Kasut baru

 Jumaat, 7 Julai 2023 - Lepas solat Jumaat, saya pergi ke Ipoh, bersama suami. Tujuan, untuk beli kasut lari baru. Hehe. Lokasi dituju adalah Ipoh Parade. Situ, ada satu kedai sukan yang jual kasut Brooks. Cadangnya, kalau tak berkenan dengan Brooks, nak cari kasut New Balance. Dua-dua jenama kasut ni la, yang saya paling suka, antara banyak-banyak jenama yang saya pernah cuba.

Brooks Ghost 15, in pink color

Tadaaa.... memperkenalkan, Brooks Ghost 15! Hehe... saya tak pernah beli kasut warna terang begini, tau. Kebanyakan kasut lari saya warna gelap dan tidak menarik perhatian. Tapi tinggal sepasang kasut ini je yang ada, jenama Brooks, saiz saya. Ada warna lain, tapi yang ada, saiz lebih kecil dan besar. 

Sebelum beli, sudah tentu saya cuba dulu di kedai. Sarung kedua-dua belah, dan lari 2-3 pusingan dalam kedai. Orang kedai tu, senyum je, tengok. 

Ok, sedap pakai, itu sebab saya ambil. Harga kasut, RM569. Bila bodek-bodek tuan kedai, dapatlah beli dengan harga RM500. 

Kasut lama dan kasut baru

Kasut lama saya, di sebelah kiri dalam gambar di atas, Brooks Ghost 14, sudah pun mencapai jarak 847 kilometer saat entri ini ditulis. Mengikut aplikasi Garmin Connect, bila sampai 643 kilometer saja, elok tukar kasut baru. Tapi, saya akan terus pakai kasut lama ni, bergilir dengan yang baru. Marilah kita tengok berapa lama kasut lama ni boleh bertahan. Walaupun tapak semakin haus, tapi saya akan terus pakai bila berlari, selagi kasut tu tak 'gigit' kaki kita. Bila sampai satu tahap, kasut lari ni, dia akan bagi kaki kita rasa tak selesa, atau timbul rasa sakit bila memakainya, barulah saya berhenti pakai. Itu pun, saya masih pakai bila pergi jalan-jalan shopping ke, cuma saya tak pakai bila berlari sahaja. Mahal bagi saya, jadi selagi kita boleh pakai, kita lanyak la sampai ke sudah. 

Dalam rekod simpanan saya, kasut yang paling lama bertahan adalah kasut yang saya beli di Decathlon, iaitu Kalenji Kiprun Long, dengan jarak sejauh 2,140 kilometer larian. Saya stop guna apabila rasa sakit di bahagian tapak kaki. Itu pun rupa kasut tu masih dalam keadaan ok, tidak koyak. Berbaloi, kan, beli. 

Saya beli kasut baru, sebab bulan depan, saya ada join event lari. Tak bolehlah beli dekat-dekat tarikh event. Kita kena lanyak dulu, bagi kasut tu serasi dengan kaki kita. 

Macam ni la saya, bila tiba masa beli kasut baru, lebih suka pergi ke kedai, untuk cuba pilihan yang ada. Pernah beli kasut lari online, jenama Asics, tapi tak sesuai dengan kaki saya. Bila pakai lari, rasa sempit di bahagian depan kasut. Sejak tu, saya tidak lagi beli kasut lari secara online.

Larian pagi tadi

Alhamdulillah, sedap pakai kasut baru ni. Sudah pun test lari 10 kilometer pagi tadi. Dah beberapa kali pakai sebelum ni, tapi sempat lari sekejap je. Sebab masih dalam mood malas dan hari pun tidak mengizinkan untuk riadah lama-lama, hujan.

Lepas beli kasut baru, saya dan suami makan-makan dulu di foodcourt Ipoh Parade, sebelum bertolak balik Manjung. Alhamdulillah. 

Apa aktiviti anda di hujung minggu ni? Pergi jalan mana-mana ke? Selamat beristirehat dan have a great weekend, semua... 😊

Sarapan di PAKAR Manjung

 Sabtu, 8 Julai 2023 - Saya dan suami pergi sarapan di Pasar Komuniti dan Karavan (PAKAR), Manjung. Tak pergi lari. Malas. 😁 

Walaupun agak ramai, tapi ada tempat duduk kosong. Sini, ada banyak menu boleh pilih. Macam-macam ada. Tepuk dada, tanya selera dan poket. Harga makanan di sini sangat berpatutan. Kita jalan-jalan, tengok apa yang nak makan, susun atur tempat penjual seperti di medan selera biasa. Kita buat pesanan, dan pesanan akan dihantar ke meja. Kena ingat nombor meja kita la, ye. Sorang kena 'chop' tempat, jaga meja. Boleh buat bayaran semasa makanan dihantar.

Mari tengok, saya dan suami sarapan apa.

Lempeng pisang

Lempeng pisang dia cukup rasa. Dihidang bersama sambal. Harga RM2.

Sizzling yee mee

Pagi-pagi sudah makan sizzling yee mee. Hehe. Ok la rasa dia. Harga RM8.

Nasi lemak

Nasi lemak daun pisang ni, suami yang beli. Harga RM1.50. Sedap rasanya.

Pulut inti

Pulut inti kelapa ni pun, suami yang beli. Harga RM4. Boleh tahan.

Seperti biasa, kami kongsi makan, jadi boleh rasa sikit-sikit semua makanan yang dipesan.

Bukan hari-hari saya sarapan di luar. Tengok keadaan, bila suami tak kerja atau pun dia kerja petang, bolehlah pergi sarapan sama.

Di PAKAR ni, sambil makan, ada persembahan buskers. Dibuka seawal jam 7 pagi hingga 10 malam. Kalau tengahari, ada menu nasi campur. Malam, saya tak pernah datang. Petang, pernah datang. Ada makanan western, mee kari, mee rebus, goreng pisang, macam-macam la. Banyak-banyak tempat makan di Manjung ni, di sini adalah yang paling murah, pada pendapat saya. Itu sebab orang ramai makan sini. 

Makan memang best. Pergi lari je, sedikit malas. Dua tiga hari ni, cuaca pula mendung, hujan di pagi hari. Bila pagi tak pergi lari, ingat petang nak pergi la. Tapi bila petang, nan ado... Hehe..

Waktu saya taip entri ni pun, gelap, cuaca dah nak hujan. 

Ok, jumpa lagi, ye. 😊