Sekinchan Ultra 2022

 Selasa, 28 Rabiul Awal 1444 Hijrah.

Maap ye, dah lama tak update blog. Mood menulis blog ke laut dalam. 🙈

Baiklah. Saya nak cerita tentang acara larian yang saya baru sertai, pada hari Ahad lepas, bersamaan 23 Oktober.

Saya daftar larian bersama kakak sulung saya. Sudah book hotel. Suami sepatutnya campak saya di hotel pada hari Sabtu, sehari sebelum acara larian. Tapi kita hanya mampu merancang. Allah yang menentukan. Kakak saya tak boleh berlari, kaki dia cedera. Jadi, kena adjust plan asal. 

Suami saya kerja shif petang, tak boleh ambil cuti dah. Jadi, sebaik dia habis kerja pukul 12 malam hari Ahad, kami pun bertolak dari Lumut ke Sekinchan.

Kali ni, tak terbabas tidor macam kat Ipoh hari tu. 😁 Saya set alarm betul-betul. 

Jadi bila suami sampai rumah, saya dah ready untuk bertolak.

Cuaca hujan sepanjang perjalanan ke Sekinchan. Takde la pergi ke hotel. Dah saya sorang yang masuk, tidor hotel amendanya. Takde rezeki nak spend time dengan kakak yang lama tak jumpa. Kami terus pergi ke lokasi acara berlangsung. Ramai rupanya yang tidor dalam kereta. Ramai outstation runners. Berbaris kereta sepanjang jalan depan lokasi acara. 

Bersyukur saya dapat suami yang sudi menemani saya yang giler lari ni. Kami sampai awal, pukul 2 pagi lebih. Jadi saya ada masa untuk ambil racekit (nombor bib dan baju event), saya sempat buang air 2-3 kali di toilet yang disediakan. Nasib baik saya sampai awal. Kalau lewat pergi tandas, orang pun dah ramai, kena beratur. Suami saya kesian, awal-awal dah berdengkur dalam kereta, letih habis kerja kan, dah kena jadi driver hantar saya.

Ulang alik dari kereta ke toilet 2-3 kali, nampak banner senarai nama peserta yang penganjur pamerkan.

Nama saya dan kakak sebelah-sebelah je. Dia susun ikut alphabetical order.

Semoga kakak saya segera sembuh kakinya. 

Saya lari sorang la. Saya masuk kategori 30 km. Selain 30 km, acara ni ada juga kategori 10 km, 50 km dan 100 km. 


Allah dah susun baik. Saya sepatutnya pinjam headlight kakak saya, sebab dia ada lebih lampu kepala. Tapi Allah gerakkan hati saya untuk beli headlight sendiri di shopee. Takpe la, kalau dah takde event lari, suami saya boleh guna masa dia kerja. Lagi satu, penganjur ada sediakan 1 hari untuk ambil racekit di Lot 10, KL. Tapi kakak saya boleh terlupa untuk ambil. Saya pulak, terlupa tarikh, petang baru saya tanya kakak saya, dah ambil racekit untuk larian Sekinchan tak? Tu lagi satu hikmah kakak saya terlupa. Kalau dia pi ambil awal-awal, dah saya kena turun ke KL, ke rumah kakak, untuk ambil racekit larian ni dari dia. 

Penganjur ada buka meja semasa hari event untuk pelari luar yang tak sempat ambil racekit. Alhamdulillah. 

Saya dan suami

Memang gelap semasa flag-off, pukul 5 pagi. Patut penganjur tetapkan headlight dan hidration pack 500ml sebagai mandatory item. 

Saya bukan familiar sangat kawasan Sekinchan ni. Tapi kita boleh tahu kita lari tepi tali air. Bunyi blup blup je datang dari tali air, dah suspens. Jarak antara runner di depan jauh jugak. Masa mula-mula berlepas je lari dalam kelompok-kelompok. Lepas sahaja water station pertama, dah jarak-jarak dah antara runners. Entah binatang apa la yang bunyi bila kita lalu tali air tu. Tak nampak, dan biar lah saya tak tahu. Fokus lari je. Kiri kanan jangan peduli. Tengok depan je. Dasar penakut. 😅

Saya uzur, jadi tak perlu berhenti solat. Saya ada dengar azan masa subuh, tapi saya tak nampak masjid. Penganjur takde sediakan surau, macam event sebelum ni. 

Bila dah terang pukul 7, baru lah nampak sawah padi yang cantik. Cuaca pun mendung, jadi takde la panas sangat nak berlari. Lepas 21 km, saya dah habis gas dah. Kaki, betis dah keras dah. Ada tanda-tanda nak cramp, sekejap-sekejap saya berhenti, jalan laju. Semua orang yang saya potong semuanya saya tegur. Ada yang saya tegur tu, masuk jarak 100 km. Peh... giler aaa... dah lenggang kangkung dah kawan tu. Senyum letih je kat saya, sambil cakap good luck. Kalau saya, mau tercabut kaki dah kot, buat 100km. 

Seperti biasa, ada je orang yang potong kita. Pastu kita potong dia balik. Pastu lari sama, borak sat. 


Saya lupa masa ni dah km ke berapa. Tapi saya jumpa kapal terbang kat tengah-tengah sawah pagi. Dan saya juga perasan, biasa kan ada adegan hero heroin bercinta atas tali air tengah sawah padi kan, haa... lokasi dia kat sini la. Memang sebijik macam dalam drama melayu tu. 

Selpiaq satu, background kapal terobang tengah bendang. 😁

Nampak tak runner belakang saya? Tak nampak, kan? Macam tu la jarak dia, di sesetengah kawasan. Tapi saya sentiasa berusaha untuk merapatkan jurang dengan runner depan saya. Saya takut sesat je, atau tersalah laluan. Alhamdulillah, semua ok.


Gambar di atas diambil oleh suami saya, dah nak habis dah waktu ni. Alamak, orang belakang dah dekat, nak potong kita. Laju sikit, laju sikit...  

7th place, 30km Women Veteran

Alhamdulillah, tak sangka saya boleh dapat podium. Tempat ke-7, kategori Women Veteran. 

Saya rasa, sebab tak ramai orang masuk acara ni. Ada Score Marathon di KL, dan Mualim Run pun ada, di Taiping pun ada event larian jugak pada hari yang sama. Itu yang saya boleh dapat tempat. 


Selamat sudah. Jarak larian sejauh 30.60 km, dengan masa 4 jam 24 minit (masa penganjur). Dalam gambar di atas, 4 jam 25 minit. Seperti biasa, saya lambat stop jam. Hehe... cari mana nak pergi, sebaik sampai.

Jarak paling jauh saya masuk buat tahun ni. Selamat sampai. Cuma sakit betis je la lepas lari tu. Syukur Alhamdulillah.

Baik. 

Jumpa lagi, ye. 😊

Salam Maulud Nabi

 Ahad, 12 Rabiul Awal 1444 Hijrah.

Salam Maulidur Rasul kepada semua pembaca sekalian.

Kredit gambar: Harian Post

Mari kita perbanyakkan selawat dalam kehidupan kita sehari-hari. Bukan setakat baca dalam solat je. Ayuh! 

Happy long weekend... semua pembaca sekalian.

Saya pun, rehat. Tak jogging hari ni. Hujan. Cuaca mendung, awan tebal, angin sejuk. Dah siap pakai baju nak pergi lari, bila keluar rumah, hujan pun turun. Alhamdulillah, hujan rahmat.

Saya cerita aktiviti sepanjang minggu ye. 

Hot Cappuchino, Zus Coffee

Pada hari Khamis lepas, saya sempat berjalan. Bukan lari. Jalan lenggang kangkung, sejauh 5.53 km. Lepas tu, pekena kopi. Baru-baru ni, Zus Coffee mohon maaf tentang isu tak cukup 5 sen. Lepas kena kecam teruk oleh netizen, mereka beri baucer potongan 75 sen kepada pelanggan. 

Saya takde la selalu beli kopi di Zus Coffee. Masuk yang ni, baru 2 kali. Semua kedai kopi saya masuk, dasar orang gila kopi, saje, try semua. Bila harga kopi, ada sen, contoh RM9.25. Saya bayar sen tu cukup-cukup, sebab dalam handbag saya memang banyak syiling. Jadi, tiada masalah. 

Anak bongsu pakai facemask putih.

Hari Jumaat pula, saya sempat berlarian sejauh 10.03 km. 

Dah lama takde Hari Interaktif di sekolah, sejak zaman pandemik kan. Hari Jumaat, sempat pergi ke sekolah anak bongsu, sesi petang, bincang dengan cikgu, tentang keputusan periksa anak. 

Anak tengah, sesi pagi, bapaknya yang pergi jumpa cikgu.

Kelas anak bongsu tingkat 3. Hari-hari naik turun tangga pun, tak kurus juga Abang Su ni. 😁


Hari Jumaat juga, saya masak lauk ikan keli bercili. Peberet Abang Su a.k.a. budak kecik yang tak berapa nak kecik.

Budak bulu Puteh yang manja. Nyampesss!

Semalam, hari Sabtu, saya sempat berlarian sejauh 11.24 km.


Sebelum keluar jogging pagi Sabtu, saya sempat masak nasi goreng fishball. 

Kasut bayi tak jadi.

Dalam minggu ni, hari apa, saya dah lupa, kemurungan saya, bila saya kait baby booties, tapi tak jadi. Orang dah biasa kait beg. Bila kena buat barang baby, huuu... tak de rupa langsung. Takpe la, saya akan terus mencuba. Kalau tak dapat knitting, saya akan cuba crochet pulak. Tak jadi baby booties, jadi baby socks pun ok juga. Hahaha, hadoiii...

Baiklah.

Selamat berhujung minggu kepada semua pembaca sekalian. Mari kita habiskan masa berkualiti dengan keluarga kita. 

Jumpa lagi, ye. 😊

Saya suka makan

Jumaat

Hujan waktu pagi. Masa hantar anak ke sekolah pun dalam hujan. Tak boleh pergi jogging. Jadi, saya dan suami pi sarapan kat mamak. Hehe.


Saya dan suami sama-sama makan tosei. Saya ambil vadei juga, 2 biji. 

Sabtu

Hari Sabtu lepas kan, saya dan suami pergi ke Taiping, semata-mata nak makan yong tau foo. Pernah makan sekali dulu, beberapa tahun lepas. Hari minggu, ramai orang. Yong tau fu belakang bomba, Taiping, memang dikenali ramai. Cuma kami ingat-ingat lupa, kedai mana satu kami makan dulu. Ada sederet kedai yang jual yong tau fu, sotong kangkung dan kerang rebus.

Yong tau foo, sos hitam.

ABC

Kami makan di kedai yang salah. Rasa, kedai hujung nombor 1 atau 2. Tapi kedai nombor 1, masa kami sampai, full, takde tempat duduk. Itu yang kami pi kedai hujung last. Huu... tapi ok la, layannn...

Psstt, jangan cakap kat orang tau, tapi yong tau foo sup kat astaka Sitiawan lagi sedap! 😁

ABC dia pun layannn la juga. Walaupun makan epal sejuk dan masam dalam abc tu buat saya ngilu. Pertama kali order abc jumpa epal.

Ahad

Sekarang cuaca selalu mendung dan hujan, kan. Saya baca, Kuching Marathon orang lari dalam hujan. Putrajaya Night Marathon pun lari dalam hujan juga. Kat sini, takde la hujan hari-hari. 

Hari Ahad lepas, saya memang dari awal sudah bagitau suami, nak buat long run. Lajak boleh sampai half marathon, dengan sorang kawan saya. 

Peneman setia bila balik jogging.


Bila lepas jarak 21.1 km, terus settle cabaran 5km, 10km dan half marathon di aplikasi Strava. Hehe.. siap terus homework lari untuk bulan Oktober, walaupun baru masuk 2 haribulan.

Isnin

Saya ada masuk cabaran di aplikasi BookDoc. Yang Nestle Omega Plus Walk a Million Miles tu.


Cabaran ni, berlangsung sepanjang bulan September. Target dia, adalah capai 300,000 langkah dalam sebulan. Sudah selesai pun cabaran ni. Saya jarang masuk cabaran yang berbayar. Tapi sebab murah je fee untuk cabaran ni. Lagipun dari kawan-kawan saya yang pernah masuk dulu cakap, Nestle suka bagi barang banyak dalam goodie bag dia. 

Tapi e-medal la ye, dan e-certificate juga. Terus dapat kotak dari Nestle. Suami saya tolong amikkan kat pagar, cakap kami takde order apa-apa barang pun. Courier tu pun cakap dia tak tahu. Saya tak expect dapat barang dari cabaran ni, secepat ni. Mari kita tengok, apa ada dalam kotak.


Sehelai t-shirt, susu Nestle Omega Plus dalam  pek 150 gram, susu Omega Plus perasa dark chocolate dalam pek 550 gram dan minuman bijirin oat dengan susu omega plus, ada 10 packet dalamnya.

Hehe.. saya dah minum susu biasa tu dulu. Yang perasa coklat tu, dah habis perasa asli tu, saya akan cuba yang itu pula. 

Selasa

Pagi tadi, saya cuma berjalan dengan suami. Suami kerja shif petang. Jalan lenggang kangkung je. Itu pun, jam saya mati, sempat rekod 3 km sahaja pagi tadi.


Lepas berjalan, kami pi sarapan di Kluang Coffee Manjung. Suami order nasi ambeng, sementara saya pula laksa johor. 

Pada pendapat saya, susah nak cari kedai makan yang bila kita makan, rasa, sedapnya. Kebanyakan kedai sekarang, biasa-biasa je. Tapi bila makan kat sini, memang saya puas hati. Dah la portion banyak, lepas makan rasa gendut. Sedap pulak tu. Macam dia masak dari hati la. Bukan macam kebanyakan orang niaga sekarang, asal siap saje. 

Itu saja la ye, laporan buat kali ni.

Lain kali, saya tulis lagi. Jumpa lagi, ye.

Anak gagal permohonan UPU

 Jumaat, 3 RabiulAwal 1444 Hijrah.

Pada hari Ahad lepas, keluar keputusan UPU untuk pelajar lepasan STPM, Kolej Matriks, Politeknik dan yang seangkatan dengannya. 

Anak sulung saya lepasan kolej matriks, jurusan perakaunan.

Saya sampai download aplikasi UPUPocket untuk check result anak. Anak saya jenis burung hantu. Siang dia tidor. Malam dia berjaga. 🦉

Dukacita dimaklumkan anda TIDAK BERJAYA dalam permohonan ke Universiti Awam bagi Sesi Akademik 2022/2023. Keputusan adalah muktamad.

Ha. Hampa rasa di jiwa saya bila baca, tau.

Kawan pun sibuk bertanya. Keluarga pun sibuk bertanya, nak tahu. Haish, time anak dia orang, takde saya sibuk bertanya, anak dapat mana? Sibuk bebenor la manusia ni. 

Masa tu pikio, camanalah anak aku boleh gagal dapat masuk U ni. Salah seorang keluarga saya siap boleh cakap,"Camana boleh dapat macam tu? Tak pernah pernah keturunan aku tak dapat masuk U!"

Peh, cuba anda bayangkan, ye. Balik-balik saya sebagai ibu juga yang dikatakan salah. 😞

Anak-anak orang lain semua dapat. Huuu.... anak aku tak dapat. 

Tapi jauh di sudut hati saya, saya tahu, result anak saya pun tak berapa baik. Pointer dia tak tinggi. 

Terus saya teringat, saya pernah berborak dengan pengetua sekolah anak sulung saya ni dulu. Masa tu, saya ke sekolah dengan anak. Sebab perlu minta tandatangan dokumen. Puan Pengetua cakap, kolej matriks ni, kalau boleh, cubalah dapat pointer 3.5 ke atas. Baru dapat masuk U yang baik. 

Ye. Anak saya tak lepas pun 3.5 CGPA dia. Saya terima keputusan UPU dengan hati terbuka. Tapi ada rasa hampa la.

Minggu ni memang roller coaster ride la bagi saya. Itu yang saya tak update blog tu. Kalau boleh, saya tak nak tulis benda tak best di blog. Masa tengah emosi, tak mau la tulis apa-apa. Baik duduk diam. 

Saya kaji balik la. Permohonan UPU ni, guna sistem meritokrasi. Saya belajar untuk mengira markah merit anak saya. Saya masuk group UPU Online. Saya baca pengalaman dan cerita ibubapa lain. 

Bukan anak saya sorang tak dapat masuk. Ramai lagi rupanya. 

Klik untuk baca


Anak saya ambil Perakaunan masa di kolej matriks. Masa dia apply UPU tu, dia buat sorang di kolej. Dia pulak pakai apply je, based on kursus yang dia minat. Semasa permohonan, ada 12 pilihan kursus yang pelajar boleh masukkan. Saya check balik kan, dari 12 pilihan, cuma 2 pilihan kursus sahaja yang anak saya layak untuk memohon, based on markah merit. Itupun course yang dia layak tu, dia letak pilihan keempat. 

Saya check setiap kursus yang anak saya apply. Memang tak layak pun. Saya terima dan redha. Saya pun salah, sebab saya pernah cakap kat dia dulu, apply apa yang Amirul suka. 

Saya pun tak tahu. Yang permohonan ni, kena kira markah merit. Di aplikasi UPUPocket ada kalkulator markah merit. 

Masukkan CGPA anak, dan markah kokurikulum dia. Dekat slip result final kolej matriks, ada gred A je. Dekat kalkulator tu, ada nilai dari 0-10. 

Dah, berapa nilai untuk A tu? Dah saya tanya orang tu, tanya orang ni. Baru dapat. 9.4 rupanya. 

Anak-anak zaman sekarang tak sama macam zaman kita dulu. Dulu, kita buat semua sendiri. Apply UPU sendiri. Zaman takde internet, kena tulis sampul beralamat sendiri, beli stamp, tepek, pergi pejabat pos, buat wang pos bayar untuk borang UPU, semua sendiri. Jalan kaki.

Ok je. Dapat je U. Tiada masalah. 

Zaman sekarang, kena duduk sebelah anak, guide dia, camana nak isi borang. Macam tu.

Tengok la saya serah pada anak, isi borang sendiri, apa jadi. Dia pakai apply je. Course yang dia apply semua markah merit tinggi. Anak saya memang tak layak pun sambung degree dalam accounting. Semua tinggi-tinggi purata markah meritnya. 

Gitu. Geram dengan anak pun ada. Sebab sia-sia je, 10 tempat kosong sia-sia. Yang dia boleh isi dengan course yang dia layak, sekiranya dia boleh berfikir dengan lebih baik, kira markah merit dulu. Semua benda nak kena beritahu ke? Semua benda nak kena bersuap ke? Tak tahu fikir logik ke?

Itu lah beza generasi zaman sekarang ye. 

Bawak-bawak bersabor saya. Naik angin pun tak guna. Ketentuan Allah ni. Kena lapang dada.

Apa-apa pun, kita ikut proses dan saluran yang diberikan.

Yang gagal, boleh buat rayuan.

Suami pulak minggu ni pi kursus. Baru semalam dia sampai rumah, setelah pi kursus kerja di Gurun.

Kami bincang anak-beranak pagi tadi. Tak pergi jogging. Hujan. Lepas sarapan, kami bincang dengan anak sulung. 

Kira, teliti, kursus. 

Sudah submit rayuan UPU dah. Alhamdulillah. Selamat.

Nanti minggu ke-4 bulan Oktober, akan tau keputusannya.

Semoga ada tempat untuk Amirul sambung belajar. Kalau tak dapat pun, takpe la. Banyak tempat lain boleh pilih. Swasta pun takpe la. Duit boleh dicari. Asal anak nak belajar.

Tau tak, masa hari result UPU keluar tu, saya check dulu kan. Anak saya boleh cakap kat saya,"Mama tak boleh sabar ke? Tak boleh tunggu orang check sendiri?" 

Budak bertuah. Kalau tunggu dia check sendiri, malam la. Duduk bertapa dalam bilik tak keluar-keluar. Keluar bila lapor je. Kerja tak nak. Ambil lesen, tak nak. Adoiiii....

Saya siap tanya dia, dia nak sambung belajar, ke tak? Senang. Bagitau sekarang, kalau tak minat sambung belajar. Jangan nanti apply, bila berjaya masuk, sekerat jalan. Dia kata, dia nak belajar lagi.

Alhamdulillah. Anak aku nak belajor lagi.

Kerja saya sekarang adalah doa, doa, dan doa. Semoga ada tempat untuk anak saya, dan anak-anak yang tak berjaya dalam permohonan UPU yang baru keluar ni. Aminnn....

Dalam jiwa kacau minggu ni, saya sempat lagi keluar lari. 

Larian Selasa, 10.47 km. Selfie dengan budak Puteh.

Mesti lari, supaya dapat keluarkan angin-angin lintang dan segala angin meroyan dalam badan. Baru dapat berfikir dengan waras.

Tapi ada satu berita baik, tau, minggu ni. Sebelum ni, saya check darah 3 bulan sekali. Alhamdulillah, result darah saya normal, temujanji doktor hari Rabu lepas. Lepas ni, doktor cakap, jumpa dia 6 bulan sekali. Yay! Alhamdulillah, syukur! Saya sihat. Untuk info pembaca, ini rutin check, untuk post total thyroidectomy. Saya jalani pembedahan buang kedua kalenjar tiroid pada tahun 2016. 

Larian Rabu, 10.1 km.

Larian Khamis, 10.24 km. Selfie dengan budak Oyen pulak.

Gitu lah cerita minggu ni. Pengalaman pertama hadapi macam ni. Saya tahu, luas lagi perjalanan. Banyak lagi lubang lain anak-anak ni boleh pergi. Semua ni Allah yang aturkan. Belajar dari kesilapan. 

Salam Jumaat, semua.

Jumpa lagi, ye. 

Hari Anugerah Cemerlang

 Semalam telah berlangsungnya Hari Anugerah Cemerlang sekolah anak saya. 

Anak kedua, dapat hadiah tertinggi Bahasa Inggeris untuk Tingkatan 4.

Ye, budak bertuah tu. Yang selalu masa nak pergi sekolah pukul 7 pagi, suka suruh mama print out kerja sekolah dia. 

Budak bertuah yang suka buat mama nak tukor kaler ke ijo.

Budak bertuah yang kalau ada award King of Procrastination, memang dia la layak menang, sebab suka buat kerja semua last minute.

Saya pergi sorang, suami kerja. Hujan di pagi Sabtu. Ada jamuan ringan untuk ibubapa sebelum masuk ke dewan. Dekat rumah saya dah makan nasi goreng. Sampai sekolah, saya makan nasi lemak sikit. 😁 Pantang tengok. Orang pelawa, rejeki jangan ditolak. Lauk ayam rendang pulak nasi lemak dia. 😋 Kuih, ambil karipap pusing 2 biji, dan air teh o panas. Sungguh best, lapang rasa dada, dapat minum ayor panas time hujan.

Masuk dewan. Orang tu berucap, pengetua berucap, penyampaian hadiah,  diselangi beberapa persembahan dari pelajar.


Gambar dari jauh je mama mampu ambil. Kelihatan di bawah tu, ada persembahan gamelan oleh pelajar juga.


Alamak, ada photo bomb pulak. Apa nak buat, ramai manusia. Semua nak bergambor. 

Boleh work under pressure budak ni. Sesuai kerja sebagai programmer, macam mama dulu. Time nak release update baru, stayback la, siapkan sistem la, report la, apa semua. Eh, tak yah la. Baik jadi cikgu English, sebab dia terer English sangat. Hehe.. 

Sementara budak bertuah nak bergambor dengan kawan-kawannya, mama tunggu di kantin sat.



Gambor semasa hari kejadian, semalam.

Data larian untuk pagi tadi, sempat 12.86 km. 

Syukur Alhamdulillah atas rezeki dan nikmat Allah bagi. 

Salam hujung minggu, para pembaca sekalian.

Jumpa lagi, ye. 😊

Minggu banyak rehat

 Jumaat, 26 Safar 1444 Hijrah.

Dah hari Jumaat dah yek. Sekejap je, ye.

Minggu ni, banyak hari hujan turun di waktu pagi. Jadi, tidak lah saya pergi berjogging. Bawa masuk kasut lari, konon nak berlari treadmill. Tapi, nan ado... cuaca sejuk. Makan sambil tengok netflix lagi sedap. 🙈

Meh kita tengok cerita saya sikit, sepanjang minggu ni.

Sandwich telor rebus.

Masa saya pergi berlari hari tu kan, nak tinggal anak rumah. Saya ada siapkan sandwich telor rebus. 


Selain tu, saya ada juga masak mee goreng, guna mee kering jenama Arona. Lembut mee nye, bila dah direbus tu. Boleh tahan... 😋

Larian Rabu, 5.46 km.

Hari Selasa sempat lari sekejap je, 1 km, hujan lebat turun. Kelam-kabut lari masuk kereta. Kalau hujan sikit, biasa lari juga. Yang ni, dari jauh, boleh nampak hujan tu datang. Kelabu je. Kawan saya cakap, ni lebat ni. Betul pun. Masuk je dalam kereta, lebat betul, siap pakej angin. Huu... takut juga bawa kereta hujan lebat dan angin kuat. Wiper pasang speed paling laju. Alhamdulillah, selamat sampai.

Hari Rabu, gambar di atas, beriadah dengan suami, di Lumut Waterfront. Jumpa kulit siput dekat tepi pantai. Nak letak dalam akuarium. 😁


Lepas tu, ada masak sambal telor rebus. Yang ni, nak masak, senang je. Cili kering semata. Arwah mak saya dulu ajor. Dulu duduk kampung, kadang tak boleh nak ke kedai, beli barang dapur, jauh dan takde pengangkutan. Bawang pun dah habis. Kalau tak tau nak masak lauk apa, ambil cili kering je, kisar. Ikut citarasa. Cili sekarang pedas, 11-12 biji cili kering sahaja saya guna untuk lauk di atas. Dulu, roti pun simpan dalam peti ais. Jadi, roti tahan lama. Nak makan, bakar dengan toaster. Bukan selalu dapat keluar pergi kedai. 


Larian hari ini, Jumaat, sejauh 10.02 km. 

Sarapan lontong pagi tadi. Lama dah tak makan. Suami tolong belikan, sebelum dia masuk kerja. 

Kredit foto: Jurugambar rasmi HTM Ipoh 7 Bridges Run

Gambar di atas masa saya dah nak sampai finish line. Ada juga gambar oleh pihak penganjur, yang elok sikit. Ada beberapa yang jurugambar rasmi penganjur ambil, tapi gambar saya semua cinonet dan gelap. Gambar atas paling ok.

Kredit gambar DutaFotoMalaysia

Gambar di atas pula oleh jurugambar bebas, cantik dan jelas gambar encik ni ambil. Fokus pada sorang-sorang runner. Saya suka! 😁

Ok ler.

Jumpa lagi, ye. 😊

HTM Ipoh 7 Bridges Run 2022

 Pada hari Ahad yang lepas, bersamaan 18 September, saya pergi Ipoh dengan suami, pagi-pagi buta, kau... Nyaris terlewat. Saya nak bangun pukul 12.30 malam untuk bersiap. Saya set alarm di telefon, 12.30. Saya lupa yang handphone saya, setting jam dia, 24 hours. Patutnya, 0030. Saya letak 1230. Tak bunyi la. Nasib baik suami saya tak tidor dan gerak. Itu pun dia gerak saya bangun lewat, hampir pukul 2 pagi. 

Anda bayangkan ye, dari Lumut ke Ipoh, kami sampai dalam 1 jam je bawa kereta. Malam minggu tau. Walaupun tak sesak. Tapi traffik light banyak. Tak pernah-pernah bawa kereta macam ni, sejam dah sampai. Dari Lumut ke Stadium Indera Mulia Ipoh, 84.7 km jaraknya. Mengikut google maps, ETA 1 jam 29 minit. Haha.... kat rumah tu, saya bersiap macam kartun. Mandi pun ala kadar. Tak sempat 'lepas hajat'. 

Bila sampai Ipoh, ada masa sikit, singgah Petronas, baru lega, dapat membuang. Dah tu, lain kali ada event lari, takmo bertolak dari rumah tengah-tengah malam. Baik duduk hotel. Tapi nak buat camana, suami punya cuti dah tinggal sikit. Kena jimat, takut ada emergency atau hal keluarga, kena hantar anak ke, kan. 

Takpe la, sempat sampai, pakai kasut, buat warm-up, dan bersedia untuk larian.


Ramainya manusia. Flag off untuk kategori 21 km, pukul 4 pagi. Tapi, nak tau tak apa jadi? Boleh false start la pulak! Udah macam larian 100 meter pulak kat sukan olimpik. Orang tembak, tapi false start, kena balik semula ke starting line. 

Saya yang duduk di tengah-tengah, tak dapat dengar apa-apa pun yang Emcee tu cakap. Suami saya cerita, sebab dia dah standby kat depan starting line, nak ambik gambar saya, emcee tu cakap, tunggu, tunggu. Polis di hadapan belum ready. Tapi orang kat starting line tu dah tembak, orang ramai pun start la lari. Adoi! Marah orang kat depan tu. Ada la 2, 3 kali kena undur, undur ke belakang, sebab nak mula semula. Saya sampai terpijak kaki orang belakang saya. Ye la, kan orang dah berpusu-pusu ke depan, nak mula. Sepanjang penglibatan saya berlarian di event ni, ini pertama kali kena false start. 

Lepas tu, berlepas la jugak. 

Kredit foto: Jurugambar rasmi HTM 7 Bridges Run Ipoh

Boleh nampak saya, dalam gambar di atas? Hehe...

Giler, orang semua laju-laju, tau! 

Saya, semasa 3 km pertama, saya ada rasa sakit di bahagian shin.

Photo credit: OrthoInfo

Lepas 3 km, sakit tu hilang. Tapi ada rasa sakit kat tapak kaki pulak. Adoi. Yang ni, tak hilang-hilang. Sikit-sikit saya ambil energy gel. On and off la, saya tetapkan langkah kecil sahaja. Tak mau push, takut cedera. 

Ipoh 7 Bridges Run ni, seingat saya, tiap-tiap tahun dianjurkan, sebelum covid. Tapi ini pertama kali saya masuk. Memang dia tak tipu la ye. Dia punya route, turun naik, turun naik beberapa fly over di Ipoh tu. Masa tengah lari tu la, timbul sedikit rasa menyesal, kenapa la saya tak training lari di bukit Teluk Batik tu. 

Serius, sakit betis, extra letih bila habis tau, macam kita naik bukit pulak. 

Berbalik kepada suami saya, selepas saya berlepas larian, dia kembali ke kereta untuk tidor. Sebab suami saya kerja shif, semasa hari kejadian, dia kena masuk 12 tengahari. Dia baru je nak melelapkan mata di dalam kereta, tapi diganggu oleh bunyi bising pekerja majlis bandaran tiup daun kering. Lepas tu, dia terdengar orang sembang pulak, kuat. 

Bila dia keluar kereta, dia tengok ada runner dah siap dah pun lari. Cuba anda bayangkan, 21 km, 1 jam 20 minit, dah ada orang sampai, ye! Kegilaan apakah ini? Kaki kuda ke? Laju-laju belaka... 

Ramai pulak peserta, tau. Saya sentiasa dikelilingi orang. Tak pernah bersendirian berlari. Kerja saya dok potong orang je.

Ada pacer, bawa belon. Jadi, sangat membantu.

Ada kalanya, pacer 3 jam betul-betul duduk belakang saya. Pacer pulak, cakap, ha, kalau tak nak saya potong, laju sikit, laju sikit. Kan sebagai dorongan tu. 

Ada kalanya, sedikit di hadapan, saya berjaya potong pacer 2 jam 45 minit. Tapi, saya tak dapat bertahan. Pacer 2 jam 45 minit potong saya balik semasa km ke-18, lebih kurang. Tak larat, tau. Sakit betis dah.

Gambar oleh jurugambar rasmi HTM 7 Bridges Run

Dalam gambar di atas, tengah fokus, I can do this, I got this! 

Saya jumpa macam-macam orang. Ada sorang uncle runner ni, saya potong, dia dah tua dah. Posture badan dia pun macam dah bongkok. Tapi dia steady je lari, half marathon. Ntah kita boleh tak lari lagi bila kita dah tua macam tu.

Bila dah nak habis, jumpa sorang adik, cakap kat saya, steady, kak, steady. Dia dok jalan je, catwalk. Kaki dia cramp, katanya. Laa, takpe dik. Slow ke, laju ke, asal bergerak ke depan, ok sesangat.

Ada surau bergerak semasa km ke-16 lebih kurang. Alhamdulillah.

Berikut result larian saya.


Category: 21 km veteran

Dari 1,217 peserta larian, saya dapat nombor 803. 😁

Dalam kategori women veteran, iaitu wanita 40 tahun ke atas, ada seramai 166 orang, saya dapat nombor 104. 😁

Dari 289 pelari wanita, saya dapat nombor 144. 😁

Medal dan baju finisher

Letih campur mengantuk. Bole tidor time amik gambor.

Masa pada jam saya, 3 jam 6 minit. Saya lupa nak stop jam. Saya pergi ambil baju dan medal dulu, ambil taufufa dulu, cari tempat duduk dulu, baru saya perasan yang jam saya masih berjalan. Hahaha... masa rasmi yang saya ambil untuk half marathon kali ini, tepat-tepat 3 jam ye. Haha hehe huhu... Alhamdulillah, syukur, selamat sampai.

Lepas sampai, rileks sebentar. Saya stretch sekejap. Habiskan taufufa panas. Sedap rasanya, pekena benda panas habis larian. Lembut, terbakor dada. Kalau dapat kopi panas lagi best. Hehe.

Kami tak tunggu pun untuk cabutan nombor bertuah. Terus balik. Suami nak masuk kerja pukul 12 tengahari. 

Alhamdulillah. 

Jumpa lagi, ye. 😊

Selamat Hari Malaysia

 Jumaat, 19 Safar 1444 Hijrah.

Dalam entri lepas, saya ada cerita tentang progress saya sedang mengait, kan. Ada gambar 4 jarum knitting yang saya gunakan untuk kait topi. Saya nak tambah penjelasan. Patutnya, saya cerita dengan lebih menyeluruh. Begini, knitting atau kait dua jarum, guna 2 jarum kait sahaja kebiasaannya. Cuma untuk hasilkan benda bulat seperti topi, adalah lebih mudah untuk guna 3 atau 4 jarum. Alternatifnya, ada juga jarum knitting bercable, di mana dua jarum kait, dihubungkan dengan tali plastik atau kabel dawai atau macam-macam lagi la di pasaran sekarang yang ada dijual, sekiranya nak hasilkan benda bentuk bulat.


Tapi prinsipnya masih sama, saya cuma guna 2 jarum pada satu masa. Sementara 2 jarum lagi, saya abaikan sahaja. Sebab tangan kita kan ada 2 je, satu pegang jarum belah kanan, dan satu lagi jarum tangan kiri. Cuma, jarum itu di-rotate penggunaannya. Bertukar-tukar, sepasang pada satu-satu masa. Harap jelas mengenai knitting atau kait dua jarum. 

Berikut progress saya, setakat semalam.


Ada dah nampak macam bentuk topi, kan. Macam rupa anak tudung yang kita pakai masa sekolah dulu pun ada. Lepas beberapa round knit bahagian ribbing, baru masuk bahagian body topi. Gitu. 

Saya dulu, masa mula nak belajar kait topi, saya guna jarum knitting bercable. Cuma sekarang saya lebih prefer untuk guna double pointed needles (DPN), seperti dalam gambar di atas ni. Macam complicated je. Kita nak knitting untuk hilang stress, sebagai terapi. Bukan nak tension-tension, nak kena hadap jarum yang banyak, gitu anggapan saya dulu. Tapi percayalah, konsep dia tetap sama. Masih mengait dua jarum je. Pegang konsep tu, dan kita boleh kait apa saja. 

Macam matematik juga, kalau kita faham konsep matematik tu, dari sekolah menengah, sampai kita masuk U pun, dan kita ambil maths, dia pusing soalan macamana pun, kita boleh selesai masalah matematik tu, Insya-Allah. Nak guna persamaan serentak ke, apa pun, tulis dulu apa info diberi, untuk selesai satu-satu masalah. Gitew.

Tentang intermitten fasting (IF) pula, ye, saya baru start semula IF ni. Dulu, tahun lepas ke, 2 tahun lepas ye, saya pun dah lupa. Berat saya plateau. Dok 60 kg je, 61, 62, 63. Lama saya berusaha untuk turun berat jadi under 60. Tapi lepas saya buat IF, barulah berat saya jadi 59, 58 kg. 

Biasanya, saya buat 16 jam IF. Sarapan pukul 10 pagi. Dinner sebelum 6 petang. Disiplin kena tinggi. Jangan menipu. Kalau tipu, bukan siapa pun, kita cuma menipu diri sendiri je. Kena kuat juga. Buat permulaan ni pun, saya tak kuat. 

Fasting Tracker app, percuma dari playstore.

Bukan hari-hari saya dapat capai 16 jam untuk IF ni. Contoh di atas, 15 jam 26 minit je. Tengok bahagian bawah gambar di atas, fasting record saya, bukan setiap hari saya dapat capai target 16 jam. Kalah jua. Cuma 4 hari dapat capai target 16 jam. 3 hari lagi, ke laut dalam. Kena lebih berdisplin dan kuat lepas ni. Berusaha! 

Oh, saya cuma nak cuba jauhkan sikit dari border 60 kg tu. Walaupun BMI saya sudah normal. Saja, nak tengok, boleh turun lagi ke tak. Kalau dapat 55 kg, orait juga. Tengok la dulu. Berat saya sekarang adalah 59 kg.

Semalam hari Khamis, saya pergi lari sekejap. Hari Rabu saya tak lari, sebab hujan lebat di waktu pagi.


Larian pagi Khamis adalah sejauh 7.34 km. Gambar di atas adalah kopi yang saya tapau. Kiri, americano panas. Kanan, mocha frappuchino, untuk suami. Orang tu tanya, nak letak gula tak, dalam americano tu? Saya cakap letak sikittttttt je. Memang betul dia letak sikit je. Hampir tawar rasanya. Bagus, bagus. Bungkusan di dalam plastik di belakang kopi adalah roti john daging. Tapau, makan di rumah. 

Pagi tadi, saya tak jogging. Malas pulak. Hari ni memang plan untuk ke Ipoh, ambil racekit untuk event lari hari Ahad ni.

Lepas sarapan dengan anak-anak di luar, saya dan suami pun pergi Ipoh.


Selamat sudah, ambil racekit untuk event hari Ahad ni. Semoga selamat sampai ke garisan penamat. Saya masuk half marathon, 21 km.

Kedua kakak saya pun ada event lari juga, di Sabah, iaitu TMBT. Kakak sulung masuk 50 km, manakala kakak kedua masuk 30 km. Rindu untuk lari dengan kakak-kakak saya. Insya-Allah, jika diizinkan. Walaupun saya tak join dia orang, kakak kedua bawa topi yang saya kait untuk dia dulu.


Hehe.. saya pun dah lupa saya pernah kait topi ni untuk dia.

Kakak keduaku, pakai topi saya kait.

Kakak wassap kata, hujan sana. Aiyo.. semoga selamat sampai ke garisan penamat.

Selamat bercuti. Selamat Hari Malaysia! 😊💓