HTM Ipoh 7 Bridges Run 2023

Cerita tentang HTM Ipoh 7 Bridges tahun lepas, ada di sini.

Tak macam tahun lepas, di mana saya bertolak dari Lumut pada hari larian. Tahun ini, saya dan suami pergi ke Ipoh hari sebelum larian, dan bermalam di hotel.

Race Entri Pack Collection (REPC)  

Sabtu, 16 September 2023 - Bertolak dari Lumut sebelum tengahari lagi. Nasib baik pergi awal. Sebab hari roadblock sedunia di Perak. Jumpa dengan 3 sekatan jalanraya oleh polis. Dia punya kesesakan, panjang berjela, you. Sampai saja di Ipoh, terus tuju ke Stadium Indera Mulia, untuk ambil racekit. Ada 2 hari boleh ambil racekit, hari Jumaat dan Sabtu. Sesak ye, di stadium. Cuti umum Hari Malaysia, lepas tu ramai orang berkunjung ke event di stadium, ada hari kerjaya, karnival KAMU, booth-booth jualan. 


Dalam drawstring bag tu, ada nombor bib larian, baju event dan beberapa freebies seperti gula-gula garam, samples dan voucher dari Farmasi HTM.

Lepas ambil racepack, jalan-jalan tengok apa yang menarik di tapak karnival. Saya beli energy gel. Ada offer, beli 3 energy gel, harga RM20 sahaja.

N8 energy gel, satu (perasa mango) saya dah guna masa lari. Himalayan salt drops, free gift dalam racepack.

Masih terlalu awal untuk check-in di hotel, jadi pergi jalan-jalan dan makan tengahari dulu di Aeon Kinta City. 

Penginapan

Saya dan suami telah buat tempahan di Fair Park Hotel. Tak jauh dari lokasi nak berlari, iaitu di stadium. Pertama kali nak check-in di hotel, saya beratur selama 1 jam, hokey...! OMG! Kena sabor banyak-banyak.

Bila dah selamat masuk bilik, ok. Semua puas hati. Bukan nak duduk lama pun. Berbaloi dengan harga yang kami bayar, iaitu RM81 sahaja. Bilik standard. Aircond sejuk, ada tv, bilik air bersih, ada cerek elektrik boleh buat kopi, ada mini fridge, ada tingkap boleh view pemandangan belakang hotel. 

Masa kami keluar petang, masih ramai yang beratur nak check-in. OMG! Tak habis-habis lagi. 

Lokasi memang strategik. Banyak tempat makan. Dalam pukul 5 petang, saya dan suami pergi pekena nasi kandar Pelita, jalan kaki je, dari situ. Alhamdulillah, carbo loading dengan selamatnya, ayam goreng, nasi kuah campur, sedap hingga menjilat jari. 

Balik ke hotel, terserempak dengan staf hotel yang uruskan check-in pada pukul 3 petang tadi, tanya baru habis kerja ye. Dia kata, dia baru kerja tahun ni di hotel tu, pertama kali tetamu ramai sangat nak masuk. Hehehe... itulah penangan Ipoh 7 Bridges Run ye. Orang dari KL, dari utara, turun, untuk sertai larian ni. 

Hari Larian

Tidur 6 jam. Alhamdulillah, boleh berehat. Walaupun mata tak mengantuk, nak mengadap movie di bilik hotel, tapi off juga lah tv, sebab perlu bangun awal, iaitu pukul 2 pagi. 

Mandi, siap-siap, pukul 3 pagi, saya dan suami berjalan ke stadium. 

Saya buat warm-up. Lari sikit-sikit, bagi keluar peluh. 

Selfie satu, bersama suami tercinta.

Tepat pukul 4 pagi, berlepas la kami, peserta half marathon, iaitu sejauh 21.1 kilometer. Tiada false start macam last year. Bagus, semua lancar.

Biasanya, bila mula dilepaskan, saya boleh sampai pace 7. Laju la tu, bagi saya. Mudah terpengaruh dengan orang-orang lain. Kali ni, saya buat easy pace sahaja. Pace 8 paling laju. Takpe, biar orang potong kita. 

Kilometer 1.5. Kredit foto: Jurugambar rasmi Ipoh 7 Bridges.

Boleh nampak saya dalam gambar di atas? Memang meriah acara ni. Sentiasa dikelilingi orang. Sentiasa dipotong dan memotong orang. Hehe... dalam gambar di atas, saya di bahagian kanan, di belakang.

3 kilometer pertama memang paling susah bagi saya. Masa tu la, ada rasa lenguh betis la, macam-macam. Itu pasal kali ni, strategi saya, start easy, finish strong. Saya slow je. 

Lepas 3 kilometer, automatik kita terlaju. Tak sengaja pun. Tapi sebab enjin dah panas kan, jadi semua jadi lancar.

Kilometer 6. Kredit foto: Jurugambar rasmi Ipoh 7 Bridges

Cuaca tak panas, membantu juga. Sebab petang semalamnya, hujan di Ipoh. Kaki ok. Saya lupa nak cerita, saya beli kasut baru, tau. Sebab masa acara larian lepas, rasa kasut saya sempit. Saya beli 0.5 saiz lebih besar. 

Ni dia.. kasut baru.

Asics Gel Nimbus. Melantun-lantun saya pergi. Nama pun 7 bridges, jadi ada 7 fly-over atau jambatan. Masa naik jambatan, saya cakap kat kaki, ok, kita jalan saja la, naik bukit ni. Tapi kaki saya tak dengar cakap, ok. Dia berlari juga. Memang saya non-stop lari. Saya cuma stop di setiap water station untuk minum air. Lepas tu, sambung berlari. Tak jalan pun. Saya sendiri terperanjat dengan diri sendiri. Boleh jadi si Asics Gel Nimbus ni punya pasal. Boleh jadi sebab cuaca pukul 4 pagi yang dingin. Boleh jadi sebab energy gel yang saya ambil, dari masa ke semasa. Bila terasa-rasa macam nak penat je, saya ambil sikit-sikit. Lepas tu, tutup balik penutupnya. Itu yang saya suka energy gel jenama N8 ni. 1 saja sudah cukup bagi saya, untuk half marathon. Apa pun, Allah yang izinkan. Alhamdulillah, saya sangat happy, sebab kaki saya ok sepanjang acara larian ini.

Kilometer 11. Kredit foto: Jurugambar Ipoh 7 Bridges.

Saya ada potong uncle yang bongkok, yang tahun lepas pun dia ada masuk juga. Hebat la dia, tiap-tiap tahun masuk half marathon. Steady je dia lari. 

Kilometer 17. Kredit foto: Jurugambar rasmi Ipoh 7 Bridges

Ada satu water station tu, selain air mineral dan 100 Plus, ada aiskrim malaysia. Tapi saya tak ambil, sebab saya takut semput. Lagi pun bila tak makan apa-apa dan masuk benda sejuk dalam perut, takut gastrik pula. Telan air liur tengok orang lain makan aiskrim malaysia. 

Kilometer 17. Kredit foto: Jurugambar Ipoh 7 Bridges

Saya fokus je lari. Bila jambatan terakhir yang paling tinggi tu, dekat Hospital Pantai Ipoh, ramai yang berjalan. Tapi saya boleh slowjog tak henti-henti sepanjang naik. Entah kena sampuk apa kaki saya hari tu. 

Ada sorang amoi ni, dia potong saya, saya potong dia. Bila dia berhenti jalan, saya potong dia. Bila dia lari, dia potong saya balik. Bila dekat nak habis, dia datang tepi saya, dia cakap, "You're so good! Non stop lari." Pastu saya balas balik,"You're good too. So fast!" 

Pasal tu la saya suka masuk acara larian. Bukan kenal pun sesama runner. Tapi suka motivate each other. Kalau tengok kita slow, ada orang tanya, "Are you ok? " Best rasanya.

Ni, saya tak tau kilometer berapa. Kredit foto: Racetag

Tahun ni, ada sistem pengecaman wajah, di mana di website penganjur, kita masukkan muka selfie kita atau nombor bib larian kita, gambar yang ada muka kita akan keluar. Bagus, ada kemajuan. Tapi ada juga gambar-gambar di atas, saya cari di facebook pengajur, sebab banyak jurugambar di sepanjang laluan.

Saya takde tengok jam sangat. Tapi saya perasan saya sedikit laju dari biasa, bila dekat nak habis, nak sampai stadium semula, hari masih gelap. Masa sampai di surau bergerak pun, hari masih gelap. Sayup-sayup dengar azan. Tapi saya tak berhenti, sebab uzur. Kalau tak, boleh berhenti rehat sebentar. Tak best tau, lari bila sedang datang bulan. Sebab pakai tuala wanita, ada potensi untuk melecet bila berlari jauh macam ni. Kena sapu vaseline banyak-banyak di kawasan terlibat. 

Selalu bila sampai di garisan penamat, suami saya sudah standby untuk ambil gambar. Dia bajet saya buat half marathon, 3 jam. Tapi kali ni, saya terlaju, dia masih on the way ke lokasi. Lepas tu, saya lupa nak stop jam, sebijik macam tahun lepas, pun saya lupa. Ambil medal dulu, ambil baju finisher dulu, masa nak cari tempat lapang untuk menyejukkan badan, baru saya perasan, alamak, jam aku masih berjalan.

Data larian mengikut jam. Gambar diambil masa sebelum berlepas, pukul 3.32 pagi.

Alhamdulillah. Saya rasa sangat gumbira, sebab selamat sampai ke garisan penamat tanpa apa-apa kesakitan atau kecederaan. Cut-off time adalah 5 jam. Sangat lama, ok. Selalu acara half marathon, cut-off time biasanya 4 jam sahaja.

Baju finisher, medal dan bib larian.

Meh tengok result larian, mengikut masa penganjur.


Kategori women veteran, saya nombor 68 dari 149 orang. Yay! Hehe.. happy. 

Keseluruhan peserta half marathon, saya dapat nombor 749 dari 1299 orang.

Peserta perempuan pula, saya dapat tempat ke 114 dari 284 orang wanita yang sertai half marathon.

Syukur Alhamdulillah. 

Sijil penyertaan

Tamat sudah acara larian terakhir yang saya daftar untuk tahun ni. 

Last, gambar depan start/finish line.

Alhamdulillah. Suka, suka. 😊

Sekian, jumpa lagi, ye.

Baru keluar gua

 Lamanya tak update blog. Saya tak rasa nak menulis. Adalah terjadi beberapa benda yang tak best. Itu la yang saya 'masuk gua' tu. Entah. Rasa lebih selesa menyendiri. Bila bersama orang, orang kutuk saya. Ish, tak tahu la kenapa buruk benor sangka orang pada saya. Padahal saya tak berfikir begitu pun. Orang yang paling menyakitkan hati, adalah orang yang paling dekat pada kita. Bila jadi macam ni, saya lebih suka menjauhkan diri je. Tapi sebelum saya pergi, saya make point saya dulu. Bila point saya ternyata betul kerana disertakan dengan fakta yang logik dan boleh dipercayai, eh, boleh pulak dia 'corner' tang lain, tak ngaku silap. Heeee.... kelakor betullah perangai orang ni, tau. Lantak ko ler. Tapi hati saya sakit ler. Sebab orang dengan mudah cakap macam-macam pada saya. Sedangkan saya tak pernah cakap yang bukan-bukan pada orang. Saya sebelum berkata-kata, selalu fikir apa kesannya pada orang tu. Tapi orang lain simply cakap lepas pada saya. Terluka juga la. Terus menyendiri masuk gua. Aman sikit. Kat blog pun, tak ada mood untuk menulis. Itu la pasal saya senyap. Maafkan saya, ye. Terima kasih kepada pembaca blog saya yang email, bertanya khabar saya selama saya hilang, you know who you are. Saya sangat hargai. 💓 Terserlah terus sifat introvert saya. Huhu... ujian dari Allah. Sabor je banyak-banyak. Walaupun dalam hati saya, rasa macam nak terkeluor je ayat nak memulangkan paku dua keras pada pihak tu. Bagi sedas, bior padan muka. Tapi hakikatnya, saya tak macam tu. Kalau keluar juga, mau putus terus ikatan family. Itu ler rasa macam nak duduk dalam hutan je. Jauh dari orang. Trauma ler, dengan orang. Tolong doakan saya kuat, ye. Tajam sungguh kata-kata itu, kalah tajam pisau. Masuk gua kejap, salotape hati yang berkecai dan terluka. Ok la, tutup cerita benda tak best. Marilah kita cakap benda yang happy happy je. 

Rungila Runliga Malaysia Challenge 2023 sudah pun habis. Sebulan, dari 17 Ogos hingga 16 September. Ini lagi satu kenapa saya tak update blog juga. Penat lari, kumpul mileage. Dengan tugas di rumah dan jadi driver anak-anak lagi, jadi bila ada masa lapang, saya terbongkang je la depan tv, rehat. 

Hari-hari lari 15km, di bulan Ogos, lepas Runliga bermula. 

Mula-mula memang boleh buat 15 km, setiap hari. Lepas tu, lutut dan buku lali saya keluarlah tanda-tanda, macam kereta nak rosak kan, dia ada keluar tanda-tanda kan. Tak kan la saya nak tunggu rosak kot. Saya pun slow down la lari. Tak mampu wei.... jadi, tak tercapai la target saya untuk mengatasi Runliga 2021, iaitu sejauh 415 km. Apa nak buat. Dah tua. Kena bagi kaki rehat.

Jarak Runliga 2023, 357.9 km.

Alhamdulillah, jadi la. Banyak tu je dapat menyumbang untuk team saya, Malaysia Women Runners. Target individu, saya ambil 25 km saja. Target untuk potong rekod peribadi 2021 tak tercapai. Gitu ceritanya. Kaki nak pakai lama, kena dengar bila badan bersuara. Tapi team saya berjaya dapat Gold tahun ni! Malaysia Women Runners duduki tempat ke-10 dari 144 team yang masuk Runliga tahun ni. Ok la kan, group perempuan semua pulak tu. Yay! Alhamdulillah.

Nanti saya cuba blogwalking slow-slow ya, ke blog kawan-kawan, bila free sikit. Korang pekabo? Sihat ke? 

Jumpa lagi. 😊