Cerita hari Khamis

 19 Ramadan 1443 Hijrah.

Kalau suami ada, dia akan hantar anak ke sekolah. Tapi bila dia kerja, saya lah yang ambil alih tugas tu. Bila dah hantar anak ke sekolah, sampai tempat jogging pun dah lambat. Jadi, buat setakat 5 km je.


Tak cukup 10 ribu langkah pun. Bila balik rumah, lepas menyapu, lepas cuci tempat kucing luar rumah, barulah cukup target 10 ribu langkah. Ok ler tu. Alhamdulillah.

Gambar di atas adalah 2 ekor kucing di kedai nasi kerabu. Suami saya ni, kucing memang suka dengan dia. Tapi, dia tak suka kucing. Dia rimas nak layan kucing. Tapi kucing suka sangat datang kat dia, gesel kat kaki dia, nak manja. Masa pergi beli nasi kerabu, datang la seekor kucing ni kat suami saya, miau, miau. Tuan kedai kata, dah makan dah kucing tu. Tapi suami saya beli ikan goreng celup tepung, bagi kat kucing tu. Bila kucing tu tengah makan, datang lagi seekor kucing lain. Suami saya beli lagi seekor ikan goreng. Bagi lagi. Sedap nasi kerabu kedai kakak ni. Saya dah lama tapau nasi kerabu dengan dia. Kalau lauk daging, lembut. Ayam bakar pula, cukup rasa. Portion nasi pun banyak. Budu dan sambal dia bagi just nice. Ada orang punya nasi kerabu, masin, letak banyak budu. Dah ada kedai dah kakak ni. Dulu dia tumpang niaga di hadapan kedai makan orang.

Semalam terawih habis lambat, pukul 11. Imam baca surah panjang. Masa 8 rakaat pertama saya duduk belakang. Lepas orang balik, saya dapat rapat saf sampai saf pertama. Pertama kali dapat duduk saf depan. Masa kita boleh solat ni lah peluang untuk kita kumpul berapa banyak kita mampu buat. Nanti bila bendera jepun dah naik, selamat. Buat kueh raya la jawapnya. 

Adakah anda sudah buat kueh raya? Atau beli saja? Saya dah beli tau, kueh yang saya tak pandai buat. Contoh, tart nenas. Lagi satu, biskut chocolate untuk anak-anak, macam menarik je saya tengok. Memang sedap, dah try waktu sahur. 

Ok lah. Jumpa lagi, ye.

Tukar angin

 18 Ramadan 1443 Hijrah.

Semalam cuti umum Nuzul Quran. Kebetulan suami pula off kerja. Dia ajak nyongkit Ipoh. Saya on je. Tak beli pun baju raya. Beli keperluan harian saja. Singgah zohor di Masjid Batu Gajah. Tempat ambil wuduk wanita berkunci. Saya ambil wuduk dalam bilik air. 😞 Tempat solat wanita tingkat 2. 

Lepas tu, pergi pasar ramadan Batu Gajah, depan TF tu. Beli makanan untuk berbuka. Dalam pukul 4 petang camtu, hujan turun selebat-lebatnya dengan angin dan kilat. Huuu... takut. Nasib sempat beli semua, cepat-cepat masuk kereta. Sampai Seri Iskandar masih hujan. Bila sampai Lumut, terang benderang panas. Perbezaan cuaca di tempat berbeza.

Pagi tadi, lepas hantar anak sekolah, saya pergi jogging di Esplanade Lumut. Lama tak kesini. Saya tukar tempat jogging sebab tempat biasa saya pergi tu, ada bau busuk. Bau baja. Tuan tanah kelapa sawit tengah nak membaja. Dia punya bau... omaigod! 

Saya buat setakat 10 ribu langkah saja pagi tadi, lebih kurang 6 km. Tak sampai 1 jam pun beriadah. Lenjun. Peluh banyak keluar. Air, tak cukup masa nak minum dengan banyak. 

Gambar di atas, sepasang kucing sedang ber-dating. Kucing puasa. Jaga jarak antara satu sama lain.


Gambar pondok dari sudut berbeza. Mengadap laut. Sini memang tempat bagus untuk beriadah. Hati tenang, dapat tengok laut. Kalau anda bernasib baik, boleh nampak memerang sekeluarga berenang pagi-pagi, cari makan. Kalau datang awal pagi dan langit masih gelap, sini ada banyak lampu spotlight, jadi memang cerah dan selamat jogging sini. Tiada anjing. Pekerja majlis pun ramai.

Balik rumah, masak daging goreng kunyit. Rebus dulu daging sampai empuk. Bila air dah kering, keluarkan daging dan gaul dengan sedikit serbuk kunyit. Panas api, tumis bawang dan cili api. Masukkan daging, kacau-kacau, dan siap. Harap cukup rasa. Tak sabor nak tunggu waktu berbuka. Hehe..

Baiklah. Jumpa lagi, ye.

Mengantuk

 15 Ramadan 1443 Hijrah.

Mengantuk sebenarnya, tapi pergi jogging juga. 


Larat buat sampai 7.15 km pagi tadi. Alhamdulillah. Pace 10. Huhu...

Gambar di atas masa saya sampai tempat jogging. Belum pukul 7 pagi. Langit dah agak cerah.

Semalam saya buat 21 terawih. Habis pukul 10.30 malam. Selama ni, saya buat 8 je. Tapi saya nak cuba, itu yang saya kuatkan semangat juga. Bila last anda solat terawih 21? Saya, nak tahu bila? Masa saya belasan tahun. Masa saya masih sekolah. Ya Allah, lama giler la, saya tak buat. Semalam saya rasa happy sangat, Allah izinkan. Macam baru lepas habis half marathon. Terharu dan rasa seronok. 

Apakah 2 benda yang kurang di bulan puasa ini?

1) Tidur

2) Air

Betul, tak? Ada kuliah pula tengahari ni, jadi lepas zohor je dapat tido sekejap kot. 

Baiklah. Salam hujung minggu kepada semua pembaca sekalian. 

Jumpa lagi, ye. 😊

Riadah Sabtu

 14 Ramadan 1443 Hijrah.

Pagi tadi masa jogging, rasa nak terbuang ayor kecik. Tak tahan la pulak. Jadi, saya balik awal.

Riadah hari ini

Tak sempat 4 km pun, saya dah balik. Lega, dah lepas hajat di rumah. Saya minum ayor masak banyak, waktu sahur saya tak minum kopi pun. 

Lepas tu, saya sambung jogging dalam rumah. Bukan atas treadmill, keliling meja makan dan masuk bilik. Saya malas pakai kasut, pakai stoking je. Dapat la dalam 2 km.

Buat sikit-sikit, setakat mana kaki mampu pergi di bulan puasa. Tengok-tengok, dah lebih 100 km dah berlari bulan April ni.


Alhamdulillah atas nikmat sihat yang Allah bagi. Gambar di atas adalah lencana dapat melalui aplikasi Strava.

Lepas jogging dalam rumah, saya buat yoga sekejap, dalam 19 minit. Yoga ni, macam regangan. Lega bila buat. Mengendurkan otot-otot yang tegang. 

Lepas mandi, saya masak. 


Masak ayam goreng bercili lagi. Hari tu, cili hijo dan cili api, kali ni, guna cili kering pulak. Asyik masak lauk yang sama. Entah, saya rasa selera makan sahur bila ada lauk tak berkuah ni. 

Hari ni hari Sabtu. Kome nak nyongket ke mana-mana ke? Saya tak pi mana-mana, suami kerja. Huu..

Selamat beristirehat semua..., jumpa lagi ye.

*nyongket : Jalan-jalan, bahasa Perak.

Salam Jumaat

 13 Ramadan 1443 Hijrah

Masa bangun sahur pukul 4 pagi tadi, hujan. Tak tahu dah hujan sejak pukul berapa. Tidur memang tak sedar diri waktu malam sekarang. Suami balik kerja tengah malam pun tak sedar. Dia kata, saya dengkur,"Kroh.. kroh.." 😅

Saya keluar jogging seperti biasa.


Dapat jogging 7.25 km pagi tadi. Alhamdulillah.

Gambar menunjukkan pokok limau kasturi. Biasa ambil bila nak buat sambal belacan.

Malam ni, tak dapat pergi terawih masjid. Sebab nak ikut suami ada majlis berbuka puasa ofis dia. Dah kurang orang dah tau, walaupun baru malam ke 13 semalam. Cepat benor orang buat kueh raya. Bila yang buat 8 balik, lagi la tinggal berapa kerat je yang buat 21. Kat masjid yang saya biasa pergi tu la. Tempat lain, wallahualam.

Baiklah. Jumpa lagi. Semoga hari anda ceria hari ni. 😊

Menjahit la pulak

 12 Ramadan 1443 Hijrah.

Pagi, pergi jogging.

Malam, pergi terawih.

Kalau ikutkan hati, memang malas. Setan dah takde, kena rantai pun, tapi susah nak buat. Tapi, bak kata kasut Nike, "Just Do It!" 

Mari kita!


Pagi tadi, sempat jogging sejauh 7 km. Alhamdulillah.

Gambar di atas adalah kerja saya semalam. Menjahit bahagian dalam (lining) bag kait. Saya tahu jahit lurus je. Benda simple-simple. Buat baju, saya tak pandai. Mesin jahit dalam gambar di atas, adalah pemberian orang. Mujur masa saya kecil dulu, arwah mak saya ada ajar guna mesin jahit lama. Dulu masa sekolah kan, kita kena buat projek jahit masa subjek Kemahiran Hidup. Sarung bantal la, apron la, bag sandang la. Boleh la saya guna mesin jahit Raleigh lama ni, repair seluar-seluar koyak, apa yang patut. Dah ada electric foot pedal dah. Tekan je, jalan. Kalau jenis pijak goyang kaki tu, susah juga. Dulu saya selalu ter-reverse ke belakang, bukan jalan ke depan. Pastu, mak jerit, marah. Arwah mak saya memang garang orangnya, tapi dia sempat ajar knitting (kait 2 jarum) pada saya, masa saya kecil, tak sekolah lagi. Cikgu yang garang. Hehe... rindu pada mama. Semoga Allah tempatkan arwah mak saya di kalangan orang-orang yang beriman. Aminnn...

Ok la, jumpa lagi, ye. 

Ayam bercili sedikit

 11 Ramadan 1443 Hijrah.

Pagi-pagi pergi jogging. Mula-mula berdua dengan kawan. Pastu, kawan balik awal, dia nak buang air. Tempat jogging tu, tak ada tandas awam. Sama ada pergi ke stesen minyak terdekat untuk lepaskan hajat atau balik rumah saja. Biasalah tu, saya pun sebelum keluar jogging, 2 kali pergi buang air kecil dulu kat rumah. Minum air masak banyak sebelum waktu subuh. Mana tak rasa nak buang air je. Tapi saya ada tengok video Kevin Zahri, dia cakap, kita bukan unta, yang ada tempat khas simpan air. Kita ni, lagi banyak minum air, lebih banyak badan kita akan keluar air. Minumlah secara berpada-pada. 


Jogging sejauh 7 km pagi tadi. Alhamdulillah.

Lepas jogging, pi kedai runcit 2 Kupang, nak beli ayam, tengok-tengok, kakak jual ayam tutup daaa... pastu melencong ke pasar pula. Ayam seekor harga RM16.70. Pastu tengok daging, beli daging batang pinang. Sekilo harga RM40. Bapakkkk.... ni apehe, awal-awal beli daging ni, belum lagi raya. Saja, teringin...

Balik rumah, suami ada. Dia tolong cuci ayam dan goreng ayam. Guna separuh ayam sahaja. Separuh lagi simpan freezer, masak lain hari. Merujuk kepada gambar di atas, ada seketul bahagian hitam di dalam gambar, itu hati ayam. Huhu... suami yang goreng. Jangan komplen kalau tak melepasi standard piawaian. Dia dah tolong di dapur pun dah cukup baik. Syukur Alhamdulillah. Lepas mandi, saya tumbuk cili. Nak buat ayam goreng berlado. Tapi cili kat rumah tak berapa banyak. Jadilah kejadian seperti gambar di atas. Nama lauk berbuka pada hari ini adalah ayam bercili tapi cili tak berapa banyak. Gitewww.... Ko dah apahal? Pergi pasar dah tadi, bukan ingat nak beli cabai ke, bawang ke. Huuu... mabuk laut sat. Saya masak awal, sebab nak bagi suami bawa bekal, dia masuk kerja 12 tengahari, bekal untuk berbuka.


Gambar menunjukkan lencana baru dapat dari aplikasi Garmin Connect. April Rundown, sudah melepasi 80.5 km di bulan April. 

Baiklah. Jumpa lagi ye. Semoga hari anda pada hari ni ceria dan dipermudahkan segala urusan. 😊

Larian Selasa

 10 Ramadan 1443 Hijrah.

Pada hari Ahad lepas, saya tak jogging. Dah 6 hari riadah, ingat 1 hari tu, nak rehat.

Keesokan harinya, Isnin, iaitu semalam, hujan pula di pagi hari. Off jogging juga. Masuk dapur awal. Masak sambal tumis. Supaya suami boleh bawa bekal buka puasa, sebab dia masuk kerja tengahari.

Pagi tadi, saya jogging.


Jogging sejauh 7.4 km. Alhamdulillah.

Dalam gambar di atas adalah anak kucing baru. Kepala besor belaka. Kaki belakang lembik lagi. Anak kepada Oyen, ada 4 ekor semuanya. Kalau nak tengok Oyen, dekat post ni. Comei budak-budak bulus ni. Kepala besor, telinga kecik. Bapak dia, kaler macam lembu new zealand tu, hitam dan putih. 

Kadang tu, kita nak sangat buat satu benda. Tapi ada perkara lain yang perlu diutamakan. Macam saya, saya nak masuk event lari yang jauh-jauh, tapi saya ada tanggungjawab terhadap keluarga. Semalam masa saya tengok satu kuliah motivasi Ramadan, dari Dai' Izzhar, baru saya dapat jawapan yang pasti. Kalau nak buat sesuatu tu, fikir, "Allah redha tak, dengan apa yang aku buat ni?" Redha Allah juga, dari redha orang tua kita, iaitu ibu dan bapa. Selain redha suami juga, bagi seorang isteri. Saya kurang suka sebut pengorbanan. Mungkin bukan masanya lagi kot. Sebab saya ada anak yang masih bersekolah. Siapa nak hantar dia orang, bila suami bekerja. Lain la kalau dia orang dah besar, dah duduk U ke, baru lah boleh ke sana, ke sini, lari jauh sikit. Mana tahu kan, satu hari, Insya-Allah. 😊

Surah Al-Baqarah, ayat 112

Surah Al-Baqarah, ayat 112 di atas adalah ayat penyedap hati, bila kita sedang sedih. Buat apa sedih-sedih, kan. Allah kan ada. Dia tahu apa terbaik untuk kita.

Eh, saya lupa nak share e-sijil yang saya baru dapat melalui aplikasi Bookdoc.


Untuk Nephro HKL World Kidney Day, berjaya mencapai 100,000 langkah dari 10 Mac-10 April 2022. Free je, cabaran ni, dekat Bookdoc. Dapat e-medal juga.

Oklah. Jumpa lagi, ye.