Krisis pertengahan usia?

 Isnin, 13 Syaaban 1444 Hijrah.

Ada satu event larian ni, saya dah daftar sejak tahun lepas. 


Event ni telah berlangsung pada hari Sabtu lepas. Tapi saya tak pergi pun. Saya sepatutnya masuk bersama kedua-dua kakak saya. Tapi cuma mereka berdua yang pergi. Saya awal-awal sudah maklumkan pada deme yang saya tak mau pergi. 

Sejujurnya, saya sudah tidak punya hati untuk masuk acara larian lagi. Entah. Mula tahun ni la. Saya ada lari. Tapi, tak sejauh dulu. Dan untuk pergi agak jauh dari rumah untuk sertai acara macam ni, saya rasa amat berat sekali. 

Kadang pelik juga sekejap hati tu boleh berubah. Baru je tahun lepas, saya punya keinginan meluap-luap untuk pergi jauh dan lari jauh-jauh. Tapi tidak lagi tahun ni. 

Bukan itu saja, saya juga sudah menyahaktif akaun facebook dan intagram, sejak awal Disember tahun lepas. Makna, dah lebih kurang 3 bulan saya tak buka media sosial. Ok. Saya rasa tenang. Boleh hidup.

Larian semalam, 5.36 km. Gambar di Aeon Station 18, Ipoh.

Semalam suami ajak pergi jalan-jalan sampai ke Ipoh. Gambar masa kami tengah makan dalam satu restoran. Ini pemandangan luar. Ada playground. Laluan pejalan kaki dia redup je. Aeon Manjung takde macam ni.

Semalam juga, saya telah uninstall aplikasi Whatsapp dari telefon. Bukan pertama kali. Tapi sebelum ni, hanya bertahan separuh hari tanpa whatsapp. Lepas tu, install balik. 

Ni kira rekod la ni, paling lama tahan. Jadi, itu la dia. Entah. Saya tak tahu nak jelaskan camana. Entah apa yang nak jadi dengan saya ni. Cuma saya tak nak hidup serabut. Lagi kurang benda saya tahu, lagi gembira hati saya. Normal ke rasa macam ni?

Orang dulu boleh je hidup tanpa whatsapp. Kalau nak tanya khabar, call ler. Tapi setakat entri ni ditulis, takde siapa lagi yang call tanya apa-apa. Jadi, takde orang pun yang sedar saya sudah undur diri dari whatsapp. Saya ada, saya takde, sama jer. Tapi suami saya balik kerja ada tanya, "Dah install semula whatsapp tak?"

"Haha, tak."

"Habis tu, camne nak sembang?"

"Aik, balik rumah, sembang la. Jangan sibuk main game pulak. "

Ok tak, macam tu? 🙈

Tapi, sedikit sebanyak, saya akui, antara punca tindakan saya, adalah kerana hati saya masih terluka. Susah juga nak move-on, bila orang ejek kita depan-depan ye? Bila reaksi muka orang yang bercakap tu, betul-betul menunjukkan dia tak suka kita? Saya dah lama maafkan. Tapi dalam sangat la, luka tu. Sebab saya tak pernah buat orang macam tu. Dah tua-tua boleh pulak orang buat saya macam ni. 😞


Tapi saya tengah usaha ler ni. Usaha untuk gembira. 

Pagi tadi, saya hanya sempat lari 4 km. Sakit perut. Cepat-cepat balik rumah. Bawa kereta laju. Nasib baik sempat melabur kat rumah. 

Itu je la. Tolong doakan saya diberi kekuatan dan semangat untuk terus hidup, ye. Saya tak mau la murung dan sedih. Ada tak antara pembaca sekalian alami pengalaman macam saya? Disconnect dari orang. Ketidakstabilan hormon kah? Nak menopause kah?

Ok, jumpa lagi. Semoga hari anda semua ceria-ceria belaka dan segala urusan anda dipermudahkan. 

Motivasi untuk mengemas

 Sabtu, 11 Syaaban 1444

Berkurun tak update blog. Sebelum ni, saya ada cerita yang saya sibuk buat sudoku, kan. Sekarang ni, saya sibuk mengemas pulak. Entah, dah makin tua ni, saya rasa saya lebih tenang dan gembira offline. 

Tu la nak cerita ni. Dah habis kena sampuk hantu sudoku, kena sampuk hantu kemas rumah pulak. Gara-gara saya tengok siri Tidying Up with Marie Kondo kat Netflix.


Pada satu hari, saya baru je lepas habis tengok episod 1, siri mengemas di atas. Habis semua pakaian dalam rumah saya lipat dan kemas. Yang dah tak pakai, saya masukkan dalam tong derma. Yang dah tak layak untuk diderma, saya buang dan ada juga yang dari fabrik sesuai, saya ketepikan untuk projek recycle kait saya.

Dalam episod 1, Puan Marie Kondo ni, ada ajar camana nak lipat pakaian. Cara dia lipat, baju tu akan menegak. Boleh berdiri. Berbanding jika sebelum ni, saya lipat pakaian cara biasa, di mana pakaian disusun bertindih atas satu sama lain, cara baju disusun menegak di dalam laci pakaian akan membolehkan kita tengok dan pilih pakaian mana kita nak pakai terlebih dahulu. Sebab kita nampak semua pakaian kita. Boleh susun ikut warna, dan kategori. 

Lepas tu, menggamit kenangan pula, bila dia ajar cara lipat baju tu, saya rasa macam familiar. Sebab apa? Saya dah tahu lama dah lipat pakaian cara menegak ni, Arwah opah saya ada ajar masa saya kecil dulu, cuma saya tak amalkan je. Kalau ikut cara arwah Opah saya, cara sapu mentega kat roti pun dia ajar. Kena dari tepi, bukan dari atas. Mentega orang dulu kan, yang empat segi macam buttercup tu, tapi dia letak dalam bekas kaca. Cara sapunya, kena lorekkan pisau mentega di bahagian tepi sisi pendek mentega tu. Anda sapu mentega camana? Dari atas la, kan. Sampai lama-lama, mentega tu jadi pendek atau cetek dalam bekas tu. Ha, salah cara tu, mengikut cakap Opah saya. Dah cerita pasal mentega pula. Berbalik kepada baju yang dilipat menegak. Contoh adalah seperti gambar di bawah.


Contoh tudung yang dilipat menegak. Kalau ada benda kecil-kecil, macam sepit rambut ke, aksesori ke, boleh dimuatkan dalam kotak-kotak kecil, dan letak je dalam laci pakaian. 

Patut kalau pergi Daiso kan, banyak jual kotak-kotak kecil, macam organizer la, kita boleh susun elok-elok dalam almari atau laci. Eh, saya lupa cerita. Puan Marie Kondo yang buat rancangan mengemas ni, adalah orang jepun. Dalam siri ni, dia ajar omputeh kemas rumah. 

Saya dah siap kemas semua pakaian anak-anak dan suami. Rasa lapang tengok pakaian tersusun rapi. Anak pula pakai pakaian yang dia dah lama tak pakai. Selama ni, dia amik yang dilipat paling atas je, yang bawah-bawah dia malas nak ambil. Sekarang, semua pakaian boleh pakai. Suka saya. 😁

Lepas tengok episod kedua pula siri Tidying Up with Marie Kondo ni, saya sibuk mengemas satu rumah. Sudah tentu, saya manfaatkan tenaga kerja yang ada di rumah. Kalau suami saya off kerja, dia join saya mengemas. Hari biasa, anak-anak yang lokasi bilik dia dikemas, memang kena terlibat sama. Masa pula tepat, time cuti sekolah ni, dari deme mengadap komputer lama-lama, baik tolong mama kemas rumah. Saya tak kira, tapi dari berapa kali ulang beli plastik sampah heavy duty di kedai, saya anggarkan sudah lebih 30 plastik sampah besar barang-barang tidak perlu saya sudah buang dan dermakan. 

Terasa ringan dan lapang dada saya. Giler hebat effect mengemas rumah ni pada kita, bila kita buat. Lebih-lebih lagi, bila ada banyak barang di rumah. Saya pula duduk rumah peninggalan orang tua, banyak barang-barang lama. Semua saya susun, sapu, lap. Itu yang saya tak update blog lama sangat.

Sekarang pun saya berhenti sekejap dari kerja-kerja mengemas, sebab tak sihat. Bila hari-hari main habuk, selsema dan kena serangan asma. Rumah saya memang tahap banyak habuk, terutama di bahagian belakang rumah. Tak tahu la najis menatang apa saya jumpa, di  bawah rak buku. Tapi semua, eh, bukan semua. Lebih kurang 50 peratus kerja mengemas saya sudah siap. Nanti saya akan sambung semula, Insya-Allah.


Lepas dah rehat dari mengemas 2 hari, Alhamdulillah, sudah sihat. Itu baru 2 episod tengok siri ni. Jadi, saya cadangkan, jika anda tiada masa untuk mengemas, janganlah tengok siri ni. Sebab, automatik anda akan rasa nak mengemas rumah lepas tengok. Betul... 

Macam lari la kan, kita penat lepas lari jauh, tapi mood kita gembira, sebab badan rasa sihat, dapat keluar peluh. Macam tu jugalah mengemas. Kita sakit belakang, angkat sampah berat, sakit allergi pada habuk, tapi hati kita rasa lapang dan suka sangat, tengok rumah kita cantik dan kemas tersusun. 

Kemas rumah adalah satu kerja berat, pada pendapat saya. Kalau ramai orang terlibat, maka jadi ringan dan cepat siap. Tapi kalau anda seorang yang mengemas, janganlah berputus asa dan patah semangat melihat banyak bahagian belum siap. Itu tak termasuk lagi berlainan pendapat, kita nak buang, orang tu nak simpan. Sayang, katanya. Tapi bukan pakai pun. Sudah diselaputi sarang labah-labah lama dah. Benda tu cuma barang, harta dunia. Lagi satu, kita mengemas ni, enjoy dan suka-suka, untuk kita dan family kita, tinggal di rumah yang bersih. Bila banyak benda tidak perlu sudah dibuang, bilik nampak lebih luas. Kalau satu waktu dapat kemas satu bahagian kecil pada satu sudut pun, kira dah ada kemajuan dari semalam. 

Baik. Sekian perkongsian pada hari ni. 

Jumpa lagi, ye. 😊