Pergi gym

 Ahad, 21 Januari 2024 - Saya bersama suami, dan dua orang anak, pergi gym berdekatan dengan rumah. Eh, nak kata dekat sangat tu, tak lah. Saya dan suami naik kereta ke sana. Sementara dua orang anak, naik motor. Anak bongsu sedang praktis naik motor, dia nak ambil lesen motor tahun ni. Dia ikut jalan dalam menerusi taman perumahan saja, tak keluar jalan utama, boleh sampai ke lokasi gym.

Anak kedua, yang kini sedang menghadapi peperiksaan SPM, sebelum ni, memang banyak kali menyuarakan keinginan untuk pergi bersenam di gym ini. Pertama kali pergi, dia pergi bersama bapaknya. Kali ni, kami pergi berempat pula. 

Selalu berlarian pun, ada kala rasa bosan juga. Sesekali, buat strength training pula (latihan beban). Sementara untuk anak kedua, satu cara dia release tension dan berehat seketika dari mengulangkaji pelajaran.

Bayaran masuk untuk seorang ialah RM5. 

Gym ini terletak di dalam sebuah bangunan besar, seperti dewan sukan, di mana di ground floor adalah court badminton yang orang ramai boleh sewa, sementara tingkat atas adalah gym. 

Saya agak kagum juga, kerana ada banyak peralatan dan mesin senaman di gym ini. Saya mulai memanaskan badan dengan menggunakan elliptical atau cross trainer. Baru buat tak sampai 5 minit, sudah rasa panas dan berpeluh. Ada kipas sahaja di beberapa tempat dalam gym. Tiada aircond. 

Eh, boleh nampak reflection saya.

Kemudian saya buat leg press. Kebanyakan mesin senaman, saya menggunakan berat antara 5kg ke 15 kg sahaja. Lebih dari tu, tak larat la! Sebab kita ulang senaman yang sama banyak kali. Repeat dalam bentuk set.


Diikuti dengan inner thigh adductor ni pula. Untuk kecilkan peha. Suami sayalah yang menunjuk ajar saya cara guna sesuatu mesin itu dengan betul, termasuk posture badan, tarik nafas dan sebagainya, sebab dia dulu ada pengalaman guna gym beberapa bulan, dengan tunjur ajar personal trainer.


Seterusnya, menggunakan standing calf machine ni pula. 

Selain kami empat beranak, cuma ada seorang anak muda yang sedang work-out, di bahagian lain gym. Saya seorang saja perempuan. Tapi rasa best, sebab tak ramai orang.

Kena buat senaman untuk kaki saja kah? Tak boleh ke, kita guna je mana-mana mesin yang kita suka? Suami saya kata, nak cuba buat, buat je lah.


Saya pun buat pec fly ni, untuk dada pula. 

Lepas tu, saya dah malas nak ambil gambar. Saya cuba beberapa mesin lagi, sampai saya punya tangan sudah tak larat nak angkat beban lagi. Barulah saya stop. 

Kedua anak sudah pun berhenti lebih awal. Mereka work-out lebih kurang setengah jam saja. Saya 45 minit. Lepas tu, kami jumpa dengan anak-anak di kedai mamak berdekatan, untuk sarapan.

Keesokan harinya, rasa sakit-sakit badan sebab buat senaman beban di gym. Saya pernah buat strength training di rumah, tapi dumbell saya 1 kg sahaja, dan kettle bell saya pun cuma 5 kg. Terus saya isytihar off day untuk running. Rehat saja, untuk recovery. Kalau buat active recovery seperti berjalan pun bagus juga, tapi saya rasa malas sebab sakit otot. Hahaha.... Itulah pertama kali saya buat senaman beban di gym. Walaupun sebelum ini saya pernah masuk gym semasa bercuti di hotel, entrinya ada di sini, tapi saya cuma menggunakan treadmill saja. 

Saya rasa seronok pula. Saya ada baca, runners pun elok buat strength training ni, seminggu sekali sudah ok. Tapi sejak hari tu, saya tak pergi ke gym lagi. Kedua anak saya ada ulang pergi, berdua, tapi saya tak ikut.

Baiklah, itu saja cerita saya bersenam di gym. Anda pernah pergi bersenam di gym? 

Jumpa lagi, ya. 😊

Apam beras

Updated on 5 Februari 2024, update gambar sekeping yang diambil semasa pergi Pasar Pagi Bota, baru-baru ini. 

20 Januari 2024 - Pergi Pasar Pagi Bota Kanan, bersama suami. Saya pernah cerita pasal pasar Bota ni dulu, di entri ini. Ada satu gerai jual apam beras ni, selalu ramai orang beli. Sampai beratur panjang. Kami tak pernah cuba. 

Ramai beratur di gerai apam beras.

Kebetulan masa kami lalu, tak ramai la pulak sedang beratur. Suami pun menyelit, dan beli 2 biji apam beras. Sorang satu, tak mau share. Hehe..

Kuih tradisi negeri Perak, iaitu apam beras versi orang Lambor Kanan, katanya.

Balik rumah, kami pun cuba. 


Macam ni la kami. Meja makan ada. Tapi lebih suka bawa makanan, duduk bersila depan tv. 😁

Kuih apam ini di bahagian bawahnya, ada daun pisang. Diberi sekali dengan 1 paket kecil kelapa parut. 

Idok ler teman tahu, apakah bezanya antara apam beras ini berbanding kuih apam gebu biasa yang comel-comel berwarna-warni yang dijual tu. Mungkin lain dari segi resepinya.


Lembut. Sedap cicah dengan kelapa parut tu. Patut ramai orang beli. Rasanya lebih kurang macam kuih apam biasa. Yang buat lain adalah, bawahnya ada daun pisang. 

Besor juga saiz dia. Satu apam beras, harga RM1.50. Saiz dia sebesar kuih bakar pandan bentuk bunga tu.

Alhamdulillah. Dapat merasa. 

Orait. Jumpa lagi, ye. 😊