Showing posts with label Masak Apa. Show all posts
Showing posts with label Masak Apa. Show all posts

Resepi Singgang Ikan Tongkol

 Semalam, saya pergi pasar, beli ikan. Hari ni, saya masak singgang ikan tongkol.

Singgang ikan aye (tongkol)

Masak singgang ni, memang sedap, dimakan dengan nasi panas-panas. Lepas tu, ada budu pulak.

Budu letak bawang dan cili, perah limau kasturi.

Tomato dan timun

Bila makan budu, saya suka kalau ada kacang panjang. Tapi sebab dalam peti ais ada sayur yang telah dipotong separuh, kita gunakan yang itu dulu la.

Telur dadar

Alhamdulillah. 😋

Saya sertakan resepi singgang ikan tongkol, ya.

Resepi Singgang Ikan Tongkol

Bahan-bahan:

Ikan tongkol seekor. Potong dan cuci bersih.

7 ulas bawang merah (dihiris)

4 ulas bawang putih (dihiris)

1 setengah inci halia (dihiris)

2 inci lengkuas (dihiris)

8 biji cili padi

Optional: 4 tangkai cili kering (rendam dulu air panas). Saya tak letak, terpulang pada anda ye, nak letak cili kering ke tak.

6 keping asam keping

1 sudu makan ketumbar - ditumbuk kasar. Saya takde pulak biji ketumbar. Saya guna serbuk ketumbar, lebih kurang setengah sudu makan

Garam dan cukup rasa

Cara Membuat:

1) Satukan semua bahan hiris, ketumbar dan ikan di dalam periuk.


Senang, kan. Tak guna minyak, tak perlu tumis. Lebur semua sekali atas api.

2) Campurkan air secukupnya. Masak hingga ikan empuk.

3) Masukkan garam, cukup rasa, asam keping, cili padi dan cili kering. Didihkan. 

Masa ni belum masak lagi. Saya biar api perlahan dan masak lama, supaya ikan lembut.

Siap. Gambar lauk singgang yang sudah siap, gambar pertama di atas, ye.

Ceduk ikan seketul dalam pinggan nasi. Eh, cara nak makan pun, nak cakap ke? Hehe... cubit isi ikan, pastu tenyeh-tenyeh isi ikan itu dengan cili dalam budu. Ambil nasi sikit, suap masuk mulut. Haaa.... hehehe.... ish ish ish.. memang ke laut dalam la, diet suku suku separuh, dia jadi diet dua pinggan tambah. 😂

Selamat mencuba. Happy weekend. 😊

Hari ini dan semalam

 Kadang tu, saya tak sempat nak update blog awal. Kadang tu, siap masak lewat. Lepas tu, ambil anak sekolah pula. Tak sempat online. Hari ni, lewat sikit, sebab tolong anak bongsu print kerja sekolah dia. Hahaha... heee.. macam-macam. 

Ok la ye. Semalam pagi, saya pergi lari lewat. 

Larian Isnin, 10.28 kilometer.

Hampir jam 7.30 pagi baru tiba di tempat lari. Lepas tu, saya terlari sampai 10 kilometer pulak tu. Sesi larian semalam adalah selama 1 jam 50 minit. Oh, sini memang best, tak rasa pun masa tu lama, sebab sambil lari, saya dapat tengok laut. Matahari pun agak terik semalam. Panas nak hujan di waktu tengahari. Main panas saya, habis la hitam muka. Tapi, biar muka hitam, jangan hati hitam, betul tak? (Ayat penyedap hati).

Jika anda baru nak mula berlari, jangan terus buat 10 km macam saya. Sikit-sikit dulu, ikut rasa kaki masing-masing. Esoknya, up 1 km. Lusa, up lagi 1 km. Dia tak boleh terus buat jarak jauh, tau. Nanti badan terkejut. Mula dengan berjalan pun ok. Lama-lama, up sikit, jadi slowjogging. Saya pun slowjogging je. Santai-santai.

Makan malam semalam, suami ajak pergi kedai tomyam.

Bihun kungfu.

Saya pesan bihun kungfu. Alhamdulillah, sedap.

Itu cerita semalam. Cerita hari ni pulak.

Orang tua buang tebiat.

Larian hari ini adalah sejauh 10.55 kilometer. Cuaca cantik hari ni, mendung je, tak panas sangat.

Balik rumah, saya buat wrap untuk sarapan.

Wrap telur goreng.

Saya guna Gardenia Roll-up Wraps.

Perasa bawang putih.

Yang jenis whole wheat sudah habis. Bawang putih pun ok juga. Lembut je, setelah dipanaskan seketika dalam kuali tanpa minyak. Alhamdulillah. Kenyang juga.Telur je ada di rumah. Kalau ada leftovers, bolehlah letak apa-apa, ayam ke, daging ke. Buat wrap adalah alternatif untuk menghabiskan lauk leftovers semalam, selain dari masak nasi goreng. Saya dah lama tak beli wrap ni. Bosan makan roti gardenia hijau, kita tukar yang ni pulak.

Untuk tengahari, saya masak sambal telur (telur lagi).


Biasa ler, lauk belum masuk gaji. Telur. Alhamdulillah. Jangan komplen. Rejeki hari ni. Orang Palestin tu, makan pun takde, rumah kena letup, sian dia orang. 

Sekian cerita hari ini dan semalam. Eh, ada lagu, tau, sama dengan tajuk entri saya. Saya sudahi entri kali ini dengan video lagunya. Hehe... jumpa lagi, ye. 😊

Cerita hari Khamis

 Oleh kerana sekarang cuaca kerap hujan, jadi bila tidak hujan saja, elok lah kita keluar berlari. Walaupun hari mendung, mendung tidak bererti hujan. Boleh jadi angin kuat gerakkan awan hujan ke kawasan lain. Bila hari hujan, kita duduk rumah diam-diam lipat kain ya. 😁

Larian Selasa lepas, sejauh 8 kilometer. Suami off kerja. Tengah posing selpiaq, tiba-tiba ada photo bomb. 😁

Kuat betul suami saya ni. Maksud saya, suami nekad untuk kurangkan berat badan. Dia berhenti terus minum air manis. Nasi pun makan seminggu sekali. Dulu, perut suamiku maju ke hadapan. Kini, lihatlah, dalam gambar di atas. Banyak progress dia. Iya, masih ada spare-tyre tu. Tapi slow-slow ler. Dah bertahun-tahun kot ternak lemak, takkan ambil masa sekejap untuk hilang kot. Rome wasn't built in a day, pepatah Inggeris mengatakan. Walaupun dia selalu merungut, berat tak turun-turun. Tetapi saya nampak ada pengurangan di pinggangnya. Seluar kerja suami pun sudah longgar, ok. Memang kalau nak kurangkan berat badan, kena kawal pengambilan gula dan karbo. Terbukti sudah. BMI suami saya, obese. Sedang usaha turunkan, slow-slow. Berusaha! 💪💪 Saya? Saya tak kuat macam suami saya. Dah banyak kali cakap nak berhenti minum kopi, tapi masih beli kopi. Kikikiki....

Pagi tadi, saya masak nasi goreng untuk sarapan kami anak-beranak.

Nasi goreng.

Boleh makan nasi. Tapi, portion-nya sebesar penumbuk kita sahaja. Saya pun dah kurangkan masak nasi. Dulu, 4 pot setiap kali masak. Sekarang, sudah 3 pot. Itu pun, sebab anak sulung ada di rumah, cuti seminggu. Nanti bila dia balik campus, masak 2 pot je la kot. Atau pun tak masak nasi langsung. Sebab tinggal orang yang tak makan nasi je nanti. Anak bongsu pun sedang usaha untuk kurangkan berat badan. Berat anak bongsu lebih 100 kilogram, walaupun dia baru 15 tahun. Dia, jururawat yang datang suntik imunisasi anti tetanus di sekolah dia, nasihat, supaya kurangkan berat badan. Sejak hari tu, dia terus cakap pada saya, tak mahu makan nasi lagi. 

Selain nasi goreng, goreng karipap yang buat semalam.

Kiri, karipap oksigen. Kanan, karipap berinti.

Habis dah karipap oksigen. Tinggal karipap biasa. Puas hati buat sendiri karipap.

Lepas hantar anak sekolah, suami ada aktiviti riadah di ofisnya. Dia tinggalkan saya di padang Astaka, Sitiawan.

Larian pagi tadi, 7.1 kilometer.

 Udara sejuk pagi tadi. Saya wheezing. Inhaler asthma ada dalam kereta yang suami bawa pergi ofis. Jadi, saya jalan-jalan saja. Ambil nafas dalam-dalam. Alhamdulillah, semput hilang. 

Lepas suami selesai aktiviti sukan di ofisnya, dia datang ambil saya semula di padang, dan kami pergi sarapan di mamak.

Saya pesan tosei, dan ambil vadei seketul. Suami makan puri, 1 set.

Vadei.

Beza ya, vadei dulu dan sekarang. Dulu, setiap gigitan, boleh rasa ada bawang dan cili api. Sekarang, rasa kosong je. 

Balik rumah, lepas mandi, masuk dapur, goreng ayam.

Ayam goreng.

Tengahari, makan nasi goreng pagi tadi bersama ayam goreng.

Lepas zohor, bawa anak-anak pergi Aeon sekejap, ada nak beli headphone la, perfume la. Sebab jarang ketiga-tiga anak ada di rumah dan hendak keluar sekali, paksa dia orang posing ambil gambar. Dia orang punya mulut pok pek pok pek, malas bergambar, tapi sebab tak ramai orang pun di Aeon, berjaya juga suruh anak-anak posing, seperti di bawah.

Dekat papan tanda Gemencheh Boys. 😁

Dari depan, anak sulung, diikuti anak bongsu dan anak kedua di belakang sekali. Syukur Alhamdulillah. Memang bising dalam kereta, sebab yang sorang tu, jarang-jarang nak ikut keluar rumah, jenis suka memerap di rumah saja. 

Sekejap je, anak-anak membesar. Selagi berkesempatan, ambil masa, spend time dengan anak-anak. Ajak anak sembang. Masa paling bahagia bagi saya, bila dapat luangkan bersama keluarga. 💓

Ok la ye. Sekian cerita hari ni.

Jumpa lagi. 😊

Cerita minggu ni

 Pagi ni, lepas subuh, hujan turun. Saya pun ambil bakul kain untuk dilipat. Sambil lipat kain, saya dengar macam hujan sudah berhenti. Habis lipat kain, hujan turun semula dengan lebatnya. Jadi, tak pergi jogging la saya hari ni. 

Bila saya keluar lari, saya ada ambil selfie sebelum balik. Mari tengok aktiviti larian saya sepanjang minggu ini.

Sabtu, 4 November, larian 7.4 kilometer.

Tapi lepas lari tu, badan ada rasa sakit-sakit. Macam nak kena flu.

Memang betul. Kena selsema dan sakit badan. Tapi, saya tak ke klinik pun. Makan ubat apa yang ada di rumah, dan beli ubat kat farmasi sahaja. Hari Ahad dan Isnin, saya off lari, sebab kurang sihat.

Selasa, 7 November, larian 7 kilometer.

Masih rasa sakit-sakit badan. Tapi, saya lari je. Masa lari Teluk Batik, ada sekor kera nak kejar saya. Saya berhenti, marah kat kera tu, "Haip! Apa ni?"

Kera tu pun berhenti, pastu tak jadi kejar saya. Hehe... kelakor juga. Saya terkejut masa dia lari laju ke arah saya tu. Tapi bila saya marah kera tu, kera tu pula terkejut. Lari sorang-sorang macam ni la, walaupun dalam hati rasa takut, kena buat-buat berani.

Rabu, 8 November, 7 kilometer juga. 

Suami ada, tapi kami tak lari sama. Dia selalu suruh saya lari dulu, sebab dia slow, banyak jalan. Hehe.

Bila jogging dengan suami, lepas habis riadah apa lagi, pergi makan ler... 

Kami pergi sarapan di Kluang Road Cafe, Manjung.

White coffee panas dan roti bakar telur goyang.

Roti dia tebal.

Suami pesan kacang pool, teh o limau kosong panas.

Sedap! 😋 Memang puas hati makan sini.

Lepas makan, pergi ronda-ronda naik kereta pula. Masuk Kampung Permatang, Manjung. Tuju ke Kuil Tua Pek Kong, dalam kawasan Pasir Panjang.

Tua Pek Kong Temple

Berhadapan kuil ni, ada laut terbentang luas. Langit biru je, cuaca baik. 

Air laut tengah surut.

Pokok kayu bakau yang sudah mati. 

Tak lama pun duduk situ tengok laut. Sebab hari panas. Balik rumah. Hari sebelumnya, saya ada masak pasta carbonara. Saya salah beli, nak beli spagetti tapi terbeli linguine. Tapi pasta carbonara yang saya masak, macam agak tawar. Saya repair, goreng semula dengan cili kering dan tambah daging ayam cincang. Jadi pedas sikit.

Pasta goreng pedas.

Alhamdulillah. Orang sudah cuti rupanya kan, balik kampung. Esok, Deepavali. Korang balik kampung ke?

Jumpa lagi, ye. 😊

Rumusan Oktober yang sendu

 Pagi-pagi buta, sudah masuk dapur. Sempat masak satu lauk untuk hari ni.

Kuali comot. Minta maaf ye.

Sambal telur rebus. Lauk paling mudah nak masak. Sambalnya, guna cili kering semata. Ada kick, ooo! 😋

Lepas hantar anak-anak ke sekolah, saya pergi berlari di padang. Sebab semalam hujan, padang agak basah dan becak. Tapi ok la, boleh elak-elak, ikut laluan kering.

Larian Rabu sejauh 8 kilometer.

Balik dari lari, saya singgah Family Mart. Mahu beli kopi, tapi mesin kopi sedang diservis. Huhu..

Hari ni sudah masuk bulan baru, November. Mari kita tengok rumusan larian di bulan Oktober.

Rumusan larian Oktober 2023

Ayoyo... kelihatan banyak rongak ya, dalam graf di atas. Banyak hari ponteng lari. Kih kih kih! 

Jumlah jarak larian cuma 145.6 kilometer.

Purata berlari dalam sehari cuma sejauh 4.7 kilometer. Hahaha... 

Kita cuba buat lebih baik bulan ni, ya! Berusaha! 

Saya sudah tak peduli tentang berat saya. (Ya ke? Boleh percaya ke? 😝) Tapi untuk rekod, saya letak di sini juga la ya. Hasil motto hidup baru iaitu Live Life Abundantly, berat saya naik sikit. Hahaha..... adan uke!

Dari 59 kg, sudah jadi 60 kg!

Tapi BMI saya masih normal (kurang dari 25). Jadi, apa nak buat ni? Nak control makan ke, nak kekalkan makan ikut suka hati? Entah la. Rasa nak makan, makan je la. Tapi yang pasti, saya akan cuba untuk lari hari-hari, sebab lari buat saya happy! 😁

Pejam celik, pejam celik, lagi 2 bulan je lagi, tahun 2023 ni. Adakah target atau azam anda masa awal tahun sudah tercapai?

Orait. Jumpa lagi, ye. 

Hari ini hari Selasa

 Rutin biasa, selepas hantar anak-anak ke sekolah, pergi lari. Saya berlarian di Teluk Batik, pagi tadi. Lama dah tak datang sini. Ada ramai orang naik bukit. Yang berlari, tak ramai. Kera-kera pun dah tak banyak. Kalau tak, memang segerombolan kera atas pokok-pokok ataupun yang lintas jalan. Ada tandas awam dan surau yang sedang di-renovate. 

Larian 7 kilometer di pagi Selasa.

Alhamdulillah. Cuaca pun baik. Tak berapa panas. 

Kucing tompok di taman awam Teluk Batik

Saya perasan, ada orang datang bawa makanan kucing. Dia naik motor, bila dia turun je, beberapa ekor kucing sini terus datang pada dia. Bermakna, kucing-kucing sudah kenal, sudah biasa. Patut kucing sini sihat-sihat belaka.

Habis lari, singgah kedai runcit, beli roti. Balik rumah, selesai mandi, sidai kain, saya masuk dapur, goreng telur, makan dengan nasi goreng yang saya sudah sediakan awal pagi, sebelum subuh.


Banyaknya nasi saya ambil. Lebih separuh pinggan. Ada masukkan ayam goreng mamak, yang tak habis. Semalam ada beli 3 ketul. Ayam goreng mamak kan, ada warna merah. Hehe..

Alhamdulillah. Korang makan apa? 😊

Masak dan makan

 Bukan hari-hari dapur rumah berasap. Kadang rasa malas juga nak masak. Meh tengok menu yang saya sempat ambil gambar minggu ni.

Mi goreng

Mi goreng, guna mi kuning Gardenia. Letak udang, ketulan ayam dan kek ikan. Paling mudah nak masak, kalau malas masak nasi.

Bihun goreng

Bihun goreng ni, sarapan pada hari Selasa, 10 Oktober lepas. Saya dan suami pergi sarapan di Warung Nelayan Kampung Permatang, Seri Manjung. Membukit kan, bihun dia. Kuih pun ambil juga, kelihatan dalam gambar, tinggal satu biji popia sira.

Pada keesokan harinya, 11 Oktober, saya masak sosej gulung seperti Carneyz ada kongsikan di blog beliau di sini.

Roti paratha frozen dan cheese

Bahan-bahan pun ada di rumah. Saya gunakan roti paratha bawang. Memang selalu beli jenis ni, sebab ada rasa wangi bawang tu, banding roti paratha biasa.

Susun dalam air fryer

Saya gunakan 2 keping roti paratha. Mula-mula saya potong sosej yang direbus tu, 3 bahagian. Lepas tu, terlampau besar, tak boleh nak cover. Jadi, 1 sosej, saya potong 4 bahagian. Comel-comel la. Saya tak letak italian herbs, cuma saya sapu atas dengan telur. 

Sosej gulung sudah siap! 😋

Yang tak dapat cover elok tu, cheese dia keluar meleleh. Anak kedua tanya, mama masak apa, bau sedap macam kedai roti ni? Terima kasih kepada Carneyz, yang share resepi yang mudah macam ni. Terbukti sedap. Sebab habis sosej gulung dimakan oleh kedua anak di rumah, tanpa tinggal saya seketul pun. Jadi, haruslah repeat buat lagi lain kali. 

Takpe, sebab saya lepas balik lari, saya sarapan roti gardenia hijau la, apa lagi...

Sandwich hashbrown

Tak payah subway, tak payah Bask Bear, buat di rumah je, sandwich yang sama sedap. Bakar roti, sapu butter. Letak hashbrown goreng, salad dan tomato. Cedap!

Nasi goreng

Nasi goreng ni pula, saya masak pada hari Khamis, 12 Oktober. Biasa kalau kita masak maggi 4 bungkus, saya cuma letak 3 je perencah dalam maggi tu. Jadi, saya selalu simpan perencah maggi extra. Nasi goreng dalam gambar, saya letak perencah maggi. Memang harum bau. Anak sampai datang dapur tanya, mama masak maggi ke? Tak la, nasi goreng. Bau macam maggi kari. Hehe... 

Ok la, itu je gambar makanan dan masakan yang saya sempat ambil minggu ni. 

Jumpa lagi, ye. 😊

Turun 2.5 kilo dan menu minggu ini

 Pagi-pagi waktu bangun dari tidur, saya cuba timbang berat. Macam tak percaya. Berat saya 59 kg! Serius, lah! Turun, naik semula. Turun, naik semula. Nak pastikan jarum penimbang di angka yang betul. (mesin timbang manual, you..). Betul la, 59 kg. Oh, I am so happy! Lama sangat, berbulan-bulan saya menunggu berat saya dimulai dengan angka 5. Sembilan bulan saya menunggu, penantian yang sangat lama. Untuk berat saya turun ke angka 5 something. Tapi tiap kali timbang, start dengan angka 6 juga, rasa hampa di hati. Tapi tak kisah sangat. Sebab tahu, padan muka sendiri, sebab tabiat makan yang tak terkawal. Saya memang suka makan, pantang tengok makanan sedap. 😁

BMI saya sudah kembali normal. 

Yay! Alhamdulillah. Sebelum ni, slightly overweight. Dalam usaha beberapa bulan untuk turunkan berat ni, saya belajar mengenal diri sendiri. Saya kira pengambilan kalori saya sehari. Saya tahu, jika saya tak ubah tabiat makan saya, berat saya takkan menurun. Saya kira, kalau saya masih nak makan banyak macam biasa, sehari saya kena lari sekurang-kurangnya 10 km. Tapi, sejujurnya, saya dah malas dan tak larat nak buat 10 km hari-hari, seperti 2 tahun lepas. 

Itulah yang mula intermitten fasting semula. 16 jam.Walaupun kadang tak sampai pun 16 jam. 

Saya masih berlari, cuma setakat cukupkan 10 ribu langkah.

Larian 6 km pada 29 September lepas.

Itu la rekod larian paling baru. Sejak dua menjak ni, saya suka berlari tanpa bawa pouch pinggang. Jadi, saya tak bawa henfon. Jadi, itu yang tak ambil gambar lari tu. Lagi kurang barang bawa masa berlari, lebih bagus.

Dan saya juga kembali berlompat tali, pada minggu ni. Saya tak kira berapa banyak lompatan. Tapi, saya ikut masa. Mula-mula, saya berlompat tali selama 10 minit. Dan saya tingkatkan masa, mengikut keadaan kaki.

Sesi jump rope hari ini, selama 25 minit.

Saya rasa kembali seronok lompat tali ni. Peluh memang mencurah-curah turun, masuk ke mata, sampai pedih-pedih mata. Saya sekadar buat lompatan biasa sahaja (regular bounce) atau orang kita cakap, lompat pocong. Hehe.. kadang saya buat boxer skips, bila kaki nak mula rasa lenguh. Bila dah lama lompat, saya cuba selitkan criss cross. Seronok, tau! 

Dari segi pemakanan, saya dah berhenti minum kopi. Kalau tak, hari-hari saya beli kopi di kedai kopi hipster la, zus coffee la. Sekarang, barang semua dah mahal. Saya fikir-fikir, kalau saya kurangkan beli kopi luar ni, boleh juga berjimat. Bukan saya berhenti sepenuhnya. Saya minum juga nescafe o, yang saya bancuh sendiri di rumah. Jadi, saya boleh kawal berapa gula letak. Gula pun saya tak berhenti terus pengambilannya. Saya masih masukkan gula dalam minuman saya, limit sehari, 5 sudu kecil. Sebab saya dapati, kalau saya minum air masak 2 hari tanpa air manis, saya mula ada rasa gelap mata, kurang gula dalam darah. Sebab saya berlari, kan. Kena ada gula juga, cuma dalam jumlah terkawal. 

Karbo, saya kurangkan juga. Setakat entri ini ditulis, sudah 3 hari saya tak makan nasi. 

Saya makan roti gardenia gandum penuh ni.

Kadang makan dengan telur dadar. Dalam telur dadar tu, saya letak bawang, cili, tomato, atau apa saja la sayur dan sumber protein yang ada dalam peti ais rumah. Kadang kalau malas, saya bakar roti ni, dan sapu mentega kacang. Mula-mula hari pertama, memang ada rasa lapar. Tapi hari ni, sudah rasa ok. Tengok la camana. Ha ah, saya makan roti ni je, untuk sarapan, makan tengahari dan makan malam. 

Hari tu saya pergi supermarket, tengok buah. Satu plastik buah epal, RM11. Saya letak balik. Mahalnya. Makanan sihat memang mahal, kan. Makanan tak sihat atau junk food murah. Huhuhu...

Kalau saya keluar makan dengan suami, order satu je hidangan, kongsi makan. Dia pun jaga makan juga, suami saya lagilah, BMI dia obese. 

Walaupun saya sedang jaga makan, tapi saya tetap memasak macam biasa. Anak-anak kan sedang membesar. Kalau dia orang ikut diet macam saya, macamana nak belajar. Meh tengok apa saya masak sepanjang minggu ni, yang saya ingat untuk ambil gambar.

Nasi goreng

Baki nasi semalam tak habis, buat nasi goreng la, buat sarapan anak-anak pi sekolah. 

Kari ayam

Masak kari ayam guna hampir seekor ayam, boleh tahan 3 hari, buat lauk.

Sayur kacang buncis bersama kubis bunga dan lada benggala.

Suka sayur macam ni. Stir-fry bersama bawang putih dan cili padi hijau, letak sos tiram sikit dan pecah telur sebiji. Tak payah letak garam pun.

Sambal telur rebus

Yang ni, saya masak pagi tadi. 

Alhamdulillah. Diet ni, kalau boleh, tak mahu la sekadar seminggu. Itu yang kena cari makanan yang kita selesa nak makan, buat gaya hidup. Saya boleh makan roti je, tak makan nasi. Tapi suami saya, orang kelantan, nak tak nak, kena ada nasi. Kita makan cara suku-suku separuh la. 

Ok la. Esok dah hari Sabtu. Cepat betul masa berjalan bila kita tengah sibuk. Selamat beristirehat ye, pada pembaca sekalian.

Jumpa lagi. 😊