sebab tengok kami berdiri lama. Suami hantar saya ke kereta dengan payung pinjam. Dia kembali ke kereta, sambil berpayungkan bekas telur orang kedai kasi. 

Inilah Taiping. Sekejap panas. Tiba-tiba hujan. Lebat pulak tu. 

Alhamdulillah. Pada pendapat saya, sedap makan nasi di sini. Boleh datang lagi lain kali. Kalau korang singgah Taiping, jemput datang ye.

Rumah Makan Nasi Talam

Lot 1456 Jalan Kuala Kangsar Changkat Jering 

34850 Taiping, Perak.

Masa operasi: 11 pagi hingga 5 petang

Tutup Jumaat.

Baik. Jumpa lagi, ye. 😊

Aktiviti makan-makan

 It's the time of the month, di mana saya share gambar makan, makan dan makan. 😁😋 Mana tahu, kot ada antara pembaca yang mencari tempat makan di Perak. Boleh la ada idea mana nak pergi menjamu selera. Mari kita tengok...

Puri

Makan puri di Restoran Biriyani Manjung, cawangan Kampung Acheh. Dekat persimpangan Pelabuhan Lumut. Kedai mamak ni. Sarapan di pagi yang hujan, makan puri bersama chutney kentang sangatlah sedap, lebih-lebih lagi ada segelas kopi panas. Aummm! 

Tarikh pergi makan: 19 November 2023.

Udang celup tepung, bihun goreng dan telur dadar

Makan malam di Restoran Lumut Ikan Bakar. Selama tinggal di Lumut ni, inilah tempat paling sedap kalau nak makan udang celup tepung. Boleh pilih udang sendiri. Dalam gambar di atas, suami saya pilih udang harimau. Udang yang segar, rangup dan sangat sedap dimakan sambil cicah sos yang disediakan. Bihun goreng dia portion besar, saya dan suami kongsi makan. Telur dadar tu, suami suka, mesti ada. Harga untuk tiga hidangan di atas, termasuk air minuman adalah RM49. 

Tarikh pergi makan: 23 November 2023

Restoran ini terletak di tepi jalan utama dari Manjung ke Lumut. Selalu ramai orang. Buka pukul 6 petang.

Bihun goreng separuh, kuetiau goreng separuh, dan telur mata.

Yang ni, ulang makan di Restoran Biriyani di atas. Mamak ni, selain menu seperti roti canai, tosei, puri, dan lain-lain roti tu, serta makanan panas, ada disediakan makanan telah siap, seperti saya ambil di atas. Layan diri, ambil sendiri. Sebab tu la, ramai yang bekerja di pelabuhan Lumut, akan singgah sini, bungkus makan dulu, on the way pergi kerja. Ada bihun, kuetiau, mi dan nasi goreng. Juga ayam goreng, ayam masala dan banyak lagi. Orang yang nak cepat, tak perlu tunggu lama, sebab makanan dah ada.

Tarikh pergi makan: 24 November 2023

Seterusnya, sarapan capati di Capati Kari Kambing Bota. 

Capati kari kambing

Saya seperti biasa, pesan kari kambing. Suami pesan kuah sardin. Dua keping sorang, ye. Sedap, tak tau camana nak habaq! 😋👍👍 Nikmat sungguh. Alhamdulillah. 

Cuma satu je kedai ni boleh perbaiki, sistem bayaran dia tu. Bila orang ramai, beratur nak bayar tu, kawasan tu sempit. Situ la orang kedai nak lalu nak hantar capati, situ la orang kedai lalu nak hantar air. Orang nak bungkus pun situ juga. 

Tarikh pergi makan: 27 November 2023

Bihun ladna

Saya jarang pesan bihun ladna ni. Makan di Restoran Sri Bangtawa Seafood. Kalau nak makan kedai tomyam, memang sinilah saya dan suami tuju. Cepat siap. Makanan pun sedap. Kedai terletak di jalan utama nak ke pekan Lumut. 

Tarikh pergi makan: 28 November 2023

Mi rebus

Sedap mi rebus dia. Yang ini, saya makan di Warung Nelayan Kampung Permatang, Seri Manjung. Kedai ni buka pagi, tutup tengahari. Port sarapan la. 

Tarikh pergi makan: 29 November 2023

Mi goreng separuh, kuetiau goreng separuh, atas letak ayam pedas

Eh, ayam pedas ke, ayam masak apa entah. Ni bukan makan. Tapi mentekederah, atau mencekik atau melantak. 😁 Saya ambil sikit. Tapi suami kata, nanti dia kira 1 pinggan juga, walaupun kita ambil makanan suku pinggan. Baiklah. Itu yang saya tambah. Tak habis makan, suami habiskan. Yang ni, makan di kedai mamak Biriyani lagi, seperti di atas.

Tarikh pergi makan: 30 November 2023

Ok. Sekian dulu la, aktiviti makan-makan buat masa ini. Makan je. Rezeki jangan ditolak. Lepas tu, kita bakar balik dengan bersenam. Lari untuk makan. Hihihihi...

Jumpa lagi, ye. 😊

Cerita makan

Saya suka makan. Antara sebab saya keluar berlari, adalah kerana kadang-kadang, saya makan banyak. Sebab rasa badan sudah mulai berat, jadi saya pun lari lah lama-lama. Saya check handphone saya, ada beberapa gambar makanan dari aktiviti jalan-jalan cari makan, yang saya lupa untuk share. Marilah kita tengok. Hehe... sori la, kalau ada pembaca yang sedang berpuasa hari ni, puasa sunat hari Isnin atau sedang ganti puasa. 

Nasi Kandar Saddam

Kedai ni, ofismate suami yang rekomen untuk pergi. Sedap, katanya. Suami saya pula memang penggemar nasi kandar. Jadi, kami pun pergilah check-it-out pada 30 Julai yang lepas. Tengok, berapa lama punya cerita la, peram dalam handphone. Kedai terletak berdekatan dengan Aeon Station 18, Ipoh.

Nasi kandaq kuah campoq satu!

Saya ambil ayam goreng, nasi kuah campur, sayur kobis dan telur masin.

Tapi betullah orang kata, sedap itu subjektif. Mungkin sedap bagi orang, tapi tak berapa sedap bagi kita. Pada pendapat saya, biasa-biasa je la nasi kandar Saddam ni. 

Yang orang kata nasi ganja di Jalan Yang Kalsom Ipoh tu pun, yang orang beratur untuk makan tu, yang itu pun, saya tak faham apa yang orang ketagih sangat tu. Pada saya, biasa-biasa je. Sudah la kita kena makan cepat, sebab ada orang lain sedang beratur untuk duduk. Tak kan kita nak makan berjam-jam sambil menyembang kot.

Nasi kandar beratur Pantai Remis ada lain sikit, kuah dia. Tak sama macam nasi kandar yang saya pernah cuba. Kalau makan sini, cubalah pesan ayam kandar dia. Tapi sini, tempat duduk pulak terhad. Kadang kita kena duduk meja panjang dan share dengan orang yang kita tak kenal. 

Bagi saya, Nasi Kandar Beratur 786 Kampar juga yang terbaik. Walau pun kena beratur, servisnya cepat. Tempat makan banyak. Ada tempat terbuka, juga tempat ber-aircond. Jadi, kalau nak rasa sedapnya nasi kandar sambil makan dengan selesa, sinilah tempatnya.

Sekian cerita nasi kandar. Cerita makan tempat lain pula.

Saya dan suami ada pergi makan di Kluang Kopi, pada 29 September lepas.

Lontong kering

Memang gendut makan lontong kering di Kluang Kopi ni. Kena share 2 orang. Sambal jawa dia terbaik! 😋

Lain hari pula, pada 14 Oktober, kami singgah makan di Capati Kari Kambing Bota.

Dah cubit capati sikit baru teringat nak ambil gambar.

Kakak yang ambil pesan tu akan tanya, nak berapa keping, kalau pesan capati. Saya dengan yakinnya cakap, sekeping, kak. 10 minit kemudian, saya pergi balik pada kakak uli capati tu, pesan lagi sekeping. Hehe... tak cukup sekeping, wei. Kari kambing tu pekat. Lembut pulak tu, daging kambing. Saya suka! 😋 Kalau anda datang ke Perak, singgah lah ke Bota, cuba capati ni. Tak tau nak cakap la. Dap, dap!

Cerita hari lain pula, sarapan di mamak Biriyani Kampung Acheh, dekat Lumut Port.

Tosei, satu!


Kami pi ni pada 17 Oktober yang lepas. Saya pesan tosei. Suami ambil bihun goreng mamak, dengan sambal. Juga beberapa ketul ayam goreng. Jarang-jarang dah la pi mamak sekarang ni. 

Keesokan hari pula, kami pi sarapan di Pasar Komuniti dan Karavan Manjung. Meh tengok kami makan apa, di sana, pada 18 Oktober.

Mi rebus daging

Ubi goreng dengan serdaknya sekali, dan karipap.

Suami ambil bihun goreng dengan sambal paru

Lempeng pisang


Ada satu hari, kami jalan jauh sikit, ke Seri Iskandar, pada 29 Oktober lepas. Suami tanya, nak jalan-jalan cari makan di mana, sebab dia tak kerja. Kami pi Mee Mamak Royale. 

Mee mamak, sambal sotong letak asing

Pernah tengok di Penang, orang makan mee goreng, atas dia ada sambal sotong. Habis merah jadinya mee goreng dia. Tapi suami masa pesan tu, dia minta asing. Perut orang tua. Takut pedas ke, apa ke, pertama kali cuba. Not bad la. Sambal dia boleh diterima, tak pedas sangat pun. Lembut juga sotong dalam sambal tu. Mee goreng ok sesangat. 

Mee Mamak Royale
Lokasi: Berhadapan Masjid Bandar U, Seri Iskandar, Perak.
Masa operasi: 10 pagi hingga 6.30 petang. Jumaat tutup.

Bukan setakat mee goreng saja, dia ada mee kuah daging, kuetiau kerang, mihun daging, maggi goreng, cendol, laksa, mee sup daging, mee sup perut, macam-macam la. 

Alhamdulillah.. Rezeki, dapat makan sedap-sedap belaka. Saja, nak clearkan gambar makanan dalam handphone saya. Tu buat dalam satu entri je. 

Sekarang ni, musim orang memboikot. Saya pun tak tau nak boikot apa. Sebab saya pun tak makan di mekdi, di setarbak, di kedai-kedai yang orang dok sebut-sebut tu la. Saya ada makan mi segera, tapi jenama yang saya beli, Indomie dan bihun Pama. Hehe. Meelo pun saya tak minum. Saya dan suami biasanya makan di kedai-kedai macam ni la. Kedai tempatan, orang kita. Ada makan mekdi, tapi dalam setahun 3-4 kali je la, itu pun beli aiskrim dia tu je. Tapi saya rasa kesian pula bila terbaca baru-baru ni, pihak pengurusan mekdi bagitahu yang ramai kakitangannya, orang kita, sudah terjejas pendapatan. Keuntungan mereka digunakan untuk rolling bisnes, bukan salur pada 'si laknatullah' tu. Nampaknya, memang berkesan tindakan boikot ni, sebab pendapatan mereka sudah terjejas. Tapi kesian juga pada orang-orang kita yang bekerja di sana. Kalau nak boikot, cuba jangan guna mukabuku atau gugel. Mereka terang-terang cakap pendirian mereka belah rejim zionis tu. Korang rasa, camana?

Orait, jumpa lagi, ye. Rezeki jangan ditolak. Makan je. Bersenam jangan lupa. 😊