Resepi Singgang Ikan Tongkol

 Semalam, saya pergi pasar, beli ikan. Hari ni, saya masak singgang ikan tongkol.

Singgang ikan aye (tongkol)

Masak singgang ni, memang sedap, dimakan dengan nasi panas-panas. Lepas tu, ada budu pulak.

Budu letak bawang dan cili, perah limau kasturi.

Tomato dan timun

Bila makan budu, saya suka kalau ada kacang panjang. Tapi sebab dalam peti ais ada sayur yang telah dipotong separuh, kita gunakan yang itu dulu la.

Telur dadar

Alhamdulillah. 😋

Saya sertakan resepi singgang ikan tongkol, ya.

Resepi Singgang Ikan Tongkol

Bahan-bahan:

Ikan tongkol seekor. Potong dan cuci bersih.

7 ulas bawang merah (dihiris)

4 ulas bawang putih (dihiris)

1 setengah inci halia (dihiris)

2 inci lengkuas (dihiris)

8 biji cili padi

Optional: 4 tangkai cili kering (rendam dulu air panas). Saya tak letak, terpulang pada anda ye, nak letak cili kering ke tak.

6 keping asam keping

1 sudu makan ketumbar - ditumbuk kasar. Saya takde pulak biji ketumbar. Saya guna serbuk ketumbar, lebih kurang setengah sudu makan

Garam dan cukup rasa

Cara Membuat:

1) Satukan semua bahan hiris, ketumbar dan ikan di dalam periuk.


Senang, kan. Tak guna minyak, tak perlu tumis. Lebur semua sekali atas api.

2) Campurkan air secukupnya. Masak hingga ikan empuk.

3) Masukkan garam, cukup rasa, asam keping, cili padi dan cili kering. Didihkan. 

Masa ni belum masak lagi. Saya biar api perlahan dan masak lama, supaya ikan lembut.

Siap. Gambar lauk singgang yang sudah siap, gambar pertama di atas, ye.

Ceduk ikan seketul dalam pinggan nasi. Eh, cara nak makan pun, nak cakap ke? Hehe... cubit isi ikan, pastu tenyeh-tenyeh isi ikan itu dengan cili dalam budu. Ambil nasi sikit, suap masuk mulut. Haaa.... hehehe.... ish ish ish.. memang ke laut dalam la, diet suku suku separuh, dia jadi diet dua pinggan tambah. 😂

Selamat mencuba. Happy weekend. 😊

Aktiviti makan-makan

 It's the time of the month, di mana saya share gambar makan, makan dan makan. 😁😋 Mana tahu, kot ada antara pembaca yang mencari tempat makan di Perak. Boleh la ada idea mana nak pergi menjamu selera. Mari kita tengok...

Puri

Makan puri di Restoran Biriyani Manjung, cawangan Kampung Acheh. Dekat persimpangan Pelabuhan Lumut. Kedai mamak ni. Sarapan di pagi yang hujan, makan puri bersama chutney kentang sangatlah sedap, lebih-lebih lagi ada segelas kopi panas. Aummm! 

Tarikh pergi makan: 19 November 2023.

Udang celup tepung, bihun goreng dan telur dadar

Makan malam di Restoran Lumut Ikan Bakar. Selama tinggal di Lumut ni, inilah tempat paling sedap kalau nak makan udang celup tepung. Boleh pilih udang sendiri. Dalam gambar di atas, suami saya pilih udang harimau. Udang yang segar, rangup dan sangat sedap dimakan sambil cicah sos yang disediakan. Bihun goreng dia portion besar, saya dan suami kongsi makan. Telur dadar tu, suami suka, mesti ada. Harga untuk tiga hidangan di atas, termasuk air minuman adalah RM49. 

Tarikh pergi makan: 23 November 2023

Restoran ini terletak di tepi jalan utama dari Manjung ke Lumut. Selalu ramai orang. Buka pukul 6 petang.

Bihun goreng separuh, kuetiau goreng separuh, dan telur mata.

Yang ni, ulang makan di Restoran Biriyani di atas. Mamak ni, selain menu seperti roti canai, tosei, puri, dan lain-lain roti tu, serta makanan panas, ada disediakan makanan telah siap, seperti saya ambil di atas. Layan diri, ambil sendiri. Sebab tu la, ramai yang bekerja di pelabuhan Lumut, akan singgah sini, bungkus makan dulu, on the way pergi kerja. Ada bihun, kuetiau, mi dan nasi goreng. Juga ayam goreng, ayam masala dan banyak lagi. Orang yang nak cepat, tak perlu tunggu lama, sebab makanan dah ada.

Tarikh pergi makan: 24 November 2023

Seterusnya, sarapan capati di Capati Kari Kambing Bota. 

Capati kari kambing

Saya seperti biasa, pesan kari kambing. Suami pesan kuah sardin. Dua keping sorang, ye. Sedap, tak tau camana nak habaq! 😋👍👍 Nikmat sungguh. Alhamdulillah. 

Cuma satu je kedai ni boleh perbaiki, sistem bayaran dia tu. Bila orang ramai, beratur nak bayar tu, kawasan tu sempit. Situ la orang kedai nak lalu nak hantar capati, situ la orang kedai lalu nak hantar air. Orang nak bungkus pun situ juga. 

Tarikh pergi makan: 27 November 2023

Bihun ladna

Saya jarang pesan bihun ladna ni. Makan di Restoran Sri Bangtawa Seafood. Kalau nak makan kedai tomyam, memang sinilah saya dan suami tuju. Cepat siap. Makanan pun sedap. Kedai terletak di jalan utama nak ke pekan Lumut. 

Tarikh pergi makan: 28 November 2023

Mi rebus

Sedap mi rebus dia. Yang ini, saya makan di Warung Nelayan Kampung Permatang, Seri Manjung. Kedai ni buka pagi, tutup tengahari. Port sarapan la. 

Tarikh pergi makan: 29 November 2023

Mi goreng separuh, kuetiau goreng separuh, atas letak ayam pedas

Eh, ayam pedas ke, ayam masak apa entah. Ni bukan makan. Tapi mentekederah, atau mencekik atau melantak. 😁 Saya ambil sikit. Tapi suami kata, nanti dia kira 1 pinggan juga, walaupun kita ambil makanan suku pinggan. Baiklah. Itu yang saya tambah. Tak habis makan, suami habiskan. Yang ni, makan di kedai mamak Biriyani lagi, seperti di atas.

Tarikh pergi makan: 30 November 2023

Ok. Sekian dulu la, aktiviti makan-makan buat masa ini. Makan je. Rezeki jangan ditolak. Lepas tu, kita bakar balik dengan bersenam. Lari untuk makan. Hihihihi...

Jumpa lagi, ye. 😊