Riadah dan masak apa hari ni

 Jumaat, 13 Jamadil Akhir 1444 Hijrah.

Sudah pun hari Jumaat, rasa cepat berlalu minggu ni. 

Pagi tadi, rasa malas menguasai diri, jadi cuma pendek je brisk walk hari ni, 3.62 km. 


Langit masih agak gelap masa tiba di Teluk Batik. 


Orang pun tak ada. Cuma ada sebuah kereta di tapak perkhemahan.


Aman damai hari ni. Mendung pula tu. Macam ni la, bukan hari-hari rasa rajin nak berlari. Baru satu pusingan berjalan, ajak suami pergi sarapan. Semalam makan malam awal, jadi pagi ni, perut dah berkeroncong. 

Singgah sarapan di sebuah kedai makan yang kami tak pernah cuba. Warung Anak Utara nama kedainya. 


Saya ambil nasi goreng bersama telur goreng bersambal, dan 2 ketul tauhu goreng. Sambil makan tauhu goreng, teringat yang saya sendiri dah lama tak beli dan masak hidangan tauhu di rumah. Dulu, saya rajin buat tauhu sumbat, makan dengan sos cili. 

Lepas sarapan, kami ke pasar Manjung. Saya nak beli santan segar. Suami pula nak tapau makanan untuk anak bongsu. Ramai juga orang di pasar. Saya beli cili api, kunyit hidup dan seikat sayur pucuk paku. 

Saya tak beli banyak-banyak bahan mentah. Bila saya rasa nak memasak, barulah saya akan cari bahan untuk masak pada hari tersebut. Jika saya beli banyak-banyak barang mentah untuk seminggu contohnya, saya dapati saya banyak membazir. Boleh jadi mood malas datang, nanti bahan mentah macam cili hidup dan sayuran, jadi kecut je dalam peti ais.

Saya sudah pun bawa keluar ayam dari freezer sebelum keluar rumah awal pagi tadi. Niat awal, nak masak ayam masak lemak cili api. 

Lepas ke pasar, balik rumah, saya lompat tali sebentar. 


Cuma 11 minit sahaja, tapi agak mengah sebab dah lama sangat tak lompat tali. Menunjukkan stamina sudah ke laut. Tapi saya suka after effect lepas lompat tali. Sama macam saya lari jauh-jauh seperti buat half marathon. Tapi masa lompat tali tu, singkat je. Dan lagi satu, bila lompat tali, rasa macam kanak-kanak ribena, sebab kita melompat kot, mesti sambil tersenyum. Saya tak tahu nak terangkan macamana, ia sesuatu aktiviti riadah yang buat kita happy dan buat kita rasa muda. Tak caya, sila cuba. 😊

Tadi, saya kata, nak masak ayam masak lemak kan. Bila masuk dapur, dia jadi lain. Saya buka stok perencah yang ada di rumah. Saya ada rempah kerutuk Adabi. Sebelum sampai tarikh luput, baik saya guna. Jadi, nak kata masak kerutuk, tak berapa gelap sangat warnanya, sebab saya kisar bawang dengan cili kering dan kunyit hidup. 


Tengah menggelegak atas dapur lagi, sudah ambil gambar. Ayam masak gulai lemak la kot, nama dia. Sedap, menahan diri dari menambah nasi tadi. Masuk bakul angkat sendiri. 


Sayur pucuk paku pula, saya cuma tumis je. Beli seikat, bila sudah masak, jadi kecut banyak tu je. 😊

Alhamdulillah, atas rezeki sihat dan makan semua cukup. 

Kome ada plan nak ke mana-mana ke? Esok dah hari Sabtu. Semoga segala urusan anda semua dipermudahkan, ye. Jaga diri, dan jumpa lagi.

Pill cutter dan makan tengahari

 Khamis, 12 Jamadil Akhir 1444 Hijrah.

Lepas zohor, saya bersama suami ke hospital untuk ambil ubat. Dah tangguh sejak tahun lepas. Malas betul saya nak ke hospital. Marilah kita buat kerja tertunggak sementara suami off kerja ni. 


Saya bersyukur kerana saya sudah lama jalani pemeriksaan di hospital kerajaan, dan ambil ubat pun percuma. 

Ubat yang doktor prescribed pada saya adalah:

Ubat tiroid, Thyrosit, 100 mcg

Zat kalsium tambahan, Calcium Carbonate, 500 mg.

Vitamin D tambahan, Calcitriol 0.25 mg

Alhamdulillah. Sejak operate tiroid tahun 2016, saya maintain makan ubat secara konsisten, mengikut arahan doktor. Cuma dulu, kita diberi ubat banyak-banyak, secukupnya, sehingga tarikh temujanji doktor berikutnya. Tapi sejak tahun lepas, dia suruh pergi hospital setiap bulan untuk ambil bekalan ubat ni. Nasib baik hospital tak la jauh dari rumah. Tapi kita boleh saja tukar tempat ambil ubat, kalau hospital jauh dari rumah, boleh ambil di klinik kesihatan kerajaan terdekat. 

Masa ambil nombor, ada nampak pihak hospital tampal nota mengenai pemotong pil.


Tahukah anda tentang kewujudan alat ini?

Saya baru tahu dalam beberapa bulan ni. Sebelum ni, saya guna pisau dapur je, untuk potong pil yang kena makan separuh.

Saya ada jumpa dijual di farmasi, boleh tahan harga dia, ada yang cecah 50 ringgit, tapi alatnya kecil je. Saya beli di shopee, harga jauh lebih murah.

Saya punya pill cutter.

Perlu praktis banyak kali. Kebanyakannya, boleh potong separuh, berbanding kalau kita guna pisau dapur. 

Selesai ambil ubat, pergi beli baju  uniform kadet bomba anak bongsu. Bertuah. Hujung tahun dah ni (naik tingkatan baru bulan Mac). Anak bongsu membesar dengan pesatnya. Dia kata, kena duduk tegak setiap hari Rabu. Kalau duduk biasa, nampak singlet dalam uniformnya (perut maju ke hadapan). Ya Allah... itu pun saya rasa dia dah kecil sikit, sebab main badminton selalu masa cuti sekolah hari tu. Ambil saiz baju paling besar. Dia baru tingkatan 2. Kalau dia membesar lagi, orang kedai kata, kena tempah, dah habis saiz dah. Anak bongsu punya ketinggian, dah lebih dari bapaknya, tau. Hairan saya, camana budak ni boleh membesar dengan begitu pesat. 🙈

Lepas tu, perut sudah berbunyi. Suami ajak makan tengahari di food court Aeon. Makan tengahari yang lewat, pukul 3 lebih. 

Spagetti chargrilled salmon, harga RM21.90

Nasi goreng petai, harga RM10.90

Alhamdulillah. Banyaknya nasi goreng petai dia. Tapau sekali makanan untuk anak kedua dan yang bongsu. 

Baiklah. Jumpa lagi, ye. 😊