Anak lulus SPM

 Isnin, 27 Mei 2024 - Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 keluar hari ni. Saya tak keluar lari. Rehat. Tapi naik basikal sekejap, pusing taman perumahan. 

Gambar masa tengok matahari terbenam di Teluk Senangin, pada 23 Mei lepas. Naik basikal pagi tadi, 7.82 km.

Sarapan pun di rumah. 
Pukul 10 pagi, anak kedua tunjuk keputusan SPM dia, check menerusi handphone. Dia tak pergi sekolah untuk ambil keputusan, sebab dia demam, sejak semalam. Hari ni ok sikit badan dia, semalam badan dia panas. Hari ni, tinggal batuk je. 

Alhamdulillah, anak kedua lulus SPM. Gembiranya saya dan suami. Syukur, syukur sangat. Alhamdulillah. 

Inilah, anak yang ada banyak angin tu. Masa peperiksaan percubaan SPM, dia tak hadir masa kertas Matematik Tambahan. Saya dan suami kena selalu ingatkan dia untuk belajar. Nampak dia buka buku masa hari yang ada kertas je, pagi-pagi buta, bangun pukul 5-6 pagi, baru nampak dia study. Masa percubaan juga, dia gagal dalam 2 kertas.

Keputusan SPM hari ini, menunjukkan anak kedua lulus semua mata pelajaran. 

Dia dapat 3 A, iaitu dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris (Aᐩ), Matematik (A) dan Asas Kelestarian (A-).

Anak sulung, kiri dan anak kedua, kanan.

Tengahari sikit, saya kira markah merit dia. Ada peningkatan. Isi borang UPU kan, perlu tahu markah merit, jadi boleh tahu course apa yang anak kita layak mohon. Hari tu, sikit sangat, yang menggunakan keputusan percubaan. Hari ni, setelah keputusan sebenar sudah tahu, ada banyak sikit pilihan yang anak kedua boleh kemaskini. Permohonan UPU tutup pada 9 Jun. 

Itu pun, dia sudah gagal dalam satu pilihan dia, iaitu Diploma Bahasa Inggeris, UPSI. Kursus temuduga, tapi anak tak berjaya dapat panggilan. Takpe la tu. Rezeki dia kat bidang lain, mungkin. 

Syukur Alhamdulillah. Orang lain mungkin kira anak dapat berapa A, straight A's. Tapi saya dan suami, dia lulus SPM, layak untuk dapat sijil SPM, kami sudah cukup bersyukur. Alhamdulillah.

Seterusnya, tunggu saja dia dapat tawaran mana untuk sambung belajar. Tak dapat UPU, sambung belajar kat swasta pun takpe. Duit boleh dicari. Asal anak ada minat sambung belajar, bekal untuk dia di alam pekerjaan. 

Anak kedua, semasa 9 tahun..

Cepat je anak-anak membesar. Tak lama lagi, dia pula ikut jejak anak sulung, keluar rumah untuk sambung pelajaran. Tinggal lah anak bongsu je di rumah dengan kami. 

Tu je la hari ni.

Syukur Alhamdulillah. 😊

Masuk Runathon 500km pulak

 Jumaat, 24 Mei 2024 - Berlarian jauh sikit, ke UTP. Suami off day, hari kedua.

Dapat lebih 5 kilometer sikit, sampai pun dah pukul 8 pagi, sudah panas.

Saya masuk lagi larian virtual, anjuran group Malaysia Women Runners.

Saya sudah selesai cabaran Fitraya 300km, yang saya ada cerita di post ini. Cabaran ini yang perlu lari sejauh 300 kilometer dari bulan Februari hingga Mei. Saya sudah settle pun pada bulan Mac lepas, sebelum masuk bulan Ramadan. Cuma saya lupa nak update di sini. Dan saya juga ada menang cabutan bertuah, iaitu soft flask.

Soft flask. Boleh isi air bila lari jauh.

Sudah habis cabaran Fitraya, saya daftar masuk cabaran Runathon 500km pula.

Kredit gambar group Malaysia Women Runners. Search sahaja group ini di FB.

Cabaran ini bermula bulan Jun hingga Disember. 


Bukan saja lari, jalan pun boleh. Asal ada jarak dalam rekod. Tak semestinya kena ada jam sukan. Rekod aktiviti guna aplikasi percuma seperti Strava pun, boleh dikira juga.

Cabaran berbayar, harga RM57. Bila habis, dapat e-sijil dan baju. Jika bertuah, boleh dapat hadiah seperti topi dan soft flask juga, jika tak silap saya.

Kena bercampur dengan runners juga, jika kita minat berlari. Jadi bila kita malas, orang lain dok kongsi aktiviti larian mereka, kita akan rasa 'terbakar' atau jeles. Saya juga banyak belajar dari pelari lain. Ada banyak ilmu dikongsi. Contohnya, bila saya masuk group Malaysia Women Runners ni la, saya kenal apa itu menstrual cup. Kalau tak, saya langsung tak tahu. Lagi satu, macamana kita nak solat, masa tengah join acara larian. Yang best, group ini, wanita saja. 😊👍 Pelari sejati, kita tak merendah-rendahkan semangat orang lain, tak kisah berapa pace atau kelajuan, anda tetap seorang pelari. Jika ada antara pembaca blog saya ini, yang ada terniat untuk bersenam atau lebih aktif, silalah buat carian group ini di FB ya.  

Inilah cara saya untuk buang rasa malas lari tu. Dah tentu mesti ada hari kita rasa letih. Ambillah satu hari, rehat. Esok, lari balik. 

Boleh tu, sebab saya ada beberapa acara larian yang saya sudah daftar. Boleh kumpul jarak. Tak termasuk larian santai hari-hari. Insya-Allah. Lagi pun, ada banyak masa, sampai hujung tahun. Berusaha! 🏃💪

Selamat hujung minggu kepada semua pembaca sekalian. Selamat bercuti sekolah juga. Cuti sekolah penggal 1, 25 Mei hingga 2 Jun 2024. Yang nak pulang ke kampung atau bercuti, stay safe dan have fun, ya! 

Jumpa lagi. 😊

Anak balik, yay!

 Khamis, 23 Mei 2024 - Bangun pukul 4 pagi. Tahajud. Bukan saja lari, tahajud pun saya cuba untuk buat setiap hari. Setiap orang ada masa 24 jam. Kita yang uruskan masa kita. Boleh habis satu jam main game, tak kan tak boleh spare 15 minit, 20 minit, tahajud. Pilihan di tangan kita. Berusaha! 

Masuk dapur, masak nasi goreng.


Nasi goreng kosong je, hari ni. Fish cake pun tak dak. Tumbuk bawang merah, bawang putih dan cili kering. Tumis, masuk nasi, letak kicap sikit. Lepas tu, saya goreng telur mata kerbau. Banyak nasi, sudah 2 hari rice cooker duduk dalam peti ais, boleh tahan sampai makan tengahari.

Berlarian pace siput di Esplanade, bersama suami. Off day dia. 

Larian Khamis, 5.46 kilometer.

Walaupun langit macam nak runtuh, tapi pergi je. Boleh jadi angin kuat meniupkan awan mendung ke tempat lain. Memang betul, tak hujan pun tempat kami berlari. Bila on the way balik rumah, jalan basah, makna hujan turun di kawasan lain. Suka lari cuaca macam ni. Sebab angin sejuk. Lepas tu semput. Hehe.

Siap 5 kilometer, kami balik rumah dulu. Suami sidai kain. Saya, siram pokok. Ha ah, kat rumah tak hujan pun. Kemudian, kami pergi Stesen Bas Manjung, ambil anak sulung.

Ketibaan anak sulung.. 

Bila masuk dalam kereta, apa ni, ada bau macam sotong kering, ikan masin? Dia kata, ada orang bawa barang dari Terengganu, satu guni sotong kering, ikan masin ke, dia pun tak tahu, produk laut ler. Habis beg semua orang lekat bau. Dalam bas pun boleh bau, tapi tak berapa kuat, berbanding bau yang lekat pada beg dia orang semua.

Ayoyo... turunkan cermin kereta, bagi udara segar masuk.

Singgah Bukit Permata, beli nasi lemak dan kuih muih.

Singgah 989 Kopi Lumut, pergi mengopi bawah pokok. Sudah pukul 10 pagi, nampak suami saya kelaparan. 😁


Selain kopi, pesan juga brownies dan scones. Nasi lemak tu, yang dibeli di gerai Bukit Permata. 

Macam ni la kami. Ada orang simpan duit, pergi travel dan bercuti oversea mahu pun dalam negara. Tapi kami, duit banyak habis kat makan je. Happy cara kami. Hidup untuk dinikmati. Spend time bersama keluarga, sambil sembang, sambil makan, nikmat yang paling best. Ada duit, kita makan sedap-sedap. Takde duit, kita masak nasi, goreng telur ngan kicap. Tak pun, duduk rumah diam-diam, makan biskut. 😁

Syukur Alhamdulillah. 

Semoga urusan pembaca semua pada hari ini, dipermudahkan ye. Terima kasih kerana sudi baca blog saya ni. Yang hari-hari cerita pasal lari dan makan. Itu je. 

Jumpa lagi, ye. 😊

Cerita hari Wesak

 Rabu, 22 Mei 2024 - Cuti am, Hari Wesak. Saya pun turut bercuti dari berlari. Bercucuk-tanam di rumah sahaja. Cabut segala rumput dalam pasu. Saja, hari-hari lari pun bosan juga. Lagi pun, luka melecet masa buat half marathon hari tu, belum sembuh. Melecet di pinggang, lupa nak sapu vaseline. Beberapa tahun dulu, masa BMI saya obese, saya melecet di peha. Sekarang, BMI normal, masih melecet. Sebab jahitan bahagian pinggang di seluar tu. Apa-apa pun, bila buat larian jauh, mesti sapu vaseline ye. 

Letih juga bercucuk-tanam. Suami bungkuskan nasi berlauk. Jadi, sarapan di rumah sahaja. Lepas sarapan, tertidur kepenatan sambil tengok cerita korea. 

Habis cerita korea baru sedar, lipat kain. Lepas zohor, pergi mengopi di Richiamo. Belum makan tengahari. Jadi, pertama kali pesan menu makanan berat. Kita cuba je la, ye. Orang kata, sedap.

Nasi lauk Tempoyak Ikan Patin

Sedap, bagi saya. Ikannya besor. Rasa kuah tempoyak, cukup segala. Kami share makan nasi, separuh-separuh.

Di samping itu, ada juga ambil salted egg yolk croissant.


Saya upgrade kopi jadi saiz besar, tambah RM3 dari kopi saiz biasa. Kalau saiz biasa, dia buat dalam cup and saucer tu. Bila upgrade, dia letak dalam cup seperti di atas, sudah ada penutup. Jadi, boleh bawa balik, sambung minum. Kopi pun kekal panas lama dalam bekas tu. 

Syukur Alhamdulillah, makanan dan kopi yang sedap.

Kemudian, kami pergi pasaraya TF, beli barang dapur. Balik rumah.

Lepas Asar, vakum bilik anak sulung. Budak sensitif, habuk sikit, bersin. Salin cadar bagai. Suami pula basuh bilik air bawah. Anak sulung nak balik, cuti pertengahan semester.

Lepas maghrib, kami keluar makan di luar. Jarang sekali ye, makan di luar, malam-malam. Biasa dinner sebelum maghrib. Kami cuba tempat baru, tak pernah pergi. Nasi Lemak Cik Gayah.

Nasi lemak lauk sambal paru, begedil dan telur dadar.

Ok la, nasi lemak dia. Suami saya cakap, sambal dia manis. Saya ni, kurang arif bab rasa-rasa ni. Sumbat je, makan. 

Jadi, cuti Hari Wesak, dapur tak berasap dari pagi. Pagi, tengahari dan malam, makan nasi. Aduh... ini macam kalu... macamana nak turun berat badan. Enjoy makan tak habis-habis.

Apa pun, syukur nikmat sihat dan rezeki makan sedap-sedap. 

Sekian, jumpa lagi, ye. 😊

Teringin

 Selasa, 21 Mei 2024 - Lepas hantar anak bongsu ke sekolah, pergi lari. Walaupun langit ada kehadiran awan tebal, macam nak hujan. Mendung tidak bererti hujan. 

Ha, betul pun. Sampai di Esplanade, tak hujan. Jom la kita, slow-slow.

Larian Selasa, 5.15 kilometer.

Gambar anak bulus, anak kepada Ros. Comei, nama dia.

Sebab semalam, walaupun birthday saya, tak pergi keluar dating pun dengan suami satu hari. Jadi, carry forward ke hari ni. Sudah janji untuk pergi sarapan bersama, lepas suami balik kerja shif malam.

Terliur dari hari tu, bila baca Carneyz makan laksa johor. Tak boleh jadi, ni. Jom la kita ke Kluang Road Cafe, Seri Manjung.

Laksa johor

Memang besar portion dia. Sedap. 😋 Kenyang. Syukur Alhamdulillah.

Sekian entri ringkas hari ini. Semoga segala urusan anda semua dipermudahkan. 

Jumpa lagi, ye. 😊

Betul-betul cheat day hari ni

 Alamak, dah cakap dah, toksah la susah-susah buat surprise delivery masa birthday saya. Takut saya pergi nyongket, takde orang di rumah, sape nak jawap? Dia orang bagi lagi. Kakak-kakakku ni la. Huhu... nasib baik dia mai lepas zohor. Saya tengah mengait sambil bercucuk tanam (Farmville 2: Country Escape).

Orang nak hantar delivery tu, telefon dulu, tanya saya ada di mana. 

Ada di rumah ni ha. Sempat la bersiap dulu sat. Sebab dah biasa dapat, setiap tahun. Kalau ikutkan, dengan pakai kain je ha, ambil barang. Yor lantak.

Kredit gambar Fyne'z Bouquet yang diforward kepada Kok.

Tengah paneh terik. Ater.. jom ler masuk, tengok apa barang di dalam. Tapi dah nampak, marrybrown.

Ahli keluarga panggil saya, Tot (ada bunyi sengau dalam hidung). 

Hah.. apa lagi. Walaupun baru lepas makan nasi tengahari. Benda sejuk dan panas lagi. Jemput makan...

Kita serang!!!

Punya la lama tak minum air gas. Punoh diet. Hahaha... ada ayam goreng dalam kotak, vegetable salad dan mash potato. Kami makan 4 beranak. Alhamdulillah, syukur. Rejeki. 

Tak pasal-pasal 3 entri saya hari ni. 

Jumpa lagi ye. 😊

Half marathon May dan makan di TBH

 Ahad, 19 Mei 2024 - Saya sudah rancang untuk lari lama hari ni. Bancuh air elektrolit dan bawa juga air masak satu botol. Saya berlarian di stadium Manjung.

Solo je. Ada seorang kawan whatsapp nak join pagi tu, tapi tak datang last minute, sakit perut pula.

Saya test pakai tudung nelofar.

Alhamdulillah, saya buat jarak half marathon, 21.1 kilometer. 

Ada seorang pelari ultra pernah cakap kat saya, banyak-banyak tudung sukan, tudung bawal juga yang paling sedap dipakai lari jauh. Sebab apa? Ia ringan dan kepala tak sakit, bila lari lama dalam cuaca panas. Itu pasal saya test tudung baru dapat hadiah harijadi dari kakak ni. 

Ha ah. Memang ok. Bila peluh, tudung tak berat. Ada satu jenama tudung sukan saya tu pun, berat bila basah. Pastu nak lap peluh pakai tudung pun tak boleh, sebab tudung dah lenjun. Ok la, tudung naelofar ni. Bila balik, elok tak sakit kepala. Cuaca memang cepat panas pula semalam. 


Saya yang paling awal sampai, dan paling akhir balik di stadium. Haha... balik, sakit kaki. Dah beberapa bulan tak buat half marathon. Jalan pun slow-slow. Lagi-lagi naik tangga. Sebab dah daftar marathon, kena training juga. Kalau tak, saya pun tak kuasa nak lari jauh-jauh tengah panas. Rentung, acik.

Makan pagi pukul 11 pagi. Lepas zohor lebih kurang, pergi mengopi di TBH. Sambil hantar anak kedua, nak melawat kawannya di hospital pantai.

Cromboloni nutella

Restoran TBH (The Baker's Hut) ni, adalah bakeri. Dia baru renovate hari tu. Sekarang sudah semakin luas, ruang makannya. Pertama kali saya dan suami makan cromboloni. Pertama kali jumpa. 

Sandwich croissant dengan kepingan ayam di dalam. Belakang tu, boleh nampak kopi o ais suami.

Hazelnut latte panas.

Yee Mee

Pesan juga semangkuk yee mee. Share makan berdua. Ada 2 ekor udang harimau dalam tu. Sedap juga yee mee, masak ala chinese style. Dia tanya nak sambal ke cili potong. Kami minta cili potong. 

Semua ok, makan sini. Sedap. Cuma satu, bising, macam makan dalam pasar. Saya lebih suka, mengopi di tempat yang sunyi, boleh sambil healing. Ini, nak sembang dengan suami pun kena tinggikan suara, sebab tak dengar suami cakap apa. 

Syukur Alhamdulillah. Cerita mengopi hari Ahad. 

Kome pergi jalan mana hujung minggu? 

Jumpa lagi, ye. 😊

Hadiah harijadi

 Dapat hadiah harijadi dari kedua kakak saya. Sampai awal, hari Jumaat lepas. Birthday saya, hari ni, 20 Mei. 😊 

Mari kita buka tengok...

Tudung naelofar

Ada 3 tudung. Sehelai tudung dalam kotak hitam tu. Mak... tudung kayangan ni. Ada tanda harga.

Bahagian depan kotak tudung.

Dalam kotak hitam ni, ada tudung warna hitam, berbunga putih. Saya boleh pula lupa nak ambil gambar tudungnya. 

Logo di tudung. Lebih macam butang. Huruf n.

Bahagian belakang logo n. Agak berat. Jadi, tudung macam ada pemberat di belakang. Tak mudah terbang la.

Dua helai tudung warna kecoklatan, dan sehelai tudung warna hitam. Hehe... betul la tu. Kakak tahu, saya kurang suka warna terang-terang yang menarik perhatian.

Syukur Alhamdulillah. Tudung 4 segi ketiga-tiganya. Hari yang sama, terus gosok tudung. Nak cuba pakai. Bila sudah pakai, saya review ye. 

Orait. Jumpa lagi. 😊

Rutin masak, lari, kopi

 Ahad, 12 Mei 2024 

Awal pagi, masuk dapur, masak burger homemade.

Hujan awal pagi. Lewat pergi lari, pukul 7 lebih baru saya keluar rumah. 

Lari jauh hari ni. Satu minggu, akan cuba buat satu kali, lari jarak jauh, lari jarak 2 digit. 

Larian selama lebih sikit 2 jam, 12.16 kilometer.

Alhamdulillah. Slow-slow je. Lepas balik lari, sarapan dengan suami di kedai Kak Za. Kemudian, mengopi di Richiamo Coffee (gambar atas). Selain kopi, pesan Salted egg yolk croissant. 😋

Isnin, 13 Mei 2024

Awal pagi, masak nasi dan ikan goreng kicap.

Ikan kembung masak kicap.

Hujan sampai la lepas hantar anak sekolah, masih hujan. Jadi, tak pergi berlari. Sarapan di rumah saja.

Kemudian, pergi beli barang dapur.

Selasa, 14 Mei 2024

Awal pagi, masak  nasi goreng dan goreng telur mata.

Sempat berlarian 1 kilometer lebih saja, hujan mula turun, jadi balik.

Larian 1.66 kilometer sebelum hujan turun.

Pukul 10 pagi, anak kedua ada ujian untuk ambil lesen L. Lepas hantar dia, kami pergi lepak Family Mart. Merujuk kepada gambar di atas, selain kopi, saya pesan blueberry cream cheese bagel dan dry korean cheese ramen. Tu dia laa... pertama kali cuba ramen dia. Pedas jugak. Orang muda suka kot. 

Baru siap makan ramen, anak kedua telefon, cakap sudah siap ujian. Tudia laa... pecah rekod abang sulung dia. Abang sulung dia buat setengah jam. Dia buat dalam 20 minit ja. Padahal dia bagi masa 1 jam kot. Kalut sungguh la. Alhamdulilllah, lulus ujian L. Pergi kedai gambar, ambil gambar latar belakang putih, hantar ke sekolah memandu. Lepas siap lesen, tunggu la, dia ambil untuk belajar memandu kereta auto. Budak sekarang kan, tak minat nak ambil lesen kereta manual, macam kita dulu, tak ada pilihan.

Rabu, 15 Mei 2024

Awal pagi, masak roti sosej goreng. Masak nasi juga. Goreng telur dadar. Rebus ikan tongkol.

Roti sosej goreng.

Saya pergi lari di Esplanade.

Muka ada senyum, dapat lari 7.3 kilometer.

Balik rumah, ikan tongkol yang sudah siap rebus pagi tadi, saya buat sambal. Ha, sebab rindu anak sulung yang kat Dungun, Terengganu tu la. Pergi sana je, merasa makan nasi lemak sambal ikan tongkol. Jadi, saya pun buatlah sambal ikan tongkol.

Terpedas sikit.

Khamis, 16 Mei 2024

Tak pergi lari. Hujan waktu pagi. 

Aktiviti hari ini, main farmville sambil mengait.

Jumaat, 17 Mei 2024

Berlarian di Esplanade. Cuaca baik.

Larian 8.37 kilometer hari Jumaat.

Sebab itulah saya suka lari sini. Cantik, dapat tengok langit, awan, matahari naik. Syukur Alhamdulillah.

Hari ni, hari Sabtu, tak pergi lari, sebab pergi pasar Bota. Esok rancang untuk lari lama sikit, jika cuaca mengizinkan. 

Apa plan anda hujung minggu ni? Selamat beristirehat, ya. 

Jumpa lagi. 😊

Laporan seminggu lagi

 Saya sambung lagi cerita diari seminggu ye. Suka ambil gambar apa yang berlaku. Tapi disebabkan kekangan masa, tak dapat nak update blog setiap hari.

Ahad, 5 Mei 2024

Tak pergi lari pun. Rest day. Lepas suami balik kerja shif malam, pergi sarapan nasi berlauk di kedai Kak Za. Pergi Pasar Manjung, beli bahan mentah. Tawaf pekan Lumut, beli suratkhabar. Mengopi di Richiamo.

Iced americano dan vanilla latte panas, bersama butter croissant dan beef stew pie.

Nikmat pagi Ahad, mengopi sambil baca suratkhabar Ahad. Kami ni old school. Kurang suka baca paper online. Kena beli suratkhabar biasa juga. 

Syukur Alhamdulillah.

Balik rumah, aktiviti membaja pokok-pokok. Kemudian saya masak kuetiau goreng. Ini kali kedua seumur hidup, saya goreng kuetiau. Entah kenapa, saya jarang sekali buat kuetiau goreng ni. Biasa kalau nak makan kuetiau, beli je. Tapi sebab tak jumpa port kuetiau goreng sedap di tempat saya ni, kita goreng sendiri je la. 

Kuetiau goreng.

Saya siap letak kucai. Tapi saya tak letak taugeh dan tauhu, nanti anak-anak tak minat nak makan pulak. Alhamdulillah, habis kuetiau saya. Walaupun pedas rasanya. 

Isnin, 6 Mei 2024

Saya masak bihun goreng pulak untuk sarapan.


Hantar anak bongsu ke sekolah. Kemudian, pergi lari di Esplanade.

Larian Isnin, 8.13 kilometer.

Balik lari, saya singgah kedai runcit Bukit Permata. Lepas tu, kena saman sebab parking tak letak kupon. Biasa, tak pernah kena. Tapi hari tu, Inspektor Gajet boleh lalu pulak, saman orang. Menyampah, tau! Sudah bayar online. Bila bayar saman dalam tempoh 14 hari, kompaun adalah RM30. 

Selasa, 7 Mei 2024

Lari di Padang Astaka, Sitiawan, bersama suami. 

Larian Selasa, 7.1 kilometer.

Habis lari, sarapan di kedai makcik bawah pokok. Kami pesan...

Cucur cicah kuah kacang.

Mee kari dan jeli kelapa.

Makan share la ye. Mee kari makcik ni, memang terbaik! 😋

Rabu, 8 Mei 2024

Tak pergi lari. Suami masak nasi goreng, tapi lupa ambil gambar. Sarapan di rumah. Lepas gosok baju, keluar mengopi dengan suami ke 989 Kopi Lumut.

Inilah 989 Kopi. Comel je tempatnya.

Minum kopi, open air. Duduk bawah pokok boleh, duduk kat bawah bumbung sana tu pun boleh, sana ada kipas.


Kami pesan Americano ais, kopi hazelnut panas, cranberry scones dan brownies 2 ketul.

Hidup untuk dinikmati. Syukur Alhamdulillah.

Malamnya, lepas maghrib, kami pergi jamuan raya, anjuran majikan suami. Hari terakhir, 30 Syawal, masih beraya. Betul-betul raya sebulan. Huhuhu...

Jamuan diadakan di Rumah Perak, venue sama tahun lepas.

Luas tempat ni. 

Saya mesti ambil nasi. 😋. Lauk ayam merah, daging hitam, papadom dan acar.

Sudah makan, baru ingat nak ambil gambar. Kambing bakar satu set, ada kentang goreng dan roti garlic. Roti garlic tidak kelihatan, sudah dalam perut.

Oh, dan saya minum air manis. Teh tarik dan kopi. 🙈

Kek ni, saya tak ambil. Tapi dia letak di meja, suruh makan. Kek perpisahan kakitangan yang akan berpindah dan sambut harijadi juga.

Sate ayam.

Suami kalau ambil selfie, senget senget jadinya.

Khamis, 9 Mei 2024

Pergi lari di MPM. Lama tak lari sini. Mula diet suku-suku-separuh semula. Insaf, semalam makan banyak, jamuan raya.

Larian Khamis, 8 kilometer.

Jumaat, 10 Mei 2024

Berlarian santai dengan suami, di Esplande.

Larian Jumaat, 4 kilometer.

Lupa nak cakap. Timbang berat badan sebaik bangun tidur, turun 1 kg. Berat: 59 kg. Alhamdulillah.

Sabtu, 11 Mei 2024

Masak mee goreng untuk sarapan.

Mee goreng letak udang, takde sayur.

Biasanya hari Sabtu je, mesti pergi Pasar Bota dan tidak masak. Hari tu, boleh terajin masak. Dan berjaya ajak anak pergi beriadah, satu family.

Berempat je. Yang sulung, di Terengganu.

Tak lama pun, dan tak jauh pun. Tapi, it's a start. Alhamdulillah.

Cubalah untuk lari hari-hari. Tapi, tak dapat juga. Ada hari, ada kerja. Ada hari, cuaca tidak mengizinkan. Takpelah. Kita buat mana mampu.

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 😊