Tak tau nak tulis tajuk apa

Selasa, hari terakhir di bulan Mei.

Bangun awal pagi. Goreng popcorn chicken. Perangat lauk ayam pedas dalam peti ais. Perangat ayam KFC, semalam tak habis. Masak nasi. Lepas Subuh, pi jogging. Suami ada, dia hantar anak kedua ke sekolah. Saya boleh jogging awal.


Hari ni, lari sampai bateri jam mati. Dapat 10.56 km. Saya pakai jam tangan kanan. Ye, tangan saya hitam. Kalau Alif Shukri tu tengok, dia cakap, "Eee.. tangan hitam, muka putih!" 🙈

Kawan jogging saya cerita, kawan sekolahnya meninggal semalam. Whatsapp tak jawap, pergi rumah, bagi salam, tak buka pintu. Arwah seorang ibu tunggal, anak-anak ada yang duduk Johor dan Penang. Umur 56. Bila tak jumpa 2 hari, kawannya telefon polis, suruh pecah masuk rumah. Arwah ditemui sudah meninggal atas katil. Ada sakit kencing manis. Meninggal sorang-sorang. Bagus juga ada kejiranan dan kawan yang prihatin, datang cari bila senyap. Itu akhir dia. Entah akhir kita, camana agaknya. Allahuakbar... Alfatihah untuk arwah.

Semoga segala urusan anda hari ni dipermudahkan.

Jumpa lagi, ye.

Minggu baru, hari baru

 Isnin, 29 Syawal 1443 Hijrah.

Semalam, hari Ahad, saya cuti dari berlari. Saja, berehat. Pergi keluar sarapan di luar dengan suami dan anak-anak.

Pagi tadi, minggu baru. Bangun awal pagi, goreng popcorn chicken, wantan dan masak nasi goreng. Pergi jogging semula, macam biasa.


Buat 10 km. Panas cuaca hari ni. Alhamdulillah.

Sarapan di rumah sahaja. Suami ada, dia kerja masuk shif petang. Dia bawa anak bongsu pergi gunting rambut. Anak bongsu sekolah sesi petang. 

Lepas tu, saya dan suami pergi keluar berdua ke pasaraya TF, beli barang dapur. Banyak barang rumah dah habis.

Suami tapau KFC. Jadi, tak perlu masak hari ni. 😁 🠈🠈🠈 ni muka saya sepanjang hari bila tak perlu masak untuk tengahari dan malam.

Lepas zohor, tengok rancangan ulangan anugerah meletop yang disiarkan semalam secara langsung. Semalam saya tidor.

Suami masuk kerja. Sebelum pi kerja, dia kata, tak perlu ambil anak bongsu balik sekolah, sebab anak kata, nak balik jalan kaki. 🤯 🠈🠈🠈 ni muka saya bila suami kata anak nak balik jalan kaki.

Anak bongsu saya ni, saya selalu ajak jogging dengan saya, tapi tak pernah nak ikut, bila hari tak sekolah. Dia punya badan semangat sikit. Bukan sikit, tapi agak banyak juga, BMI obese. Ok, ni mesti ada awek cakap dia gemuk, suruh dia kuruskan badan sikit. Marilah kita tengok ye. Berapa hari dia larat nak jalan kaki balik rumah. Jarak antara sekolah dan rumah, kurang dari 1 km. 😝

Semoga hari anda pada hari ini berjalan dengan lancar.

Jumpa lagi, ye.

Kasut baru

 Sabtu, 27 Syawal 1443 Hijrah.

Semalam, saya tak sempat nak update blog.


Semalam punya riadah adalah lebih kurang 10 km. 
Gambar di atas adalah masa saya ngopi kat rumah, depan tv, dok bersila atas lantai. Cicah biskut hup seng dengan kopiko. 

Melalui larian semalam, saya dah melebihi mileage sejauh 200 km di bulan Mei.



Lepas solat jumaat semalam, saya *nyongket ke Ipoh, dengan suami dan anak sulung. Anak sulung dah habis matriks. Dia punya kursus, 2 semester je. Selamat balik rumah hari Khamis. Semalam dia nak ikut, sebab lama tak berjalan. 2 orang lagi anak tak mau ikut nyongket, sebab letih, lari merentas desa. 😁

*nyongket : jalan-jalan, lorat Perak

Saya pergi Sports Direct, beli kasut lari baru. Satu kasut saya dah kena let go, sebab dah makan kaki. Sudah over mileage, dan menyakitkan bahagian tapak kaki bila pakai berlari.


Test pakai kasut baru masa beriadah pagi tadi. Buat 10 km.

Pada suatu masa dahulu, masa saya mula berlari, tahun 2014, saya pernah pakai kasut Puma. Semalam, saya beli kasut ni, Puma Electrify Nitro, sebab rasa macam sedap je, masa test kat kedai. 

Bila test lari pagi tadi, kaki saya cakap, kasut New Balance lebih sedap dari kasut Puma. 😁

Tu je nak cakap. Tapi benda ni subjektif. Kaki kita lain-lain. Ada orang suka Asics, ada orang suka Adidas, Nike, Hoka, atau lain-lain. 

Saya berpendapat, sepanjang penglibatan saya dalam dunia larian ni, saya paling suka Nike. Nike Pegasus tu, sedap sangat pakai. Lepas Nike, kasut New Balance. Kasut yang paling tahan lama, saya pernah lanyak sampai lebih 1500 km, kasut Kalenji, beli kat Decathlon. Elok, takde koyak-koyak. 

Saya suka rotate kasut. Maknanya, saya ada beberapa pasang kasut untuk pakai masa lari. Jadi, saya tak guna sepasang je. Untuk road run. Kasut trail, saya takde, saya cuma pakai kasut potong getah, bila saya naik bukit. Itu pun, dah lama tak naik bukit.

Ok la. Hari ni hari Sabtu, salam hujung minggu. 

Selamat beristirehat bersama keluarga.

Jumpa lagi, ye.

Tengok laut

 Khamis, 25 Syawal 1443 Hijrah.

Suami saya off kerja hari ni. Ajak dia pi jogging, lepas hantar anak kedua ke sekolah.


Kami pi Esplanade, Lumut. Sini sangat aman damai. Tempat nyonya-nyonya beriadah pagi-pagi. Tak ramai orang. Kalau datang awal pagi masa matahari belum keluar, ada banyak lampu spotlight dipasang. Jadi, tak gelap. Boleh tengok pokok, tengok laut.


Cantik kan, tengok matahari naik. Datang sini, takde la lari sangat pun. Amik gambar je banyak. 😁


Sepasang kucing yang tengah dating. Bila tengok kita ambil gambar dia, dia datang dekat. Hari ni tak bawa catfood. Tapi, ada je orang yang tinggal catfood, kat tepi-tepi laluan pejalan kaki. 


Kita boleh jogging dari hujung sana ke hujung sinun, sampai tempat nak masuk navy base. Boleh la cukup target 10 ribu langkah riadah kat sini.


Kucing tengah lepak. 


Dapat lebih kurang 5 km jogging pagi tadi. Cukup 1 jam beriadah. Alhamdulillah.

Lepas jogging buat apa? Ngopi laa, cari nasi lemak. Kikiki...

Ok la ye. 

Semoga segala urusan anda pada hari ini dipermudahkan.

Jumpa lagi.

Movie yang ending dia tak dijangka

 Rabu, 24 Syawal 1443 Hijrah.


Mula-mula jogging, panas. Tiba-tiba awan mendung berarak kelabu datang. Hujan turun sikit. Alhamdulillah. Lama sangat tak hujan, kan. Sejuk sikit suasana. Kawan-kawan saya dah balik jogging. Saya sambung jogging sorang, sampai 10 km. 

Gambar menunjukkan pink guava, blended, beli kat tealive. Dah lama sangat tak beli kopi di Tealive. Last sekali saya minum signature coffee panas Tealive, saya sakit kepala campur mual sepanjang hari. Terus tak beli dah. Kopi tu sedap, tapi saya yang dah tak boleh terima kot. Suami saya minum, ok, signature coffee tu. Itu yang saya cuba pink guava. Sedap, pada tekak saya ni. Yang merah-merah tu, campuran roselle. Sedap! 😋

Semalam, saya ada tengok satu movie ni, tajuk dia, All the Bright Places.


Lepas habis movie, termenung kejap. 
Aritu, pun ada tengok satu movie jugak, pun buat saya termenung macam tu jugak.



Bukan apa, dua-dua movie ni, ada satu persamaan. Dia cerita pasal A, semua pasal A. Tapi endingnya, Z. Langsung kita tak jangka akhir dia macam tu. Selalu kalau kita tengok cerita, kan kita boleh ramal apa berlaku, kan. Lagi-lagi cerita melayu. Ok, dah agak dah, jadi camtu. Tapi 2 movie ni, lain sikit.

Tapi sebenornya, hidup kita pun macam tu jugak, kan. 
Kita tak tahu pengakhiran kita camana. 
Tapi tak mau la tengok cerita sedih-sedih camni. Orang nak happy happy. 
Kalau pembaca rasa nak layan jiwang, makan popcorn sambil mengalir ayor mata, boleh la kot tengok 2 movie di atas. All the Bright Places dan Remember Me. 

Ok. Jumpa lagi, ye. 

Makan ikan lebih sihat banding makan ayam

 Selasa, 23 Syawal 1443 Hijrah.

Pagi tadi, lepas hantar anak kedua ke sekolah, barulah saya pergi jogging.


Agak lewat, pukul 7.20 pagi, baru start. Matahari dah naik. Baru jogging satu round, singgah kat kereta, ambil topi, pakai waktu jogging. Dapat juga habiskan 10 km. Layan kaki. Kawan-kawan dah balik, sebab dia orang datang awal. 

Gambar di atas adalah sarapan saya dan suami, pagi tadi. Suami saya, baru balik kerja shif malam. Pukul 8 pagi, dia habis kerja. Tanya suami, nak sarapan di rumah ke, di luar? Dia kata, luor ler. Hehe..

Pergi kedai makan yang nama dia, De' Perahu. Masa tiba di kedai makan, sudah hampir pukul 10 pagi. Makan nasi la. Saya ambil kuah gulai. Kami share ikan bakar. Ada ambil sambal belacan campur air asam, dan budu juga, bersama ulam. Lama tak minum nescafe tarik. 

Agak masin air asam dia. Susah nak cari kedai makan yang lauk dia tak masin. Eh, komplen pulak ye. Kalau nak sedap, masak sendiri la kat rumah, ye dak? Hehe... 

Saya cadang kat suami, kita masak nasi je kat rumah, jom kita tapau lauk. Dia kata, ok je, asalkan kita tapau lauk kat kedai lain. Kedai ni, lauk dia masin. 

Pergi kedai biasa saya pi tapau lauk, Kedai Cek Yah. Kakak tukang bungkus lauk ngadu, pasal isu ayam la, sekarang ni. Kat sini, beli ayam, ada upah RM0.80, untuk potong ayam seekor. Haha.. saya kata, kat dia, potong sendiri la. Kalau sendiri makan memang boleh. Tapi kalau nak masak kat kedai, dok kerja potong ayam je la, lambat siap masak, satu hari kan masak berpuluh-puluh ekor ayam. Gitu... betul juga cakap dia. Pandangan dari sudut orang niaga.

Pendapat saya? Ada ayam, beli. Takde ayam, kita beli ikan je la. Kalau dia tak jual ayam yang tak dipotong, potong la sendiri. Kalau dia insist jual ayam, mesti potong dengan dia, bayar je la kalau tak tau potong. Kalau tak nak jual ayam yang tak dipotong, kita tak yah la beli. 

Macam musang king tu, bila kita tak beli, dia merayu, cakap beli lah, beli la. Habis tu, harga mahal, buat apa beli, berat kulit je. Isi ada berapa ketul, baik makan durian kampung. Dalam kes ayam ni pun, kalau rasa mahal, tak payah la beli. Biar pengedar ayam rasa camne. Dia kata, sekarang musim panas melampau, ayam takde selera makan. Macam kelakor je. Apa pun, pilihan di tangan kita. Tepuk dada, tanya selera.

Apa pendapat anda? Tempat anda ada banyak bekalan ayam? Kalau beli ayam mentah yang dipotong, ada extra caj tak?

Ok la ye. Jumpa lagi.

Miseoul Aloe Vera Soothing Gel Review

 Isnin, 22 Syawal 1443 Hijrah.


Larian pagi tadi adalah sejauh 10.5 km. Paneh bebenor. Seksa nak buat 10 keyem.

Saya ni pulak, kulit macam mat saleh celup. Bila kena panas, bukan jadi gelap. Dia jadi merah. 🙈

Umum mengetahui yang aloe vera, atau lidah buaya, sangat berkesan untuk rawat sunburn. Saya sebelum ni, pakai aloe vera dari pokok. Rumah saya memang banyak pokok lidah buaya ni. Asli, dan efektif. Kurang kemerahan kulit bila kita amalkan hari-hari.

Tapi, sebab sibuk sikit, saya mula cari aloe vera gel yang lebih senang nak pakai. 


Saya beli di Watson. Miseoul Aloe Vera Soothing Gel 98%. 

Saya dah cuba aloe vera gel ni, sejak akhir bulan Februari lepas. Jadi, tu la saya nak share dengan para pembaca sekalian, kebaikan produk ni. Saya tak terima apa-apa komisen pun. Sekadar nak share barang baik. Kot ada pembaca yang alami masalah macam saya. Selalu kena panas, kulit muka jadi merah macam lobster.

Packaging

Bagi saya, ok je. Walaupun bekas dia agak besor. Susah nak bawa travel, banding kalau dalam bentuk tube. Tapi sebab saya ni tak kemana-mana, tiada masalah. Cuma bila baru beli, selalu terkeluar jugak la, gel nya dari bekas. Sebab penuh dan bila senget bekas, habis keluar. 

Harga dia agak berpatutan, dalam RM29, saya pun dah lupa. Dekat watson online, harga dia RM28.20.

Kita pakai sikit je, tapi gel dia banyak. Lambat habis. Sangat berbaloi. Datang dalam bekas 300g.

Teksture

Dalam bentuk gel. Senang nak pakai. Tidak melekit jika guna sikit. Mula-mula beli dulu, saya letak banyak kat muka, konon macam pakai mask, pastu lepas setengah jam, saya cuci muka. Tapi sekarang, saya guna macam pakai pelembab. Saya calit sikit je, dan saya biar je kat muka. Bila ambil wuduk, dia mudah je cuci. Tak payah pakai cuci muka pun untuk bersihkan gel tu. Dia mudah meresap. 

Kesan pada kulit

Banyak sangat improvement. Kulit saya jenis sensitif. Bukan semua produk saya boleh pakai. Alhamdulillah, Miseoul ALoe Vera Gel ni sangat sesuai pada kulit saya. Kulit saya dah tak merah lagi. Walaupun saya lepas lari half marathon tengah panas. Dulu, jerawat saya besar-besar. Besar dan menyakitkan bila jerawat tu keluar. Sekarang, kalau keluar pun, bila bendera jepun naik je, dan takde la saiz besor macam dulu. Kawan saya pun cakap, muka saya dah putih dan cerah. Dulu bila jumpa saya tengahari buta, dia kata, muka saya merah. Alhamdulillah.

Belanja selpiaq sekeping. 
#nofilter

Tu je nak share. Barang baik harus dikongsi. 

Ok la. Jumpa lagi, ye.

Salam hujung minggu

 Ahad, 21 Syawal 1443 Hijrah.

Semalam, saya cuti riadah. Tak lari pun. Tapi saya ikut suami pergi open house raya kawan ofis dia. Makan banyak. 😁

Hari ni, saya kembali pergi jogging.


Lari lebih sikit hari ni. 11 km. 
Gambar pokok bunga ros kuning yang saya baru transfer dari pasu ke tanah. Saya beli di pasar pagi Bota, semalam. Setelah sekian lama, tak berkunjung ke pasar pagi Bota. 

Sebenarnya, mood bercucuk tanam sudah lama ke laut. Bulan posa, lagi lah kan... haram nak siram pokok. Banyak pokok yang dah selamat, mati, kering kontang. Sejak seminggu ni, saya kembali siram pokok dan membaja mana pokok yang masih hidup.

Dulu, depan pagar rumah, ada pokok bunga raya. Tapi, dah mati, sebab saya malas siram. Marilah kita tengok, berapa lama pokok-pokok ros ni mampu bertahan, ye.


Ruang menanam kecil di depan pagar rumah. Cita-cita saya besor, nak buat rose bush. Tapi dia dok kenet kat situ, pokok ros ada 3. Satu saja yang tumbuh meninggi. Semoga istiqamah menjaga pokok, dan pokok tumbuh subur dan mekar sejambak. 😄

Setiap hari Ahad juga, saya akan update perkembangan terkini projek kait saya. Bior rasa malu sikit, kalau progress tak banyak. 


Sekarang, saya sedang kait bag warna hitam. Itu la pasal progress agak slow. Mata jadi berbalam-balam bila guna benang hitam ni. Faktor usia. Takpe, kita buat slow-slow. Bag ni, orang tempah. Jadi, bior lambat, asal selamat. Tak mau la nak cepat siap punya pasal, hasil kait jadi kurang kemas. No, no.

Selamat berhujung minggu kepada semua pembaca blog saya ni.

Selamat beristirehat bersama keluarga tercinta.

Jumpa lagi, ye. 😊

On my 44th birthday...

 Jumaat, 19 Syawal 1443 Hijrah.

Pagi-pagi, sebelum subuh, saya buat muffin chocolate.


Dalam oven, cantik kejadiannya. Bila dah keluor oven...


tudia... melimpah ruah. Awat hitam sangat? Nampak macam hangus pun ada. Bila try makan, ok rasanya. Tak manis sangat. Tak kering sangat. Pertama kali cuba buat muffin chocolate. Lain kali kena ingat, isi adunan kurang dari 3/4 muffin cup tu. Saya letak 3/4 penuh, boleh melimpah ruah keluar cup. Hehehe... tak pandai membaking. Saya coba. 

Huh, nampak macam gemuk je. 🙈

Jogging 10 km pagi tadi. 


Dapat lencana May Step Month dari aplikasi Garmin Connect. Sudah melepasi 300,000 langkah di bulan Mei. Alhamdulillah.


Lepas jogging, pi pos ofis Lumut, renew lesen memandu untuk 5 tahun terus. 

Klasik tak, pos ofis Lumut? Since 1933. 

Saya juga mengisytiharkan bahawasanya hari ini, saya coti masak! 


Selesai urusan pejabat pos, pi Subway, beli makanan untuk saya dan anak-anak.


Belum sampai rumah, dalam kereta, bancuh kopi dengan gula dulu. Pekena sat, bagi segor biji mata.



Sandwich roasted beef untuk saya. Untuk anak-anak pula, 2 sandwiches each, roasted chicken, buat makan lunch dan tea time, sementara tunggu bapak budak balik ofis petang.

Lepas sembahyang jumaat, mama nak pi nyongket dengan kawan-kawan lari, girls only. Hehe haha huhu..

Saya sangat bersyukur atas banyak nikmat yang Allah bagi. Di usia 44 hari ni, saya sihat sejahtera, boleh lari jauh, ada suami penyayang, keluar rumah tiap hari, cari rezeki halal untuk saya dan anak-anak. Bukan cukup makan, dah terlebih makan sebenornya. Allah bagi anak-anak yang bijak, dan sihat. Rumah besor. Kereta comel, saya boleh ke sana, ke sini, pi jogging, pi kedai, pi pasor. Kawan-kawan lari yang bawak saya ke jalan lebih dekat dengan Allah. Syukur Alhamdulillah. 

Saya cuma nak perbaiki diri saya, nak lebih dekat denganNya. Perbaiki amal ibadat saya, taubat selalu, dah tua, tapi tak sedor diri lagi, kadang-kadang. Allahuakbar. 

Ok la ye.

Terima kasih, kerana sudi membaca. 

Hari ni hari Jumaat. Jangan lupa Al-Kahfi. 

Esok lusa, pi beraya, elok-elok. Jaga diri dan keluarga.

Jumpa lagi, ye.

Earth Day Challenge 2022

 Khamis, 18 Syawal 1443 Hijrah.

Halo... apa khabar anda semua hari ni? 😊

Sibuk ke tu? Hehe...


Pagi tadi, saya jogging sejauh lebih kurang 6 km. Cuaca agak panas. 1 jam je, saya riadah pagi tadi. Maklumlah, mula pun agak lewat, pukul 7.25 pagi. Lepas hantar anak kedua ke sekolah. 

Gambar di atas menunjukkan si Puteh, sedang musykil, apa yang sedang saya buat ni. Dia memang suka buat muka macam tu, kalau kita nak ambil gambar dia. 

Agak panjang rumput di belakang tu. Tunggu seru datang, baru la kita potong rumput, ye. Panas la. Lepas siram pokok pun, cepat-cepat masuk rumah. 

Bila check email, ada dapat sijil maya, dari aplikasi Bookdoc. World Earth Day 2022 Virtual Run. Sebenarnya, dia bukan kira run pun. Dia kira langkah. Kena melepasi 300,000 langkah sepanjang cabaran tu. Saya banyak join yang percuma je. Alang-alang saya dah berjogging setiap hari, kan. Baik saya menyibuk masuk challenges atau virtual run ke. 


Kalau yuran dia tak mahal, baru la saya masuk yang berbayar. 

Ok la. Pendek je entri hari ni. 

Semoga hari anda semua berjalan dengan lancar ye. 

Jumpa lagi.

Marah, marah, makan..

 Rabu, 17 Syawal 1443 Hijrah.

Apakah yang boleh menaikkan darah anda pagi-pagi? 

Saya? Anak yang tak siap homework. 

Peh... punya la banyak masa semalam, bagi anak yang sekolah pagi ni. Boleh dia mintak tolong kita print benda pagi-pagi ni. Hahahadoi....

Kena sabor, banyak-banyak. Pastu, pukul 7 pagi baru nak pakai baju sekolah. Bapak budak overtime, dah masuk kerja pukul 6 pagi. Saya la yang kena hantar. Oleh itu, mama pergi jogging lambat. 

Bila marah, sentap. Cuba kalau kerja dah siap semalam. Boleh keluar awal. Siap pun awal. Padahal dah tingkatan 4. Pagi-pagi dah buat mama merepek. 


Sempat lari lebih kurang 6 km saja hari ni. Ok ler tu. 

Kita up gambor bunga yang sedang mekar di halaman rumah. Tukar frekuensi, jadi mood ceria dan tersenyummmm... 😊 Semoga hari ni,  kita ceria dan benda baik-baik belaka yang datang. 

Semalam saya makan tengahari lewat, pukul 4 petang. Pastu bila time makan malam, saya tak lapor. Pagi ni waktu jogging, lapor bebenor perut saya. Oleh itu, lepas jogging, saya singgah nasi lemak Indah Water, beli nasi lemak telor mata.


Last sekali makan nasi lemak, sebelum bulan puasa, rasanya. Jadi, rasa nikmat makan pagi tadi. Ikan bilis rangup. Timun ada 2 potong. Sambal agak pedas. Harga nasi lemak telor mata adalah RM3.

Lepas lipat baju semalam, basuh baju yang berlambak dalam bakul. Baju yang saya lipat tu pun, 2 hari sidai baru kering, sebab hari sebelumnya hujan. Hari ni ok, ada panas. Lepas sidai baju, baru saya buat kopi dan rehat kejap, sambil tengok telefon.


Sebelah kopi, karipap giant sebiji. Harga, RM1. Inti keledek. Beli di tempat yang sama dengan nasi lemak tadi. Alhamdulillah. Sekarang anda tahu kenapa saya suka lari jauh-jauh. Sampai 10 km kadang-kadang. Sebab saya kalau makan, hambikkk... banyak, ok. Huhu....

Ok la. Kalau marah, istighfar. Kalau sedih pun, instighfar jugak. Saya share maksud ayat 139, Surah Ali 'Imran.


Have faith in Allah. Semuanya akan ok. Dia Maha Mengetahui. Berusaha! 💪💪

Jumpa lagi, ye. 😊

Back to normal

 Selasa, 16 Syawal 1443 Hijrah.

Anak-anak dah mula sekolah semula hari ni. 

Masa nak keluar rumah pergi jogging, suami saya cakap,"Aik, semalam dah half marathon, hari ni pi jogging lagi?"

Hehe.. saya sengih je la. 

Dapat bini gila lari camtu la. Tapi anak-anak tak pernah pergi sekolah perut lapor, tau. Saya siapkan makan dia orang dulu. 


Pagi tadi, saya jogging sejauh 10.55 km. Pace sangat siput. Santai-santai sangat. 

Gambar di atas adalah nasi kerabu, makanan tengahari saya semalam. Lepas zohor, suami ajak keluar. Try tempat baru. Nasi kerabu daging bakor. Ok ler. Alhamdulillah. Lagi pun, pagi lepas habis half marathon semalam, saya makan coco crunch je. Tengahari, lapor, lega, dapat nasi.

Dapat lencana berikut dari aplikasi Garmin Connect.


Sudah melepasi 300 km jarak larian dari 1 April hingga 30 Jun. Walaupun belum habis durasi untuk cabaran ni lagi, masih banyak lagi masa, sampai akhir Jun tu, saya dah siap dah cabaran ni. Alhamdulillah. Berusaha!

Anda masak apa hari ni? 

Saya kukus ikan salmon dengan halia dan bawang putih. Lepas tu, saya masak nasi, dan buat sambal telor rebus.


Lepas masak, baru la saya buat kopi untuk diri sendiri, sambil makan brownie, sambal tengok telepon.


Dah habis kerja, baru boleh lepak. Sedap juga chocolate brownie tu. Beli kat Baker's Cottage. 

Kopi belum sempat habis, kena keluar hantar anak sekolah sesi petang, dan amik sekali anak sekolah sesi pagi. Gitew. Keluor masuk rumah. 

Ok la ye.

Selamat bekerja pada semua pembaca blog saya ni, yang bekerja semula hari ni. 

Jaga diri, jumpa lagi, ye. 😊

May half marathon

 15 Syawal 1443 Hijrah.

Semalam, saya pergi beraya di rumah bapa saya. Saya buat cucur ikan bilis dari rumah, untuk bawa ke rumah bapak saya. Siap sos cili dan mayonis lagi, letak dalam bekas.


Sampai rumah bapak, ada bihun goreng dan mee goreng. Kakak sulung saya dari kolumpo pula bawa lemang, rendang ayam, rendang daging, dan kek. Sepupu dari Batu Gajah, dah 2 tahun tak jumpa, pun datang dengan isteri dia. 

Ya Allah, seronoknya, dapat jumpa keluarga. Gaduh, gaduh juga. Bising juga mulut. Tapi makan, makan juga. Cucur ikan bilis yang saya bawak tu la yang habis dulu. Orang cicah dengan rendang. Sekejap dah licin. 


Gambar bapak saya, tengah selfie dengan kami di belakang. I love my family! Syukur Alhamdulillah, 💖💖💖

Pagi tadi, saya tak plan langsung nak buat half marathon. Jogging macam biasa, dengan kawan-kawan. Bila sorang, sorang dah balik. Tinggal saya, saya teruskan juga la, tengok setakat mana kaki boleh pergi. Alang-alang cuaca baik, half marathon terus la. Sebab lemang semalam la ni. Mana datang energy ntah. Alhamdulillah.

Dapat lencana berikut, dari aplikasi Strava.


Selesai cabaran half marathon di bulan Mei.

Dapat email dari aplikasi Garmin, cakap kasut yang saya pakai untuk jogging hari ni, New Balance, dah sampai jarak maksimum lari.


Dia jarak ideal untuk kasut lari, lebih kurang 644 km, menurut Garmin ni. Tapi saya, selagi boleh pakai, pakai je. Banyak kasut lari saya sebelum ni, saya belasah sampai lebih 1,000 km. Bila kita pakai kasut, dan kaki kita dah start rasa sakit atau tak selesa, baru saya stop pakai. Contoh, bila lari pakai kasut tu, tumit kita rasa sakit ke. Itu tanda tapak dah haus sesangat la tu. Sila beli kasut baru. 

Hujan di Manjung. Sama macam semalam, dari Manjung ke rumah bapa di Chenderong Balai, hujan all the way. Lama tak hujan, asyik panas je. Alhamdulillah. 

Adakah anda masih beraya? Selamat, ye.

Jumpa lagi.

Lari lebih sikit

Sabtu, 13 Syawal 1443 Hijrah.

Memandangkan semalam cuti lari, dan esok plan nak pergi beraya, mari kita lari lebih sikit hari ni.


Pagi tadi, jogging sejauh 10 km. Lamanya tak buat 10 km. Haha, hadoi...

Tambah semangat, bila kita berjaya buat satu-satu challenge tu, point kita dekat carta di aplikasi Garmin Connect turut bertambah.


Contohnya, melalui larian hari ni, saya berjaya rekod larian lebih 10 km antara tarikh disebut dalam cabaran May Weekend 10K. Dapat naik 2 point.

Bukan 1, tapi 2 lencana dapat hari ni. Lagi satu adalah...


Sudah melepasi 50 batu berlari di bulan Mei, atau 80.5 km milestone. Alhamdulillah. Allah bagi pinjam nikmat berlari. 

Open house di mana-mana. Selamat menjamu selera dan berhati-hati di jalanraya. 

Isnin pun cuti sekolah. Selamat beristirehat, kepada semua pembaca blog saya ni, yang saya hormati sekalian. 

Jumpa lagi, ye.

Makan dan makan

 Semalam, hari Jumaat, saya cuti lari. Saja, bagi badan rehat. Badan kita ni, macam kereta jugak, sebenarnya. Bila dia nak rosak, dia akan keluar bunyi sana, bunyi sini. Cuma kita perasan atau tak, bunyi tu. Sama ada kita dengar, atau buat tak peduli bila badan kita dah keluar tanda. Rehat pun penting juga. 

Suami saya pun, apa lagi, ajaklah saya sarapan di luar. Lepas hantar anak kedua ke sekolah, kami pi kedai makcik bawah pokok.


Order cucuq dengan kuah kacang. Rangup cucuq makcik ni. Panas-panas pekena, nikmat... 😋


Saya order mee rebus. Ayor nescafe o panas.


Sementara suami saya pula, order mee kari. Dua-dua sedap. Alhamdulillah.

Lepas sarapan, singgah Lotus. Cari barang dapur sikit. Dekat kaunter ayam, ramai bebenor orang berator. Rupa-rupanya, masa dia bawa keluor ayam, harganya murah. Sekor, boleh dapat RM9. Biasanya, sekor ayam, kalau beli di pasor, boleh mencecah RM22. Tak heran la ramai yang berator. Ada yang amik sampai penuh satu troli. Niaga kot. 

Balik rumah, saya masak nasi. Lauk kacang buncis, pecah telor.


Bincang dengan suami, kami nak buat macam dulu. Makan cara suku-suku separuh. Saya cerita sikit ye, pengalaman dari tahun lepas. 

Lebih kurang awal tahun lepas, suami saya telah kemalangan motor. Dia kena jalani pembedahan di lutut.

Gambar throwback masa nak check-out spital

Lepas operate, kena la pantang, ye dak. Baru luka cepat sembuh. Sementara dia tak boleh berjalan, saya bagi dia makan style suku-suku separuh. Letih tau, jaga orang tak sihat ni. Nak mudah kerja, saya bagi dia makan dalam tray budak ni.


Tak payah  nak berhidang-hidang bagai. Doktor tak bagi dia banyak gerak dalam 2 minggu pertama. Dok atas katil, buang ayor kecik pun atas katil. Separuh tray sayur dan buah. Suku yang paling kecik, nasi. Suku sederhana besor, protein seperti ikan dan ayam. Saya masak cara kukus, bakor dalam oven atau rebus. Contoh macam masak sup tu, saya tak tumis pun, saya masak air je, tak guna minyak. 

Gambar throwback tahun lepas, masa follow-up spital

Cian pakcik ni. Idok ler namanya manusia kalau tidak diuji. Kita tengok kesian. Yang menanggungnya, bila hilang upaya berjalan, hanya yang merasainya saja yang tahu. Tapi, kita belasah jer la. Bersedia atau tidak, hadap! Insya-Allah, ada ganjaran atau hikmah di sebaliknya.

Dipendekkan cerita, sebaik sahaja habis mc 2 bulan, bila suami saya kembali bekerja (ye, Alhamdulillah, suami saya boleh kerja semula, walaupun mula-mula pakai tongkat ketiak atau underam crutches tu). Semua officemate suami kata, suami saya dah kecik. Dah kurus la. Hasil makan style suku-suku separuh. Tentu anda tahu, yang badan kita ni, 80 peratus adalah apa yang kita makan. Lagi 20 peratus, senaman. 

Jadi, suami saya yang cadang, saya masak style camtu balik. Sebab dia ada gain weight sikit. Cuba lah ye, tak boleh buat all the time, kita cuba buat setakat mana mampu. Nak sihat. Nak ibadah dengan mudah. Orang sakit lutut, bila overweight, ha, start la sakit kaki tu. Kita cuba, ok.

Berikut makan tengahari saya semalam. Eh, takkan la suami saya je yang makan suku-suku separuh. Saya pun join ler. 😁


Sayur kacang buncis separuh, nasi suku, ayam bakor suku. Ayam tu, beli yang dah perap, frozen. Kita masak je dulu apa ada di rumah. 

Makan malam pula adalah seperti berikut.


Saya pinjam tray makan suami. Dia kerja shif petang. Itu la maksud saya. Bukan boleh apply makan suku-suku separuh ni sepanjang masa, lebih-lebih lagi bila suami di tempat kerja. Tapi kita cuba la mana yang mampu. Hidangan makan malam saya, sayur salad separuh, nasi, dan ayam panggang. Besor nya ayam saya. Heee..

Semoga istiqamah. Dapat buat sebagai gaya hidup yang baru. Berusaha! 

Ok la. Jumpa lagi, ye.