Menginap di the Verve Hotel

 Selasa, 11 Syawal 1444 Hijrah.

Saya tengok-tengok gambar dalam galeri telefon. Saya ingat, saya nak tepek di sini, sebagai kenangan, hotel yang saya dan keluarga duduk masa datang Kolumpo hari tu.

Plan asal adalah tidur di rumah bapak di Rawang. Tetapi pada hari kami datang, dapur bocor. Tandas bawah pula tersumbat. Sudah baiki kedua-duanya keesokan harinya, Alhamdulillah. Kakak kedua yang sentiasa ada plan back-up, telah pun booking hotel ni awal-awal, sebelum dia terbang dari Kuching lagi. Eleh, sebenornya, tidur hotel supaya senang nak jalan malam. Hehehe.... dan tidak mahu susahkan orang tua. Makcik kena buat rawatan cuci darah setiap hari, guna mesin di rumah. 

Ok, meh kita tengok. 

Nama hotel kami menginap adalah the Verve Hotel.


Lokasi di Ara Damansara. Dekat Subang Airport. Boleh jalan kaki dari stesen LRT Ara Damansara. Dekat juga dengan Citta Mall.

Kakak kedua telah menempah 2 bilik. Yang duduk hotel adalah saya dan family (5 orang) dan kakak kedua. 

Family Suite

Ruang depan menghubungkan bilik utama dan bilik single.

Terletak di tingkat 2. Suite family ini terdiri daripada 2 bilik sebenarnya. Bilik utama ada katil queen dan sebuah katil sofa. Bilik ini bersambung dengan sebuah lagi bilik single standard.


Bila baru masuk bilik, semua benda nak buka tengok. 😁 Itu bilik airnya, yang kakak sulung saya tengah buka tu. Sebelah ada katil saiz queen. Yang suami saya pegang tu, sofa bed. Tiga beranak tidor sini.


Ada meja kerja. Anak sulung suka la, dia bawa laptop, wifi hotel pula laju. Power plug pun banyak.


Anak bongsu tidur di bilik single ni. 


Ini bilik air untuk bilik single ni. Cermin tidak dikelabukan. Jadi bila anak nak guna, kena kunci pintu bilik. Bilik standard single ni kecil je. Tapi orait la, sorang je yang duduk.

Deluxe Queen X

Saya dan kakak kedua punya bilik di tingkat 1. Ada sebuah katil queen dan bilik air dan tingkap. 

Ha ah, hotel ini terletak di rumah kedai, jadi ada bilik, tiada tingkap. Kakak kedua kata, sebab dia dah pernah menginap sini, pertama kali rejeki dapat bilik ada tingkap. 


Saya kurang suka bilik air cermin kelabu tu. Sebab boleh nampak bayang-bayang. Jadi bila ada orang dalam, kena tengok arah lain. Tengok tv ke, tengok henfon ke.. camana nak terangkan ye? Tak boleh nampak sebenarnya, tapi boleh nampak bayang-bayang. Hehe... tapi sebab share dengan kakak, ok ler. Suami isteri pun, lantak ler. Kalau kawan-kawan, malu juga la, kan.


Juga ada disediakan meja kerja. 

Alhamdulillah. Dapat rehat dan tidur dengan selesa. Saya dengan kakak kedua sembang sampai lewat malam. Lama tak jumpa. Lepas tu, dengor kroh... kroh... ler.. aku cakap sorang rupanya. 

Bilik air bersih. Dalam bilik, tak ada cerek elektrik. Tapi di setiap tingkat, ada disediakan penapis air, ada air panas dan sejuk.


Di ground floor, ada disediakan mesin kopi, microwave dan peti ais. Tekan je la, nak air apa, ye. Biskut pun ada. Sila layan diri. 

Layanan pun sangat mesra. Minta bantal extra boleh. Minta seterika pun dia kasi. 

Harga bilik termasuk sarapan sekali. Kerjasama Hotel Verve ini dengan the Vanilla Place Cafe. Cafe terletak berhadapan dengan hotel. Seawal pukul 7 pagi, kami sudah turun sarapan hari tu, sebab nak elak jem, pergi zoo. Makanan sedap. Tak ingat nak ambil gambar pun, sebab masing-masing makan dengan lajunya. Nasi lemak ada, sarapan western pun ada, seperti sandwiches, omelette, roti bakar dan sebagainya.

Baiklah. Butiran tentang hotel ini adalah seperti di bawah.


The Verve Hotel @ Ara Damansara

D3A-2, Dana 1 Commercial Center

Jalan PJU 1A/46

47301 Petaling Jaya, Selangor.

Koordinat GPS: 3.11083, 101.58417

Telefon: 603-7842 8820

Whatsapp: 011 1078 4220

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 😊

Saya takut, tapi...

 Isnin, 10 Syawal 1444 Hijrah.

Selamat Hari Pekerja, dan selamat bercuti kepada pembaca sekalian.... 😊

Saya keluar lari awal pagi tadi. Best, sebab tak banyak kenderaan di jalanraya. 

Tapi, kan... masa saya tengah lari, hampir nak kena kejar dengan anjing. Ada 4 ekor! Saya biasa lari ke hujung jalan bila sudah agak lewat. Hari ni, saya boleh lari ke hujung dulu awal-awal. Saya nampak ada anjing sedang lepak tepi pantai. Lepas tu, siap salak-salak kat saya. Marah la tu, sebab masuk kawasan dia orang. Tapi bukan pergi dekat tempat lepak deme pun. Salah sekor, siap datang dekat saya, kurang 2 meter lagi, saya pun tunduk, ambik pasir di kaki dan lempar kat anjing tu. Batu takde, encik! Nasib dia lari. Saya siap jerkah lagi, shhooh shooh dia orang, dengan suara yang kuat. Lari pun, satu group. Saya teruskan larian saya sampai ke hujung jalan. Bila saya toleh, anjing tu boleh pergi ke tempat saya berdiri tadi masa ambil pasir nak baling kat deme tu, dia cium-cium kawasan tu. Ada 2 orang mat saleh sedang jalan laju lalu situ. Keempat-empat ekor anjing tu pun macam beralih minat kat omputih tu pulak. Lalu hilang di balik semak. Peh, lega.. tapi masih ada sekor dok tunggu situ. Saya siap ambil batu masa di hujung jalan tu. Saya pun baling la, apa lagi... Lari dia... dan saya pun mengorak langkah seribu...

Peh... nasib selamat. Tak mau dah la ikut sampai hujung jalan pagi-pagi. Saya stay lari di kawasan Esplanade sahaja lain kali. Lebih selamat. Huu.. kacau daun betul. Terus heart rate naik, masuk zone merah. Huuu...

Lepas 1-2 kilometer, saya sudah rasa ok. Kadang tu, sakit hati juga bila ada gangguan anjing macam tadi. Huu... kuang ajor punya anjing... maafkan saya. Tapi takpe, rileks, rileks... kita kena berani. Bak kata seorang pendaki pada saya dulu, dia kata, jangan takut dengan binatang yang lebih kecil dari kita. Kita kan lebih tinggi. Tunjukkan yang kita ni tuan. Ujian seorang runner. 


Paneh bebenor, wei... lebih 8 kilometer, saya pun balik ler. Dah terlaju hari ni, pace 9. Biasanya, saya pace 10 saja. Alhamdulillah... rasa lebih happy bila dapat berlari. 


Habis dah... ini yang penghabisan, kek lapis Sarawak. Entah bila dapat rasa lagi. Kakak kedua bagi hari tu, masa jumpa beraya. Yang ni, rasa masam manis. Sedap juga. 😋 

Petang ni, nak kena hantar anak sulung ke hentian bas, dia dah nak balik Dungun. Cepat benor masa. Raya haji pulak kot, jumpa. Tak tahu lagi cuti bila. 

Baiklah. Jumpa lagi, ye... 😊