Hari ini hari Selasa

 Rutin biasa, selepas hantar anak-anak ke sekolah, pergi lari. Saya berlarian di Teluk Batik, pagi tadi. Lama dah tak datang sini. Ada ramai orang naik bukit. Yang berlari, tak ramai. Kera-kera pun dah tak banyak. Kalau tak, memang segerombolan kera atas pokok-pokok ataupun yang lintas jalan. Ada tandas awam dan surau yang sedang di-renovate. 

Larian 7 kilometer di pagi Selasa.

Alhamdulillah. Cuaca pun baik. Tak berapa panas. 

Kucing tompok di taman awam Teluk Batik

Saya perasan, ada orang datang bawa makanan kucing. Dia naik motor, bila dia turun je, beberapa ekor kucing sini terus datang pada dia. Bermakna, kucing-kucing sudah kenal, sudah biasa. Patut kucing sini sihat-sihat belaka.

Habis lari, singgah kedai runcit, beli roti. Balik rumah, selesai mandi, sidai kain, saya masuk dapur, goreng telur, makan dengan nasi goreng yang saya sudah sediakan awal pagi, sebelum subuh.


Banyaknya nasi saya ambil. Lebih separuh pinggan. Ada masukkan ayam goreng mamak, yang tak habis. Semalam ada beli 3 ketul. Ayam goreng mamak kan, ada warna merah. Hehe..

Alhamdulillah. Korang makan apa? 😊

Rancangan tak menjadi

 Hari Jumaat lepas, bersamaan  27 Oktober 2023, saya dan suami sudah on the way nak balik Kelantan. Suami saya bila habis kerja shif malam, dia ada 2 hari off. Jadi, ingat nak balik jumpa orang tua la, dalam masa tu. Kami dah sampai Gerik dah. Masa berhenti di masjid, waktu Asar, suami saya check handphone dia, dapat email, dia kena pergi kursus pulak. Apa cer..... 

Boleh je teruskan balik Kelantan, tapi akan jadi sangat kelam kabut ler. Jadi, suami ambil keputusan, untuk patah balik. Tak jadi teruskan perjalanan. Masa dalam kereta tu pun, telefon suami dok berbunyi je. Banyak benda nak kena urus. Telefon kampung, cakap tak jadi balik. Apa nak buat. Macam ni la, kerja makan gaji. Kena menurut perintah. Huhu... terpancar perasaan kecewa dan frust menonggeng di wajah suami. Last sekali jumpa mek (panggilan untuk mak) adalah masa hari raya puasa lepas. Jadi, dah lama la jugak. Apa pun, pasti ada hikmah di sebaliknya, Allah knows best. 

Kami belum makan. Jadi, berhenti la makan dulu. Dah kena patah balik rumah, kita santai-santai je la. 

Gerik, Perak.

Gerik, di daerah Hulu Perak, adalah bandar yang terletak di tengah lembah antara Banjaran Bintang dan Titiwangsa. Gerik juga dipanggil bandar persinggahan kerana lokasinya terletak tengah-tengah jajaran Lebuhraya Timur-Barat, yang merupakan laluan utama ke negeri pantai timur. Jika nak ke Taman Negara Royal Belum, pun kena lalu Gerik juga. (Sumber: Wikipedia)

Tengok mana-mana kedai tepi jalan yang buka, kami pun berhenti la.

Aduka Cabin Cafe, Gerik.

Tak pernah makan di sini. Boleh la kita cuba. Jom kita. Perut pun dah berbunyi ni.

Agak besar juga ruang makan di cafe ini. Ada 2 tingkat, ikut suka nak duduk bawah atau atas. Ada adik datang bawa menu dan ambil pesanan. 

Masa menunggu juga tidak lama sangat la. Untuk masakan panas atau goreng-goreng. Suami pesan nasi goreng kampung.

Nasi goreng kampung bersama sup dan sambal.

Suami minta sambal belacan sebenarnya, tapi sebab tak ada, dia bagi sambal untuk nasi ayam penyet. Ok rasa nasi goreng kampung dia, sedap.

Pesanan saya sedikit lambat sampai. Saya pilih grilled chicken chop.

Grilled chicken chop

Sedap, wei! Saya suka! 😋

Ada ruang makan lagi di sebelah kanan cafe ni. 

Ruang makan di luar

Saya rasa, waktu malam mesti meriah dan cantik, sebab lampu-lampu yang dipasang tu.

Lepas makan, suami ada singgah dulu tandas cafe. Bersih, suami cakap. 

Ini informasi cafe jika anda nak singgah ya. Lokasinya, di tepi jalan utama nak masuk bandar Gerik.

------------------------------------------------------

Aduka Cabin Cafe

1, Jalan Kolam Air, 

33000 Gerik, Perak.

Waktu operasi: Setiap hari, 3 petang hingga 12 malam. Tutup setiap Rabu.

------------------------------------------------------

Lepas makan, kami pun bertolak balik rumah semula. 

Bulan terang

Masa saya ambil gambar bulan di atas, kami sudah masuk lebuhraya WCE. Dari Beruas ke Sitiawan. 

Macam tu la ye. Kita hanya mampu merancang. Tapi Tuhan yang menentukan. Lebih-lebih lagi, hujung tahun ni, kan. Macam orang semua terkejar-kejar habiskan target je. 

1) Yang banyak cuti, kena apply cuti. Cuti banyak-banyak pun bukan boleh carry forward.

2) Yang peruntukan belum habis, sibuk hantar pekerja kursus sana sini. Suami saya bulan ni, kali kedua la ni, pergi kursus. 

3) Inspektor gajet ada banyak quota belum habis, sibuk menyaman orang yang tak letak kupon parking. Orang nak pergi kedai runcit beli roti sekejap pun, dia tampal saman. Tampal, jangan tak tampal. 

4) Ahad pun ada kelas ya. Berapa banyak Ahad dah ni, anak pergi sekolah. Hari-hari pergi sekolah. Tak habis-habis syllabus lagi. Waiya..... 

Hahaha... bertabah la ya. Senyum je la. 

Jumpa lagi... 😊

Mind game dan double rainbow

 Tiap-tiap hari, fikir mana tempat nak lari, ni. Kalau pergi padang, semalam hujan, mesti padang lecah atau becak, kang kotor kasut. Kalau pergi Esplanade, sakit lutut pulak. Pastu bosan dok pusing tempat sama. Begitulah lebih kurang apa yang bermain di minda saya, setiap pagi. 

Fikir lokasi nak pergi berlari. Bila banyak fikir, kita jadi penat. Jadi, cenderung untuk ambil langkah mudah. Contoh pagi tadi, saya fikir, susah-susah, tak yah lari hari ni, lepas hantar anak sekolah, balik rumah, buat roti bakar, makan dengan scrambled egg, boleh layan netflix! Syok oooo! 

Tapi bila sampai ke jalan menuju ke rumah, tangan tak bagi signal pulak, nak masuk ke lorong rumah. Urrghhh! Berperang dengan minda sendiri. Mulut muncung. Drive juga ke Esplanade, pergi juga lari sana. Huhuhu...

Larian santai 6 kilometer. Ketot Junior menyibuk time orang nak tanggal kasut lari.

Memang macam tu la, hari-hari. Lepas lari, rasa nasib baik aku pergi lari hari ni. Sebab semalam ada makan donut 2 ketul. Makan banyak lagi la. 

Semalam pun sama juga. Anak kedua buat drama pulak. Boleh dia salah pakai baju sukan. Lepas tu, dah sampai depan sekolah, dia tengok ramai budak form 5 pakai uniform sekolah. Dia ajak balik, tukar baju. Ko rasa? Hahahaha.... sepantas kilat saya tekan minyak, merempit balik rumah, tau. Hai, anak. Nasib baik rumah dengan sekolah tak jauh sangat. 1 kilometer je. Anak masuk rumah, tukar baju. Merempit pergi sekolah balik. Eh, merempit tu, naik motor, kan? Kalau bawa kereta laju, orang cakap apa? Berdesup? Nasib baik sini takde traffic jem. Ada sikit la, kat traffic light, kena tunggu 90 saat. Sempat sampai ke pintu pagar sekolah sebelum 7.25 pagi. Selamat, anak pergi sekolah. 

Hari dah lewat, kan? Nak lari pun malas. Tapi pergi juga la ke padang.

Larian semalam, 5.83 kilometer di padang

Main hujan masa kilometer ketiga. Tapi tak berhenti. Rasa best, sebab sejuk dan berangin! Saya suka! Dan bila nak habis lari, rasa sangat lega saya tidak layan rasa malas saya, saya dapat tengok 2 pelangi di langit! Huhu... cantiknya!


Gambar yang ni, tak berapa nak nampak 2 pelangi tu. Matahari sudah mulai keluar. Rasa sangat bersyukur, kerana boleh berlari dengan aman. Nikmat sihat pemberian Allah. Beruntungnya kita, tak seperti saudara kita di Palestin yang dalam peperangan. Saya berperang juga, tapi cuma sekadar di minda. Apalah sangat perang dalam kepala saya ni, banding dengan perang yang orang Palestin sedang hadapi sekarang. Rasa bersyukur, dan sama-samalah kita doa yang semuanya akan bertambah baik buat saudara kita di sana. 

Hari Sabtu lepas, masa saya pergi pasar malam, pun ada 2 pelangi juga di langit, tau. Cantiknya, saya tengok...

Masa pergi pasar malam Sabtu

Masya-Allah, cantiknya bila dapat tengok dua pelangi. 

Semalam, lepas lari di padang, suami saya ajak sarapan. Dia baru habis kerja malam. Jumpa di kedai makcik bawah pokok. 


Suami pesan nasi lemak dan cucur 3 ringgit. Saya pesan mee rebus. Alhamdulillah. 

Apa yang nak saya katakan di sini adalah, sebenarnya, bukan mudah untuk saya pergi lari setiap hari. Saya kena berperang dengan diri sendiri dulu. Saya tidaklah rajin sangat orangnya, untuk berlari setiap hari. Lagi-lagi saya ni, sejenis malas nak keluar rumah dan pergi di tempat yang ramai orang. 

Jadi, gitulah. Bila kita keluar dari zon selesa kita, sentiasa ada benda best yang berlaku. Kalau saya stay je kat rumah layan movie, tak mungkin la saya boleh tengok pelangi cantik yang munculnya cuma sekejap di langit. Betul tak?

Kalau tak, takde la kasut Nike tu buat tagline dia, Just do It! Memang kena buat je. Tak payah fikir-fikir. Bila fikir banyak la, banyak alasan akan keluar. 

Ok la. Sekian dulu buat kali ni.

Jumpa lagi, ye. 😊

Half marathon Oktober

 Jumaat, 20 Oktober 2023 - Plan dengan adik-adik geng lari, nak buat half marathon keesokan harinya. Jadi, hari Jumaat, makan malam, makan nasi. Carbo loading. 

Saya dan suami makan di kedai tomyam tepi jalan, yang on the way to pekan Lumut. Lupa pulak nama kedai apa. Kami panggil, kedai kuning. Sebab signboard kedai tomyam warna kuning. 

Carbo loading Jumaat

Kami pesan nasi putih, dengan lauk telur dadar, kailan ikan masin, daging masak merah dan ikan kembung masam manis. Ada sambal belacan sekali.

Close up, daging merah dan ikan masam manis.

Harga makan malam adalah RM34 semuanya. Alhamdulillah. Sedap, semua cukup rasa! 😋

Kalau nak lari esok, tak payah la nak diet-diet, no nasi. Nanti tak ada tenaga. Makan je. Saya nak kongsi juga di sini, yang bahawasanya, saya tidak lagi intermitten fasting. Suku-suku separuh pun tidak. Motto baru saya, Live Life Abundantly! Hehe... 

Sabtu, 21 Oktober 2023 - Plan dengan adik-adik geng lari untuk ikut jalan di kejiranan. Saya sampai awal di lokasi. Bolehlah warm-up dulu, slow-slow. 

Saya pakai pouch pinggang yang boleh letak air mineral kecil. Sebab saya malas nak bawa hidration bagpack. Bawa gula-gula garam. 

Peta kami lari HM (half marathon)

Laluan tepi jalanraya utama. Ok la, hari Sabtu, tak banyak kereta sangat. Saya boleh lari sampai kilometer 15 je. Masuk kilometer 16, saya sudah mula jalan. Tak larat rasa. Keadaan jalanraya di sesetengah taman, tak elok. Jalan dah hilang tar, batu-batu tajam, sakit pula bahagian tapak kaki. Saya cakap kat adik-adik, teruskan je lari. Saya jalan je.

Tengok-tengok, adik-adik geng lari pun sampai kilometer 17 je. Pastu, dia orang berhenti. Zura cakap, dah tak larat. Stamina down betul. Lama dah Zura tak buat hm. Sorang lagi adik, Mira, baru first attempt nak buat hm. Puas la pujuk adik-adik, jom je la, jalan sampai habis, sayang la, dah 17 kilometer dah kot. Tapi masing-masing dah give-up, lepak atas bangku kat kawasan rukun tetangga dekat sekolah anak. Hahahadoiii....

Jadi, saya teruskan je la sorang-sorang. Jalan je pun. Saya singgah kedai runcit, beli air ribena. Air mineral botol kecil yang saya bawa, sudah habis. Ada bawa duit, RM10. Jalan je, sambil muhasabah diri. 

Selfie di kejiranan.

Alhamdulillah. Capai jarak hm. Terlebih lagi. Alaa... bukannya masuk event. Kita suka-suka kan. Kalau masuk event pun, cut-off time untuk hm biasanya 4 jam. Lulus la ni. Peduli apa kalau berjalan pun. Kalau larat, lari. Tak larat, jalan. Tak larat jalan, merangkak. Asalkan terus bergerak ke hadapan. Itulah motto saya dari dulu, sejak saya masuk dunia larian ni. Sayang oi, cuaca baik jangan dipersiakan. Tak berapa panas, bolehlah tahan. Dari 3 orang mula misi hm, tinggal saya sorang. 

Dengan adik-adik geng lari, Zura dan Mira.

Alhamdulillah. Selamat menghabiskan misi half marathon bulan Oktober. Bila tak ada masuk acara larian, bukanlah penghalang untuk kita lari jauh. Nak atau tak nak je. Tapi kalau saya sorang nak mula, memang tak la. Saya tak berani lari sorang-sorang di jalanraya utama. Ada adik-adik, bolehlah berani sikit. Terima kasih kepada Zura dan Mira. Lain kali, dia orang boleh cuba lagi, untuk habiskan jarak hm.

Penat rupanya lari di kejiranan ni. Tak tahulah kenapa. Mungkin kena mula awal pagi, lepas Subuh lain kali. Bila dah pukul 7.20, memang cuaca mulai panas. Faktor usia mungkin, dah tak kuat lari macam masa muda. Pastu, sebab saya pakai pouch ni, boleh sakit pinggang pula. Dekat tulang pelvis tu, rasa lenguh. Huh.. apekehenya... saya cuma carry botol air mineral kecil tu je. Tapi dah baik dah, hari ni. 

Ok la. Sekian laporan half marathon bulan ni. 

Jumpa lagi, ye. 😊

My mood changer

 Rasanya, dah lama saya tak kongsi hasil kait saya, kan. Bukan apa, tak ada produk yang telah siap. Jadi, saya kongsikan projek yang masih dalam pembikinan, ya. 

Granny square blanket

Projek ni, macam tak banyak bergerak sangat. Boleh lihat entri terakhir saya share tentang granny square ni, di entri ini. Tak tahu la bila dapat siap projek ni. Nak habiskan dulu projek lain, baru boleh get back to projek ni.

Bantal kait

Yang ni, memang akan jadi milik salah seorang pengomen terbanyak di blog saya ni. Cuma tak tahu lagi, siapa boleh dapat. Untuk check senarai pengomen terbanyak di blog saya, boleh la klik sini. Ada page khas untuk senarai pengomen yang setia tinggalkan jejak, walaupun saya jarang update blog tahun ni. Huhu... Hujung tahun, saya akan umumkan siapa yang dapat apa yek. Atau mungkin saya nak sembunyikan dulu ke, last minute baru saya akan up balik senarai pengomen terbanyak ni. Saja, nak bagi surprise. Sebab page ni pun, dia lambat loading. Ini adalah untuk pengomen terbanyak untuk tahun ini, ye, 2023. 

Mengait dua jarum, aka knitting

Mengait ni, satu terapi pada saya. Sambil dengar muzik, sambil minum secawan kopi, saya boleh lost dalam kaitan. Satu benda untuk mengubah frekuensi, dari otak yang serabut, jadi lebih tenang. Dari nak marah atau nak mencarut, jadi lebih sejuk perasaan. Itu kadang bila saya tak update blog, mungkin sebab saya nak elak dari bercakap, sebab tengah serabut. Banyak benda luar yang boleh serabutkan kepala otak sekarang ni. Orang luar punya pasal. Tapi kita pun terlibat sama. Pelik betul perangai orang zaman sekarang. Penghujung dunia. Adab sopan hilang entah ke mana. Itu yang saya lebih suka diam, tak update blog, nanti saya tulis benda negatif pulak. Saya tak mau la macam tu. Positive vibes only. 

Kalau tak mengait, baik pergi berlari.

Saya dan suami, habis jogging.

Semoga hari anda semua baik-baik saja. Kalau tak tahu nak jadi apa, jadilah orang yang baik. Cakap benda yang baik-baik, fikir benda yang baik-baik. 

Salam Jumaat. Jangan lupa ngaji surah Al-Kahfi. 

"Membaca Surah Al-Kahfi pada hari Jumaat sangat digalakkan ke atas setiap Muslim tidak kira 10 ayat terawal mahupun 10 ayat terakhir atau sebahagiannya dan lebih baik membaca satu surah lengkap. Ini kerana surah Al-Kahfi dapat menjadi benteng keimanan yang kukuh daripada fitnah dajal bagi sesiapa yang mengamalkannya. "

Macamana dengan anda? Jika sedang berperasaan negatif, apa yang anda lakukan untuk tukar ke perasaan lebih baik? Looking forward untuk dengar pendapat anda di komen.

Jaga diri, dan jumpa lagi. 😊

Buah tangan dari Muor

 Alkisah minggu lepas, suami saya kena outstation ke Muor, Johor. Jauhnya dia nak gi jalan. Syok la tu. Pastu kita tak boleh ikut la. Ha laaa... nyampesnya!

Kalau blogger Ujie boleh track abangnya guna app kapal terobang sambil cakap babai, saya idok ler mampu berbuat demikian, cuma air mata dan hidung je mengiringi pemergian suami tercinta, tatkala mengucapkan selamat jalan di pintu pagar rumah. 

"Kalau jumpa pisang salai, bawak balik ye,"itulah pesanan pada encik suami ku, sebelum beliau memulakan perjalanan naiki kereta. Dari Lumut ke Muor, dalam 400 kilometer lebih juga tu. Apa la kursus jauh-jauh ni, tak boleh ke kursus dekat-dekat. Huuu....

Dipendekkan cerita, setelah 3 hari dia pergi, balik la dia. (3 hari ku rasa seperti 3 tahun... oh, lambatnya masa berlalu, penantian satu penyeksaan, sunyinya malamku). Ada rasa menyampah atau nak termuntah ke, korang baca ni? Alaaa... kasi can la, kalau tak manja dengan suami, siapa lagi yang harus ku jadikan tempat bermanja. 😝 

Buah tangan suami bawa balik

Aha! Suami saya bawa balik kerepek gunting, 2 pack pisang salai, lempuk sebatang dan dodol.

Kerepek gunting tu, dah buka dah. Tapi rasanya, kurang sikit la, banding kerepek gunting beli kat Sungai Besar.

Sori, gambar blur pulak.

Dodol berperisa durian. Tapi, tak berapa rasa pun duriannya. Harga RM12.50 tu. Kilangnya di Melaka.

Lempuk

Lempuk ni, kilangnya di Rantau Panjang, Kelantan. Ntah kenapa suami saya beli. Kalau beli kat Bukit Bunga atau pasar Siti Khadijah pun, rasa harga dia tak sampai RM12.90 kot. 

Pisang salai

Haaa... inilah yang saya nanti-nantikan. Lama tak makan pisang salai, dah bertahun-tahun kot. Harga sebekas pisang salai adalah RM10.

Pisang salai adalah pisang cukup masak yang disalai menggunakan kayu api tradisional bagi mendapatkan aroma asap salai. Saya belajar makan pisang salai, masa saya ada roomate orang johor, masa saya belajar di Itm Jengka. 

Alhamdulillah, merasa juga makan. 

Seketul pisang salai

Tapi yang suami saya beli ni, rasa asap dia tak kuat sangat la. Tak berapa lembut pula, pisangnya. Ada lembut, ada kurang lembut. Saiz pun kecil-kecil. 

Ok ler. Dari takde. Merasa juga.

Orait. Selamat sudah. Suka, dapat buah tangan dari Johor. 😊

Jumpa lagi, ye. 

Masak dan makan

 Bukan hari-hari dapur rumah berasap. Kadang rasa malas juga nak masak. Meh tengok menu yang saya sempat ambil gambar minggu ni.

Mi goreng

Mi goreng, guna mi kuning Gardenia. Letak udang, ketulan ayam dan kek ikan. Paling mudah nak masak, kalau malas masak nasi.

Bihun goreng

Bihun goreng ni, sarapan pada hari Selasa, 10 Oktober lepas. Saya dan suami pergi sarapan di Warung Nelayan Kampung Permatang, Seri Manjung. Membukit kan, bihun dia. Kuih pun ambil juga, kelihatan dalam gambar, tinggal satu biji popia sira.

Pada keesokan harinya, 11 Oktober, saya masak sosej gulung seperti Carneyz ada kongsikan di blog beliau di sini.

Roti paratha frozen dan cheese

Bahan-bahan pun ada di rumah. Saya gunakan roti paratha bawang. Memang selalu beli jenis ni, sebab ada rasa wangi bawang tu, banding roti paratha biasa.

Susun dalam air fryer

Saya gunakan 2 keping roti paratha. Mula-mula saya potong sosej yang direbus tu, 3 bahagian. Lepas tu, terlampau besar, tak boleh nak cover. Jadi, 1 sosej, saya potong 4 bahagian. Comel-comel la. Saya tak letak italian herbs, cuma saya sapu atas dengan telur. 

Sosej gulung sudah siap! 😋

Yang tak dapat cover elok tu, cheese dia keluar meleleh. Anak kedua tanya, mama masak apa, bau sedap macam kedai roti ni? Terima kasih kepada Carneyz, yang share resepi yang mudah macam ni. Terbukti sedap. Sebab habis sosej gulung dimakan oleh kedua anak di rumah, tanpa tinggal saya seketul pun. Jadi, haruslah repeat buat lagi lain kali. 

Takpe, sebab saya lepas balik lari, saya sarapan roti gardenia hijau la, apa lagi...

Sandwich hashbrown

Tak payah subway, tak payah Bask Bear, buat di rumah je, sandwich yang sama sedap. Bakar roti, sapu butter. Letak hashbrown goreng, salad dan tomato. Cedap!

Nasi goreng

Nasi goreng ni pula, saya masak pada hari Khamis, 12 Oktober. Biasa kalau kita masak maggi 4 bungkus, saya cuma letak 3 je perencah dalam maggi tu. Jadi, saya selalu simpan perencah maggi extra. Nasi goreng dalam gambar, saya letak perencah maggi. Memang harum bau. Anak sampai datang dapur tanya, mama masak maggi ke? Tak la, nasi goreng. Bau macam maggi kari. Hehe... 

Ok la, itu je gambar makanan dan masakan yang saya sempat ambil minggu ni. 

Jumpa lagi, ye. 😊

Nestle Omega Plus Walk a Million Miles 2023

 Tahun lepas pun saya ada masuk cabaran ni, melalui aplikasi Bookdoc. Untuk baca entri tahun lepas, boleh klik sini.

Tahun ni, saya ketinggalan keretapi. Sudah lama tak buka app Bookdoc, jadi saya terlepas daftar masuk cabaran Nestle ni, di awal bulan. Target langkah adalah 300,000, tapi saya tak sempat lah nak cukupkan, sebab saya daftar lewat.

Cabaran tamat, tak capai target 300,000

Saya daftar juga, walaupun sudah lewat, sebab saya ingat, ia akan ambil kira langkah saya sejak awal bulan. Sebab durasi cabaran adalah 1-30 September. Tetapi malangnya, tak. Cabaran ini cuma kira langkah saya bermula hari saya daftar, iaitu... entah, saya pun tak ingat tarikh. Tapi rasanya, selepas separuh bulan tak silap, dalam 17-18 September, gitu. 

Tapi takpa lah, pengajaran untuk saya. Sekarang sudah tahu app Bookdoc ni macamana. Lain kali nak masuk sesuatu cabaran, sila daftar sebelum tarikh cabaran bermula. 

Macamanapun, sebab melepasi 150,000 langkah, ada juga hadiahnya. Marilah kita tengok, ye.

Bungkusan sampai semalam, hari Selasa, 10 Oktober.

Apa di dalam kotak

Ada jersey limited edition Nestle Omega Plus, voucher untuk belian online, susu Nestle Omega Plus pek 150 gram dan Minuman Bijirin Nestum, pek 8 X 28 gram. Hehehe... Alhamdulillah. Hadiah dia lebih kecil, banding kalau kita cukup langkah, macam tahun lepas, saya dapat pek lebih besar.

E-certificate

Saya ada satu lagi on going challenge di Bookdoc. Nanti sudah settle, saya akan share sini.

Sudah terlanjur lari hampir setiap hari, kan. Itu yang saya daftar event virtual begini, boleh juga dapat hadiah. Tapi, saya pilih yuran yang murah-murah saja. Hehe...

Ok. Jumpa lagi, ye. Majulah sukan untuk diri sendiri. Bila sihat, otak jadi cerdas dan bersemangat untuk lakukan kerja seharian. Berusaha! 😊

Lari, heli dan rojak

 Ahad, 8 Oktober 2023 - Saya pandu kereta ke arah Sitiawan. Rasa macam dah lama tak lari di padang. Sebenarnya, jarak ke beberapa tempat lari dari rumah, lebih kurang saja. Tapi sebab nak ke padang Sitiawan ni, jalannya ada banyak traffik light, itu yang rasa macam jauh. 

Slowjogging 5 kilometer.

Luas saujana mata memandang bila lari di padang ni. Agak ramai juga orang jogging, dan jalan-jalan. Masa saya ambil gambar di atas, waktu baru pusingan pertama, masih awal 7 pagi, kurang nampak orang. Sini, boleh buang angin dengan aman. Hehe.. kalau tempat lain, kena control sikit kalau nak kentut, sebab dekat dengan orang. 

Bila sudah lewat sikit, saya nampak beberapa orang tentera berkumpul. Pakai baju tentera yang celorang-celoreng tu. Bila dekat, ada yang pakai full hitam, ada tulisan Paskal. Ada latihan agaknya dia orang. Lepas tu tak lama kemudian, tibalah beberapa biji helikopter mendarat di padang. Saya share video masa mula helikopter datang.


Dalam video tu, ada sorang ni, tengah jalan tengah padang, rileks je dia. Kalau saya la, tengah jalan di tengah tu, lepas tu, nampak pula helikopter datang dengan laju nak landing, saya akan lari selaju yang mungkin kot, cepat-cepat blah dari tempat dia nak landing. 

Saya baru tahu yang helikopter boleh terbang gostan. Dia boleh reverse, macam kereta. Elok je dia orang parking helikopter, macam parking kereta. Ada 6 biji helikopter. Lepas tu, tak lama, datang lagi 6 biji helikopter, yang bawa bendera. 6 biji parking belah kiri padang, 6 biji belah kanan. Cantik je tersusun. Masa dia nak berlepas, muncung helikopter akan rendah dari badan dia, lepas tu dia meluru laju ke depan. Dan muzik tema cerita Airwolf pun tiba-tiba berkumandang dalam kepala saya. Korang ada tengok cerita Airwolf dulu? Takde? Ada? Kalau ada tengok, makna, korang dah tua dah, sama macam saya. Kikiki.....

Saya ada mesej suami saya awal-awal masa sampai, yang saya riadah di padang dekat ofis dia ni. Lepas dia habis kerja pukul 8 pagi, suami pun datang, ajak sarapan sama. Saya on je. Maka intermitten fasting pun setakat 13 jam saja, tak cukup 16 jam. Hahaha...

Suami ajak makan di kedai Rojak Manjung, dekat saja di kawasan situ.

Menu rojak

Bagi yang tak mahu makan rojak, ada je menu lain yang kedai ni siapkan, iaitu nasi lemak berlauk, bihun goreng, mi kari, dan sebagainya. Bila datang, tokei kedai di muka pintu bagitahu, apa yang ada. Kami pilih meja di luar kedai, bahagian hadapan.

Rojak

Kami pilih set rojak untuk 2 orang makan. Dalam rojak tu, ada telur rebus, kentang, tauhu, kek ikan, tempe celup tepung, timun dan cucur. Dulu dia ada letak paru goreng, tapi rupanya, kalau order yang special baru ada paru goreng sekarang. Kalau tak nak order by set, boleh pilih sendiri di dalam, nak apa dalam rojak. Kuah kacang dia agak pedas. Saya lebih suka kalau cucur dia lebih rangup.

Harga RM14.70, termasuk air ais kosong dan nescafe o panas. Alhamdulillah, kenyang. 

Warisan Rojak Manjung nama kedai.

Lokasi berhampiran pasar awam Sitiawan. Dah lama kedai ni beroperasi, sejak arwah mak saya masih ada. Dulu, lokasinya di Medan Mara. Sebelum tu, di belakang pejabat pos Sitiawan.Sekarang, sudah pindah ke sini. 

Lepas sarapan, balik rumah. Basuh baju. Lepas tu, keluar balik, cari suratkhabar hari Ahad, sambil pusing-pusing makan angin pekan Lumut. 

Bila sampai rumah kembali, saya ber-jump rope sebentar.

Sesi jump rope selama 26 minit

Best kan, hari Ahad.. boleh rileks-rileks, minum kopi, sambil baca paper.. tapi rasa tenteram tu tak lama, bila anak kedua cakap, dia kena pergi sekolah pukul 2 petang, ada kelas. OMG! Hari Ahad pun ada sekolah. Hari-hari pergi sekolah. Cikgu nak habiskan syllabus katanya, subjek Asas Kelestarian (AK). 

Lepas dia balik tu, saya tanya, berapa orang pergi kelas AK tadi? Ada 6 orang yang datang, semua perempuan, dia sorang lelaki. 

Ok la. Sekian cerita hari Ahad. Jumpa lagi, ye. 😊

Turun 2.5 kilo dan menu minggu ini

 Pagi-pagi waktu bangun dari tidur, saya cuba timbang berat. Macam tak percaya. Berat saya 59 kg! Serius, lah! Turun, naik semula. Turun, naik semula. Nak pastikan jarum penimbang di angka yang betul. (mesin timbang manual, you..). Betul la, 59 kg. Oh, I am so happy! Lama sangat, berbulan-bulan saya menunggu berat saya dimulai dengan angka 5. Sembilan bulan saya menunggu, penantian yang sangat lama. Untuk berat saya turun ke angka 5 something. Tapi tiap kali timbang, start dengan angka 6 juga, rasa hampa di hati. Tapi tak kisah sangat. Sebab tahu, padan muka sendiri, sebab tabiat makan yang tak terkawal. Saya memang suka makan, pantang tengok makanan sedap. 😁

BMI saya sudah kembali normal. 

Yay! Alhamdulillah. Sebelum ni, slightly overweight. Dalam usaha beberapa bulan untuk turunkan berat ni, saya belajar mengenal diri sendiri. Saya kira pengambilan kalori saya sehari. Saya tahu, jika saya tak ubah tabiat makan saya, berat saya takkan menurun. Saya kira, kalau saya masih nak makan banyak macam biasa, sehari saya kena lari sekurang-kurangnya 10 km. Tapi, sejujurnya, saya dah malas dan tak larat nak buat 10 km hari-hari, seperti 2 tahun lepas. 

Itulah yang mula intermitten fasting semula. 16 jam.Walaupun kadang tak sampai pun 16 jam. 

Saya masih berlari, cuma setakat cukupkan 10 ribu langkah.

Larian 6 km pada 29 September lepas.

Itu la rekod larian paling baru. Sejak dua menjak ni, saya suka berlari tanpa bawa pouch pinggang. Jadi, saya tak bawa henfon. Jadi, itu yang tak ambil gambar lari tu. Lagi kurang barang bawa masa berlari, lebih bagus.

Dan saya juga kembali berlompat tali, pada minggu ni. Saya tak kira berapa banyak lompatan. Tapi, saya ikut masa. Mula-mula, saya berlompat tali selama 10 minit. Dan saya tingkatkan masa, mengikut keadaan kaki.

Sesi jump rope hari ini, selama 25 minit.

Saya rasa kembali seronok lompat tali ni. Peluh memang mencurah-curah turun, masuk ke mata, sampai pedih-pedih mata. Saya sekadar buat lompatan biasa sahaja (regular bounce) atau orang kita cakap, lompat pocong. Hehe.. kadang saya buat boxer skips, bila kaki nak mula rasa lenguh. Bila dah lama lompat, saya cuba selitkan criss cross. Seronok, tau! 

Dari segi pemakanan, saya dah berhenti minum kopi. Kalau tak, hari-hari saya beli kopi di kedai kopi hipster la, zus coffee la. Sekarang, barang semua dah mahal. Saya fikir-fikir, kalau saya kurangkan beli kopi luar ni, boleh juga berjimat. Bukan saya berhenti sepenuhnya. Saya minum juga nescafe o, yang saya bancuh sendiri di rumah. Jadi, saya boleh kawal berapa gula letak. Gula pun saya tak berhenti terus pengambilannya. Saya masih masukkan gula dalam minuman saya, limit sehari, 5 sudu kecil. Sebab saya dapati, kalau saya minum air masak 2 hari tanpa air manis, saya mula ada rasa gelap mata, kurang gula dalam darah. Sebab saya berlari, kan. Kena ada gula juga, cuma dalam jumlah terkawal. 

Karbo, saya kurangkan juga. Setakat entri ini ditulis, sudah 3 hari saya tak makan nasi. 

Saya makan roti gardenia gandum penuh ni.

Kadang makan dengan telur dadar. Dalam telur dadar tu, saya letak bawang, cili, tomato, atau apa saja la sayur dan sumber protein yang ada dalam peti ais rumah. Kadang kalau malas, saya bakar roti ni, dan sapu mentega kacang. Mula-mula hari pertama, memang ada rasa lapar. Tapi hari ni, sudah rasa ok. Tengok la camana. Ha ah, saya makan roti ni je, untuk sarapan, makan tengahari dan makan malam. 

Hari tu saya pergi supermarket, tengok buah. Satu plastik buah epal, RM11. Saya letak balik. Mahalnya. Makanan sihat memang mahal, kan. Makanan tak sihat atau junk food murah. Huhuhu...

Kalau saya keluar makan dengan suami, order satu je hidangan, kongsi makan. Dia pun jaga makan juga, suami saya lagilah, BMI dia obese. 

Walaupun saya sedang jaga makan, tapi saya tetap memasak macam biasa. Anak-anak kan sedang membesar. Kalau dia orang ikut diet macam saya, macamana nak belajar. Meh tengok apa saya masak sepanjang minggu ni, yang saya ingat untuk ambil gambar.

Nasi goreng

Baki nasi semalam tak habis, buat nasi goreng la, buat sarapan anak-anak pi sekolah. 

Kari ayam

Masak kari ayam guna hampir seekor ayam, boleh tahan 3 hari, buat lauk.

Sayur kacang buncis bersama kubis bunga dan lada benggala.

Suka sayur macam ni. Stir-fry bersama bawang putih dan cili padi hijau, letak sos tiram sikit dan pecah telur sebiji. Tak payah letak garam pun.

Sambal telur rebus

Yang ni, saya masak pagi tadi. 

Alhamdulillah. Diet ni, kalau boleh, tak mahu la sekadar seminggu. Itu yang kena cari makanan yang kita selesa nak makan, buat gaya hidup. Saya boleh makan roti je, tak makan nasi. Tapi suami saya, orang kelantan, nak tak nak, kena ada nasi. Kita makan cara suku-suku separuh la. 

Ok la. Esok dah hari Sabtu. Cepat betul masa berjalan bila kita tengah sibuk. Selamat beristirehat ye, pada pembaca sekalian.

Jumpa lagi. 😊