Anak gagal permohonan UPU

 Jumaat, 3 RabiulAwal 1444 Hijrah.

Pada hari Ahad lepas, keluar keputusan UPU untuk pelajar lepasan STPM, Kolej Matriks, Politeknik dan yang seangkatan dengannya. 

Anak sulung saya lepasan kolej matriks, jurusan perakaunan.

Saya sampai download aplikasi UPUPocket untuk check result anak. Anak saya jenis burung hantu. Siang dia tidor. Malam dia berjaga. 🦉

Dukacita dimaklumkan anda TIDAK BERJAYA dalam permohonan ke Universiti Awam bagi Sesi Akademik 2022/2023. Keputusan adalah muktamad.

Ha. Hampa rasa di jiwa saya bila baca, tau.

Kawan pun sibuk bertanya. Keluarga pun sibuk bertanya, nak tahu. Haish, time anak dia orang, takde saya sibuk bertanya, anak dapat mana? Sibuk bebenor la manusia ni. 

Masa tu pikio, camanalah anak aku boleh gagal dapat masuk U ni. Salah seorang keluarga saya siap boleh cakap,"Camana boleh dapat macam tu? Tak pernah pernah keturunan aku tak dapat masuk U!"

Peh, cuba anda bayangkan, ye. Balik-balik saya sebagai ibu juga yang dikatakan salah. 😞

Anak-anak orang lain semua dapat. Huuu.... anak aku tak dapat. 

Tapi jauh di sudut hati saya, saya tahu, result anak saya pun tak berapa baik. Pointer dia tak tinggi. 

Terus saya teringat, saya pernah berborak dengan pengetua sekolah anak sulung saya ni dulu. Masa tu, saya ke sekolah dengan anak. Sebab perlu minta tandatangan dokumen. Puan Pengetua cakap, kolej matriks ni, kalau boleh, cubalah dapat pointer 3.5 ke atas. Baru dapat masuk U yang baik. 

Ye. Anak saya tak lepas pun 3.5 CGPA dia. Saya terima keputusan UPU dengan hati terbuka. Tapi ada rasa hampa la.

Minggu ni memang roller coaster ride la bagi saya. Itu yang saya tak update blog tu. Kalau boleh, saya tak nak tulis benda tak best di blog. Masa tengah emosi, tak mau la tulis apa-apa. Baik duduk diam. 

Saya kaji balik la. Permohonan UPU ni, guna sistem meritokrasi. Saya belajar untuk mengira markah merit anak saya. Saya masuk group UPU Online. Saya baca pengalaman dan cerita ibubapa lain. 

Bukan anak saya sorang tak dapat masuk. Ramai lagi rupanya. 

Klik untuk baca


Anak saya ambil Perakaunan masa di kolej matriks. Masa dia apply UPU tu, dia buat sorang di kolej. Dia pulak pakai apply je, based on kursus yang dia minat. Semasa permohonan, ada 12 pilihan kursus yang pelajar boleh masukkan. Saya check balik kan, dari 12 pilihan, cuma 2 pilihan kursus sahaja yang anak saya layak untuk memohon, based on markah merit. Itupun course yang dia layak tu, dia letak pilihan keempat. 

Saya check setiap kursus yang anak saya apply. Memang tak layak pun. Saya terima dan redha. Saya pun salah, sebab saya pernah cakap kat dia dulu, apply apa yang Amirul suka. 

Saya pun tak tahu. Yang permohonan ni, kena kira markah merit. Di aplikasi UPUPocket ada kalkulator markah merit. 

Masukkan CGPA anak, dan markah kokurikulum dia. Dekat slip result final kolej matriks, ada gred A je. Dekat kalkulator tu, ada nilai dari 0-10. 

Dah, berapa nilai untuk A tu? Dah saya tanya orang tu, tanya orang ni. Baru dapat. 9.4 rupanya. 

Anak-anak zaman sekarang tak sama macam zaman kita dulu. Dulu, kita buat semua sendiri. Apply UPU sendiri. Zaman takde internet, kena tulis sampul beralamat sendiri, beli stamp, tepek, pergi pejabat pos, buat wang pos bayar untuk borang UPU, semua sendiri. Jalan kaki.

Ok je. Dapat je U. Tiada masalah. 

Zaman sekarang, kena duduk sebelah anak, guide dia, camana nak isi borang. Macam tu.

Tengok la saya serah pada anak, isi borang sendiri, apa jadi. Dia pakai apply je. Course yang dia apply semua markah merit tinggi. Anak saya memang tak layak pun sambung degree dalam accounting. Semua tinggi-tinggi purata markah meritnya. 

Gitu. Geram dengan anak pun ada. Sebab sia-sia je, 10 tempat kosong sia-sia. Yang dia boleh isi dengan course yang dia layak, sekiranya dia boleh berfikir dengan lebih baik, kira markah merit dulu. Semua benda nak kena beritahu ke? Semua benda nak kena bersuap ke? Tak tahu fikir logik ke?

Itu lah beza generasi zaman sekarang ye. 

Bawak-bawak bersabor saya. Naik angin pun tak guna. Ketentuan Allah ni. Kena lapang dada.

Apa-apa pun, kita ikut proses dan saluran yang diberikan.

Yang gagal, boleh buat rayuan.

Suami pulak minggu ni pi kursus. Baru semalam dia sampai rumah, setelah pi kursus kerja di Gurun.

Kami bincang anak-beranak pagi tadi. Tak pergi jogging. Hujan. Lepas sarapan, kami bincang dengan anak sulung. 

Kira, teliti, kursus. 

Sudah submit rayuan UPU dah. Alhamdulillah. Selamat.

Nanti minggu ke-4 bulan Oktober, akan tau keputusannya.

Semoga ada tempat untuk Amirul sambung belajar. Kalau tak dapat pun, takpe la. Banyak tempat lain boleh pilih. Swasta pun takpe la. Duit boleh dicari. Asal anak nak belajar.

Tau tak, masa hari result UPU keluar tu, saya check dulu kan. Anak saya boleh cakap kat saya,"Mama tak boleh sabar ke? Tak boleh tunggu orang check sendiri?" 

Budak bertuah. Kalau tunggu dia check sendiri, malam la. Duduk bertapa dalam bilik tak keluar-keluar. Keluar bila lapor je. Kerja tak nak. Ambil lesen, tak nak. Adoiiii....

Saya siap tanya dia, dia nak sambung belajar, ke tak? Senang. Bagitau sekarang, kalau tak minat sambung belajar. Jangan nanti apply, bila berjaya masuk, sekerat jalan. Dia kata, dia nak belajar lagi.

Alhamdulillah. Anak aku nak belajor lagi.

Kerja saya sekarang adalah doa, doa, dan doa. Semoga ada tempat untuk anak saya, dan anak-anak yang tak berjaya dalam permohonan UPU yang baru keluar ni. Aminnn....

Dalam jiwa kacau minggu ni, saya sempat lagi keluar lari. 

Larian Selasa, 10.47 km. Selfie dengan budak Puteh.

Mesti lari, supaya dapat keluarkan angin-angin lintang dan segala angin meroyan dalam badan. Baru dapat berfikir dengan waras.

Tapi ada satu berita baik, tau, minggu ni. Sebelum ni, saya check darah 3 bulan sekali. Alhamdulillah, result darah saya normal, temujanji doktor hari Rabu lepas. Lepas ni, doktor cakap, jumpa dia 6 bulan sekali. Yay! Alhamdulillah, syukur! Saya sihat. Untuk info pembaca, ini rutin check, untuk post total thyroidectomy. Saya jalani pembedahan buang kedua kalenjar tiroid pada tahun 2016. 

Larian Rabu, 10.1 km.

Larian Khamis, 10.24 km. Selfie dengan budak Oyen pulak.

Gitu lah cerita minggu ni. Pengalaman pertama hadapi macam ni. Saya tahu, luas lagi perjalanan. Banyak lagi lubang lain anak-anak ni boleh pergi. Semua ni Allah yang aturkan. Belajar dari kesilapan. 

Salam Jumaat, semua.

Jumpa lagi, ye. 

Hari Anugerah Cemerlang

 Semalam telah berlangsungnya Hari Anugerah Cemerlang sekolah anak saya. 

Anak kedua, dapat hadiah tertinggi Bahasa Inggeris untuk Tingkatan 4.

Ye, budak bertuah tu. Yang selalu masa nak pergi sekolah pukul 7 pagi, suka suruh mama print out kerja sekolah dia. 

Budak bertuah yang suka buat mama nak tukor kaler ke ijo.

Budak bertuah yang kalau ada award King of Procrastination, memang dia la layak menang, sebab suka buat kerja semua last minute.

Saya pergi sorang, suami kerja. Hujan di pagi Sabtu. Ada jamuan ringan untuk ibubapa sebelum masuk ke dewan. Dekat rumah saya dah makan nasi goreng. Sampai sekolah, saya makan nasi lemak sikit. 😁 Pantang tengok. Orang pelawa, rejeki jangan ditolak. Lauk ayam rendang pulak nasi lemak dia. 😋 Kuih, ambil karipap pusing 2 biji, dan air teh o panas. Sungguh best, lapang rasa dada, dapat minum ayor panas time hujan.

Masuk dewan. Orang tu berucap, pengetua berucap, penyampaian hadiah,  diselangi beberapa persembahan dari pelajar.


Gambar dari jauh je mama mampu ambil. Kelihatan di bawah tu, ada persembahan gamelan oleh pelajar juga.


Alamak, ada photo bomb pulak. Apa nak buat, ramai manusia. Semua nak bergambor. 

Boleh work under pressure budak ni. Sesuai kerja sebagai programmer, macam mama dulu. Time nak release update baru, stayback la, siapkan sistem la, report la, apa semua. Eh, tak yah la. Baik jadi cikgu English, sebab dia terer English sangat. Hehe.. 

Sementara budak bertuah nak bergambor dengan kawan-kawannya, mama tunggu di kantin sat.



Gambor semasa hari kejadian, semalam.

Data larian untuk pagi tadi, sempat 12.86 km. 

Syukur Alhamdulillah atas rezeki dan nikmat Allah bagi. 

Salam hujung minggu, para pembaca sekalian.

Jumpa lagi, ye. 😊

Minggu banyak rehat

 Jumaat, 26 Safar 1444 Hijrah.

Dah hari Jumaat dah yek. Sekejap je, ye.

Minggu ni, banyak hari hujan turun di waktu pagi. Jadi, tidak lah saya pergi berjogging. Bawa masuk kasut lari, konon nak berlari treadmill. Tapi, nan ado... cuaca sejuk. Makan sambil tengok netflix lagi sedap. 🙈

Meh kita tengok cerita saya sikit, sepanjang minggu ni.

Sandwich telor rebus.

Masa saya pergi berlari hari tu kan, nak tinggal anak rumah. Saya ada siapkan sandwich telor rebus. 


Selain tu, saya ada juga masak mee goreng, guna mee kering jenama Arona. Lembut mee nye, bila dah direbus tu. Boleh tahan... 😋

Larian Rabu, 5.46 km.

Hari Selasa sempat lari sekejap je, 1 km, hujan lebat turun. Kelam-kabut lari masuk kereta. Kalau hujan sikit, biasa lari juga. Yang ni, dari jauh, boleh nampak hujan tu datang. Kelabu je. Kawan saya cakap, ni lebat ni. Betul pun. Masuk je dalam kereta, lebat betul, siap pakej angin. Huu... takut juga bawa kereta hujan lebat dan angin kuat. Wiper pasang speed paling laju. Alhamdulillah, selamat sampai.

Hari Rabu, gambar di atas, beriadah dengan suami, di Lumut Waterfront. Jumpa kulit siput dekat tepi pantai. Nak letak dalam akuarium. 😁


Lepas tu, ada masak sambal telor rebus. Yang ni, nak masak, senang je. Cili kering semata. Arwah mak saya dulu ajor. Dulu duduk kampung, kadang tak boleh nak ke kedai, beli barang dapur, jauh dan takde pengangkutan. Bawang pun dah habis. Kalau tak tau nak masak lauk apa, ambil cili kering je, kisar. Ikut citarasa. Cili sekarang pedas, 11-12 biji cili kering sahaja saya guna untuk lauk di atas. Dulu, roti pun simpan dalam peti ais. Jadi, roti tahan lama. Nak makan, bakar dengan toaster. Bukan selalu dapat keluar pergi kedai. 


Larian hari ini, Jumaat, sejauh 10.02 km. 

Sarapan lontong pagi tadi. Lama dah tak makan. Suami tolong belikan, sebelum dia masuk kerja. 

Kredit foto: Jurugambar rasmi HTM Ipoh 7 Bridges Run

Gambar di atas masa saya dah nak sampai finish line. Ada juga gambar oleh pihak penganjur, yang elok sikit. Ada beberapa yang jurugambar rasmi penganjur ambil, tapi gambar saya semua cinonet dan gelap. Gambar atas paling ok.

Kredit gambar DutaFotoMalaysia

Gambar di atas pula oleh jurugambar bebas, cantik dan jelas gambar encik ni ambil. Fokus pada sorang-sorang runner. Saya suka! 😁

Ok ler.

Jumpa lagi, ye. 😊

HTM Ipoh 7 Bridges Run 2022

 Pada hari Ahad yang lepas, bersamaan 18 September, saya pergi Ipoh dengan suami, pagi-pagi buta, kau... Nyaris terlewat. Saya nak bangun pukul 12.30 malam untuk bersiap. Saya set alarm di telefon, 12.30. Saya lupa yang handphone saya, setting jam dia, 24 hours. Patutnya, 0030. Saya letak 1230. Tak bunyi la. Nasib baik suami saya tak tidor dan gerak. Itu pun dia gerak saya bangun lewat, hampir pukul 2 pagi. 

Anda bayangkan ye, dari Lumut ke Ipoh, kami sampai dalam 1 jam je bawa kereta. Malam minggu tau. Walaupun tak sesak. Tapi traffik light banyak. Tak pernah-pernah bawa kereta macam ni, sejam dah sampai. Dari Lumut ke Stadium Indera Mulia Ipoh, 84.7 km jaraknya. Mengikut google maps, ETA 1 jam 29 minit. Haha.... kat rumah tu, saya bersiap macam kartun. Mandi pun ala kadar. Tak sempat 'lepas hajat'. 

Bila sampai Ipoh, ada masa sikit, singgah Petronas, baru lega, dapat membuang. Dah tu, lain kali ada event lari, takmo bertolak dari rumah tengah-tengah malam. Baik duduk hotel. Tapi nak buat camana, suami punya cuti dah tinggal sikit. Kena jimat, takut ada emergency atau hal keluarga, kena hantar anak ke, kan. 

Takpe la, sempat sampai, pakai kasut, buat warm-up, dan bersedia untuk larian.


Ramainya manusia. Flag off untuk kategori 21 km, pukul 4 pagi. Tapi, nak tau tak apa jadi? Boleh false start la pulak! Udah macam larian 100 meter pulak kat sukan olimpik. Orang tembak, tapi false start, kena balik semula ke starting line. 

Saya yang duduk di tengah-tengah, tak dapat dengar apa-apa pun yang Emcee tu cakap. Suami saya cerita, sebab dia dah standby kat depan starting line, nak ambik gambar saya, emcee tu cakap, tunggu, tunggu. Polis di hadapan belum ready. Tapi orang kat starting line tu dah tembak, orang ramai pun start la lari. Adoi! Marah orang kat depan tu. Ada la 2, 3 kali kena undur, undur ke belakang, sebab nak mula semula. Saya sampai terpijak kaki orang belakang saya. Ye la, kan orang dah berpusu-pusu ke depan, nak mula. Sepanjang penglibatan saya berlarian di event ni, ini pertama kali kena false start. 

Lepas tu, berlepas la jugak. 

Kredit foto: Jurugambar rasmi HTM 7 Bridges Run Ipoh

Boleh nampak saya, dalam gambar di atas? Hehe...

Giler, orang semua laju-laju, tau! 

Saya, semasa 3 km pertama, saya ada rasa sakit di bahagian shin.

Photo credit: OrthoInfo

Lepas 3 km, sakit tu hilang. Tapi ada rasa sakit kat tapak kaki pulak. Adoi. Yang ni, tak hilang-hilang. Sikit-sikit saya ambil energy gel. On and off la, saya tetapkan langkah kecil sahaja. Tak mau push, takut cedera. 

Ipoh 7 Bridges Run ni, seingat saya, tiap-tiap tahun dianjurkan, sebelum covid. Tapi ini pertama kali saya masuk. Memang dia tak tipu la ye. Dia punya route, turun naik, turun naik beberapa fly over di Ipoh tu. Masa tengah lari tu la, timbul sedikit rasa menyesal, kenapa la saya tak training lari di bukit Teluk Batik tu. 

Serius, sakit betis, extra letih bila habis tau, macam kita naik bukit pulak. 

Berbalik kepada suami saya, selepas saya berlepas larian, dia kembali ke kereta untuk tidor. Sebab suami saya kerja shif, semasa hari kejadian, dia kena masuk 12 tengahari. Dia baru je nak melelapkan mata di dalam kereta, tapi diganggu oleh bunyi bising pekerja majlis bandaran tiup daun kering. Lepas tu, dia terdengar orang sembang pulak, kuat. 

Bila dia keluar kereta, dia tengok ada runner dah siap dah pun lari. Cuba anda bayangkan, 21 km, 1 jam 20 minit, dah ada orang sampai, ye! Kegilaan apakah ini? Kaki kuda ke? Laju-laju belaka... 

Ramai pulak peserta, tau. Saya sentiasa dikelilingi orang. Tak pernah bersendirian berlari. Kerja saya dok potong orang je.

Ada pacer, bawa belon. Jadi, sangat membantu.

Ada kalanya, pacer 3 jam betul-betul duduk belakang saya. Pacer pulak, cakap, ha, kalau tak nak saya potong, laju sikit, laju sikit. Kan sebagai dorongan tu. 

Ada kalanya, sedikit di hadapan, saya berjaya potong pacer 2 jam 45 minit. Tapi, saya tak dapat bertahan. Pacer 2 jam 45 minit potong saya balik semasa km ke-18, lebih kurang. Tak larat, tau. Sakit betis dah.

Gambar oleh jurugambar rasmi HTM 7 Bridges Run

Dalam gambar di atas, tengah fokus, I can do this, I got this! 

Saya jumpa macam-macam orang. Ada sorang uncle runner ni, saya potong, dia dah tua dah. Posture badan dia pun macam dah bongkok. Tapi dia steady je lari, half marathon. Ntah kita boleh tak lari lagi bila kita dah tua macam tu.

Bila dah nak habis, jumpa sorang adik, cakap kat saya, steady, kak, steady. Dia dok jalan je, catwalk. Kaki dia cramp, katanya. Laa, takpe dik. Slow ke, laju ke, asal bergerak ke depan, ok sesangat.

Ada surau bergerak semasa km ke-16 lebih kurang. Alhamdulillah.

Berikut result larian saya.


Category: 21 km veteran

Dari 1,217 peserta larian, saya dapat nombor 803. 😁

Dalam kategori women veteran, iaitu wanita 40 tahun ke atas, ada seramai 166 orang, saya dapat nombor 104. 😁

Dari 289 pelari wanita, saya dapat nombor 144. 😁

Medal dan baju finisher

Letih campur mengantuk. Bole tidor time amik gambor.

Masa pada jam saya, 3 jam 6 minit. Saya lupa nak stop jam. Saya pergi ambil baju dan medal dulu, ambil taufufa dulu, cari tempat duduk dulu, baru saya perasan yang jam saya masih berjalan. Hahaha... masa rasmi yang saya ambil untuk half marathon kali ini, tepat-tepat 3 jam ye. Haha hehe huhu... Alhamdulillah, syukur, selamat sampai.

Lepas sampai, rileks sebentar. Saya stretch sekejap. Habiskan taufufa panas. Sedap rasanya, pekena benda panas habis larian. Lembut, terbakor dada. Kalau dapat kopi panas lagi best. Hehe.

Kami tak tunggu pun untuk cabutan nombor bertuah. Terus balik. Suami nak masuk kerja pukul 12 tengahari. 

Alhamdulillah. 

Jumpa lagi, ye. 😊

Selamat Hari Malaysia

 Jumaat, 19 Safar 1444 Hijrah.

Dalam entri lepas, saya ada cerita tentang progress saya sedang mengait, kan. Ada gambar 4 jarum knitting yang saya gunakan untuk kait topi. Saya nak tambah penjelasan. Patutnya, saya cerita dengan lebih menyeluruh. Begini, knitting atau kait dua jarum, guna 2 jarum kait sahaja kebiasaannya. Cuma untuk hasilkan benda bulat seperti topi, adalah lebih mudah untuk guna 3 atau 4 jarum. Alternatifnya, ada juga jarum knitting bercable, di mana dua jarum kait, dihubungkan dengan tali plastik atau kabel dawai atau macam-macam lagi la di pasaran sekarang yang ada dijual, sekiranya nak hasilkan benda bentuk bulat.


Tapi prinsipnya masih sama, saya cuma guna 2 jarum pada satu masa. Sementara 2 jarum lagi, saya abaikan sahaja. Sebab tangan kita kan ada 2 je, satu pegang jarum belah kanan, dan satu lagi jarum tangan kiri. Cuma, jarum itu di-rotate penggunaannya. Bertukar-tukar, sepasang pada satu-satu masa. Harap jelas mengenai knitting atau kait dua jarum. 

Berikut progress saya, setakat semalam.


Ada dah nampak macam bentuk topi, kan. Macam rupa anak tudung yang kita pakai masa sekolah dulu pun ada. Lepas beberapa round knit bahagian ribbing, baru masuk bahagian body topi. Gitu. 

Saya dulu, masa mula nak belajar kait topi, saya guna jarum knitting bercable. Cuma sekarang saya lebih prefer untuk guna double pointed needles (DPN), seperti dalam gambar di atas ni. Macam complicated je. Kita nak knitting untuk hilang stress, sebagai terapi. Bukan nak tension-tension, nak kena hadap jarum yang banyak, gitu anggapan saya dulu. Tapi percayalah, konsep dia tetap sama. Masih mengait dua jarum je. Pegang konsep tu, dan kita boleh kait apa saja. 

Macam matematik juga, kalau kita faham konsep matematik tu, dari sekolah menengah, sampai kita masuk U pun, dan kita ambil maths, dia pusing soalan macamana pun, kita boleh selesai masalah matematik tu, Insya-Allah. Nak guna persamaan serentak ke, apa pun, tulis dulu apa info diberi, untuk selesai satu-satu masalah. Gitew.

Tentang intermitten fasting (IF) pula, ye, saya baru start semula IF ni. Dulu, tahun lepas ke, 2 tahun lepas ye, saya pun dah lupa. Berat saya plateau. Dok 60 kg je, 61, 62, 63. Lama saya berusaha untuk turun berat jadi under 60. Tapi lepas saya buat IF, barulah berat saya jadi 59, 58 kg. 

Biasanya, saya buat 16 jam IF. Sarapan pukul 10 pagi. Dinner sebelum 6 petang. Disiplin kena tinggi. Jangan menipu. Kalau tipu, bukan siapa pun, kita cuma menipu diri sendiri je. Kena kuat juga. Buat permulaan ni pun, saya tak kuat. 

Fasting Tracker app, percuma dari playstore.

Bukan hari-hari saya dapat capai 16 jam untuk IF ni. Contoh di atas, 15 jam 26 minit je. Tengok bahagian bawah gambar di atas, fasting record saya, bukan setiap hari saya dapat capai target 16 jam. Kalah jua. Cuma 4 hari dapat capai target 16 jam. 3 hari lagi, ke laut dalam. Kena lebih berdisplin dan kuat lepas ni. Berusaha! 

Oh, saya cuma nak cuba jauhkan sikit dari border 60 kg tu. Walaupun BMI saya sudah normal. Saja, nak tengok, boleh turun lagi ke tak. Kalau dapat 55 kg, orait juga. Tengok la dulu. Berat saya sekarang adalah 59 kg.

Semalam hari Khamis, saya pergi lari sekejap. Hari Rabu saya tak lari, sebab hujan lebat di waktu pagi.


Larian pagi Khamis adalah sejauh 7.34 km. Gambar di atas adalah kopi yang saya tapau. Kiri, americano panas. Kanan, mocha frappuchino, untuk suami. Orang tu tanya, nak letak gula tak, dalam americano tu? Saya cakap letak sikittttttt je. Memang betul dia letak sikit je. Hampir tawar rasanya. Bagus, bagus. Bungkusan di dalam plastik di belakang kopi adalah roti john daging. Tapau, makan di rumah. 

Pagi tadi, saya tak jogging. Malas pulak. Hari ni memang plan untuk ke Ipoh, ambil racekit untuk event lari hari Ahad ni.

Lepas sarapan dengan anak-anak di luar, saya dan suami pun pergi Ipoh.


Selamat sudah, ambil racekit untuk event hari Ahad ni. Semoga selamat sampai ke garisan penamat. Saya masuk half marathon, 21 km.

Kedua kakak saya pun ada event lari juga, di Sabah, iaitu TMBT. Kakak sulung masuk 50 km, manakala kakak kedua masuk 30 km. Rindu untuk lari dengan kakak-kakak saya. Insya-Allah, jika diizinkan. Walaupun saya tak join dia orang, kakak kedua bawa topi yang saya kait untuk dia dulu.


Hehe.. saya pun dah lupa saya pernah kait topi ni untuk dia.

Kakak keduaku, pakai topi saya kait.

Kakak wassap kata, hujan sana. Aiyo.. semoga selamat sampai ke garisan penamat.

Selamat bercuti. Selamat Hari Malaysia! 😊💓

Kerja kait dan lari jugak

 Selasa, 16 Safar 1444 Hijrah.

Semalam, hari Isnin, saya off jogging. Tapi saya tolong suami mesin rumput di halaman rumah. Masukkan rumput dalam plastik hitam untuk diambil oleh lori kutip bahan buangan pokok. Hari tu saya menebas, kan. Menebas di bahagian yang tidak dapat dilalui oleh mesin rumput. Kerja sudah siap. Cuma rumput dalam pasu belum cabut. Panas. Entah bila nak sambung. Hehe.. macam ni la, orang dah amanah kita jaga rumah pusaka. Kenalah jaga elok-elok. Sebulan sekali jadi tukang kebun.

Pagi tadi, saya pergi jogging setelah hantar anak kedua ke sekolah.

Kucing jiran datang bertandang

Larian hari ni adalah sejauh 8.29 km. Matahari cepat naik hari ni. Panas sudah bila sudah sampai 6 km. Hari yang bagus untuk basuh kain.

Inilah dia, bila tiba musim mengawan, ada je kucing jantan datang bertandang. Kucing-kucing kat rumah saya ni, betina belaka. Eh eh, dia ngorat si Oyen pulak. Ngekor ke mana Oyen pergi, walaupun Oyen tak suka.


Agak besor juga kucing jantan ni. Bulu kat perut dah la macam carpet. Ish ish... anak bulu sape la ni. 

Eh, lupa plak nak share. Pagi tadi, saya masak nasi goreng.


Tumbuk cili kering dan ikan kering pukul 5 pagi. Kikiki... 

Sedikit progress kerja mengait pulak. Saya dah siap buat topi baby yang crochet (kait satu jarum). Tapi saya nak buat satu lagi topi baby, knitting pulak (kait dua jarum). Saje, nak bagi lebih pilihan pada customer.

Masa baru nak start knit.

Menatang apa la pulak, sampai 4 besi tajam macam chopstick ni, kan. Ini jarum knitting yang dipanggil double pointed needles (DPN). Sebab dua-dua belah kiri dan kanan jarum, tajam. Jarum DPN ini diguna bila kita nak kait benda bulat, seperti topi. 

Kalau tak nak guna DPN ni, boleh je guna jarum knitting bercable untuk kait topi. Saya tunggu DPN yang saya baru beli kat shopee, dari China juga. Bukannya saya tak usha local seller. Ada je, yang saya pernah beli dulu. Tapi harga bapakkkk.... macam nak cepat naik haji je. 

DPN, beli kat shopee

Set DPN yang saya beli di shopee ni, seller kat China, harga dia RM16. Yang saya usha kat local seller, bila dah add to cart, RM90. Beza giler, kan... Jarum knitting besi, pelbagai saiz. 

Tu pasal ada pepatah omputih kata, don't mess around with a knitter. Tau tak pasal pe?

Photo credit: knitlikegranny.com


Hehehe... kacau la kacau, kang aku cucuk ngan jarum kait kang.. 😁
Berikut progress saya setakat semalam.


Baru sampai di bahagian brim topi. Bahagian yang boleh diregang. 

Ok ler. Tu je cerita pada hari ni.

Kome buat apa tu? Dah makan ke? Makan apa?

Jumpa lagi, ye. 😊

Larian sambil berangan

 Ahad, 14 Safar 1444 Hijrah.

Semalam saya tak pergi jogging pun. Saya dan suami pergi jalan-jalan cari makan di pasar pagi Bota. Sambil tapau makanan untuk sarapan dan makan tengahari, jalan-jalan di pasar pagi ni saja sudah boleh mencapai 1 km. 😁

Lebih kurang tengahari, suami terima panggilan dari kedai komputer. Laptop dia yang rosak sudah siap repair. Kami pun pi la ambik waktu petang. Repair motherboard yang rosak. Kedai komputer tu, satu barisan dengan Secret Recipe.

Singgah mengopi sat.


Sambil tu, ambil satu piece chocolate indulgence cake dan chicken cornish sebiji. Mak saya dulu panggil chicken cornish tu, karipap dinasour. 😁😋😋 Kenyang. Alhamdulillah. Dah tak makan malam dah kami. Intermittent fasting start awal. Mengopi, tapi lupa ambil gambar kopi. Saya order hazelnut latte panas, dan suami minum ice blended cappuchino.

Suami kerja shif malam. 

Jadi, pagi Ahad, hari ni, saya jogging sorang. Lama plak tak layan pemandangan tepi laut. Pergi jogging di Esplanade Lumut. Saya ni, sebenarnya sejenis introvert. Lebih suka buat benda sorang-sorang. Tapi ada kala, saya boleh juga jogging dengan kawan-kawan. 


  

Kacau Oyen tengah tidor. Masam je Oyen, kita ambil gambor dia. 😁 Larian pagi tadi, sejauh 11.2 km. Slowjogging je. 

Bila jogging sorang, boleh muhasabah diri. Boleh berangan. Kalau saya jadi perdana menteri, saya akan improve public transportation satu negara. Saya akan buat LRT, di semua kawasan yang boleh dilalui, di kampung, dan di bandar. Lepas tu, semua free. Takde tambang. LRT ke, komuter ke, ETS ke, bas awam ke, semua free. 

Satu rumah, ada satu kereta sahaja. Ini untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas. Jalanraya akan dibaiki, ada laluan motor dan basikal khas. Siapa langgar pejalan kaki, penunggang basikal atau penunggang motosikal, akan dikenakan hukuman penjara. Takde saman-saman, denda-denda. Penjara terus kalau langgar orang. Kalau emergency ke, nak ke hospital, tiada masalah, bas atau LRT sentiasa ada. Selang 5 minit. 😁 Semua public transport ada kemudahan untuk kegunaan OKU, yang tak boleh berjalan, ada special bas yang ada lifter tu, boleh angkut orang yang naik wheelchair, ke mana-mana.

Laluan jogging pagi tadi. Pokok besar dah kena trim

Hehe.. syok berangan. Siapa yang boleh kurangkan berat, contoh dari BMI obese ke overweight, boleh ke klinik kesihatan terdekat, ada hadiah. Voucher makanan, boleh tebus untuk beli barang di supermarket atau pasar, terhad kepada pembelian buah, sayur dan barangan dapur sahaja. 

Ok ler. Tu je sesi berangan sambil berlari buat kali ni. Akan disambung di kemudian hari. 

Semoga hari anda ceria dan selamat berhujung minggu. 😊

Time flies

Jumaat, 12 Safar 1444 Hijrah.

Sekejap je dah hari Jumaat. Masa memang cepat berlalu bila cuti sekolah. 😁

Semalam saya tak pergi jogging. Memang hari Isnin dan Khamis, saya rehat, tiada aktiviti riadah. Nak puasa pun tak boleh, uzur. Jadi, saya menebas.

Tahukah anda, menebas tu jauh lebih penat dari berlari? Macam buat total body workout pulak. Letih badan lepas menebas. Pastu, terus cuti masak. Hehe haha..

Pagi tadi, saya pergi jogging.


Larian hari ni adalah sejauh 9.04 km.

Cuaca cantik. Tak panas sangat. Hajat nak buat 8 km saja, tapi terlajak pulak.

Balik rumah lepas sarapan, saya masak ayam goreng berlada. Tak rasa lagi. Makan tengahari, nasi lemak pagi tadi. Sedap rasanya, sebab dah lama tak makan nasi lemak kot.

Syukur Alhamdulillah. 

Semoga hari anda baik-baik saja.

Jumpa lagi, ye. 😊

Kasut baru

 Rabu, 10 Safar 1444 Hijrah.

Seronok betul melayan perasaan rileks dan santai-santai di waktu cuti sekolah ni. 😁 

Kome pergi bercuti ke mana-mana ke? 

Saya stay di rumah je, dengan anak-anak. Suami korje. Melayan selera anak-anak. Sat sat, masak. Sat sat, makan. Sat sat, layan netflix. Huhu...

Larian Ahad lepas, 15 km.

Ahad lepas, saya jogging dengan kawan-kawan dulu. Suami datang lewat ke tempat jogging. Tapi habis sama-sama, pastu pergi sarapan sama.

Keesokan harinya, suami saya off kerja. Ajak pi nyongket Ipoh. Kami pi dengan anak sulung. Saja, jalan-jalan. Jamu mata. Makan di tempat yang tak ada di Lumut, seperti di Texas Chicken. Lepas pergi Aeon Mall Station 18, pergi Ipoh Parade pulak. Lebih meriah di Ipoh Parade. Lebih ramai orang, walaupun hari bekerja. 

Jumpa pulak A&W, satu lagi tempat yang tak ada di Lumut. Makan lagi. Pastu jalan lagi. Kedai sukan je, masuk. Lepas tu, saya boleh terbeli kasut baru. Sebab apa? Sebab dah lama mencari kasut Brooks. Akhirnya, ketemu. Nak ke KL, memang tak la kot. Tak tahu bila. Tengok-tengok, boleh jumpa kasut Brooks di Ipoh. Apa lagi... pakat test la. Berpeluh juga, test lari pakai kasut dalam kedai. Akhirnya, saya beli kasut seperti di bawah.


Brooks Ghost 14.

Keesokan harinya, saya test lari pakai kasut baru.

Larian Selasa, 8.49 km

Dah lama saya tengok ramai runners pakai kasut Brooks ni. Kedua kakak saya yang dah lama berlari juga, dah lama rekomen saya beli kasut ni. Jadi, benarlah apa yang orang kata. Memang sedap. Sepanjang saya berlari sejak tahun 2014, inilah kasut paling sedap yang saya pernah pakai. Period. Dah. Tu je. Tak yah cakap benda lain dah. Cuba sendiri, baru anda tahu.

Kalah Nike Pegasus 36 saya dulu. Kalau Nike Pegasus 36 dulu, walaupun baru beli, dah macam lama kenal kaki kita. Tapi Brooks Ghost 14 ni, rasa bouncy, rasa kaki atas tilam bila berlari. Elok sangat sebab lututku yang longgar, kan. Soft landing rasanya, walaupun lari atas tar. Syukur Alhamdulillah, sudah ketemu dan merasa pakai kasut best macam ni. 

Saya bukan jenis memilih pun. Apa-apa brand yang saya jumpa, saya beli je, setelah cuba. Jangankan yang kat butik sukan, yang kasut jenama tempatan, beli di kedai kasut apek pun saya pernah beli. Selesa itu lebih penting. Ada juga yang saya pernah beli, tapi tak sesuai, terpaksa tolak kat orang. Itu la pasal saya tak pernah beli online. Saya lebih suka cuba pakai dalam kedai. Supaya boleh tahu sesuai tak dengan kaki saya. Setakat ni, kasut Asics tak sesuai dengan kaki saya, rasa ketat di hadapan. Jari kaki tak bebas. Tak sesuai dengan saya, tapi tak semestinya tak sesuai untuk anda. Kena cuba sendiri bila beli kasut lari, tau. Kaki kita semua tak sama. 

Larian hari ini, Rabu, 8.07 km.

Pagi tadi hujan. Tapi lepas Subuh, hujan berhenti. Pergi jugak la jogging. 

Baiklah. Tu saje cerita kali ni.

Bagi yang sedang bercuti, selamat bercuti ye. Selamat bekerja pada yang bekerja.

Jaga diri, jumpa lagi. 😊

Rumusan Ogos 2022

 Jumaat, 5 Safar 1444 Hijrah.

Saya dah insaf. Saya tak lagi lari 10 km setiap hari. Walaupun kepala otak saya yang giler lari ni menyuruh saya berbuat demikian. Saya kini berehat 2 hari seminggu dari sebarang aktiviti larian, iaitu hari Isnin dan Khamis, di mana saya berpuasa, jika tidak uzur, Insya-Allah. 

Kadang tu, saya tak sedor diri. Sampailah pada satu hari, lutut saya telah mengeluarkan signal. Lalu saya serta-merta berhenti berlari, atas treadmill. Ah sudah... apehei pulak ni. Huuu.... takmo la cakap. Dah letak ais. Dah makan fish oil. Makan bendi. Pakai knee guard. Berehat. Ok sikit. Saya alami benda ni, sejak sebelum saya lari di Ipoh lagi. Giler tak risau... dah la event dah nak dekat waktu tu. Itu yang saya slow down sikit tu. Huuu... padan muka. Overtraining kot. Tak sedor diri. Sehari lari 10 km. Pastu ber-jump rope pulak. Ada satu hari saya buat demo kat anak saya, saya jump rope pakai selipar je. Haha.. merasalah. Saya dulu pernah terbaca, yang orang yang ada masalah tiroid ni, mudah untuk kena osteoporosis. Saya memang on medication tiroid, sebab saya dah takde kalenjar tiroid, macam orang lain. Ha, ok la. 

Sehubungan dengan itu, saya telah membuat jadual. Kembali ke jalan Allah. (Masa dah sakit baru kembali ke jalan Allah. Bila sihat ko lenjan ke sana ke sini, cetan! 🙈). Ada masa untuk rehat, masa untuk online, masa untuk mengait. Tersusun sikit rasanya. Semoga istiqamah. 

Tapi saya masih lari. Seminggu sekali, saya cadang buat LSD (long slow distance training. Lebih 10 km). Saya masih perlu training sebab ada beberapa event lari yang saya dah daftar. Itu yang saya sangat bersyukur, jika dapat sampai ke garisan penamat. Itu target saya. Sayangi kaki anda.

Larian Ahad lepas.

Larian Selasa lepas, 6.44 km.

Pernah tak, anda tengok nasi semalam, sikit je, nak masak nasi goreng pun, anggaran anda, cukup untuk 2 orang makan je kot. Tapi bila anda masak juga nasi goreng, walaupun nasi semalam sikit je, tengok-tengok, nasi tu jadi banyak? 😁 Ye la, kita letak macam-macam leftovers kan. Ayam goreng tak habis ke, fishcake la, telor lagi la, tu yang jadi banyak, kan.. sebab tu nasi kelihatan lebih banyak. Macam magik pun ada. Tapi, semua tu kan kuasa Allah.

Nasi goreng Selasa

Mari kita tengok rumusan larian Ogos 2022.


Jumlah jarak larian terkumpul adalah sejauh 236.9 km, dengan purata larian sehari sejauh 7.6 km. 

Ini adalah jarak paling banyak, sejak bulan Disember 2021.

Rekod jumlah jarak sejak November 2021

Huh. Saya sendiri pun tak sangka. Dengan keadaan lutut longgar pun mileage saya tinggi bulan Ogos. Alhamdulillah. Dah lepas ni, slow down sikit. 

Namun begitu, ada peningkatan dari segi berat badan. Oh nooo...


BMI masih normal. Tapi dah atas pagor ler. Hahaha... padan muka aku. Makan banyak. Lepas ni, kena control portion sikit. Kalau mak saya masih ada, dia akan cakap, "Ni, makan ke, mentekederah?" 😂😅😁 Astaghfirullahalazim... kena tampor diri sendiri 7 kali kanan, 7 kali kiri, baru sedor diri sikit.

Nasi goreng hari ni, Jumaat.

Larian hari ini, Jumaat, 5.74 km.

Baiklah. Sekian laporan pada kali ini.

Hujan. Hati-hati bawa kereta. Jaga diri, jaga keluarga. 

Jumpa lagi, ye. 😊