Lepaskan

 Semasa hari Sabtu, raya keempat hari tu, kami hantar anak sulung ke stesen bas. Tiba masa untuk dia pulang ke kampus. Dia sudah mula kelas semester baru sejak bulan puasa, tapi online sepanjang bulan. Lepas raya, mula kelas fizikal. Tiket bas balik Terengganu sudah dibeli sejak awal bulan puasa. Cuma bezanya, bas lain, biasanya naik bas Nini, tapi tiket tidak kelihatan di sistem lagi, bas lain ada. Jadi, anak beli tiket bas Kesatuan. 

Masa hantar di stesen bas, bas tidak kunjung tiba. Waktu berlepas pukul 6 petang. Bila tanya di kaunter, orang tu kata, 6.30 petang baru bas tiba. Pertama kali bas lewat. Biasanya, on time. Kami tunggu juga, walaupun sudah tiba di stesen bas sejak pukul 5.30 petang. 

6.30 petang, tak tiba lagi bas. Lebih kurang 10-15 minit kemudian, barulah tiba. Lepas check bas betul atau tidak, letak bag, selamat jalan anak. Kami pun pulang ke rumah.

Biasanya, bas akan sampai Terengganu dalam pukul 4-5 pagi. Waktu sahur keesokan harinya (waktu itu, saya belum siap puasa enam), saya whatsApp anak, tanya sudah sampai ke. Dia kata belum. Dia share lokasi, dia baru lepas Karak.

Astaga.... lambat lagi tu. Mula rasa risau dalam hati. Sebab hari itu, Ahad, dia sudah ada kelas. Tapi Allah tolong, kelas pertama, lecturer tukar jadi online. Jadi, dia masih boleh ikuti, walau belum sampai. Tanya dia, kenapa lambat sangat. Dia kata, trafik sesak dan bas berhenti lama di satu-satu kawasan, kadang sampai 1 jam berhenti. Aduh.... bila nak sampai ni.

Mula fikir macam-macam. Lain kali, kena suruh anak balik Terengganu hari Jumaat la, biar satu hari extra sampai awal. Ini, beli sehari sebelum kelas mula, dah kelam-kabut tak sampai lagi. Mana nak ambil kunci bilik lagi, nak hantar beg banyak lagi, nak pergi kelas lagi.

Biasanya, sebelum-sebelum ini, kami yang hantar dia masa mula semester baru. Sebab ada banyak barang. Tapi kali ini, suami saya tak boleh cuti. Jadi, anak sulung kena naik bas. Ada 4 bag anak bawa. Rebeh bahu dia. Dah la dia kurus cikeding. Kesiannya anak aku. 

Hari Ahad tu, buat kerja macam biasa. Pukul 9 pagi, mesej anak lagi. Dia masih belum sampai Terengganu! Astaghfirullahalazim.... meleleh keluar air mata saya, sambil siram pokok, memikirkan anak yang masih belum sampai. Syaitan berbisik jahat di telinga, suruh marah suami,"Ambil cuti balik kampung jumpa mak boleh. Ambil cuti nak hantar anak balik U, tak boleh pulak!" Dah susah anak aku. Jahat tau, syaitan itu. Suka buat suami isteri bergaduh. Saya ambil wuduk, pergi solat sunat dhuha, lepas tu, baca yassin, menyejukkan hati yang gundah gulana.

Dipendekkan cerita, akhirnya anak selamat sampai ke kampus. Saya tak bertanya sama ada dia pergi kelas selepas dia tiba atau tak. Yang paling penting, anak selamat sampai ke kampus. Lain kali, tak mahu lagi beli tiket bas Kesatuan, beli bas biasa saja, iaitu Nini. Kalau Nini tak ada online, beli saja di kaunter. Kalau tiada di kaunter, pergi KL dulu, transit di TBS, dari sana beli bas balik Dungun. 

Syukur Alhamdulillah, 16 jam anak dalam bas hari tu. Kegilaan apekah... Biasanya, dalam 12 hingga 13 jam perjalanan balik ke Terengganu, jika naik bas.

Anak sulung ada tinggal banyak barang. Bawa apa perlu yang penting-penting saja. Barang yang dia tinggal, ada dia senaraikan, dan saya pos keesokan harinya.

Bungkusan untuk anak.

Anak dah besar panjang, dah 21 tahun. Tapi kita masih anggap dia macam budak kecil. Kena belajar untuk lepaskan. Dia ada suarakan hasrat nak pinjam satu kereta, balik ke kampus di masa akan datang. Saya ok je. Kena belajar lepaskan, dan doa banyak-banyak, supaya anak selamat. Bukan apa, dulu kita susah. Jadi kalau boleh, kita tak mahu anak kita susah sebagaimana kita dulu. Tapi susah itu perlu juga, untuk dia belajar berdikari, dan ikhtiar hidup di dunia yang serba mencabar ini. Ujian datang dalam pelbagai bentuk. Semoga kita terus tabah dan diberi kekuatan untuk mengharunginya. 

Sekian cerita mak mak hari ini. 

Menu posa enam

 Hari ni, saya share gambar makanan je la. 

Mula hari ketiga, baru teringat nak ambil gambar.


Nasi goreng masak waktu sahur hari ketiga puasa enam. Ada masukkan sekali beberapa ketul daging masak hitam.


Tortilla ayam, pertama kali beli di kedai burger dekat rumah. Kedai burger dia lain sikit, selain burger biasa, burger crispy pun ada. Ada deep fryer kedainya. Kenyang juga makan tortilla ni. Inti ayam di dalam boleh tahan. Ada salad juga. Makan waktu berbuka hari yang sama.


Lepas solat maghrib, suami ajak mengopi. Hari hujan pula. Pergi Richiamo Coffee di Manjung Point. Pesan 2 americano, satu ais dan satu panas. Dua-dua tanpa gula. Terbeliak biji mata. Pertama kali cuba Salted Egg Yolk Croissant. Jumlah harga mengopi RM24.70.


Kek lapis Sarawak, perasa lumut cheese. Hari-hari sejak hari raya pertama, saya potong kek lapis yang kakak kedua dari Kuching bawa. Satu hari, satu perasa. Paling sedap, yang luxury cadbury, saiz pun lebih besar dari kek lapis biasa. Yang tu, kami makan raya pertama. Lagi kek lapis, perasa rainbow chocolate, masam manis yang all time favourite sampai 2 biji kek, dan pertama kali cuba perasa creamy marmalade. Pun sedap juga. Hari-hari kek, weiii... Ate, camana ni... walaupun puasa, melahap kek waktu berbuka atau sahur. 😁


Puasa enam hari keempat, bersahur dengan mee segera sahaja. Habis idea mau makan apa.


Cuba yang ini, Mie Sedaap Instant Korean Cheese Buldak Spicy Chicken. Tahap kepedasan boleh laras. Boleh masukkan tahap pedas nikmat, atau pedas gila. Saya masukkan pedas nikmat. Ok. Boleh diterima dan tidak sakit perut selepas makan.


Menu berbuka hari yang sama, makan nasi lauk ikan kembung masak asam rebus, ayam masak lada hitam, juga budu bersama ulam timun jepun.


Menu sahur hari kelima puasa enam, makan nasi dengan lauk telur goreng kicap.


Menu berbuka hari yang sama, spagetti goreng.


Sahur pagi tadi, iaitu hari keenam puasa enam, roti whole wheat bakar 2 keping dengan telur dadar. Ada goreng untuk anak bongsu nak pergi sekolah, jejari ayam. Ambil seketul jejari ayam.

Syukur, Alhamdulillah.

Selamat berpuasa juga kepada semua pembaca yang berpuasa. Orait, jumpa lagi. 😊