Showing posts with label Half Marathon. Show all posts
Showing posts with label Half Marathon. Show all posts

Half marathon Oktober

 Jumaat, 20 Oktober 2023 - Plan dengan adik-adik geng lari, nak buat half marathon keesokan harinya. Jadi, hari Jumaat, makan malam, makan nasi. Carbo loading. 

Saya dan suami makan di kedai tomyam tepi jalan, yang on the way to pekan Lumut. Lupa pulak nama kedai apa. Kami panggil, kedai kuning. Sebab signboard kedai tomyam warna kuning. 

Carbo loading Jumaat

Kami pesan nasi putih, dengan lauk telur dadar, kailan ikan masin, daging masak merah dan ikan kembung masam manis. Ada sambal belacan sekali.

Close up, daging merah dan ikan masam manis.

Harga makan malam adalah RM34 semuanya. Alhamdulillah. Sedap, semua cukup rasa! 😋

Kalau nak lari esok, tak payah la nak diet-diet, no nasi. Nanti tak ada tenaga. Makan je. Saya nak kongsi juga di sini, yang bahawasanya, saya tidak lagi intermitten fasting. Suku-suku separuh pun tidak. Motto baru saya, Live Life Abundantly! Hehe... 

Sabtu, 21 Oktober 2023 - Plan dengan adik-adik geng lari untuk ikut jalan di kejiranan. Saya sampai awal di lokasi. Bolehlah warm-up dulu, slow-slow. 

Saya pakai pouch pinggang yang boleh letak air mineral kecil. Sebab saya malas nak bawa hidration bagpack. Bawa gula-gula garam. 

Peta kami lari HM (half marathon)

Laluan tepi jalanraya utama. Ok la, hari Sabtu, tak banyak kereta sangat. Saya boleh lari sampai kilometer 15 je. Masuk kilometer 16, saya sudah mula jalan. Tak larat rasa. Keadaan jalanraya di sesetengah taman, tak elok. Jalan dah hilang tar, batu-batu tajam, sakit pula bahagian tapak kaki. Saya cakap kat adik-adik, teruskan je lari. Saya jalan je.

Tengok-tengok, adik-adik geng lari pun sampai kilometer 17 je. Pastu, dia orang berhenti. Zura cakap, dah tak larat. Stamina down betul. Lama dah Zura tak buat hm. Sorang lagi adik, Mira, baru first attempt nak buat hm. Puas la pujuk adik-adik, jom je la, jalan sampai habis, sayang la, dah 17 kilometer dah kot. Tapi masing-masing dah give-up, lepak atas bangku kat kawasan rukun tetangga dekat sekolah anak. Hahahadoiii....

Jadi, saya teruskan je la sorang-sorang. Jalan je pun. Saya singgah kedai runcit, beli air ribena. Air mineral botol kecil yang saya bawa, sudah habis. Ada bawa duit, RM10. Jalan je, sambil muhasabah diri. 

Selfie di kejiranan.

Alhamdulillah. Capai jarak hm. Terlebih lagi. Alaa... bukannya masuk event. Kita suka-suka kan. Kalau masuk event pun, cut-off time untuk hm biasanya 4 jam. Lulus la ni. Peduli apa kalau berjalan pun. Kalau larat, lari. Tak larat, jalan. Tak larat jalan, merangkak. Asalkan terus bergerak ke hadapan. Itulah motto saya dari dulu, sejak saya masuk dunia larian ni. Sayang oi, cuaca baik jangan dipersiakan. Tak berapa panas, bolehlah tahan. Dari 3 orang mula misi hm, tinggal saya sorang. 

Dengan adik-adik geng lari, Zura dan Mira.

Alhamdulillah. Selamat menghabiskan misi half marathon bulan Oktober. Bila tak ada masuk acara larian, bukanlah penghalang untuk kita lari jauh. Nak atau tak nak je. Tapi kalau saya sorang nak mula, memang tak la. Saya tak berani lari sorang-sorang di jalanraya utama. Ada adik-adik, bolehlah berani sikit. Terima kasih kepada Zura dan Mira. Lain kali, dia orang boleh cuba lagi, untuk habiskan jarak hm.

Penat rupanya lari di kejiranan ni. Tak tahulah kenapa. Mungkin kena mula awal pagi, lepas Subuh lain kali. Bila dah pukul 7.20, memang cuaca mulai panas. Faktor usia mungkin, dah tak kuat lari macam masa muda. Pastu, sebab saya pakai pouch ni, boleh sakit pinggang pula. Dekat tulang pelvis tu, rasa lenguh. Huh.. apekehenya... saya cuma carry botol air mineral kecil tu je. Tapi dah baik dah, hari ni. 

Ok la. Sekian laporan half marathon bulan ni. 

Jumpa lagi, ye. 😊

HTM Ipoh 7 Bridges Run 2023

Cerita tentang HTM Ipoh 7 Bridges tahun lepas, ada di sini.

Tak macam tahun lepas, di mana saya bertolak dari Lumut pada hari larian. Tahun ini, saya dan suami pergi ke Ipoh hari sebelum larian, dan bermalam di hotel.

Race Entri Pack Collection (REPC)  

Sabtu, 16 September 2023 - Bertolak dari Lumut sebelum tengahari lagi. Nasib baik pergi awal. Sebab hari roadblock sedunia di Perak. Jumpa dengan 3 sekatan jalanraya oleh polis. Dia punya kesesakan, panjang berjela, you. Sampai saja di Ipoh, terus tuju ke Stadium Indera Mulia, untuk ambil racekit. Ada 2 hari boleh ambil racekit, hari Jumaat dan Sabtu. Sesak ye, di stadium. Cuti umum Hari Malaysia, lepas tu ramai orang berkunjung ke event di stadium, ada hari kerjaya, karnival KAMU, booth-booth jualan. 


Dalam drawstring bag tu, ada nombor bib larian, baju event dan beberapa freebies seperti gula-gula garam, samples dan voucher dari Farmasi HTM.

Lepas ambil racepack, jalan-jalan tengok apa yang menarik di tapak karnival. Saya beli energy gel. Ada offer, beli 3 energy gel, harga RM20 sahaja.

N8 energy gel, satu (perasa mango) saya dah guna masa lari. Himalayan salt drops, free gift dalam racepack.

Masih terlalu awal untuk check-in di hotel, jadi pergi jalan-jalan dan makan tengahari dulu di Aeon Kinta City. 

Penginapan

Saya dan suami telah buat tempahan di Fair Park Hotel. Tak jauh dari lokasi nak berlari, iaitu di stadium. Pertama kali nak check-in di hotel, saya beratur selama 1 jam, hokey...! OMG! Kena sabor banyak-banyak.

Bila dah selamat masuk bilik, ok. Semua puas hati. Bukan nak duduk lama pun. Berbaloi dengan harga yang kami bayar, iaitu RM81 sahaja. Bilik standard. Aircond sejuk, ada tv, bilik air bersih, ada cerek elektrik boleh buat kopi, ada mini fridge, ada tingkap boleh view pemandangan belakang hotel. 

Masa kami keluar petang, masih ramai yang beratur nak check-in. OMG! Tak habis-habis lagi. 

Lokasi memang strategik. Banyak tempat makan. Dalam pukul 5 petang, saya dan suami pergi pekena nasi kandar Pelita, jalan kaki je, dari situ. Alhamdulillah, carbo loading dengan selamatnya, ayam goreng, nasi kuah campur, sedap hingga menjilat jari. 

Balik ke hotel, terserempak dengan staf hotel yang uruskan check-in pada pukul 3 petang tadi, tanya baru habis kerja ye. Dia kata, dia baru kerja tahun ni di hotel tu, pertama kali tetamu ramai sangat nak masuk. Hehehe... itulah penangan Ipoh 7 Bridges Run ye. Orang dari KL, dari utara, turun, untuk sertai larian ni. 

Hari Larian

Tidur 6 jam. Alhamdulillah, boleh berehat. Walaupun mata tak mengantuk, nak mengadap movie di bilik hotel, tapi off juga lah tv, sebab perlu bangun awal, iaitu pukul 2 pagi. 

Mandi, siap-siap, pukul 3 pagi, saya dan suami berjalan ke stadium. 

Saya buat warm-up. Lari sikit-sikit, bagi keluar peluh. 

Selfie satu, bersama suami tercinta.

Tepat pukul 4 pagi, berlepas la kami, peserta half marathon, iaitu sejauh 21.1 kilometer. Tiada false start macam last year. Bagus, semua lancar.

Biasanya, bila mula dilepaskan, saya boleh sampai pace 7. Laju la tu, bagi saya. Mudah terpengaruh dengan orang-orang lain. Kali ni, saya buat easy pace sahaja. Pace 8 paling laju. Takpe, biar orang potong kita. 

Kilometer 1.5. Kredit foto: Jurugambar rasmi Ipoh 7 Bridges.

Boleh nampak saya dalam gambar di atas? Memang meriah acara ni. Sentiasa dikelilingi orang. Sentiasa dipotong dan memotong orang. Hehe... dalam gambar di atas, saya di bahagian kanan, di belakang.

3 kilometer pertama memang paling susah bagi saya. Masa tu la, ada rasa lenguh betis la, macam-macam. Itu pasal kali ni, strategi saya, start easy, finish strong. Saya slow je. 

Lepas 3 kilometer, automatik kita terlaju. Tak sengaja pun. Tapi sebab enjin dah panas kan, jadi semua jadi lancar.

Kilometer 6. Kredit foto: Jurugambar rasmi Ipoh 7 Bridges

Cuaca tak panas, membantu juga. Sebab petang semalamnya, hujan di Ipoh. Kaki ok. Saya lupa nak cerita, saya beli kasut baru, tau. Sebab masa acara larian lepas, rasa kasut saya sempit. Saya beli 0.5 saiz lebih besar. 

Ni dia.. kasut baru.

Asics Gel Nimbus. Melantun-lantun saya pergi. Nama pun 7 bridges, jadi ada 7 fly-over atau jambatan. Masa naik jambatan, saya cakap kat kaki, ok, kita jalan saja la, naik bukit ni. Tapi kaki saya tak dengar cakap, ok. Dia berlari juga. Memang saya non-stop lari. Saya cuma stop di setiap water station untuk minum air. Lepas tu, sambung berlari. Tak jalan pun. Saya sendiri terperanjat dengan diri sendiri. Boleh jadi si Asics Gel Nimbus ni punya pasal. Boleh jadi sebab cuaca pukul 4 pagi yang dingin. Boleh jadi sebab energy gel yang saya ambil, dari masa ke semasa. Bila terasa-rasa macam nak penat je, saya ambil sikit-sikit. Lepas tu, tutup balik penutupnya. Itu yang saya suka energy gel jenama N8 ni. 1 saja sudah cukup bagi saya, untuk half marathon. Apa pun, Allah yang izinkan. Alhamdulillah, saya sangat happy, sebab kaki saya ok sepanjang acara larian ini.

Kilometer 11. Kredit foto: Jurugambar Ipoh 7 Bridges.

Saya ada potong uncle yang bongkok, yang tahun lepas pun dia ada masuk juga. Hebat la dia, tiap-tiap tahun masuk half marathon. Steady je dia lari. 

Kilometer 17. Kredit foto: Jurugambar rasmi Ipoh 7 Bridges

Ada satu water station tu, selain air mineral dan 100 Plus, ada aiskrim malaysia. Tapi saya tak ambil, sebab saya takut semput. Lagi pun bila tak makan apa-apa dan masuk benda sejuk dalam perut, takut gastrik pula. Telan air liur tengok orang lain makan aiskrim malaysia. 

Kilometer 17. Kredit foto: Jurugambar Ipoh 7 Bridges

Saya fokus je lari. Bila jambatan terakhir yang paling tinggi tu, dekat Hospital Pantai Ipoh, ramai yang berjalan. Tapi saya boleh slowjog tak henti-henti sepanjang naik. Entah kena sampuk apa kaki saya hari tu. 

Ada sorang amoi ni, dia potong saya, saya potong dia. Bila dia berhenti jalan, saya potong dia. Bila dia lari, dia potong saya balik. Bila dekat nak habis, dia datang tepi saya, dia cakap, "You're so good! Non stop lari." Pastu saya balas balik,"You're good too. So fast!" 

Pasal tu la saya suka masuk acara larian. Bukan kenal pun sesama runner. Tapi suka motivate each other. Kalau tengok kita slow, ada orang tanya, "Are you ok? " Best rasanya.

Ni, saya tak tau kilometer berapa. Kredit foto: Racetag

Tahun ni, ada sistem pengecaman wajah, di mana di website penganjur, kita masukkan muka selfie kita atau nombor bib larian kita, gambar yang ada muka kita akan keluar. Bagus, ada kemajuan. Tapi ada juga gambar-gambar di atas, saya cari di facebook pengajur, sebab banyak jurugambar di sepanjang laluan.

Saya takde tengok jam sangat. Tapi saya perasan saya sedikit laju dari biasa, bila dekat nak habis, nak sampai stadium semula, hari masih gelap. Masa sampai di surau bergerak pun, hari masih gelap. Sayup-sayup dengar azan. Tapi saya tak berhenti, sebab uzur. Kalau tak, boleh berhenti rehat sebentar. Tak best tau, lari bila sedang datang bulan. Sebab pakai tuala wanita, ada potensi untuk melecet bila berlari jauh macam ni. Kena sapu vaseline banyak-banyak di kawasan terlibat. 

Selalu bila sampai di garisan penamat, suami saya sudah standby untuk ambil gambar. Dia bajet saya buat half marathon, 3 jam. Tapi kali ni, saya terlaju, dia masih on the way ke lokasi. Lepas tu, saya lupa nak stop jam, sebijik macam tahun lepas, pun saya lupa. Ambil medal dulu, ambil baju finisher dulu, masa nak cari tempat lapang untuk menyejukkan badan, baru saya perasan, alamak, jam aku masih berjalan.

Data larian mengikut jam. Gambar diambil masa sebelum berlepas, pukul 3.32 pagi.

Alhamdulillah. Saya rasa sangat gumbira, sebab selamat sampai ke garisan penamat tanpa apa-apa kesakitan atau kecederaan. Cut-off time adalah 5 jam. Sangat lama, ok. Selalu acara half marathon, cut-off time biasanya 4 jam sahaja.

Baju finisher, medal dan bib larian.

Meh tengok result larian, mengikut masa penganjur.


Kategori women veteran, saya nombor 68 dari 149 orang. Yay! Hehe.. happy. 

Keseluruhan peserta half marathon, saya dapat nombor 749 dari 1299 orang.

Peserta perempuan pula, saya dapat tempat ke 114 dari 284 orang wanita yang sertai half marathon.

Syukur Alhamdulillah. 

Sijil penyertaan

Tamat sudah acara larian terakhir yang saya daftar untuk tahun ni. 

Last, gambar depan start/finish line.

Alhamdulillah. Suka, suka. 😊

Sekian, jumpa lagi, ye.

Warrior Run 2023

 Sabtu, 12 Ogos 2023 - Sebelum pukul 6 pagi, sudah bertolak dari rumah. Masuk waktu Subuh bagi daerah Manjung adalah pukul 6.04 pagi. Parking kereta depan bus stop Esplanade Lumut. Bentang tikar dan sejadah, check arah kiblat. Wuduk dah siap ambil dari rumah. Solat kat bus stop saja. Tak pergi ke masjid untuk solat, sebab nanti kena berulang jauh ke kereta. Standby pakai telekung siap-siap. Masuk waktu, terus solat. Pastu jalan kaki ke tempat berlepas. 

Ambik gambar sebelum berlepas.

Sepatutnya, berlepas pukul 6.20 pagi. Tapi, lambat beberapa minit. Tak kisah la tu, sempat buat aktiviti memanaskan badan dulu.

Terima kasih kepada encik suami, yang selalu hantar dan tukang ambil gambar masa acara larian. Berikut video encik suami ambil semasa baru berlepas.


Cuma 3 kilometer je lalu pekan Lumut. Selebihnya, laluan dalam pengkalan TLDM Lumut. Berikut peta larian saya.


Yang saya bulatkan dalam peta di atas, adalah kawasan yang lalu 2 kali. U-turn di kawasan anak panah hijau tu, di situ, krew beri gelang untuk pakai, sebagai penanda. Lari lagi, satu pusingan lagi. Sampai lagi di kawasan anak panah untuk u-turn, dapat lagi gelang kedua. Kemudian, baru proceed keluar dari pengkalan TLDM, dan menuju semula ke tempat permulaan.

Saya kecewa dengan diri sendiri, sebab saya tak mampu berlari sepanjang 21.1 kilometer tu. Pertama kali. Kalau tak, acara half marathon lepas-lepas, saya boleh je lari tanpa henti, dari awal sampai akhir. Kali ni, bila sampai 15 km, saya alami sakit di bahagian tapak kaki. Ada ketika, saya cuba juga slowjog. Tapi, tak boleh lama, sakit. Last-last, saya jalan laju je untuk 6 kilometer terakhir. Kasut saya rasa ketat. Kaki saya mengembang. Tak sesuai la pakai Brook Ghost 15 ni, untuk larian jarak jauh. Jari-jari rasa ketat. 

Gambar suami ambil.

Gambar atas, masa nak menuju ke garisan penamat. Saya jalan je. Tak boleh lari dah. Sakit tapak kaki kanan.

Masa nak ke meja urusetia, ambil baju finisher dan goodies, rasa nak cramp kaki. Tapi boleh tahan lagi, sebab saya masih berjalan. Suami tolong pi kedai runcit, beli air coke dan chocolate. Saya dah tak larat. Habis tenaga. Saya rasa, macam saya dah tua untuk masuk event road run yang competitive macam ni.

Duduk sat. Alhamdulillah, selamat sampai.

Nampak tak barisan di belakang saya tu? Itu kategori 5 kilometer, tengah beratur untuk ambil baju. Nasib baik untuk kategori half marathon, tak ramai macam tu. 

Lepas rehat sebentar, saya dan suami berjalan ke tempat parking. Balik rumah.

Sampai rumah, terus kaki saya cramp. Bila buka kasut. Jari kaki mengerekot, macam orang cacat. Jari tengah kaki pergi ke belakang jari manis (eh, ada ke jari manis untuk kaki?) ala, jari sebelah dia la, sakit tegang sampai ke betis. Hahaha.... lantak ko la kaki, ko nak cramp, nasib baik ko cramp kat rumah, bukan masa lari tadi.

Goodies dan baju

Ada 2 helai baju, iaitu baju event dan baju finisher. Selain 2 helai baju, dalam drawstring bag tu, ada roti, air kotak dan medal. Yang saya tunjuk dengan anak panah merah tu, adalah 2 gelang yang saya dapat masa buat 2 loop larian dalam pengkalan TLDM.

Close-up sikit medal.

Berikut adalah keputusan larian saya.


Alhamdulillah, selamat habiskan 21 kilometer. 

Kategori women veteran (40 tahun ke atas), saya dapat nombor last! 4 orang je pun women veteran yang ada.

Dari segi jantina perempuan, saya tempat ke 11 dari 13 orang.

Dari segi keseluruhan, saya dapat tempat ke 54 dari 56 orang yang lari half marathon. Tak ramai pun orang. Nampak benor ramai perantau yang pulang ke negeri masing-masing, mengundi di hari larian.

Masa saya habiskan 21 kilometer adalah 3 jam 9 minit. 

Sijil penyertaan

Saya suka masa lari dalam navy base tu, sebab di setiap simpang, ada polis tentera jaga. Ada ketika masa saya hanya mampu berjalan, saya cakap pada diri sendiri, alamak, bagilah kereta lalu dulu, sebab aku slow ni, tak boleh lari. Tapi polis tentera tu, still hold traffic, nak bagi kita lepas dulu. Banyak simpang macam tu. Saya rasa sangat selamat berlari dalam navy base. Ada 2 laluan, seperti jalanraya biasa, yang di tengah-tengah ada divider jalan. Dia tutup laluan kiri, khas untuk orang yang berlari. Jadi, traffic berjalan belah kanan saja. Kredit kepada pihak penganjur, polis dan semua yang menjaga trafik. Terbaik!

Lepas tu, sebab saya antara yang terakhir, ada 2-3 kali motor crew penganjur, berhenti sebelah saya, tanya saya ok tak? Ok! Saya jawap, sambil senyum. Walaupun slow, mana boleh mengalah, wei. Sakit kaki tu, kita tolak ke tepi. 

Syukur Alhamdulillah, saya berjaya habiskan larian sebelum cut-off time, iaitu 4 jam. Pertama kali saya masuk half marathon, saya alami sakit kaki, sampai tak boleh lari.

Saya tahu, saya kena apa, sebab saya pernah alami sakit di bahagian tapak kaki begini, dulu-dulu.

Plantar fasciitis

Saiz kasut saya tak sesuai untuk long run. Kaki makin besar. 

Memang kalau kita lari hari-hari, kaki kita boleh besar, tau. Untuk kasut lari, kita tak boleh pakai saiz yang kaki kita ngam-ngam. Contoh, kalau sedap test kasut lari saiz 6 UK, jangan beli saiz 6 UK. Belilah saiz 6.5 atau 7 UK. Kena 0.5 atau 1 saiz lebih besar. Sebab, bila kita lari jarak jauh, kaki kita akan berpeluh dan mengembang.

Bila saya tengok kasut yang saya baru beli ni, siap turun warna insole tu pada stokin saya. Saya tak pernah beli kasut yang warna dia turun, tau! Rasa macam dah kena scammed dengan kedai kasut pun ada. 

Walaupun saya rasa gembira dan bersyukur sebab dapat berlari jauh juga, dalam acara larian, tapi ada rasa sedikit kecewa la, sebab saya tak boleh buat baik macam sebelum-sebelum ni. Apa pun, saya fikir positif, dan akan ambil langkah yang sepatutnya, sebab saya ada masuk lagi event, bulan depan, di Ipoh pula. Memang kena beli kasut lain. Biasa la, dalam dunia larian ni, ada hari kita ok, ada hari, larian kita tak ok. 

Atau mungkin juga saya kena terima hakikat yang saya dah tua. Kalau tahun lepas, saya boleh buat half marathon dengan masa kurang 3 jam, sekarang mungkin dah tak boleh. Saya cuma nak lari happy-happy. Tapi bila kaki sakit, camana nak happy? Masa ni la, saya respek dengan orang-orang tua yang sudah lanjut usia, tapi masih berupaya untuk habiskan marathon. Macam dalam Standard Chartered 2019, ada uncle umur 82 tahun boleh habiskan full marathon, 42 kilometer. Giler punya kuat! 

Saya terima keputusan ini dengan fikiran terbuka. Alhamdulillah. Selamat. 

Sebab saya pernah kena plantar fasciitis ni dan boleh baik, nanti lain kali, saya akan cerita camana saya atasi sakit kaki ni, ye. Hari ni pun, dah kurang sakit. Insya-Allah, tak lama lagi akan ok.

Orait, jumpa lagi. 😊

Saya suka makan

Jumaat

Hujan waktu pagi. Masa hantar anak ke sekolah pun dalam hujan. Tak boleh pergi jogging. Jadi, saya dan suami pi sarapan kat mamak. Hehe.


Saya dan suami sama-sama makan tosei. Saya ambil vadei juga, 2 biji. 

Sabtu

Hari Sabtu lepas kan, saya dan suami pergi ke Taiping, semata-mata nak makan yong tau foo. Pernah makan sekali dulu, beberapa tahun lepas. Hari minggu, ramai orang. Yong tau fu belakang bomba, Taiping, memang dikenali ramai. Cuma kami ingat-ingat lupa, kedai mana satu kami makan dulu. Ada sederet kedai yang jual yong tau fu, sotong kangkung dan kerang rebus.

Yong tau foo, sos hitam.

ABC

Kami makan di kedai yang salah. Rasa, kedai hujung nombor 1 atau 2. Tapi kedai nombor 1, masa kami sampai, full, takde tempat duduk. Itu yang kami pi kedai hujung last. Huu... tapi ok la, layannn...

Psstt, jangan cakap kat orang tau, tapi yong tau foo sup kat astaka Sitiawan lagi sedap! 😁

ABC dia pun layannn la juga. Walaupun makan epal sejuk dan masam dalam abc tu buat saya ngilu. Pertama kali order abc jumpa epal.

Ahad

Sekarang cuaca selalu mendung dan hujan, kan. Saya baca, Kuching Marathon orang lari dalam hujan. Putrajaya Night Marathon pun lari dalam hujan juga. Kat sini, takde la hujan hari-hari. 

Hari Ahad lepas, saya memang dari awal sudah bagitau suami, nak buat long run. Lajak boleh sampai half marathon, dengan sorang kawan saya. 

Peneman setia bila balik jogging.


Bila lepas jarak 21.1 km, terus settle cabaran 5km, 10km dan half marathon di aplikasi Strava. Hehe.. siap terus homework lari untuk bulan Oktober, walaupun baru masuk 2 haribulan.

Isnin

Saya ada masuk cabaran di aplikasi BookDoc. Yang Nestle Omega Plus Walk a Million Miles tu.


Cabaran ni, berlangsung sepanjang bulan September. Target dia, adalah capai 300,000 langkah dalam sebulan. Sudah selesai pun cabaran ni. Saya jarang masuk cabaran yang berbayar. Tapi sebab murah je fee untuk cabaran ni. Lagipun dari kawan-kawan saya yang pernah masuk dulu cakap, Nestle suka bagi barang banyak dalam goodie bag dia. 

Tapi e-medal la ye, dan e-certificate juga. Terus dapat kotak dari Nestle. Suami saya tolong amikkan kat pagar, cakap kami takde order apa-apa barang pun. Courier tu pun cakap dia tak tahu. Saya tak expect dapat barang dari cabaran ni, secepat ni. Mari kita tengok, apa ada dalam kotak.


Sehelai t-shirt, susu Nestle Omega Plus dalam  pek 150 gram, susu Omega Plus perasa dark chocolate dalam pek 550 gram dan minuman bijirin oat dengan susu omega plus, ada 10 packet dalamnya.

Hehe.. saya dah minum susu biasa tu dulu. Yang perasa coklat tu, dah habis perasa asli tu, saya akan cuba yang itu pula. 

Selasa

Pagi tadi, saya cuma berjalan dengan suami. Suami kerja shif petang. Jalan lenggang kangkung je. Itu pun, jam saya mati, sempat rekod 3 km sahaja pagi tadi.


Lepas berjalan, kami pi sarapan di Kluang Coffee Manjung. Suami order nasi ambeng, sementara saya pula laksa johor. 

Pada pendapat saya, susah nak cari kedai makan yang bila kita makan, rasa, sedapnya. Kebanyakan kedai sekarang, biasa-biasa je. Tapi bila makan kat sini, memang saya puas hati. Dah la portion banyak, lepas makan rasa gendut. Sedap pulak tu. Macam dia masak dari hati la. Bukan macam kebanyakan orang niaga sekarang, asal siap saje. 

Itu saja la ye, laporan buat kali ni.

Lain kali, saya tulis lagi. Jumpa lagi, ye.

HTM Ipoh 7 Bridges Run 2022

 Pada hari Ahad yang lepas, bersamaan 18 September, saya pergi Ipoh dengan suami, pagi-pagi buta, kau... Nyaris terlewat. Saya nak bangun pukul 12.30 malam untuk bersiap. Saya set alarm di telefon, 12.30. Saya lupa yang handphone saya, setting jam dia, 24 hours. Patutnya, 0030. Saya letak 1230. Tak bunyi la. Nasib baik suami saya tak tidor dan gerak. Itu pun dia gerak saya bangun lewat, hampir pukul 2 pagi. 

Anda bayangkan ye, dari Lumut ke Ipoh, kami sampai dalam 1 jam je bawa kereta. Malam minggu tau. Walaupun tak sesak. Tapi traffik light banyak. Tak pernah-pernah bawa kereta macam ni, sejam dah sampai. Dari Lumut ke Stadium Indera Mulia Ipoh, 84.7 km jaraknya. Mengikut google maps, ETA 1 jam 29 minit. Haha.... kat rumah tu, saya bersiap macam kartun. Mandi pun ala kadar. Tak sempat 'lepas hajat'. 

Bila sampai Ipoh, ada masa sikit, singgah Petronas, baru lega, dapat membuang. Dah tu, lain kali ada event lari, takmo bertolak dari rumah tengah-tengah malam. Baik duduk hotel. Tapi nak buat camana, suami punya cuti dah tinggal sikit. Kena jimat, takut ada emergency atau hal keluarga, kena hantar anak ke, kan. 

Takpe la, sempat sampai, pakai kasut, buat warm-up, dan bersedia untuk larian.


Ramainya manusia. Flag off untuk kategori 21 km, pukul 4 pagi. Tapi, nak tau tak apa jadi? Boleh false start la pulak! Udah macam larian 100 meter pulak kat sukan olimpik. Orang tembak, tapi false start, kena balik semula ke starting line. 

Saya yang duduk di tengah-tengah, tak dapat dengar apa-apa pun yang Emcee tu cakap. Suami saya cerita, sebab dia dah standby kat depan starting line, nak ambik gambar saya, emcee tu cakap, tunggu, tunggu. Polis di hadapan belum ready. Tapi orang kat starting line tu dah tembak, orang ramai pun start la lari. Adoi! Marah orang kat depan tu. Ada la 2, 3 kali kena undur, undur ke belakang, sebab nak mula semula. Saya sampai terpijak kaki orang belakang saya. Ye la, kan orang dah berpusu-pusu ke depan, nak mula. Sepanjang penglibatan saya berlarian di event ni, ini pertama kali kena false start. 

Lepas tu, berlepas la jugak. 

Kredit foto: Jurugambar rasmi HTM 7 Bridges Run Ipoh

Boleh nampak saya, dalam gambar di atas? Hehe...

Giler, orang semua laju-laju, tau! 

Saya, semasa 3 km pertama, saya ada rasa sakit di bahagian shin.

Photo credit: OrthoInfo

Lepas 3 km, sakit tu hilang. Tapi ada rasa sakit kat tapak kaki pulak. Adoi. Yang ni, tak hilang-hilang. Sikit-sikit saya ambil energy gel. On and off la, saya tetapkan langkah kecil sahaja. Tak mau push, takut cedera. 

Ipoh 7 Bridges Run ni, seingat saya, tiap-tiap tahun dianjurkan, sebelum covid. Tapi ini pertama kali saya masuk. Memang dia tak tipu la ye. Dia punya route, turun naik, turun naik beberapa fly over di Ipoh tu. Masa tengah lari tu la, timbul sedikit rasa menyesal, kenapa la saya tak training lari di bukit Teluk Batik tu. 

Serius, sakit betis, extra letih bila habis tau, macam kita naik bukit pulak. 

Berbalik kepada suami saya, selepas saya berlepas larian, dia kembali ke kereta untuk tidor. Sebab suami saya kerja shif, semasa hari kejadian, dia kena masuk 12 tengahari. Dia baru je nak melelapkan mata di dalam kereta, tapi diganggu oleh bunyi bising pekerja majlis bandaran tiup daun kering. Lepas tu, dia terdengar orang sembang pulak, kuat. 

Bila dia keluar kereta, dia tengok ada runner dah siap dah pun lari. Cuba anda bayangkan, 21 km, 1 jam 20 minit, dah ada orang sampai, ye! Kegilaan apakah ini? Kaki kuda ke? Laju-laju belaka... 

Ramai pulak peserta, tau. Saya sentiasa dikelilingi orang. Tak pernah bersendirian berlari. Kerja saya dok potong orang je.

Ada pacer, bawa belon. Jadi, sangat membantu.

Ada kalanya, pacer 3 jam betul-betul duduk belakang saya. Pacer pulak, cakap, ha, kalau tak nak saya potong, laju sikit, laju sikit. Kan sebagai dorongan tu. 

Ada kalanya, sedikit di hadapan, saya berjaya potong pacer 2 jam 45 minit. Tapi, saya tak dapat bertahan. Pacer 2 jam 45 minit potong saya balik semasa km ke-18, lebih kurang. Tak larat, tau. Sakit betis dah.

Gambar oleh jurugambar rasmi HTM 7 Bridges Run

Dalam gambar di atas, tengah fokus, I can do this, I got this! 

Saya jumpa macam-macam orang. Ada sorang uncle runner ni, saya potong, dia dah tua dah. Posture badan dia pun macam dah bongkok. Tapi dia steady je lari, half marathon. Ntah kita boleh tak lari lagi bila kita dah tua macam tu.

Bila dah nak habis, jumpa sorang adik, cakap kat saya, steady, kak, steady. Dia dok jalan je, catwalk. Kaki dia cramp, katanya. Laa, takpe dik. Slow ke, laju ke, asal bergerak ke depan, ok sesangat.

Ada surau bergerak semasa km ke-16 lebih kurang. Alhamdulillah.

Berikut result larian saya.


Category: 21 km veteran

Dari 1,217 peserta larian, saya dapat nombor 803. 😁

Dalam kategori women veteran, iaitu wanita 40 tahun ke atas, ada seramai 166 orang, saya dapat nombor 104. 😁

Dari 289 pelari wanita, saya dapat nombor 144. 😁

Medal dan baju finisher

Letih campur mengantuk. Bole tidor time amik gambor.

Masa pada jam saya, 3 jam 6 minit. Saya lupa nak stop jam. Saya pergi ambil baju dan medal dulu, ambil taufufa dulu, cari tempat duduk dulu, baru saya perasan yang jam saya masih berjalan. Hahaha... masa rasmi yang saya ambil untuk half marathon kali ini, tepat-tepat 3 jam ye. Haha hehe huhu... Alhamdulillah, syukur, selamat sampai.

Lepas sampai, rileks sebentar. Saya stretch sekejap. Habiskan taufufa panas. Sedap rasanya, pekena benda panas habis larian. Lembut, terbakor dada. Kalau dapat kopi panas lagi best. Hehe.

Kami tak tunggu pun untuk cabutan nombor bertuah. Terus balik. Suami nak masuk kerja pukul 12 tengahari. 

Alhamdulillah. 

Jumpa lagi, ye. 😊

MCIS Life Malaysia Women Marathon 2022

 Pada 21 haribulan Ogos yang lepas, saya telah menyertai acara MCIS Life Malaysia Women Marathon di Ipoh.

Hari untuk Race Entry Pack Collection telah berlangsung hari sebelumnya, iaitu 20 Ogos. 


Selain ambil nombor bib larian, ada juga jualan barang-barang larian, semasa hari kejadian. Saya telah beli tudung lari Numawear. Biasa nampak je kat IG, iklan tudung lari di newsfeed, kali ni bila dia dah buka booth, saya tak melepaskan peluang untuk rasa sendiri fabrik dia, dan telah terbeli 2 helai. Hehe haha huhu... Selain tu, saya telah beli energy gel, boleh juga guna masa event yang saya telah pun daftar. Terbeli stokin lari juga. 

Cuaca di Ipoh hari-hari hujan. Sejuk dan mendung je. Cantik la, untuk berlari. Jadi, tak panas. 

Saya dan suami bermalam di hotel yang lokasinya, cuma jalan kaki je, dari tempat bermula untuk lari tu, iaitu di Padang Ipoh. Anak-anak tak ikut. Bulan madu, kononnya. Tapi masing-masing kroh kroh malam, sebab penat berjalan. Waktu malam, dalam hujan, beli payung kat 7-Eleven di bawah hotel, cari tempat makan.

Malam kejadian saya tidur-tidur ayam. Nervous, campur excited, nak terverak, terkencing, semua ada. Maklumlah, event larian pertama sejak tahun 2019. Takut pun ada. Sebab saya lari sorang. Suami menemani saya semasa bermula dan di garisan penamat pun, saya sangat-sangat hargai dan bersyukur. 


Gambar di atas, semasa pagi sebelum acara bermula. Saya masuk half marathon, 21 km. Pertama kali saya berlari di Ipoh.

Foto kredit: Smartpix

Saya tepek gambar oleh jurufoto rasmi event ye. Gambar bukan hak milik saya. Tapi kita boleh beli, kalau ada gambar kita yang cantik ditangkap semasa event.

Kredit foto: Smartpix

Gambar di bawah pula diambil oleh suami. Dia tunggu saya di garisan penamat. Terharu saya. 


Saya perasan, ada beberapa pasangan lagi, yang suami hantar isteri, duduk tunggu isteri berlepas masa nak lari. Suami tukang hantar, isteri masuk berlari. Hehe...

Alhamdulillah, saya selamat sampai ke garisan penamat. Tapi sedikit kuciwa, sebab jarak tak cukup untuk half marathon. Cuma 20.76, mengikut jam saya. Patut suami saya kata, ada runner terus berlari bila dah sampai penamat. Sebab nak bagi cukup 21.1 km. Saya pun silap, sebab saya terus stop aktiviti pada jam bila sampai ke garisan penamat. Saya tak check dulu, cukup jarak ke tak. Sebab saya rasa, tugas ukur jalan ni, tanggungjawap penganjur. Penganjur yang bertanggungjawap untuk memastikan jarak larian mencukupi ye. Lebih kilometer takpe, jangan kurang.

Tapi saya tetap bersyukur dan happy. Takpe, lain kali saya akan check dulu jam sebelum stop aktiviti. Bukan saya sorang. Saya tengok ramai yang sama dengan saya, jarak larian, bagi yang half marathon.

Selamat sampai.

Untuk info para pembaca, selain half marathon, ada kategori 5 km, 10 km dan full marathon (42km) tapi duo. Kena berpasangan untuk full marathon. 

Saya bersama goodie bag

Dalam goodie bag tu, selain baju finisher dan medal, ada mandian body wash 2 botol, deodorant rexona, lotion badan vaseline 2 botol, teh tarik old town white coffee, beberapa bungkusan cereal drink, roti jagung gardenia dan apa lagi yek, saya pun dah lupa, barangan dari penganjur.

Event larian sekarang dah tak macam dulu, takde tembikai potong, takde pisang. Saya tercari-cari juga van milo ke, van kopi ke, boleh gak pekena penat-penat dah lari jauh, kan. Takde. Semua dalam bentuk bungkusan. Balik rumah, buat sendiri. Mesti ada SOP penganjur acara larian kena patuhi, lagi-lagi covid masih ada, kan.

Baju finisher dan medal serta bib larian.

Baju event pun ada, tau. Tapi saya tak pakai. Sedikit kecil bagi saya. Pakai di rumah, boleh kot, sebab mengikut body potongan baju itu.

Saya sertakan kedudukan saya dalam larian, untuk rekod peribadi supaya boleh dirujuk di masa hadapan.


Ini adalah pencapaian terbaik saya untuk half marathon. Sayangnya, tak cukup jarak 21.1. Kalau ye, boleh renew rekod peribadi saya di aplikasi Garmin Connect. Syukur Alhamdulillah. Saya tak pernah dapat kedudukan tengah-tengah tau. Contoh untuk kategori Women Veteran, kalau ada 50 orang, saya selalu dapat 45, 46 dekat-dekat nak last la. Alhamdulillah. Masuk acara macam ni, bukanlah nak lawan orang, tapi bagi saya, lebih kepada lawan pencapaian kita yang dulu, cuba untuk dapat lebih baik dari keputusan kita dulu.

Jika pembaca rujuk larian saya lepas-lepas yang saya upload di blog ni pun, masa larian saya selalu 3 jam ke atas untuk half marathon. Itu dah cukup buat saya bersyukur sangat-sangat. Nikmat berlari, Allah bagi, nikmat sihat. 

Itu je la cerita untuk MCIS MWM. 

Jumpa lagi, ye.

Selamat beristirehat di hujung minggu. 😊