Bantal purple pink yellow

Isnin, 21 Ramadhan 1445 Hijrah. 

Rindu saya tak? Hehe... Lebih 2 minggu juga tak update blog. 

Mula tu, saya sakit kepala. Sakit kepala di bulan puasa agak seksa juga, sebab tak boleh telan ubat. Tahan je. Waktu sujud semasa solat, berdenyut-denyut rasa. Sakit di bahagian muka. Saya ingat, saya kurang air dalam badan. Bila hari saya sihat, dan selepas saya jahit cross stitch, sakit kepala tu pun datang. Saya perasan juga, mata jadi extra letih lebab ber-cross stitch ni. Lubang pada kain kecil sangat kot, mata kena kerja lebih keras. 

Saya pergi check mata di kedai cermin mata. Power spek bertambah. Buat spek baru. Itu yang saya tak update blog dan menjahit sementara tunggu cermin baru siap. Bagi mata rehat. Saya tanya optometrist tu, normal ke, tiap-tiap tahun kena buat cermin mata baru sebab power bertambah? Dia kata normal, lagi-lagi saya menjahit. Pembaca sekalian yang ada pakai cermin mata, korang berapa kerap kena tukar cermin mata baru kerana power bertambah?

Lagi satu, saya rasa sedikit kecewa kerana fikir, mungkin saya tak boleh jahit cross stitch lagi, kot. Faktor usia. Saya baru je mula projek baru cross stitch. Cross stitch adalah projek jahit silang pangkah yang saya suka, sejak dulu, tapi sudah lama tak buat. Banyak mengait saja. Jenuh juga kalau tiap-tahun tahun nak kena buat spek baru. Cermin mata bifocals, yang untuk rabun jauh dan dekat, bukan murah. Hai, entahlah.

Ok lah. Saya share hasil kait terkini yang baru siap. Meh tengok...

Tunjuk belakang dulu. Gemuk la dia ni...

Dari depan. Saiz bantal 43cm X 43cm X 10 cm

Ada butang pelbagai warna.

Sarung bantal boleh dibuka, untuk dibasuh. Ada bantal bahagian dalam, turut disertakan sekali.

Dari tepi.


Saya juga ada kongsikan bantal ini di page facebook saya. Kalau takde orang cekup dulu, Insya-Allah, bantal ini akan jadi salah satu hadiah hujung tahun kepada top pengomen di blog. 

Sekian perkongsian hari ni. Semoga kita semua sihat dan kuat mengharungi penghujung ramadan ini. Motivasi diri sendiri, untuk cuba buat lebih. Semangat, dan berusaha! 💪💪

Jumpa lagi. 😊

Tanaman saya dan masak apa hari ni

 Isnin, 7 Ramadhan 1445 Hijrah.

Hari ni, saya share sikit pokok-pokok yang saya tanam di rumah hijau saya, ya. Saya ni, baru nak berjinak-jinak menanam sayur. Kebanyakan benih pokok yang saya beli, adalah dari pasaraya, juga kedai Eco 2.40. Ada yang tumbuh, ada yang dah lama kita semai, tak tumbuh-tumbuh. 

Tomato

Contoh macam benih pokok tomato yang saya beli, semua tak ada yang keluar jadi pokok. Tak tahulah sama ada benih lama sudah expired ke, atau apa. Saya ada tengok cerita Jepun bertajuk Little Forest. Dia makan tomato yang sudah masak, kemudian dia campak je kat tanah, boleh tumbuh jadi pokok. Sebab benih yang saya beli semua tak menjadi, saya pun ikutlah style movie Jepun tu. Betul, boleh tumbuh. 

Tomato mula tumbuh.

Saya letak satu slice tomato yang ada biji atas tanah. Kemudian siram. Selang sehari dua, sudah naik seperti dalam gambar atas. 

Biar dia tumbuh besar sedikit. Saya siram 2 kali, pagi dan petang, sebab sekarang cuaca panas. Saya juga ada masuk group bercucuk tanam di fb. Dari group tu, saya baca, kalau anak pokok, orang kata jangan tunggu lama untuk asingkan. Sebab nanti akar dia berselirat di bawah, susah nak asing. Sebab bila kita semaikan, biji tomato tu dekat-dekat antara satu sama lain. Semua tumbuh pula tu. Lebih kurang batang anak pokok tu setinggi 4 cm, saya pun pindahkan ke pasu individu.

Anak pokok tomato

Bila kita sudah asingkan, bukan semua menjadi. Maksud saya, hidup. Sebab halus sangat batangnya. Jari kita besor. Dari banyak-banyak, dapatlah beberapa anak pokok yang hidup segar. Itu pun, kita tengok lah dia jadi besar ke tak. Hehe.. 

Butterhead Lettuce (salad)

Ha, yang ni, elok benih dia, saya beli dari kedai Eco. Halus-halus je biji benihnya. Saya ambil sejemput, saya taburkan atas tanah. Siramlah seperti biasa. Elok dia naik.

Pun sama macam tomato, saya tunggu dia besar sikit, barulah saya pindahkan ke pasu satu-satu.

Baru pindah ke pasu individu

Masa dia tumbuh banyak-banyak satu tempat tu, saya guna jari untuk korek. Sebab jari kita boleh rasa akar anak pokok tu. Kalau saya guna penyeduk tanah atau small shovel, takut kita terkerat akar dia di bawah. Agak fragile dan delicate kerja-kerja memindah anak pokok ke pasu individu. Itu saya boleh berhabis sampai 1 jam buat kerja di rumah hijau ni. Suami cari saya satu rumah tak jumpa, rupa-rupanya saya duduk belakang rumah, buat kerja ni ha. 😁 Tapi sekarang dia dah tahu, kalau saya takde dalam rumah, saya ada di belakang ler tu, bercucuk tanam. 

Pasu individu pulak saya tulis. Macam orang ye. Maksud saya, satu pokok, satu pasu. 

Mula tumbuh daun baru.

Seronok bila tengok daun baru keluar. Dari 3 daun, jadi 5 daun. Makna, dia tumbuh ler tu. Kalau anak pokok tu tak jadi, kita boleh tahu bila kita siram, dia senang tumbang. Kita repair-repair gembur tanah bagi dia hold pun, dia nak juga tumbang. Rasanya dia tak tumbuh ler tu. Gagal masa proses pindah ke pasu. Takpe la. Gagal itu biasa. Cuba tanam dan gagal, kita belajar benda baru. Mana kita silap.

Kacang botol / Winged bean / kacang botor

Pokok kacang botol ni, biji benih dia agak besar. Jadi, saya takde lah semai dia dekat-dekat. Satu kotak, satu je anak benih saya letak.

Masa anak pokok.

Ni pun, bila kita semai 6 biji benih, bukan semua enam-enam jadi anak pokok. Tak tahulah di mana silapnya. Sebatang dua je yang tumbuh. Standby la kayu ke, buluh ke, sebab kita sudah sedia maklum yang kacang botol ni, adalah tumbuhan menjalar.


Saya letak batang buluh. Pokok ni pandai, bila ada buluh tu, dia pandai lilit sendiri, tumbuh ke atas, cari cahaya matahari. 


Saya sudah standby tali di bahagian atas, dalam gambar di atas, tidak kelihatan talinya. Lebih kurang macam ampaian, supaya pokok kacang botol ni boleh menjalar atas tali pula. 

Petola

Ler.. saya takde pula ambil gambar pokok petola masa dia kecik. Biji benih dia pun agak besar juga. Cepat dia tumbuh. Daun dia lain macam sikit. Ini pertama kali saya cuba tanam pokok petola. Dah terbayang-bayang, sedapnya masak sup tumis petola letak suun, sayur fucuk dan bebola ikan. 😋

Dah besor panjang, baru ambik gambar dia.

Ada 2 pokok petola yang tumbuh besar setakat ini.


Pokok petola ni, ada sulur paut. 


Tidak seperti pokok kacang botol yang melilit batang buluh dengan batang lembutnya, pokok petola ada sulur paut yang bantu pokok cari tempat menyokong untuk menjalar dan terus membesar. Macam tangan yang cari tempat untuk berpaut.

Cili padi

Yang ini, sama macam pokok tomato. Saya ada benih pokok cili padi yang dibeli di pasaraya, tapi bila disemai, semua tak menjadi. Last-last, saya guna biji cili padi dalam peti ais, yang sudah kecut, barulah dia tumbuh jadi pokok.


Itulah tanaman yang saya tanam di rumah hijau setakat ini. Kalau ada rezeki, bolehlah merasa jika pokok-pokok ini keluarkan hasil. Jika tak pun, saya anggap ia sebagai proses pembelajaran. Kena rajin siram. Kenapa tak guna kaedah hidroponik, untuk pokok salad tu? Sebab saya gunakan barang yang ada di rumah sahaja. Belambak pasu peninggalan orang tua. Kalau guna hidroponik, kena beli set dia lagi. 

Ok la. Kalau ada perkembangan lagi, saya akan kongsikan nanti-nanti, ya.

Masuk hari ni, sudah seminggu kita berpuasa. Cepatnya masa. Saya dah masak awal hari ni. 

Cancaru sambal hijo.

Hari tu, brader yang jual ikan keli tak datang pula, kat pasar. Jadi, saya carilah ikan lain. Ikan cencaru pun bolehlah. 

Korang masak apa? Ke, beli juadah berbuka di pasar ramadan je?

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 😊