Lari lebih sikit

Sabtu, 13 Syawal 1443 Hijrah.

Memandangkan semalam cuti lari, dan esok plan nak pergi beraya, mari kita lari lebih sikit hari ni.


Pagi tadi, jogging sejauh 10 km. Lamanya tak buat 10 km. Haha, hadoi...

Tambah semangat, bila kita berjaya buat satu-satu challenge tu, point kita dekat carta di aplikasi Garmin Connect turut bertambah.


Contohnya, melalui larian hari ni, saya berjaya rekod larian lebih 10 km antara tarikh disebut dalam cabaran May Weekend 10K. Dapat naik 2 point.

Bukan 1, tapi 2 lencana dapat hari ni. Lagi satu adalah...


Sudah melepasi 50 batu berlari di bulan Mei, atau 80.5 km milestone. Alhamdulillah. Allah bagi pinjam nikmat berlari. 

Open house di mana-mana. Selamat menjamu selera dan berhati-hati di jalanraya. 

Isnin pun cuti sekolah. Selamat beristirehat, kepada semua pembaca blog saya ni, yang saya hormati sekalian. 

Jumpa lagi, ye.

Makan dan makan

 Semalam, hari Jumaat, saya cuti lari. Saja, bagi badan rehat. Badan kita ni, macam kereta jugak, sebenarnya. Bila dia nak rosak, dia akan keluar bunyi sana, bunyi sini. Cuma kita perasan atau tak, bunyi tu. Sama ada kita dengar, atau buat tak peduli bila badan kita dah keluar tanda. Rehat pun penting juga. 

Suami saya pun, apa lagi, ajaklah saya sarapan di luar. Lepas hantar anak kedua ke sekolah, kami pi kedai makcik bawah pokok.


Order cucuq dengan kuah kacang. Rangup cucuq makcik ni. Panas-panas pekena, nikmat... 😋


Saya order mee rebus. Ayor nescafe o panas.


Sementara suami saya pula, order mee kari. Dua-dua sedap. Alhamdulillah.

Lepas sarapan, singgah Lotus. Cari barang dapur sikit. Dekat kaunter ayam, ramai bebenor orang berator. Rupa-rupanya, masa dia bawa keluor ayam, harganya murah. Sekor, boleh dapat RM9. Biasanya, sekor ayam, kalau beli di pasor, boleh mencecah RM22. Tak heran la ramai yang berator. Ada yang amik sampai penuh satu troli. Niaga kot. 

Balik rumah, saya masak nasi. Lauk kacang buncis, pecah telor.


Bincang dengan suami, kami nak buat macam dulu. Makan cara suku-suku separuh. Saya cerita sikit ye, pengalaman dari tahun lepas. 

Lebih kurang awal tahun lepas, suami saya telah kemalangan motor. Dia kena jalani pembedahan di lutut.

Gambar throwback masa nak check-out spital

Lepas operate, kena la pantang, ye dak. Baru luka cepat sembuh. Sementara dia tak boleh berjalan, saya bagi dia makan style suku-suku separuh. Letih tau, jaga orang tak sihat ni. Nak mudah kerja, saya bagi dia makan dalam tray budak ni.


Tak payah  nak berhidang-hidang bagai. Doktor tak bagi dia banyak gerak dalam 2 minggu pertama. Dok atas katil, buang ayor kecik pun atas katil. Separuh tray sayur dan buah. Suku yang paling kecik, nasi. Suku sederhana besor, protein seperti ikan dan ayam. Saya masak cara kukus, bakor dalam oven atau rebus. Contoh macam masak sup tu, saya tak tumis pun, saya masak air je, tak guna minyak. 

Gambar throwback tahun lepas, masa follow-up spital

Cian pakcik ni. Idok ler namanya manusia kalau tidak diuji. Kita tengok kesian. Yang menanggungnya, bila hilang upaya berjalan, hanya yang merasainya saja yang tahu. Tapi, kita belasah jer la. Bersedia atau tidak, hadap! Insya-Allah, ada ganjaran atau hikmah di sebaliknya.

Dipendekkan cerita, sebaik sahaja habis mc 2 bulan, bila suami saya kembali bekerja (ye, Alhamdulillah, suami saya boleh kerja semula, walaupun mula-mula pakai tongkat ketiak atau underam crutches tu). Semua officemate suami kata, suami saya dah kecik. Dah kurus la. Hasil makan style suku-suku separuh. Tentu anda tahu, yang badan kita ni, 80 peratus adalah apa yang kita makan. Lagi 20 peratus, senaman. 

Jadi, suami saya yang cadang, saya masak style camtu balik. Sebab dia ada gain weight sikit. Cuba lah ye, tak boleh buat all the time, kita cuba buat setakat mana mampu. Nak sihat. Nak ibadah dengan mudah. Orang sakit lutut, bila overweight, ha, start la sakit kaki tu. Kita cuba, ok.

Berikut makan tengahari saya semalam. Eh, takkan la suami saya je yang makan suku-suku separuh. Saya pun join ler. 😁


Sayur kacang buncis separuh, nasi suku, ayam bakor suku. Ayam tu, beli yang dah perap, frozen. Kita masak je dulu apa ada di rumah. 

Makan malam pula adalah seperti berikut.


Saya pinjam tray makan suami. Dia kerja shif petang. Itu la maksud saya. Bukan boleh apply makan suku-suku separuh ni sepanjang masa, lebih-lebih lagi bila suami di tempat kerja. Tapi kita cuba la mana yang mampu. Hidangan makan malam saya, sayur salad separuh, nasi, dan ayam panggang. Besor nya ayam saya. Heee..

Semoga istiqamah. Dapat buat sebagai gaya hidup yang baru. Berusaha! 

Ok la. Jumpa lagi, ye.

Syukur

 11 Syawal 1443 Hijrah.

Saya tetap bangun pukul 4 pagi tadi. Walaupun dah tak perlu bersahur. Saje, sediakan makanan awal-awal. Saya masak nasi. Lauk pula, sardin goreng bercili. Meletup-meletup masa goreng ikan sardin dalam tin. Terkena minyak kat tangan. Cepat-cepat tutup periuk. Saje try resepi baru. Selalu masak sardin macam biasa je, atau buat kari sardin. Pastu, goreng nugget pulak. Pastu mandi. Pastu Subuh. Pastu lipat kain. Baru pi jogging. 

Hari ni, bawa air pi jogging. Lama giler kot, pergi jogging tak bawa air minum, sebab puasa. Sampai di tempat jogging, langit dah cerah.


Pagi tadi punya jogging adalah sejauh 7.02 km. Paneh bebenor, wei. Pakai topi. Baju basah lenjun. Ramai pulak tadi kat tempat jogging. 

Gambar di atas adalah makan malam saya, semalam. Suami ajak dinner luar, meraikan hari last saya settle hutang puasa semalam. Saya dan suami berbuka puasa di rumah, dengan kurma dan 2 biji popia goreng, beli waktu petang. Lepas maghrib, keluar. Makan di restoran Prime, Manjung. Sini, specialities dia steak dan western. Tapi saya order nasi goreng sotong, bersama nescafe o. Sedap. Alhamdulillah. Gendut rasanya, nasi banyak. Sotong celup tepung, besor-besor sotongnya.

Malam-malam, tengok pelita solar kat rumah. Ye la, tak sama la, pelita biasa guna minyak tu, banding lampu solar ni. Tapi, boleh la.


Biasa waktu subuh, semua dah padam. Kalau pelita minyak tu, ada yang menyala lagi oo, walaupun dah pagi. 


Syukur Alhamdulillah. Allah panjangkan umur, dapat nikmati ramadan, beraya di bulan syawal dengan family, dapat bayor hutang puasa, dapat nikmat berlari. Kalau nak dikira, banyak sangat nikmat yang Dia bagi. 

Baiklah. Semoga segala urusan anda semua pada hari ini, dipermudahkan.

Jumpa lagi, ye.

Puasa enam

 10 Syawal 1443 Hijrah.

Puasa qada, hari ke-9. Last, wei! Last! Esok raya, yahooo....! 😁😍

Bukan mudah nak posa, bila orang lain semua makan. Bila orang lain dok passing passing balang kuih. Sebagai motivasi, berikut adalah hikmah puasa enam. 

Kredit foto RelaksMinda

Seolah-olah berpuasa selama setahun. Mampu ke kita nak puasa setahun? Idok ler, kan. 6 hari je, cuba buat di bulan syawal. Saya, 9 hari, termasuk hari uzur. Hutang kena bayor cepat-cepat. Saya start sejak 2 Syawal.

Ada yang cakap tak boleh gabung puasa qada dan puasa enam. Terpulang. Saya share video Ustaz Azhar Idrus di bawah.


Islam itu mudah. 

Baiklah. Dalam entri semalam, saya cakap, saya buka puasa kat luar, kan. Kat rumah tu, makan kurma dan kuih raya seketul dua. Lepas maghrib, saya dan suami pun keluar la. Tak ada nak tuju mana-mana tempat secara khusus. Pusing-pusing, tengok mana tempat yang kurang orang, situ la kami makan.

Jumpa la kedai yong tau fu. Tak pernah makan situ lagi. 


Boleh la, sebab dah lama teringin yong tau fu, sejak bulan puasa. Tapi sos dia, masam. Tak pernah makan sos hitam yang masam. Habis juga, sebab lapar. Suami ada order bihun goreng. Lupa nak ambil gambar. Sedap. 

Dalam gambar di atas, hasil larian saya pagi tadi, 7.02 km. Alhamdulillah.

Pagi tadi, waktu sahur, saya masak nasi goreng.


Nasi goreng ada letak daging. Nikmat makan panas-panas. Rasa terbakor dada. Terbeliak biji mata. 😋

Ok la ye. Jumpa lagi.

Salam Selasa

 9 Syawal 1443 Hijrah.

Puasa qada, hari ke-8.

Agak panas, cuaca sekarang ye. Tidor pun berpeluh-peluh kalau tak pasang aircond.


Pagi tadi, jogging sejauh 7 km. Alhamdulillah.

Rasa malas juga nak lari hari ni. 

Bila puasa, dengan mengantuknya. Rasa nak tidor je.

Gambar bunga kecil, dari rumput yang tumbuh di halaman rumah. 

Hari ni, cadang untuk makan di luar. Berbuka dulu dengan kurma dan air di rumah. Lepas maghrib, cari kedai. Sementara suami cuti ni. 

Baiklah.

Jumpa lagi, ye. 😊

Cerita 4 hari

 8 Syawal 1443 Hijrah.

Puasa qada, day 7. Dah selesai puasa 6 semalam. Sambung puasa lagi esok lusa, bayor hutang. 

Sibuk juga, ke sana, ke sini, tak sempat update blog. Maapkan saya, ye.

Saya tetap pergi jogging juga, macam biasa. Lari tu, my 'Me' time. Kalau tak lari, boleh meroyan kot. 😅

Larian Jumaat


Pada hari Jumaat lepas, saya jogging sejauh 8.11 km. Bila start awal, dapat buat lebih. 

Gambar di atas adalah gambar arwah mak saya, bersama bapa saya, dan anak sulung saya, yang waktu tu masih baby. Saya rindu beraya zaman anak-anak masih kecil. Zaman mak saya masih ada. Bila mak dah tak ada, tak ada erti raya dah. Rasa menang sikit, sebab berjaya tingkatkan usaha dalam pergi terawih, puasa dan mengaji di bulan ramadan. Hidup diteruskan, tetap masak juadah raya demi anak-anak dan tetamu yang datang berkunjung. Tapi hati rasa sayu je. Sehingga ke hari ini, saya masih belum cium tangan bapa saya. Dia dah berkahwin lain dan hidup di tempat lain dengan keluarga barunya. Insya-Allah, saya akan jumpa bapa hujung minggu ni. 

Selagi orang tua anda masih ada, balik la, jumpa dia orang. Jauh ke, dekat ke. Kita tak tahu, tahun depan, boleh jumpa dia orang lagi ke tak. Tak dia orang pergi, entah-entah kita yang pergi dulu. Bawa anak-anak jalan beraya sama, kenal saudara-mara, merapatkan silaturrahim. Mak saya meninggal tahun 2012. Dah 10 tahun dah dia pergi. Tapi lubang kat dada tu masih ada. Rasa lopong je. 😭

Larian Sabtu


Pada hari Sabtu lepas, saya jogging sejauh 7.4 km. Alhamdulillah.

Lepas lari, bercucuk-tanam sekejap di rumah. Cabut rumput dan membaja. Gambar di atas, saya dengan topi tukang kebun.

Larian Ahad


Pada hari Ahad pula, saya jogging sejauh 7.24 km. Pace tetap maintain pace siput, 10 je.

Gambar adalah nasi goreng yang saya masak waktu sahur. Nak kata sedap tu, takde la sedap sangat. Tapi laku la juga, sebab makcik nasi lemak belum buka kedai. Jadi, makan je la apa yang dimasak di rumah. 😁

Hari Ahad juga saya dan suami pergi hantar anak sulung balik ke kolej. Sayunya hati lepas hantar anak. Masih dalam proses belajar untuk redha. Anak kita pergi belajar. Kena belajar untuk lepaskan dia. Agaknya, camni la mak kita rasa, masa kita balik hostel zaman belajor dulu. Kena doa banyak-banyak, semoga anak dalam lindungan Allah sentiasa.

Larian Isnin


Hari ni, hari Isnin, saya jogging sejauh 7.55 km. 

Gambar adalah semasa dalam perjalanan balik ke rumah, lepas hantar anak kolej semalam. Suami ajak jalan-jalan jauh sikit, ikut Tanjung Tualang, lalu Kampung Gajah, Seberang Perak, dan Lekir. Saya suka lalu kawasan ada sawah padi. Hijau. Sayup mata memandang. Teringat dulu waktu kecik, masa sekolah rendah, saya pergi mengaji di rumah Tok Wan, tengah bendang. Kaki selalu kotor. Pakai selipar je. Biasa kalau melekat kat batas sawah tu. Lecah. Nasib tak baik, kena lawan dengan kambing garang dulu. Hehe.. kenangan betul.

Pagi tadi, masa sahur, saya makan spiral ni tau.


Saje nak try.


Ha, ni la. Masa beli barang dapur, ternampak kat supermarket. Macam masak maggi la juga. Saya dah try yang Prego Macaroni and cheese. Boleh tahan. Yang spicy seafood spiral ni, kurang sedap, pada pendapat saya. Hehe. Tapi, boleh la nak makan isi perut, kalau lapor.

Untuk makan tengahari suami dan anak-anak, saya masak gulai daging.


Gulai in-the-making. Belum siap lagi, masa saya ambil gambar di atas. Lama tak masak gulai daging. Gulai ayam selalu. Hehe.

Selamat bekerja, pada pembaca blog saya ni, yang sudah mula bekerja hari ni. Semoga hari anda ceria-ceria belaka.

Jumpa lagi, ye. 😊

Lari, makan, repeat

 Khamis, 4 Syawal 1443 Hijrah.

Puasa qada serta sunat Syawal, Day 3.

Semalam saya pi jogging. Solo lagi. Kawan-kawan masih beraya. Saya ni je la yang dok tercongok, tak kemana-mana, suami bekerja. Huwaaa.... kena sabor banyak-banyak. Seronok kome ye... jalan sana, jalan sini, dah beraya, pi holiday pulak. Huwaaa....

Hehe.. takde la, saya ok je. 


Larian semalam adalah sejauh 7.05 km. 

Lihatlah langit nan membiru. Cuaca sangat baik. Syukur, Alhamdulillah...

Semalam, saya masak daging hitam. Pertama kali tau, rujuk resepi dalam majalah Rasa keluaran Jun 2017.


Penat masa mencuci daging, buang lemak-lemak, yang ada pada daging. Suami saya beli daging 2 kilo. Saya buang lemak-lemak untuk 2 kilo daging tu. Saya bahagi 2. Jadi, untuk masak hitam ni, saya guna daging 1 kilo, lebih kurang. 1 setengah jam berdiri dok siang dan potong daging ni. Pengsan acik. 

Mak ai, hitamnya daging masak hitam dalam gambor di atas. Dia tak cukup pakai Qu Puteh.

Tapi rasanya, orait sesangat. Alhamdulillah, jadi.


Pagi tadi saya pergi jogging juga. Dah ada sorang kawan join. Ha, syok sikit. Kat tempat jogging tu pun, dah makin ramai orang beriadah, berbanding semalam dan hari-hari lepas.

Larian pagi tadi adalah sejauh 7.81 km. 

Gambar di atas, Oyen dan Puteh, datang pada saya, masa saya tengah duduk bawah pokok ceri. Pantang tengok tuan dia nak lepak sikit, mula lah datang nak manja. 😁 Nyampesss...

Sejak kebelakangan ni, di kawasan sini, restoran mamak memang penuh dengan manusia. Pagi, orang dok tapau roti canai. Tengahari, orang dok tapau nasi kandaq, penuh laaa... tak kasi can kat kita langsung deme ni.

Takpe, kita masak maggi goreng sendiri.


Takde lauk leftovers kat rumah. Guna fishcake dan telor je, untuk goreng maggi di atas. Boleh la tu, buat lapik perut anak-anak.

Suami ajak buka puasa di luar hari ni. Lepas maghrib, boleh la pi. Yay! Harap kedai tomyam tak penuh macam mamak.

Ok la ye. 

Jumpa lagi, ye.

Larian 2 Syawal

 Semalam saya dah off jogging 1 hari. Makan pun banyak, wei. Rendang, nasi briyani, lemang (orang bagi), rendang rusa (orang bagi jugak), kueh raya, kerepek.. ya Allah, sabor je la. Banyaknya makan. 

Hari ni, saya pergi jogging juga, walaupun ada dengar bunyi guruh di langit.

Ingat nak jogging tepi laut. Bila sampai Lumut, hujan, wei. Patah balik, pergi tempat biasa jogging.

Ok. Jalanraya kering, tak hujan. Selain saya, ada Tok Wan, dan beberapa chinese runners tengah jogging. Tok Wan memang regular jogging situ, umur dia dah 60 lebih. Dia kata, minggu depan baru dia balik kampung. 

Sampai 5 km, hujan pun mula turun.


Saya teruskan berlari dalam hujan. Bila bunyi guruh dah sampai dekat, baru saya cabut, masuk kereta, balik. Dapatlah 6.41 km pagi tadi. Alhamdulillah.

Gambar bunga ros yang baru nak kembang di depan rumah. Tuan dia malas letak baja dan siram pokok, jadi dia jarang-jarang berbunga. Tu yang ambil gambar tu.

Ingat on the way balik, nak singgah mamak, tapau roti canai. Mamak pun tutup daaa.... bukan mamak je, banyak lagi kedai makan yang biasa buka time breakfast, tutup hari ni. Saya bawa kereta jauh sikit, pergi McDonald drive-thru. Ok. Ada 3 kereta je. Tapi saya perasan, ramai orang makan di McD, sampai ke meja luar pun ada orang. 

Time drive-thru, nasi lemak McD habis daaa.... beli crispy chicken mcMuffin with egg je la. Sebenarnya, saya dah siap masak nasi di rumah. Sebab saya bersahur pagi tadi. Puasa qada serta sunat syawal, day 1. Tapi anak tengah saya, memang tak berapa makan nasi sangat. Tu cari breakfast lain untuk dia. Kalau dah beli sorang, takkan yang lain nak tengok je kot. Beli la untuk anak-anak saya 3 orang terus. 

Ok. Semoga anda semua selamat beraya, dan selamat kunjung-mengunjung sesama saudara atau rakan. 

Jumpa lagi, ye.