Wordless Wednesday: Dapat hadiah

 

Pagi-pagi lagi, dia dah kasi kita hadiah.

Cik T hidup lagi 😅

Dia letak kat garaj, nak suruh kita tengok.


Komen spam, good luck dan WIP

 Mula, mula, cuba anda check di blogger punya dashboard tu, di bahagian comments, anak panah bawah tu, klik Spam. 


Apa ke pelik benor si blogspot ni. Banyak komen masuk spam, padahal dari kawan-kawan blogger yang selalu komen. Bukannya yang jarang-jarang masuk dan jual barang. Hmmm... tapi rajin-rajinlah ye, anda semua check di situ. Sebab saya rasa, komen saya pun ada termasuk spam di blog anda. Huhu... sebab ada blog saya check, komen saya tak kelihatan, walaupun saya dah komen dan subsribe to replies. Saya tahu, sebab saya boleh check kat email. Cuma tak keluar di blog anda. Jomlah ramai-ramai kita check komen spam di blog masing-masing, dari masa ke semasa. Saya? Hari-hari saya check dan klik Not Spam. Cuma mungkin saya lambat balas komen anda di blog saya. Tapi saya akan balas juga tau, walaupun ambil masa dua tiga hari ke, seminggu ke.. hehe... maapkan saya, sibuk sikit.

Yang kedua, hari ni ujian bertulis Bahasa Malaysia, untuk calon-calon SPM 2024. Selamat maju jaya kepada semua anak-anak tingkatan 5. Esok, kertas Bahasa Inggeris pula. Anak saya punya last paper adalah pada 28 Februari, iaitu subjek Asas Kelestarian. Akhirnya masa sudah tiba. Sikit je lagi, harus bertahan. Semoga anak saya dan anak-anak teman blogger sekalian boleh menjawap periksa dalam keadaan tenang dan dipermudahkan segala urusan. Aminn...

Yang ketiga, update sikit progress projek kait dalam pembikinan (Work-in-progress, WIP).


Sudah cukup panjang. Sikit lagi, saya boleh habis kait, dan proses cantum sisi pula. Ini masih projek bantal kait. Tengok la lepas siap projek ini, mungkin saya akan buat benda lain pula, kot. Tukar angin, mungkin bag kait pula. Tengok la. Kena cari idea dulu. 

Ok la. Itu saja untuk hari ini. 

Jumpa lagi,  ya. 😊

Riadah dan sarapan di Kluang Road Cafe

 Khamis, 18 Januari 2024 - Selepas hantar anak-anak ke sekolah, saya dan suami berlarian sebentar di Esplanade Lumut. Takdelah berlari sangat. Slowjogging pace siput sahaja. 🙈


Aman tenteram rasa di hati, dapat menghirup udara segar dan melihat matahari naik di ufuk timur.

Di rumah ada roti gardenia yang sudah sampai tarikh luput. Saya potong kecil-kecil, letak dalam plastik roti, dan bawa sekali pergi jogging. Nak bagi makan burung merpati.


Sekali je bagi, terus dikerumuni burung-burung, dan sekelip mata, roti pun habis. 😁

Hampir sejam kami jogging, kami pun pergi makan di Kluang Road Cafe, Seri Manjung.

Cafe ni sudah berpindah lokasi. Dulu, letaknya di depan padang orang jual lemang semasa hari raya, tapi sekarang sudah beralih ke sebelah Restoran Walid dan Ummi. Saya rasa, mereka satu keluarga. Sebab walaupun makan di Kluang Road Cafe, buat bayaran di restoran sebelahnya.

Lokasi baru ni, tempatnya sudah berhawa dingin. Sebelum ni di lokasi lama, restoran terbuka, tiada aircond. Jom tengok kami makan apa.


Saya suka pesan laksa johor bila makan di Kluang Road Cafe ni. Sebab nak buat sendiri, memang tak lah, pemalas punya orang. Laksanya ada di bawah kuahnya yang pekat itu. Sebelum makan, gaul semua sekali, dan perah asam limau. Sambal tu pula, saya campur sikit-sikit bila nak suap. 

Air pula, saya pesan white coffee panas. Sudah dihidangkan dalam cawan kopi klasik. Sebelum ni, kopi dalam mug, jadi dapat lebih. Ini, dalam cawan klasik, jadi kecil. Macam tak puas minum pula. Hehe... tapi waktu itu, lah, ye. 

Waktu entri ini ditulis, saya sudah berhenti minum air manis selama 4 hari. Yang ini, lain kali saya cerita ya, apa kesan yang badan saya alami setelah berhenti minuman manis. Tunggu.... 😊


Close-up menu gambar laksa johor. Harga RM9. Pada pendapat saya, laksa johor dia terbaik lah! 😋


Ini pula, hidangan suami saya pesan, iaitu kacang pool. Roti bakar dia tebal. Colek dalam kacang pool tu, memang sedap! 😋 

Memang puas hati makan di cafe Kluang Road ni. Alhamdulillah. 

Itulah cerita pada 18 Januari yang lalu. Bermula 23 Januari, saya sudah mula intermittent fasting semula. Tak boleh dah sarapan di kedai, sebab saya boleh makan agak lewat, hampir pukul 11 pagi macam tu. Huhu...

Ok lah. Jumpa lagi, ye. 😊

Stop gula dan nasi

 Saya la. Mula dari semalam. Saya berhenti minum air manis. Dan tidak makan nasi. Terpengaruh dengan suami saya. 

Suami saya sudah agak lama juga tak minum air manis. Walaupun minum kopi, dia akan pesan Americano tanpa gula. Suami saya ada makan ubat kencing manis. Saya pun ingat-ingat lupa. Tapi rasanya, sejak dia balik dari kursus fitness somewhere in December 2023, dia sudah mula berhenti minuman manis. 

Nak kata bersenam setiap hari tu, tak juga. Sebab suami kerja shif, jadi bila dia tak kerja, dia rehat rumah. Cuma kadang kalau time dia belum masuk kerja dan saya nak pergi lari, dia ikut sekali.

Suamiku berjalan santai.

Suami saya tak nampak macam orang yang punya BMI obese, sebab dia tinggi. Untungla. Bukan macam kita yang renek ni, bila everweight je sikit, dah nampak lebor.

Saya ada baca di blog kawan-kawan juga, seperti MamaTisya dan SK, juga ada berhenti minuman manis. Baguslah yek, tahun baru, usia semakin bertambah, bila lagi kita nak jaga makan dan jaga kesihatan. 

Saya kongsi perbezaan suami saya, ye. Tak lama la, rasanya, dalam 2 bulan juga baru suami berhenti minuman manis ni. Dia masih makan nasi. Kadang bila hari off kerja, ajak saya cari nasi kandar. Hehe..


Berat sebelum: 95 kilogram

Berat selepas: 90 kilogram

Perut sudah makin mengecil. Hebat abe ku..! Slow-slow ye, kita berusaha...! 💪💪

Bukan senang. Banyak air sedap-sedap kat luar sana. Kopi blended yang ada topping, teh tarik, cendol, memang perlu kuat untuk tolak godaan air manis. 

Saya pun terikut lah sekali. Baru mula semalam. Saya tak keluar lari. Cuma jump rope di rumah. Selain tu, saya ada buat IF juga, 16 jam. 

Berat hari ini: 59.5 kilogram

Hari sebelum mula berhenti air manis, berat adalah 61 kilogram.

Hari ni, saya timbang, setelah sehari stop air manis: 59.5 kilogram. 

Turun 1.5 kilogram.

Itu pun saya tak pergi lari. Bersenam di rumah sahaja. 

Jadi, betullah apa yang dikata, jika nak kurangkan berat badan, kurangkan atau berhenti minum air manis.

Doktor Zaidul Akbar kata, challenge yourself, satu minggu:

1) Jangan guna minyak

2) Jangan ambil makanan based on tepung

3) Berhenti gula

4) Berhenti nasi putih

Selain seorang doktor, beliau juga adalah seorang pendakwah, konsultan dan pengamal pengubatan sunah dari Indonesia. Kalau tak kenal, boleh google saja beliau. 

Saya tak mampu buat keempat-empat di atas, buat masa sekarang. Tapi, bolehlah cuba mana yang mampu. Sihat, supaya dapat buat amal ibadat. Tak lama lagi nak puasa. Marilah kita sama-sama jaga kesihatan. Ayuh! 

Jumpa lagi, ye. 😊

Disneyland Ayer Tawar

 Pada satu hari, masa tu, saya dan suami sedang dalam perjalanan balik ke rumah dari Seri Iskandar. Orang Perak cakap, pergi nyongket. 😁

nyongket (lorat Perak) = berjalan-jalan, bersiar-siar, jalan tanpa arah tujuan

Tukar angin, kami tak masuk lebuhraya WCE. Kami lalu jalan lama, masuk pekan Ayer Tawar, Perak.

Tahukah anda, ada Disneyland, kat sini? Hehe.. mini Disneyland la. Ajom, mari kita jalan-jalan.


Taman rekreasi sebenarnya, lokasi di tengah-tengah kawasan perumahan. Waktu kami datang singgah, hampir waktu tengahari. Ada sekumpulan uncle-uncle sedang bersembang, duduk di kerusi batu bawah pokok. Pokok-pokok besar pun banyak, jadi, ada laluan yang teduh. Selain saya, ada seorang sedang berjalan kaki mengelilingi taman Disneyland ini.

Ada castle.. 

Saya tak cuba masuk la pulak, dalam mini castle tu. Budak-budak boleh la, masuk. Ada gelongsor, permainan untuk budak-budak, di bahagian belakang.

Donald Duck

Yang Donald Duck ni, macam baru tambah, sebab masih ada pita yang dipasang keliling, melarang orang dekat, baru bina lagi kot.

Payung berwarna-warni

Ada lagi beberapa tempat yang boleh OOTD, atau Instagrammable. Jalan-jalan petang-petang bawa budak-budak, sesuai la. Kalau nak lari di sini, jenuh juga nak pusing taman, sebab pusingan dia tak besar.

Satu pusingan Disneyland Ayer Tawar, 0.42 kilometer.

Jika nak datang check-it-out tempat ni, boleh google je, Disneyland Ayer Tawar.

Hehe... saja, kita orang memang suka jalan-jalan, tengok tempat yang tak pernah pergi. Tapi time ni, saya sorang je tengok-tengok kawasan. Suami duduk dalam kereta, dia ada mesyuarat online pula. 

Ok. Sekian perkongsian kali ini. Jumpa lagi, ye. 😊

Resepi Muffin Pisang

 Banyak-banyak buah, saya suka pisang. Sekarang ni, bila beli pisang, cepat benor jadi hitam. Bila pisang masak ranum, anak-anak sudah tak suka makan. Selalunya, saya buat cokodok la. Tapi kadang bila datang mood membaking, terjadi jugalah muffin pisang. 

Muffin, sebelum masuk oven. 

Buat pagi, petang habislah. Bawa sampai ke tea time. Sebab saiz dia besar. Makan sebiji pun kenyang. 😁

Muffin pisang, siap! 😋


Rupa tak lawa. Tapi rasanya, tidaklah mengecewakan.

Marilah saya share, resepi muffin pisang.

Bahan-bahan:

3 biji pisang berangan. Ikut la, berapa pisang ada. Guna je semua, nak habiskan pisang yang hitam-hitam atas meja makan tu. Lenyek-lenyek dengan garpu dan biar sat, sampai warna jadi hitam.
2 cawan tepung naik sendiri
2 biji telur ayam, dipukul dengan garpu
1 cawan gula. (saya guna brown sugar)
1/2 cawan minyak masak (saya guna minyak jagung)
1 sudu teh esen vanilla
Secubit garam
Pisang untuk hiasan, jika nak. (dihiris). Kalau tak ada, chocolate chip pun boleh, seperti yang saya guna.

Cara-cara:

1. Dalam bekas, ayak tepung naik sendiri dengan garam. Ketepikan.

2. Dalam mangkuk lain, masukkan telur, gula, esen vanilla dan minyak masak. Saya pukul guna mixer. Kalau tak ada mixer, kacau je sebati, guna senduk kayu. Selepas sebati, masukkan pisang yang kita sudah lenyek awal-awal tadi.

3. Masukkan tepung naik sendiri yang sudah diayak dan kacau dengan senduk.

4. Panaskan oven, suhu 180 darjah celcius, selama 10 minit.

5. Susun bekas cawan muffin dan isikan adunan sehingga 3/4 memenuhi cawan muffin kita.

6. Hias dengan pisang yang dihiris di bahagian atas adunan. Atau saya, guna chocolate chips saja, tabur atas.

7. Bakar pada suhu 170 darjah celcius selama 20-25 minit, atau sehingga muffin masak. Cara nak uji sudah masak ke belum, ambil pencungkil gigi, cucuk muffin. Keluarkan dan lihat jika pencungkil gigi bersih, tiada adunan yang melekat, maka sudah masak.

8. Bon appetit, selamat mencuba...! 😊

Ayam goreng seekor

 Kat rumah saya ni, ada anak yang sangat suka makan protein sahaja. Sumber protein adalah ayam dan ikan, tak kira masak apa pun. Nasi, dia kurang makan. Kadang-kadang saja. Bak kata cerita Badul dulu-dulu, "Eh, makan lauk je. Nasi-nasi takde?" 😁 Ate, orang jaga body, katakan.

Dekat Lumut, ada satu kedai jual ayam. Kebiasaannya, ayam goreng, dijual seketul-seketul. Tapi di kedai ni, dia jual seekor, gitu. Tak pernah jumpa. 

Kredit foto: Ayam goreng Mak Ani

Besar ayam dia. Harga ayam goreng seekor, adalah RM18.

Kulit ayam garing. Dalamnya, isi ayam lembut, dan masak dengan elok.

Kredit gambar: Ayam goreng Mak Ani.

Ini lah kedainya. Ayam goreng Mak Ani. Kadang bila saya kurang rajin nak masak, kirim kat suami, time dia nak balik kerja, beli ayam goreng di sini saja. Yang harga RM1.50 tu, yang seketul-seketul. 

Selain ayam goreng, kedai ni juga ada jual makanan yang cucuk-cucuk tu, seperti dalam gambar di bawah...

Kredit foto: Ayam Goreng Mak Ani

Ada sekali, suami saya beli sekali lemper. Rupa dia macam pulut panggang. Tapi yang bezanya, dalam pulut tu, intinya ayam. Tak ingat pula nak ambil gambar lemper. 


Inilah ayam goreng seekor yang dibeli. Bila balik, saya biasanya ambil chopper, dan potong ayam kepada 4 bahagian. Ok sesangat. Alhamdulillah.

Lokasi kedai ini adalah depan kedai Eco, Jalan Padang Tembak, Lumut. Jalan yang nak pergi ke Teluk Batik, tu. Ada 2 pulak kedai Eco situ, satu, Eco harga RM2.40. Satu lagi kedai Eco, harga RM2.30. Huh.. macam-macam. 

Kedai ini dibuka bermula pukul 11 pagi, sehinggalah habis jualannya. Hari Sabtu dan Ahad, kedai tutup.

Kalau datang ke Lumut, Perak, singgahlah ya. 

Saya tak terima apa-apa komisen pun. Sekadar berkongsi je. Sebab saya pun, tak reti nak goreng ayam yang seekor, tidak dipotong sebegitu. Kena ada skill juga kan, sebab boleh jadi tak masak, ada bahagian berdarah. Atau boleh jadi overcooked. Setakat saya pernah beli 2-3 kali ni, Alhamdulillah, ayam rasa sedap dan tidak kering.

Ok, jumpa lagi, ye. 😊

Rumusan larian 2023

 Sudah pun masuk Jumaat ketiga di bulan Januari 2024. 

Saya nak kongsikan jumlah jarak saya berlari sepanjang tahun 2023.

Rumusan larian 2023

Jumlah jarak larian sepanjang tahun 2023: 1,880.5 kilometer

Purata jarak seminggu: 36.2 kilometer

Purata jarak bulanan: 156.7 kilometer

Nampak macam tinggi, jarak 1,880 kilometer itu. Tapi sebenarnya, menurun, berbanding jarak saya berlari tahun 2022.

Rumusan larian 2022

Tahun 2022, jumlah jarak larian adalah 2,328 kilometer. 

Bila saya tengok semula, tahun lepas, nampak yang saya sudah tak konsisten dalam berlari. Semuanya bermula bulan Disember 2022. Sebelum tu, saya boleh buat jarak yang banyak, kebanyakannya melepasi 180 kilometer sebulan. Bermula Disember 2022 (sila refer graf 2022), terus drop mileage saya.

Saya hilang 1 tempat berlari. Saya tak pergi lari dah di tempat di mana saya boleh buat half marathon tanpa keluar jalan utama. Sebab dekat situ, ada peristiwa berlaku yang buat hati saya hancur. Tak mahulah cerita kat sini, benda yang dah lepas. 

Tahun 2023, saya mula bangkit, berlari seorang kebanyakan masa. Kadang-kadang ditemani suami, bila dia tak kerja. Bulan di mana mencecah 300 kilometer tu, adalah sebab ada Runliga, lari virtual, kumpul mileage. 

Saya kemurungan sepanjang tahun. Cuma saya tak cerita pada orang. Cuma buat benda seperti biasa. Cuba. Bangkit semula lepas trauma bukan senang. Rasa nak duduk je dalam rumah, tak keluar-keluar. Malas nak bercampur dengan orang. Buat apa ada kawan, kalau kawan hanya menggunakan kita dan memerli serta mengejek. 

Itu la. Tak sembuh-sembuh lagi luka tu. Tapi boleh je buat bodoh. Takde apa. Lantak la apa orang nak fikir pasal kita. Lebih tenang lari seorang diri. Melayan kaki. 

Tahun 2024, saya akan cuba bangkit dengan lebih kuat. Insya-Allah. Walaupun sudah nampak tempias faktor usia itu. Contohnya, seperti sakit lutut. Tempat yang tinggal untuk saya berlari dengan tenang, adalah tempat yang keras, dari konkrit. Apa nak buat. Sini bukan ada tempat rekreasi seperti di taman klcc tu, atau soft landing seperti dalam stadium. Guna saja apa yang ada, yang boleh.

Saya ni sebenarnya tak kuat. Kaki je kuat. Hati saya lemah, sangat fragile macam kaca. Itulah yang saya cuba kuatkan. Tahun ni. Dengan banyakkan amalan. Tambah solat sunat dan mengaji Quran. Saya cuba, ye. Insya-Allah.

How I wish that kami boleh pindah tempat lain. Start new, di tempat baru. Nak duduk dalam hutan, jauh dari orang ramai macam ni...


Tapi, tak boleh, ada tanggungjawap terhadap keluarga. Tapi saya yakin rezeki itu akan sampai di masa yang sesuai. Entah apalah yang susah sangat bagi saya ni. Anak bongsu saya pun tahu yang saya sudah setahun tidak berlari di tempat itu. Dia kata pada saya, "Mama pergi je la. Lari sana. Orang cakap apa, lantak pi la." 

Masalahnya, saya bila orang dah sakitkan hati, tengok muka dia pun saya tak hingin. Bayang dia, kereta dia,tak hingin saya dekat. Itulah yang jadi satu masalah juga. Saya ingat, bulan puasa tahun ni, nak kembali solat terawih di masjid, macam tahun 2022. Tahu tak, tahun 2023, sekali pun saya tak pergi, sebab orang-orang berkenaan tersebut pergi masjid yang sama. Saya solat terawih di rumah je, tahun lepas. Hahaha.. itulah masalahnya dengan saya ni. Saya tak kuat. Huhu... tolong lah doakan saya, ye. 

Tapi saya rasa, macam boleh, kot. Saya cuba. Masjid ni lain, rumah Allah. Tanam niat dengan kuat, nak cari redha Allah. Itu aje. 

Ok. Dah. Saya dah cerita kat sini. Tak pernah-pernah saya cerita. Mulut saya memang selalu tersenyum bila ambil gambar, tapi hati saya penuh crack sana, crack sini. 

Ini batu besar dalam duduk, harap tahun ni beransur menjadi ketulan-ketulan kecil, dan beransur hilang sikit demi sedikit. Berusaha! I can do this! Tak mahu lagi toleh ke belakang. I am blessed, sebab dapat berlari hari-hari. Syukur Alhamdulillah. Despite tak dapat buat jarak yang banyak macam tahun 2022, tapi still boleh la, dari tak ada. Betul, tak? Badan sihat sejahtera. Kaki boleh lari jauh. Kena tampar diri sendiri, 5 das sebelah kanan, 5 das sebelah kiri, baru sedar diri sikit, untuk bersyukur. Allahuakbar. Hatiku, oh, hatiku, tolong jadi lebih kuat tahun ni, ye.. 

"Maka nikmat Tuhanmu yang mana yang kamu dustakan?" - Surah Al-Rahman, ayat 13.

"Adakah manusia fikir bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan,"Kami telah beriman" dan mereka tidak diuji?" - Surah Al-Ankabut, ayat 2.

Begitulah rumusan larian saya tahun 2023. Tahun ini adalah tahun untuk bertambah kuat berusaha.


 Teruskan, keep going. 💪🏃😊

Lari di UTP, mee tikus dan nasi kandar

Bulan Januari 2024 sahaja, sudah 3 kali saya berlarian di Taman Tasik UTP (Universiti Teknologi Petronas). Biasanya, saya dan suami datang sini apabila suami off kerja. Jadi, kami dapat pergi lokasi jauh sikit dari rumah. Di samping itu, dapat juga jalan-jalan cari makan. 2 dalam 1. Perjalanan ke UTP dari rumah, mengambil masa lebih kurang 40 hingga 50 minit, bergantung pada keadaan trafik. 

Larian 1 Januari, 10.3 kilometer.

Larian 11 Januari, 7.11 kilometer.

Dan semalam pun, saya dan suami ke UTP lagi. Cuma semalam saya tak lari. Rasa malas sangat, jadi saya jalan-jalan saja.

Jalan-jalan 17 Januari, 4.56 kilometer.

Alhamdulillah, atas nikmat sihat yang Allah kurniakan. Bila berjalan, boleh tengok banyak benda, berbanding bila berlari, tak berapa ambil perhatian sangat dengan benda sekeliling kita.

Ada replika dinasour.

Di Taman Tasik UTP ini, bertempatnya Geological Rock Garden, yang merupakan taman geologi terbesar di Malaysia. Baru saja dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, lebih kurang seminggu yang lalu.


Semasa kami pergi semalam, cuaca baik, tak berapa panas sangat. Ada tanda-tanda nak hujan.


Sesuai datang sini, waktu pagi atau petang. Bersiar-siar atau berjogging. Bawa seisi keluarga. Satu pusingan yang paling luar, boleh dapat 2 kilometer.


Ralit perhatikan air tasik. Burung-burung bangau pun banyak berterbangan, lebih-lebih lagi bila mesin pemotong rumput baru melepasi sesuatu kawasan tu, mungkin senang dapat cacing di tanah, bila rumput baru dipotong. Burung lain pun banyak di sini. Jadi, memang rasa tenang untuk layan perasaan dan menghirup udara segar waktu pagi.

Bila cuaca mula panas, kami pun beredar. Tak sampai 5 kilometer pun berjalan. Jadilah, keluar peluh, dari duduk rumah depan tv. 

Kami pergi Batu Gajah, sarapan di sana. Nak cuba tempat baru.

Pernah dengar orang makan mee tikus di Ipoh. Tapi, saya baru tahu, di Batu Gajah, Perak, pun ada gerai menyajikan mee tikus juga. Marilah kita cuba. Saya tak tahu mana mee ni dapat nama mee tikus. 😁

Nama kedai adalah RM Corner. Saya secara kebetulan terjumpa orang cakap tentang kedai ni, di group JJCM@Perak di facebook.


RM Corner tu, singkatan dari Ramli Misha Corner. Bagi yang tak biasa, mungkin berpendapat yang kedai ni, macam kedai makan cina. Sebenarnya, isterinya mualaf. Jadi, makanan di gerai adalah halal.

Lagi keratan akhbar mengenai RM Corner

Saya pula tak pernah makan mee tikus, walaupun selalu ternampak video mee tikus stesen bas medan kid yang viral di Ipoh. Kat Batu Gajah pun ada, jadi, marilah kita cuba, ya.

Mee tikus goreng
 
Sebab pertama kali makan, saya cerita sikit tentang mee tikus yang saya dapat info melalui carian google ya. Mee ini adalah masakan cina yang berasal dari Taiwan, Loh si fan. Loh si dalam bahasa cina bermaksud tikus. Fan pula bermaksud mee. Makna sebenarnya adalah laksa pendek, tapi orang lebih kenal mee ini sebagai mee tikus. 

Masa saya tengah tunggu pesanan sampai, ada bau wangi macam orang goreng kuetiau, dan ada rasa hangit, macam dimasak guna api besar. Saya suka, saya suka, sebab ada bau hangit. Hehe...

Sudah makan. Memang sedap. 😋 

Suami pesan bihun goreng. Tapi saya lupa ambil gambar, bihun goreng tu. Sebab tengah syok makan mee saya.

Lain kali boleh datang lagi. Yeh!

Nama kedai: RM Corner

Alamat: No. 2, Plaza Batu Gajah.

Masa operasi: 8 pagi hingga 1 petang.

Lepas kenyang makan, kami tak terus balik, pergi Kampar la pulak, nak bungkus nasi kandar beratur 786. 😁 Hahaha... tak masak semalam. Yay!

Suami saya pesan 2 nasi  kandar ayam goreng, 2 nasi kandar ayam bawang. Lauk letak asing ye, mamak.

Ayam dia besor!

Selamat makan tengahari, nasi kandaq. Sayur kobis jangan dilupa. Juga, telur masin. Surrrr...... 😋

Lepas tu, banyak kerja rumah kena siapkan. Lipat kain, menjahit baju anak yang koyak. Orang baiki aircond pun datang semalam. Ada 2 aircond rumah rosak. 

Jahit baju koyak

Tak beli baru. Kita jahit je. Dia pun lagi 2 bulan, nak habis sekolah. Baju inner, pakai dalam baju sekolah.

Ingat kan, petang lepas Asar, free la, untuk update blog. Tak sempat juga. Saya keluar sampai nak maghrib, baru balik rumah. Cari barang anak-anak sekolah. Gitulah ceritanya. Apa nak buat. Hari yang sibuk. Hehe..

Orait. Jumpa lagi, ye. 😊

Giveaway By Blog Roziah Muhammad Nor

 Meriah juga giveaway yang teman-teman bloggers anjurkan, ya. Satu perkembangan positif ni. Saya pun join sekaki ler, dalam giveaway yang dianjurkan oleh Puan Roziah ini.


Tarikh giveaway ini adalah dari 30 Disember 2023 hingga 29 Januari 2024.

Puan Roziah mencari sehingga 8 pemenang untuk giveaway ini. Wah, ramai juga ya. 

Marilah kita sama-sama memeriahkan giveaway oleh blog Puan Roziah ini. Menang atau tidak, tolak ke tepi. Yang penting, kita dapat tambah teman sesama bloggers dan meluaskan jaringan. 

Ayuh! Klik banner di atas untuk join. 😊

Giveaway Perfume SR

 Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca....

saya ingin turut serta dalam giveaway yang dianjurkan oleh Blog Syazni Rahim. Sebagai teman bloggers, haruslah kita menyokong kawan-kawan kita dan turut serta memeriahkan giveaway yang diadakan. Menang atau kalah, tolak ke tepi. 

Giveaway ini berlangsung dari 9 Januari hingga 25 Januari 2024.


Tiga orang pemenang akan dipilih. 

Syarat-syarat penyertaan adalah seperti berikut:

1) Follow blog Syazni Rahim. 🠊 Sudah follow lama dah.

2) Buat satu post di blog, bertajuk Giveaway Perfume SR. 

3) Copy banner, dan letak sebagai gambar pertama di post.

4) Tinggalkan link pada post giveaway.

5) Boleh join dari semua blog yang ada. 🠊 Saya ada satu blog aje.

Walaupun Puan Syazni Rahim ada mengatakan yang beliau hanya akan memilih 3 pemenang yang punya alamat di Malaysia sahaja, tapi anda bolehlah berkunjung ke blog beliau, dan follow, jika berminat untuk meluaskan jaringan dan berkenalan sesama bloggers.

Baiklah. Nampak menarik perfume dalam gambar. 

Sila klik di banner di atas untuk turut serta dalam giveaway ini, ya. 😊

Giveaway Sampul Raya Rare 2024

 Atas jemputan Permaisuri Cuya, dengan ini saya sertai giveaway yang sedang berlangsung di blog Kerajaan Kelapa, iaitu Giveaway Sampul Raya Rare 2024.

Giveaway ini berlangsung dari 10 Januari hingga 23 Januari 2024

Syarat-syarat giveaway adalah seperti berikut:

1) Follow blog Permaisuri Cuya 🠊 Dah lama dah follow 

2) Follow ig suhaxee atau tiktok nacuyaa 🠊 Saya takde tiktok, jadi sudah follow ig. 

3) Copy banner, tulis entri tajuk Giveaway Sampul Raya Rare 2024 dan backlink ke blog Permaisuri Cuya 🠊 

Banner adalah seperti berikut:


Jadi, marilah pembaca blog yang saya hormati sekalian, sekiranya anda free, kita beramai-ramai sertai giveaway oleh Permaisuri Cuya ini, ya.

Cara untuk sertai adalah dengan hanya klik banner di atas.

Memang rare sampul-sampul raya yang dijadikan hadiah. Tak pernah pula tengok sampul raya MC raya tu. Kalau tak dapat sampul raya biskut Hup Seng, dapat sampul raya spray nyamuk Shieldtox pun, jadilah. 😁

Sekian. Selamat maju jaya kepada semua. 

Hadiah Pengomen Tegar 2023 Blog Mrs A

 Semalam, sewaktu anak saya sampai depan pagar rumah dari sekolah, dia datang hulurkan bungkusan kepada saya. Musykil juga saya, sebab saya tidak ada beli apa-apa barang online. Saya terlupa yang saya ada beri alamat pada Mrs. A, minggu lepas, sebab saya adalah antara pengomen tegar sepanjang tahun 2023 di Blog Mrs. A. Alhamdulillah.

Dapat pula hadiah yang memang berguna pada saya, yang berlari hari-hari ni. Jeng jeng jeng...


Saya dapat tudung sukan Raqtive! 😍

Gumbiranya rasa di hati. Alhamdulillah. Terima kasih kepada Mrs. A, yang hadiahkan tudung sukan yang cantik ni.

Material tudung ini adalah fabrik microfiber yang berkualiti tinggi, dikhaskan untuk kegunaan ketika bersukan dan berekreasi.

Ia juga ringan dan sangat selesa dipakai. 

Ate.. tak kan nak tengok je, kot. Marilah kita cuba pakai.

Makcik perasan model sports hijab 🙈


Suka, suka. I is terharu, ok...


Terima kasih kepada Mrs. A, yang bermurah hati hadiahkan tudung sukan ini pada saya. Semoga Mrs. A dan keluarga dimurahkan rezeki, sihat-sihat dan gembira selalu, dan sentiasa dalam rahmat Allah. 

Kepada pembaca yang masih belum mengenali Mrs. A, jemput lah berkunjung ke blog beliau di sini. Jangan lupa follow Blog Mrs. A juga. 

Saya tak pernah menang hadiah top pengomen ni. Suka, suka. 😍😁

Baik. Jumpa lagi, ye. 😊

Hari terakhir di KL

 Ahad, 24 Disember 2023 - Seawal pukul 7 pagi, kakak sulung datang ambil kami di apartment, bawa pergi sarapan di Pelita Nasi Kandar, Jalan Ampang. Naik kereta kakak. Empat orang duduk belakang. Anak bongsu duduk di kerusi sebelah pemandu. Hehe.. itu la, tak bawa keluar kereta kami langsung sepanjang stay di KL. Masa datang dan balik je, guna kereta sendiri. 

Lama jugalah kami makan, sambil sembang di mamak tu. Hari Ahad, tengok ramai orang naik basikal lalu depan restoran, yang berlari pun ramai. Lepas tu, kakak bawa kami pusing-pusing di pusat bandar. Lalu depan bangunan the Exchange TRX tu. Lalu Bukit Bintang, nampak Lot 10, pusing Kampung Pandan. Pastu dia pun drop kami semula depan apartment.

Kami pun siap siap pack barang untuk check-out. Sebelum tu, marilah ambil gambar kenangan duduk apartment tinggi yang diberi nama Sky Suites KLCC ni. 


Alhamdulillah, dapat berkumpul satu keluarga, habiskan masa bersama-sama. 


Ada rezeki lebih, lain kali, kami datang lagi, ya.


Bye bye, KLCC...! 💓 When will we see you, again...?

Masa check-out, kena jumpa ejen yang uruskan penginapan tu, semula. Dia kembalikan wang deposit RM200. Kami kembalikan pass kad untuk kereta dan rumah. Alhamdulillah. 

Kami dah janji jumpa kakak di rumah bapa di Rawang. Kakak bungkus siap-siap nasi beriani yang dibelinya di Taman Tun. 

Bapa saya semakin uzur. Badan ada sedikit bongkok. Kurus je. Rasa kesian, tengok orang tua. Makcik (ibu tiri saya) kata, baru nampak papa makan banyak sikit, cucu dan anak datang. Bapa saya tak tahu pun yang saya dan family nak datang. Bapa ingat, kakak sulung seorang je, nak singgah rumah. Hehe..


Lama duduk rumah papa. Dari makan tengahari sampai ke minum petang. Kakak order grab pula, pisang, ubi goreng, cokodok, dan air kopi. Anak sulung habiskan kerja assignment, sampai dia selesai hantar kerja, barulah kami bertolak balik ke Perak. Tumpang wifi rumah Tok, laju. Kalau nak submit tengah jalan, takut takde line pula dalam perjalanan. 

Semasa perjalanan balik, bila sampai Sekinchan, tukar pemandu. Anak sulung bawa kereta sampailah selamat sampai rumah Perak. Alhamdulillah, selamat sampai.

Begitulah cerita percutian hujung tahun kami hari tu ke Kuala Lumpur. Seronok dapat tukar angin, tengok tempat orang yang penuh orang dan sesak dengan traffic jam. 😁 Dapat shopping di Decathlon dan kasut baru, jumpa kakak, papa dan makcik. Syukur Alhamdulillah, rezeki dan nikmat Allah beri. 

Ok la ye. Jumpa lagi. 😊

KL Trip, day 2

Sabtu, 23 Disember 2023 - Mandi awal pagi sebelum subuh. Mata ni memang automatik celik pukul 4 atau 5 pagi. Kat rumah ke, kat hotel ke, tak payah nak set alarm. Selesai sahaja subuh, saya siap-siap nak pergi lari di taman KLCC. Nak test kasut baru beli hari sebelumnya. Suami saya, nak ikut juga. Anak-anak lepak di apartment. 

Saya suka berlarian di taman KLCC ni. 

Laluan berlari

Banyak pokok-pokok besar. Laluan lari lembut. Soft landing. Bila dahaga, ada water cooler, banyak tempat. Awal pagi, tak ramai sangat. Tapi semakin lama, semakin ramai datang beriadah.

Saya suka pokok-pokok besar. 😍

Tidaklah saya tahu, yang ada event berlangsung di KL Convention Center, di sebelah taman tu. Ada Comic Fiesta berlangsung pada hari Sabtu dan Ahad, mula pukul 10 pagi. Walaupun saya berlarian di taman awal pagi, namun sudah ada anak-anak muda berpakaian watak anime mula datang.

Anak-anak muda berpakaian watak anime mula membanjiri KL Convention Center.

Yang rambut biru, rambut hijau, macam-macam watak anime ada. Sangat usahalah dia orang ni. Siap make-up bagai, baik lelaki mahupun yang perempuan, dengan contact lense, lengkap, sudah serupa kartun, sebijik!

Watak ala-ala Counter Strike

Sebab saya pusing berkali-berkali taman tu, bermacam-macam manusia la yang saya nampak.

Ni baru lari dari hospital, gamaknya..

Kalau dia orang ni, stay kat convention center tu saja, takpe juga. Ini, mereka berpeleseran di taman tempat orang awam beriadah ni. Kalau ada pakcik tua tengok yang seksi-seksi tu, mau terjojol biji mata pakcik tu haaa.... 

Kita lari je la, tengok pokok. Suami saya, sekejap saya nampak dok rileks, main telefon, kat kerusi. Lagi satu round saya pusing taman, nampak dia tengah jogging slow-slow pula. 

Larian taman KLCC, 10.27 kilometer.

Alhamdulillah, selamat saya mengetest kasut baru beli semalam, buat 10 km. 

Hoka one one Mach 5 Wide

Ini pertama kali saya beli kasut wide, iaitu lebar di depan. Bila dah cuba kasut hoka, orang kata, tak pandang dah kasut brand lain. Tapi saya, tak rasa begitu. Pada pendapat saya, kasut hoka ni, ringan. Kaki rasa nak pergi lebih laju. Tapi, lutut tak mampu, sebab dah tua. 😁 

Waktu saya tulis entri ini, dua hari lepas, saya ada test lari half marathon, 21.1 kilometer. Memang ok sesangat! Jari kaki boleh bernafas dan bebas bergerak. Alhamdulillah, dapat merasa pakai. Saiz dia lain, tak sama dengan saiz saya pakai untuk Asics. Tu pasal, kalau anda nak beli kasut lari, sila pergi kedai, test di kedai. Lain brand, lain cutting dia, lain design dia, saiz pun tak sama. Kasut Asics, saya pakai saiz 6.5 UK, kasut Hoka ni, saya pakai saiz 6 UK. 

Kasut ni ok, tapi dari segi cushioning, Asics Gel Nimbus 25 lebih sedap (untuk orang yang ada masalah lutut). 

Ok la. Berbalik kepada cerita. Selepas lari, saya dan suami pergi ke Wisma Central, Jalan Ampang, bungkus nasi lemak untuk kami sarapan di apartment. 

Sarapan dulu satu family. Mandi-mandi, wangi-wangi. Kami keluar berjalan-jalan semula. Hajat nak pergi Pavilion, Bukit Bintang. Sudah tanya anak yang bermuka masam semalam, suruh dia lepak je kat apartment, rehat. Tapi dia nak ikut juga, dia kata, dah sampai KL, tak kan tak pergi jalan-jalan kot, rugi ler. Suami rujuk map dari aplikasi Waze, masa kami mula berjalan kaki. 

Akhirnya, kami sampai ke Pavilion, Bukit Bintang. Jarak lebih kurang 1.2 kilometer sahaja dari apartment kami. Kat sini, kami tak sempat nak jalan semua tempat. Ada budak tu, dah start buat muka masam dia tu, macam semalam. Heee... pelik sungguh la. Last-last, nak menghilangkan dahaga, kami lepak di Paris Baguette, sebuah cafe, yang ada jual kopi dan pastries. 

Gambar dari google.

Cafe T20 ni. Dia punya air Evian (air mineral), RM7 ke, RM8, sebotol. Saya pun tak ingat. Kegilaan apakah... adoi.. baru jalan sikit, muka dah masam. Tak sempat la mama nak tawaf window shopping di Pavilion. Tapi best juga duduk dalam cafe tu. Tengok orang kiri kanan. Dia orang bukannya makan banyak pun. Order satu air, satu kek, share berdua. Hehe.. lebih kurang macam kami juga la. Kami pun share-share. Habis tu, baru je tadi makan nasi lemak lauk ayam kat apartment, kan. Bukan lapar pun, dahaga je.

Kalau budak tu tak ikut, kami sampai ke Lot 10 kot, jalan-jalan. Anak kedua saya ni memang tak suka keadaan ramai orang. Dah cakap dah dengan dia, kita ni kat KL. Bukan kat rumah di Perak. Nama pun ibukota Malaysia. Mestilah ramai orang.

Jadi, lepas minum tu, kami pun patah balik ke arah KLCC. 


  Barulah nampak ada laluan khas pejalan kaki dari KLCC ke Pavilion, dan sebaliknya. Tadi masa datang, kami ikut jalanraya je, dari bawah. 

Laluan pejalan kaki.

Sungguh selesa, laluan pejalan kaki, ada aircond lagi. Bertuahnya orang Kuala Lumpur. Nak pergi shopping senang, tak kena hujan panas. Asalkan ada keinginan untuk berjalan. Banyak steps dalam  sehari boleh dapat.

Kami nak pergi Decathlon lagi sekali, jadi, kami lalu di KLCC. Memang ramai orang, termasuk beribu-ribu orang yang pergi Comic Fiesta di KL Convention Center tu. Satu sikap yang saya nampak, bila orang kl nak selfie ke, nak berborak ke, dia stay je tengah jalan. Tak ketepi pun. Ini mengganggu perjalanan orang belakang. Kita yang nak berjalan non stop ni, kena bijak cari lubang-lubang laluan yang boleh dilalui di celah-celah orang ramai. Time ni memang tak buka topeng muka langsung. Jalan pun langkah pendek, sebab terlampau ramai manusia. Di pokok krismas KLCC tu, jumpa orang pakai watak Doctor Octopus, dari Spiderman. Walaupun tak kenal, bila ada character menarik je, ada je orang minta selfie sama. Melayan pula dia orang ni. 

Kami masuk Decathlon semula. Beli baju dan seluar. Sebab semalamnya, ada beli sorang satu. Lepas tu dah cuba pakai, sedap pulak baju Decathlon. Fabrik yang bagus, walaupun berpeluh, cepat kering. Itu yang pergi lagi. Kat Perak mana ada Decathlon, encik. Beli lagi baju dan seluar kali ni, untuk anak-anak. 

Habis shopping, kami pulang dulu di apartment. Berehat dan solat jamak. Lepas tu, kami keluar semula, kali ni, jumpa kakak saya. 

Memang ramai manusia tengahari hari Sabtu itu, di mana-mana. Nak cari tempat makan pun, susah juga. Last-last, kami lepak di mamak di Hotel de King Boutique, di Jalan Ampang. Apa nama kedai mamak pun, saya dah lupa. Yang sebelah dia, ada jual durian tu. 


Kakak sulung saya tinggal di PJ, tapi kerja di KLCC. Jadi, dia tahulah lubang-lubang shortcut mana nak lalu, time ramai orang ni.

Alhamdulillah, dapat jumpa kakak. Lama juga lepak. Lewat petang, baru balik ke apartment. Dan tak keluar-keluar dah.

Mandi wangi-wangi, tidur awal. Saya la tidur awal.

Anak sulung buat assignment

Suami teman anak sulung buat assignment, sampai pukul 11 malam. Assignment sepatutnya dihantar hari sebelumnya, tapi lecturer beri kelonggaran, sebab sedang cuti. Kerja kumpulan pula, nak kena kumpul kerja semua orang dan submit dalam bentuk video. Anak sulung saya ni, sedang belajar jurusan Perakaunan, sekarang semester 3. Nice kan, view bilik anak ni.

KLCC, waktu malam.

Nak tahu jumlah langkah saya berapa, setelah berjalan-jalan satu hari? 36 ribu, ok! Termasuk saya lari 10 km di taman klcc dan jalan-jalan sampai ke Pavilion dan KLCC. Ini melebihi langkah yang saya dapat kalau saya buat half marathon. Buat hm je pun, sekitar 34-35 ribu langkah sahaja, biasanya.

Saya rasa, sangat beruntung orang yang tinggal di tengah ibu kota. Tak perlu ada kereta. Naik public transport lebih senang. Lagi satu, banyak pula stesen LRT dan MRT yang menghubungkan ke pusat membeli-belah. Siap ada laluan pejalan kaki berhawa dingin. Antara nak atau tak nak je, untuk berjalan, bakar kalori. Jalan dalam shopping complex pun ok sesangat, boleh window shopping.

Apa pun, saya enjoy dapat berjalan banyak tempat di hari kedua. Jalanraya dan bangunan sudah banyak berubah, tak seperti masa saya kerja KL dulu. Dapat jumpa kakak sulung. Alhamdulillah. 

Oklah. To be continued... jumpa lagi, ye. 😊