Showing posts with label Makan apa. Show all posts
Showing posts with label Makan apa. Show all posts

Cerita 23 Januari

Nikmat makan sedap. Syukur Alhamdulillah, atas rezeki Tuhan bagi. 

Pulut kuning dan rendang ayam

Pulut kuning bersama rendang ayam ini, saya beli buat sarapan pada 23 Januari 2024 yang lepas. Harga RM5. Di Bukit Permata, ada satu tempat jual sarapan yang ada pelbagai lauk dan makanan siap bungkus. Sebab dah lama tak makan pulut kuning, saya beli lah, nak merasa. Bila makan pulut kuning, saya akan rasa macam hari raya. Sebab bila malam raya, arwah emak akan rendam pulut dengan serbuk kunyit dalam periuk kukus. Sebelum arwah Mama pergi, Ma sempat ajar saya masak pulut. Lepas Ma dah takde, saya ada buat sekali sahaja pulut kuning. Lepas tu, saya tak buat dah. Sebab yang makan cuma saya adik-beradik. Suami dan anak-anak saya kurang minat makan pulut kuning. 


Pada malam hari yang sama, tiba-tiba blackout. Saya ingat ke, rumah saya je tak ada elektrik. Rupanya, satu lorong bergelap. Saya baru je terlelap di sofa, lepas maghrib, biasanya akan tengok tv, tapi end-up tv yang tengok saya. Cari lilin yang sudah berhabuk di almari belakang. Pasang banyak-banyak. Sebab suami tak ada, dia kerja shif malam. Saya dengan anak-anak je. Siapa dulu masa kecik-kecik, suka main bayang-bayang guna cahaya lilin? Hehe... lepas tu, main mancis. Tiup lilin, pasang semula lilin. Main dengan air lilin yang panas tu. Tak lama pun malam tu. Tak sampai satu jam, sudah ada elektrik semula. Lega. Nasib baik malam tu, cuaca tak berapa panas.

Sebelum saya akhiri entri ni, saya nak share penghibur saya di rumah. Siapa lagi, anak bulu ler.. 


Video Oyen main dengan selipar. 

Saya ingat, saya cuti sekejap dari blog, boleh tak? Saya ada kerja offline yang saya nak siapkan. Projek rumah hijau. Kalau mampu, saya nak declutter beberapa benda di belakang rumah. Saya sudah pun siapkan lebih kurang 50 peratus. Tapi biasalah, rumah peninggalan orang tua, banyak harta karun. Saya fikir sebelum start bulan puasa lah, saya boleh buat. Saya bercucuk tanam belakang rumah saja. Sebelum ni, saya pernah tanam sayur di luar rumah, tapi ada ancaman dari kera liar dan anak bulu sendiri, yang galak dengan pokok saya, sampai tumbang-tumbang. Itulah yang saya rancang untuk bercucuk tanam di dalam rumah saja. Hehe. Kalau saya ada masa free, saya update blog, ya. Lepas tu, ada nak buat kajian sikit, perlu buat research mendalam tentang projek masa depan. 

Harap anda yang sedang baca ni, berada dalam keadaan ceria-ceria dan sihat sentiasa. 

Jumpa lagi, Insya-Allah. 😊

Apam beras

Updated on 5 Februari 2024, update gambar sekeping yang diambil semasa pergi Pasar Pagi Bota, baru-baru ini. 

20 Januari 2024 - Pergi Pasar Pagi Bota Kanan, bersama suami. Saya pernah cerita pasal pasar Bota ni dulu, di entri ini. Ada satu gerai jual apam beras ni, selalu ramai orang beli. Sampai beratur panjang. Kami tak pernah cuba. 

Ramai beratur di gerai apam beras.

Kebetulan masa kami lalu, tak ramai la pulak sedang beratur. Suami pun menyelit, dan beli 2 biji apam beras. Sorang satu, tak mau share. Hehe..

Kuih tradisi negeri Perak, iaitu apam beras versi orang Lambor Kanan, katanya.

Balik rumah, kami pun cuba. 


Macam ni la kami. Meja makan ada. Tapi lebih suka bawa makanan, duduk bersila depan tv. 😁

Kuih apam ini di bahagian bawahnya, ada daun pisang. Diberi sekali dengan 1 paket kecil kelapa parut. 

Idok ler teman tahu, apakah bezanya antara apam beras ini berbanding kuih apam gebu biasa yang comel-comel berwarna-warni yang dijual tu. Mungkin lain dari segi resepinya.


Lembut. Sedap cicah dengan kelapa parut tu. Patut ramai orang beli. Rasanya lebih kurang macam kuih apam biasa. Yang buat lain adalah, bawahnya ada daun pisang. 

Besor juga saiz dia. Satu apam beras, harga RM1.50. Saiz dia sebesar kuih bakar pandan bentuk bunga tu.

Alhamdulillah. Dapat merasa. 

Orait. Jumpa lagi, ye. 😊

Riadah dan sarapan di Kluang Road Cafe

 Khamis, 18 Januari 2024 - Selepas hantar anak-anak ke sekolah, saya dan suami berlarian sebentar di Esplanade Lumut. Takdelah berlari sangat. Slowjogging pace siput sahaja. 🙈


Aman tenteram rasa di hati, dapat menghirup udara segar dan melihat matahari naik di ufuk timur.

Di rumah ada roti gardenia yang sudah sampai tarikh luput. Saya potong kecil-kecil, letak dalam plastik roti, dan bawa sekali pergi jogging. Nak bagi makan burung merpati.


Sekali je bagi, terus dikerumuni burung-burung, dan sekelip mata, roti pun habis. 😁

Hampir sejam kami jogging, kami pun pergi makan di Kluang Road Cafe, Seri Manjung.

Cafe ni sudah berpindah lokasi. Dulu, letaknya di depan padang orang jual lemang semasa hari raya, tapi sekarang sudah beralih ke sebelah Restoran Walid dan Ummi. Saya rasa, mereka satu keluarga. Sebab walaupun makan di Kluang Road Cafe, buat bayaran di restoran sebelahnya.

Lokasi baru ni, tempatnya sudah berhawa dingin. Sebelum ni di lokasi lama, restoran terbuka, tiada aircond. Jom tengok kami makan apa.


Saya suka pesan laksa johor bila makan di Kluang Road Cafe ni. Sebab nak buat sendiri, memang tak lah, pemalas punya orang. Laksanya ada di bawah kuahnya yang pekat itu. Sebelum makan, gaul semua sekali, dan perah asam limau. Sambal tu pula, saya campur sikit-sikit bila nak suap. 

Air pula, saya pesan white coffee panas. Sudah dihidangkan dalam cawan kopi klasik. Sebelum ni, kopi dalam mug, jadi dapat lebih. Ini, dalam cawan klasik, jadi kecil. Macam tak puas minum pula. Hehe... tapi waktu itu, lah, ye. 

Waktu entri ini ditulis, saya sudah berhenti minum air manis selama 4 hari. Yang ini, lain kali saya cerita ya, apa kesan yang badan saya alami setelah berhenti minuman manis. Tunggu.... 😊


Close-up menu gambar laksa johor. Harga RM9. Pada pendapat saya, laksa johor dia terbaik lah! 😋


Ini pula, hidangan suami saya pesan, iaitu kacang pool. Roti bakar dia tebal. Colek dalam kacang pool tu, memang sedap! 😋 

Memang puas hati makan di cafe Kluang Road ni. Alhamdulillah. 

Itulah cerita pada 18 Januari yang lalu. Bermula 23 Januari, saya sudah mula intermittent fasting semula. Tak boleh dah sarapan di kedai, sebab saya boleh makan agak lewat, hampir pukul 11 pagi macam tu. Huhu...

Ok lah. Jumpa lagi, ye. 😊

Ayam goreng seekor

 Kat rumah saya ni, ada anak yang sangat suka makan protein sahaja. Sumber protein adalah ayam dan ikan, tak kira masak apa pun. Nasi, dia kurang makan. Kadang-kadang saja. Bak kata cerita Badul dulu-dulu, "Eh, makan lauk je. Nasi-nasi takde?" 😁 Ate, orang jaga body, katakan.

Dekat Lumut, ada satu kedai jual ayam. Kebiasaannya, ayam goreng, dijual seketul-seketul. Tapi di kedai ni, dia jual seekor, gitu. Tak pernah jumpa. 

Kredit foto: Ayam goreng Mak Ani

Besar ayam dia. Harga ayam goreng seekor, adalah RM18.

Kulit ayam garing. Dalamnya, isi ayam lembut, dan masak dengan elok.

Kredit gambar: Ayam goreng Mak Ani.

Ini lah kedainya. Ayam goreng Mak Ani. Kadang bila saya kurang rajin nak masak, kirim kat suami, time dia nak balik kerja, beli ayam goreng di sini saja. Yang harga RM1.50 tu, yang seketul-seketul. 

Selain ayam goreng, kedai ni juga ada jual makanan yang cucuk-cucuk tu, seperti dalam gambar di bawah...

Kredit foto: Ayam Goreng Mak Ani

Ada sekali, suami saya beli sekali lemper. Rupa dia macam pulut panggang. Tapi yang bezanya, dalam pulut tu, intinya ayam. Tak ingat pula nak ambil gambar lemper. 


Inilah ayam goreng seekor yang dibeli. Bila balik, saya biasanya ambil chopper, dan potong ayam kepada 4 bahagian. Ok sesangat. Alhamdulillah.

Lokasi kedai ini adalah depan kedai Eco, Jalan Padang Tembak, Lumut. Jalan yang nak pergi ke Teluk Batik, tu. Ada 2 pulak kedai Eco situ, satu, Eco harga RM2.40. Satu lagi kedai Eco, harga RM2.30. Huh.. macam-macam. 

Kedai ini dibuka bermula pukul 11 pagi, sehinggalah habis jualannya. Hari Sabtu dan Ahad, kedai tutup.

Kalau datang ke Lumut, Perak, singgahlah ya. 

Saya tak terima apa-apa komisen pun. Sekadar berkongsi je. Sebab saya pun, tak reti nak goreng ayam yang seekor, tidak dipotong sebegitu. Kena ada skill juga kan, sebab boleh jadi tak masak, ada bahagian berdarah. Atau boleh jadi overcooked. Setakat saya pernah beli 2-3 kali ni, Alhamdulillah, ayam rasa sedap dan tidak kering.

Ok, jumpa lagi, ye. 😊

Lari di UTP, mee tikus dan nasi kandar

Bulan Januari 2024 sahaja, sudah 3 kali saya berlarian di Taman Tasik UTP (Universiti Teknologi Petronas). Biasanya, saya dan suami datang sini apabila suami off kerja. Jadi, kami dapat pergi lokasi jauh sikit dari rumah. Di samping itu, dapat juga jalan-jalan cari makan. 2 dalam 1. Perjalanan ke UTP dari rumah, mengambil masa lebih kurang 40 hingga 50 minit, bergantung pada keadaan trafik. 

Larian 1 Januari, 10.3 kilometer.

Larian 11 Januari, 7.11 kilometer.

Dan semalam pun, saya dan suami ke UTP lagi. Cuma semalam saya tak lari. Rasa malas sangat, jadi saya jalan-jalan saja.

Jalan-jalan 17 Januari, 4.56 kilometer.

Alhamdulillah, atas nikmat sihat yang Allah kurniakan. Bila berjalan, boleh tengok banyak benda, berbanding bila berlari, tak berapa ambil perhatian sangat dengan benda sekeliling kita.

Ada replika dinasour.

Di Taman Tasik UTP ini, bertempatnya Geological Rock Garden, yang merupakan taman geologi terbesar di Malaysia. Baru saja dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, lebih kurang seminggu yang lalu.


Semasa kami pergi semalam, cuaca baik, tak berapa panas sangat. Ada tanda-tanda nak hujan.


Sesuai datang sini, waktu pagi atau petang. Bersiar-siar atau berjogging. Bawa seisi keluarga. Satu pusingan yang paling luar, boleh dapat 2 kilometer.


Ralit perhatikan air tasik. Burung-burung bangau pun banyak berterbangan, lebih-lebih lagi bila mesin pemotong rumput baru melepasi sesuatu kawasan tu, mungkin senang dapat cacing di tanah, bila rumput baru dipotong. Burung lain pun banyak di sini. Jadi, memang rasa tenang untuk layan perasaan dan menghirup udara segar waktu pagi.

Bila cuaca mula panas, kami pun beredar. Tak sampai 5 kilometer pun berjalan. Jadilah, keluar peluh, dari duduk rumah depan tv. 

Kami pergi Batu Gajah, sarapan di sana. Nak cuba tempat baru.

Pernah dengar orang makan mee tikus di Ipoh. Tapi, saya baru tahu, di Batu Gajah, Perak, pun ada gerai menyajikan mee tikus juga. Marilah kita cuba. Saya tak tahu mana mee ni dapat nama mee tikus. 😁

Nama kedai adalah RM Corner. Saya secara kebetulan terjumpa orang cakap tentang kedai ni, di group JJCM@Perak di facebook.


RM Corner tu, singkatan dari Ramli Misha Corner. Bagi yang tak biasa, mungkin berpendapat yang kedai ni, macam kedai makan cina. Sebenarnya, isterinya mualaf. Jadi, makanan di gerai adalah halal.

Lagi keratan akhbar mengenai RM Corner

Saya pula tak pernah makan mee tikus, walaupun selalu ternampak video mee tikus stesen bas medan kid yang viral di Ipoh. Kat Batu Gajah pun ada, jadi, marilah kita cuba, ya.

Mee tikus goreng
 
Sebab pertama kali makan, saya cerita sikit tentang mee tikus yang saya dapat info melalui carian google ya. Mee ini adalah masakan cina yang berasal dari Taiwan, Loh si fan. Loh si dalam bahasa cina bermaksud tikus. Fan pula bermaksud mee. Makna sebenarnya adalah laksa pendek, tapi orang lebih kenal mee ini sebagai mee tikus. 

Masa saya tengah tunggu pesanan sampai, ada bau wangi macam orang goreng kuetiau, dan ada rasa hangit, macam dimasak guna api besar. Saya suka, saya suka, sebab ada bau hangit. Hehe...

Sudah makan. Memang sedap. 😋 

Suami pesan bihun goreng. Tapi saya lupa ambil gambar, bihun goreng tu. Sebab tengah syok makan mee saya.

Lain kali boleh datang lagi. Yeh!

Nama kedai: RM Corner

Alamat: No. 2, Plaza Batu Gajah.

Masa operasi: 8 pagi hingga 1 petang.

Lepas kenyang makan, kami tak terus balik, pergi Kampar la pulak, nak bungkus nasi kandar beratur 786. 😁 Hahaha... tak masak semalam. Yay!

Suami saya pesan 2 nasi  kandar ayam goreng, 2 nasi kandar ayam bawang. Lauk letak asing ye, mamak.

Ayam dia besor!

Selamat makan tengahari, nasi kandaq. Sayur kobis jangan dilupa. Juga, telur masin. Surrrr...... 😋

Lepas tu, banyak kerja rumah kena siapkan. Lipat kain, menjahit baju anak yang koyak. Orang baiki aircond pun datang semalam. Ada 2 aircond rumah rosak. 

Jahit baju koyak

Tak beli baru. Kita jahit je. Dia pun lagi 2 bulan, nak habis sekolah. Baju inner, pakai dalam baju sekolah.

Ingat kan, petang lepas Asar, free la, untuk update blog. Tak sempat juga. Saya keluar sampai nak maghrib, baru balik rumah. Cari barang anak-anak sekolah. Gitulah ceritanya. Apa nak buat. Hari yang sibuk. Hehe..

Orait. Jumpa lagi, ye. 😊

Masak dan makan apa tu?

Sekarang ni, mahal harga barang. Pernah kirim pada suami beli ayam seekor, RM21 harga. Ayoyo. Kena pandai cari tempat la, mana yang ada tawaran murah. Contoh macam beli ayam di Lotus, seekor harga RM10.50. Saiz tak berapa besor la, ye. Orait aaa... 

Saya hari tu pergi pasar, beli ikan keli segar yang masih hidup. Sekilo, RM9. Dulu, masa saya mula beli ikan keli, harga sekilo RM5 je. Memang murah. Sekilo, dapat lah 7-8 ekor. Kalau besar, boleh la 5-6 ekor. 

Daging batang pinang, RM22 setengah kilo. Sekadar nak merasa. 

Belum lagi cerita pasal ikan, udang, sotong. Memang dah lama tak beli. Last sekali, saya beli ikan kembung, 5 ekor, RM20. 


Saya buat masak taucu. Goreng dulu ikannya. Taucunya tak berapa banyak, letak sikit je. 

Sayur pula, beli carrot, kobis bunga, lada benggala hijau, brokoli dan cendawan tiram.


Buat masak sayur campur, pecah telur.

Ada hari, tak mahu makan nasi. Kita goreng spagetti pula.


Masak letak cili kering yang dikisar. Letak bebola ikan dan daging burger. Masa ni la, apa stok bahan mentah ada dalam freezer, boleh digunakan. 

Kadang malas masak, pekena juga mee goreng mamak kat luar.


Tapi ni bukan mee goreng mamak di restoran mamak tu. Yang ini, makan di kedai mee pakcik tepi padang Astaka, Sitiawan. Sedap! 

Saya lupa nak cerita kan, yang anak sulung ada balik masa cuti sekolah 2 minggu hari tu. Bila anak balik, petang-petang buat minum petang.


Saya buat kundas. Saya ada kongsikan resepi kundas ni dulu, di entri ini.

Anak bongsu suka makan ikan keli.


Jadi, saya masak keli berlada.

Sekarang saya dah berhenti beli makanan proses yang disejuk beku, seperti nugget, ayam goreng, kentang, jejari ayam, dan sebagainya. Gantinya, masak telur sahaja. Telur goreng atau telur rebus. Buat sandwich, guna gardenia wrap atau roti hijau gandum penuh tu. Azam baru. Memang sedap makanan frozen tu, tapi agak mahal dah sekarang. Salah satu langkah berjimat. 

Korang hari ni makan apa? 😊

Selamat tinggal, kopi

 Ada satu benda yang dah lama saya cuba nak berhenti. Tapi, tak berjaya. Paling lama, 3 hari je bertahan. Lepas tu, saya kembali mencari. Kopi. 

Kenapa saya nak berhenti minum kopi? Sebab kopi ni, buat saya buang air kecil kerap. Saya pulak keluar peluh yang banyak bila berlari. Jadi, nak pastikan kekal terhidrat tu, sedikit susah bagi saya. 

Saya tahu, badan saya kurang air, bila ada jerawat naik di muka. Dan bila rasa kulit muka, rasa kering. Juga pernah terjadi sebab keluar satu hari, minum kopi je, tak sempat minum air masak yang cukup, saya kena vertigo. Pening. Pusing.

Jika air dalam badan cukup, tak perlu makan sayur pun. Bila bangun pagi, boleh buang air besar dengan lancar. 

Setiap hari, saya bangun pagi, saya cakap pada diri saya sendiri. Ya. Inilah harinya. Saya akan tinggalkan kopi. 

Tapi saya tak kuat.

Costa Coffee

Di sini saya berdiri, di depan mesin kopi, dalam stesen minyak Shell. Beli kopi. Dan saya suka tengok mesin kopi ni berfungsi. Kita tekan apa kopi kita nak, dia tolong buatkan. Terer betul siapa yang cipta mesin ni. 

Selepas pekena kopi, segar rasanya. Happy je. Senyum sampai ke telinga. 

Dulu, ya. Satu hari, saya boleh minum sampai 3 cawan kopi. Sudah 2 hari, saya berjaya minum secawan sahaja. Saya tak pernah beli kopi sejuk atau frappe. Saya beli kopi panas je.  

Hazelnut coffee panas dengan scones.

Best pekena kopi yang dibeli di 989 Kopi, Lumut. Kopi dia tak manis. Antara kopi tersedap saya pernah rasa. Sini juga, ada banyak pencuci mulut boleh dibeli. Dalam gambar, saya beli scones. Setiap kali makan scones, rasa macam berada di Cameron Highlands. Bawah whipped cream tu, ada strawberry jem. Disertakan juga butter kecil. Auuummmm.... tak boleh nak cakap. 😋😍 Selain scones, dia punya chocolate brownies pun sedap. Kita boleh rasa yang dia buat guna bahan-bahan premium. Tak kedekut. Saya pernah beli 2 ketul, bawa balik nak makan di rumah. Tapi tiba-tiba hilang, ada budak sudah makan dulu. 

Hazelnut coffee panas bersama shawarma daging.

Kopi bersama shawarma di atas, saya makan di RTC Gopeng. Lepas beli barang di Mydin, lepak di foodcourt. Macam-macam makanan ada di situ. Nasi kandar pun ada. Pergi pula hari bekerja, jadi tak ramai orang. Beli kopi di KopieSatu. 

Hazelnut latte panas Gigi Coffee

Yang di atas pula, semasa pergi Aeon Taiping. Suami kalau beli kopi, suka pesan Americano tanpa gula. Tapi dia amik juga brown sugar. Saya suka hazelnut coffee. Tengah hujan lebat pula. Sejuk-sejuk pekena kopi, memang nikmat.

Hari ini, saya nekad. Kena bulat. Kena kuat! 💪💪 100 peratus. Saya tak mahu minum kopi lagi. Babai.

Aktiviti makan-makan

 It's the time of the month, di mana saya share gambar makan, makan dan makan. 😁😋 Mana tahu, kot ada antara pembaca yang mencari tempat makan di Perak. Boleh la ada idea mana nak pergi menjamu selera. Mari kita tengok...

Puri

Makan puri di Restoran Biriyani Manjung, cawangan Kampung Acheh. Dekat persimpangan Pelabuhan Lumut. Kedai mamak ni. Sarapan di pagi yang hujan, makan puri bersama chutney kentang sangatlah sedap, lebih-lebih lagi ada segelas kopi panas. Aummm! 

Tarikh pergi makan: 19 November 2023.

Udang celup tepung, bihun goreng dan telur dadar

Makan malam di Restoran Lumut Ikan Bakar. Selama tinggal di Lumut ni, inilah tempat paling sedap kalau nak makan udang celup tepung. Boleh pilih udang sendiri. Dalam gambar di atas, suami saya pilih udang harimau. Udang yang segar, rangup dan sangat sedap dimakan sambil cicah sos yang disediakan. Bihun goreng dia portion besar, saya dan suami kongsi makan. Telur dadar tu, suami suka, mesti ada. Harga untuk tiga hidangan di atas, termasuk air minuman adalah RM49. 

Tarikh pergi makan: 23 November 2023

Restoran ini terletak di tepi jalan utama dari Manjung ke Lumut. Selalu ramai orang. Buka pukul 6 petang.

Bihun goreng separuh, kuetiau goreng separuh, dan telur mata.

Yang ni, ulang makan di Restoran Biriyani di atas. Mamak ni, selain menu seperti roti canai, tosei, puri, dan lain-lain roti tu, serta makanan panas, ada disediakan makanan telah siap, seperti saya ambil di atas. Layan diri, ambil sendiri. Sebab tu la, ramai yang bekerja di pelabuhan Lumut, akan singgah sini, bungkus makan dulu, on the way pergi kerja. Ada bihun, kuetiau, mi dan nasi goreng. Juga ayam goreng, ayam masala dan banyak lagi. Orang yang nak cepat, tak perlu tunggu lama, sebab makanan dah ada.

Tarikh pergi makan: 24 November 2023

Seterusnya, sarapan capati di Capati Kari Kambing Bota. 

Capati kari kambing

Saya seperti biasa, pesan kari kambing. Suami pesan kuah sardin. Dua keping sorang, ye. Sedap, tak tau camana nak habaq! 😋👍👍 Nikmat sungguh. Alhamdulillah. 

Cuma satu je kedai ni boleh perbaiki, sistem bayaran dia tu. Bila orang ramai, beratur nak bayar tu, kawasan tu sempit. Situ la orang kedai nak lalu nak hantar capati, situ la orang kedai lalu nak hantar air. Orang nak bungkus pun situ juga. 

Tarikh pergi makan: 27 November 2023

Bihun ladna

Saya jarang pesan bihun ladna ni. Makan di Restoran Sri Bangtawa Seafood. Kalau nak makan kedai tomyam, memang sinilah saya dan suami tuju. Cepat siap. Makanan pun sedap. Kedai terletak di jalan utama nak ke pekan Lumut. 

Tarikh pergi makan: 28 November 2023

Mi rebus

Sedap mi rebus dia. Yang ini, saya makan di Warung Nelayan Kampung Permatang, Seri Manjung. Kedai ni buka pagi, tutup tengahari. Port sarapan la. 

Tarikh pergi makan: 29 November 2023

Mi goreng separuh, kuetiau goreng separuh, atas letak ayam pedas

Eh, ayam pedas ke, ayam masak apa entah. Ni bukan makan. Tapi mentekederah, atau mencekik atau melantak. 😁 Saya ambil sikit. Tapi suami kata, nanti dia kira 1 pinggan juga, walaupun kita ambil makanan suku pinggan. Baiklah. Itu yang saya tambah. Tak habis makan, suami habiskan. Yang ni, makan di kedai mamak Biriyani lagi, seperti di atas.

Tarikh pergi makan: 30 November 2023

Ok. Sekian dulu la, aktiviti makan-makan buat masa ini. Makan je. Rezeki jangan ditolak. Lepas tu, kita bakar balik dengan bersenam. Lari untuk makan. Hihihihi...

Jumpa lagi, ye. 😊

Ikan budu

 Saya sudah pun selamat berada di Perak. Semasa hari Sabtu lepas, masa tu, kami masih berada di kampung suami di Tumpat. Waktu tu, cuaca hujan tak henti-henti. Ada kala, hujan lebat. Dari tengahari sampai ke malam. Air sudah mulai naik di kampung suami, di beberapa kawasan. Rumah suami ok, sebab terletak di lokasi agak tinggi. Nak keluar pun malas, bila hujan lebat. Suami masak nasi dan lauk apa yang ada di rumah, untuk makan malam.

Telur dadar ikan budu, ikan tongkol masak kicap, ikan masin bersama nasi.

Bila sebut ikan budu, mesti kita sangka yang menu ikan yang dicampur dengan budu. Tapi sebenarnya, budu tidak terlibat langsung dalam penyediaan ikan budu. 

Budu adalah makanan popular khususnya di negeri Kelantan dan Terengganu. Budu dihasilkan dari ikan bilis yang diperam hingga hancur. Budu sedap dimakan bersama nasi.

Ikan budu tu pula, lebih kurang macam ikan pekasam. Banyak dijual di musim tengkujuh, ikan budu yang diperam dengan asam jawa atau asam keping, bersama garam kasar dan dilumur ke atas ikan, sebelum disimpan selama 2 hingga 3 bulan. Salah satu cara mengawet ikan supaya tahan lama. Sebab masa musim tengkujuh, nelayan tak boleh turun ke laut kerana ombak besar. Antara ikan yang dihasilkan menjadi ikan budu ialah ikan kembung, selayang, tongkol, gelama, dan beberapa jenis lagi.

Cara masak ikan budu, biasanya ia digoreng hancur bersama telur dan bawang, atau dibuat gulai lemak kuning atau dijadikan sambal.

Suami saya goreng ikan budu itu dengan bawang, kemudian masukkan beberapa biji  telur yang telah dipukul. Jadilah, telur dadar ikan budu.

Siapa pernah makan? Saya pun baru pertama kali makan. Nama je dah kahwin dengan orang kelantan selama 21 tahun. Tapi ini baru pertama kali saya cuba makan ikan budu. 

Close-up telur dadar, dalam ada ikan budu.

Macamana rasanya? Macam ini 👍👍😋😋 Sedap sangat! Saya tambah nasi. Makan 2 pinggan terus. 😂

Sejuk sangat, masa duduk di Kelantan. Saya pakai sweater di rumah. Semput, banyak kali kena sedut inhaler. Rasa macam duduk oversea pun ada. Malam-malam tengok tv, off kipas. 

Itu cerita dinner hari Sabtu. Keesokan harinya pula, hari Ahad, saya dan suami ke pekan Tumpat. Cari nasi berlauk la.

Saya teringat ada terbaca di blog Ako, masa dia ke Korea, ada pergi kedai makan yang pekerjanya ada seorang saja, tukang ambil order nya dia, tukang masak pun dia. Haaa... gitulah saya masa pergi makan di sebuah kedai bersebelahan Bank Simpanan Nasional, Tumpat. Saya lupa ambil gambar kedai. Kakak tu la tukang cedok nasi, dialah yang tukang buat air, yang kira pun dia. Kedai dia kecil je. Lauk dalam periuk di kaunter depan pun, takde lah banyak. Ayam gulai dalam periuk, saya rasa, dia masak seekor je kot, untuk jual. Ikan aye (ikan tongkol) masak gulai lemak kuning pun tak banyak. 

Nasi dengan sambal dan gulai ayam.

Tapi dia cedok nasi, tak berkira langsung. 2 senduk dia letak nasi. Lepas cedok seketul ayam gulai, dia cari kopeh ayam (kopeh means bahagian tulang-tulang ayam seperti leher, bontot, kaki), terus letak dalam pinggan. Sedap makan kedai ni. Saya suka! 👍😋

Sekarang bila dah balik Perak, rasa rindu suasana sejuk di sana. Makanan yang sedap. Ok la, saya sedikit sibuk, nanti bila ada free sikit, saya akan blogwalking ke blog kawan-kawan ye, slow-slow.

Jumpa lagi. 😊

Cheat day

 Jarang balik kampung. Jadi, diet tak makan nasi tu, kita tolak ketepi dulu, ye. Rugi ler, kalau tak makan nasi sini. Sedap, wei...

Pagi tadi, kami makan di kedai nasi berlauk kak chik. 

Dah gaul nasi dengan kuah, baru teringat nak ambil gambar.

Saya makan nasi lauk daging kerutuk. 😋

Ini kedainya, kedai nasi berlauk Kak Chik.

Dekat juga dengan rumah mak mentua saya.

Ambil juga karipap sardin dan kuih akok.

Hujan dari pagi, tak berhenti. Saya buat senaman ringan je, 20 minit. Suami ajak keluar cari putu halba. Makanan yang ada waktu musim hujan je, di kelantan. Jadi, kami pun keluar pergi pasar Wakaf Baru. 
Ada je banyak orang jual putu halba di tepi-tepi jalan, tapi orang niaga kata, kena tunggu lama. Orang dah tempah, kena tunggu setengah jam. Itu yang kami pergi pasar dulu, nak cari barang.


Saya beli rempah kerutuk, serbuk kari, gula nise (gula melaka) dan lada putih siam. Rempah kerutuk dan kari tu, tak sama tau, rasa dia, banding kita guna rempah kari baba ke, adabi ke. Special rempah dia. Tu pasal kalau kita masak kari ayam guna rempah beli di Perak, tak kan sama dengan rasa gulai nasi berlauk kelantan.

Habis beli barang, jumpa orang jual lokcing.

Jumpa orang jual lokcing luar pasar.

Beli dulu. Harga lokcing, 3 cucuk, RM1. Lepas tu, makan dalam kereta.
Lokcing


Lokcing atau sate ikan. Sedap, makan panas-panas. 😋 Dah habis makan, baru kami jalan. Akhirnya jumpa orang jual putu halba di Morak.
Putu halba

Putu ini dibuat dari ubi kayu. Saya makan 3 biji je, sudah kenyang.
Anak saudara suami pula datang rumah, bawa ubi kayu rebus. Cicah kelapa.

Putu halba, ubi kayu rebus bersama kelapa parut dan air kopi panas.

Makanan di waktu hujan. Alhamdulillah. Kenyang.

Ok. Sekian laporan makan-makan setakat ini. Jumpa lagi, ye. 😊