Menu posa enam

 Hari ni, saya share gambar makanan je la. 

Mula hari ketiga, baru teringat nak ambil gambar.


Nasi goreng masak waktu sahur hari ketiga puasa enam. Ada masukkan sekali beberapa ketul daging masak hitam.


Tortilla ayam, pertama kali beli di kedai burger dekat rumah. Kedai burger dia lain sikit, selain burger biasa, burger crispy pun ada. Ada deep fryer kedainya. Kenyang juga makan tortilla ni. Inti ayam di dalam boleh tahan. Ada salad juga. Makan waktu berbuka hari yang sama.


Lepas solat maghrib, suami ajak mengopi. Hari hujan pula. Pergi Richiamo Coffee di Manjung Point. Pesan 2 americano, satu ais dan satu panas. Dua-dua tanpa gula. Terbeliak biji mata. Pertama kali cuba Salted Egg Yolk Croissant. Jumlah harga mengopi RM24.70.


Kek lapis Sarawak, perasa lumut cheese. Hari-hari sejak hari raya pertama, saya potong kek lapis yang kakak kedua dari Kuching bawa. Satu hari, satu perasa. Paling sedap, yang luxury cadbury, saiz pun lebih besar dari kek lapis biasa. Yang tu, kami makan raya pertama. Lagi kek lapis, perasa rainbow chocolate, masam manis yang all time favourite sampai 2 biji kek, dan pertama kali cuba perasa creamy marmalade. Pun sedap juga. Hari-hari kek, weiii... Ate, camana ni... walaupun puasa, melahap kek waktu berbuka atau sahur. 😁


Puasa enam hari keempat, bersahur dengan mee segera sahaja. Habis idea mau makan apa.


Cuba yang ini, Mie Sedaap Instant Korean Cheese Buldak Spicy Chicken. Tahap kepedasan boleh laras. Boleh masukkan tahap pedas nikmat, atau pedas gila. Saya masukkan pedas nikmat. Ok. Boleh diterima dan tidak sakit perut selepas makan.


Menu berbuka hari yang sama, makan nasi lauk ikan kembung masak asam rebus, ayam masak lada hitam, juga budu bersama ulam timun jepun.


Menu sahur hari kelima puasa enam, makan nasi dengan lauk telur goreng kicap.


Menu berbuka hari yang sama, spagetti goreng.


Sahur pagi tadi, iaitu hari keenam puasa enam, roti whole wheat bakar 2 keping dengan telur dadar. Ada goreng untuk anak bongsu nak pergi sekolah, jejari ayam. Ambil seketul jejari ayam.

Syukur, Alhamdulillah.

Selamat berpuasa juga kepada semua pembaca yang berpuasa. Orait, jumpa lagi. 😊

Aidilfitri

 Isnin, 6 Syawal.

Entri kali ni, saya nak share cerita tentang raya pula. Syukur Alhamdulillah, atas semua rezeki dan nikmat yang Allah beri. Tahun ini, saya dapat puasa sebulan Ramadan. 😁 Seronoknya rasa di hati, sebab tak perlu ganti puasa, seperti tahun-tahun lepas. 

Lagi satu, saya dapat pergi sembahyang raya di masjid. Sudah lama sangat saya tak berpeluang pergi sembahyang raya. Saya selalu jadi orang dapur, yang kerja tak habis-habis sediakan makanan, bila keluarga balik masjid atau tetamu datang, makanan semua sudah terhidang cantik atas meja makan. Hanya seorang diri memendam rasa. Tapi tahun ni, Alhamdulillah. Merasa juga saya pergi. Dalam kelam-kabut juga lah, saya bersiap. 

Saya bersama dua orang kakak saya, bersama anak sulung (yang ambil gambar ini), pergi ke masjid di pagi raya.

Nikmatnya, ya Allah. Rasa syukur sangat. 💓

Selesai sembahyang dan khutbah raya. Sama tak muka saya 3 beradik? Hehe.. sepesen je. 

Kedua kakak saya bermalam di hotel berdekatan. Nak balik masjid tu, kakak sulung kata, seeloknya, kita balik jangan ikut jalan kita datang tadi. Buat satu pusingan, singgahlah Zus, beli kopi. Hehe... eh, bukan kita orang je yang pergi Zus pagi raya tu, pakai telekung. Ada orang lain juga pun sama. Orang kerja Zus pun pakai baju raya pagi tu. Cian deme yek, hari raya pun kerja.

Sampai rumah, kakak sulung masak nasi tomato. Lauk pauk semua sudah ready atas meja makan. Saya dah perangat pagi-pagi. 

Lepas nasi tomato sudah masak, apa lagi, makan la dulu. Nanti tetamu datang, tuan rumah perut lapor pula.

Bahagianya rasa dapat makan sekeluarga.

Tidak kelihatan dalam gambar, dua orang anak yang tidak ikut ke masjid, mereka sudah makan terlebih dahulu. Papa dan makcik pun baru sampai. Dia orang stay di hotel yang sama dengan kakak-kakak duduk. Suami saya pun baru sampai, balik kerja shif malam.

Hidangan di hari raya ialah nasi tomato bersama lauk kari ayam dan acar jelatah. Lemang bersama rendang ayam. Juga paru masak hitam. Saya masak kari ayam dan paru masak hitam tu, hari sebelumnya. Kakak masak rendang ayam 2 ekor. Jelatah, pagi raya baru saya buat. Semua sedap! 😋

Lepas isi perut, kami sekeluarga beraya, bermaaf-maafan antara kita. Ada drama air mata ke tahun ni? Ada, sikit. Hehe... tak yah share la ye. Maluuu....

Lepas beraya satu family, kami ambil gambar kenangan di luar.


Tema baju raya adalah multiple shades of purple. 😁 Papa dan makcik je lain, hijo.

Suami, saya, dan anak-anak.

Saya, kakak sulung dan kakak tengah. 

Tak lama lepas selesai bergambar, tetamu pun tiba untuk beraya. Serentak pula tu, datang. Meriah jadinya rumah kami.

Family Aunty Lei, dan family Aunty Bada.

Aunty Lei adalah pengasuh kakak sulung saya dulu, masa kecil. Sejak arwah opah saya masih ada. 

Bagi yang veteran makan dulu, meja makan tak cukup tempat.

Anak sulung saya dengan Nana, Nurin dan suami.

Yang muda, main catur dulu. Ingat tak hari tu, saya ada kongsi entri makan kenduri, tapi saya balik awal tak sempat jumpa pengantin? Boleh klik sini untuk entrinya. Yang pakai sedondon dalam gambar di atas lah pengantin barunya.

Sembang itu ini, bertukar cerita. Tak lama lepas Aunty Lei dan family balik, seorang lagi kenalan lama arwah mama saya datang beraya. 

Timing Allah sangat cantik. Rupanya, uncle Ah Chuan dan Aunty Bada saling kenal. Jejak kasih di rumah kami. 

Bergambar beramai-ramai, family saya, family Aunty Bada dan uncle Ah Chuan.

Walaupun mama saya dah takde, tapi kenalan mama masih datang, ingat pada kami. Rasa seronok dan terharu di situ. Semoga silaturrahim terus terjalin dengan baik, tanpa mengira bangsa dan agama. Sebagaimana saya tanya pada uncle Ah Chuan, macamana saya nak panggil dia? Dia suruh saya panggil nama je, "Acuan". Macamana acuan, begitulah kuihnya, dia cakap. Fluent betul uncle ni cakap melayu. 👍 😁

Ok la. Ingat tu, ingat juga pada saudara kita di Palestin, dan doa tidak pernah putus supaya mereka temu keamanan yang dicari. Tapi anak-anak kita berhak juga untuk gembira dan merayakan hari kemenangan setelah menahan diri dari lapar dan dahaga serta perkara membatalkan puasa sepanjang Ramadan. Kenangan hari ni, belum tentu kita dapat rasa untuk Ramadan atau Syawal berikutnya. Entah-entah, pendek umur, kita pergi dulu. Hargai masa bersama keluarga, rakan dan taulan. 

Selamat hari raya dari saya, kepada pembaca blog yang saya hormati sekalian. Saya minta maaf, atas segala salah silap saya sepanjang saya berblogging ini. 💓🤝

Salam Aifiltri. Jumpa lagi, ye. 😊

P/S: Saya dah lama tak lari ni. Dua hari pertama Syawal, kerja mengunyah je. Cepat-cepat mula puasa 6. Hari ni, hari keempat. Nanti lepas habis puasa enam la, mula lari semula.