Isnin, 17 Syawal 1444 Hijrah.
Selepas hantar anak-anak ke sekolah, saya dan suami sempat berlarian di padang Astaka, Sitiawan. Lama dah tak beriadah di sini.
Larian pagi tadi, sejauh 6.63 kilometer. Alhamdulillah. Nampak ada awan hujan di langit, tapi hujan tak turun-turun. Mula-mula berjalan laju sambil bersembang. Lepas tu, bila cuaca sudah mulai panas, saya tinggal pakcik tu, pecut laju sikit, nak bagi lepas 10 ribu langkah. Hehe...
Oh.. gitu. Ada waktu riadah di sini. Boleh gunakan waktu yang tertera di papan tanda di atas untuk jogging. Selain waktu itu, kena minta kebenaran nombor yang tertera. Patut saya selalu nampak pihak tentera naik turun, naik turun helikopter di sini. Baik. Baru nampak papan tanda ni. Dulu-dulu parking belah sana. Cuma hari ni, parking di pagar masuk di tengah padang. Parking belah sana penuh. Ramai orang Sitiawan beriadah. Yang berlari di padang ramai, geng taici ramai, geng senam joget-joget-sambil-pegang-tali pun ramai.
Biasanya hari Ahad, saya cuti masak. Tapi semalam sebab puasa, saya masak juga la. Malas nak buka puasa di luar. Saya beli burger Ramly, saya masak di rumah. Ha, ambik. Tebalnya tomato saya potong. Dari pengamatan saya, berbanding pembelian sebelum ini, burger ayam sudah semakin mengecil. Burger daging pula semakin tebal. Hehe..
Syukur Alhamdulillah. Sudah selesai ganti hutang puasa dan puasa 6 sekali. Jadi, apa lagi? Hari raya, maaa.... kita makan la....!
Ya Allah, nikmatnya makan di siang hari. Sedap bebenor rasa kuah mi rebus makcik under the tree. Sambil pejam-pejam mata menghirup kuah, slurrrppp... sluuurrpppp....
Nasi impit cicah kuah kacang ❌
Cucur cicah kuah kacang ✅
Hehe... enak sungguh cucuq makcik ni! Sama je rasa dia dari dulu. Walaupun cucuq biasa, bukan ada udang pun.
Lepas sarapan, ada urusan sat, nak pos barang. Lepas tu, singgah kedai kopi 989, beli kopi.
Saya sudah kurang minum kopi. Berbanding dulu, satu hari sampai 2-3 cawan kopi saya minum. Sekarang, saya minum air suam saja. Kali terakhir saya minum kopi, masa raya pertama hari tu, di kampung suami, itu pun kami kongsi. Hari ni, saya bawa balik kopi americano panas, tanpa gula. Alhamdulillah. Boleh minum, takde rasa sakit perut ke, gastrik ke.
Semoga segala urusan anda dipermudahkan, ye. Selamat bekerja.
Jumpa lagi... 😊