Showing posts with label Roadtrip. Show all posts
Showing posts with label Roadtrip. Show all posts

Perjalanan balik

 Semasa hari terakhir di Kelantan, sebelum saya dan suami bertolak balik ke Perak, kami singgah ke rumah kakak ipar paling bongsu. Masa ni, merasalah main air banjir, sebab rumahnya sudah dinaiki air sampai ke tangga rumah. 

Saya tinggal bag yang mengandungi handphone dalam kereta. Jadi, tak dapat ambil gambar banjir. Sejuk airnya. Seronok pula rasa meranduk air banjir. Kasut kena angkat masuk rumah, kalau biar di tangga rumah, hanyutlah kasut entah ke mana. 

Kakak ipar jamu dengan air zam-zam dan pelbagai jenis kekacang yang dibeli di Mekah. Dia dan suaminya baru pulang dari umrah. Sebelum balik, kakak ipar bagi hadiah, yang dibeli di sana.

Bag, pelbagai jenis kacang dan tasbih dari Mekah.

Bag tu, bawahnya bentuk bulat. Jadi, agak besar dan boleh dibawa travel. Alhamdulillah. Dapat hadiah dari Mekah.

Lepas tu, kami pun mulakan perjalanan balik ke Perak. Cuaca agak baik, tak hujan. Tapi bila tiba di jalanraya timur-barat, ada kawasan dilitupi kabus tebal. Kena perlahan, sebab jarak penglihatan agak terhad. Siang takpa. Bolehla nampak, kalau perlu brek. Esoknya, saya terbaca, terjadi kemalangan, ada kereta terlanggar anak gajah. Lepas tu, mak gajah tu pijak kereta yang langgar anaknya. Ceritanya, saya share di sini. Jalanraya pula baru diturap. Segala lubang-lubang atas jalanraya semua dah takde, jadi orang layan lap la, bawa laju. Kabus pula. Memang kena hati-hati semasa memandu di jalan raya timur barat, terutama masa hari hujan atau travel di waktu malam.

Kami berhenti rehat di R&R Titiwangsa. Orang tak ramai lagi. Nak masuk time lunch.

Saya dan suami berhenti makan kejap.

Saya pesan nasi ayam. 

Kena minum kopi panas. Bagi mata cerah, tak mengantuk nak memandu. Perjalanan ke Perak jauh lagi.

Suami pesan nasi kerabu

Jarang-jarang orang tak ramai di R&R Titiwangsa ni. Kami pun ambil kesempatan lepas makan, untuk ambil gambar dekat hentian rehat ini.


Di jalan raya Timur-Barat ini, terletaknya Taman Negeri Royal Belum. Entah bila nak bercuti di sini, tak tahulah. Lalu dah banyak kali. 


Di hentian rehat ni, selain tempat makan, ada kedai runcit, tandas awam dan surau. Jika berhenti, basuh muka nak bagi hilang mengantuk, air paipnya sejuk sangat. Air bukit. Surau dia pun tak ada kipas. Sebab sejuk, atas bukit.

Selfie, sebagai kenangan.

Lepas tu, kami pun teruskan perjalanan balik Perak. Alhamdulillah, selamat sampai waktu petang. Slow-slow je bawa kereta, makan angin. Bersyukur, dapat balik ke kampung suami di Tumpat, walaupun tak lama, 3 hari 2 malam sahaja. Dapat jumpa mak mentua, kakak-kakak ipar dan saudara-mara. Walaupun berita ada beritahu ramalan hujan lebat tahap waspada ketika itu, tapi rumah suami di lokasi agak tinggi, tidak dinaiki air. Cuma perlu study dulu google maps dan waze, tengok jalan mana yang tidak dinaiki air waktu nak balik hari tu. 

Ok. Itu je buat masa ni. Jumpa lagi, ye. 😊

Balik Kelantan

 Semalam, hari Jumaat, saya dan suami balik Kelantan. Hujan sepanjang jalan. Sekejap lebat, sampai tak nampak jalan. Sekejap, renyai-renyai. Masa jalanraya timur-barat, atas Banjaran Titiwangsa tu, jalanraya sudah sangat cantik. Kerja-kerja menurap tar masih dijalankan. Sebelum ni, jalan bertampal-tampal. Lampu jalanraya pun banyak dah ada. Bagus. Alhamdulillah. Setelah sekian lama jalan kopak-kapek (eh, ada ke perkataan ni?)

Seperti biasa, saya jadi co-pilot. Check jalan. Takut ada jalan tutup, dinaiki air.

Lalu jalan tepi Sungai Golok

Banyak kampung sudah dinaiki air. Kereta orang kampung sudah diparking atas jalanraya. Binatang ternakan pun sama. Ayam, itik, kambing, lembu, semua sudah ditambat di tepi jalan raya, kerana halaman rumah sudah dinaiki air.

Padang bola sudah dinaiki air.

Maaf, gambar gelap. Tak ada matahari. Awan tebal. Jalan yang dari Rantau Panjang ke Tumpat ada kawasan sikitttt je lagi air nak naik, setakat kami lalu semalam. Pagi ni, tak tahu camana keadaan. Keadaan jalan pula sangat teruk, lubang sana sini. Nanti nak balik Perak esok, kena ikut jalan lain la.
Alhamdulillah, selamat sampai kampung suami lewat petang. Sempat singgah pasar malam Terbak. Beli bungkus nasi untuk makan malam.

Menariknya air dia...

Saya terbeli kopi beng (kopi ais). Pasar malam kat rumah saya, takde pulak jual air macam ni. Saya beli kuetiau goreng kerang kuali besar. Suami beli nasi kerabu. Bungkus 2 lagi nasi kerabu untuk mek (mak mentua) dan mek yah (kakak ipar saya).
Orang sini, dia panggil orang, depan dia ada mek. Contoh macam nama saya, Nurhayati. Orang panggil Mek Ti. Kalau nama Rina, orang panggil Mek Na.

Kalau lelaki pun, depan dia letak Pok. Contoh suami saya, nama Azlan. Orang panggil Pok Le. Lan jadi Le. Makan jadi make. Gitew...

Alhamdulillah. Akhirnya, dapat jumpa orang tua, setelah sekian lama. 

Saya update ni, guna handphone. Keciknya, dah biasa update blog guna laptop. Tak bawa balik. Travel light. Backpackers. Hehe..

Baik. Jumpa lagi ye. Selamat berehat di hujung minggu, dari saya, di Tumpat, Kelantan. 😊

Rancangan tak menjadi

 Hari Jumaat lepas, bersamaan  27 Oktober 2023, saya dan suami sudah on the way nak balik Kelantan. Suami saya bila habis kerja shif malam, dia ada 2 hari off. Jadi, ingat nak balik jumpa orang tua la, dalam masa tu. Kami dah sampai Gerik dah. Masa berhenti di masjid, waktu Asar, suami saya check handphone dia, dapat email, dia kena pergi kursus pulak. Apa cer..... 

Boleh je teruskan balik Kelantan, tapi akan jadi sangat kelam kabut ler. Jadi, suami ambil keputusan, untuk patah balik. Tak jadi teruskan perjalanan. Masa dalam kereta tu pun, telefon suami dok berbunyi je. Banyak benda nak kena urus. Telefon kampung, cakap tak jadi balik. Apa nak buat. Macam ni la, kerja makan gaji. Kena menurut perintah. Huhu... terpancar perasaan kecewa dan frust menonggeng di wajah suami. Last sekali jumpa mek (panggilan untuk mak) adalah masa hari raya puasa lepas. Jadi, dah lama la jugak. Apa pun, pasti ada hikmah di sebaliknya, Allah knows best. 

Kami belum makan. Jadi, berhenti la makan dulu. Dah kena patah balik rumah, kita santai-santai je la. 

Gerik, Perak.

Gerik, di daerah Hulu Perak, adalah bandar yang terletak di tengah lembah antara Banjaran Bintang dan Titiwangsa. Gerik juga dipanggil bandar persinggahan kerana lokasinya terletak tengah-tengah jajaran Lebuhraya Timur-Barat, yang merupakan laluan utama ke negeri pantai timur. Jika nak ke Taman Negara Royal Belum, pun kena lalu Gerik juga. (Sumber: Wikipedia)

Tengok mana-mana kedai tepi jalan yang buka, kami pun berhenti la.

Aduka Cabin Cafe, Gerik.

Tak pernah makan di sini. Boleh la kita cuba. Jom kita. Perut pun dah berbunyi ni.

Agak besar juga ruang makan di cafe ini. Ada 2 tingkat, ikut suka nak duduk bawah atau atas. Ada adik datang bawa menu dan ambil pesanan. 

Masa menunggu juga tidak lama sangat la. Untuk masakan panas atau goreng-goreng. Suami pesan nasi goreng kampung.

Nasi goreng kampung bersama sup dan sambal.

Suami minta sambal belacan sebenarnya, tapi sebab tak ada, dia bagi sambal untuk nasi ayam penyet. Ok rasa nasi goreng kampung dia, sedap.

Pesanan saya sedikit lambat sampai. Saya pilih grilled chicken chop.

Grilled chicken chop

Sedap, wei! Saya suka! 😋

Ada ruang makan lagi di sebelah kanan cafe ni. 

Ruang makan di luar

Saya rasa, waktu malam mesti meriah dan cantik, sebab lampu-lampu yang dipasang tu.

Lepas makan, suami ada singgah dulu tandas cafe. Bersih, suami cakap. 

Ini informasi cafe jika anda nak singgah ya. Lokasinya, di tepi jalan utama nak masuk bandar Gerik.

------------------------------------------------------

Aduka Cabin Cafe

1, Jalan Kolam Air, 

33000 Gerik, Perak.

Waktu operasi: Setiap hari, 3 petang hingga 12 malam. Tutup setiap Rabu.

------------------------------------------------------

Lepas makan, kami pun bertolak balik rumah semula. 

Bulan terang

Masa saya ambil gambar bulan di atas, kami sudah masuk lebuhraya WCE. Dari Beruas ke Sitiawan. 

Macam tu la ye. Kita hanya mampu merancang. Tapi Tuhan yang menentukan. Lebih-lebih lagi, hujung tahun ni, kan. Macam orang semua terkejar-kejar habiskan target je. 

1) Yang banyak cuti, kena apply cuti. Cuti banyak-banyak pun bukan boleh carry forward.

2) Yang peruntukan belum habis, sibuk hantar pekerja kursus sana sini. Suami saya bulan ni, kali kedua la ni, pergi kursus. 

3) Inspektor gajet ada banyak quota belum habis, sibuk menyaman orang yang tak letak kupon parking. Orang nak pergi kedai runcit beli roti sekejap pun, dia tampal saman. Tampal, jangan tak tampal. 

4) Ahad pun ada kelas ya. Berapa banyak Ahad dah ni, anak pergi sekolah. Hari-hari pergi sekolah. Tak habis-habis syllabus lagi. Waiya..... 

Hahaha... bertabah la ya. Senyum je la. 

Jumpa lagi... 😊

Tersangkut dalam kesesakan

 Sabtu, 30 September 2023 - Saya bersama suami hantar anak ke Dungun. Berapa banyak kali dah hantar dia balik U, walau pun tempat tu jauh. Bila balik sini dalam kereta, selalu cakap kat suami, takmau dah la hantar anak. Jauh ler, lama duduk dalam kereta. Tapi hantar jugak anak bila dia masuk semester baru. Sebijik macam daftar masuk event lari. Bila tengah lari event, rasa menyesal, tak mau dah la masuk, penat la lari jauh. Tapi tak lama lepas tu, cari pulak event lari boleh join. 🙈

Bertolak lepas hantar anak kedua pergi kelas tambahan. Anak kedua dan bongsu tak ikut hantar abang dia orang. Deme cakap, jauh, mama. Haha.

Alhamdulillah, anak sulung dapat duduk hostel lagi, walaupun dah masuk semester tiga. Baru-baru ni, masa cuti sem, dia wakil Uitm Dungun, ke Karnival Sukan Mahasiswa Uitm (KARISMA). Ini adalah kejohanan sukan pelajar antara kampus Uitm seluruh negara. Anak saya masuk catur.

Medal dan baju anak sulung dapat.

 Untuk kategori catur berpasukan lelaki, pasukan anak sulung berjaya dapat pingat gangsa. Anak saya cerita, Uitm Terengganu tak pernah dapat pingat dalam sukan catur dan beberapa lagi sukan lain, jadi satu pencapaian yang boleh dibanggakan la, tahun ni. 

Perjalanan ke Dungun, berjalan lancar. Cuaca baik. Sampai saja di Dungun sudah lewat petang, hantar barang-barang anak dulu di hostel. Ramai pelajar lama yang sudah pun lapor diri. Meriah betul dengan gelak ketawa budak-budak yang dah lama tak jumpa kawan-kawan, dok menyembang. 

Lepas hantar anak, malam tu, dia join kami duduk hotel, sebab ada gangguan bekalan air. Nasib baik saya dah buat tempahan 2 bilik. Kami check-in di Mi Hotel 2 Dungun. 

Banyak hotel dah fully booked. Tak dapat duduk hotel dekat kawasan Uitm. Tapi ok la ni, dari tak ada.

Mi Hotel 2 Dungun adalah hotel yang terletak di rumah kedai. Kena naik tingkat 1, untuk front desk. Hotel agak lama. Saya dan suami bilik Double, di tingkat 1, manakala anak bilik single, di tingkat 2. 

Katil kami tak berapa selesa. Macam budak-budak selalu lompat-lompat atas katil dan spring dia dah lembut, tilam lembek. Huuu...... tapi sebab dah letih perjalanan jauh, malam tu kroh kroh jugak, tak sedor diri..

Dalam tandas. Tengok ler tingkap tu.

Hahaha... tak tau la nak cakap. Hotel lama. 

Ruangan mandi sebelah tandas

Ruang sinki, depan dengan tandas

Itu ada lubang kat dinding tu. Sambil berus gigi, saya selalu toleh belakang, saja check takut ada lipas keluar. Lipas takde, kumbang kecil ada keluar, menerusi lubang kat dinding tu. Huuu....

Pintu bilik air.

Basic la, bilik dia. Aircond sejuk, ada meja dan cermin, ada almari satu. TV dan katil. Ok ler, padan dengan harga dia, satu malam RM69.

Bilik anak, single, harga RM68 semalam. Murah singgit je. Tapi katil dia selesa, macam tilam baru. 

Ahad, 1 Oktober 2023 - Bagus la lokasi hotel, dekat masjid. Boleh dengar azan subuh. Dalam pukul 7 lebih, kami anak-beranak turun, jalan kaki, cari tempat sarapan. Hotel tengah pekan Dungun. 

Jalan kaki dari hotel, cari tempat nak sarapan.

Jumpa kedai yang sudah buka, masuk je. Nama kedai, Nasi Dagang Pok Yusop.

Saya makan nasi lemak ayam goreng.

Suami dan anak makan nasi dagang ikan tongkol

Lepas kenyang peruts, jalan balik ke hotel. Melepaskan hajat sebentar, kemudian check-out. Kami pergi hantar anak ke hostel dulu. Dia nak salin pakaian, nak jumpa ketua kursus. 

Inilah hostel anak saya. 

Dah 3 sem dia dapat blok yang sama. Bilik je bertukar. Sementara tunggu budak tu salin pakaian, saya jalan-jalan jap, explore kawasan.

Jalan-jalan tengok kawasan hostel.

Pemandangan depan, ada gelanggang futsal.

Laluan berjalan kaki berbumbung.

Semua laluan berjalan kaki ada bumbung. Jadi, budak-budak tak panas menapak ke kelas. Anak saya cerita, satu hari, dia boleh dapat mileage sampai 6 kilometer bila hari ada kelas. Jauh jugalah jarak dari hostel dia ke kelas. Dia punya blok pulak paling hujung. Selain berjalan, boleh naik basikal atau boleh sewa scooter elektrik (beam) yang disediakan. Macam kat stesen lrt di KL, tu ler, sama sebijik.

Belakang blok ada hutan. 

Ada juga pelajar yang bawa motor dan kereta. Kebanyakannya, yang duduk menyewa luar.

Lepas tu, hantar anak ke bangunan pejabat yang dia nak pergi jumpa ketua kursus tu. Nak daftar subjek dan susun jadual. Kami pun babai ler, kat dia. Selamat sudah... belajar rajin-rajin, anakku.... we lap u! 💓

Uitm Dungun di tepi laut

Cuaca walaupun mendung, ada bahang panas. Macam nak hujan. Memang cantik pemandangan sini. Laut luas. Angin kuat je, bertiup. Tapi tak boleh lah lepak lama. Kena bertolak balik. Sampai jumpa lagi, Dungun, babaii...

Dekat highway, memang mengantuk, tau. Sebab perjalanan jauh. Kena berhenti, beli kudap-kudapan... kalau mulut tak mengunyah, memang mata automatik mengantuk.

Berhenti R&R Temerloh

Yang gambar peta-peta ni, dari aplikasi Garmin. Saya rekod jalan guna jam. Saja, buat rekod, berhenti di mana. Hehe.

Tak nak mengantuk, kena pekena kopi. Bila pekena kopi, rasa nak terbuang air kecik selalu pulak. 

Berhenti R&R Kuantan

Berhenti R&R Genting Sempah

Kat sini la kami buat silap. Sebelum ni, bila lalu, tak pernah kami berhenti sini. Tapi hari tu, kami berhenti makan nasi dan lepas hajat kejap. Nak dijadikan cerita, nak keluar dari R&R ni saja, ambil masa 1 jam. Ye! Belum masuk highway lagi. Kat R&R dah sesak jalan. Hahahadoiii....

Bila tengok waze, dia suruh ikut jalan lama, iaitu Route 68 aka Jalan Gombak aka Jalan Karak Lama. Jalan Gombak tu, menghubungkan KL dengan Bentong. Baru hari tu, baca kat blog SK, dia lalu jalan lama juga. Peh! Yang ni, seriau giler, ok! Ada trailer panjang pula selisih. Nasib baik treler tu berhenti. Dia dah tahu kan, jalan sempit sangat. Saya tutup mata, takut nak tengok. Memang dekatttttt sangat dengan ekor treler tu, kami lalu.

Kat sini kami nasib baik. Sebab jalan belum sesak lagi. Iye, highway sesak, jalan lama pun sesak, hari Ahad lepas. Walaupun jalan macam ular kena palu, tapi bergerak la, cuma kena hati-hati sebab kami tak familiar dengan jalan ni. Banyak tempat cerun runtuh, ada kon, bagai.

Papan tanda masa lalu jalan lama.

Bila sampai KL je, lega. Nasib baik juga kami tak ikut lebuhraya LATAR. Situ pun sesak. Lebuhraya PLUS arah utara kurang sesak, cuma yang arah KL, sesak panjang berjela, you! 

Sampai rumah pukul 9 malam! 12 jam dalam kereta! Perjalanan biasa, dalam 7 jam lebih kurang. Cuti 4 hari ye, orang semua balik kampung. Huuu... pertama kali alami. Merata-rata kan, sesak jalan, hari Ahad lepas. Ish, ish... banyaknya kenderaan di jalanraya kita ni.

Dah tu, tak mau dah la pi Ganu tu. Jauh ler... biar anak naik bas je la. (Boleh percaya ke?)

Ok la, sekian cerita hujung minggu yang lepas. Nak update blog semalam pun, tak larat, masih letih badan, travel lama. Jumpa lagi, ye.

Bercuti di Haven All Suite Resort, Ipoh.

 Sudah lama juga percutian keluarga ni berlaku. Masa saya tidak aktif update blog. Masa saya sibuk lari pagi petang sempena Runliga Malaysia. Tapi saya nak cerita juga la. Buat kenangan. Sebab tempatnya cantik, bagi saya. Tenteram dan aman damai.

Hari Pertama

Pada 26 Ogos 2023, saya dan keluarga telah pergi bercuti di Ipoh. Tak boleh pergi bercuti jauh-jauh, kerana hari Sabtu, anak kedua ada kelas tambahan. Dia SPM tahun ni. 

Lepas saja anak kedua habis kelas hari Sabtu, kami pun bertolaklah ke Ipoh. Saya telah buat tempahan bermalam di the Haven All Suite Resort, Ipoh.

Sampai Ipoh, kami tuju ke Lotus Ipoh Garden dulu. Pergi Sports Direct. Masa tu ler, saya beli kasut lari baru, yang saya pakai untuk Ipoh 7 Bridges Run yang lepas. Anak-anak pun ada beli barang sikit. Kami makan tengahari dulu, nasi kandaq. Hehehe... tak habis-habis nasi kandaq ye. Peminat nasi kandaq, nak buat camne. 

Lepas siap shopping dan peruts sudah kenyang, kami pun tuju ke hotel. Pertama kali kami duduk sini. Macam apartment sebenarnya. Ada 3 blok. 

Kredit foto: The Haven Resort

Sebenarnya, tahun ni, suami saya dapat long service award, yang ke-25 tahun. Itu yang rejeki dapat duduk sini. Alhamdulillah. 

Kredit foto: The Haven Resort

Proses check-in berjalan dengan lancar, walaupun agak ramai beratur menunggu giliran. Sudah bayar online. Kami dapat blok di tengah-tengah, tingkat 21.

Dalam apartment kami, ada 3 bilik, 2 bilik air. Dapur semua lengkap ada mesin basuh, coffee maker, dan penapis air. 

Disebabkan masa kami cuti tu, saya masih dalam Runliga, jadi lepas Asar, saya pun keluar jalan-jalan di luar, untuk kutip mileage. Haha.. orang gila lari, kan. Meh tengok kita explore sekitar resort ini.

Dia ada safety card. Bukan saja untuk masuk bilik (apartment, maksud saya), dari lif pun sama, perlu ada safety card tu, baru boleh tekan butang dalam lif, nak pergi tingkat berapa.

Turun je, belakang, ada swimming pool. Saya tak pernah pergi cuti di tempat ada view gunung macam ni. So, lain macam rasanya. Hari pula agak mendung. Jadi, saya boleh berjalan ikut jogging track yang disediakan. Disebabkan 3 blok tu macam mengepung kawasan resort, jadi kawasan swimming pool tu tak panas, ada orang berenang. Sangat menenangkan, tengok hijau je, pokok-pokok dan gunung. 

Jambatan atas tasik, mengikut jogging track.

Lawa, kan... tak berapa panas. Walaupun saya keluar jalan pukul 5 petang. 

Ada pelantar terapung tengah tasik.

Awan mendung berarak kelabu. Saya agak, cuaca nak hujan. Untungnya siapa ada rumah sini. Pemandangan memang cantik dan menenangkan.

Bukit batu kapur tengah tasik

Sempat 1 loop saya pusing laluan jogging dia, hujan pun turun. Saya naik atas bilik, suami saya tanya, cukup tak kutip mileage? Saya cakap, saya baru dapat 1 km. Luas juga la ye, pusing 1 round laluan jogging dia, boleh dapat 1 km. Tapi kena elak orang la, tak boleh lari sangat, lagi-lagi di kawasan pool. 

Suami saya cakap, awat tak masuk gym? Ha ah yek. Saya lupa, resort ni ada gym. Anak kedua pun ikut saya turun bawah sekali, dia nak check-it-out, gym rupa camana. 

Memang cantik dan lengkap la. Gym terletak di tingkat 1, atas restoran atau dining area resort ni. 

Saya pun apa lagi, petang tu saya lari, cukupkan mileage. Pagi esoknya pun saya lari juga. Meh tengok video saya di gym.


Dalam video tu, boleh dengar bunyi orang lift weight, pastu letak, angkat, letak. Lengkap la, gym dia. Treadmill dia pun best. Stabil je. Treadmill mahal, kan. Treadmill kat rumah saya, murah punya. Lari banyak, dah meletup. Muhahahaha...

Lepas bersenam, naik atas, mandi, salin pakaian, kami pun keluar makan malam di luar. Cari kedai makan dekat-dekat. 

Alamak, muka saya blur pula.

Alhamdulillah. Susah nak dapat berkumpul lengkap satu family macam ni. Anak sulung pula tengah cuti sem. Makan kedai tomyam. Boleh tahan sedap. Dekat area Tambun juga. Bila duduk je, ada orang letak otak-otak atas meja.

Lepas makan, balik hotel. Jalan-jalan kejap, di trek jogging, sebab makan dinner banyak. Boleh tengok lampu malam.

Lampu dari 3 blok apartment di belakang.

Jalan waktu malam, dengar bunyi katak, bunyi cengkerik. Baru lepas hujan, kan, petang tadi.

Selfie depan dinasour, waktu malam.

Susah nak ambil gambar steady atas pelantar terapung ni. 

Sebab pelantar tu bergoyang-goyang. Silap-silap boleh mabuk laut ni. Eh, laut pulak, mabuk tasik.

Ha, ni ok sikit kot gambarnya. Tapi muka orang belakang blur pulak.

Habis jalan satu pusingan, teringat yang kami belum claim welcome drinks. Ada kupon welcome drinks, tau, diberi masa check-in tadi. Tapi sebab ramai orang, kami naik terus, tak ke tempat dining. Kami pergi la claim minuman selamat datang.

Bukan juice yang ada payung kecik, tau. Tapi minuman herba, campuran kunyit, halia, serai, lagi apa yek, saya lupa. Bagi saya, memang sedap dan menyegarkan! Tapi bagi anak-anak, rasa sikit, bluek, tak sedap, katanya. 😁 Mama la yang habiskan.

Malam tu, tidur lena. Pengsan kepenatan. 

Hari Kedua

Lepas subuh, saya sudah keluar berjalan-jalan kutip mileage. Gym dibuka pukul 7 pagi. Saya pun terus masuk gym. Anak kedua dan suami join saya, tak berapa lama kemudian. 

Saya baru tahu etika penggunaan gym. Walaupun tiada orang yang menjaga, atau suruh, tapi sebaiknya, lepas kita guna satu-satu peralatan tu, sudah habis guna, sudah mau balik, ambil kain pengelap dan cecair pencuci yang disediakan di front desk, lap lah bersih-bersih. Sebab tadi guna, peluh kita merecik habis, kena treadmill. Lap, ye. Nanti orang lain pulak nak guna.

Macam lepas kita makan di fastfood, takde orang suruh, kita kemas dan lap meja kan, macam tu la kat dalam gym juga. Ok. Hehe.. saya baru tahu ni.

Lepas bersenam dapat 10 km, naik atas, mandi, salin pakaian. Tapi pakai pakaian semalam juga, tak busuk, backpackers, kan, mana bawa baju banyak. Baju bersenam bawa 2 helai, baju jalan bawa satu jer. Kikiki...

Pemandangan dari balkoni adalah bukit yang menghijau serta tasik. Pemandangan di depan pun ada bukit juga. Juga kelihatan kawasan perumahan berhampiran.

Belakang saya tu, pemandangan hadapan resort.

Apa lagi, jom la pergi sarapan. Sampai pukul 10 pagi je. Buffet sarapan hotel sangat meriah ye. Macam-macam ada. Ada nasi lemak, bihun, kuetiau (saya suka ni, sedap, ada rasa hangit sikit, macam hawker tepi jalan yang masak), mee, spagetti, makaroni, stesen telur yang kita boleh request masak telur macam-macam jenis, cereal, roti bakar buat sendiri, standard la macam hotel biasa pergi ye. Oh, ada stesen mi/bihun/kuetiau celup, atau kari atau sup. Roti dan hasil bakeri pelbagai jenis ada.

Kopi, teh, jus, minuman pelbagai jenis. Banyak dan meriah, ok..... Ada 2 tempat dining area, luar dan dalam, sangat luas. Ada aircond, ada tempat open, ikut suka mana nak duduk. 

Tengah sedap-sedap makan, nampak artis, you! AC Mizal satu keluarga. Pun makan situ. Saya nampak masa AC sedang ambil kopi, dekat dengan meja kami. Wife dia memang orang Ipoh, tak silap, kan. Wahh... Shah Alam, peace yo!!!

Berapa banyak kali round makan tak tahu la. Sampai masa sarapan habis baru kami bangun. Lepas tu, dah gendut. Jom la, kita jalan ikut trek jogging lagi sekali.

Gambar waktu siang barulah nampak muka sorang-sorang dengan jelas.

Kenangan depan 3 blok.



Memang best la lalu ikut trek jogging ni. Banyak pokok-pokok.

Laluan pun agak luas. 

Nak juga ambil gambar depan dinasour, waktu siang pula.

Ada orang buat wedding pula hari Ahad tu. Nice, garden wedding. Sweet je, tengok. 

Lepas tu, kami naik atas, kemas-kemas barang, bersedia untuk check-out.

Kenangan, gambar dari balkoni. Bilik tingkat 21.

Selamat sudah percutian keluarga kami, 2 hari 1 malam di the Haven, Ipoh. Alhamdulillah. Banyak gambar keluarga je, yang saya ambil. Gambar hotel iaitu apartment kami, saya lupa nak ambil. Tapi memang luas la ye. Puas hati. Gambar makanan masa buffet sarapan pun saya boleh lupa nak ambil. Memang enjoy makan, tak pandang kiri kanan, lepas satu, satu. Mungkin juga sebab kalau pergi mana-mana, anak lagi 2 orang jarang nak ikut, jadi bila cukup korum kali ni, itu yang saya ambil gambar family je. Seronok, dapat lari sekejap dari rutin harian. Sebab rumah kami dekat laut, jadi bila jumpa pemandangan bukit dan pokok-pokok yang menghijau, memang hilang segala tekanan dan rasa sejuk perasaan dan suasana. Alhamdulillah. 

Itu je la cerita saya buat kali ni.

Jumpa lagi, ye. 😊