Dermalogica Dynamic Skin Recovery SPF50 Review

 Khamis, 28 Zulhijjah 1443 Hijrah.

Kakak saya ada hadiahkan saya set produk Dermalogica sempena harijadi saya, pada bulan Mei lepas. Saya habiskan dulu sunblock yang saya sedang pakai, baru saya dapat cuba pelembab oleh Dermalogica ini. 

Dermalogica Dynamic Skin Recovery SPF 50


Ini adalah produk kombinasi pelembab, merangkap sunscreen yang fungsinya untuk melembab kulit, dan melindungi kulit dari sinar UVA dan UVB.

Penggunaan: Saya pakai sebelum keluar rumah, sebagai sunscreen. Saya jogging setiap hari, kena cahaya matahari, selalu sangat main panas, jadi perlu pakai sunscreen. 


Packaging: Dispenser bentuk pam. Tekan ke bawah, pelembab akan keluar. Mudah guna. Kandungan pun kekal bersih kerana tidak terdedah.

Kebaikan: Produk ni yang berfungsi sebagai pelembab dan suncreen. Jadi, 2 in 1. Jimat masa. Tak payah pakai 2 produk.


Pendapat saya: Ia agak pekat, berbanding sunscreen saya sebelum ni. Saya sudah guna selama seminggu. Tiada iritasi, tiada kemerahan. Tidak mengakibatkan breakout. Saya boleh rasa macam ada satu lapisan melindungi kulit muka. Pendapat peribadi saya, saya lebih suka kalau ia lebih cair sedikit, sebab kulit saya jenis kombinasi. Kalau kulit kering atau normal, lebih sesuai kot pakai produk ini. 

Bila habis jogging, saya selalu keluar dating dengan suami, saya kena dab dengan facial oil absorbent paper, sebab muka jadi berminyak.

Agak mudah untuk ratakan pada muka kita. Agak cepat meresap. Tetapi, ada bau. Macam bau ubat. Saya lebih suka yang takde bau. Walaupun dia kata, tiada pewangi dan warna tiruan. 

Kandungan: Bebas paraben. Bebas gluten. Vegan. Ada green tea extract, vitamin E, sunflower oil, hyaluronic acid.

Harga: RM424. Boleh bayar ansuran jika beli online. 

Pada pendapat saya, produk kayangan sangat! Kalau tak diberi sebagai hadiah, memang saya tak mampu nak beli. Tapi rezeki orang dah bagi, saya pun cuba lah. 

Setelah seminggu pakai produk.

Kesimpulan: Semua ok. Tapi, terlampau mahal sangat! Jika anda mampu, boleh la cuba produk ini. Lain orang, lain jenis kulit. Lagi pun, dermalogica ni terkenal dan direkomen oleh ramai skin therapist untuk menjaga kulit supaya sihat.

Sekian.

Ikan monster dan sandwich

 Rabu, 27 Zulhijjah 1443 Hijrah.

Petang semalam, saya pergi jogging. Dah giler gamaknya, satu hari sampai 2 kali jogging. Bukan apa, suami saya kena submit larian 5 km untuk program fitness ofis dia. Ha ah, sesiapa yang punya BMI obese kat ofis dia, kena masuk program fitness. Bila dia kena lari, saya pun sibuk la nak ikut jugak. Walaupun cuaca panas membahang lepas Asar semalam.


Larian petang semalam, adalah sejauh 9.02 km. Selamat merentungkan diri.

Gambar di atas adalah ikan bandaraya, dalam akuarium kat rumah. Kebanyakan masa, dia akan melekap kat dinding akuarium tu, sambil dok mulut kumat-kamit cuci cermin akuarium. Ni, dia dah penat ler ni. Dah turun bawah, melepak. Cuba anda zoom-in tengok muka dia, lawa ke idok. Ganas kan, rupa dia. Rupa monster! 

Tu cerita semalam. Cerita hari ni pulak.

Awal pagi tadi, sebelum subuh, selain goreng hashbrown dan popcorn chicken untuk sarapan, saya sediakan juga sandwich telor rebus.


Habis satu buku pendek roti gardenia digunakan, bersama 4 biji telor.


Letak dalam bekas kedap udara siap-siap, boleh buat snacking sampai ke tengahari. 

Pagi tadi, saya jogging dalam hujan. Sekejap rintik, sekejap renyai. 

Puteh sedang memikio entah bila tuannya nak beli wet food.

Sempat berlarian dalam 8.04 km. Takde la main hujan sampai ke sudah. Di awal-awal jogging sahaja. Lepas tu, matahari pun mula menyinar. 

Dapat pula lencana berikut dari aplikasi Garmin Connect:


Lencana Aktif Julai. Sudah rekod 20 aktiviti yang melebihi 20 minit. Ramainya orang yang awal-awal lagi dah dapat. Saya ni, dekat-dekat hujung bulan baru dapat. Better late than never, omputih kata. Alhamdulillah, rezeki sihat yang Allah pinjamkan.

Baiklah. Semoga segala urusan anda pada hari ini dipermudahkan.

Jumpa lagi, ye. 😊